Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Hanez Suraya dibaling selipar?
- "Tiada Komen" - Jawapan Pekin Mengenai Uqasha Senrose
- Pegawai Jais Tangkap Shahrizal Jaszle Pakai 'Boxer'
- Rafiena bukan syok sendiri
- Perkongsian emosi Afgan
- Encik Mimpi guna duit sendiri terbit lagu
- Niat berpesta liar tersekat
- Shah Jaszle mengaku Farah kekasih
- Bunga sakura hiasi Alor Setar
- Bot berisi 1 tan dadah terdampar
- Cawan lukisan ayam berharga RM116.5 juta
- Jaga dan rawat kucing terbiar
- Habuan RM15,000 hasilkan video kreatif
Hanez Suraya dibaling selipar? Posted: 09 Apr 2014 01:36 AM PDT
Bukan saja digelar 'perampas', pelakon Autumn di Hatiku juga tidak putus-putus menerima cacian dan cemuhan dari pelbagai pihak menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook miliknya. Mengakui berasa sedih dan tertekan dengan segala kritikan negatif tersebut, Hanez berkata, kecaman itu turut dirasai sehingga di luar sehingga membuatkan dia berasa kurang selamat. "Selepas saya buat sidang media tu memang saya rasa sangat sedih. Sebab pandangan orang terhadap saya. Namun saya akui ia tidaklah sampai mendapat ancaman di luar. "Ada sekali tu saya terserempak dengan orang yang membenci saya. Dia kata nak saja baling selipar pada saya. Tapi dia tak buatlah. Cuma dia cakap sajalah. Alhamdulillah, itu menandakan keadaan masih dapat dikawal lagilah. "Selepas kejadian itu, atas nasihat keluarga, saya ada mengupah pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan saya. Tetapi untuk acara-acara tertentu sahaja. Kalau ikutkan saya tak selesa bila ada orang sentiasa menjaga pergerakan saya. Tapi itu permintaan keluarga demi keselamatan saya," katanya. Enggan terlalu memikirkan situasi tersebut, Hanez berkata, dia akan kembali berusaha untuk mendapat kepercayaan peminat-peminatnya semula. Sebab itu juga, dia tidak jadi menarik diri dari membintangi teater Projek Kahwin, pada 12 hingga 14 Jun, di Istana Budaya. "Memang takut saya untuk menerima semula tawaran berlakon teater ini, kerana bimbang penjualan tiket berkurangan dan akan mendatangkan kesan terhadap pihak pengurusan. "Tetapi memandangkan saya mahu beraksi dan membuktikan kemampuan saya dalam bidang lakonan teater saya menyahut cabaran ini. Saya harap peminat akan menilai persembahan saya bukannya kisah peribadi saya," katanya. Teater terbitan Mask Team Productions arahan Muhammad Azri Ali turut diterajui, Kilafairy, Izzue Islam, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz Fazleena Hishamuddin dan Kaka Azraff. | ||
"Tiada Komen" - Jawapan Pekin Mengenai Uqasha Senrose Posted: 09 Apr 2014 01:34 AM PDT Pekin, 34, berkata, dia tidak mempunyai sebarang ulasan mengenai perkara tersebut dan berharap semua pihak faham dengan situasi yang dihadapinya. "Sesiapa juga yang bertanya mengenai hubungan saya dengan Uqasha, jawapan saya hanya satu iaitu 'tiada komen'. Ia adalah perkara terakhir yang ingin saya perkatakan buat masa ini," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Pekin berkata, kehidupannya kini lebih tenang dan tumpuan hanya diberikan kepada kerjayanya sebagai pelakon. Jelas Pekin, dia tidak mahu membebani fikirannya dengan perkara remeh sehingga menjejaskan periuk nasinya dalam bidang seni. "Fokus saya buat masa ini pada kerjaya dan perkara-perkara lain biarlah saya sendiri yang tahu," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Pekin berkata, pada tahun ini dia lebih banyak memberikan tumpuan kepada lakonan filem berbanding drama dan bakal muncul dengan beberapa projek baharu. "Alhamdulillah rezeki berlakon filem tahun ini cukup banyak dan itu bukan bererti saya tidak mahu lagi menerima tawaran berlakon drama. "Saya masih terima beberapa tawaran drama tetapi lebih selektif kerana jadual yang agak padat," katanya. Tambahnya, tahun ini dia akan tampil dengan beberapa buah filem seperti Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Vila Nabila dan Tujuh. Sementara itu, bercakap mengenai filem terbaharunya, Apokalips X, Pekin berkata, wataknya dalam filem berkenaan adalah satu eksperimental yang belum pernah diterokainya. Kata Pekin, selain dialog, dia lebih banyak memberikan tumpuan kepada ekspresi wajah dan memberikan emosi kepada watak yang dilakonkan. "Ini adalah sebuah filem berbeza yang pernah diarahkan oleh Mamat Khalid dan ia memberi saya peluang untuk menerokai sisi lain diri saya sebagai pelakon," jelasnya. Apokalips X yang mula ditayangkan sejak 3 April lalu menampilkan barisan pelakon seperti Farid Kamil, Dazrin Kamaruddin, Adam (AF2) dan Jehan Miskin. | ||
Pegawai Jais Tangkap Shahrizal Jaszle Pakai 'Boxer' Posted: 09 Apr 2014 01:32 AM PDT Mohd Radzi, 30, berkata, ketika pemeriksaan dibuat di bilik kedua rumah berkenaan, ia didapati berkunci dan hanya dibuka selepas hampir lima minit diketuk oleh pihaknya. Katanya, ketika itu seorang wanita berbaju T dan berseluar pendek kelihatan terpinga-pinga ketika membuka pintu bilik berkenaan. "Ketika pintu dibuka bilik berkenaan berada dalam keadaan gelap dan selepas saya membuka lampu bilik itu, saya mendapati ada seseorang yang sedang baring di katil sambil berselimut. "Apabila dia diarahkan untuk bangun dari katil saya mendapati dia adalah seorang lelaki dan ketika itu dia hanya memakai 'boxer' (seluar dalam) sahaja," katanya. Beliau berkata demikian sebagai saksi pertama dalam kes perbicaraan melibatkan pelakon Sharizal Jaszle atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 26, dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 22, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini pada Selasa. Shahrizal Jaszle diwakili peguam syarie, Asyraf A. Ranee dan Muhammad Hafiz Ab Rashid manakala pendakwaan dilakukan pendakwa syarie, Zusyarafain Yusoff. Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim syarie, Abd Halim Abu Samah. Mohd Radzi turut memberitahu mahkamah, aktor itu juga mengaku wanita yang bersamanya dalam sebuah bilik ketika diserbu adalah teman wanitanya selepas disoal sama ada mereka mempunyai ikatan sah sebagai suami-isteri. Terdahulu Shahrizal yang duduk di kandang tertuduh, hadir memakai baju Melayu berwarna putih lengkap bersongkok kelihatan tenang ketika mendengar keterangan daripada saksi sepanjang hampir dua jam perbicaraan berlangsung. Dalam kejadian 16 Mei 2013, Shahrizal dan pasangannya Farah Nurizzati telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang dekat sini kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai. Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri, 26, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu, Farah Nurizzati telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda. Mahkamah turut memerintahkan Shahrizal membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat yang dikenakan. Sementara itu, Shahrizal ketika ditemui di perkarangan mahkamah memberitahu dia berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Mohd Radzi kepada mahkamah. Perbicaraan disambung semula pada 10 Jun depan. | ||
Posted: 09 Apr 2014 01:27 AM PDT NAMA Datuk Rafiena Ezanee Ramli mungkin tidak segah jika mahu dibandingkan dengan pelakon-pelakon yang seangkatan dengannya. Walaupun banyak membintangi drama tidak lama dahulu, kehadirannya di dalam industri seperti tidak diendahkan. Namun, aktres berusia 31 tahun ini bijak dalam menyusun langkah bagi meneruskan hayatnya dalam industri lakonan. Membangunkan rumah produksi Darkwave Pictures sekitar tahun 2008, Rafiena mula menempa nama sebagai penerbit kepada beberapa buah drama bersiri dan juga telemovie. Namun, apabila dia dilihat berlakon dalam drama terbaharu terbitannya, Perempuan Dalam Pasungan, banyak pihak mempersoalkan tentang pemilihan itu. Ada yang mengatakan dia enggan memberi peluang kepada pelakon lain dan kurang mempercayai kredibiliti mereka untuk menerajui watak utama dalam drama bersiri 28 episod tersebut. Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui, pada mulanya dia enggan untuk menerima tawaran tersebut. Namun, setelah didesak oleh Datuk Eizlan Yusof selaku produser eksekutif syarikatnya, dia akhirnya bersetuju untuk membawakan watak Fariena. Dalam temu bual berikut, Rafiena turut berkongsi mengenai satu nama besar yang turut memberikan sokongan kepadanya sewaktu mahu membuka rumah produksinya suatu ketika dahulu. Kosmo!: Sebagai seorang penerbit, adakah anda tidak berasa janggal berlakon dalam drama terbitan anda sendiri? RAFIENA: Sejujurnya, saya enggan menerima tawaran tersebut. Namun, setelah beberapa kali dipujuk oleh Eizlan, saya akhirnya akur. Saya tahu, orang di luar