RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Azwan Kombos Sahkan Ikuti Kursus Kahwin Bersama Nad Zainal

Posted: 03 Mar 2014 07:16 PM PST


Nad Zainal dan Awan ketika menghadiri kursus asas perkahwinan Sabtu dan Ahad lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos, 29, mengesahkan telah menghadiri kursus asas perkahwinan bersama kekasihnya aktres Nad Zainal, 24, pada Sabtu dan Ahad lalu.
Bagaimanapun, Azwan menafikan akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
"Ya, kami ada menghadiri kursus kahwin pada minggu lalu di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail, Namun tiada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.
"Bagi saya ambil kursus perkahwinan ini macam ambil lesen, kita boleh ambil bila-bila walaupun belum ada tarikh atau perancangan sekalipun, " katanya kepada mStar Online,di sini, Isnin.
Azwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gambar-gambarnya bersama Nad Zainal ketika menghadiri kursus kahwin yang tersebar di Internet.
Sementara itu, Azwan berkata, mereka merancang untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua tahun lagi.
"Buat masa ini kami ingin fokus dalam kerjaya dan kumpul duit terlebih dahulu.
"Insya-Allah kalau tak ada halangan dalam masa dua tahun lagi (akan kahwin). Jodoh Allah yang tentukan, kalau boleh saya pun ingin perkara ini berlaku lebih awal," katanya.

Jadi Mangsa Kutuk, Hubungan Adira & Shahrul Disangka Putus

Posted: 03 Mar 2014 07:15 PM PST


Adira
KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira menafikan dia sudah memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya yang merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M), Shahrul Nasrun Kamarudin.
Khabar angin itu muncul selepas Adira membuang kesemua gambar-gambarnya bersama Shahrul, 28, di Instagram miliknya beberapa minggu lalu.
Adira, 24, berkata, dia masih lagi berkawan baik dengan lelaki tersebut dan mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mendedahkan kisah cintanya itu di laman sosial berkenaan.
"Sebelum ini saya dedahkan gambar saya dan Shahrul di Instagram kerana mahu berkongsi aktiviti kami.
"Tetapi apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan memberi komen negatif selain menggunakan gambar kami atas tujuan untuk mengutuk, saya mengambil keputusan untuk tidak memuat naik gambar kami lagi," katanya.
Adira ditemui pada majlis sidang media Minggu Setiausaha, A Golden Moment With Hafizdi restoran Serai, Lige Centre di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, khabar angin turut mengatakan Adira membuang gambar-gambar kekasihnya di Instagram selepas gosip lelaki itu dikatakan menjalinkan hubungan dengan aktres Lana Nordin tersebar.
Bagaimanapun Adira menafikan dakwaan itu dan menganggap ia sekadar gosip kosong yang tidak akan merubah perasaan cintanya terhadap Shahrul.
"Memandangkan Shahrul tidak biasa dengan gosip-gosip seperti ini, dia terkejut. Kasihan juga dekat dia dan Lana yang menjadi mangsa gosip. Yang penting saya percayakan dia," tuturnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adira bakal terlibat sebagai artis jemputan pada Minggu Setiausaha berkenaan bersama Hafiz Suip.
Dia juga bakal muncul dengan sebuah album terbaharu salam masa terdekat ini.

Sikap Mudah Percaya Punca Hafiz Suip Mangsa Penipu

Posted: 03 Mar 2014 07:15 PM PST


Hafiz Suip
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip menjelaskan, sikapnya yang mudah mempercayai orang antara penyebab dia senang menjadi mangsa penipuan.
Enggan mendedahkan secara terperinci mengenai perkara yang berlaku itu, Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, keadaan itu membuatkan dia terpaksa lebih berhati-hati pada masa depan.
"Dari dulu lagi saya seorang yang tidak berkira, jujur dan mudah mempercayai orang. Apabila terjumpa dengan individu yang salah, saya pula ditipu ketika menjalani sebuah urusan yang melibatkan jual beli.
"Dan ini merupakan kejadian yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila," katanya kepada mStar Online.
Hafiz ditemui pada majlis sidang media Minggu Setiausaha, A Golden Moment With Hafizdi restoran Serai, Life Centre di sini pada Isnin.
Sebelum ini Hafiz mendedahkan dia pernah tiga kali menjadi mangsa penipuan kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan pengubahsuaian rumah ibu bapanya di Kuching, Sarawak.
Tambah Hafiz, sehingga kini dia masih risau akan jika ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadapnya.
Sementara itu, A Golden Moment With Hafiz anjuran COOP Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd, bakal diadakan di dewan megah Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Jalan Duta di sini pada 22 April depan.
Hafiz berkata, ia merupakan penglibatan pertamanya dalam Minggu Setiausaha dan berasa berdebar untuk menjayakan persembahan tersebut.
"Apabila bercakap mengenai Minggu Setiausaha, biasanya ia hanya melibatkan artis-artis gred A dan bertaraf penghibur, sedangkan saya masih baru dalam arena seni suara.
"Harus saya akui, gementar untuk menjayakan acara ini namun kepercayaan yang diberikan penganjur memberi keyakinan untuk saya mencuba. Saya akan belajar skil berkomunikasi dengan penonton di YouTube sebagai persediaan tambahan," ujarnya.
Pada persembahan itu nanti, Hafiz turut bersama rakan seangkatan iaitu Adira.
Selain itu, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki pula akan bertindak sebagai pengacara majlis berkenaan.
Tiket berharga RM780 (Platinum), RM680 (Emas) dan RM580 (Perak) boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-29005526, Azizah (012-2013501, Yusri (019-2513575) dan Ariff (016-4458748).

Wardina Jadi Duta Tilam, Bawa Diri Ke Australia

Posted: 03 Mar 2014 07:14 PM PST


Wardina Safiyyah
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah menganggap keputusannya untuk menyambung pelajaran dan berhijrah ke Brisbane, Australia pada Jun ini sebagai langkah memulakan hidup baharu bersama keluarganya.
Wardina Safiyyah atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, berkata keputusan nekad itu adalah bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan pelajaran tanpa sebarang gangguan.
"Saya ingin berehat daripada kehidupan di sini yang terlalu banyak aktiviti, setiap minggu ada sahaja jemputan menghadiri majlis yang tidak mampu untuk ditolak, perkara sebegitu membuatkan masa bersama keluarga dan pelajaran terjejas.
"Insya-Allah, di sana saya boleh fokus sepenuhnya kepada pelajaran dan berharap dapat menyambung ke peringkat lebih tinggi lagi," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis memperkenalkan duta baharu tilam jenama 'Good Nite', di Hotel Westin, di sini, Isnin.
Wardina akan melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti di Australia pada Jun ini.
Tambahnya, dia dan anak-anak akan berpindah terlebih dahulu sebelum suami, Ikhwan Johari, 38, yang masih mempunyai komitmen terhadap pekerjaannya.
Ibu kepada Amna Nafeesa, 10, Azra Fareera, 7, dan Imran Ar-Razi, 5, ini berkata, anak-anaknya akan dimasukkan sekolah aliran agama Islam di negara itu.
"Alhamdulillah, ayah dan adik saya yang bekerja sebagai doktor di sana akan bantu urusan persekolahan anak-anak saya nanti," katanya.
Sementara itu, Wardina yang dilantik sebagai duta baharu tilam jenama Good Nitememberitahu ia adalah salah satu rezeki untuk meringankan beban kos pelajarannya di negara berkenaan.
Sebelum menerima tawaran tersebut, dia meletakkan beberapa syarat kepada syarikat terbabit bersesuaian dengan imejnya seorang wanita berhijab.
"Saya pun pelik kenapa mereka mahu saya jadi duta kerana saya sudah lama tiada dalam industri seni ini.
"Saya sudah beritahu mereka bahawa saya tidak boleh bergambar dengan aksi yang menjolok mata dan berpakaian ketat seperti model tilam lain, namun mereka setuju dengan syarat tersebut," katanya.
Dalam pada itu, tambah Wardina, penghijrahannya ke Australia juga tidak menjadi masalah untuk dia mempromosikan jenama tilam berkenaan.

Qi tak kisah Nelydia , Sharnaaz bergandingan

Posted: 03 Mar 2014 07:06 PM PST

HUBUNGAN Qi dan Nelydia diuji apabila Sharnaaz dikatakan sebagai orang ketiga dalam hubungan cinta mereka itu.


STATUS hubungan cinta dua pelakon popular, Nelydia Senrose dan Qi Razali menimbulkan tanda tanya apabila Nelydia memadamkan gambar-gambar kekasihnya itu di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
Padahal gambar pelakon gandingannya dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Sharnaaz Ahmad lebih banyak kelihatan. Sebelum ini juga pernah timbul gosip yang kononnya Nelydia dan Sharnaaz menyimpan perasaan selepas empat bulan bekerjasama untuk drama tersebut.
Menurut kenyataan Nelydia dalam sebuah akhbar sebelum ini, hubungan mereka tidak ada sebarang masalah dan masih baik seperti biasa. Bahkan dia memberitahu, masih terdapat gambar Qi dalam akaun Instagramnya.
Nelydia bagaimanapun enggan memberi komen yang lebih lanjut berkenaan tindakannya memadamkan gambar mesranya bersama Qi kerana bimbang akan mengeruhkan lagi keadaan.
Bercakap tentang Sharnaaz, jelasnya, dia hanya menganggap lelaki itu seperti abangnya sahaja dan bersyukur kerana kekasihnya, Qi cukup memahami kerjayanya sebagai pelakon.
Apabila diajukan soalan tentang tindakan kekasihnya memadamkan gambarnya di Instagram, Qi Razali, 37, yang ditemui ketika pelancaran program Kokolog di Sri Pentas, Damansara, Selangor itu tidak melatah, sebaliknya menjawab soalan demi soalan tentang hubungan mereka dengan hati yang terbuka.
Akui Qi, hubungan mereka pernah dilanda badai sebelum ini semuanya gara-gara cemburu kekasihnya itu digandingkan dengan Sharnaaz.
Bagaimanapun, semuanya kembali pulih dan hubungan cinta mereka semakin utuh.
Ikuti temu bual Qi bersama Kosmo!.
Kosmo!: Apakah status sebenar hubungan cinta Qi dan Nelydia sekarang ini?
Qi: Status masih sama, tidak berubah. Dia masih kekasih saya.
Adakah kalian bergaduh, menyebabkan Nelydia memadam gambar-gambar Qi daripada akaun Instagram Nelydia?
Dia ada sebab tersendiri. Memadamkan gambar dalam akaun laman sosial tidak bermakna hubungan kami bermasalah. Dia mengambil tindakan itu kerana ada peminatnya yang mengutuk saya dalam gambar yang dimuat naik itu, jadi untuk menjaga hati saya, dia padamkan terus gambar itu.
Bagaimanakah boleh Qi tafsirkan tentang hubungan kalian sekarang ini?
Alhamdulillah, semuanya baik. Sebelum ini saya mengaku pernah meluahkan emosi dan rasa cemburu secara membuta tuli. Ia berlaku kerana saya menghadapi kemalangan jalan raya dan emosi saya tidak stabil waktu itu. Saya hormati Nelydia kerana dia cukup kuat hadapi dugaan dalam hubungan kami.
Selepas apa yang berlaku, adakah Qi meletakkan sebarang syarat buat Nelydia untuk berlakon?
Saya tidak pernah mengongkong dia terutama perkara yang berkaitan dengan kerjayanya. Sebagai kekasih saya akui kadangkala memang timbul rasa cemburu tetapi bila saya fikir balik, buat apa saya halang bakat dan impiannya.
Dia masih muda, baru 20 tahun, banyak lagi impian dan pengalaman yang harus dilaluinya sendiri. Selepas fikir begitu, senang untuk saya bunuh perasaan cemburu itu.
Apakah yang ingin Qi lihat pada kerjaya Nelydia?
Secara jujur saya ingin melihat dia genggam anugerah kerana bagi saya dia seorang pelakon yang cukup hebat. Setiap kali dia bergandingan dengan mana-mana pelakon lelaki dalam drama, pasti peminat mahu lihat mereka bersama di luar set penggambaran. Keserasian yang diciptakan oleh Nelydia kelihatan benar.
Adakah Qi membenarkan andai selepas ini, Nelydia ditawarkan berlakon bersama Sharnaaz sekali lagi?
Jika itu sudah rezekinya, saya tidak kisah. Saya dan Sharnaaz juga tidak ada sebarang masalah walaupun kami tidak pernah berlakon bersama. Bagi saya, apabila tiba soal kerjaya, harus profesional tidak kira dengan siapa kita bergandingan.
Sudahkah Qi terfikir untuk berkahwin dengannya?
Ya, fikir dan berbincang (kahwin) itu memang ada. Setiap hubungan hala tujunya pasti ke arah perkahwinan. Bagaimanapun, dia masih muda dan sibuk dengan kerjaya. Mungkin lagi setahun baru kami akan berkahwin. Kalau boleh selepas risik, saya tidak mahu bertunang lama, kalau boleh terus kahwin lagi bagus.


Penangan kahwin campur The Journey

Posted: 03 Mar 2014 07:05 PM PST

PERTEMBUNGAN budaya antara elemen dan segar dan menarik yang dipaparkan menerusi filem The Journey.


KEDUDUKAN filem KL Gangster sebagai filem Malaysia terlaris dengan kutipan tiket sebanyak RM11.74 juta pada tahun 2011 telah berjaya dipintas oleh sebuah filem Cina tempatan berjudul The Journey.
Sejak ditayangkan pada 30 Januari lalu, filem terbitan Woohoo Pictures, arahan Chiu Keng Guan itu mencatatkan kutipan sebanyak RM13.5 juta sehingga 26 Februari lalu.
Penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya langsung tidak menyangka filem yang bertemakan kekeluargaan serta paparan budaya dan gaya hidup masyarakat Cina itu mampu menarik minat ramai penonton ke pawagam.
"Perasaan kami sudah tentu sangat terharu berdasarkan sambutan yang sangat luar biasa ini. Ia merupakan suatu kejutan apabila The Journey menjadi filem tempatan paling laris sekarang ini.
"Secara jujurnya, kami tidak pernah menjangka filem ini akan mencatatkan kutipan sebegini banyak. Kami amat berterima kasih kepada mereka yang banyak memberikan sokongan terhadap filem ini," ujarnya ketika ditemui semasa majlis previu khas filem berkenaan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut Gayatri, selepas filem berkenaan melepasi tempoh Skim Wajib Tayang selama dua minggu, ia masih terus ditayangkan di pawagam dan merasakan tidak mustahil ia mampu mencatat kutipan mencecah RM14 juta.
The Journey mengisahkan tentang Chuan (Lee Sai Peng), seorang bapa yang sangat konservatif dan mementingkan adat agak berat hati dalam membenarkan anak perempuannya, Ah Bee (Joanne Yew) berkahwin dengan lelaki bangsa asing bernama Benji (Ben Andrew Pfeiffer).
Biarpun filem berkenaan menampilkan pelakon baharu sebagai teraju utama, ujar Gayatri, ia bukan suatu halangan untuk menarik minat penonton memandangkan garapan jalan ceritanya yang begitu baik dan menghiburkan.
Tambahnya, dengan menerapkan elemen konsep kekeluargaan, kasih sayang, persahabatan dan budaya, The Journey dilihat sebagai sebuah filem yang sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
"Itu merupakan salah satu faktor kekuatan filem ini sehingga menjadi tarikan yang luar biasa kepada penonton," jelasnya.
Gayatri berkata, berdasarkan kejayaan yang diraih itu, pihaknya juga sudah merancang untuk memasarkan The Journey di beberapa buah negara.
Bermula dengan tayangan di Singapura pada bulan ini, filem berkenaan seterusnya akan ditonton oleh penonton di Taiwan.
Malah, sudah ada permintaan daripada pengedar di Amerika Syarikat untuk tayangan di negara berkenaan.
"Kami juga sudah merancang untuk menghantar filem ini menyertai Festival Filem Antarabangsa Hong Kong yang akan berlangsung pada 24 Mac ini," ujarnya.
Puas hati
Selain Gayatri, pengarah filem The Journey iaitu Chiu Keng Guan juga meluahkan rasa terkejutnya terhadap sambutan yang diterima daripada penonton.
Ujarnya, dia berpuas hati apabila segala usaha keras kru produksi yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang pembikinan filem berkenaan selama tiga bulan telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
"Bukan mudah untuk menghasilkan filem ini kerana banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, misalnya babak yang membabitkan belon udara.
"Mungkin ramai yang tidak tahu, belon udara tersebut dihasilkan oleh kami sendiri dengan bantuan orang ramai.
"Selain itu, para pelakon yang membintangi filem ini juga merupakan pelakon baharu. Namun begitu, mereka berjaya menampilkan mutu lakonan yang cukup baik dan berkesan," jelasnya yang pernah mengarahkan filem Woohoo! (2010) dan Great Day (2011).
Filem yang menelan kos produksi sebanyak RM3 juta itu menjalani penggambaran di beberapa buah negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.


Kejayaan berganda Cate Blanchett

Posted: 03 Mar 2014 07:03 PM PST



CATE menggayakan gaun rekaan Armani pada acara karpet merah majlis anugerah Oscar kali ini.


MENGGONDOL tujuh anugerah termasuk Pengarah Terbaik yang dimenangi Alfonso Cuaron, filem Gravity ironinya, tumpas kepada karya 12 Years A Slave yang hanya memenangi tiga anugerah termasuk anugerah utama, Filem Terbaik.
Itu antara warna-warni Oscar 2014 yang menyaksikan banyak pesaing 'wajib menang' tumpas dalam 'pertembungan' di luar jangkaan.
Bagaimanapun, pemenang yang dijulang pada anugerah berprestij yang berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat semalam itu, kebanyakannya sudah dapat diramal.
Ini kerana karyawan filem yang diangkat sebagai pemenang Oscar, terlebih dahulu telah dijulang sebagai juara dalam beberapa majlis anugerah perfileman yang lain.
Justeru, kemenangan Cate Blanchett menerusi filem Blue Jasmine untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik bukan suatu kejutan.
Selain Oscar, pada 1 Mac lalu, aktres kelahiran Australia itu terlebih dahulu menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada majlis Film Independent Spirit Awards 2014.
Pada Februari lalu, Cate, 44, juga telah memenangi anugerah yang sama pada acara British Academy Film Awards 2013.
Mengulas mengenai kemenangan hasil lakonannya dalam Blue Jasmine sebagai Jeanette 'Jasmine' French (seorang isteri yang ditinggal- kan suami), ujar Cate, ia sangat bermakna buat dirinya.
"Ia merupakan suatu penghargaan yang cukup bermakna apabila pengarah Blue Jasmine, Woody Allen memilih saya berlakon dalam filem yang hebat ini.
"Dengan kemenangan yang diraih, ia membuktikan bahawa filem yang memaparkan jalan cerita mengenai kisah kekuatan seorang wanita yang tertindas dan berusaha membina kehidupan semula, ternyata mendapat perhatian penonton," ujarnya yang turut memenangi kategori sama pada majlis anugerah Golden Globe 2014 yang berlangsung Januari lalu.
Kemenangan Cate itu ternyata memberi makna tersendiri buat dirinya apabila berhasil menyingkirkan saingan lain yang cukup hebat - aktres Amy Adams (American Hustle), Sandra Bullock (Gravity), Judi Dench (Philomena) dan Meryl Streep (August: Osage County).
Ia juga merupakan kemenangan kedua Cate dalam meraih Oscar setelah kali pertama meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 2004 menerusi filem The Aviator.
Sementara itu, filem yang mengangkat kisah tentang pesakit AIDS, Dallas Buyers Club pula telah menobatkan Matthew McConaughey sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dengan menewaskan empat calon lain.
Matthew berkata, bukan mudah untuk membawakan watak sebagai Ron Woodroof, malah dia telah kehilangan berat badan sebanyak 23 kilogram bagi menjayakan watak berkenaan.
"Pertama sekali, terima kasih kepada Tuhan atas kemenangan ini. Begitu juga dengan sokongan keluarga sehingga saya berjaya meraih anugerah yang cukup ternilai sepanjang karier sebagai pelakon.
"Selain itu, peluang berlakon dalam filem ini juga telah membuka mata saya tentang kehidupan sebenar seorang pesakit AIDS," ujarnya yang menggapai trofi Oscar buat kali pertama.
Ternyata, kemenangannya itu sangat berbaloi memandangkan dia berhadapan dengan saingan empat aktor lain terdiri daripada Christian Bale (American Hustle), Chiwetel Ejiofor (12 Years A Slave), Bruce Dern (Nebraska) dan Leonardo DiCaprio (The Wolf of Wall Street).

BARISAN empat pelakon terbaik yang diiktiraf Oscar kali ini (dari kiri), Matthew McConaughey, Cate Blanchett, Lupita Nyong'o dan Jared Leto.


Kali pertama
Selain kemenangan yang diraih oleh Cate Blanchett dan Matthew McConaughey dalam kategori masing-masing, turut menjadi perhatian ialah kejayaan Jared Leto (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik) dan Lupita Nyong'o (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).
Ini kerana ia merupakan kali pertama mereka tercalon dalam Oscar dan terus meraih kemena- ngan.
Menariknya, kemenangan yang diraih oleh Jared itu berhasil menutup mulut pengkritiknya terhadap wataknya sebagai Rayon dalam filem Dallas Buyers Club tersebut.
"Kemenangan ini saya tujukan kepada 36 juta orang penduduk di seluruh dunia yang sedang berusaha untuk melawan penyakit AIDS.
"Biar apa pun rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi, termasuk sikap tidak adil segelintir pihak terhadap penyakit yang dihidapi, saya akan terus berdiri menyokong anda semua," jelasnya yang juga merupakan vokalis band rock, 30 Seconds to Mars.
Luah Lupita pula, kemenangan hasil lakonan menerusi filem 12 Years A Slave itu merupakan suatu pencapaian terbaik sepanjang kariernya sebagai pelakon serta mengharumkan nama negara kelahirannya, Kenya.
Menurut Lupita, kejayaan menggenggam trofi Oscar memberikan suatu kenangan yang terindah buat dirinya, memandangkan dia tidak pernah menyangka untuk berdiri di pentas majlis anugerah tersebut sebelum ini.
"Apabila saya menggenggam trofi ini, ia lantas mengingatkan saya terhadap mereka yang berhadapan dengan kehidupan kurang sempurna terutama sekali kanak-kanak.
"Selain itu, saya mahu kemenangan ini dapat menjadi inspirasi kepada pelakon wanita berkulit hitam untuk mencipta kejayaan dalam bidang yang diceburi," ujar pelakon berusia 31 tahun itu.
Tangan kosong
Paling menjadi tumpuan untuk acara Oscar kali ini pastinya kemenangan filem yang memaparkan kisah tentang seorang lelaki kulit hitam yang dijual menjadi hamba, 12 Years A Slave apabila ia dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
Diarahkan oleh Steve McQueen yang juga seorang yang berkulit hitam, filem berkenaan menewaskan pesaing lain terdiri daripada American Hustle, Captain Phillips, Dallas Buyers Club, Gravity, Her, Nebraska, Philomena dan The Wolf Of Wall Street.
"Setiap manusia bukan sahaja berhak untuk menyelamatkan diri, malah mempunyai hak menjalani kehidupan seperti manusia lain.
"Itulah tema utama yang ingin saya sampaikan kepada penonton tentang kehidupan seorang hamba bernama Solomon Northup. Saya dedikaskan kemenangan ini kepada mereka yang pernah menjadi mangsa dan menderita menjadi hamba," jelasnya.
Namun begitu, sesuatu yang menjadi luar jangkaan ramai apabila filem American Hustle yang tercalon dalam 10 kategori pulang dengan tangan kosong tanpa memenangi sebarang anugerah.


Sentuhan Myanmar dalam filem Tamil Malaysia

Posted: 03 Mar 2014 07:02 PM PST


PERAKAS RAJARAM (dua dari kiri) bersama wakil-wakil dari Myanmar pada majlis penghargaan di negara itu sebaik tamat penggambaran filem Vennira Iravugal.


BAKAL ditayangkan di pawagam terpilih bermula 6 Mac ini, filem terbaharu arahan Perakas Rajaram, Vennira Iravugal (Malam Yang Terang) dijangka bakal memberi suatu impak baharu menerusi paparan kisah cinta yang menjelajah tiga negara – Malaysia, Singapura dan Myanmar.
Bagaimanapun, Perakas, 34, yang juga bertindak selaku penerbit, memohon supaya ulasan tentang filem tersebut tidak disiarkan dalam media sebelum ia ditayangkan.
"Saya mohon supaya pihak media tidak membuat ulasan tentang filem Vennira Iravugal sebelum ia ditayangkan. (Saya) bimbang ia akan mematikan minat dan suspens cerita yang ditampilkan.
"Biarlah penonton datang sendiri dan menonton filem ini di pawagam pada 6 Mac nanti," katanya.
Tindakan Perakas itu ada sebabnya. Ia ekoran dalam pada penerbit dan pengarah filem Tamil tempatan bertungkus lumus menghasilkan filem dengan kos mencecah sehingga berjuta-juta ringgit, penonton Malaysia masih dilihat kurang memberi sokongan kepada hasil filem tempatan.
Walau sehebat mana sekalipun sesebuah filem Tamil tempatan, namun budaya membezakan antara filem terbitan Malaysia dengan produksi Tamil dari India sudah menjadi satu ikutan yang sebati dalam kalangan penonton di negara ini.
Namun, Vennira Iravugal yang dihasilkan penuh teliti dan dedikasi oleh Perakas dijangka mampu menggugat budaya yang sudah lama menguasai audiens filem Tamil di Malaysia itu.
Rakaman filem yang menggunakan kamera dari pelbagai sudut, kualiti filem pada skrin, lokasi perfileman yang membabitkan lokasi luar negara seperti Myanmar dan sedikit di Singapura selain Malaysia menyediakan suatu pakej buat Vennira Iravugal.

NASKHAH Vennira Iravugal dijangka akan membawa penerbitan filem Tamil tempatan ke suatu tahap yang lebih membanggakan.


Pakej tersebut disempurnakan lagi dengan suntikan lagu-lagu yang sudah menjadi fenomena di laman-laman sosial dan YouTube seperti Indre Pirivam dan Vaanavil, lakonan bersahaja tetapi penuh impak pelakon seperti Magen Vigadakavi, K. Sangeetha, penyanyi rap Psycomantra, David Anthony dan Kencana Devi, justeru filem ini berpotensi tinggi untuk menggapai sukses.
Filem yang membawa penonton kepada watak utama, Ramesh dan cinta pertamanya di kampus sebelum dia seterusnya belayar ke Myanmar dengan membawa kisah cinta dalam aspek berbeza tetapi penuh jenaka.
Elemen genre romantik komedi ini walaupun merupakan suatu pendekatan yang biasa tetapi Perakas telah menampilkan suatu penyampaian yang segar terutama apabila ia difilemkan di tengah-tengah kota Myanmar yang menampilkan masyarakat di situ.
Ternyata perbezaan yang dipaparkan telah membawa Vennira Iravugal menjelajah ke beberapa negara seperti Oslo, Norway untuk Festival Filem Antarabangsa sebelum ia ditayangkan di Malaysia.
Menurut pengasas Festival Filem Tamil di Norway, Vaseeharan Sivalinggam, Vennira Iravugal merupakan filem Tamil Malaysia pertama yang dipilih untuk tayangan di negara itu kerana dipercayai dapat menarik masyarakat Tamil di negara Eropah.
Setiap plot dan adegan filem ini disampaikan secara bersahaja, kelihatan ringkas tetapi pastinya meninggalkan impak pada diri penonton.
Naskhah ini turut mendapat perhatian istimewa daripada Akademi Filem Tamil Antarabangsa selain ditayangkan pada festival filem yang diadakan di Chennai, Tamil Nadu, India.
"Vennira Iravugal sudah ditayangkan di Australia, Kanada, Afrika Selatan, Sri Lanka, India, Singapura, Myanmar dan akan datang di Malaysia.
"Sebab saya memilih Myanmar kerana mahu menunjukkan suatu persekitaran yang baharu dan tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana pihak dalam dunia perfileman Malaysia. Lagipun, saya dapat mendedahkan kewujudan komuniti Tamil di Myanmar menerusi filem ini," kata Perakas.
Tambahnya: "Ia merupakan filem dengan 100 peratus kandungan dan intipati Malaysia tetapi pendekatan rakaman di Myanmar telah memberi suntikan kelainan."
Selain itu, daya tambah untuk filem ini adalah dari segi muzik, khususnya yang disuntik komposer muzik Lawrence Soosai, penulis lirik lagu Yuwarajah Krishnan serta penyanyi terkenal dari India, Andrea Jeremiah.


487,416 guna jambatan kedua pada hari pertama

Posted: 03 Mar 2014 07:01 PM PST

HAMPIR 500,000 kenderaan melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Pulau Pinang pada hari pertama ia dibuka.


BATU MAUNG - Sebanyak 487,416 buah kenderaan telah melalui jambatan kedua Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada hari pertama ia dibuka kelmarin.
Jumlah itu mengalahkan bilangan kenderaan yang menggunakan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang pada hari yang sama selepas hanya merekodkan sebanyak 132,000 buah kenderaan.
Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Azizi Azizan memberitahu, antara faktor penyumbang kepada angka yang begitu tinggi itu ialah kerana orang ramai begitu teruja untuk melalui jambatan tersebut pada hari pertama ia dibuka.
"Kita mencatatkan purata sebanyak 20,309 buah kenderaan yang telah melalui jambatan tersebut pada setiap jam pada hari pertama ia dibuka.
"Pengguna begitu teruja untuk menjadi orang terawal melalui jambatan bersejarah itu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac lalu yang mencatatkan rekod sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut tentang kesesakan teruk yang berlaku di atas jambatan tersebut, Azizi menjelaskan, situasi itu berlaku akibat pengguna yang memberhentikan kenderaan di tengah jambatan.


Punca jerebu dari dalam negara

Posted: 03 Mar 2014 06:59 PM PST


SEBUAH Cruise Tasik Putrajaya melintasi Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra yang tidak begitu jelas kelihatan berikutan fenomena jerebu di Putrajaya semalam.


KUALA LUMPUR – Punca fenomena jerebu yang melanda Lembah Klang, Putrajaya dan beberapa kawasan ketika ini disebabkan sumber dalaman seperti kebakaran hutan, belukar dan pembakaran terbuka.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Halimah Hassan berkata, berdasarkan ramalan cuaca harian, jerebu yang berlaku bukan disebabkan faktor kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Indonesia seperti kebiasaan sebelum ini.
Menurut beliau, corak tiupan angin dari arah timur laut tidak merentasi sempadan dan asap kebakaran yang berlaku di sana tidak menghala ke Semenanjung Malaysia.
"Oleh itu, jerebu yang melanda ketika ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh kebakaran tanah dan hutan seperti yang berlaku di beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Perak dan Pahang.
"Keadaan cuaca panas dan kering juga menyebabkan partikel habuk terampai dan berkumpul di udara yang akhirnya membuatkan ruang udara berjerebu selain punca lain seperti pelepa- san industri, kenderaan bermotor dan kerja tanah," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Ular sawa 3.04 meter telan buaya di Australia

Posted: 03 Mar 2014 06:56 PM PST




GAMBAR dari jarak dekat menunjukkan buaya itu dibelit ular tersebut.


SYDNEY - Seekor ular menelan seekor buaya selepas membelitnya dalam satu pertarungan di Tasik Moondarra, Queensland, Australia kelmarin.
Detitk-detik pertarungan itu disaksikan oleh seorang lelaki, Travis Corlis dan isterinya, Tiffany Corlis.
Menurut Travis, ular sawa itu sepanjang 3.04 meter manakala buaya tersebut sepanjang 0.91 meter.
"Kedua-dua haiwan itu bertarung di dalam tasik. Kami berdiri sambil menyaksikan (pertarungan itu) dengan penuh kekaguman," kata Travis.
Menurutnya, beberapa jam kemudian, dia mendapati ular berkenaan membelit badan buaya tersebut dan menarik haiwan berkenaan ke tepi tebing.
Travis berkata, ular tersebut melepaskan belitan pada buaya berkenaan di tepi tasik tersebut.
Dia berkata, ketika belitan itu dilepaskan, buaya tersebut telah mati.
"Kira-kira 10 minit kemudian, buaya itu telah ditelan ular berkenaan," katanya.
Tiffany berkata, pertarungan tersebut dianggapnya seperti satu kejadian yang tidak dapat dipercayainya tetapi pernah berlaku di depan matanya.
"Namun, kejadian itu benar-benar berlaku. Ular tersebut telah menelan buaya itu," katanya.
Menurut Tiffany, ketika bertarung, buaya berkenaan bergelut untuk memastikan kepalanya berada di atas permukaan air.
Dia berkata, kedua-dua haiwan itu kelihatan letih semasa pertarungan tersebut berlaku.
Pada akhirnya, kata Tiffany, buaya tersebut memenangi pertarungan itu.


Faham al-Quran dalam 10 bulan

Posted: 03 Mar 2014 06:53 PM PST


KELAS bahasa Arab Al-Furqan sentiasa mendapat sambutan daripada para pencinta al-Quran.


TANGAN gadis itu kemas menggenggam pen sambil menulis satu demi satu makna ayat al-Quran yang cuba difahaminya. Kertas yang pada asalnya cuma dihias dengan beberapa potong ayat suci sudah dipenuhi dakwat hitam dengan coretan nota-nota kecil.
Sesekali dia dillihat membisikkan sesuatu kepada si ibu yang duduk di sebelahnya. Gadis yang bernama Nur Hafizhah Mohamad Ghafa, 23, itu sudah lima bulan mengikuti kelas Pendidikan Bahasa Arab Al-Furqan di Masjid Putra, Putrajaya bersama ibu bapa dan adiknya.
Dalam tempoh itu, dia sudah mula memahami ayat-ayat al-Quran biarpun penguasaan terhadap perkataan-perkataan bahasa Arab masih terhad. Ia dibantu dengan kelebihannya mengikuti kelas bahasa Arab sebagai bahasa ketiga di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Pelajar sarjana muda jurusan Sains Matematik tersebut meminati bahasa Arab kerana terdorong untuk menjadi contoh kepada adik-adiknya.
"Sebenarnya, adik-adik saya mempelajari bahasa Arab sejak kecil dan saya mahu setanding dengan mereka satu hari nanti. Saya mengakui stigma yang mengatakan bahasa Arab sukar dikuasai adalah disebabkan tiada pendedahan awal.
"Tambahan pula, umat yang dekat dengan al-Quran adalah umat yang berjaya," itu pegangan Nur Hafizhah.
Teknik pembelajaran menggunakan gambarajah yang diamalkan oleh tenaga pengajar Al-Furqan membantu pelajar kelas tersebut mengenalpasti konteks kata ganti diri nama dalam sesuatu ayat.
Sejak dahulu, bahasa Arab diajar dengan cara hafalan bertujuan untuk mencari kata ganti diri nama pada ayat. Ia sedikit sebanyak membuatkan masyarakat merasakan bahasa tersebut sukar untuk dikuasai.
Jantina
Harapannya cuma satu, memahami dan mengenal maksud yang terkandung dalam al-Quran apabila membaca kitab suci itu. Seterusnya mampu mengamalkan cara hidup yang dianjurkan oleh Islam.
Kini, bahasa Arab dituturkan oleh kira-kira 250 juta orang di Asia Barat dan utara Afrika. Uniknya, setiap perkataan atau ayat yang digunakan bergantung kepada jantina individu yang bercakap dengan an\da.
Bahasa Arab amat mementingkan jantina, jangan tersilap menggunakan perkataan yang sepatutnya ditujukan kepada lelaki tetapi mengggunakannya terhadap wanita.
Sementara itu, pekerja swasta, Zaiman Haifizi Ismail, 39, berkata, dia melihat kelas Al-Furqan dikendalikan secara berstruktur.
"Biasanya, selepas satu sesi kelas dijalankan akan ada pula sesi mendalami ayat mengikut patah perkataan. Pelajar diajar mengetahui ilmu nahu (tata bahasa) secara tertib dan ini memudahkan saya untuk memahami ilmu yang disampaikan.

SALAH seorang tenaga pengajar Al-Furqan yang mengajar bahasa Arab merupakan mereka yang mempunyai kefahaman mendalam tentang bahasa tersebut.


"Pada mulanya, saya mengikuti kelas ini kerana ingin mengetahui teknik yang digunakan. Ia ternyata berbeza dengan kelas yang pernah saya ikuti sebelum ini," ujarnya yang sanggup memandu dari Semenyih ke Putrajaya pada setiap hari Rabu bagi memahami ayat al-Quran.
Minat Zaiman Haifizi terhadap bahasa Arab semakin mendalam kerana dia sudah mampu menghayati bacaan al-Quran biarpun belum sampai tahap menguasai bahasa tersebut sepenuhnya.
Tambahnya, dia berminat untuk meneruskan aktiviti mengikuti kelas bahasa Arab (pertuturan) yang khusus untuk kegunaan harian pada masa akan datang bagi membolehkannya bertutur bahasa itu kelak.
Selain itu, faktor utama yang mendorong Zaiman Haifizi mengikuti kelas tersebut adalah sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah.
Stigma masyarakat
"Sebagai orang Islam, saya mahu meresapi bahasa al-Quran dan memahami apa yang dibaca. Ibadah tersebut akan jadi lebih bermakna," tutupnya.
Pengasasnya, Nasaruddin Hasim, 43, berkata, sistem yang diperkenalkannya menggunakan pendekatan harfiah yang bermaksud huruf demi huruf. Sistem tersebut merupakan kaedah terjemahan al-Quran ke dalam bahasa ibunda sebelum mendalami bahagian seterusnya iaitu tafsir.
"Sebelum ini, ada stigma masyarakat yang berpendapat mempelajari al-Quran secara harfiah adalah sesat. Namun, apa yang diajar adalah bahasa Arab bukannya tafsir.
"Pada mulanya, pakar ilmu penafsiran terkenal iaitu Ustaz Zahazan Mohamed pernah meragui sistem ini, namun selepas beliau mendengarnya, beliau faham dan menghargai usaha kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, Selangor.
Bahasa Arab merupakan bahasa rasmi di 22 negara, bermula di Asia Barat sehingga ke benua Afrika Barat.
Bahasa Arab rasmi dikenali sebagai bahasa Arab Klasik (Fu-sha) seperti yang ditulis dalam al-Quran. Bahasa al-Quran merupakan asas tatabahasa bagi bahasa Arab. Ia masih digunakan secara meluas oleh para ilmuwan Islam sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, gaya bahasa tersebut lebih menjurus kepada bahasa penulisan berbanding bahasa pertuturan harian.
Bahasa Arab moden pula dikatakan masih sama tetapi lebih mudah berbanding bahasa Arab klasik. Ia lebih difahami dan digunakan oleh penyampai televisyen, ahli politik, akhbar serta urusan pekerjaan.
Dari sudut bahasa Arab pertuturan, terdapat pelbagai dialek yang digunakan. Tidak mustahil bagi seorang penutur bahasa Arab di Iraq tidak memahami bahasa Arab yang ditutur orang Algeria dan begitulah sebaliknya. Namun, kedua-dua bangsa mampu bertutur dalam bahasa Arab moden yang lazim.
Wartawan terkenal dari Amerika Syarikat, Robert Lane Greene dalam tulisannya yang bertajuk, Saya sedang mencuba untuk belajar bahasa Arab, menceritakan kesukarannya sepanjang mengikuti kelas bahasa tersebut.
"Apabila saya melangkah ke kelas bahasa Arab minggu lalu, guru saya, Karam bertanya apakah yang sedang saya lakukan. Saya jawab, 'Tamaam, hamdulillah' yang bermaksud, 'baik, syukur kepada Tuhan'.
"Sebenarnya saya cuma berbohong. Mempelajari bahasa biasanya menyeronokkan tetapi bahasa Arab benar-benar membunuh saya," tulisnya.
Sistem tersebut menerangkan tentang dua kategori kata ganti nama (isim) yang berdampingan. Kategori pertama adalah istilah zat sifat dan kategori kedua pula adalah isim sandar menyandar.
Apabila pelajar memahami konsep tersebut, tenaga pengajar di Al-Furqan memberikan contoh dalam bahasa Melayu supaya pelajar dapat mengenalpasti kategori kata ganti nama yang digunakan.
"Jika sedari awal niat pelajar itu mengikuti kelas ini untuk memahami al-Quran, tidak timbul isu ilmu yang diperolehi lenyap begitu sahaja kerana selain ke kelas, mereka boleh melatih tahap penguasaan bahasa Arab itu dengan membaca al-Quran setiap hari.

NASARUDDIN menunjukkan diagram ringkas untuk memahami bahasa Arab dengan kaedah Al-Furqan.


"Dahulu memang saya mengadakan kelas lanjutan, tetapi masalah utama pelajar hanyalah pengetahuan kosa kata. Pihak kami sedang berusaha untuk menghasilkan terjemahan al-Quran secara harfiah tidak lama lagi. Ia seolah-olah membawa pulang tenaga pengajar ke rumah pelajar itu sendiri," ujar bapa kepada empat orang anak itu.
Ribuan pelajar
Tenaga pengajar Al-Furqan terdiri daripada graduan bahasa Arab dari dalam dan luar negara.
Al-Furqan memiliki lima orang tenaga pengajar yang dibahagikan mengikut beberapa zon. Antara lokasi kelas Pendidikan Bahasa Arab Al-Furqan diadakan ialah di Kota Bharu (Kelantan), Alor Star dan Sungai Petani (Kedah), Ipoh (Perak), Nilai (Negeri Sembilan), Melaka, Johor Bahru (Johor) serta Lembah Klang.
Kaedah pembelajaran tersebut diperkenalkan sejak tahun 1998 dan memiliki ribuan pelajar di seluruh Malaysia. Ada antara bekas pelajar sistem berkenaan masih berhubung dengan Nasaruddin menerusi akaun facebook rasminya iaitu Pendidikan Bahasa Arab Al-Furqan.
Kelas akan dijalankan selama 10 bulan dengan bayaran sebanyak RM150 sebulan. Ia dibuka kepada semua orang awam yang berminat tanpa batasan umur.
"Bagi saya, jika seorang pelajar itu mampu hadir ke kelas sehingga bulan ke enam atau tujuh, itu menandakan dia sudah mula faham apa yang diajar.
"Berdasarkan pengalaman, pelajar yang tidak berminat meneruskan kelas adalah disebabkan mereka tidak faham. Apabila pelajar semakin mahir, latihan seperti mendengar ayat al-Quran sambil memejamkan mata dilaksanakan bagi menguji kefahaman mereka," kata graduan institut bahasa di Kaherah, Mesir itu.


Mona popularkan bahasa Arab di radio

Posted: 03 Mar 2014 06:52 PM PST


MONA (duduk dua dari kiri) bijak mengendalikan program bahasa Arab iaitu Hayya Bil Arabiah di radio IKIM FM sejak sedekad lalu.


LENGGOK penyampainya persis orang Arab menyebabkan pendengar mungkin beranggapan ia stesen radio dari negara-negara Asia Barat.
Lebih menghairankan apabila mendapati gelombang radionya ialah 91.5 FM, gelombang yang hanya menerawang di ibu kota Kuala Lumpur.
Namun, jangan salah faham kerana siaran yang berkumandang itu bukan radio negara-negara Arab, tetapi program yang memperoleh rating tinggi iaitu Hayya Bil Arabiah, rancangan terbitan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM).
Radio IKIM FM boleh didengar di seluruh negara menerusi gelombang 91.5 fm di Lembah Kelang; 89.0 FM (Perlis, Kedah, Langkawi, Pulau Pinang); 102.7 FM (Ipoh dan Negeri Sembilan); 89.5 (Melaka); 106.2 FM (Johor Baharu); 89.6 FM (Kuantan); 100.2 FM (Kuala Terengganu); 89.8 FM (Kota Bharu); 93.6 FM (Kuching) dan 93.9 FM (Kota Kinabalu).
Kepada mereka yang pertama kali mendengar program tersebut mungkin beranggapan penyampai radio itu adalah seorang wanita Arab ekoran kefasihannya dalam menutur serta melontarkan kata-kata dalam bahasa tersebut begitu baik sekali.
Sebaliknya, wanita yang bekerja keras dalam menjayakan program berkenaan hingga mendapat sambutan yang memberansangkan sejak sedekad lalu itu ialah penerbit dan juruhebah IKIM FM, Mona Jasman, 38.
Mona yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir berasal dari Johor. Mona memberitahu, kefasihannya dalam bahasa Arab bukan disebabkan dia melanjutkan pengajian di Mesir, namun bahasa itu dituturnya sejak kecil lagi.
"Saya dilahirkan di Mesir dan tinggal di negara tersebut sehingga umur 25 tahun sebelum datang ke Malaysia selepas berkahwin dengan suami, Yazid Daud, 38, pada tahun 2001.
"Ayah saya adalah warganegara Malaysia berketurunan Melayu manakala ibu adalah warganegara Mesir," kata anak sulung daripada enam adik-beradik itu ketika ditemui di IKIM.
Menceritakan lanjut, Mona memberitahu, pada asalnya dia merancang untuk menjadi guru atau ustazah apabila berada di Malaysia yang secara tidak langsung dapat mengajar pendidikan agama termasuk mengembangkan bahasa Arab.
Ditawar jawatan
Bagaimanapun katanya, dia telah menyertai sebuah syarikat yang membekalkan buku-buku bahasa Arab milik seorang peniaga Mesir di ibu negara.
Menerusi pekerjaan tersebut, Mona yang sering berurusan dengan IKIM telah ditawarkan jawatan sebagai juruhebah radio bagi mengendalikan program bahasa Arab memandangkan dia fasih dalam bahasa berkenaan.
"Alhamdulillah, rezeki ada di sini (IKIM) dan saya menerimanya kerana berpendapat bahasa Arab boleh dikembangkan dengan lebih baik serta meluas menerusi medium radio memandangkan ruang lingkupnya lebih besar.
BAHASA Arab digunakan sebagai bahasa pengantar di Universiti Al-Azhar, Mesir. - Gambar hiasan


"Saya bermula dengan IKIM FM pada November 2003 dan sejak itu saya mengendalikan program Hayya Bil Arabiah, sebuah rancangan belajar bahasa Arab. "Saya bersyukur kerana ia menerima maklum balas baik dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pendengar-pendengar," ujarnya.
Lebih menyentuh perasaan, ada para pendengar menunjukkan kepadanya buku yang ditulis dalam bahasa Arab hasil pembelajaran menerusi program radio selama sedekad itu. Justeru, Mona yakin bahasa Arab bukan sesuatu yang asing di Malaysia kerana ia turut diajar di sekolah-sekolah agama dan semakin diterima oleh masyarakat Islam di negara ini.
"Apa yang menariknya, ramai pendengar dalam kalangan pesara mula berjinak-jinak mempelajari bahasa ini dan ada juga keluarga menghantar anak-anak mereka belajar bahasa Arab walaupun bukan daripada latar belakang sekolah agama.
"Sebenarnya, belajar bahasa Arab sama seperti mempelajari bahasa-bahasa lain, namun ia unik sedikit kerana mempunyai banyak cabang.
"Apa yang mengecewakan saya ialah terdapat pelajar-pelajar sekolah agama yang belajar bahasa ini tetapi mereka tidak boleh bertutur dengan baik," katanya menggunakan bahasa Arab dalam perbualan dengan suami dan lima orang anaknya bagi memastikan bahasa ini terus dapat dikuasai dengan baik.
Bagi seorang pelajar Jurusan Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Zakirah Mohd. Salleh, 24, berkata, dia mula mendengar radio berbahasa arab itu sejak menuntut di universiti berkenaan.
Katanya, dia mendapat tahu IKIM ada mengadakan program bahasa Arab di radio dan sejak itu dia mula mendengarnya supaya dapat lebih memahami bahasa berkenaan.
Berbual-bual
"Ia sebuah program yang bagus dan menarik apatah lagi untuk pelajar seperti saya (Jurusan Bahasa Arab) kerana ia mengajar asas-asas bahasa tersebut pada setiap pagi.
"Sementara itu, program yang berlangsung pada hari Ahad pula membolehkan pendengar yang boleh berbahasa Arab menggunakan platform itu untuk berbual-bual dengan DJ menggunakan bahasa berkenaan," katanya.
Justeru, Siti Zakirah melahirkan harapan supaya program bahasa Arab itu boleh diperluaskan lagi memandangkan ramai pelajar pada masa sekarang sudah mula meminati dan mempelajari bahasa berkenaan.
Bagi Norhazura Hosaimi, 36, pula memberitahu, dia pernah belajar bahasa Arab ketika menuntut di UIAM, namun tidak begitu fasih menggunakannya dalam perbualan.
Sehubungan itu katanya, program radio bahasa Arab seumpama itu akan memberi peluang kepadanya untuk mempelajari dan menajamkan semula bahasa Arab yang pernah dipelajarinya itu.
"Saya jarang menggunakan bahasa Arab, jadi apabila ada rancangan radio seperti itu, maka saya boleh ingat kembali dan belajar semula perkataan-perkataan yang baru," katanya.
Norhazura menambah, seseorang yang dapat mempelajari dan memahami satu perkataan bahasa Arab setiap hari akan membolehkannya memahami al-Quran.


Wakil Asia pertama LV

Posted: 03 Mar 2014 06:51 PM PST

DILANTIK sebagai duta SK-II sejak tahun 2012 sejajar dengan pengenalan produk SK-II Men.


TINGGINYA luar biasa untuk standard rakyat Asia. Dengan ukuran 195 sentimeter, ia melebihi tinggi purata lelaki di Belanda. Jambang pada wajah polos si tinggi itu pula dibiar meliar. Garis rahang yang menonjol menambah 'kesempurnaan' seluruh fizikal dia yang bernama Godfrey Gao.
Sebelum bertemu empat mata dengan model unggul antarabangsa itu, wajah dan ceritanya hanya dirujuk menerusi alam maya. Biografi jejaka berusia 30 tahun itu masih terlalu awal untuk direncanakan.
Namun, peluang yang diatur syarikat Procter & Gamble (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menemu bual bintang yang sedang berkemilau cahayanya itu merubah andaian tersebut. Tidak keterlaluan sebenarnya mengangkat Godfrey sebagai ikon Asia kepada generasi baharu.
Seisi dunia merestui legasi Jackie Chan, Datuk Michelle Yeoh, Datuk Jimmy Choo dan beberapa lagi nama Asia besar dalam sumbangan mereka kepada industri seni termasuk filem dan fesyen. Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat nama Godfrey dalam senarai yang sama pada masa hadapan.
Permulaan sebagai model sampingan ketika menuntut di Universiti Capilano, Kanada tidak lebih sekadar hobi. Tamat pengajian dan tanpa sebarang perancangan profesion, Godfrey pulang ke negara kelahirannya, Taiwan.
Ketika itu, pada tahun 2005, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu memberanikan diri untuk menjalani sesi uji bakat lakonan untuk satu drama televisyen (TV). Sejak itu, lakonan menjadi penyambung hidupnya sehingga sekarang.
Lonjakan karier seni Godfrey tiba di puncak pertama apabila berjaya meraih watak dalam sebuah filem Hollywood. Filem The Mortal Instruments: City of Bones yang ditayangkan pada Ogos tahun lalu adalah penampilan sulung Godfrey di peringkat global.
Pemilihannya bagi watak Magnus Bane dalam filem hasil adaptasi novel bersiri popular, The Shadowhunters karya Cassandra Clare itu tidak mengecewakan. Dia berjaya mengetepikan kira-kira 70 pelakon lain yang merebut watak serupa.
Menerusi filem itu, Godfrey memainkan peranan sebagai seorang ahli sihir di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. Dia berusia lebih 800 tahun dan dilahirkan hasil perkahwinan seorang wanita kacukan Belanda-Indonesia dan syaitan.
Selain wataknya yang menjadi kegemaran pengikut setia novel tersebut, Godfrey juga tampil seksi dalam filem itu.
"Saya tidak ada masalah untuk berbogel. Ia satu perkara yang subjektif. Namun ia perlu bersebab. Misalnya untuk karya seni," pendedahan itu dirungkai tenang Godfrey ketika Stailo bertemunya di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fesyen
Gemilang karier lakonan Godfrey bagaimanapun belum mampu menandingi pencapaian bersejarahnya dalam dunia peragaan. Tahun 2011 menjadi detik paling manis dan membanggakan dalam hidup lelaki ini.
Selama tempoh 157 tahun, rumah fesyen antarabangsa ternama, Louis Vuitton (LV) tidak pernah menggunakan khidmat model Asia untuk mana-mana kempen mereka. Godfrey merupakan wakil Asia yang pertama memecahkan rekod lebih seabad label mewah dari Perancis itu.
Wajahnya menghiasi kempen LV untuk koleksi sedia pakai musim bunga/panas 2011. Tempiasnya besar. Godfrey kemudiannya dihujani pelbagai tawaran peragaan.
Pengetahuan dalam fesyen juga diguna sepenuhnya. Bersama beberapa sahabat di Vancouver, Kanada, beliau mewujudkan label pakaian sendiri. Berkonsepkan pakaian ringkas seperti jaket dan item keperluan utama lelaki, bisnes pakaian tersebut bertambah rancak dengan perancangan menambah rekaan wanita.
Projek terbaharu jenama tersebut iaitu penawaran topi besbol dengan kerjasama label New Era difahamkan kini antara trend hangat di Vancouver.
Wajah kacak, ketinggian idaman dan tubuh berotot yang menawan melengkapkan pakej Godfrey sebagai pelakon dan model kelas pertama. Begitupun, dia masih mempunyai kebolehan lain untuk dikongsi kepada umum.
Masakan merupakan antara kepakaran beliau, khususnya penghasilan pastri. Namun, bakat sebenar anak kepada wanita Peranakan dari George Town, Pulau Pinang ini adalah sukan.
Sebelum lakonan dan peragaan, dunia Godfrey adalah di gelanggang bola keranjang.
"Sekiranya saya bukan pelakon atau model, kemungkinan besar saya menjadi jurulatih bola keranjang kanak-kanak. Saya seorang yang aktif bersukan dan tidak mustahil juga saya menjadi pemain profesional.
"Kalau bukan bidang sukan, saya dapat melihat diri membuka sebuah restoran. Kemahiran masakan saya tidak kurang hebatnya," kata Godfrey disambung tawa yang terkawal.
Rejim
Menjadi orang tampan ada harganya. Begitu juga Godfrey. Justeru, dia tidak malu untuk berkongsi ketegasannya terhadap rejim kecantikan diri yang menyeluruh. Rejim paling asas yang diamalkan beliau adalah mencuci muka sebanyak dua atau tiga kali sehari.
Sejak dilantik selaku duta jenama SK-II pada tahun 2012, Godfrey telah menemui trio pembersihan wajah paling efisien. Variasi produk daripada rangkaian SK-II Men itu terdiri daripada pencuci muka, pelembap (age revitalize moisturizer) dan esen rawatan wajah.
Pencuci muka jenama itu adalah item kegemaran Godfrey. Berdasarkan pengalamannya, ia tidak mengeringkan kulit wajah malah baunya juga menyamankan. Esen rawatan wajah pula digunakannya bagi mengimbangi tekstur kulit.
Begitupun dia enggan mencukur bersih jambangnya. Penampilan itu dirasakan lebih sesuai dengan wajahnya, namun demikian jambang tersebut hanya akan dicukur jika ia melibatkan tuntutan kerja.
Diari kecergasan aktor drama TV bersiri popular Momo Love itu pula banyak melibatkan senaman kardiovaskular. Keutamaan diberikan kepada permainan bola keranjang yang mengisi dua atau tiga kali dalam jadual mingguannya.
Latihan fizikal di gim, berjoging dan berbasikal turut merangkumi rejim aktif Godfrey. Baginya, sangat penting bagi mengeluarkan peluh dan memastikan kesihatan terus konsisten.
"Saya suka mencabar diri dan berharap untuk belajar seni mempertahankan diri jalanan. Waktu di sekolah dulu saya pernah belajar karate," kongsinya.
Bagi mengekalkan tubuh badan yang tegap, perancangan diet jejaka ini juga diberi penekanan serius. Pisang dan buah kegemarannya iaitu beri biru dicampur menjadi minuman sarapan yang bertenaga.
Makan tengah hari pula, beliau memilih salad, bayam, beri biru bersama ikan salmon atau ayam. Dia turut memastikan makan malamnya diambil sebelum pukul 9 malam.
"Elakkan makan lewat malam. Diet yang betul juga menuntut kita untuk makan dalam amaun sederhana setiap kali waktu makan," saran beliau.


Lambaian glamor Flora Terrace

Posted: 03 Mar 2014 06:49 PM PST


FLORA Terrace diibaratkan taman mewah untuk kunjungan setiap lapisan masyarakat.


SETIAP pelanggan restoran Flora Terrace pasti akan menguntum senyuman sebaik melangkah masuk ke dalam restoran berkenaan. Barangkali mereka terpukau dengan panorama sederhana ruang makan eksklusif itu. Mungkin juga latar warna putih dan kelabu dalam restoran membuai perasaan mereka.
Konsep Glam Hollywood bawaan restoran di pusat bandar raya Kuala Lumpur itu sangat gah. Kebijaksanaan susun atur meja dan kerusi, padanan warna lembut dan pencahayaan senada, hiasan bunga pastel dan lilin kuning cair menjadi sandaran luar biasa Flora Terrace.
Sejak dibuka pada tahun 2012, restoran itu telah menerima kehadiran ramai individu popular. Antaranya ialah penyanyi adik-beradik, Ziana Zain dan Anuar Zain; pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan dan beberapa kelompok orang kenamaan.
RUANG dalam restoran ini mampu memuatkan kira-kira 100 orang pada satu-satu masa.


Pandangan awal para pelanggan ke sini selalunya, makanan di restoran ini pasti mahal harganya.
Jika anda salah seorang yang belum pernah melewati Flora Terrace yang terletak di pinggir Persiaran Hampshire, Jalan Mayang Sari, Kuala Lumpur dan menyimpan tanggapan itu, anda silap. Restoran berkenaan bukan untuk orang kaya, malah golongan berpendapatan sederhana juga mampu merasai pengalaman gastronomi di situ.
Ia diibaratkan taman mewah untuk kunjungan segenap peringkat individu.
Berbanding restoran mewah yang ada di Kuala Lumpur, Flora Terrace memiliki keseimbangan sempurna dari segi harga, kuantiti dan kualiti. Malah, ia tidak menghidangkan apa jua minuman atau makanan bercampur alkohol.

SPAGETI ikan masin antara menu yang wajib dicuba pelanggan.


Rangkuman menu tempatan restoran ini pula ringkas. Pilihan sajian warisan Johor menjadi keutamaan. Hidangan asam pedas, mi bandung, laksa dan nasi hujan panas antara seleksi menarik untuk dicuba.
Penggemar mi rebus juga tidak akan kecewa. Kepekatan kuah dan rencah serta mi yang dihidang dalam mangkuk besar pasti memberi kepuasan kepada setiap yang merasa.
Menu istimewa seperti spageti ikan masin juga wajib dipesan pelanggan. Gabungan cita rasa Barat dan tempatan sajian ini telah menambat ramai pelancong asing.
Menu tempatan
"Kami juga memperkenalkan konsep makan secara hidang. Bagi set menu tempatan, ia akan didatangkan dengan hidangan daging masak hitam dan ayam masak lada hijau. Salad campur, sup bawang Perancis dan pasta aglio olio pula antara yang tersenarai dalam set sajian Barat.
"Setiap hari Jumaat, kami menyediakan hidangan bufet pada harga RM28++ bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang," jelas Eksekutif Jualan dan Pemasaran Flora Terrace, Syed Safwan Syed Rahmatullah ketika ditemui baru-baru ini.

KIRI: Penggemar hidangan mi rebus pasti tidak kecewa dengan kekayaan rasa yang ditawarkan.


Menerusi set hidang, pelanggan dengan dua orang hanya perlu membayar RM150++. Selain disajikan dengan variasi menu utama dalam kuantiti yang memuaskan, puding jagung atau coklat juga siap untuk dipilih sebagai pencuci mulut.
Sekiranya mahu makan secara ala carte, kami sarankan anda memesan menu ringan klasik berupa ubi rebus atau goreng dan pisang sira. Sajian yang jarang ditemui ini pasti akan mengembalikan memori manis anda terhadap kampung halaman.
Sebagai restoran yang tinggi nilai dekorasinya, Flora Terrace mampu diubah suai menjadi ruang acara yang elegan.
Justeru, ia banyak menerima tempahan bagi majlis pertunangan, perkahwinan atau acara makan malam syarikat.
Ruang dalamnya boleh memuatkan 100 orang, sementara bahagian luar atau sinonim sebagai zon teres pula mampu menghimpunkan kira-kira 150 jemputan menggunakan meja bulat pada satu-satu masa.
Tambah Syed Safwan, kadar sewa bagi keseluruhan restoran adalah pada harga RM1,000 untuk tempoh lima jam. Selain itu, Flora Terrace turut menyediakan khidmat katering luar.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories