RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


"Saya Tiada Niat Aibkan Ustaz Don" - Wardina

Posted: 16 Apr 2014 11:09 PM PDT

Wardina menegaskan dia hanya inginkan penjelasan terhadap kebenaran ceramah yang dilakukan oleh Ustaz Don.
PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Wardina Safiyyah tidak pernah berniat untuk mengaibkan Uztaz Don dengan berkongsi video ceramah agama yang dikatakan mengandungi hadis-hadis palsu disampaikan penceramah selebriti itu.

  Wardina berkata, dia hanya mewakili pihak yang musykil bagi mencari kebenaran terhadap beberapa perkara yang disampaikan oleh ustaz itu dalam ceramah umum tersebut.

"Saya bukan ingin menasihati dan tiada niat langsung untuk membuka aib Ustaz Don dengan berkongsi video tersebut tetapi saya ingin mencari kebenaran sahaja.

"Memang ada kata-kata ustaz dalam video tersebut yang membuat ramai orang musykil termasuk saya. Saya rasa ustaz perlu membantu kami orang awam yang tidak faham daripada mana sumber tersebut didapati," katanya kepada mStar Online, menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini, pada Rabu.
Kenyataan Wardina turut mendapat reaksi negatif yang menganggap dia cuba membuka aib Ustaz Don

Wardina berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataannya yang menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal sehingga mendapat banyak reaksi termasuk ada pihak menganggapnya cuba mengaibkan personaliti tersebut secara umum.
Terdahulu pihak TV AlHijrah dalam mStar Online pada Rabu turut mengambil pendekatan untuk meneliti kandungan video ceramah personaliti berkenaan yang tersebar sebelum sebarang tindakan diambil.

Ustaz Don merupakan hos rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don  siaran TV AlHijrah yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9.30 malam.
Tambah Wardina, tindakannya menegur secara umum bukan bertujuan melakukan serangan peribadi, sebaliknya sekadar mahukan mendapatkan kepastian dan jawapan.
ustaz donn
Ustaz Don
"Saya minta maaf jika ada yang tidak suka cara saya membuat teguran ini secara terbuka. Saya berbuat demikian kerana ceramah itu juga dilakukan secara umum, saya jujur dengan niat ingin bertanya.
"Kata-kata saya di Facebook itu tidak sedikit pun  mengecam, mengutuk atau memperkecilkan Ustaz Don kerana ilmu dia lebih tinggi daripada saya," katanya.

Bagaimanapun, Wardina akan bertemu dengan pendakwah terbabit bagi membincangkan kemusykilan berkenaan selain mahu bertukar pendapat tentang agama.
Dalam status yang dimuat naik pada malam Selasa lalu Wardina turut berkongsi video ceramah Ustaz Don bertajuk Kompilasi Hadis Palsu dan Penyelewengan Ustaz Don.

Dia turut meminta pihak ulama dan mufti  mengkaji semula kandungan ceramah yang disampaikan melalui video tersebut.

Ustaz Don ketika ini berada di United Kingdom untuk menjayakan sebuah rakaman berkaitan keislaman.

Jangan Persoalkan Remy Ishak Rai Pesta Songkran

Posted: 16 Apr 2014 10:59 PM PDT

remy ishak a
Remy Ishak
PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak berharap percutiannya ke Bangkok, Thailand untuk meraikan festival Songkran tidak dijadikan isu oleh mana-mana pihak.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Bin Ishak, 32, berkata, ketika itu dia ingin berehat dan memilih Bangkok sebagai destinasi percutian yang secara kebetulan jatuh pada perayaan pesta air di negara itu.

"Tiada kaitan saya mengagungkan perayaan itu ataupun menyokongnya. Kebetulan saya bercuti pada hari pesta Songkran diadakan dan sebagai orang luar, sudah semestinya saya berasa  teruja dengan perayaan itu.

"Saya cuma seronok apabila dapat mengetahui budaya luar. Tidak lebih daripada itu. Saya harap, tidak ada mana-mana pihak cuba memperbesarkan perkara ini," katanya.

Remy ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem CEO  di Cathay Cineplex, e@Curve, di sini pada Rabu.
mStar Default Image
Gambar yang dipetik daripada Instagram Remy Ishak (kanan) ketika dia menyertai pesta Songkran di Bangkok, Thailand.

Isnin lalu, Remy telah memuat naik beberapa fotonya  menyertai pesta Songkran menerusi Instagram miliknya.

Perkara itu membuatkan beberapa pengikutnya mempertikaikan kehadiran Remy di pesta tersebut memandangkan ia mengenai perayaan berbentuk keagamaan.
Selain Remy, beberapa artis tempatan lain turut memeriahkan pesta itu antaranya Ana Dahlia dan Karl Shafek.
Songkran merupakan pesta air yang disambut di seluruh Thailand dari 13 sehingga 15 April pada setiap tahun.

Sementara itu, Remy berkata, dia juga sedar namanya tidak begitu popular seperti sebelum ini namun berasa senang dengan keadaan itu.

"Sekarang ini saya tahu apa yang diinginkan penonton. Mereka mahu melihat saya berlakon lebih baik daripada lakonan yang sebelumnya dan itu adalah fokus utama.

"Jadi untuk itu, saya tidak akan ke arah publisiti atau populariti. Apa yang saya harapkan cuma sambutan yang diberikan penonton terhadap lakonan saya," ujarnya.

Pengarah 'CEO' Kesal Bagi Watak 'Ciput' Untuk Deanna Yusof

Posted: 16 Apr 2014 10:58 PM PDT

ceo
Razaisyam (dua dari kanan) bersama para pelakon filem CEO.
PETALING JAYA: Pengarah filem CEO iaitu Razaisham Rashid berasa menyesal apabila pihaknya hanya memperuntukkan lapan babak sahaja buat pelakon Deanna Yusof untuk karya itu.

Razaisham berkata, Deanna seorang pelakon yang sangat bagus dan dia menganggap wanita itu sepatutnya diberikan watak yang lebih besar bagi menjayakan filem tersebut.

"Dalam CEO, Deanna diberi watak sampingan iaitu seorang peguam yang jahat. Tetapi babak lakonannya tidak banyak.

"Sepanjang penggambaran berlangsung pada pertengahan tahun lalu, hati saya berasa menyesal kerana tidak memberikan dia watak yang lebih besar," katanya.
deanna
Deanna Yusof


Rozaisham ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem CEO di Cathay Cineplex, e@Curve, di sini pada Rabu.

Selain Deanna hadir sama pada majlis berkenaan ialah Remy Ishak dan Anas Redzuan yang turut berlakon filem itu.

CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) mengisahkan tentang dua lelaki yang berlainan darjat iaitu Adam (Remy ) sebagai CEO dalam sebuah syarikat besar yang berjaya dan Sufian (Beto Kusyairy) seorang penghantar piza yang tiada cita-cita.

Bagaimanapun, kerana satu insiden, kehidupan kedua-dua lelaki itu berubah di mana Adam telah kehilangan jawatannya manakala Sufian pula mengambil alih tempat Adam.
Razaisyam
Razaisyam


Keliru dengan perubahan diri masing-masing, Adam dan Sufian mula menyiasat punca-punca keadaan mereka berubah.

Tambah Razaisham, dia bersyukur kerana memiliki barisan pelakon yang bagus menerajui filem arahan pertamanya itu.

"Mula-mula risau juga memikirkan bagaimana nak mengarah pelakon-pelakon yang sedia hebat ini. Adakah mereka akan lakukan seperti yang saya inginkan walaupun pertama kali mengarah filem?

"Mujurlah, kami saling memberi kerjasama antara satu sama lain. Harap-harap hasil filem ini dapat menarik perhatian ramai Insya-Allah," katanya.

Filem CEO turut membabitkan pelakon Christina Suzanne dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Ia bakal ditayangkan pada 12 Jun depan.

Isu Hadis Palsu, Ustaz Don Kesal Jadi Mangsa Fitnah

Posted: 16 Apr 2014 10:56 PM PDT

Don Daniyal tampil memberikan penjelasan mengenai penyebaran video bertajuk 'Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal'.
PETALING JAYA: Pengacara program 30 Minit Bersama Ustaz Don iaitu Don Daniyal meminta pihak yang menuduhnya menyampaikan ceramah menggunakan hadis-hadis palsu agar menyelidik terlebih dahulu dakwaan berkenaan sebelum membuatkan sebarang tuduhan.

Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 30, berkata, adalah tidak adil dia dinilai berdasarkan kepada sebuah video yang telah diedit daripada ceramah terdahulunya bagi digunakan untuk menfitnahnya.

"Saya sendiri tidak tahu apakah niat sebenar mereka memuat naik video yang jelas telah diedit dan kemudiannya digunakan untuk menghentam saya tanpa sebarang usul periksa.

"Saya tidak kata saya betul dalam semua perkara dan jika ada saya membuat salah, maafkan saya kerana manusia itu tidak sempurna tetapi tuduhan yang dibuat adalah tidak adil buat saya," katanya menerusi kenyataan video sepanjang 18 minit yang dimuat naik penceramah agama itu pada Khamis.

Ustaz selebriti itu dikatakan menyampaikan ceramah dengan mengemukakan hadis-hadis palsu dan tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan banyak pihak.

Malah pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Koleksi rakaman video ceramah berkenaan tersebar di Facebook dengan tajuk: Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal.

Dalam pada itu, Don berkata, dia hairan bagaimana beberapa pihak yang mendakwa diri mereka golongan berilmu mudah terpengaruh dengan video yang disifatkan 'sekerat-sekerat' tanpa meniliti kesahihan kandungannya terlebih dahulu.
Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Kata Don, pihak yang mempersoalkan ceramahnya itu sepatutnya menyelidik terlebih dahulu siapakah individu yang menghasilkan video berkenaan sebelum mempertikaikan kredibilitinya sebagai penceramah agama.

"Sebelum ini banyak pihak memberitahu jangan mudah terpedaya dan percaya dengan video yang dimuat naik di laman sosial seperti Facebook atau Twitter tetapi dengan satu video 'sekerat-sekerat' ini mereka terus jadikannya hujah terhadap saya.

"Malah kita sedar orang yang membuat video tersebut bertujuan untuk mewujudkan propaganda dan (saya) pelik bagiamana mereka mudah terpedaya tanpa selidik terlebih dahulu," jelasnya.


Tambah Don, video sedemikian mampu merosakkan silaturahim sesama manusia dan berharap agar masyarakat lebih berhati-hati dengan golongan seperti itu.

Don berkata, dia juga tidak mengetahui motif video berkenaan dihasilkan malah tidak mengenali individu yang menyebarkan video tersebut.

"Saya sarankan daripada menggunakan 'ustaz' Facebook, Twitter dan Wikipedia lebih baik berjumpa dengan ustaz atau alim ulama atau pun hadir ke ceramah yang diadakan bagi mengetahui isi kandungan sebenar yang ingin disampaikan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Don berkata, dia tidak akan lagi menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu berkenaan kerana bimbang ia akan mengundang pelbagai pandangan negatif.