pasti akan bercakap saya syok sendiri tetapi apa yang boleh saya pastikan ialah hasilnya mampu untuk memuaskan hati penonton. Apakah fungsi Eizlan di dalam syarikat anda? Dia menjawat jawatan sebagai produser eksekutif. Mengapa anda memilih rakan artis untuk menjawat jawatan tersebut? Saya mengenali Eizlan sudah agak lama. Jawatan tersebut pernah ditawarkan kepadanya beberapa kali tetapi dia menolak. Dia takut jika bekerja di bawah satu bumbung, kami akan bertelagah. Namun, setelah beberapa kali berbincang, akhirnya dia bersetuju untuk menyertai syarikat saya pada tahun lepas. Siapakah yang banyak memberikan sokongan kepada anda sewaktu mula-mula membabitkan diri sebagai seorang produser? Datuk Yusof Haslam banyak memberikan galakan kepada saya. Walaupun saya ada bertanya kepada rakan-rakan artis yang lain, namun nasihat yang diberikan olehnya yang paling ikhlas. Lagipun, saya bermula sebagai pelakon dengan Skop Production, justeru tidak salah saya bertanya pendapat dengan beliau. Jadi, adakah anda tidak mahu berlakon lagi selepas ini? Sejak aktif menerbitkan drama, saya sudah jarang berlakon. Ini merupakan drama pertama saya setelah berehat panjang. Saya akan berlakon tetapi perlulah mengikut keadaan. Namun, saya tidak akan berlakon selain di bawah syarikat saya sendiri. Mengapakah sidang akhbar ini dilakukan setelah drama ini disiarkan? Kami merancang untuk melakukan sidang akhbar lebih awal. Namun, akibat kekangan masa yang dihadapi oleh pelakon dan pengarah, acara ini terpaksa ditunda. Zulhuzaimy selaku pengarah juga tidak dapat hadir pada hari ini. Apakah kelebihan Zulhuzaimy berbanding dengan pengarah yang lain? Saya suka cara dia mengarah. Lebih-lebih lagi naskhah yang pernah diarahkan olehnya sebelum ini sungguh bagus. Jadi, tidak salah rasanya saya meminta khidmatnya untuk mengarahkan Perempuan Dalam Pasungan. Pelakon-pelakon yang membintangi drama ini terdiri daripada pelakon lama. Adakah anda tidak mempercayai bakat-bakat yang ada pada pelakon baharu? Saya masih mempercayai kebolehan pelakon baharu, cuma buat masa ini, watak yang diketengahkan sesuai dengan barisan pelakon sedia ada. Lagipun, saya juga menampilkan seorang pelakon baharu iaitu Lia Natalia. Apakah keistimewaan drama Perempuan Dalam Pasungan? Cerita ini merupakan idea asal saya sendiri dan pemilihan pelakon turut dilakukan menerusi perbincangan bersama. Alhamdulillah, sejak ditayangkan kira-kira dua minggu lalu, rating bagi drama ini mula menunjukkan peningkatan. Apakah perkembangan terbaharu anda? Beberapa buah drama terbitan saya iaitu Racun Menantu, Lai Katong dan Penunggu Bayang akan menemui penonton tidak lama lagi. | ||
Posted: 09 Apr 2014 01:26 AM PDT OBSESI peminat terhadap bintang pujaan bukanlah perkara yang luar biasa dalam dunia hiburan. Melihat kepada situasi terkini dan perkembangan pesat dunia teknologi, para peminat bebas mengikuti perkembangan artis kegemaran mereka menerusi beberapa platform media sosial dengan mudah walaupun tidak pernah bersua muka. Bagaimanapun, tidak semua respons yang diberikan kepada selebriti-selebriti itu menerima balasan. Justeru, apabila berpeluang untuk mendekati bintang pujaan mereka dan beramah mesra dengan lebih dekat, kesempatan tersebut terus digunakan tanpa berfikir panjang. Ketika dijemput untuk menonton konsert Live to Love yang menampilkan penyanyi dari seberang, Afgan baru-baru ini, reaksi peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan tersebut sungguh luar biasa. Tatkala melihat sosok tubuh penyanyi itu muncul di atas pentas, sorakan dan pekikan peminat khususnya golongan wanita mula memecah sunyi Panggung Nilam Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu. Kegilaan mereka terhadap tuan empunya nama, Afgan Syah Reza, 25, semakin memuncak apabila penyanyi yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu menjemput beberapa orang peminat untuk menyanyi dan menari bersamanya di atas pentas. Lebih mengejutkan, Afgan rela dipeluk, malah dicium pada bahagian pipi oleh peminat-peminatnya usai menyanyi bersama. Kongsi rasa Sewaktu ditanya mengenai tindakan mesra para peminatnya itu pada sidang akhbar yang diadakan selepas tamatnya persembahan tersebut, reaksi Afgan kedengaran cukup positif. Ujarnya, dia yang buat julung-julung kalinya mengadakan konsert di Malaysia mahu berkongsi rasa bahagia dan gembira bersama peminat-peminatnya di sini. "Tujuan saya datang ke sini adalah untuk menghiburkan peminat saya. Pada masa yang sama, saya mahu kongsikan rasa senang ketika sama-sama menyanyi dan menari dengan mereka. "Lagipun, sepanjang bergelar penyanyi, mereka merupakan individu yang banyak memberikan sokongan dan dorongan dalam apa jua acara yang saya sertai. "Tambahan, saya sering menganggap mereka sebagai kawan atau teman rapat," kata Afgan sambil menyifatkan reaksi seperti itu hanyalah perkara biasa baginya. Selain kehadiran Afgan merebut tumpuan radar adrenalin para peminatnya, ruang pentas Istana Budaya turut menjadi saksi kepada kelincahan penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu mengemudi perjalanan konsert. Ternyata tidak puas dengan hanya satu hari persembahan, Afgan memberitahu, dia begitu terkejut dengan sambutan yang diterima daripada peminat-peminatnya di Malaysia. "Sejujurnya, saya tidak puas dengan persembahan pada malam ini. Tempoh satu malam yang diberikan seperti tidak mencukupi kerana semangat untuk menghiburkan para penonton cukup tinggi. "Saya berharap akan diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan persembahan di sini pada masa akan datang. Mungkin pada waktu itu saya akan menyuntik beberapa kelainan seperti memasukkan elemen orkestra," ujarnya sambil ketawa. Seperti Bruno Mars Melanjutkan perbualan mengenai gaya dan persembahannya ketika berada di atas pentas, kelincahan Afgan sewaktu menyanyi dan menari dilihat sama seperti gaya penyanyi R&B terkenal dari Amerika Syarikat, Bruno Mars. Lebih-lebih lagi apabila dia mengenakan kemeja serba putih yang dipadankan dengan sut kelabu gelap sambil membawakan lagu Treasure. Mengakui mengambil inspirasi daripada persembahan penyanyi itu ketika dia datang ke Indonesia, Afgan bagaimanapun mempunyai cara tersendiri dalam memberikan variasi kepada persembahannya untuk peminat di Kuala Lumpur. "Ketika berpeluang menonton persembahan Bruno Mars di Jakarta baru-baru ini, saya begitu terpegun dengan gaya dan persembahannya yang sungguh bertenaga. "Pada waktu itu, saya sudah menanamkan niat untuk memberikan persembahan seumpama Bruno Mars kepada peminat-peminat di sini. Kebetulan, saya juga baru selesai menjayakan persembahan sempena Festival Java Jazz 2014 di Jakarta. "Justeru, saya menyuntik beberapa elemen baharu dan lama ke dalam konsert ini bagi disesuaikan dengan selera peminat di Kuala Lumpur," katanya. Dedikasi MH370 Sebelum konsert ini berlangsung, beberapa persembahan pentas berskala besar yang sepatutnya dijalankan pada minggu yang sama telah dibatalkan penganjurannya bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. Walaupun beberapa acara hiburan lain telah dibatalkan, namun persembahan di Istana Budaya tetap berjalan seperti yang dijadualkan. Turut sama menunjukkan rasa hormat, Afgan mendedikasikan lagu PadaMu Ku Bersujud. "Saya begitu terkesan dengan kejadian yang menimpa pesawat MAS MH370. Menerusi akaun twitter dan instagram, saya sering mendoakan agar penumpang serta anak-anak kapal yang terlibat berada dalam keadaan selamat. "Justeru, sebelum menyanyikan lagu PadaMu Ku Bersujud, saya ada meminta para penonton untuk sama-sama berdoa bagi memperingati keluarga dan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dengan nada sayu. Jadi pengarah Dalam perkembangan lain, Afgan yang juga merupakan alumni Universiti Monash, Bandar Sunway, Selangor berkata, dia bakal mengarahkan sebuah filem muzikal yang berjudul Gila dan Jiwa tidak lama lagi. "Saya memang gemar mengarah filem pendek ketika masih belajar di bangku sekolah. Jadi, berbekalkan sedikit pengalaman dan cerita yang telah saya tulis, saya yakin mampu untuk menghasilkan sebuah filem yang baik," ujarnya. Mengadaptasi beberapa kisah yang pernah berlaku pada dirinya ke dalam filem itu, Afgan mahu mengetengahkan isu buli yang kerap terjadi dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan remaja. "Saya pernah dibuli suatu ketika dahulu dan saya tahu bagaimana peritnya rasa melalui saat-saat hitam tersebut. "Aktiviti buli merupakan suatu perkara yang sangat buruk dan ia perlu dihentikan," kata Afgan yang tidak menolak jika pelakon-pelakon yang bakal membintangi filemnya itu merupakan pelakon dari Malaysia. | ||
Encik Mimpi guna duit sendiri terbit lagu Posted: 09 Apr 2014 01:25 AM PDT KEPUTUSANNYA untuk bergerak secara berdikari dalam industri hiburan tanah air merupakan antara sebab Encik Mimpi (EM) terpaksa mengeluarkan wang kocek sendiri untuk menerbitkan lagu. Biar terpaksa mengeluarkan wang sendiri, namun ia kini mula membuahkan hasil apabila single Rindukanlah nyanyiannya menjadi siulan pada masa kini. Sudah mula sibuk memenuhi undangan nyanyian, EM bagaimanapun masih mahu sayang untuk melepaskan pekerjaan tetapnya. Bekerja sebagai seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) di salah sebuah syarikat di Sepang, Selangor, EM berkata, dia tidak bercadang untuk meninggalkan kerjayanya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian. "Bukan kerana saya tidak yakin dalam bidang nyanyian tetapi buat masa sekarang saya perlu untuk bekerja untuk membiayai hobi sebagai seorang penyanyi. "Bagaimanapun, saya tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya tuntutan terhadap bidang nyanyian tinggi. Suatu hari nanti mungkin saya berfikir untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian," ujarnya yang mengakui suatu hari nanti dia terpaksa menumpukan perhatian kepada satu bidang sahaja. Tambah EM, buat masa sekarang keputusannya untuk mempunyai dua karier serentak adalah tidak membebankan disebabkan kerjanya sebagai eksekutif IT sangat fleksibel. "Saya hanya perlu cukupkan sembilan jam masa bekerja saya. Selebihnya saya akan menggunakan sepenuh masa untuk menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian dan menulis lirik," ujarnya ketika ditemui pada majlis anjuran Kosmo! di Dewan Besar Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sementara itu, EM menolak untuk bernaung bawah mana-mana syarikat rakaman memandangkan dia ingin terus bebas berkarya dan tidak mahu terikat dengan syarat yang mungkin dikenakan. "Sebelum ini saya ada dirisik oleh beberapa syarikat rakaman, namun saya menolaknya disebabkan saya tidak mahu terikat sehingga menimbulkan perbalahan antara mana-mana pihak. "Berada bawah naungan syarikat pengurusan Indigital Sdn. Bhd. sudah cukup untuk saya bagi membantu dalam mempromosikan lagu dan menguruskan jadual jemputan nyanyian saya," katanya. Bercerita mengenai idea yang diperolehnya ketika menghasilkan lirik, EM berkata, dia menulis berdasarkan kehidupan sebenar dan pengalaman yang dilaluinya sebelum ini. "Dahulu, saya banyak melakukan karya nyanyian dan penulisan lirik saya dalam blog. Saya tidak sangka lama-kelamaan ia mendapat sambutan sehingga saya mempunyai pengikut setia. "Hal tersebut menyebabkan saya bersemangat untuk meneruskan hobi nyanyian dan penulisan lirik ke persada seni hiburan komersial," ujarnya yang menjadikan Aizat sebagai idolanya. Mengulas perkembangan terbaharunya, EM berkata, dia kini sibuk mempromosikan single keduanya Ayuh Tinggalkan Dia dan lagu kolaborasinya bersama kumpulan AT-RI Band menerusi lagu Menu Cintaku. "Alhamdulillah, kedua-dua lagu tersebut kini sedang hangat diputarkan di corong-corong radio termasuk Hot FM. "Bagaimanapun saya akui, buat masa ini sambutannya tidak sehebat Rindukanlah, lagu yang pernah menjadi OST drama popular, Playboy Itu Suamiku. Namun, saya percaya ia tetap akan mendapat tempat yang baik pada suatu hari nanti," ujarnya optimis. | ||
Posted: 09 Apr 2014 01:24 AM PDT KUALA LUMPUR – Hasrat sebuah premis iaitu The Pool untuk menganjurkan parti separuh bogel pada 11 April ini tidak kesampaian apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan premis tersebut ditutup tujuh hari mulai semalam. Perkara tersebut dimaklumkan oleh Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan media di sini semalam. | ||
Shah Jaszle mengaku Farah kekasih Posted: 09 Apr 2014 01:22 AM PDT SHAH ALAM – Pelakon Shah Jaszle didakwa memaklumkan kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bahawa dia dan perempuan yang ditangkap khalwat di sebuah apartmen pada Mei tahun lalu merupakan pasangan kekasih yang belum bernikah. Pegawai tersebut, Mohd. Radzi Saliman, 30, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini semalam, Shah Jaszle ketika ditemui dalam sebuah bilik sedang berada di atas katil dengan berselimut dan hanya memakai seluar pendek. | ||
Posted: 09 Apr 2014 01:20 AM PDT ALOR SETAR - Pokok Tabebuia yang mengeluarkan rimbunan bunga berwarna merah jambu dan putih atau lebih dikenali bunga sakura di sekitar bandar raya ini menarik perhatian orang ramai sehingga ada yang sanggup memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar. Tinjauan Kosmo! mendapati, pokok itu menghiasi Jalan Gangsa, Kuala Kedah, Simpang Empat, Langgar dan Anak Bukit di sini. | ||
Bot berisi 1 tan dadah terdampar Posted: 09 Apr 2014 01:18 AM PDT LOS ANGELES - Sebuah bot penyeludupan dadah berisi kira-kira satu tan ganja ditemui terdampar di sebuah pantai berhampiran lokasi luncur ombak popular di Malibu, California kelmarin, kata seorang jurucakap sherif wilayah Los Angeles. Jurucakap berkenaan, Timbalan Sherif Joseph Baclawski berkata, kenderaan air yang dikenali sebagai bot panga itu ditemui di pantai Leo Carillo yang popular dalam kalangan peluncur ombak tempatan. Menurut Baclawski, sebanyak tiga orang yang dikesan berada dalam lingkungan 800 meter dari bot itu telah ditahan untuk soal siasat. "Pada kebiasaannya, mereka (penyeludup dadah) mendarat di pantai-pantai terpencil dan pada waktu malam," kata Baclawski. "Penemuan ini bermakna sesuatu tidak kena berlaku sama ada enjin bot mereka rosak atau mereka kehabisan makanan dan air," tambahnya. Sejak dua tahun lalu, pihak berkuasa telah menangkap kira-kira 1,300 orang dan merampas lebih 200 kenderaan air serta menemui lebih 61,235 kilogram dadah pelbagai jenis di sepanjang perairan di antara sempadan Mexico dan bandar Rancho Palos Verdes di sini. | ||
Cawan lukisan ayam berharga RM116.5 juta Posted: 09 Apr 2014 01:17 AM PDT HONG KONG - Sebiji cawan era Dinasti Ming yang berusia lebih 500 tahun dijual mencecah AS$36 juta (RM116.5 juta) pada satu lelongan di sini semalam. Jualan tersebut memecahkan rekod dunia harga barangan tembikar China. Firma Sotheby's yang mengendalikan lelongan tersebut memberitahu, artifak itu dibeli oleh taikun Shanghai, Liu Yiqian. Cawan berdiameter lapan sentimeter itu dinamakan Cawan Ayam kerana ia dihiasi gambar seekor ayam jantan, ayam betina dan beberapa ekor anak ayam. Bekas minuman itu dihasilkan semasa pemerintahan Maharaja Chenghua daripada Dinasti Ming yang memerintah China dari tahun 1465 hingga 1487. "Rekod barangan tembikar China sebelum ini menjadi milik sebuah pasu era Maharaja Qianlong yang dijual pada harga AS$32.4 juta (RM104.9 juta) pada 2010. | ||
Posted: 09 Apr 2014 01:16 AM PDT BANGSAL berdindingkan jaring dan beratap zink yang dicat berwarna merah jambu itu mencuri perhatian pengunjung yang singgah ke situ. Bahagian tembok bangsal yang dilukis gambar kucing, pokok bunga, rumah dan tertulis 1Meow 1Senyuman itu menjadi tarikan kepada Pusat Jagaan Kucing Omiey Home. Bangsal berkeluasan empat meter persegi dengan ketinggian 2 meter dan berbumbungkan atap zink itu merupakan kediaman kepada 150 ekor kucing di pusat jagaan itu. Sesekali kedengaran bunyi pergaduhan antara penghuni di bangsal tersebut sekali gus menggambarkan ketidakselesaan mereka yang tinggal di dalamnya. "Kami memahami keadaan kucing-kucing di dalam sangkar ini yang tidak selesa kerana terlalu padat, namun ini saja pilihan yang ada," kata pemilik Pusat Jagaan Kucing Omiey Home, Melissa Ridz, 38. Menurut Melissa, pihaknya telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengurangkan masalah ketidakselesaan kucing di dalam sangkar tersebut. Antaranya, memasang kipas bagi mengurangkan panas dan memasang kanvas ditepi jaring bagi mengelak tempias air hujan. Kepada Nor Lailawati Othman, 29, Pusat Jagaan Kucing Omiey Home itu banyak membantu menyelesaikan masalahnya. Kakitangan swasta yang tinggal di kawasan perumahan bertingkat di Bangi, Selangor itu bersyukur kerana pusat jagaan haiwan itu sanggup menerima kucing jalanan yang datang menumpang teduh di rumahnya. Memandangkan dia menyewa bersama beberapa rakan serumahnya, Nor Lailawati tidak dapat memelihara haiwan tersebut meskipun dia begitu teringin membelanya. "Selepas merawat kucing tersebut yang menghadapi masalah kurap di telinga kanan dan selesema, saya menghantar kucing tersebut ke pusat jagaan tersebut," katanya ketika ditemui. Pusat Jagaan Kucing Omiey Home, Kampung Melayu Kepong, Kuala Lumpur ditubuhkan sejak lima tahun lalu itu menawarkan khidmat menjaga dan merawat kucing-kucing terbiar secara percuma. Caj Menurut Melissa pusat jagaan yang menempatkan kira-kira 150 ekor kucing itu menerima kucing-kucing terbiar yang dijumpai oleh orang ramai. Namun bagi individu yang ingin menghantar kucing peliharaan mereka ke pusat tersebut, pihaknya akan mengenakan caj sebanyak RM50 untuk seekor kucing. "Kami perlu mengenakan bayaran tersebut untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan membayar gaji tujuh orang pekerja di pusat jagaan ini yang kosnya hampir RM2,000 sehari atau sekitar RM60,000 sebulan. "Sepanjang mengendalikan pusat ini, tiada lagi individu yang merungut mengenai bayaran yang dikenakan," jelas beliau bahawa pihaknya juga menerima bantuan daripada orang ramai. Menurut bekas graduan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, idea untuk menubuhkan pusat jagaan tersebut tercetus selepas mendapati terlalu banyak kucing terbiar. Berbekalkan dana permulaan RM10,000, Melissa mengambil inisiatif menubuhkan pusat jagaan tersebut yang bermatlamat menjaga dan merawat kucing terbiar sebelum diserahkan kepada individu yang berminat. "Kami akan cuba merawat kucing-kucing ini terlebih dulu sekiranya berpenyakit. Selepas kucing-kucing tersebut sembuh, kami bawa ke Uptown, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur untuk diberi kepada individu yang berminat mengambil kucing tersebut secara percuma. "Selain itu, kami turut bekerjasama dengan kelab-kelab kucing di negara ini untuk menganjurkan program pengambilan kucing angkat," katanya berpengalaman memelihara kucing sejak kecil. Terima sumbangan Pusat Jagaan Kucing Omiey merupakan sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2010. Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu ragu-ragu untuk menghantar kucing atau menyalurkan sumbangan. "Saya harap orang ramai tidak perlu bimbang dengan pusat jagaan ini. Kerja-kerja yang dilakukan ini semua disebabkan atas rasa tanggungjawab dan prihatin kami terhadap kucing bukannya untuk menjana keuntungan," kata Melissa. Pusat tersebut turut menerima sumbangan dalam bentuk makanan, pasir, sangkar dan surat khabar lama. Menurut Melissa, dia juga tidak lari daripada berdepan dengan cabaran dalam menguruskan pusat tersebut. Antaranya, termasuklah rungutan penduduk sekitar mengenai masalah bau busuk daripada pusat tersebut. Sebagai alternatif, pihaknya telah membina tembok setinggi empat meter dan menambah bilangan pekerja di pusat tersebut. Sementara itu, menurut salah seorang pekerja di pusat tersebut, Muhammad Redzuan Ibrahim, 31, dia telah bekerja di Omiey Home lebih empat tahun sejak masih menuntut di universiti. Ujar bekas graduan Universiti Malaya dalam jurusan Sains Komputer itu, dia pada mulanya hanya ingin mencari wang saku untuk menampung kos sara hidup, namun tidak menyangka kerja tersebut terus kekal hingga kini. "Saya rasa kerja ini sesuai dengan jiwa saya dan ia merupakan salah satu faktor saya masih kekal kerja di sini walaupun selepas tamat pengajian. "Saya ada juga mencari kerja-kerja lain, namun masih belum ada rezeki. Walaupun gaji tidak besar, namun saya anggap ia sebagai satu pekerjaan yang mulia kerana dapat membantu kucing-kucing ini," katanya merupakan salah seorang pencinta kucing. Setiap hari Muhammad Redzuan bersama dua rakannya mula bekerja seawal pukul 8.30 pagi dan pulang pada pukul 8 malam. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah memastikan makanan dan air dalam sangkar kucing sentiasa cukup. "Kucing-kucing di sini sentiasa cukup makan dan minum, malahan disediakan kipas bagi memastikan keadaannya selesa terutama ketika cuaca panas," katanya. Selepas tugas memberi makan selesai, mereka bertiga akan membersihkan sangkar dan rumah kucing bagi memastikan najis dan lebihan makanan yang telah rosak dibuang. Ia merupakan rutin wajib yang perlu dilakukan setiap hari agar sangkar sentiasa dalam keadaan bersih. "Pusat ini sentiasa dikunjungi oleh orang ramai untuk melawat kucing-kucing ini terutama pada hujung minggu, sebab itulah kami perlu pastikan ia bersih," katanya. Ujar anak kelahiran Umbai, Melaka itu selain memberi makan dan mencuci sangkar, mereka juga perlu memberi ubat kepada kucing-kucing yang sakit mengikut jadual. Antara masalah yang dihadapi oleh kucing-kucing yang terdapat di pusat itu ialah selesema dan kurap. "Kucing-kucing yang sakit akan diletakkan dalam sebuah sangkar khas. Selepas kucing-kucing ini sembuh, kami akan asingkan ke dalam sangkar-sangkar yang lebih kecil sebelum diberikan kepada orang ramai," katanya. | ||
Habuan RM15,000 hasilkan video kreatif Posted: 09 Apr 2014 01:14 AM PDT TIDAK keterlaluan jika diberitahu program Pameran Pengiklanan Pemenang Anugerah (Adwave) anjuran pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memang cukup disegani. Setiap tahun, Adwave mengangkat tema yang berbeza sebagai fokus kempen pengiklanannya. Sebagai contoh, revolusi media baharu, pelancongan domestik, silang budaya dan semangat cintakan tanahair. Kali ini, Adwave berkolaborasi dengan Indah Water Konsortium (IWK) dengan misi untuk mengetengahkan idea paling kreatif tetapi sarat dengan mesej positif. Memasuki penganjuran ke-17, Adwave edisi 2014 memilih isu alam sekitar iaitu kepentingan terhadap sumber air menerusi pertandingan video viral. Buat julung- julung kali, pertandingan tersebut boleh disertai seluruh rakyat Malaysia dalam menzahirkan idea dan kreativiti mereka terhadap isu kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar. Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, penyertaan kempen Adwave kali ini tidak terhad kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja tetapi turut dibuka kepada orang awam. Pastinya juga hadiah keseluruhan wang tunai RM15,000 yang ditawarkan cukup lumayan beserta trofi dan sijil penghargaan kepada pemilik video viral yang dinobat sebagai pemenang. Video terbaik Setiap karya yang terpilih akan digunakan IWK dalam mempromosikan kempen pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian. Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Jamilah Ahmad berkata, matlamat kempen pengiklanan ini menepati dengan aspirasi USM yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar. Katanya, penganjuran dengan kerjasama penuh IWK adalah manifestasi terhadap fokus utama kedua-dua pihak dalam mewariskan alam sekitar yang lebih baik kepada generasi akan datang. "USM menerusi Adwave komited dalam memberi kefahaman berkenaan usaha untuk meningkatkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. "Jika sebelum ini fokus kempen Adwave hanya kepada para pelajar IPT, kini ia telah berkembang kepada masyarakat dengan skop yang lebih meluas," ujarnya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Adwave 2014 di kampus universiti itu baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengurus Penjenamaan, Komunikasi Pemasaran dan Penerbitan IWK, Shebley Haslan Abdul Majid. Pertandingan klip video viral bertemakan Perang Dunia Y: Generasi Y Meneruskan Usaha Generasi X dalam Memperjuangkan Kelestarian Alam Sekitar itu telahpun bermula Mac lalu. Setiap peserta perlu menghasilkan video kreatif berdurasi antara tiga hingga lima minit berunsurkan elemen kelestarian dan peranan kritikal IWK dalam memelihara alam sekitar. Selain pertandingan video viral, beberapa program sampingan lain akan turut diadakan termasuk jelajah kelestarian di beberapa lokasi tertentu dalam negara termasuk sekolah dan institusi pendidikan, seminar serta pameran. Kolaborasi Dalam pada itu, Shebley Haslan memberitahu, penglibatan IWK dalam kempen Adwave menjurus kepada usaha bersama dalam mendekati komuniti di seluruh Malaysia. Katanya, IWK yang akan menyambut ulangtahun ke-20 turut melihat peluang untuk kembali menyumbang kepada masyarakat, dalam masa yang sama memberi kesedaran menjaga khazanah semulajadi untuk generasi akan datang. "Reputasi Adwave sebagai platform yang terbaik untuk mengangkat idea-idea kreatif ke tahap yang tinggi memang diakui. "Justeru, kita memberi peluang untuk masyarakat berkarya dan menzahirkan apa yang ada di kotak fikiran mereka berkaitan isu pemeliharaan alam sekitar dan dalam masa inginkan masyarakat bekerjasama dengan IWK," ujarnya. Maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh diperoleh dengan melayari laman sosial www.facebook.com/adwave2014 atau hubungi Joanne Lim di talian 014-3230188 dan Teo Xsu Ting (016-4001525). |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan