Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Mahu popular cara sendiri
- Farid Kamil Berehat Seminggu Akibat Jatuh Motosikal
- Hilangnya sebutir bintang
- Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua?
- Akua Ekstrem 5 tawar Myvi
- Taman Tema Air Dinasour KSL Resort dibuka hari ini
- Api sambar kereta sedang dikimpal
- Pemuda Perancis miliki tangan bionik
- Kucing seludup telefon bimbit ke dalam penjara
- Hikmah menulis wasiat sendiri
- Sudan gergasi gula Afrika
- Kari kepala kambing resipi tradisi
- Mandian melembap kulit
- Sajian ketam pencetus selera
- Alat tulis corak safari
| Posted: 04 Jun 2013 06:48 PM PDT
CANTIK berbusana merah cili, kedua-dua beradik Emma Maembong dan Chacha Maembong ditemui ketika pertunjukan fesyen Amazing Red Kurung, Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini. Emma menyarung busana merah rekaan Nazleen Noor manakala adiknya, Chacha memperagakan sepasang dress rekaan Hazwani Osman. Diusik soalan nakal berkenaan jodoh serta simbolik warna merah sebagai padanan warna cinta dan romantis, Emma sekadar tertawa disaksikan Chacha. "Saya memang suka warna merah sebab nampak garang. Orang selalu nampak saya wanita lemah lembut, sekali-sekala pakaian merah boleh memberi keyakinan pada diri. Ya, warna merah juga serasi dengan elemen cinta dan romantis," luncur katanya. Sesekali ditanya adakah warna merah akan menjadi pilihan sempena hari bahagia suatu masa nanti, jawab Emma tersipu-sipu: "Mungkin juga." Tidak dapat lari daripada kisah kontroversi cinta yang mengaitkan Emma dan juara Maharaja Lawak, Zizan Razak, terbaharu status BBM (BlackBerry Messenger) dan Whatsapp kedua-dua artis itu menjadi pokok bicara. Mengulas mengenai perkara itu kata Emma, dia memohon agar peminat tidak membuat spekulasi awal sebelum mendengar kenyataan daripadanya. "Simbol di status BBM atau Whatsapp adalah perkara peribadi bagi saya. Jadi ia tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Harap semua pihak faham dan memberikan ruang kepada diri saya sendiri," simpul Emma ringkas. Ruangan pojok sebuah akhbar minggu lalu mengeluarkan kisah terbaharu Emma dan Zizan yang sering bertukar-tukar status di BBM dan Whatsapp merujuk kepada diri masing-masing. Emma menulis perkataan MRR diikuti lambang hati, sementara Zizan menulis CFR menggunakan format sama seperti Emma. Ramai menafsirkan MRR adalah merujuk kepada nama Mohd. Razizan Razak manakala CFR pula Che Fatimah Rohani iaitu nama sebenar mereka. Saling menasihati Larut dalam perbualan mengenai lakonan, Emma, 21, memberitahu kesibukannya berlakon dan menghadiri acara membuatkan masanya bersama keluarga terbatas. Hal itu diakui adiknya Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail yang kadangkala tidak sempat berjumpa dengan kakaknya, Emma walaupun tinggal serumah bersama ayah mereka, Ismail Embong. "Kadangkala apabila saya keluar rumah, Emma belum bangun dan begitulah sebaliknya. Hari minggu pun belum tentu dapat meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga lain. ![]() PASANGAN adik-beradik ini kini mampu menyakinkan bapa mereka bahawa mereka serius mahu menjadi pelakon. "Tapi apabila berpeluang, kami akan berkongsi masalah bersama. Emma bukan sahaja berperanan sebagai seorang kakak bahkan kawan baik dan bak seorang emak bagi saya. Dia sentiasa menasihati setiap perkara saya lakukan. "Dia bimbang saya tersalah langkah dan enggan saya menerima tempias yang negatif seperti dia pernah lalui sebelum ini," jelas Chacha, 17. Dalam kesibukan itu, perlahan-lahan kerjaya mereka dalam bidang seni mula mendapat restu ayah mereka yang juga pelukis tersohor negara, Ismail Embong. "Mula-mula dulu memang ayah selalu marah apabila kami pulang lewat malam. Dia tidak faham kenapa agaknya anak-anaknya selalu balik lambat, padahal kami sibuk dengan penggambaran. "Sekarang apabila dia sendiri menyaksikan lakonan kami di televisyen dan ramai yang memberikan reaksi positif, ayah sudah boleh menerima kami seorang pelakon. Kadang-kadang kalau kami balik lambat dia yang akan memasak untuk kami," kongsi Emma mencelah. Persaingan Selain berkongsi masalah, pasangan adik-beradik itu juga sering berlatih berlakon bersama-sama bagi meningkatkan mutu penghayatan watak. "Kalau bergaduh, kami akan bergaduh betul-betul! Emma akan jadi teman saya berlatih atau paling tidak pun saya akan ajak sekali kakak kami, Yaya untuk membantu saya terutamanya menjayakan watak sedih," kata bintang drama Kisah cinta Cornetto Uda & Dara itu. Tidak gusar untuk dibanding-bandingkan kualiti lakonan antara kedua-dua beradik itu, baik Emma ataupun Chacha, masing-masing ada kelebihan tersendiri. "Kami ada kelebihan masing-masing dan saya tidak cemburu pun dengan populariti Emma yang semakin memuncak, walaupun saya terlebih dahulu memulakan langkah dalam bidang lakonan. "Malah saya gembira dengan kejayaannya hari ini. Saya percaya pada rezeki masing-masing. Teringin juga suatu hari nanti kami digandingkan berlakon bersama," ujar Chacha yang enggan dikaburi dengan cinta buat masa sekarang. ![]() EMMA (kiri) dan Chacha Maembong mahu membuktikan kemampuan masing-masing sebagai pelapis baharu dunia seni tempatan. Pengalaman selaman skuba Emma KETIKA bersua, Emma memberitahu kulit mukanya mengelupas gara-gara berkampung selama seminggu di Pulau Tioman, Pahang, untuk menyertai cabaran selaman skuba bersama pasukan Remaja Ekstrem. Berkobar-kobar berkongsi pengalaman pertamanya menyelam dalam laut sedalam 18 meter, kata Emma keindahan menikmati panorama dan kehidupan dasar laut tidak ternilai indahnya. "Mula-mula saya takut untuk melakukan aktiviti yang dianggap ekstrem bagi sesetengah orang itu dan perasaan cuak itu bertambah kerana ini baru kali pertama. "Tapi sekali sudah lompat masuk ke dalam air, rasa macam tidak puas. Mahu menyelam lagi ke dalam dan sedar-sedar sudah hampir sampai ke dasar. "Seronok sebenarnya dapat belajar bahasa badan dan isyarat yang penyelam gunakan. Selama ini asyik tengok televisyen saja, tapi kali ini diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman ini," ujarnya teruja. Bagaimanapun Emma mengakui pada mulanya dia hampir berputus asa sepanjang peringkat latihan awal sebelum praktikal di tengah-tengah laut, namun katanya selagi tidak mencuba dia tidak tahu sejauh manakah kemampuannya. Ditanya apakah aktiviti ekstrem lain yang ingin dilakukan selepas ini, jawabnya dia takutkan ketinggian, tapi pada masa sama mahu mencuba melakukan aktiviti seperti terjun lelabah (bungee jumping). | ||