Selain mengadakan ceramah-ceramah peribadi, Ustaz Don juga mengendalikan rancangan agama berjudul 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah pada setiap Isnin Hingga Khamis, pukul 9.30 malam. Pihak stesen televisyen TV AlHijrah dalam kenyataannya kepada mStar Online pada Rabu memberitahu akan meneliti kandungan rakaman video Ustaz Don terlebih dahulu sebelum memikirkan tindakan lanjut.
Penceramah itu ketika ini berada di United Kingdom bagi menjayakan rakaman sebuah rancangan berkonsepkan keislaman.

Teater Islamik sukar dapat tajaan?

Posted: 16 Apr 2014 10:54 PM PDT


  • Teater Islamik sukar dapat tajaan?
KESUKARAN mendapatkan penajaan bagi pementasan teater bukanlah satu  perkara baharu di negara ini.  Keadaan itu sebenarnya sudah berlarutan agak lama dan masih lagi dapat dirasakan penerbit teater sehingga ke hari ini.

Malah, baru-baru ini, penerbit teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Siti Rohayah Attan meluahkan rasa kesalnya kerana karya terbitannya kurang diberi perhatian oleh pihak penaja.

Tidak cukup dengan itu, Siti Rohayah juga mengakui teaternya yang berkonsepkan Islamik itu juga kurang mendapat promosi. Nasib yang sama juga pernah dilalui oleh  Erma Fatima, menerusi teater arahannya, Sirah Junjungan, yang dipentaskan lima tahun lalu.

Ikuti reaksi beberapa penggiat teater dan artis berhubung isu yang sehingga kini bagaikan tidak ada jalan penyelesaiannya.
 
Secara asasnya, masalah kekurangan penajaan ini berlaku kepada semua jenis konsep teater. Bukan hanya pada teater yang berkonsep Islamik. Tetapi, jika nama seseorang penerbit itu sudah dikenali atau kukuh, maka ia akan menjadi satu perkara yang mudah bagi mereka dalam mendapatkan penaja. Selalunya, orang baharu ini sukar nak dapatkan kepercayaan.
 
Begitu pun, berlaku salah guna perkataan Islamik itu sendiri sehinggakan menjemukan audiens. Contohnya, berpegangan tangan dan tidak menutup aurat. Namun, bagi saya, ia sebenarnya bergantung pada cara pemasaran produk berkenaan.
 
- Penerbit dan Konsultan Pemasaran Bebas Bahagian Teater dan Muzik, Syaaban
 
Setakat ini, saya belum pernah menerima tawaran berlakon teater yang berkonsep Islamik, sementelahan lagi, saya bukanlah seorang Islam. Jadi, saya tiada pengalaman lagi mengenai perkara itu. Tapi, secara peribadinya, saya berpendapat mungkin ada penaja berasakan teater berkonsep demikian kurang nilai komersialnya.
 
- Tony Eusoff
 
Salah satunya, mungkin pendekatan yang digunakan kepada khalayak bersifat agak serius. Kita harus mengambil contoh pendekatan yang dibawakan oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam mendekati anak-anak muda zaman kini, yang penuh dengan unsur humor. Kita nak dekat dengan khalayak, jadi kita perlu ikut rentak mereka. Tapi bagi saya, setiap teater ada tarikannya tersendiri.
 
- Penerbit teater Perang Terakhir, Khairunazwan Rodzy
 
Penerbit jangan terlalu bersikap skeptikal apabila gagal dalam mendapatkan apa-apa yang dihajati. Apa jua bentuk teater, kita mesti berfikiran positif, kreatif dan terbuka. Perkara ini sangat subjektif. Apa yang penting, penerbit jangan berputus asa dalam mendapatkan perhatian.
 
- Esma Daniel
 
Masalah penajaan ini adalah satu masalah yang klise. Teater dan penajaan, rungutannya sehingga ke hari ini dan tidak pernah tamat. Secara dasarnya, mereka yang benar-benar bersemangat dan minat akan teruskan perjuangan dalam bidang ini. Menjadi orang kuat teater adalah sangat survival sebenarnya.
 
- Penerbit teater Maduku Kalut, Mohd Amer Syafiq Khalip
 
Penggiat teater perlu banyak bersabar dalam hal ini. Satu-satu teater itu biasanya dipersembahkan secara terus dan tiada ulang tayang. Mungkin pengaruh TV juga sangat besar. Malah, minda kita juga telah ditetapkan apabila mahu berhibur, kita pasti mahukan sesuatu yang menyeronokkan.
 
- Nad Zainal
 
Konsep apa-apa pun dalam teater, mungkin pendedahan yang diberikan tidak cukup meluas lagi. Perlu ditambahkan lagi dengan suntikan atau elemen yang audiens suka.
 
- Jihan Raja Lawak

10 tahun amal yoga

Posted: 16 Apr 2014 10:53 PM PDT


  • Attilia
SAYA mahu cantik dalaman dan luaran. Saya tidak mengamalkan aktiviti bersenam hingga pada satu tahap saya terasa begitu tidak bermaya.

Oleh sebab itu, saya lebih suka melakukan yoga daripada mendaftarkan diri di pusat gimnasium. Istimewanya yoga, ia adalah aktiviti yang amat berbeza dengan senaman lain.

Malah, melalui yoga juga, ia mampu menjadikan bentuk badan kita lebih cantik lebih-lebih lagi apabila saya mengalami masalah kekurangan berat badan. 
 
Apakah kelebihan yoga?
 
Sejak mengamalkan yoga, pernafasan saya lebih lancar dan kualiti nyanyiannya lebih meningkat. Yoga juga, berjaya mengurangkan sikap panas baran seterusnya menjadikan saya lebih berkeyakinan.

Selain itu, yoga turut mengajar saya erti berdisiplin dan menepati waktu. Banyak perubahan yang dapat saya rasai terutamanya menerusi aspek pernafasan, tenaga, kedudukan berdiri tubuh badan dan kesabaran. Selain itu, ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa terluang dan di mana-mana saja.
 
Anda kini memiliki dua studio latihan senaman yoga. Adakah itu bermakna anda turut menjadi tenaga pengajar di situ?
 
Saya hanyalah bergelar pemilik dan tidak bertindak sebagai tenaga pengajar. 
 
Jadi, tiada rancangan untuk ke arah itu?
 
Saya memang ada rancangan untuk menjadi tenaga pengajar. Insya-ALLAH, Julai nanti saya akan ke Thailand untuk mendapatkan sijil senaman yoga yang disahkan.
 
Anda kini sudah mahir dalam melakukan yoga, mengapakah anda tidak mahu terus mengajar?
 
Saya tahu saya boleh mengajar tetapi saya tidak mahu mengajar sekiranya belum memiliki sijil yang sah. Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini? Justeru, lebih baik berhati-hati. Apa yang penting dapatkan dulu sjil sah sebelum menjadi tenaga pengajar.
 
Adakah anda ada mengambil sebarang jamu?
 
Saya tidak pernah mengamalkan sebarang jamu, malah saya tidak percaya pada diet.
 
Adakah anda petua kecantikan tersendiri?
 
Saya adalah penggemar air masak. Selain itu, walau seletih mana pun, sebelum tidur, saya akan pastikan muka saya bebas daripada sebarang mekap.

Ini adalah langkah penting buat saya lebih-lebih lagi apabila jenis kulit saya adalah berminyak. Bagi mengelakkan kulit menjadi kering pula, saya akan meletakkan semangkuk air di tepi katil.

Fungsi air itu adalah untuk membantu penghawa dingin menyerap air dalam mangkuk tersebut dan saya sudah amalkan petua ini sejak tamat persekolahan.
 
Di kala umur anda yang kini 40 tahun, anda tetap kelihatan awet muda. Apa rahsia anda?
 
Tiada sebarang rahsia. Apa yang saya dan ibu amalkan adalah sentiasa gembira dalam hidup.
 
Apakah perkembangan terbaru anda?
 
Selain sibuk menguruskan pembukaan Yoga One That I Want Studio di Seksyen 2, Shah Alam, saya kini sedang sibuk merakamkan album ketiga yang dijangka berada di pasaran pada tahun ini. Selain itu, saya juga sibuk menerima undangan persembahan daripada majlis-majlis korporat.

'Saya dengar orang jerit minta tolong'

Posted: 16 Apr 2014 10:50 PM PDT


  • 'Saya dengar orang jerit minta tolong' 
IPOH - "Saya dengar orang jerit minta tolong, kuat sangat," kata Nur Azlina Ahmad, penumpang lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, awal pagi tadi.

Nur Azlina, 23, berkata, ketika kejadian, lori dipandu suaminya, Abu Mansor Mohd, 45, berada di laluan kiri dan dipandu perlahan.

Bagaimanapun menurutnya, secara tiba-tiba, kenderaan mereka dirempuh kuat dari arah belakang.

"Serentak itu saya dengar suara lelaki menjerit, ada juga yang minta tolong," katanya.

Nur Azlina bersama suami dan anak perempuan mereka, Nurieman Diana Qhaleesha dalam perjalanan menghantar barang simen, besi dan mozek ke Bukit Mertajam.

Ketiga-tiga mereka selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Nyaris cedera di mata dirotan guru

Posted: 16 Apr 2014 10:14 PM PDT


  • Nyaris cedera di mata dirotan guru Belakang badan mangsa turut lebam. (Gambar kecil) Mangsa menunjukkan kecederaan pada hidung dan dahinya selepas dirotan guru.
KEMAMAN – Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini nyaris mengalami kecederaan pada bahagian mata selepas gurunya dipercayai bertindak di luar batasan dengan merotan di muka dalam kejadian di sekolah itu, kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

Gara-gara itu, mangsa, Muhammad Amiruddin Azama, 15, mengalami luka dan bengkak pada bahagian hidung serta dahi, selain turut lebam pada bahagian belakang badan.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama rakannya sedang menaiki anak tangga untuk masuk semula ke kelas setelah keluar pergi ke tandas.

Muhammad Amirrudin mendakwa, secara tiba-tiba gurunya itu datang dari arah belakang lalu merotan bahagian belakangnya sebanyak dua kali kerana dia tidak memasukkan baju ke dalam seluar.

"Selepas merotan belakang badan, cikgu itu datang ke depan saya dan tanpa berkata sepatah pun, dia rotan pula ke arah muka saya membuatkan saya menekup muka kerana menahan sakit," katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Kata Muhammad Amirrudin, selepas merotannya, guru lelaki itu masuk semula ke sebuah kelas berdekatan tangga dan kembali mengajar.

Sehubungan itu katanya, dia memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum mereka datang berjumpa dengan pengetua untuk berbincang dan kemudiannya dia mendapatkan rawatan di Klinik Desa Geliga kira-kira jam 11 pagi.

Laporan polis mengenai kejadian pula dibuat ibu bapa mangsa di Balai Polis Chukai, kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama.

Sementara itu, ibu mangsa, Faizah Yusof, 46, meluahkan kekesalan dengan tindakan guru itu berikutan tindakan merotan di bahagian muka adalah sesuatu perbuatan tidak wajar kerana boleh mendatangkan kecederaan serius jika terkena mata.

Digosip cerai, Dynas akui hubungan dengan Hafizy baik

Posted: 16 Apr 2014 10:01 PM PDT

DYNAS enggan memberi pengesahan tentang berita perceraiannya. Dia juga bersikap agak dingin apabila isu perceraian tersebut diajukan kepadanya.


SELEPAS isu penceraian nama besar dalam industri hiburan, Erra Fazira dan Engku Imran pada Februari lalu menjadi bualan seluruh peminat hiburan tanah air, dunia seni sekali lagi dikejutkan dengan gosip penceraian melibatkan pelakon dan pengacara terkenal, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar, 31, atau lebih mesra disapa Dynas Mokhtar.
Khabar angin yang mengatakan bekas pelakon yang pernah membintangi filem Bisikan Syaitan itu dan suaminya, Hafizy Hafiz telah bercerai sejak 25 Februari lalu masih lagi menjadi tanda tanya.
Dynas yang kelihatan mesra bersama anak sulung kesayangannya, Khyra Khalyssa, 4, pada majlis pelancaran pertandingan bayi tahunan anjuran Johnson's Baby di One Utama, Bandar Damansara, Kuala Lumpur mengambil keputusan untuk enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.
Namun, pada riak muka pelakon tersebut ia menjelaskan ada sesuatu yang disembunyikannya.
Kosmo! meminta penjelasan daripada Dynas berhubung isu itu. Ikuti temu bual bersama duta produk rangkaian baharu Johnson Baby Milk and Rice itu.
Kosmo!: Boleh anda ceritakan sedikit situasi sebenar hubungan anda bersama suami, Hafizy Hafiz?
DYNAS: Saya enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut kerana hal ini melibatkan seluruh keluarga besar kami. Bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan di sini ialah hubungan saya dan dia masih lagi dalam keadaan baik. Kami juga masih lagi berhubung antara satu sama lain.
Adakah isu ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan anak anda serta suami?
Alhamdulillah, buat masa sekarang semuanya baik sahaja. Biarlah orang ingin menyebarkan khabar angin, yang penting hubungan saya dan anak-anak tidak terjejas. Saya ingin melihat anak saya membesar dengan baik dan saya mahu sentiasa ada bersama mereka.
Melihat penglibatan anak-anak anda dalam dunia komersial sejak kecil lagi, adakah anda selesa dengan keadaan ini?
Saya menyokong setiap apa yang diminati oleh anak-anak saya. Anak sulung saya, Khyra Khalyssa, 4, sudah menunjukkan minat dalam bidang peragaan. Saya juga melalui perkara yang sama, sejak kecil lagi saya sudah terlibat dalam dunia pengiklanan.
Ia juga mendapat persetujuan daripada ayah mereka. Saya fikir ia tidak menjadi masalah memandangkan mereka juga dapat wang atas usaha mereka ini.
DYNAS dan Hafizy berkahwin pada tahun 2008. Desas-desus perceraian mereka tersebar sekitar Februari lalu.


Apakah perasaan anda apabila dilantik sebagai salah seorang juri dalam pertandingan bayi tahunan ini?
Saya sangat teruja sekali kerana ia merupakan kali pertama kali dilantik untuk menjadi juri. Berbanding tahun sebelumnya, pertandingan ini menjanjikan kelainan apabila bayi yang memasuki pertandingan akan dinilai daripada segala aspek, bukan sahaja dari segi fizikal, malah perkembangan bayi dan ikatan erat bersama kedua ibu bapanya.
Apakah kriteria yang ada pada diri anda sehingga menyebabkan pihak Johnson's Baby melantik anda sebagai salah seorang juri pertandingan tersebut?
Mungkin disebabkan sebelum ini saya banyak berkecimpung dalam bidang pengacaraan yang melibatkan program perkembangan bayi dan juga mempunyai perniagaan pakaian ibu mengandung iaitu Dynas Nursing Attire' (DNA).
Bagaimanakah perkembangan perniagaan Dynas Nursing Attire (DNA) anda?
Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Kini saya mempunyai dua cawangan iaitu di The Curve, Damansara dan Setia City Mall. Saya juga bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Sabah.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya kini baru sahaja selesai daripada penggambaran utuk drama, Silir Kasih Bella terbitan RTM. Drama ini memberi kelainan kepada saya kerana watak yang dilakonkan merupakan watak protagonis berbanding watak antagonis yang selalu diberikan kepada saya.

Tiada cinta hanya kerjaya - Miera

Posted: 16 Apr 2014 10:00 PM PDT




SEBUT nama Miera Leyana pasti ramai akan menjurus ingatan terhadap bekas kekasihnya, Shahrizal Jaszle ataupun kontroversi gaun seksi yang disarung dalam sebuah majlis makan malam tiga tahun lalu.
Membuang segala kepahitan dan khilaf yang tidak disengajakan, kata Miera, dia kini dalam peringkat memulihkan kembali semangat dan kekecewaannya terdahulu.
Pencapaian tertingginya dalam industri hiburan tempatan menerusi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) menerusi lakonannya dalam filem Pecah menandakan keseriusan Miera untuk bergelar artis.
"Cinta? Buat masa sekarang saya rasa kerjaya itu lebih penting. Memang dahulunya saya akui saya membuat kesilapan terhadap banyak perkara tapi sekarang setelah usia menginjak angka 21, pemikiran saya jauh berbeza.
"Biarlah saya berehat daripada memikirkan perkara yang menyerabutkan kepala. Kalau sudah sampai saya bercinta, biarlah cinta itu datang dengan sendirinya," ujarnya yang ditemui usai tayangan filem Apokalips X bersama media di Cathay Cineplex, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Qi Qi
Mungkin ramai yang tidak menjangka filem Apokalips X yang sedang hangat ditayangkan di pawagam kini telah dibikin empat tahun lalu.
Dalam filem itu, Miera menjayakan watak Qi Qi, seorang gadis daripada klan Sri Gala yang jatuh cinta dengan Aman Chai (Adam AF) daripada klan Merah Putih.
MIERA enggan membabitkan diri dengan hal yang boleh membuatkan fikirannya menjadi tidak tenang.


Bagaimanapun, cinta mereka terhalang kerana perbezaan dan pertelagahan dua klan yang tidak sefahaman.
Kata Miera, pentingnya peranan Qi Qi dalam Apokalips X kerana dia yang akan menggerakkan konflik dalam filem itu.
"Di sebalik pertempuran yang berlaku antara beberapa puak yang wujud ketika itu, watak Qi Qi melembutkan suasana dengan elemen cinta dan kasih sayang.
"Namun, hubungan itu malangnya tidak direstui oleh kedua-dua ketua klan Sri Gala dan Merah Putih sehingga Qi Qi hampir terbunuh apabila timbul kekacauan yang turut melibatkan klan Kala Jengking," ceritanya serba sedikit.
Menarik mengenai filem pertama lakonan Miera, dia diberikan peluang untuk mewarnakan karakternya mirip dengan karakter komik manga Jepun.
"Dari segi berpakaian dan babak berlawan, Mamat memberikan saya satu garis panduan dan sepenuhnya kebebasan untuk saya mencorakkan karakter Qi Qi.
"Saya cuma bayangkan semua karakter dalam filem ini tidak normal!" tambahnya.
Masuk ICU
Mengimbas kembali pengalaman menarik sepanjang penggambaran filem Apokalips X, kata Miera dia pernah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) gara-gara dihempap lebih 10 orang pelakon tambahan.
"Ketika penggambaran satu babak di dalam bilik kosong, keadaan hiruk-pikuk yang tidak terkawal telah menyebabkan saya terjatuh.
"Tidak cukup dengan itu saya dihempap pula lebih 10 orang pelakon tambahan yang kebanyakannya lelaki. Akibat dihempap, saya pengsan dan akhirnya terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya.
MIERA LEYANA banyak menempuh pengalaman menarik sepanjang berada di lokasi penggambaran filem Apokalips X.


"Doktor mengesahkan tisu kaki saya terkoyak dan saya pengsan kerana tidak cukup oksigen. Selepas dirawat beberapa jam saya kembali ke set penggambaran untuk menyambung baki babak yang tidak sempat siap.
"Memang lucu tapi pada masa yang sama saya rasa ia mengerikan. Mujur tiada kecederaan serius tapi pengalaman itu amat berharga buat saya," katanya.
Apokalips X mengisahkan peradaban manusia yang hidup selepas Perang Nuklear meletus pada tahun 2047.
Saki-baki manusia yang terselamat daripada perang itu hidup dalam keadaan kacau-bilau, hilang arah tujuan dan menjadi ganas.
Lalu, muncul beberapa puak yang berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain demi untuk kelangsungan hidup dan bergelar ketua.
Tiga orang pahlawan utama yang tinggal selepas peperangan tersebut ialah X (Farid Kamil), Sri Gala (Peter Davis) dan Kala Jengking (Jehan Miskin). Masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang begitu taat kepada mereka.
Selain itu, filem Apokalips X dibantu oleh Dazrin Kamarudin, Zoee Tan, Adam AF, Sarimah Ibrahim, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim dan Dayana Roza.
Menampilkan tema fantasi dan komik, filem ini telah mula ditayangkan di pawagam sejak 3 April yang lalu.

Jackie Chan wasiat harta buat anak

Posted: 16 Apr 2014 09:56 PM PDT



JACKIE CHAN merancang menyerahkan empayar bisnes dan sebahagian hartanya buat anaknya, Jaycee (kanan) apabila tiba masanya kelak.


DIKETAHUI mempunyai hubungan yang tidak harmoni dengan bekas isteri dan anaknya, Jaycee Chan, bintang tersohor dunia, Jackie Chan baru-baru ini mengumumkan bahawa dia akan menyerahkan separuh hartanya kepada anak lelakinya itu manakala sebahagian lagi diagihkan untuk badan kebajikan.
Pengumuman tersebut dibuat sewaktu beliau ditemui pada majlis pelancaran Muzium Jackie Chan di Shanghai, China baru-baru ini.
Ujarnya: "Saya akan mengosongkan akaun bank saya dengan sebahagian aset diberikan kepada Jaycee, dan selebihnya untuk badan kebajikan bila tiba masanya."
Beliau yang baru menyambut ulang tahun ke-60 juga memberitahu bahawa legasi seni yang dibinanya, termasuk empayar perniagaan JCE Movies Limited akan diserahkan kepada Jaycee.
"Saya sudah bersedia untuk menyerahkan takhta empayar saya kepadanya. Dia telah bekerja keras dengan cukup baik selama ini.
"Maka dengan itu saya tidak teragak-agak untuk menyerahkan jawatan Pengarah Urusan (CEO) JCE Movies Limited kepadanya kelak," ujar Jackie yang merasakan anaknya itu paling layak menggantikan tempatnya.
Jackie bagaimanapun memberitahu, dia akan melakukan tempoh percubaan buat anaknya mengendalikan syarikat besar tersebut.
"Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya sendiri akan meminta rakan baik saya iaitu Nicholas Tse untuk membantunya," ujarnya lagi.
Mneyentuh mengenai hubungan dengan anaknya pula, Jackie mengakui bahawa sejak dahulu lagi, dia mendidik anaknya itu dengan tegas dan pernah memarahi pelakon muda itu sehingga hubungan mereka renggang.
Jackie juga dikatakan sering memarahi anaknya itu sehingga anaknya, Jaycee menjauhkan diri daripadanya.
"Namun sekarang, segalanya telah berubah. Kami kini semakin rapat dan saling membantu antara satu sama lain, terutamanya melibatkan hal kebajikan. Saya juga bergurau dengannya supaya melupakan kisah dahulu," ujarnya berseloroh.

