sumber :-
Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Kesal dituduh sombong
- Cicak ekor tiga minum kopi
- Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah
- Mon negeri warga emas
- Bukan penutup hidung biasa
- Harapan baharu Teluk Havana
- Lari masuk panggung
| Posted: 05 Jun 2013 02:49 PM PDT
APABILA drama bersiri Adam dan Hawa menjadi fenomena setelah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, ia turut memberi impak kepada beberapa pelakon utamanya. Antaranya pelakon Dazrin Kamarudin yang kini sudah mula mendapat perhatian ramai. Paras rupa yang kacak menjadi satu lagi bonus untuk Dazrin melebarkan karier lakonannya. Bagaimanapun, adat bergelar anak seni semakin meningkat popular maka semakin banyak juga gosip dan cabarannya. Perkara itu turut berlaku ke atas pelakon kelahiran Melaka itu apabila dikatakan sudah mula bersikap sombong. Dazrin yang ditemui semasa majlis ulang tahun pertama saluran Astro Mustika HD di kompleks beli-belah AEON Bukit Tinggi, Klang, Selangor baru-baru ini mengakui dia juga ada terdengar dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu. "Memang ada yang menuduh saya seorang yang sombong, tetapi saya anggap tuduhan tersebut tidak berasas kerana dibuat oleh pihak yang tidak mengenali saya secara rapat. "Sudah tentu tidak adil kalau mereka membuat tuduhan yang melulu tanpa mengenali diri saya terlebih dahulu. Kalau sudah mula kenal dan rapat, barulah orang akan tahu sikap sebenar saya," ujar pelakon berusia 25 tahun itu. Mendedahkan dirinya sebagai seorang yang mudah mesra dan suka membuat lawak, Dazrin tidak menolak kemungkinan raut wajahnya yang adakalanya kelihatan serius telah menimbulkan salah faham segelintir pihak. Dazrin mengakui, terbit sedikit perasaan kesal terhadap cerita negatif itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya. Disebabkan itu, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam sebarang kisah kontroversi. "Sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, sudah tentu saya tidak mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang popular kerana kontroversi. "Lebih mengecewakan apabila cerita sebegini timbul ketika saya sudah dikenali ramai. Jadi saya berharap dakwaan terhadap diri saya itu akan berlalu begitu sahaja," ujarnya.
Menceritakan tentang karier lakonannya pula, Dazrin mengakui gembira apabila semakin banyak tawaran berlakon yang diperoleh selepas drama bersiri Adam dan Hawa. Ujarnya, sudah ada penerbit dan pengarah yang memberikan kepercayaan buat dirinya untuk memegang watak utama sama ada dalam drama bersiri atau telemovie. "Saya bersyukur dengan tawaran berlakon yang tidak putus-putus ini. Ia merupakan satu perkembangan yang positif dan membuatkan saya mahu bekerja dengan lebih keras lagi. "Namun begitu, dengan pencapaian yang diraih ini, ia tidak bermakna saya sudah boleh berpuas hati kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari dalam bidang lakonan," ujarnya yang turut popular menerusi drama Jodoh. Masih baik Selesai menjawab isu bersikap sombong, Dazrin kemudian ditebak pula dengan satu lagi kontroversi baharu. Dia dituduh sebagai individu yang mementingkan diri sendiri semasa bergandingan dengan seorang lelaki pelakon muda, Hairul Azreen dalam rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia. Walaupun berhasil muncul sebagai juara dan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM200,000, tetapi hubungan kedua-dua pelakon itu dikatakan mulai renggang selepas rancangan berkenaan berakhir. Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Dazrin meluahkan rasa hairannya. Ini kerana tiada sebarang masalah yang timbul antara mereka berdua, bahkan hubungan kedua-duanya masih lagi baik. "Sudah tentu saya agak pelik apabila ada yang mengatakan saya dan Hairul bermasam muka, sedangkan kami selalu lepak bersama-sama. Cuma, sejak kebelakangan ini kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk. "Apabila saya bertanyakan tentang cerita ini kepada Hairul, dia pun agak terkejut kerana sepanjang bergandingan bersama dalam rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia, hubungan kami sangat rapat seperti adik-beradik. Bahkan, itulah antara faktor kejayaan kami muncul juara," jelasnya. Bagaimanapun, Dazrin menjelaskan persepsi yang mengatakan dia mementingkan diri sendiri timbul dalam kalangan penonton yang menjadi pengikut setia rancangan realiti tersebut.
"Perlu diingat bahawa apa yang penonton saksikan itu sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan keadaan yang berlaku semasa pertandingan berlangsung memandangkan ia membabitkan banyak suntingan. "Mungkin ada sebahagian babak yang dipaparkan itu menunjukkan saya seolah-olah membuat lawak kepada Hairul, tetapi ia disalah anggap pula oleh segelintir penonton," jelasnya. Kongsi kejayaan Mengenai hadiah wang kemenangan sebanyak RM200,000 yang diraih setelah bergelar juara Fear Factor Selebriti Malaysia, Dazrin memberitahu dia sudah mempunyai perancangannya sendiri. Salah satu perancangan terdekatnya adalah untuk menganjurkan sebuah majlis kenduri kesyukuran yang disertai anak-anak yatim. "Dengan wang yang diperoleh itu sebahagiannya akan saya gunakan untuk berkongsi kejayaan yang diraih dengan golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim. "Cuma, sekarang ini saya masih lagi sedang mencari lokasi yang sesuai. Kalau mengikut perancangan mungkin saya akan adakannya ketika majlis berbuka puasa nanti," ujarnya. Ketika ditanya sama ada ia akan dilakukan bersama pasangannya dalam rancangan tersebut, Dazrin menyatakan ia merupakan anjurannya sendiri. Ini kerana Hairul akan menggunakan wang yang dimenangi itu untuk membawa ibu bapanya mengerjakan ibadah haji. | |||
| Posted: 05 Jun 2013 02:44 PM PDT Zali menunjukkan cicak berekor tiga yang ditemui di rumahnya dua minggu lalu. Zali Bahaman, 56, berkata, dia menemui cicak itu di ruang tamu rumahnya ketika sedang menonton televisyen. Menurutnya, keunikan pada haiwan itu disedarinya ketika ingin membuang cicak berkenaan. "Apabila diamati cicak ini memiliki lebih daripada satu ekor bukan seperti kebiasaan telah membantutkan hasrat untuk membuang haiwan berkenaan. "Saya meletakkannya diletakkan di dalam sebuah balang plastik kerana dia belum menemui bekas yang sesuai," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Zali berkata, seumur hidupnya, dia belum pernah melihat cicak yang memiliki tiga ekor seperti itu. Katanya, sejak haiwan berkenaan berada di bawah jagaan keluarganya, cicak berkenaan kelihatan normal seperti biasa dan keluarganya tidak mengalami sebarang kejadian pelik. "Cuma cicak ini sering mengeluarkan bunyian lebih nyaring pada waktu malam terutamanya jika ia terlihat cicak lain. "Atas nasihat seorang rakan, saya memberinya makan lalat dan air kopi manis. Memang pelik, namun itulah kesukaan haiwan berkenaan terutama minuman yang manis," katanya. Zali berkata, keunikan yang jarang ditemui itu telah mendorongnya untuk terus membela haiwan berkenaan. "Saya ada cerita tentang penemuan tersebut kepada rakan-rakan dan sejak itu rumah sering menjadi tumpuan ramai orang. "Mereka terlalu teruja untuk melihat keunikan ini meskipun ada seorang peniaga Cina menawarkan RM300 untuk membeli cicak ini," katanya. Beliau berkata, dia tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada pihak yang ingin menawarkan harga yang lumayan. "Cicak ini tidak akan dijual, namun kepada orang ramai yang ingin melihatnya sendiri bolehlah berkunjung ke rumah," katanya. | |||
| Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah Posted: 05 Jun 2013 02:39 PM PDT
ISRAK MIKRAJ merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam selain Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban dan Nuzul Quran yang diraikan saban tahun. Ia dianggap peristiwa agung yang dialami Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan. Ayat di atas merupakan firman Allah yang diturunkan bagi menolak kaum musyrikin yang mendustakan peristiwa Israk tatkala Nabi Muhammad SAW mengkhabarkannya kepada mereka mengenai perjalanannya dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa. Sementara Mikraj pula merangkumi perjalanan Rasulullah SAW yang naik ke langit dengan menunggang buraq sehingga sampai ke Sidratul Muntaha. Peristiwa penting Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, ada tiga perkara penting yang perlu diketahui dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Pertama tentang pengajaran yang boleh diambil melalui ajaran Nabi SAW tentang konsep kehidupan yang dilihat. "Contohnya, Baginda melihat seorang perempuan tua hodoh yang diibarat sebagai dunia yang sudah terlalu tua. Kemudian, pengajaran bagaimana Nabi dikejar oleh golongan jin Ifrit dan malaikat Jibril mengajar doa yang perlu dibaca untuk berlindung daripadanya. "Selain itu, apabila Nabi sampai di Masjid al-Aqsa, Baginda dihidangkan dengan dua pilihan minuman iaitu arak dan susu. Akhirnya Nabi memilih susu. "Begitu juga dengan solat yang disyariatkan semula kepada Rasulullah sedangkan ibadat solat ada dalam syariat nabi-nabi terdahulu. Semua itu merupakan pengajaran dan falsafah hidup yang Nabi ajarkan kepada seluruh umatnya," terang Muhammad ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Perkara kedua, ujar beliau, ialah ketika Nabi dibawa melawat syurga dan neraka. Ia adalah satu bentuk peringatan tentang nasib orang yang berbuat dosa dan mereka yang taat. ![]() KAWASAN di dalam Masjid as-Sakhra iaitu lokasi terletaknya batu tergantung dalam peristiwa Israk Mikraj. Tambahnya, perkara ketiga pula ialah peristiwa Israk Mikraj yang membuktikan kebenaran Islam itu sendiri sekali gus menunjukkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja hatta perkara yang disifatkan manusia sebagai mustahil. Sering berulang-alik ke bumi Palestin untuk membawa rombongan dari Malaysia dalam program Kembara Universiti Kehidupan Al-Aqsa, Muhammad memberitahu, kesan peninggalan daripada peristiwa Israk Mikraj memang berada dalam lingkungan kawasan Masjid al-Aqsa. "Antaranya ialah tempat tambatan buraq (haiq buraq), batu tergantung as-Sakhra dan kubah arwah iaitu tempat Nabi SAW solat dengan para nabi terdahulu. "Semua lokasi ini masih dipelihara dan dijaga dengan baik. Cuma, ia menjadi perebutan antara orang Islam dan Yahudi yang mendakwa di situ terletaknya Temple of Solomon. Tetapi hakikatnya, Masjid al-Aqsa ialah milik umat Islam yang dipenuhi pelbagai sejarah," tegas Muhammad. Bumi anbiya Sejak tahun 2009, Muhammad sudah membawa ratusan rakyat Malaysia mengunjungi bumi para anbiya itu. Setiap peserta yang mengikuti program tersebut akan dibawa ke tempat-tempat istimewa tersebut bagi menunjukkan kesan peninggalannya. "Selain bersolat di Masjid al-Aqsa, peserta turut diberi penerangan khusus mengenai setiap lokasi yang dilawati kerana setiap jengkal bumi Palestin ini dipenuhi sejarah," ujar beliau yang bertuah kerana mengetahui sejarah Palestin daripada Imam I Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusoff Abu Sunainah yang menjadi imam selama 27 tahun di sana. ![]() DI dinding inilah buraq iaitu kenderaan yang dinaiki Rasullulah ke langit ditambat. Sheikh Yusoff juga tidak keberatan memberi surat bertulis tangan yang melantik Muhammad sebagai Duta Perjalanan al-Aqsa sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Sementara itu, Zulkifli Zainudin, 49, yang baru pulang dari Palestin hujung Mei lalu, mengakui perasaannya seperti tidak percaya kerana berpeluang menjejaki bumi Baitulmuqaddis. "Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana dapat menunaikan solat di dalam Masjid al-Aqsa, salah satu daripada tiga masjid yang disunatkan oleh Rasulullah untuk menziarahinya. "Di sana, selain beribadat di masjid, program kami tertumpu pada ziarah dan tabarruk di makam-makam para Nabi dan auliya. "Kawasan sekitar peninggalan sejarah termasuk dalam peristiwa Israk Mikraj masih terjaga, namun kemampuan pihak berwajib agak terhad disebabkan kekangan sumber kewangan," kata beliau yang berkunjung ke Palestin bersama agensi pelancongan Sofa Travel di bawah bimbingan Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Ujar Zulkifli lagi, melalui program ziarah tersebut, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan dan keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah SWT. ![]() ZULKIFLI (kiri, baris tengah) menziarahi makam ulama dan para auliya di Palestin. Ziarah musafir "Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa yang berkait rapat dengan tauhid dan kepercayaan kita sebagai umat Islam. Justeru, dengan menjejaki semula kesan dan tapak peninggalan dalam peristiwa tersebut, kita dapat menambahkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW yang telah diangkat darjatnya ke peringkat tertinggi daripada sekalian makhluk-Nya," ungkap Zulkifli. Dalam pada itu, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 41, turut menyeru umat Islam yang berkemampuan agar melakukan ziarah bermusafir ke bumi Palestin. Beliau yang berada di sana pada Mei lalu mengakui rasa seronok dan dapat memahami apa yang berlaku dalam peristiwa Israk Mikraj dengan lebih mendalam. "Sebelum ini, kita sering dimomokkan dengan berita kekacauan dan huru-hara yang berlaku di Palestin sehingga umat Islam di seluruh dunia dilarang menziarahi Masjid al-Aqsa atas faktor keselamatan. "Memang benar ada kawalan ketat daripada tentera Israel, tetapi masih ada ruang untuk kita beribadat di sana. Yakinlah bahawa Allah akan menjaga kita jika niat kita adalah untuk beribadah di sana," kata Sheikh Muszaphar yang pergi ke Palestin bersama rombongan Program Angkasawan Malaysia kendaliannya. Beliau turut membawa isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 32, serta dua anaknya, Sophea Isabella, 2, dan Sophea Natasya, empat bulan. | |||
| Posted: 05 Jun 2013 02:36 PM PDT ![]() BAGI menyara kehidupan, warga emas di Mon mengharapkan kiriman wang daripada anak-anak yang bekerja di Thailand. KEKANGAN ekonomi menyebabkan hampir semua generasi muda di Mon, sebuah negeri di tenggara Myanmar terpaksa berhijrah mencari rezeki di luar negara. Ia menyebabkan hanya golongan tua menjadi penghuni Mon sehingga ia sinonim dengan panggilan Tanah Warga Emas. Ia merupakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai konflik dan masalah ekonomi. Dengan penubuhan kerajaan baharu, harapan pembangunan sedikit sebanyak mula berputik di Mon. Penduduk tempatan di Ywarthit memberitahu, isi rumah Mon kehilangan hampir 70 peratus golongan muda hinggakan yang tinggal kini hanyalah kanan-kanak dan orang tua. Kebanyakan remaja meninggalkan negeri itu selepas mereka tamat persekolahan. Mereka menyeberangi sempadan Thailand untuk mencari pekerjaan di kilang-kilang atau sebagai pembantu rumah di Thailand. "Hanya golongan ibu, datuk dan nenek menetap Mon yang menjaga anak dan cucu mereka tinggal di sini," ujar Nyein Tin. Kemiskinan Nyein Tin mempunyai lima orang anak tetapi kesemuanya bekerja di Thailand. Menurutnya, dia hanya bergantung kepada wang yang dikirim oleh anak-anaknya itu untuk menjaga lima orang cucu. "Bagaimana saya hendak meneruskan hidup sekiranya mereka tidak mengirimkan wang?" soalnya yang kini berusia 60 tahun. Kajian HelpAge International baru- baru ini mendapati, kira-kira satu perempat daripada isi rumah di Mon dihuni oleh datuk, nenek dan cucu. ![]() MON berdepan pelbagai konflik selain bergelut dengan masalah ekonomi. Kerajaan separa awam yang telah mengambil tampuk pemerintahan pada awal 2011 kemudian mengadakan gencatan senjata dengan puak pemberontak dari Mon dan negeri jiran, Karen tahun lalu. Ketika berada di bawah pemerintahan majlis itu, Myanmar merupakan salah sebuah negara termiskin di rantau Asia. Justeru, tarikan kewangan di negara asing merupakan salah satu faktor menarik golongan belia bekerja di luar negara. Menurut aktivis hak asasi pendatang asing, Andy Hall, Thailand kini mempunyai hampir 1.7 juta pekerja yang berdaftar dari Myanmar manakala lebih sejuta lagi dikatakan tidak berdaftar. Pendapatan lebih tinggi Thailand memerlukan pekerja bergaji rendah untuk meningkatkan sektor pembinaan, pemprosesan makanan dan industri perikanan. Namun, menurut Hall, pendatang asing dari Myanmar terdedah kepada penderaan dan diskriminasi. "Mereka mahu pulang ke tanah air tetapi perbezaan pendapatan yang tinggi membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat itu," ujarnya yang membuat anggaran keseluruhan pekerja asing yang mengirim wang kepada keluarga di Myanmar adalah berjumlah AS$300 juta (RM915 juta) hingga AS$2 bilion (RM6.1 bilion) setahun. ![]() PEPERANGAN menyebabkan rakyat Mon hidup dalam keadaan kemiskinan. Tambahnya lagi, mereka dapat menikmati pendapatan sebanyak AS$200 (RM610) sebulan atau lebih di Thailand. Terguris hati Kyaw Thu Ya dan isterinya, Hay Mar bekerja di kilang memproses udang di Mahachai, Thailand. Di kilang itulah dua pekerja asing yang berasal dari Mawlamyine, ibu negeri Mon iaitu berkenalan. Kawasan kilang tersebut merupakan tempat tinggal dan sumber mencari rezeki bagi ribuan warga Myanmar. "Hati saya terguris apabila melihat negara sendiri tidak seperti negara lain. Saya amat rindukan keluarga di kampung," keluh Thu Ya. Jelasnya lagi, keluarganya di Myanmar merupakan petani miskin yang menjalankan kerja-kerja pertanian di sawah padi. Thu Ya dan isterinya tinggal di bilik sempit bersama rakan-rakan senegaranya kerana tiada pilihan lain. "Di sini, kami mempunyai pekerjaan. Prasarana seperti jalan raya dan elektrik amat baik. Di Mon, kami tidak mampu membeli televisyen atau komputer. Ia merupakan satu perubahan besar," katanya. Dalam kunjungan aktivis demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi ke Thailand tahun lalu, beliau berharap pekerja asing di Mahachai pulang ke tanah air. Menurut sebuah akhbar tempatan, Than Lwin Times, kebanyakan golongan belia bekerja sebagai buruh di Mon hanya mendapat bayaran AS$3 (RM9) sehari. "Jumlah itu tidak cukup untuk kehidupan mereka dan itu merupakan faktor utama mereka ke luar negara. Disebabkan itulah, Mon itu hanya dihuni oleh warga emas," ujarnya. | |||
| Posted: 05 Jun 2013 02:35 PM PDT
MUHD. AZHARI HUJLI menghidap sakit jantung berlubang sejak dilahirkan. Disebabkan itu, Muhd. Azhari yang berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan laser untuk merawat penyakitnya. Menurut ibunya, Aznita Arbain, 43, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu terpaksa menjalani pembedahan selain bergantung kepada ubat-ubatan. Begitupun, akui Aznita, rawatan tersebut bukanlah membebaskan Muhd. Azhari 100 peratus daripada penyakit tersebut kerana Muhd. Azhari perlu mematuhi beberapa pantang larang bagi mengelakkan dia jatuh sakit. Salah satu daripada pantang larang itu ialah dia tidak boleh terdedah kepada habuk. "Habuk akan menyebabkan anak saya demam, selesema dan muntah. Jadi, saya tidak punya pilihan lain daripada memastikan pada kebanyakan masa Muhd. Azhari mengenakan penutup hidung bagi menapis habuk masuk ke saluran pernafasannya," luah Aznita ketika ditemui di Ampang, Selangor baru-baru ini. Namun, akui Aznita, pemakaian penutup hidung konvensional yang besar pada kebanyakan masa menyebabkan anaknya itu kurang selesa. "Biasalah kanak-kanak, bila mengenakan penutup hidung biasa itu mereka malu sebab kelihatan janggal. Jadi, akhirnya mereka enggan memakainya," ujarnya. Namun, sejak sebulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan mengenai penutup hidung yang dikenali sebagai Nosk, Aznita sudah boleh tersenyum lega. Penutup hidung Nosk yang diimport dari Korea Selatan itu sememangnya mudah dipakai, malah saiznya yang kecil menyebabkan orang ramai tidak dapat melihatnya. "Sejak sebulan Muhd. Azhari memakainya, dia tidak lagi menghidap selesema. Jadi, dia akan memakai penutup hidung itu apabila keluar dari rumah sahaja," ujarnya lagi. Pingat emas Aznita mengakui pihak Institut Jantung Negara (IJN) juga mengesyorkan pemakaian penutup hidung tersebut. Dihasilkan oleh syarikat Samjoung dari Korea, inovasi tersebut menerima pingat emas sempena majlis Ciptaan Idea Pintar pada tahun 2009 di Thailand apabila ia diiktiraf sebagai penutup hidung yang terkecil di dunia.
Sebelum ini, syarikat itu menceburi perusahaan pengeluaran pakaian, namun mengambil inisiatif untuk menjadi sebuah syarikat kreatif, sekali gus berjaya mengeluarkan produk mesra alam, Nosk. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Joung berkata, pihaknya telah menjalankan kajian selama enam tahun sebelum mula memasarkan Nosk. Kajian berkenaan merangkumi pembuatan, reka bentuk, kesan kepada pengguna dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan. "Selain pengeluaran Nosk, kami bercadang membangunkan produk-produk dasar laut untuk memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pengguna," ujarnya. Selain Muhd. Azhari, seorang suri rumah, Nitawati Okili Latif, 40, turut menggunakan penutup hidung itu. "Saya memakainya apabila melakukan kerja-kerja rumah dan membeli-belah. Saya berasa selesa sepanjang masa memakainya berbanding penutup hidung bersaiz besar yang menyebabkan muka berpeluh dengan mudah. "Lagipun, apabila kita memakai penutup hidung yang besar, menyebabkan orang ramai menganggap kita mempunyai penyakit kronik," katanya sambil berseloroh. Seorang penjual Nosk, Nora Ana Othman, 33, berkata, beliau telah mempamerkan produk itu pada pameran Windows to World yang diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ramai pengunjung menunjukkan minat untuk membeli produk itu kerana saiznya yang lebih kecil. Malah, ada segelintir pengunjung yang berasa pelik dengan produk terbaharu tersebut. "Apabila dimaklumkan ia merupakan salah satu jenis penutup hidung, ramai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai cara-cara penggunaan produk itu," katanya. Penggunaan Menyentuh mengenai penggunaan penutup hidung itu, beliau memberitahu, pengguna hanya perlu memasukkan bahagian seumpama penapis lembut ke dalam kedua-dua belah lubang hidung. Biarpun, pada mulanya berasa janggal, namun lama-kelamaan pemakainya akan berasa selesa. "Ia dibekalkan dalam dua unit berserta satu bekas simpanan yang kecil dan boleh dipakai sehingga lapan jam sebelum dibasuh," jelasnya sambil memberitahu ia boleh dibasuh dengan menggunakan air bersih atau sabun. Bagaimanapun, had maksimum membasuh penapis itu ialah lapan hingga 16 kali, namun ia bergantung kepada keadaan. Melihat kepada saiz, Nora berkata, individu yang memakai penutup itu juga mudah makan dan minum. "Jika menggunakan penutup hidung besar, seseorang itu kesukaran untuk berkomunikasi selain terpaksa menghidu bau busuk mulut yang terperangkap dalam penutup hidung yang besar," jelasnya. ![]() PENUTUP hidung besar yang menutup sebahagian muka menyebabkan seseorang itu sukar berkomunikasi dan mudah berpeluh. - Gambar hiasan Bagi pengedar sah Nosk di Malaysia, Mohd. Zaini Yunus berkata, penutup hidung itu sesuai digunakan untuk golongan yang mengalami alahan pernafasan, pelancong, pekerja kilang, pengguna kenderaan dan pekerja binaan. Menurutnya, Nosk juga sesuai digunakan oleh jemaah haji dan umrah kerana keadaan cuaca serta suasana berdebu di lokasi ibadah itu yang tidak dapat dijangkakan. Selain itu, ia juga mengelakkan para jemaah dikenakan dam kerana menutup muka ketika berihram. Secara meluas Mengikut rekod sejak bulan Februari hingga Oktober tahun lalu, seramai 30,000 jemaah haji dan umrah telah menggunakan penapis hidung itu. "Lagipun, kami memperkenalkan Nosk secara meluas setelah mendapat maklum balas yang menyatakan jemaah haji dan umrah sering kali mengalami batuk dan selesema," katanya. Kebanyakan jemaah haji dan umrah enggan memakai penutup hidung dan muka kerana berasa tidak selesa berikutan saiz topeng yang lebar dan besar. Ekoran ketidakselesaan itu, segelintir jemaah lebih gemar meletakkan penutup hidung di bawah dagu dan menggunakannya jika perlu sahaja. "Oleh itu, sejak mengetahui Korea mengeksport produk terbaharu tersebut, kami memohon menjadi pengedar," katanya. Di samping itu, ia diperbuat daripada gred plastik C-Flex yang membolehkan seseorang individu itu bernafas secara semula jadi manakala penapis yang terletak di setiap unit hidung pula diperbuat daripada selulosa poliester. Produk itu mempunyai ukuran diameter 1.4 sentimeter (sm) dan panjang 2.5 sm, sekali gus menjadikannya antara penutup hidung terkecil di dunia. Sehubungan itu, alat berkenaan mempunyai keupayaan menapis 100 peratus bendasing sekecil satu mikron dan 80 peratus bagi bendasing sekecil 0.2 mikron daripada disedut melalui hidung. Harga sepasang penutup hidung mini Nosk ialah RM19.95 di Semenanjung manakala RM21.95 di Sabah dan Sarawak. | |||
| Posted: 05 Jun 2013 02:32 PM PDT ![]() KEHADIRAN burung undan semakin banyak di Teluk Havana kerana laut di kawasan itu semakin bersih. KEHADIRAN burung undan yang banyak serta pelbagai spesies ikan di Pelabuhan Havana, Cuba bagaikan memberi satu perkhabaran gembira buat pencinta alam negara itu. "Ia hilang sejak sekian lama tetapi selepas pihak berkuasa mengambil langkah menjalankan kerja-kerja pembersihan di lautan, haiwan-haiwan tersebut kembali semula terutamanya burung undan," kata seorang nelayan, Eduardo Lozano, 56. Berdasarkan kehadiran semakin banyak burung undan serta hidupan marin di Teluk Havana, pakar-pakar maritim di Cuba mengakui pencemaran laut yang berlaku sejak 10 tahun lalu berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus. Kebersihan laut itu menyebabkan ikan, burung undan dan spesies hidupan marin yang lain kembali semula di teluk berkenaan. Menurut akhbar Trabajadores Cuba, program pembersihan itu dijalankan pada tahun 1998 membabitkan kumpulan kerja yang dikenali sebagai GTE-BH. Tenaga pekerja berkenaan mengesan 100 punca yang menyebabkan pencemaran di teluk itu antaranya pembuangan sampah secara domestik, tumpahan minyak, sisa kilang, kumbahan dan banyak lagi. Akhbar sama juga melaporkan, pada tahun lalu pembuangan sampah sarap menurun sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2011. "Pada hari ini, menyeberangi Teluk Havana dengan menaiki feri ke Regla yang terletak di selatan teluk sememangnya menyeronokkan berbanding beberapa tahun lalu kerana terpaksa menahan bau busuk," kata akhbar berkenaan. Sementara itu, seorang pemancing, Manuel George, 45, berkata, suatu ketika dahulu dia tidak pernah terlintas untuk memancing di Teluk Havana. "Sebelum ini, Teluk Havana bagaikan tiada hidupan kerana dicemari petroleum dan juga najis dari sungai-sungai berdekatan," ujarnya. Kesemua sisa pencemaran akan melalui Teluk Havana menyebabkan teluk berkenaan dikenali sebagai kubu El Morro dan La Cabana. ![]() KAKI-KAKI pemancing kini dapat menangkap pelbagai spesies ikan di kawasan itu. Destinasi pelancongan Namun, akuinya, hari ini ia sudah sedikit berubah. "Airnya sudah tidak segelap dahulu dan kami sudah berani memancing di Teluk Havana. Kami biasanya tidak pulang dengan tangan kosong malah membawa tangkapan pelbagai jenis ikan," katanya. Namun, Manuel masih berharap pihak berkuasa lebih tegas dalam hal penguatkuasaan kerana masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan ke teluk berkenaan. Dalam pada itu, salah satu lagi usaha kerajaan Cuba sebagai dalam mengindahkan dan memulihara Teluk Cuba, pelabuhan yang terletak di Havana akan dipindahkan ke lokasi baharu di barat Havana. Projek tersebut dibiayai oleh Odebrecht, konglomerat Brazil dalam bidang pembinaan, petroleum dan bahan kimia. Bagaimanapun, pembinaan pelabuhan terbaharu itu bertujuan untuk membersihkan pelabuhan tersebut daripada kapal-kapal tangki yang usang. Masih banyak kapal yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk membersihkannya. Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan kerana pelabuhan lama berkenaan akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Jadi, pengunjung boleh mengunjungi tapak bersejarah itu tidak lama lagi. Selain pelabuhan, kerja-kerja pemulihan juga dilakukan terhadap bangunan lama Jabatan Kastam. Kerja-kerja pengubahsuaian dan pembersihan sedang giat dijalankan bahkan, projek zon pejalan kaki juga akan dijalankan tidak lama lagi. Laluan pejalan kaki itu dibina untuk memudahkan pengunjung dan pelancong memasuki bangunan lama itu. | |||
| Posted: 05 Jun 2013 02:29 PM PDT
LAYAR perak pada minggu ini menyaksikan sebuah filem arahan Ahmad Idham yang penuh aksi. Mengangkat isu pemerdagangan manusia, Lari dibarisi pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erry Putra, Erin Malek dan Hazama Azmi. Sementara itu, bagi anda yang gemarkan filem komedi seram, jangan lupa menonton filem Thailand, Pee Mak. Ia menceritakan tentang seorang lelaki yang tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya dalam sebuah peperangan. Pee Mak menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Mario Maurer, Davika Hoorne, Nattapong Chadpong, Wiwat Kongrasri, Kantapat Seeda dan Pongsatorn Jongwilak. Sebuah lagi filem pecah panggung minggu ini ialah After Earth arahan M. Night Shyamalan. Kolaborasi Will Smith dan anaknya Jaden Smith sudah tentunya dinantikan ramai. Ikuti pengembaraan After Earth yang menceritakan mengenai kehidupan dua beranak yang terkandas di Bumi yang sebelum ini ditinggalkan manusia. ![]() AARON sekali lagi mendapat perhatian sebagai hero yang menghiasi layar perak minggu ini. Lari Tarikh tayangan: 6 Jun 2013 Genre: Aksi Durasi: 1 jam 22 minit Pengarah: Ahmad Idham Pelakon: Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erin Malek dan Hazama Azmi Sinopsis: Filem arahan Ahmad Idham ini mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda bernama Khalif lakonan Aaron Aziz yang mengharungi liku-liku kehidupan selepas kematian bapanya. Dia juga mempunyai seorang adik perempuan yang terpisah sejak tujuh tahun lalu. Dalam masa yang sama, Khalif juga bercinta dengan Maya lakonan Dira Abu Zahar. Namun, dia terpaksa melupakan hasrat untuk menyunting gadis itu akibat tentangan daripada keluarga Maya. Adik Khalif rupa-rupanya hilang akibat menjadi mangsa sindiket perdagangan wanita. Mampukah Khalif membebaskan adik dan juga menyatukan cinta hatinya dengan Maya? Lari ada jawapannya. ![]() MAK tidak dapat menerima kematian isteri dan anaknya. Pee Mak Tarikh tayangan: 6 Jun 2013 Genre: Komedi dan seram Durasi: 1 jam 51 minit Pengarah: Banjong Pisanthanakun Pelakon: Mario Maurer, Davika Hoorne, Nattapong Chadpong, Wiwat Kongrasri, Kantapat Seeda dan Pongsatorn Jongwilak. Sinopsis: Filem Pee Mak berkisar tentang seorang lelaki, Mak, yang terpaksa meninggalkan isterinya kerana perlu pergi berperang. Mak turut ditemani empat rakannya dalam peperangan itu. Tidak lama selepas pemergian Mak, isterinya meninggal dunia ketika mahu melahirkan anak sulung mereka. Anak tersebut juga meninggal dunia. Mak pulang ke kampung dengan teruja apabila tamatnya perang untuk bertemu dengan isteri kesayangan. Namun, kepulangan Mak disambut berita duka. Bukan sahaja Mak kematian isteri dan anaknya, bahkan kedua-duanya dikatakan menjadi hantu. After Earth Tarikh tayangan: 6 Jun 2013 Genre: Sains fiksyen Durasi: 1 jam 35 minit Pengarah: M. Night Shyamalan Pelakon: Jaden Smith, Will Smith, Isabelle Fuhrman, Sophie Okonedo dan Zoe Kravitz. Sinopsis: After Earth mengisahkan mengenai Kitai Raige (Jaden Smith) dan ayahnya, Cypher (Will Smith) yang terkandas di Bumi 1,000 tahun selepas bencana di planet itu. Kapal angkasa mereka terhempas ke Bumi sehingga mengorbankan penumpang lain. Kitai mencari bantuan dengan mengembara merentasi kawasan yang belum diterokai akibat kecederaan parah Cypher. Namun, Kitai tidak mengetahui selepas 1,000 tahun manusia meninggalkan Bumi, planet itu kini dihuni pelbagai spesies flora dan fauna berbahaya. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

















0 ulasan:
Catat Ulasan