| Farid Kamil Berehat Seminggu Akibat Jatuh Motosikal Posted: 04 Jun 2013 06:46 PM PDT Farid KamilJurucakap pihak pengurusan Metrowealth berkata, pelakon tersebut sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah pada Isnin lalu. "Alhamdulillah kecederaan yang dialami tidak teruk dan selepas pembedahan kecil semalam (Isnin) dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat. "Kecederaan bahu kiri itu disebabkan kesan luka lama ketika melakukan aksi lagak ngeri dalam filem Anak Jantan tahun lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Tambahnya, Farid turut diberi rehat selama seminggu daripada sebarang penggambaran sementara laporan mengatakan bahunya patah adalah tidak benar. "Farid kini sedang sibuk dengan drama Jodoh Itu Milik Kita terbitan Astro dan dia terpaksa rehat selama seminggu atas nasihat doktor. "Insya-Allah dia akan pulih sepenuhnya beberapa hari lagi kerana kemalangan itu tidak terlalu teruk," katanya. Pelakon Lagenda Budak Setan itu dilaporkan terjatuh ketika sedang menunggang motosikal mini Kawasaki KSR 10 di sebuah litar di Subang Jaya di sini. Dia mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh sehari selepas kejadian kerana mengalami sakit pada bahu kiri. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:41 PM PDT
PEMERGIAN pelawak veteran Allahyarham S. Shamsudin semalam benar-benar mengejutkan ramai pihak. Mana tidaknya, malam sebelum Allahyarham meninggal dunia, ramai rakyat Malaysia yang tertawa sakan kerana filem lakonannya Bujang Lapok disiarkan di televisyen. Biarlah seribu kali diulang tayang filem yang sama, lawaknya tetap menggeletek hati. Lakonannya dalam filem tersebut bersama dua lagi sahabat seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Sattar benar-benar hidup. Begitu juga dengan filem-filem lakonannya yang lain antaranya Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang dan Nasib Si Labu Labi, semuanya kekal malar segar sehingga ke hari ini. Kini, semuanya tinggal kenangan. Pemergiannya meninggalkan kesan di hati setiap peminat yang tidak jemu menonton filem lakonannya. Menurut rakan baiknya, Aziz Sattar atau Pak Aziz, Allahyarham yang mesra disapa dengan nama panggilan Sudin seorang yang cukup merendah diri dan disenangi ramai. "Kami bertiga agak rapat ketika sama-sama berlakon di studio Jalan Ampas, Singapura. Ini kerana pada waktu itu pelakon semuanya diberikan rumah yang berdekatan antara satu sama lain. "Jadi, habis kerja kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Saya masih rindu untuk kembali ke zaman P. Ramlee mengarah dan berlakon filem bersama saya dan Sudin. "Waktu itu sungguh seronok. Tidak sangka gandingan kami bertiga menjadi dan cukup serasi. Sudin suka membuat lawak secara spontan yang tidak ada dalam skrip. Itu adalah kelebihannya," kata Aziz Satar mengenang kembali zaman kegemilangan lakon Allahyarham. Apabila disoal tentang pemergian rakan baiknya itu, suara Pak Aziz di hujung corong kedengaran sebak. "Saya sungguh terkejut mendapat berita pemergiannya pada pagi ini (semalam). Agak ralat kerana tidak dapat bertemu dengannya sebelum Sudin meninggal dunia. "Kali terakhir saya bertemu dengannya pada awal tahun ini. Itu pun Sudin sudah uzur kerana penyakit paru-paru yang dihidapinya. "Sekarang ini tinggal saya seorang sahaja, selepas dua sahabat baik saya, Sudin dan P. Ramlee meninggal dunia. Kenangan bekerja bersama ketika muda tidak akan saya lupakan buat selamanya. Mereka merupakan bintang yang sebenar," tuturnya yang segera ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor untuk ke Singapura sebaik mendapat berita menyedihkan itu. S. Shamsudin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura. Sebelum bergelar seorang pelawak terkenal, Allahyarham bekerja sebagai buruh untuk membantu keluarga. Namun, tuah menyebelahinya ketika Allahyarham melawat studio Jalan Ampas untuk melihat sendiri pembikinan sebuah filem. Allahyarham telah diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan dalam filem Chempaka yang diarahkan oleh B. S. Rajhans. Seterusnya Allahyarham mendapat kerja sebagai tukang kayu di set studio filem dan pada masa yang sama bekerja sebagai pelakon tambahan. Berlakon dan melakukan kerja produksi merupakan sesuatu yang normal waktu itu untuk menambah pendapatan. Filem pertama yang memerlukannya melontarkan banyak dialog adalah filem Aloha. Disebabkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, kemudian Allahyarham telah diambil sebagai pelakon tetap bagi filem Melayu bersama Aziz Sattar. Bintangnya semakin bersinar apabila Allahyarham bergandingan bersama P. Ramlee dan Aziz Sattar. Mereka bertiga merupakan bintang terkenal era 50-an dan awal 60-an. Allahyarham bertemu jodoh dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. Salah seorang anaknya Ariff Shamsudin juga merupakan seorang pelawak di Singapura. Selepas melalui zaman kegemilangan dan hidup dalam keadaan harmoni bersama keluarganya, pada usia 84 tahun Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di National University Hospital, Singapura pada 10.43 pagi akibat sakit tua dan paru-paru berair. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lim Chu Kang, Singapura pada pukul 10 pagi hari ini. | ||
| Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua? Posted: 04 Jun 2013 06:40 PM PDT ![]() BARISAN pelakon Bro, Nampak Motor Gua? bergambar dengan David Teo (tengah) selepas sesi pra tonton filem tersebut minggu lalu. BRO, NAMPAK MOTOR GUA? menambah sebuah lagi filem yang mengetengahkan elemen permotoran dalam arkib industri perfileman Malaysia pada tahun ini. Sama dengan beberapa filem keluaran terdahulu Metrowealth antaranya Adnan Sempit, Wawa Semput dan Aji Noh Motor, filem terbaharu Bro, Nampak Motor Gua? memberikan kelainan dengan menampilkan beberapa babak daripada filem-filem terdahulu terbitan syarikat itu. Bagaimanapun, harus diakui bahawa pengarah popular Mamat Khalid yang turut membintangi filem itu telah menyelamatkan Bro, Nampak Motor Gua? daripada terus tenggelam dan mendatar. Lawak bersahaja Mamat mengembalikan tawa penonton yang hampir layu dibuai lawak-lawak hambar beberapa pelakon lain. Biarpun Mamat bukan merupakan penggerak utama filem itu, keberkesanan karakter dan dialog yang nampak tidak dibuat-buat memberikan jaminan dan keyakinan kepada penonton untuk tidak berganjak dari tempat duduk. Mamat menjayakan watak Tan Sri Bakhtiar Karthubi iaitu seorang jutawan yang mempunyai misi untuk menyelamatkan dunia. Filem Bro, Nampak Motor Gua? mengisahkan Epol yang mencari motornya yang hilang dilarikan oleh dua orang penyamun. Sepanjang pencarian Epol bersama rakannya Helmi, pelbagai dugaan mereka tempuhi. Satu insiden telah menemukan Epol dengan Azura iaitu peguam kepada Tan Sri Bakhtiar Karthubi yang ketika itu ditugaskan untuk menghantar dokumen penting kepada bank, namun telah diragut oleh mat rempit. Tiru Hollywood Menurut pengarah filem Bro, Nampak Motor Gua?, Razif Rasyid, cabaran utama selain mengarahkan pelakon yang juga pengarah berbakat besar seperti Mamat Khalid, aspek keselamatan sepanjang penggambaran sentiasa diambil berat. "Hampir setiap hari sepanjang penggambaran membabitkan lagak ngeri dan aksi, insiden-insiden pelik tidak dapat dielakkan daripada berlaku. "Senang untuk mengarahkan pelakon-pelakon dalam filem ini, tapi susah untuk menjaga mereka sebenarnya. Saya perlu menjaga karakter Along supaya tidak serupa dengan watak Bobby dalam Adnan Sempit dan disebabkan itu saya mengubah penampilannya sedikit," katanya. Razif yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Bro, Nampak Motor Gua? di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini juga bersedia sekiranya filem arahannya dibandingkan dengan filem Hollywood, Dude Where's My Car. Dude Where's My Car mengisahkan dua sahabat baik, Jesse (Ashton Kutcher) dan Chester (Seann William Scott), yang telah terlupa lokasi akhir kereta mereka selepas pulang berparti. Katanya, kebanyakan filem tempatan ada mengambil acuan daripada karya-karya luar negara namun diolah mengikut kesesuaian penonton tempatan. "Saya mengkaji filem Dude Where's My Car dan 'diMelayukan' mengikut budaya masyarakat kita. Semua orang meniru karya-karya sebelum ini, cuma cara mengolah itu berbeza-beza. "Saya bersedia berdepan dengan kritikan tapi bukan kutukan. Lagi banyak orang bercakap, bermakna lagi banyak orang menonton filem ini," ujarnya mengenai filem itu yang telah ditayangkan di pawagam bermula 30 Mei lalu. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:39 PM PDT ![]() PROGRAM Akua Ekstrem kini bakal memasuki musim keenam. PELUANG memenangi sebuah kereta Myvi menjadi taruhan program yang membawa unsur pertandingan dalam air, Akua Ekstrem, yang kini dilanjutkan ke musim keenam. Sebelum kemunculan Akua Ekstrem 6 yang bakal disiarkan nanti, Akua Ekstrem 5 kini ditayangkan sejak 18 Mei lalu pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 5.30 petang, di TV2 saluran RTM. Pengarah Produksi Triomedia Sdn. Bhd., Au Yuk Sing berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan sepanjang ia diterbitkan. "Pelbagai gaya dan aksi dapat disaksikan dan pastinya ia mencuit hati peminat-peminat aktiviti sukan lasak ini. Pengisian slot menarik sebelum peserta melangkah ke petak halangan pertama tentunya membuatkan penonton tidak kering gusi melihat aksi dan keletah para peserta," ujarnya. Tambahnya: "Di sinilah memerlukan para peserta bersikap sporting dan ceria ketika diberi tugasan. Acara memanaskan badan ini cukup menarik kerana ia dilakukan secara spontan dan bersahaja. "Dengan format yang telah disediakan, mungkin halangan-halangan dalam permainan ini agak mudah dilakukan setakat ini." Sehubungan itu, bagi memberikan lebih impak dan cabaran dalam menguji minda para peserta, format Akua Ekstrem 6 telah diubah suai. "Pertandingan tidak lagi dilakukan dalam pasukan tetapi secara individu. Bagi peserta lelaki, mereka hanya diberi masa selama 180 saat manakala peserta perempuan pula 200 saat untuk menyudahkan kesemua tujuh halangan dengan diberikan peluang tiga kali percubaan," jelas Yuk Sing. Ujarnya: "Apa yang lebih menarik, seramai 15 orang peserta akan berentap bagi setiap episod pertandingan secara individu. "Bagaimanapun, hanya 12 orang peserta yang akan dipilih berdasarkan kepantasan masa untuk melayakkan diri mara ke peringkat akhir iaitu episod ke 26." Menurutnya, tawaran hadiah kereta Myvi pasti membuatkan para peserta teruja untuk memenangi hadiah tersebut. Peserta yang ingin menyertai pertandingan itu perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 seorang untuk setiap sesi. Antara kriteria diperlukan ialah peserta mestilah berumur 17 tahun ke atas wanita atau lelaki, mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik, tidak fobia air, seorang yang ceria dan sporting. Bagi menyertai Akua Ekstem 6, sila layari laman sesawang www.facebook.com/akuaekstrem.tv/marketing@triomedia.com atau hubungi 03-2871 8948. | ||
| Taman Tema Air Dinasour KSL Resort dibuka hari ini Posted: 04 Jun 2013 06:35 PM PDT ![]() MAHADI (tengah) bersama kakitangannya bergambar di Taman Tema Air Dinasour KSL Resort di Johor Bahru semalam. JOHOR BAHRU - Taman Tema Air Dinasour KSL Resort, tarikan keriangan terbaharu di negeri ini, akan mula dibuka kepada orang ramai hari ini. Taman tema berharga RM20 juta yang dibina di aras tujuh bangunan KSL Resort itu menampilkan keunikan tersendiri dengan kehadiran lima replika dinasour dengan saiz sebenar yang boleh digerakkan menggunakan sensor, selain dilengkapi sistem audio bunyi yang dihasilkan haiwan prasejarah terbabit. Pengurus KSL Resort, Mahadi Mathana berkata, kira-kira 400 pengunjung dijangka hadir hadir pada hari pertama pembukaan taman tema itu. "Ini merupakan Taman Tema Air Dinasour pertama di Malaysia dan saya pasti pengunjung akan merasai keriangan yang sebenar," katanya kepada pemberita di sini semalam. Jelas Mahadi, selain replika dinasour, taman tema yang berkeluasan 4,330 meter persegi itu juga menampilkan beberapa tarikan lain antaranya air terjun setinggi lima meter, dua luncur air berkelajuan tinggi, jambatan kayu serta pelampung air pelbagai jenis dan saiz. Selain itu, menurutnya, taman tema air itu juga selamat untuk kanak-kanak memandangkan kedalaman air hanya 0.23 meter. "Bagi mereka yang berminat, tiket masuk ke taman ini hanyalah RM50 bagi dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun," ujarnya. | ||
| Api sambar kereta sedang dikimpal Posted: 04 Jun 2013 06:33 PM PDT ![]() INILAH kereta yang menjadi punca tiga rumah papan terbakar di Padang Jawa, Klang semasa kerja-kerja kimpalan dijalankan ke atas kenderaan itu semalam. SHAH ALAM - Sederet tiga buah rumah papan dan sebuah kereta Honda Prelude musnah dijilat api dalam kebakaran di Jalan Berangan 2, Padang Jawa di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, seorang mangsa hampir 20 peratus melecur di badan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk rawatan. Kejadian dipercayai berpunca daripada kerja-kerja kimpalan yang sedang dilakukan oleh salah seorang penghuni rumah ke atas kereta Honda Prelude milik rakannya di depan rumah. Malangnya, kenderaan tersebut tiba-tiba terbakar dan api menyambar dinding rumahnya sebelum merebak ke rumah jiran sebelah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Mohd. Khairi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.55 petang sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dan Shah Alam bersama 10 anggota bergegas ke lokasi. "Setiba di lokasi lapan minit kemudian, ketiga-tiga rumah itu sudah terbakar dan usaha memadamkan kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain yang terletak berdekatan dijalankan. "Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh lima minit dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan, namun nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya di sini semalam. Mohd. Khairi memberitahu, ketika kejadian, kira-kira sembilan daripada 15 penghuni berada di dalam ketiga-tiga rumah terbabit, namun mereka sempat menyelamatkan diri. Katanya, kesemua penghuni dikatakan menyewa kediaman berkenaan. | ||
| Pemuda Perancis miliki tangan bionik Posted: 04 Jun 2013 06:30 PM PDT ![]() SEORANG jururawat melihat Lopes mempelajari cara untuk menggunakan tangan kiri bioniknya di sebuah pusat pemulihan di Coubert, tenggara Perancis kelmarin. PARIS - Seorang pemuda berusia 22 tahun, Florian Lopes menggunakan tangan kiri bionik yang berharga 42,000 euro (RM170,089). Dia merupakan pesakit Perancis yang pertama menerima tangan bionik itu. Lopes memakai tangan bionik itu selepas dia kehilangan tiga batang jari semasa menggunakan sebuah mesin pengisar pada tahun 2011. Selepas tangan bionik itu dipasang, Lopes kini boleh memegang garpu atau membuka penutup balang. "Saya kini boleh memotong daging atau menuang air ke dalam gelas seperti dahulu," kata pemuda tersebut. Kos pemasangan tangan bionik tersebut dibayar oleh majikan Lopes. Lopes kelihatan seperti memakai sarung tangan sehingga ke paras sikunya semasa dia menggunakan tangan bionik itu. Tangan bionik itu dikeluarkan oleh syarikat Touch Bionics Scots. Lopes belajar menggunakan tangan tersebut di sebuah pusat pemulihan di Coubert, tenggara Paris. | ||
| Kucing seludup telefon bimbit ke dalam penjara Posted: 04 Jun 2013 06:27 PM PDT ![]() SEORANG wardar memegang seekor kucing yang digunakan untuk menyeludup beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas ke dalam sebuah penjara dekat bandar Syktyvkar pada Jumaat lalu. SYKTYVKAR, Rusia - Seekor kucing telah ditangkap oleh beberapa wardar kerana haiwan itu digunakan untuk menyeludup beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecaj ke dalam sebuah penjara dekat sini. Beberapa wardar yang meronda di penjara itu menemui seekor kucing yang memanjat sebuah pagar dan terdapat beberapa barang pada badannya. Selepas mendekati haiwan itu, wardar-wardar tersebut mendapati ia membawa beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas. Beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas itu didapati diikat pada perut haiwan tersebut. Menurut pihak Perkhidmatan Penjara Persekutuan Republik Komi kelmarin, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu. Penjara itu terletak 1,000 kilometer dari timur laut Moscow. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:25 PM PDT
SEJAK ibunya meninggal dunia lima tahun lalu, Masyitah Mohamed, 54, masih buntu memikirkan urusan hal tanah pusaka milik ibunya. Meskipun hal tersebut sudah diketengahkan kepada adik-beradiknya untuk mencari penyelesaian, Masyitah pula dituduh yang tamakkan harta. Hakikatnya, beliau mahu meringankan beban yang ditanggung arwah ibu. Lebih malang, isu tersebut menyebabkan dia dan adik-beradiknya tidak bertegur sapa. "Sejak itu saya tidak lagi membangkitkan isu tanah tersebut. Mereka sukar dibawa berunding. Saya sedar bahawa masalah akan menjadi semakin rumit jika seorang demi seorang daripada kami meninggal dunia," katanya yang mempunyai lapan beradik. Masyitah mungkin merupakan salah seorang daripada ribuan masyarakat Islam yang berdepan dengan masalah tersebut. Hakikat ini diakui sendiri oleh Md. Ghazali Ibrahim, 41, yang berpengalaman menyiapkan lebih 5,000 surat wasiat secara sukarela sebelum ini. Menurut adik kepada bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, arwah Ustaz Asri Ibrahim itu, orang- orang dahulu mereka lebih gemar berwasiat dengan mulut sahaja tanpa dokumen yang akhirnya menimbulkan masalah. Sebab itulah, kata Md. Ghazali, apabila berlaku kematian, adik-beradik perlu duduk berbincang dan dokumenkan apa yang pernah disuarakan oleh ibu bapa. "Buat surat persetujuan sebelum ke pejabat pusaka dan mahkamah. Orang kita tidak faham, apabila sebut sahaja faraid, ia jadi wajib. "Memang faraid wajib jika menemui jalan buntu. Kita perlu juga ingat wasiat si ayah ketika masih hidup, sepakatlah adik-beradik," saran beliau ketika ditemui di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Tuntutan membuat wasiat ini, ujar panel program kuliah Solat di TV AlHijrah itu turut termaktub dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 180 hingga 182, "Diwajibkan ke atas kamu membuat wasiat apabila datang tanda-tanda kematian." Hampir sedekad berkecimpung dalam bidang faraid, wasiat dan pusaka, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Sungai Bertih, Klang, Selangor itu kemudiannya mengambil keputusan membukukan pengalaman beliau dalam hal ehwal faraid dan wasiat. Beliau membukukan pengalamannya itu selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut. Sebelum itu, beliau aktif mengadakan ceramah ke seluruh Malaysia, bersiaran di radio dan televisyen.
Rujukan orang ramai Alasan beliau mudah dan ada logiknya. "Lazimnya, orang mudah terlupa jika sekadar mendengar ceramah, jadi apabila dibukukan, mereka bukan sahaja boleh simpan buat rujukan, malah boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan," kata Md. Ghazali yang tampil dengan buku pertamanya iaitu Kenapa Mesti Merancang Pusaka yang diterbitkan pada tahun 2006 dan 2007. Selepas tamat pembelajaran di peringkat menengah, Md. Ghazali melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran dan Tahfiz di Karachi, Pakistan. Beliau kemudiannya menyambung pengajian Bahasa Arab di Kaherah, Mesir. Ketika meneruskan pengajiannya di Baghdad, Iraq selama enam tahun untuk ijazah syariah pengajian Islam, Md. Ghazali berkesempatan bertalaqi dengan beberapa ulama di Baghdad. Hari ini, banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat pada harga antara RM300 sehingga RM5,000. Namun, Md. Ghazali menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana ada pelanggan yang tidak pernah melihat surat-surat wasiat yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan. "Buku Nota Wasiat hasil tulisan saya boleh dijadikan rujukan orang ramai jika ingin menulis wasiat sendiri. "Sebenarnya semua orang boleh tulis wasiat tetapi mereka tidak tahu gaya bahasanya. Jadi, di dalam buku tersebut ada disertakan contoh surat-surat wasiat dan hibah," kata bapa kepada enam anak itu yang turut menulis beberapa buku lain. Antaranya termasuklah Bahagi Biar Adil, Urus Harta Sebelum Mati dan RM42 Bilion Pusaka Belum Dituntut? dengan pengisian santai serta mudah difahami. Apabila membuat wasiat, seseorang itu perlu mendokumentasikan aset seperti membuat senarai harta, hutang dan sebagainya selain melampirkan salinan buku bank atau geran yang diperlukan sebagai rujukan kepada waris. Anak kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang, Selangor itu menjelaskan, waris yang tidak tahu menguruskan harta pusaka selepas kematian kedua-dua ibu bapa antara punca utama mengapa pusaka jadi bertimbun-timbun sehingga hari ini. Dianggarkan, pusaka yang tidak dituntut berjumlah RM42 bilion. Menurut Md. Ghazali yang juga moderator program Dikir Zikir di TV AlHijrah, penyediaan sesebuah wasiat itu perlu betul, jika tidak ia boleh dicabar dan tidak boleh dilaksanakan. Misalnya, sesuatu wasiat itu tidak boleh melarang waris daripada mengambil harta. Apabila wasiat tidak betul, ia boleh menimbulkan perselisihan. Beliau menegaskan, setiap umat Islam wajib memandang serius isu wasiat. "Wasiat yang tidak ditunaikan boleh memberi kesan kepada si mati (merana) dan waris pula menanggung dosa," jelasnya sambil memberitahu kesedaran wasiat dalam kalangan orang Islam sangat rendah berbanding bukan Islam. Ia berlaku kerana tidak faham dan kurang ilmu. ![]() SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Kursus Intensif Ilmu Faraid anjuran Akademi Al-Ghazali. Pentingnya dokumen Md. Ghazali yang banyak membuat lawatan ke Jordan, Syria dan Palestin mengakui bahawa ramai masyarakat Islam masih kabur lagi tentang wasiat, hibah dan harta sepencarian. "Wasiat tidak wajib tetapi kalau kita nak beri lebih kepada isteri, perlulah buat dokumen atau deklarasi harta sepencarian kerana kita tidak boleh wasiatkan separuh daripada harta kepada isteri melalui wasiat kerana ia tidak boleh melebihi satu per tiga. "Wasiat juga tidak boleh diberikan kepada waris kerana anak-anak ada bahagian dalam faraid. Ia perlu diberikan kepada orang lain, anak tiri, anak angkat dan sebagainya," kata graduan yang berkelulusan Ijazah Syariah dari Universiti Saddam For Islamic Studies, Baghdad, Iraq itu. Jika seseorang mahu memberikan harta kepada anak-anak, contohnya rumah, mereka boleh hibahkan harta tersebut dengan membuat dokumen persetujuan hibah. Bagi memudahkan orang ramai, Md. Ghazali turut menawarkan perkhidmatan menyediakan wasiat. Syarikat yang dinamakan Wasiyyah.com Sdn. Bhd. itu beroperasi di Shah Alam. Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menangguhkan isu pembahagian harta pusaka bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari. "Jika tiada masalah pusaka, buatlah sesuatu untuk waris kita. Rancang pusaka, buat wasiat atau hibah kerana mungkin esok lusa kita meninggal dunia," ujarnya. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:24 PM PDT ![]() SUDAN adalah antara pengeluar gula terbesar di benua Afrika. RAMAI pekerja kelihatan tergesa-gesa membungkus gula putih halus yang sentiasa keluar dari beberapa corong di sebuah kilang besar. Masing-masing tidak menang tangan kerana kesemua bungkusan itu perlu dimuatkan ke dalam tiga lori besar yang sudah menunggu di luar kilang itu. Pengurusan Kenana, syarikat gula terkenal di Sudan, berharap kilang itu akan lebih sibuk pada tahun hadapan kerana mereka merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran bagi mengeksport gula ke negara-negara lain. Sudan telah kehilangan status pengeluaran petroleum pada tahun 2011, jadi negara itu kini mencari sumber baharu bagi meningkatkan hasil pendapatan negara. "Terdapat banyak tanah sesuai untuk penanaman tebu kerana terdapat air," kata Ketua Unit Perniagaan Kenana, El Zein Mohammed Doush. Bagaimanapun, usaha meningkatkan pengeluaran gula juga bersifat politik. Gula merupakan bahan makanan yang paling penting di dunia. Jadi, disebabkan itu, harga gula di Afrika merupakan isu sensitif malah ia boleh mencetuskan revolusi. Bukan itu sahaja, kenaikan harga secara mendadak juga menyebabkan protes jalanan sehingga membawa kejatuhan bekas Presiden Sudan, Jaafar Numeiri pada tahun 1985. Kini, Presiden Sudan Omar Hassan al-Bashir juga tidak terkecuali berhadapan dengan protes secara kecil-kecilan disebabkan kenaikan harga makanan. Ia diburukkan lagi dengan kadar inflasi tahunan mencecah sehingga 41.4 peratus pada bulan April lalu. Begitupun, pengkritik berkata, angka sebenar adalah lebih tinggi. Bagi menangani perkara itu, kerajaan Sudan menerima suntikan modal daripada Arab Saudi dan Kuwait. Suntikan itu membolehkan Kenana meningkatkan pengeluaran lebih dua kali ganda menjelang tahun 2015. Tampung permintaan Langkah tersebut dilihat dapat menampung permintaan domestik sebanyak 1.2 juta tan metrik. Lagipun, pada masa ini, penanam tebu di negara itu mampu menghasilkan 600,000 hingga 700,000 tan metrik setiap tahun. Menyedari hakikat itu, pihak Kenana menjangka pengeluaran gula boleh mencecah 900,000 hingga sejuta tan metrik pada tahun hadapan. Sudan merupakan salah satu pengeluar gula terbesar di benua Afrika selepas Mesir dan Afrika Selatan. Oleh itu, Sudan berharap negara tersebut mampu bersaing dengan pengeluar gula dunia seperti Brazil menjelang tahun 2020. ![]() PENANAM tebu Sudan kini boleh tersenyum gembira kerana gula menjadi salah satu komoditi utama negara berkenaan. Negara-negara Afrika berazam menghasilkan sehingga 10 juta tan metrik gula pada tahun 2020. "Kenana merancang membuka dua buah kilang lagi, manakala pihak kerajaan telah menjual empat buah kilang kerana memerlukan pemodenan," kata Doush. Menerusi perbincangan dengan pelabur dari negara-negara Teluk Arab, Kenana dibenarkan mengeksport separuh daripada pengeluaran gula ke negara-negara jiran seperti Eropah. Bagi mempelbagaikan produk, Kenana merancang untuk mengeluarkan kira-kira 200 juta liter bahan bakar bio pada tahun 2015. "Sebanyak 91 peratus bahan api, etanol diimport ke Kesatuan Eropah, Perancis, Belanda," ujar Ketua Unit Perniagaan Etanol, Ahmed Rabih. Seorang Pakar Ekonomi dari Universiti Oxford, Harry Verhoeven berkata, Kenana telah mencatatkan keuntungan yang besar dan memiliki teknologi canggih untuk mengeluarkan gula. Namun, negara itu masih berada jauh untuk menjadi pengeluar gula terbesar seperti Brazil dan Turki. "Kita tahu Kenana menerima berbilion ringgit dalam bentuk subsidi, tetapi itu tidak bermakna Sudan boleh menjadi pengeluar gula terbesar di dunia," ujarnya. Pengeluaran gula Menurut Verhoeven, kerajaan telah menjejaskan kecekapan sektor gula dengan mengawal firma gula utama, menghindari persaingan dan memanjakan mereka dengan subsidi. Sementara itu, para penganalisis ekonomi berpendapat, nilai pasaran boleh terganggu apabila kerajaan Sudan menjanjikan harga gula yang dua kali ganda berbanding harga pengeluaran sekali gus meningkatkan kemungkinan berlaku rasuah. Pengkritik juga berkata, industri gula membuat keuntungan besar tetapi masyarakat tempatan masih miskin. Kenana memiliki rumah tetamu yang mewah dan mengambil pekerja yang tidak mempunyai kemahiran. Rata-rata pekerja itu tinggal di rumah batu-bata dan jalan menghala kawasan rumah mereka tidak berturap, bahkan sering kali mengalami kekurangan air. Lebih teruk, ahli keluarga mereka terpaksa mengambil air dari tasik yang berhampiran dengan kilang gula itu. | ||
| Kari kepala kambing resipi tradisi Posted: 04 Jun 2013 06:22 PM PDT
PERNAH dengar atau mencuba masakan kari kepala kambing. Mungkin ada yang tidak lalu makan sebaik mendengarnya. Namun, bagi sesetengah orang ia adalah hidangan istimewa yang amat menyelerakan dan satu masa dahulu sangat terkenal di perkampungan tradisional Melayu. Contohnya di Rembau dan Jelebu, Negeri Sembilan, masih terdapat adat kenduri-kendara yang mengamalkan hidangan kari kepala kambing. Di kedua-dua daerah itu, yang mengamalkan adat Perpatih, masih ada yang akan menghidangkan masakan itu terlebih dahulu untuk dijamah oleh Buapak (ketua) atau Tok Empat sebelum ia dihidangkan kepada saudara-mara terdekat dan tetamu lain. Baru-baru ini, Pengurus Felda Sungai Lui, Ahmad Said Hassan, 55, telah menyambut kelahiran cucu sulungnya dengan kenduri doa selamat berserta akikah dan tahlil secara gotong-royong di Felda berkenaan. Teknik yang teliti Proses penyediaan mudah iaitu selepas disembelih dan dibersih, kepala kambing dikumpul dan dipanggang hingga hangus sebelum tanduknya dibuang dan kesan hangus dikikis hingga bersih. Jangan sesekali gunakan parang atau kapak untuk membelah kepala kambing sebaliknya, ia memerlukan kemahiran dan teknik tertentu bagi mengelakkan otak kambing daripada hancur. "Gunakan pisau tajam untuk membuat hirisan bermula dari rahang hingga ke leher kambing, ngangakan mulut kambing dan tarik dua rahang ke arah berbeza secara perlahan-lahan hingga kepala terbelah dua," kata Ahmad Said. Membelah bahagian tengkorak juga memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi. "Ketuk tengkorak perlahan-lahan menggunakan hujung tajam mata pisau ala-ala tukang yang membuat ukiran kayu. Ini untuk memastikan ia retak secara lurus dan bentuk otak dapat dikekalkan dalam dua bahagian. "Gigi dan telinga kambing ditanggal dan dibuang, manakala bahagian lidah pula dikeluarkan kerana ia paling enak digoreng menggunakan tepung rangup Goreng Pisang Crispy Cap Masjid," jelasnya lagi. Beliau memilih tepung serbaguna keluaran Felda itu yang bukan sahaja sesuai diadun menjadi jemput-jemput, malah untuk menggoreng ayam, udang, sukun dan tempe selain dijamin halal serta bersih. Sementara itu, ambil tali perut kambing, yang dibersihkan menggunakan air kapur, dan lilit kepala kambing tadi dengan berhati-hati bagi mengekalkan kedudukan otak dalam tengkoraknya. Istimewa dari Sungai Lui Jika mengikut resipi Sungai Lui, kepala kambing yang telah dililit perlu direbus dalam air kelapa sehingga kulit menjadi sangat lembut sebelum dimasak menggunakan serbuk kari kambing. "Lagipun bahagian kari kepala kambing yang paling sedap ialah otak dan kulitnya," tambah bapa kepada enam anak yang telah berkhidmat 35 tahun di Felda Negeri Sembilan. ![]() DI Syria, kepala kambing sering dihidang dengan nasi mandy Yaman. Cara masakan kari kepala kambing berbeza bergantung kepada tempat. Di Negeri Sembilan, masakan itu hanya mengandungi kepala kambing dan kentang semata-mata yang enak dimakan bersama sambal belacan serta pajeri terung. Di Kedah, ia biasanya dimasak bersama umbut pisang manakala di kawasan Pantai Timur kepala kambing biasanya dicampur bersama daging kambing dan mumbang iaitu tempurung kelapa muda yang lembut untuk dimasak ala gulai kawah. Kari yang sudah dimasak Melihatkan gulai kari itu masih mengekalkan bentuk kepala kambing, tidak hairan kalau ada yang tidak sanggup memakannya, tetapi bagi Ahmad Said tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kambing itu disembelih sempurna. "Lagipun sebagai akikah, seluruh tubuh haiwan itu dari kepala hingga ekor dimanfaatkan sepenuhnya dan hanya dijamu kepada orang Islam," jelasnya sambil menambah bahagian kaki dan tulang kambing pula enak dimasak sup. Untuk catatan, akikah bagi seorang bayi adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Namun, bagi orang yang berkemampuan lebih afdal jika melakukan akikah dengan tujuh ekor kambing atau seekor lembu atau unta bagi seorang anak. Kepala kambing Jordan Berbeza pula hidangan masakan kepala kambing di negara-negara Arab. Hidangan masakan kepala kambing yang disaji sebagai sup mahupun sandwic adalah paling popular dan menjadi tumpuan khususnya pelajar Malaysia di ibu kota Jordan, kata Pengurus Agensi Pelancongan HZ Travel & Tour Sdn. Bhd., Muhamad Hazimin Sulaiman. "Rasanya sesiapa yang pernah belajar atau tinggal di sana pasti pernah menikmati keenakan sup kepala kambing yang dimakan bersama nasi di sebuah restoran popular, Restoran Kaherah, yang terletak di Balad Amman," jelasnya. Bagaimanapun, jika ke Balad Amman, beliau lebih gemar mengunjungi kawasan Souq Khadr Balad bagi menikmati sup kepala kambing di Restoran Anwar Quds serta sandwic kepala kambing yang terkenal di Cafe Hanani. "Di kawasan Shariq Sagaf Sil pula, ada sebuah restoran popular bernama Abu Musa hanya menyediakan masakan dengan membakar atau merebus bahagian otak, hati, testis, limpa dan kepala kambing untuk dimakan dengan roti," tambah beliau. Berbeza dengan cara di Jordan yang menghidangkan kepala kambing lengkap dengan tulangnya kepada pelanggan, peniaga makanan di Syria meracik dan mengasingkan isi kepala kambing dari tulangnya sebelum dihidang. "Jika ke Syria pula, hidangan kepala kambing paling enak dimasak dalam nasi mandy Yaman," kata Muhamad Hazimin. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:21 PM PDT ![]() SEORANG petugas Dove melakukan pemeriksaan tahap kekeringan kulit ke atas pelanggan semasa pelancaran produk sabun mandiannya baru-baru ini. LAZIMNYA, mandian menggunakan sabun berfungsi untuk menghindar diri daripada kekotoran, bau peluh serta memberikan kesegaran yang berpanjangan. Namun, ramai yang tidak sedar mandian berkali-kali menggunakan sabun juga boleh memberi impak kepada kulit kerana kandungan dalam sabun tertentu menyebabkan kulit mudah kering. Ia menghilangkan kelembapan semula jadi kulit dan merosakkan kandungan protein dan lipid di lapisan luar kulit semasa pembersihan. Oleh itu, kesedaran dalam mengurangkan kerosakan kulit semasa membersihkan badan amat penting dalam mengekalkan kecantikan kulit. Dalam satu ujian perbandingan dengan susu, didapati kulit yang dibersihkan dengan Nutrium Moisture Dove baharu menunjukkan kadar kelembapan, penyerapan dan kelembutan yang jauh lebih tinggi berbanding kulit yang dibersihkan dengan susu. Jika selama ini kita percaya kandungan susu membantu melembutkan kulit, kini penemuan Nutrium Moisture Dove membuktikan ia lebih hebat. Ia menggabungkan manfaat pembersihan teknologi DEFI (Directly Esterified Fatty Isethionate) yang ditemui dalam sabun kecantikan Dove. Teknologi itu membantu melembapkan dan menjaga kecantikan kulit dalam jangka masa panjang. Kombinasi ramuan unik diserap ke dalam kulit untuk menambah kembali kandungan lipid yang hilang semasa mandi. "Masalah kulit kering yang disebabkan pembersihan dapat dilihat melalui keadaan kulit yang kering, gatal, mengelupas dan terasa ketat," kata Perunding Dermatologis, Hospital Pantai, Kuala Lumpur, Dr. Nazirin Ariffin tentang penjagaan kulit. Pengurus Aturan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Penjagaan Kediaman dan Diri serta Ketua Tapak R&D Unilever (M) Sdn. Bhd., John Goh pula memberitahu, sesetengah mandian badan juga mempunyai ramuan melembapkan kulit, tetapi ia larut dalam air dan akan hilang apabila dibilas. Sabun mandian seperti itu tidak menangani masalah kehilangan kandungan lipid semasa mandi. "Dengan pengenalan Nutrium Moisture, kehilangan kelembapan kulit ketika mandi kini tidak menjadi satu kebimbangan," kata John. Teknologi Nutrium Moisture Dove boleh diperoleh dalam varian mandian Beauty Nourishing, Gentle Exfoliating, Sensitive Skin, Fresh Touch, Energize dan Revive pada harga RM22.90 bagi botol satu liter dan RM5.90 untuk varian 200 mililiter. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:19 PM PDT
KUNJUNGAN ke restoran Mee Ketam KL untuk menjamu selera dengan sajian makanan laut yang segar pasti tidak mengecewakan. Setiap hidangan yang dimeriahkan dengan ketam dan udang galah menjadi taruhan pasangan kembar, Ubaidah dan Usamah Makmum yang juga pemilik restoran tersebut. Semuanya bermula daripada minat mereka terhadap menu kedua-dua makanan laut itu. Pemiliknya, Ubaidah, 29, berkata, keistimewaan hidangan yang disajikan terletak pada resipi kuah kari lazat yang menepati selera pelanggan sama ada mereka mahu menikmatinya bersama nasi atau mi. Resipi yang digunakan pula merupakan ramuan unik diwarisi sejak turun-temurun oleh keluarganya dari Pulau Pinang. "Selera pelanggan menjadi keutamaan restoran Mee Ketam KL dan kami tidak berkompromi dengan rasa pada setiap hidangan. "Semuanya diadun secukup rasa agar pelanggan berpuas hati dengan menu yang disediakan. Pada masa sama ia ditawarkan pada harga amat berpatutan," katanya ketika ditemui di premisnya di Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara menu yang menanti pengunjung ialah mi kari ketam bunga atau ketam nipah, mihun sup ketam, mi kari udang galah dan ketam masak cili atau lada hitam. Menariknya, saiz ketam yang diinginkan juga boleh ditentukan oleh pelanggan dan harga setiap hidangan berbeza mengikut saiz. Menurut Ubaidah, hidangan yang paling mendapat sambutan ialah mi kari ketam nipah disebabkan rasanya yang enak dan berkhasiat tinggi. Pelanggan mula memenuhi restoran tersebut pada waktu makan tengah hari iaitu pukul 1 tengah hari dan makan malam sekitar pukul 8.30 malam. "Udang yang dijual pula mengikut gred iaitu A, B, C dan A+ manakala harga yang dikenakan bergantung pada saiz dan berat udang galah," kata Ubaidah yang sudah tiga tahun berniaga. Memandangkan permintaan yang diterima sangat menggalakkan, Ubaidah memesan kira-kira 1,000 kilogram ketam seminggu bagi kedua-dua cawangan restoran milik mereka. | ||
| Posted: 04 Jun 2013 06:19 PM PDT ![]() WARNA-WARNA ceria dan rekaan menarik menghiasi koleksi alat tulis Stabilo. GANAS, liar dan garang merupakan tema di sebalik koleksi baharu jenama alat tulis Stabilo iaitu Be Wild!. Pilihan fesyen terkini itu telah direka untuk mereka yang mencintai alam semula jadi dan keseronokan mengembara. Mengambil inspirasi daripada hidupan liar safari, koleksi tersebut menyerlahkan corak kuda belang yang berjalur-jalur, harimau bintang yang bertompok-tompok, zirafah yang tinggi lampai, serta corak harimau. Melalui produk terbaharu itu, para pelajar pasti tambah bersemangat ketika mengulang kaji bersama teman-teman. Koleksi edisi terhad Stabilo Be Wild! mempunyai alat tulis untuk setiap keperluan melalui beberapa item terkini iaitu Stabilo Move, Stabilo Swing Cool dan Stabilo Bionic. Stabilo Bionic direka cipta buat mereka yang suka menikmati hidupan liar. Pen mata bola itu cukup sempurna untuk penulis yang banyak berkarya kerana ia dilengkapi dengan sistem dakwat cecair. Ia menampilkan corak harimau yang berbelang-belang dan boleh didapati dalam tiga warna dan reka bentuk. Pen mata bola Stabilo Move dengan bentuk ergonomik direka untuk keselesaan genggaman tangan pengguna. Ia boleh dipasang dengan aksesori yang bergaya seperti bulu burung, juraian atau manik. Boleh didapati dalam tiga reka bentuk hidupan liar dengan gabungan warna yang menarik, koleksi Move bermotifkan kuda belang, zirafah, dan corak harimau bintang untuk menyerlahkan ciri-ciri safari dalam diri pengguna. Rangkaian pen penyerlah Stabilo Swing Cool menonjolkan ciri-ciri eksklusif. Kanak-kanak sekolah, pelajar dan golongan muda menjadi golongan tumpuan kerana mereka menggemari pen penyerlah yang baharu ini. Menonjolkan enam jenis yang berlainan dengan cetakan corak haiwan yang bergaya, pen penyerlah ini dicipta dengan bentuk rata bagi menjimatkan ruang. Ia turut dilengkapi klip saku yang praktikal agar mudah dibawa ke mana-mana. Dengan teknologi antikering, ia memastikan dakwat tidak kering walaupun tidak bertutup selama empat jam. Koleksi edisi terhad Stabilo Be Wild! boleh didapati di semua kedai alat tulis utama. Layari www.stabilo.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





















0 ulasan:
Catat Ulasan