Nahas feri di Korea Selatan

Posted: 16 Apr 2014 09:52 PM PDT


BOT milik pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa sebuah feri yang terbalik dan karam ketika dalam perjalanan dari Bandar Incheon menuju ke pulau Jeju semalam.


SEOUL - Pasukan penyelamat Korea Selatan termasuk beberapa penyelam unit elit tentera laut, SEAL bertungkus-lumus mencari 291 orang yang hilang selepas sebuah feri membawa 459 penumpang dan kru karam semalam.
Ketika kejadian, feri Sewol itu dalam perjalanan dari Bandar Incheon menuju ke pulau peranginan Jeju.
Kebanyakan penumpangnya terdiri daripada pelajar sekolah tinggi.
Setakat ini, empat penumpang disahkan maut selepas feri itu tenggelam di Laut Jepun, kira-kira 20 kilometer dari pulau Byungpoong, selatan Korea Selatan.
Pihak berkuasa turut menyatakan seramai 55 orang cedera dalam nahas tersebut. Menuru tnya, mangsa yang disahkan terselamat setakat ini hanya seramai 164 orang.
"Baki 291 orang lagi masih belum ditemui," kata Timbalan Menteri Keselamatan dan Pentadbiran Awam, Lee Gyeong-Og pada satu sidang akhbar di sini.
Semakan semula itu mencetuskan kebimbangan bahawa angka kematian sebenar adalah jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal.
Feri seberat 6,825 tan itu terbalik dan tenggelam dua jam selepas ia menghantar isyarat kecemasan pada pukul 9 pagi waktu Korea Selatan.
Beberapa rakaman televisyen menunjukkan penumpang-penumpang yang memakai jaket keselamatan memanjat ke dalam bot-bot keselamatan ketika feri itu beransur karam.
Pada masa yang sama, petugas-petugas penyelamat termasuk kru sebuah bot nelayan bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mereka.
Gyeong-Og berkata, jumlah mangsa terselamat yang lebih tinggi itu berpunca daripada kekeliruan ekoran percampuran sumber maklumat.
"Daripada 429 penumpang, lebih 300 orang merupakan pelajar sebuah sekolah tinggi di Ansan, selatan bandar raya ini yang melakukan perjalanan bersama 14 guru mereka," kata Gyeong-Og.
Kebanyakan mangsa yang terselamat berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal nelayan dan beberapa kapal komersial yang kebetulan berada di sekitar lokasi kejadian.
Tidak lama selepas itu beberapa buah kapal dan bot tentera laut serta pengawal pantai yang turut dibantu oleh beberapa buah helikopter tiba untuk memberi bantuan.
Menurutnya, sejumlah penyelam termasuk pasukan penyelam SEAL Korea Selatan memeriksa feri yang karam itu.
"Namun, air laut yang berkeladak menyebabkan jarak penglihatan amat terhad," tambah timbalan menteri berkenaan.
Terdahulu, feri tersebut belayar dari pelabuhan Incheon yang terletak sekitar 430 kilometer dari Jeju petang kelmarin.
Punca kemalangan masih belum jelas tetapi beberapa penumpang terselamat memberitahu, feri itu terhenti secara tiba-tiba yang menunjukkan ia mungkin terlanggar beting pasir.
Cuaca pada hari kejadian dilaporkan cerah dengan kekuatan ombak dan angin yang sederhana.
"Terdapat bunyi yang amat kuat sebelum feri ini mula senget," kata seorang penumpang yang terselamat, Kim Song-Muk.
"Para penumpang bergegas untuk naik ke geladak atas tetapi ia amat sukar ekoran keadaan kapal yang condong," katanya.
Seorang pegawai tempatan yang tiba di lokasi kemalangan dengan menaiki bot sejam selepas isyarat kecemasan dihantar berkata, beliau amat bimbang mengenai mangsa-mangsa yang masih hilang.
"Feri itu hampir karam sepenuhnya apabila saya tiba di tempat kejadian. Ramai orang dikhuatiri terperangkap," katanya.
Suhu air laut pada hari kejadian adalah sejuk iaitu sekitar 12.6 darjah celsius.
Hampir 300 orang maut apabila sebuah feri di perairan barat Korea Selatan terbalik pada Oktober 1993 dalam kemalangan yang disifatkan antara terburuk di negara itu.

20 tahun pakai pakaian warna bendera Brazil

Posted: 16 Apr 2014 09:51 PM PDT



RUANGAN pejabat Paviotti dihiasi dengan warna hijau, kuning, putih dan biru.



SAO PAULO - Seorang peminat fanatik pasukan bola sepak Brazil hanya memakai pakaian yang bertemakan warna bendera negara itu sejak 20 tahun lalu.
Lelaki tersebut, Nelson Paviotti berbuat demikian selepas berjanji untuk hanya memakai pakaian mengikut warna bendera Brazil jika negara itu menjuarai temasya bola sepak Piala Dunia pada tahun 1994.
Brazil menjurai piala paling berprestij tersebut selepas menewaskan Itali dalam temasya yang berlangsung di Amerika Syarikat.
Katanya, sebelum perlawanan tersebut, dia berjanji pada rakan-rakannya untuk hanya memakai pakaian berwarna hijau, kuning, putih dan biru, warna yang terdapat pada bendera Brazil jika negara itu muncul juara.
Menurutnya, hiasan rumah termasuk ruangan pejabatnya juga dihiasi dengan tema bendera Brazil.
"Saya turut mewarnakan dua buah kereta dengan warna bendera Brazil dan memainkan lagu kebangsaan negara ketika sedang memandu.
"Saya sangat sayangkan negara saya sendiri, Brazil dan juga penduduk di sini," katanya.
Pada tahun ini Brazil akan menjadi tuan rumah temasya Piala Dunia yang berlangsung pada Jun ini.

Jejak bertapak Moudini di Malaysia

Posted: 16 Apr 2014 09:48 PM PDT




BERBEKAL sebuah topi berwarna hitam, dia dilihat melambungkan objek berkenaan ke udara beberapa kali. Ligat tangannya beraksi, Mahdi Moudini, 35, tidak pernah lekang memberikan senyuman kepada penonton.
Selepas beberapa saat 'berinteraksi' dengan topi berkenaan, dengan tidak semena-mena, dia dilihat mengeluarkan beberapa ekor burung merpati yang berlainan warna. Teruja dengan persembahan tersebut, para penonton yang hadir kedengaran bersorak sambil bertepuk tangan.
Begitulah aksi yang dipersembahkan oleh Mahdi pada majlis penyampaian anugerah Tokoh Merlin dan Best Illusionist in Malaysia 2014 menerusi Merlin Award di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengasas Merlin Award, Tony Hassini.
Berhasrat mengajar kemahiran serta ilmu silap mata yang ada padanya kepada dua orang cahaya matanya, Mahdi turut bercita-cita mahu melihat ilmu tersebut diperturunkan serta diwarisi oleh beberapa generasi Moudini akan datang.
Turun ilmu
"Sejak berusia lima tahun, saya telah mula mempelajari ilmu silap mata yang diperturunkan oleh datuk dan ayah saya. Pada usia itu juga, saya telah mula berjinak-jinak dengan persembahan di atas pentas.
"Oleh yang demikian, saya mahu melihat anak-anak saya turut mewarisi kemahiran yang serupa supaya ilmu tersebut tidak terputus tanpa dipelajari oleh ahli keluarga yang lain," ujar Mahdi ketika ditemui usai majlis penyampaian anugerah tersebut.

AKSI spontan Mahdi melakukan ilusi silap mata bersama pelakon Betty Banafe (kiri) dan Annahita Bakavoli.


Bagaimanapun, hasratnya itu bukanlah berbentuk paksaan, malah lebih kepada galakan masa lapang selepas Marcheline dan adik lelakinya, Maddix Moudini, 3, pulang daripada sekolah.
"Saya hanya menggalakkan mereka untuk mempelajari teknik-teknik silap mata pada masa terluang sahaja. Sebagai contoh, selepas mereka pulang dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah yang diberikan kepada mereka.
"Jika suatu hari nanti mereka mahu bertukar selera atau bidang, saya perlu akur dengan kehendak itu. Tetapi, setakat ini, mereka gembira dengan apa yang dipelajari dan sentiasa ingin mencuba belajar sesuatu yang baharu," ujar Mahdi yang begitu menginginkan salah seorang daripada anaknya bakal menjadi generasi kelima Moudini yang arif dalam bidang silap mata.
Sama seperti anak-anaknya, Mahdi mendapat pendedahan awal dalam bidang ilusi silap mata menerusi bapanya, Ismail Moudini. Selain itu, dia turut menjadikan datuknya, Ibrahim Moudini sebagai sumber inspirasi untuk terus berusaha dan mengukir nama dalam bidang tersebut.
Selepas tamat menjalani latihan ketenteraan di kampung halamannya, anak jati kelahiran Karaj, Iran ini mengambil keputusan untuk mengembara dan mencari platform yang lebih sesuai bagi mengembangkan kemahirannya dalam mempersembahkan ilusi silap mata.
Malaysia negara selamat
"Ketika itu saya berusia 18 tahun. Saya dan seorang rakan mengambil keputusan untuk terbang ke Jepun bagi mengembangkan karier di sana. Tetapi, disebabkan masalah visa, saya terpaksa singgah ke Kuala Lumpur bagi memohon visa yang lain sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.
"Bagaimanapun, ketika berada di lapangan terbang, saya melihat seorang pemandu teksi telah memulangkan beg kepunyaan penumpangnya yang tertinggal di dalam kenderaannya.

MAHDI dani sterinya, Mahdis Aqilah Goh berhasrat untuk melihat anak mereka iaitu Marcheline dan adik lelakinya, Maddix berjaya dalam bidang silap mata suatu hari nanti.


"Di situ, saya lihat Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat dan terus mengambil keputusan untuk bermaustautin di sini," ujar Mahdi sambil menyifatkan Kuala Lumpur juga merupakan sebuah platform yang sesuai untuk memperkembangkan profesyennya sebagai ahli ilusi silap mata.
Setelah berada di Kuala Lumpur selama lebih dua minggu, Mahdi kemudiannya ditawarkan untuk membuat persembahan dan menjadi ahli silap mata residen di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
"Ketika membuat persembahan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur, sambutan yang diterima sungguh menggalakkan. Saya tidak pernah mendapat sambutan serupa ini ketika mengadakan persembahan di Iran.
"Sehingga sekarang, sambutan yang diterima tidak pernah hambar. Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menyukai persembahan saya," ujar Mahdi lagi.
Persembahan berskala besar
Melanjutkan perbualan, Mahdi yang menerima anugerah Tokoh Merlin buat kali yang ketiga berkata, dia bercita-cita mahu membuat sebuah ilusi terbesar yang melibatkan pesawat dan lapangan terbang.
Impian tersebut telah dipasang sekian lama. Mahdi membayangkan dia akan menaiki pesawat dari satu lokasi menuju satu destinasi yang tidak dinyatakan, namun dirinya akan berada di destinasi tersebut sebelum pesawat tiba di sana.
Malangnya, setelah apa yang berlaku ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 baru-baru ini, Mahdi yang berkebolehan untuk melakukan sebanyak 1,000 ilusi silap mata ini mengambil keputusan untuk menangguhkan hasratnya itu.
Bagaimanapun, Mahdi berpendapat bahawa dia akan berusaha untuk melakukan persembahan itu dalam masa yang terdekat ini.

MEMUKAU. Selain kanak-kanak, persembahan Mahdi turut mendapat perhatian golongan dewasa.


Suka bersukan
Bercerita mengenai kehidupannya di belakang tabir, Mahdi memberitahu, dia merupakan seorang individu yang gemar bersukan serta menjaga kesihatan.
"Untuk menjadi seorang ahli silap mata, kita perlu menjaga kesihatan badan dan mengekalkan bentuk tubuh yang ideal. Ini kerana, setiap ilusi yang ekstrim menuntut pergerakan tubuh yang fleksibel.
"Justeru, bagi mendapatkan bentuk tubuh yang ideal, saya sering berjoging selama 90 minit setiap kali selepas selesai solat Subuh. Selain itu, saya juga melakukan senam perut sit-up sebanyak 3,000 kali setiap hari," ujarnya lagi.

Singkatkan masa menyelamat

Posted: 16 Apr 2014 09:46 PM PDT



DISAHKAN menghidap sakit jantung setahun lalu membuatkan Fahmi Idris, 54, sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar kesihatan dirinya terpelihara.
Dia mengurangkan aktiviti harian dan mula mengamalkan cara hidup sihat dengan dikawal selia oleh ahli keluarganya.
"Saya juga membuat senaman ringkas tetapi tidak terlalu berat kerana bimbang diserang sakit jantung secara tiba-tiba," ujarnya ketika ditemui Infiniti di Planetarium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bekerja di sektor awam, Fahmi berharap mempunyai satu peranti yang membolehkan dia berhubung secara terus dengan ahli keluarga dan hospital ketika berlakunya detik-detik cemas.
"Baru-baru ini, saya terbaca di akhbar bahawa pihak Agensi Angkasa Negara (Angkasa) telah mencipta alat prototaip yang boleh digunakan pesakit sebagai penggera kecemasan.
"Pada pendapat saya, ia sangat bermanfaat terutamanya kepada pesakit yang berjauhan dengan keluarga," kongsi Fahmi.
Peranti yang dinamakan Sistem Kecemasan Perubatan Luar Bandar (REMS) merupakan sistem pengesan kedudukan pesakit menggunakan aplikasi satelit Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan satelit Remote Sensing.
Dibangunkan oleh Angkasa dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), ia membolehkan pengguna menghubungi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) dan ahli keluarga dengan menekan butang kecemasan (SOS).
"Ketika berlaku kecemasan seperti serangan jantung dan sesak nafas, pesakit kebiasaannya menjadi panik. Mereka tidak dapat berfikir dengan tenang.
"Maka, dengan adanya peranti REMS ini, jangka masa menyelamat boleh disingkatkan kerana isyarat yang diberikan oleh pesakit ke pusat kawalan EMS hanya mengambil masa 15 hingga 45 saat," jelas Pegawai
PERBINCANGAN dan kajian yang menyeluruh dilakukan oleh Angkasa bagi memastikan REMS dapat bertindak sebagai peranti kecemasan dan menyelamat.


Penyelidik, Bahagian Pembangunan Teknologi dan Aplikasi Angkasa, Shahrizal Ide Moslin.
Dia menambah, pesakit yang menekan butang SOS pada REMS, ia akan menghantar isyarat koordinat kepada EMS. Ia seterusnya memaparkan lokasi pesakit pada peta digital di komputer pusat kawalan EMS.
Maklumat
Maklumat lokasi itu membolehkan EMS menghantar ambulans ke tempat tersebut dan membawa pesakit ke hospital berdekatan.
"Di pusat kawalan, pihak EMS boleh menjejaki kedudukan ambulans ketika menuju ke lokasi kecemasan menggunakan Sistem Lokasi Kenderaan Automatik (AVLS).
"Pada masa sama, paramedik boleh melihat data-data perubatan pesakit bagi memudahkan mereka mengenal pasti tahap kesihatan mangsa.
Jelas Shahrizal, maklumat terperinci pesakit amat diperlukan supaya pihak EMS mengetahui tahap keseriusan kesihatan pesakit.
"Sebagai contoh, jika pesakit menghidap sakit jantung, mereka perlu dirawat dalam kadar segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Disebabkan itu, pesakit diwajibkan mengisi borang maklumat peribadi dan rekod kesihatan mereka," ujarnya.
Menurut seorang lagi Pegawai Penyelidik Angkasa, Ooi Wei Han, setakat ini, peranti prototaip itu mendapat perhatian daripada BSMM dan akan digunakan kepada pesakit-pesakit terpilih.
Katanya, BSMM akan memberikan peranti tersebut kepada mereka yang mempunyai penyakit kritikal dan memerlukan rawatan segera seperti sakit jantung, angin ahmar, elepsi dan wanita mengandung.
"Selain memberikan isyarat GPS, peranti tersebut juga dilengkapi dengan kemudahan menyimpan dua hingga tiga nombor telefon ahli keluarga pesakit.
"Malah, ketika mereka menekan butang SOS, nombor-nombor yang disimpan itu akan menerima sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berserta koordinat pesakit," ujar Wei Han.
PESAKIT boleh menggunakan REMS ketika melakukan aktiviti harian.


Talian telefon
Memandangkan ia boleh membuat panggilan, peranti itu memerlukan talian telefon untuk berfungsi dan perlu dicaj seperti alat elektronik biasa.
Pembangunan REMS yang dibiayai menerusi dana Program Inovasi Inklusif 2013 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengetengahkan dua bentuk rekaan iaitu jam tangan untuk pengguna lelaki dan peranti kecil mudah alih bagi wanita.
Rekaan ini mendapat dua pingat emas pada pertandingan reka cipta Innovation And Invention Competition Through Exhibition (Icompex) 2014 di Jitra, Kedah baru-baru ini.
Justeru, pihak Angkasa berhasrat untuk menaik taraf peranti kecemasan itu dengan beberapa penambahan.
"Pada fasa kedua, ia akan dinamakan Rapid Emergency Medical System penggunaannya diperluaskan lagi kepada orang awam.
"Selain itu, kami dalam kajian untuk menambah fungsi sensor yang dapat mengesan perubahan tekanan suhu dan kadar degupan jantung pesakit," optomis Shahrizal.
Tambahnya, gajet ini boleh dimanfaatkan hospital-hospital swasta mahupun agensi insurans untuk diberikan kepada pesakit yang memerlukan.

Perisa baharu Tiger Biskuat

Posted: 16 Apr 2014 09:44 PM PDT

TIGER Biskuat Nutrifruit terdapat dalam dua perisa baharu iaitu coklat strawberi dan coklat pisang.


PEMAKANAN merupakan antara elemen penting dalam tumbesaran mental dan fizikal kanak-kanak. Pemakanan yang menyihatkan mampu mempertajamkan minda dan membantu pembelajaran mereka.
Merupakan biskut kegemaran kanak-kanak, Tiger Biskuat keluaran Mondelez Malaysia, memperkenalkan dua jenis biskut baharu iaitu Tiger Biskuat Nutrifruit Strawberry Choc dan Banana Choc yang memahami kehendak dan keperluan tumbesaran mereka.
Ketua Bahagian Biskut, Mondelez Malaysia, Jean Ler memberitahu, pengenalan biskut perisa baharu itu merupakan satu langkah terbaik dalam usaha untuk mendidik ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan kepada anak-anak.
Menurutnya, kedua-dua produk baharu itu dihasilkan setelah sesi penyelidikan dan pembangunan pemakanan kanak-kanak dijalankan selama 18 bulan.
"Kami sedar betapa pentingnya zat makanan seimbang dan peranannya dalam menyemai sikap ingin belajar serta ingin tahu kepada kanak-kanak. Pihak kami percaya sekolah terbaik adalah pada zaman kanak-kanak dan tiada guru sehebat sifat ingin tahu dalam diri mereka.
"Dengan pelancaran Tiger Biskuat NutriFruit perisa baharu ini, ia bukan sahaja membekalkan zat makanan bahkan, menyediakan platform kepada ibu menjadi rakan kepada anak-anak mereka," ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran produk tersebut di ibu negara baru-baru ini.
Dua perisa baharu itu mengandungi ramuan berkhasiat dengan kombinasi buah buah-buahan gandum, susu dan coklat yang lazat.

DARI kanan: Sharifah Sofia bersama Jean, Eric dan Annie pada majlis pelancaran perisa baharu Tiger Biskuat di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Perisa coklat strawberi mengandungi potongan buah strawberi dengan rasa coklat. Perisa coklat pisang pula mengandungi perahan puri pisang yang disaluti coklat yang rangup.
Selain rasa yang enak, kedua-dua biskut itu kaya dengan vitamin A, B dan C. Kombinasi pelbagai vitamin itu juga memberi kesihatan mata, tenaga dan membantu badan anak anda menyerap zat besi daripada makanan.
Tambah Jean, variasi baharu itu dibungkus dalam pek kecil mudah dibawa yang mengandungi dua keping biskut setiap satu.
"Pek ini membolehkan kanak-kanak membawa bekalan biskut ke mana-mana sahaja tanpa perlu memikirkan bekas simpanan untuk lebihan. Ia memudahkan kanak-kanak bergerak dan melakukan aktiviti harian sambil menikmati pemakanan yang sihat," jelasnya.
Tiger Biskuat merupakan antara jenama biskut utama daripada Mondelez Malaysia yang memahami kepentingan aspek ini dan telah memberi komitmen untuk merangsang tenaga dan minda kanak-kanak sejak 14 tahun lalu.
Aktiviti luar
Selain sesi pelancaran dua perisa baharu Tiger Biskuat, Mondelez Malaysia turut mengadakan sesi wawancara bertajuk Living an Adventurous Life with Your Child yang dikendalikan oleh Annie Joseph. Sesi itu menggandingkan Pengasas Yayasan Kits4Kids, Prof. Dr. Eric Lim bersama selebriti, pelakon dan ibu kepada dua orang cahaya mata, Sharifah Sofia.
Menurut Eric, kanak-kanak masa kini perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang mencabar seperti melakukan aktiviti luar dan tidak hanya bergantung kepada gajet canggih dalam kehidupan harian mereka.

SHARIFAH SOFIA yakin nutrisi yang baik membantu tumbesaran anak-anaknya.


Jelasnya, cabaran dalam kehidupan kanak-kanak hadir dalam pelbagai bentuk dan fungsinya dalam membina tumbesaran mereka.
"Cabaran merupakan satu perkara yang dilakukan tanpa mengetahui hasil di akhirnya. Kebanyakan ibu bapa dewasa ini tidak mempunyai pengetahuan mengenai cabaran dalam kehidupan anak-anak. Cabaran hadir dalam pelbagai cara tidak hanya melibatkan aktiviti fizikal.
"Ibu bapa merupakan watak utama dalam membentuk keperibadian, intelektual, fizikal dan emosi anak-anak. Sekiranya ibu bapa memberi perancangan dan pendedahan mengenai cabaran, ia merupakan kaedah terbaik dalam kehidupan anak-anak sebagai persediaan menempuhi alam remaja," ujarnya.
Menerusi sesi itu, Sharifah Sofia turut menceritakan kaedah, teknik dan pendekatan sebagai seorang ibu untuk membimbing dua cahaya matanya.
Menurutnya, pendekatan yang dilakukan itu memberi pendedahan kepada anak-anaknya belajar untuk mengatasi cabaran dan penyelesaian masalah menerusi aktiviti harian sama ada di dalam atau luar rumah.

Implikasi kesalahan bahasa

Posted: 16 Apr 2014 09:43 PM PDT



PENGUASAAN bahasa Melayu dan Inggeris perlu seiring dalam mendidik anak-anak pada hari ini. - Gambar hiasan


SEKIRANYA membaca mesej pesanan ringkas atau kiriman e-mel yang dihantar oleh golongan remaja, pastinya terdapat banyak bahasa baharu yang sukar difahami maksudnya. Ayat dan perkataan telah diringkaskan menjadi kosa kata yang baharu.
Anehnya, walaupun ia sukar difahami oleh kebanyakan yang sudah berumur, generasi muda mudah memahami penggunaan bahasa ringkas itu.
Walaupun tiada alasan yang menghalang manusia menggunakan pelbagai bahasa atau istilah yang mereka fahami, tetapi penularan bahasa baharu harus menjadi kebimbangan. Ia bakal merosakkan keindahan bahasa.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan masyarakat tidak lagi beranggapan bahawa bahasa merupakan suatu unsur penting dalam sesebuah budaya bangsa.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sesuatu bahasa juga akan pupus sekiranya tidak dipelihara. Ia bukanlah suatu hal yang aneh kerana banyak bahasa dunia telah pupus.
Seorang sarjana dalam bidang bahasa, Michael Krauss meramalkan bahawa separuh daripada 6,000 bahasa yang ada di dunia hari ini akan pupus dalam tempoh satu abad lagi.
Sebagai contoh, Marie Smith Jones adalah satu-satunya individu yang tahu berbahasa Eyak di Alaska, Amerika Syarikat. Bahasa Eyak merupakan satu daripada 20 bahasa yang ada di Alaska. Kematiannya pada Januari 2008 telah menyebabkan bahasa tersebut pupus ditelan zaman.
Sementara itu, hanya dua orang individu yang tahu berbahasa Warrwa di Kimberley, Australia Barat pada tahun 2009. Di selatan negara Vanuatu pula, hanya enam orang warga tua yang tahu dan fasih berbahasa Ura.

SEGELINTIR orang turut menukarkan struktur ejaan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu dengan sebutan perkataan yang sama.


Sekitar tahun 1992, Tefvic Esenc manusia terakhir yang diketahui fasih berbahasa Ubykh (bahasa yang dituturkan di satu wilayah Rusia) telah meninggal dunia. Kematiannya sekali gus menamatkan sejarah bahasa Ubykh.
Lihatlah, bagaimana keindahan bahasa boleh sama sekali pupus apabila ia tidak dijaga atau digunakan sebaik-baiknya.
Walaupun kita tidak beranggapan bahawa bahasa Melayu bakal menghadapi nasib yang sama seperti bahasa-bahasa lain yang telah pupus, tetapi ia mungkin terjadi sekiranya manusia mula mengabaikan keindahan bahasanya.
Proses kepupusan
Hakikatnya, banyak bahasa yang sedang mengalami proses kepupusan di dunia masa kini. Ethnologue misalnya menganggarkan bahawa terdapat 204 bahasa yang kini hanya dituturkan kurang daripada 10 pengguna, 34 bahasa yang dituturkan hanya kurang daripada 99 orang dan 548 bahasa yang dituturkan oleh lebih 99 orang. Semua bahasa itu berpotensi dan bakal pupus.
Salahkah sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang betul? Mengapa harus digubah bahasa Melayu menjadi satu bahasa lain dan tiada maknanya lagi?
Sekiranya, kita melihat kepada bahasa-bahasa besar dunia, ia terus kekal sepanjang zaman bukan sahaja kerana jumlah penggunanya yang besar, malah mereka juga sangat mencintai bahasa mereka. Bahkan, dalam masyarakat tertentu, mereka tidak melayan orang lain yang berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa asing.
Sayangnya, dalam masyarakat di Malaysia khususnya, kita beranggapan bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya. Mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dianggap bijak dan hebat. Secara realitinya, ia hanyalah sekadar satu daripada bahasa yang ada di dunia.
Tidak menjadi kesalahan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi bukanlah bermakna kita cenderung untuk tidak menghargai bahasa ibunda.

DIDIKAN bahasa Melayu oleh ibu bapa amat penting bagi memastikan penggunaan bahasa ibunda ini tidak pupus. – Gambar hiasan


Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa utama dunia. Seorang sarjana bahasa yang ternama, David Graddol meramalkan bahawa terdapat seramai 10.5 juta pengguna bahasa Melayu pada tahun 2050.
Bahasa Inggeris juga bukanlah bahasa terbesar dunia. Ia hanya dituturkan di kebanyakan negara. Sebenarnya bahasa terbesar yang dituturkan manusia ialah bahasa Mandarin, dengan jumlah sekitar 873 juta pengguna.
Bahasa Inggeris hanya dituturkan oleh kira-kira 309 juta pengguna iaitu lebih rendah daripada penutur bahasa Sepanyol yang berjumlah kira-kira 322 juta manusia.
Ini bermakna, bahasa Melayu bukanlah suatu bahasa yang sepatutnya dipandang rendah. Pengguna bahasa Melayu bersamaan dengan pengguna bahasa Jerman.
Kesilapan
Oleh itu, kita tentu akan lebih gembira sekiranya anak muda di negara ini tidak melihat perbuatan mencipta istilah baharu atau meringkaskan sesetengah ayat sebagai sesuatu yang bersifat biasa sahaja.
Walaupun ia bukan satu bentuk kesalahan dalam konteks undang-undang, tetapi secara psikologikalnya kita mungkin sedang melakukan satu kesilapan. Masyarakat telah membiarkan khazanah pusaka bangsa diubah bentuk kepada sesuatu yang sangat aneh dan janggal.
Sayangilah bahasa kita. Janganlah hanya kerana ingin menjimatkan caj khidmat pesanan ringkas atau kesibukan melakukan perkara lain, kita telah melakukan sesuatu yang mencemarkan keindahan bahasa.
Mungkin kita tidak berasa apa-apa buat masa sekarang. Bayangkan dalam tempoh 100 tahun lagi, ada seorang sahaja manusia yang tahu dan boleh berbahasa Melayu. Perkara itu tidak mustahil untuk berlaku sekiranya kita tidak menghargai penggunaan bahasa yang betul.

Artis Top Bakal Meriahkan Pelancaran mStar Online Esok

Posted: 16 Apr 2014 05:02 AM PDT


anuar zain
Anuar Zain akan memeriahkan pelancaran wajah baharu mStar Online Khamis.
PETALING JAYA: Barisan artis-artis popular  bakal memeriahkan majlis pelancaran wajah baharu mStar Online yang akan berlangsung di Alexis Gardens, Mid Valley, Bangsar di sini pada Khamis (esok).

Pelawak Shuib (Sepahtu), Jihan Musa dan Yus (Jambu) dijangka dapat menggeletek hati tetamu dengan telatah-telatah lucu dan gimik yang bakal dilakukan.

Pelakon Fahrin Ahmad dan juruhebah Suria FM iaitu Adibah Noor pula akan bertindak sebagai pengacara.
alyah
Alyah


Majlis yang akan bermula kira-kira pukul 3 petang itu bakal dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi hebat iaitu Anuar Zain, Alyah dan juga Riz (AF6).

Malah, lebih 50 selebriti yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pengarah filem dan produser akan sama-sama menyokong pelancaran wajah baharu portal ini.

Antara artis yang bakal hadir ialah Rozita Che Wan, Zain Saidin, Amy (Search), Kamal Adli, Siti Saleha, Hairul Azreen, Afiq Muiz, Farawahida, Akim Ahmad, Fouziah Gous, Tasha Shilla dan Anzalna Nasir.

fazura
Fazura


Turut mengesahkan untuk hadir ialah Elfira Loy, Sazzy Falak, Karl Shafek, Johan As'ari, Fazli Zainal, Uqasha Senrose, Gambit Saifullah, Qi Razali, Aishah Sinclair, Nelydia Senrose, Haiza, Yasmin Hani, Nurul Wahab, Hans Isaac dan Dynas Mokhtar.

Antara pengarah dan produser yang bakal memeriahkan pelancaran ini ialah Shuhaimi Lua, Mamat Khalid, Raja Azmi, Fadzil Teh dan David Teo.

Bintang sukan yang akan bersama pula terdiri daripada Ann Osman, AJ Pyro, Nazmi Faiz dan Azlan Iskandar.

Pereka fesyen ternama juga bakal memeriahkan pelancaran mStar Online iaitu Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Hatta Dolmat, Nurita Harith, Zakwan Anwar dan Khoon Hooi.

intan ladyana
Intan Ladyana


Dalam pada itu juri pemilihan peraduan #mstarvip iaitu Fazura dan Rizman berkata, mereka tidak sabar untuk bersua muka dengan 20 pemenang peraduan berkenaan yang dipilih berdasarkan penampilan 'summer chic' paling menarik menerusi akaun Instagram mstardotcomdotmy.

"Sebagai juri, kami menanti 20 peserta untuk hadir dengan imej yang ditunggu-tunggu bersesuaian dengan pelancaran ini," kata mereka.

mStar Online mula diperkenalkan pada Ogos 2005 manakala perubahan wajah baharunya menemui pembaca sejak 9 Mac lalu.
fahrin ahmad
Fahrin Ahmad

13 Peserta Kilauan Emas Musim kempat Dipilih

Posted: 16 Apr 2014 05:00 AM PDT

kilauan emas 2
Barisan peserta dan tenaga pengajar rancangan Kilauan Emas musim keempat yang bakal disiarkan pada 23 Apri ini.
KUALA LUMPUR: Seramai 13 peserta bakal berentap dalam program realiti Kilauan Emas musim keempat yang bakal berlangsung  di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini pada setiap Rabu bermula 23 April ini.
Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran di Astro Prima (105). 
Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, peserta kali ini lebih bersedia dan memahami konsep program tersebut  selepas tiga musim bersiaran.
"Apa yang saya lihat kesemua peserta kali ini memang sudah bersedia daripada segi persembahan dan kebanyakan mereka yang datang uji bakat sudah tahu apa yang kami mahukan. 
"Peserta yang terpilih ini mempunyai kekuatan dan personaliti berbeza yang mana saya yakin dapat memberi persaingan dan mewarnai pertandingan ini," katanya pada sidang media mengumumkan barisan peserta itu di Saloma Bistro, di sini, Selasa.
Inilah 13 peserta Kilauan Emas musim keempat.
Dalam pada itu, tiga orang juri tetap dipertanggungjawabkan menilai persembahan para peserta mengikut kriteria yang ditetapkan.
Juri yang dipilih ialah pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS, penyanyi tersohor Ziana Zain dan seorang juri undangan yang akan bertukar ganti setiap minggu.
Sementara itu individu lain yang turut terlibat ialah Datuk Adnan Abu Hassan yang bertindak sebagai guru nyanyian, Siti Hajar (guru vokal), Shah (Slam - Guru muzik) dan Ahmad Kassan (Guru Tarian).
Program ini masih mengekalkan format yang sama iaitu pemarkahan dinilai sebanyak 70 peratus daripada juri tetap, manakala 30 peratus melalui undian penonton menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas ( SMS).
Juara Kilauan Emas bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry berserta sebuah trofi.
Manakala pemenang tempat kedua bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan sebuah kereta Nissan X Gear serta sebuah trofi.
Sementara tempat ketiga bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi.
Program ini masih mengekalkan pengacara musim sebelum ini iaitu penyampai radio Sinar FM, Raja Azura.

Zahida Rafik gagal ketepi saman bekas pemandu

Posted: 16 Apr 2014 04:59 AM PDT


  • zahida rafik
KUALA LUMPUR - Pelakon Zahida Rafik hari ini gagal mengetepikan saman yang difailkan bekas pemandu peribadinya berhubung tuduhan memfitnah dalam sebuah akhbar tabloid berkaitan kehilangan wang RM200,000.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Zahida untuk mengetepikan saman yang difailkan Noor Azman Azemi serta memerintahkan Zahida membayar kos RM3,500 kepada lelaki itu.

Hue membuat keputusan itu di dalam kamarnya di hadapan peguam Latheefa Koya yang mewakili Noor Azman dan Jeffrey John yang mewakili Zahida.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa Hue menolak permohonan itu atas alasan saman berkenaan bukan suatu kes yang patut ditolak dan mahkamah menetapkan 20 dan 21 Oktober untuk perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah juga menolak permohonan defendan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 27 November tahun lepas, Noor Azman memfailkan saman yang mendakwa pelakon terbabit, yang berlakon dalam filem 'Anak Mami The Movie', secara salah dan berniat jahat membuat kenyataan berunsur memfitnah dalam sebuah artikel yang disiarkan akhbar berkenaan pada 3 Mac tahun lepas.

Noor Azman mendakwa Zahida menuduhnya melesapkan wang itu, yang sepatutnya dimasukkannya ke dalam akaun bank pelakon tersebut.

Menurut Noor Azman, kenyataan itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak amanah, pencuri dan penjenayah serta mencemar nama baiknya dan merosakkan peluangnya untuk mendapat pekerjaan.

Menurut Noor Azman dia direman polis selama empat hari selepas Zahida,39, membuat laporan polis terhadapnya berhubung kehilangan wang itu.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Cara pemuzik 'cari makan'

Posted: 16 Apr 2014 04:55 AM PDT


  • Cara pemuzik 'cari makan'
MASIHKAH anda ingat lagi akan zaman kegemilangan industri muzik pada era 80 hingga 90 an? Ketika itu, kebanyakan album yang dijual mampu meraih keuntungan berlipat ganda hasil daripada penjualan.

Malah, ada sesetengah album berjaya melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya dijual lebih daripada 100,000 unit sehingga melayakkan artis berkenaan menerima anugerah platinum.

Antara penyanyi yang berjaya meraih anugerah platinum ini termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan adik-beradik, KRU.

Kebanyakan daripada pemuzik dan penyanyi lebih tertumpu kepada penjualan album  untuk menjana pendapatan mereka sebagai anak seni.

Namun, pada hari ini, usahkan 100,000 unit, untuk mendapatkan jualan album sebanyak 10,000 pun ibarat bermimpi di siang hari.

Mana tidaknya, perkembangan teknologi yang kian canggih ini menyaksikan masyarakat lebih selesa menggunakan khidmat di 'hujung jari' untuk mendapatkan muzik pilihan serta menjadikan penjualan album sudah tidak relevan lagi.

Malah, laman perkongsian video, YouTube, juga merupakan salah satu platform yang digunakan untuk mendapatkan bahan-bahan berkenaan dengan cara yang mudah.

Jika diperhatikan, jumlah penonton laman perkongsian ini juga mencecah lebih jutaan pelayar, bukan sahaja lagu-lagu antarabangsa, malah lagu tempatan juga.

Ini membuktikan bahawa masyarakat lebih selesa mendapatkan hiburan dengan cara berkenaan tanpa memikirkan kaedah lain yang lebih sukar seperti mendapatkan album dan sebagainya.

Namun, persoalannya, adakah platform ini memberi keuntungan kepada pemuzik sedangkan ia boleh didapati secara percuma tanpa dikenakan apa-apa bayaran?

Walaupun penjualan cakera padat (CD) sudah tidak relevan lagi di zaman serba canggih ini, namun kita sendiri tertanya-tanya, medium apakah yang digunakan untuk meraih keuntungan lain selain persembahan pentas.

Jika dilihat dari pandangan mata kasar, ianya hanyalah bentuk promosi 'kosong' yang digunakan untuk 'memancing' penonton terhadap lagu-lagu terbaru dan bilangan tontonan akan menentukan adakah lagu itu akan popular atau sebaliknya.

Hal ini turut disuarakan kepada Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim dan beliau tampil menjelaskan mengenai perkara ini.

Apa pandangan anda mengenai perkembangan teknologi kini?

Sejujurnya, industri muzik tempatan sedikit terlambat untuk menyesuaikan diri dengan arus perubahan berbanding antarabangsa.

Pada era 90 an, penjualan album sangat memberangsangkan kerana rata-ratanya masih belum terdedah dengan perkembangan dunia digital. Seiring dengan zaman di alaf baharu, Internet bukan lagi medium asing dan rata-rata menggunakan kaedah ini kerana lebih mudah.

Apakah perkongsian di Internet ini boleh memberi kebaikan kepada pemuzik ataupun penyanyi?

Internet khususnya YouTube merupakan satu medium perkongsian yang sinonim dengan industri. Malah, ramai dalam kalangan syarikat rakaman menjadikan YouTube sebagai platform untuk mempromosikan lagu-lagu terbaru sebagai tontonan.

Sebenarnya, ramai yang masih tidak tahu mengenai pengendalian di YouTube dan menganggap ianya seakan 'menjual' karya secara percuma. Seiring dengan perkembangan digital yang serba canggih ini, kita perlulah menyesuaikan diri dengan peredaran semasa.

Adakah perkongsian di YouTube mampu memberi keuntungan kepada pemuzik?

Saya tidak mengatakan ia sebagai satu platform untuk menjana pendapatan besar, namun ia adalah salah satu cara yang boleh memberi royalti kepada pemuzik.

Namun, buat masa ini, perkara itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan pengumuman dan penjelasan akan dibuat pada Jun ini. Namun, ada beberapa syarikat rakaman sudah melaksanakan kaedah pemberian royalti melalui YouTube kepada pemuzik.


Bagaimanakah ia akan dilaksanakan? Siapa pula yang akan membayar royalti berkenaan?

Saya boleh katakan, YouTube bukanlah satu medium percuma. Malah, YouTube juga adalah platform yang dilesenkan oleh industri.

Namun, jumlah bayaran atau royalti itu bukanlah dalam kuantiti yang banyak. Cara pengiraan juga masih belum terperinci lagi, namun kemungkinan besar, dalam setiap sejuta tontonan, hanya sekitar RM3,000 sahaja. Jumlah itu akan dibahagikan kepada syarikat rakaman dan pemuzik yang terlibat.

Bayaran pula akan dilakukan oleh syarikat Internet seperti Google. Namun, secara komersial, media baru memainkan peranan penting dalam memberi pulangan lumayan kepada pemuzik dan industri menerusi nada dering.

Kiranya, pemuzik perlu memikirkan cara lain untuk menjana pendapatan?

Sejak zaman 80 hingga 90 an lagi, penyanyi termasuk saya dan KRU, menjana pendapatan melalui persembahan pentas.

Penjualan album juga tidak menentu dan kami tidak boleh mengharapkan medium lain ketika itu selain persembahan. Sehingga ke hari ini, perkara itu tetap tidak berubah di mana pemuzik perlu menggunakan medium yang sama.

Dalam situasi ini, syarikat rakaman perlu membuat pelaburan untuk penyanyi mereka, tidak kira di pentas, mahupun di televisyen atau di radio. YouTube itu sekadar imbuhan kecil dan janganlah hanya mengharapkan YouTube semata-mata.
Bagaimana pula dengan laman perkongsian haram?

Walaupun YouTube mampu menjana pendapatan, namun perkongsian yang tidak diiktiraf akan memberi kesan buruk kepada industri.

Ia juga merosakkan industri dan merugikan artis menerusi muat turun lagu secara haram. Oleh itu, RIM turut mengharapkan kerjasama dan penguatkuasaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membanteras gejala cetak rompak digital ini.

Saya juga berharap Akta Digital pindaan daripada Akta Hak Cipta 1997 diluluskan Parlimen kerana ia sangat diperlukan bagi melindungi hak cipta hasil karya dan lagu pemuzik dan artis tempatan.

Sekiranya Akta Digital diluluskan dan dilaksanakan, ia dapat menangani masalah muat turun lagu secara haram yang berleluasa. Dengan ini, hanya laman web atau portal hiburan berdaftar dan yang diberi kelulusan boleh membuat penjualan lagu secara digital di Internet.

Akhir sekali, adakah pelaksanaan ini akan dituruti oleh syarikat rakaman?

Tiada pilihan, mereka tidak boleh menafikan hak pemuzik dan penyanyi. Sekiranya perkara ini tidak diikuti, penyanyi dan pemuzik boleh membuat aduan ke Persatuan Karyawan Malaysia. RIM sentiasa mengadakan perbincangan bersama Karyawan dan membincangkan mengenai masalah industri muzik.

Dengan cara itu, kita akan dapat mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh pemuzik tempatan. Bukan sahaja dalam pelaksanaan royalti menerusi YouTube, mereka juga boleh membuat sebarang aduan kepada Karyawan dan kami akan mencari jalan penyelesaiannya.

REAKSI ARTIS

"Sebelum ini, saya diberitahu bahawa perkongsian di laman sosial juga turut menerima bayaran, namun sehingga ke hari ini, saya masih belum mendapatkan apa-apa bayaran lagi. Saya sendiri tidak tahu perincian mengenai perkara itu dan pihak manakah yang akan membayar kami.

Namun, bagi saya, perkongsian ini ada baik buruknya. Mungkin ia boleh mempromosikan lagu baharu dengan cepat, namun pada masa sama, ia seakan 'membunuh' karier kami. Bagi pihak yang tidak bertanggungjawab, mereka akan gunakan platform ini untuk memuat naik sebarang lagu atau video secara percuma.

Ia sangat merugikan kami sebagai pemuzik yang bertungkus lumus menyiapkan lagu berkenaan. Saya sarankan agar lagu baru hanya dikongsi separuh atau sebahagian sahaja di YouTube. Tidak perlulah untuk meletakkan kesemua lagu berkenaan sebagai tontonan percuma." - Black -

"Sejujurnya, perkongsian di YouTube tidak memberi apa-apa keuntungan kepada penyanyi seperti saya. Namun, ia tidak menjadi masalah besar buat saya adakah ianya dibayar mahupun tidak. Lagipun, ini bukanlah satu-satunya kerjaya saya dalam industri.

Namun, sekiranya diberi bayaran, saya akan terima. Bagi saya, YouTube adalah laman perkongsian yang relevan memandangkan dunia kini lebih moden dan canggih. Malah, melihat kepada bilangan viewers di laman itu, saya turut bangga kerana saya masuk dalam industri menerusi pentas komedi.

Namun, percaturan dalam nyanyian juga mendapat sokongan.  Lagipun, jika kita tidak masukkan video atau lagu di Internet, pasti akan ada golongan yang tidak bertanggungjawab akan masukkan juga. Jadi, lupakan soal untung rugi asalkan ianya memberi kepuasan kepada kita sendiri.

Lagipun gejala cetak rompak ini sukar dibendung walau di laman maya sekali pun. Sepatutnya, masyarakat perlu lebih kesedaran mengenai perkara ini." - Zizan Razak -

Didie Alias Mengandung, Suami Pula Mengidam

Posted: 16 Apr 2014 04:54 AM PDT

Didie dijangka bersalin anak sulungnya dengan suami, Norisham Ismail pada Julai depan.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Didie Alias memberitahu suaminya, Norisham Ismail mengalami alahan teruk sejak Didie disahkan hamil Januari lalu.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata, pada mulanya dia pelik dengan situasi dialami Norisham yang sentiasa tidak sihat sehingga menimbulkan kerisauan.

"Keadaannya mengalahkan wanita yang sedang mengandung tapi masa mula-mula dulu saya risau juga kerana pelik dengan keadaan dia yang sentiasa tidak sihat.

"Sebelum ini semasa saya hamil, saya tidak pernah mengalami alahan termasuklah ketika mengandung kali ini. Jadi apabila pembawakan budak itu berlaku kepada suami saya, ia perkara yang agak pelik dan merisaukan saya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.

Didie yang sedang hamil enam bulan dijangka bersalin pada Julai depan hasil perkongsian hidup dengan Norisham yang dikahwininya pada tahun 2009.

Pelakon sejak era 80-an itu sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor, Ridzuan Hashim dan mempunyai lima orang hasil perkahwinan berkenaan.
Didie bahagia bersama Norisham.

Dalam pada itu, Didie berkata, selain muntah-muntah dan loya, Norisham turut mengalami sakit pinggang selain mengidam pelbagai makanan seperti mana berlaku kepada kebanyakan wanita hamil yang lain.

Malah kata Didie, keadaan itu masih berlanjutan sehingga ke hari ini namun ia beransur pulih tidak seperti ketika mula-mula Didie disahkan hamil.

"Selalunya dalam tiga bulan simptom 'pembawakan budak' itu akan hilang tetapi tidak pada suami saya kerana dia lagi over dari saya...hahaha.

"Malah perutnya juga hampir sama besar dengan saya kerana sering mengidam untuk makan pelbagai menu," katanya.
Pasangan ini bakal menimang cahaya mata lelaki.

Sementara itu, Didie bersyukur apabila doktor mengesahkan dia bakal menimang cahaya mata lelaki semasa membuat pemeriksaan baru-baru ini.

Kata Didie, dia pada dasarnya tidak kisah dengan jantina anak kerana apa yang lebih penting bayi itu nanti dilahirkan sihat dan sempurna.

"Seronok sebenarnya bakal dapat bayi lelaki kerana saya pun hanya ada seorang sahaja anak lelaki. Perasaan teruja itu memang ada," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Didie berkata, dia kini lebih banyak berehat di rumah dan tidak lagi mengambil tawaran berlakon.

Bukan lagi artis kontroversi

Posted: 16 Apr 2014 04:52 AM PDT


  • Marsha
BIARPUN kerjayanya bermula selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia, namun, selepas kontroversi demi kontroversi meletakkan nama Marsha Milan sebagai antara artis yang memiliki kelas tersendiri, baik dalam lakonan atau nyanyian.

Terpilih untuk menjayakan filem animasi popular, Frozen merupakan antara pencapaian terbesar wanita dari Tamparuli, Sabah ini.

Malah sehingga kini, lagu dendangannya, Bebaskan yang dialih bahasa menerusi lagu tema filem tersebut, Let It Go, mendapat sambutan yang sangat baik.

Turut muncul bersama muzik video yang dilancarkan sejak dua minggu lalu, Marsha berkata, sehingga kini dia masih terlibat menjayakan promosi lagu tersebut.

"Lagu ini mempunyai 25 versi bahasa dari seluruh dunia. Siri promosi ini melibatkan ramai artis yang terlibat. Malah video klip lagu ini juga berjaya menduduki tempat 10 teratas dalam carta di seluruh dunia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Marsha turut terlibat sama dalam projek khas single terbaharu bersama Caprice berjudul Langit Biru di samping penyanyi Atilia. 

Malah pada Mei depan,  Marsha bakal melancarkan duet bersama Zarul Umbrella. Berpadu suara menerusi lagu Satu Rasa.

Beralih mengenai lakonannya, kali ini Masrha tampil sisi berbeza menerusi watak sebagai Cikgu Sally. Menurut Marsha, telemovie arahan Jack Ad-Din itu bakal ditayangkan sempena Hari Guru nanti.

"Sayateruja sebab ni pertama kali membawa watak sebegini.

"Ia memberi pengalaman baharu kepada saya. Saya melihat sendiri betapa besar menggalas tugas seorang guru," katanya.

Pilih lelaki Melayu

Tinggalkan mengenai karier seninya, Marsha kini lebih terbuka untuk berkongsi cerita peribadi. Sebelum ini, Marsha mengakui bercinta dengan jejaka Melayu berusia dua tahun lebih muda daripadanya dan mengenali lelaki itu lebih kurang tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun atas pengalaman lalu, dia tidak mahu mendedahkan identiti kekasihnya sehingga hubungan mereka melangkah ke fasa perkahwinan.

"Kalau dah tiba masanya, saya akan perkenalkan dia kepada semua. Tapi buat masa ini, kami masih mengenali hati budi. Kalau ada jodoh, mungkin kami akan kahwin," katanya.

Enggan bercerita panjang mengenai kisah peribadinya, Marsha mendedahkan dia kini dalam perancangan memulakan bidang perniagaan pula.

"Saya sedang berkecimpung dalam bidang perniagaan. Ia lebih kepada penjenamaan saya sendiri iaitu MarshaMilan Fashion akan dikeluarkan tak lama lagi.

"Pakaian itu akan menampilkan variasi fesyen yang menarik dan terkini. Sudah tentu ia juga fesyen yang selalu saya gayakan dan menjadi trend kepada golongan muda," katanya.

Isu Hadis Palsu, TV AlHijrah Teliti Video Ceramah Ustaz Don

Posted: 16 Apr 2014 04:51 AM PDT

Video ceramah Ustaz Don akan dikaji secara menyeluruh oleh pakar-pakar agama.
PETALING JAYA: Stesen televisyen TV AlHijrah sedang meneliti isi kandungan beberapa video yang disebarkan di laman sosial termasuklah tuduhan kononnya ustaz selebriti Don Daniyal yang dikatakan telah menyampaikan ceramah bersama hadis-hadis palsu.
Pegawai Perhubungan Korporat TV AlHijrah, Irwan Abdul Rahman berkata, pihaknya juga akan mengambil kira beberapa pandangan pihak-pihak yang berpengetahuan soal Agama Islam sebelum memutuskan bentuk tindakan yang sepatutnya.

"Kami sedang kumpulkan beberapa perkara dan mengkaji semula semua video dan komen yang disebarkan itu sama ada daripada program televisyen terbitan TV Al Hijrah ataupun video lain.

"Kami akan rujuk kepada ustaz dan alim ulama yang lebih pakar untuk menilai video tersebut serta menunggu penjelasan daripada Ustaz Don sendiri sebelum memutuskan apa-apa tindakan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini pada Rabu.

Irwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran video ceramah Ustaz Don di Internet ketika ini.
Ustaz selebriti itu dikatakan telah menyampaikan ceramah dengan mengemukakan hadis-hadis palsu dan tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan banyak pihak.
Malah, pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Koleksi rakaman video ceramah berkenaan tersebar di Facebook dengan tajuk: Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal.

Selain mengadakan ceramah-ceramah peribadi, Ustaz Don juga mengendalikan rancangan agama berjudul 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah pada setiap Isnin Hingga Khamis, pukul 9.30 malam.

Sementara itu, Irwan menjelaskan, segala program yang diterbitkan oleh stesen televisyen itu terutamanya rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don akan dinilai kandungannya sebelum dilepaskan untuk disiarkan kepada umum.

"Pihak kami ada unit bagi mengkaji topik yang ingin dibincangkan oleh Ustaz Don. Kandungan yang diberikan biasanya disemak dahulu oleh pakar-pakar agama sebelum ia diluluskan untuk siaran," ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Don tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan reaksinya kerana ketika ini beliau berada di United Kingdom untuk menjalani penggambaran sebuah program berbentuk keislaman.

Suami Beri Krisdayanti Syarat Jika Ingin Menyanyi

Posted: 16 Apr 2014 04:49 AM PDT

krisdayanti
Pengarah Urusan Warner Music, Darren Choy (kanan) memegang contoh kulit album Krisdayanti bersama penyanyi itu.
PETALING JAYA: Penyanyi Krisdayanti memberitahu suaminya Raul Lemos meletakkan beberapa syarat sekiranya dia mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas empat tahun berehat.

Kris, 39, berkata, antara syarat-syaratnya dia tidak boleh terlalu sibuk dengan aktiviti nyanyian setiap hari sebaliknya memadai urusan berkaitan seni dihabiskan dalam seminggu sekali.

"Empat tahun berehat di bidang nyanyian pastinya membuatkan saya berasa rindu untuk aktif semula dan Raul tahu dengan minat saya itu.

"Lalu dia meletakkan beberapa syarat jika saya mahu kembali menyanyi dan antara yang sangat diutamakan adalah masa. Saya tidak boleh terlalu sibuk dengan kerja.

"Dia akan cemburu dengan masa kerja saya nanti di mana sepatutnya masa itu perlu dihabiskan bersama suami dan anak-anak," katanya.

Kris ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Persembahan Ratu Cinta  di pejabat Warner Music Malaysia di Menara TSR, Mutiara Damansara, di sini pada petang Selasa.


krisdayanti 2
Krisdayanti


Tambah Kris, Raul kini lebih faham cara kerjanya sebagai penyanyi memandangkan sebelum ini suaminya itu sering bertanya mengenai cara seseorang penyanyi itu menjalankan tugas mereka. Malah Raul kini turut bersemangat dalam berkongsi pendapat mengenai penampilannya setiap kali muncul di khalayak.

Sementara itu, mengenai albumnya selepas empat tahun berehat, Kris muncul dengan dua buah lagu baharu iaitu Ratu Cinta serta Bertubi-Tubi serta 14 buah kompilasi lagu popular dalam album berkenaan

Walaupun membuat kemunculan semula dengan persediaan yang sangat rapi, jauh di sudut hati penyanyi itu merasakan bahawa dia mungkin sudah dilupakan oleh sebahagian peminat-peminatnya.

"Seperti yang semua orang tahu, kehidupan ini bagaikan roda. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah.

"Memang saya tahu apabila berehat, banyak perkara yang akan saya tertinggal. Tetapi saya tidak pernah berasa kecil hati dengan apa yang berlaku.

"Walaupun saya tahu mungkin saya kehilangan peminat, ia tidak mengapa, kerana saya percaya masih ada lagi peminat yang menyokong saya," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories