RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Erin Malek Tukar Lokasi Nikah Saat-Saat Akhir

Posted: 08 Oct 2014 11:48 PM PDT



PETALING JAYA: Pelakon Erin Malek mengambil keputusan menukar lokasi pernikahannya dengan Farriz Fauzy yang sepatutnya berlangsung di Hotel InterContinental Kuala Lumpur pada Jumaat (esok) atas permintaan keluarganya.

Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, berkata, biarpun kad sudah dicetak dan diedarkan kepada tetamu namun atas bantuan ramai perubahan lokasi itu berjaya dimaklumkan kepada semua jemputan dan dia berharap tidak berlaku sebarang kekeliruan.

"Kalau diikutkan saya hendak mengadakan majlis pernikahan itu di hotel sahaja kerana lebih mudah tetapi atas permintaan keluarga terutama datuk dan nenek yang mahu ia diadakan di rumah, saya hormati permintaan mereka.

"Bagaimanapun semua tetamu yang diundang pada majlis itu telah pun dimaklumkan tentang penukaran tempat tersebut," katanya kepada mStar Online.

Majlis pernikahan itu akhirnya dilakukan pada Jumaat selepas solat Maghrib di kediaman keluarganya di Ampang dekat sini.

Manakala majlis resepsi pasangan itu akan diadakan di Hotel InterContinental pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Erin memberitahu dia kini sibuk menguruskan persiapan hari bahagianya dengan Farriz dan berharap semuanya akan berjalan lancar.

"Alhamdulillah persiapan hampir seratus peratus siap biarpun masing-masing sibuk dengan pelbagai tugas bagi memastikan kelancaran majis esok.

"Perasaan berdebar-debar untuk memasuki alam rumah tangga dan memikul tanggungjawab sebagai isteri," ujarnya.

Erin dan Farriz, 30, mengikat tali pertunangan pada 21 Jun lalu selepas empat bulan berkenalan.

Keburukan budaya selfie

Posted: 08 Oct 2014 11:46 PM PDT


SELFIE boleh menjadikan seseorang itu bersifat narsisistik.


PADA masa silam, kita diajar untuk lebih banyak merendah diri dan tidak menonjolkan diri secara keterlaluan. Bagaimanapun, ia mungkin tidak relevan lagi pada zaman sekarang.
Kemunculan pelbagai teknologi yang didatangkan bersama telefon bimbit dan budaya selfie telah menjadikan ia sebahagian daripada cara hidup manusia masa kini.
Ia tidak hanya dilakukan oleh golongan remaja yang masih mencari identiti diri tetapi juga golongan dewasa. Ia bukan sekadar dilakukan oleh kumpulan orang bawahan, bahkan ia turut dilakukan oleh manusia terkenal. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga berselfie bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Jadi apatah lagi orang lain.
Dalam psikologi, kecenderungan berlebihan terhadap diri sendiri ini sering dikaitkan dengan narsisisme atau satu bentuk personaliti yang menyebabkan seseorang merasakan diri mereka sebagai menarik, unik, bijak dan mempunyai kelainan tersendiri. Ia dianggap lebih cenderung kepada keburukan berbanding kebaikan apabila mereka yang narsisistik ini sering merasakan bahawa mereka lebih baik, sedangkan orang lain tidak.
Sebab itulah fenomena selfie ini juga dikaitkan dengan narsisistik. Ini kerana, seseorang cenderung untuk menunjukkan imej diri yang paling baik atau dalam bahasa mudah, perasaan 'seronok sendiri'. Bagaimanapun, disebabkan budaya mengambil foto sendiri dan kemudiannya dikongsi pula untuk tatapan semua kenalan di media sosial telah menjadi trend, narsisisme ini mungkin bukan lagi satu personaliti aneh untuk beberapa tahun mendatang.
Malah kajian-kajian yang dilakukan setakat ini menunjukkan generasi alaf baharu dan generasi Y ini kelihatannya lebih bersifat narsisisme jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Kajian mendapati ada yang telah menghabiskan begitu banyak masa di media sosial untuk mengemaskini status diri yang sebahagiannya ingin menunjukkan apa yang mereka lakukan kepada pembaca yang lain.
Isu selfie ini telah menjadi berita hangat beberapa bulan yang lalu apabila ada pengkaji di Barat yang telah mengaitkan kecenderungan berselfie sebagai satu bentuk kecelaruan mental baharu. Pakar cuba mengistilahkan kecenderungan melampau terhadap selfie ini sebagai Body Dysmorphic Disorder, satu perasaan taksub menyemak penampilan diri. Bagaimanapun, sehingga kini, badan utama psikologi yang sering dirujuk, American Psychological Association (APA) tidak pula memberikan sebarang laporan sama ada selfie dianggap sebagai bentuk kecelaruan atau pun tidak.
Memandangkan selfie hanya muncul beberapa tahun terakhir ini, budaya selfie ini memberikan kebaikan atau lebih banyak kerosakan masih belum direkodkan. Setakat ini, ada beberapa kes terpencil yang menunjukkan kecenderungan melampau terhadap diri sendiri boleh menyebabkan seseorang mengambil jalan pintas. Seperti yang dilaporkan berlaku di United Kingdom, seorang remaja lelaki, Danny Bowman dikatakan telah menghabiskan 10 jam sehari untuk mengambil lebih 200 keping gambar selfie. Bagaimanapun, kerana gagal untuk mendapatkan posisi gambar yang terbaik, dia kemudiannya dikatakan sangat kecewa dan telah melakukan cubaan membunuh diri.
TERDAPAT sesetengah orang berani mengambil selfie dalam keadaan bahaya.


Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk dianggap bahawa selfie ini sebagai sesuatu yang boleh menyebabkan kesihatan mental seseorang terjejas. Kes Danny Bowman itu mungkin bukan satu petunjuk yang tepat kerana kemungkinannya dia juga menghidap masalah psikologi lain yang tidak kita ketahui. Sekiranya selfie dianggap sebagai kecelaruan mental, maka mungkin pada akhirnya hampir semua manusia moden akan menghidap penyakit yang sama.
Meskipun ia tidak dianggap sebagai satu bentuk kecelaruan, penggemar selfie perlu juga mengawal perasaan mereka. Tidak semua gambar patut dikongsi dengan orang lain dan tidak juga semua perkara perlu dirakamkan.
Di St. Petersburg, Rusia, Xenia Ignatyeva seorang gadis berusia 19 tahun maut akibat terjatuh daripada jambatan kerana keasyikan untuk mengambil potret diri. Tragedi kemalangan diri seperti ini juga dilaporkan di beberapa tempat lain. Di Filipina, seorang gadis terbunuh akibat terjatuh dari tangga di sebuah bangunan sekolah ketika berselfie. Kes yang paling menyayat hati menimpa ke atas Courney Sanford, 32, di Amerika Syarikat apabila terbabit dengan kemalangan jalan raya sebaik sahaja selesai mengemaskini potret dan status 'Happy' dalam laman Facebooknya.
Di Malaysia, walaupun kita belum mendengar laporan tragedi seperti ini, apabila melihat gejala selfie ketika memandu yang berlaku di mana-mana, ia patut mengingatkan kita semua bertapa sifat menunjukkan diri kepada orang lain patut ada batasnya. Tidak semua perkara patut diberitahu kepada orang lain dan tidak semua hal patut dikongsi bersama. Ada keadaan tertentu adalah lebih baik untuk kita berdiam diri.
Selfie mungkin masih menjadi istilah baharu untuk kita semua. Belum banyak yang diketahui kesannya terhadap psikologi manusia dan sama ada ia merupakan kecelaruan baharu atau tidak, biarlah ia menjadi debat para pengkaji. Bagaimanapun, apa yang pasti, selfie mampu membunuh diri sendiri sekiranya ia dilakukan pada tempat yang tidak sepatutnya.


Cari lokasi menerusi Google Street View

Posted: 08 Oct 2014 11:45 PM PDT

SAJITH (kiri) dan Nhazlisham memperkenalkan logo Pegman dalam majlis pelancaran GSV di ibu pejabat Google Malaysia baru-baru ini.


MENGGUNAKAN Google Street View (GSV) menerusi laman web Google pada telefon pintar ternyata membuatkan Mohd. Khairul Najmi Mohd. Yusof, 24, teruja. Lokasi pertama yang dicari menerusi aplikasi itu ialah kediaman keluarganya di Kampung Chaim, Lenggong, Perak. Dia mendapat informasi mengenai aplikasi di laman web Google itu pada hujung bulan lalu apabila rakan-rakannya memuat naik gambar lokasi kediaman mereka di Facebook.
"Bagi saya, GSV memudahkan orang ramai untuk melihat keadaan kawasan di negara ini melalui paparan gambaran sebenar setiap lokasi. Aplikasi ini juga menunjukkan ciri-ciri fizikal sebenar sesebuah lokasi, mercu tanda dan bangunan. Paparan gambar lokasi yang dapat dilihat secara 360 darjah merupakan tetapan yang memberi manfaat kepada pengguna," ujar Penolong Pegawai Penerbitan Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
GSV merupakan satu perkembangan terkini aplikasi Google Maps yang terkenal sebagai sebuah ejen carian lokasi di seluruh dunia. GSV mula diperkenalkan di negara ini sejak setahun lalu dan kini Google Malaysia berjaya merakam 90 peratus imej-imej pemandangan di sepanjang jalan raya, lebuh raya, destinasi pelancongan dan kawasan awam di Semenanjung Malaysia.
Antara imej baharu yang telah dikemas kini menerusi GSV ialah Taman Negara, Pahang; Pulau Langkawi, Kedah; Pulau Pangkor, Perak; Pulau Pinang; Melaka dan Putrajaya.
Lokasi
Dengan hanya menarik ikon Pegman yang berwarna kuning ke peta lokasi yang dicari di laman Google Maps, anda dapat meneroka lokasi yang dipilih menerusi gambar. Uniknya mengenai GSV ialah anda boleh berjalan dan mengembara di kawasan yang dipilih dengan menekan penunjuk arah menerusi paparan 360 darjah.
Pengarah Urusan Google Malaysia, Sajith Sivanandan memberitahu, pengguna boleh menggunakan GSV dengan pantas sama ada di laman web atau menerusi aplikasi di telefon pintar.
Jelasnya, setiap gambar lokasi yang dipaparkan menerusi laman web itu tepat kerana ia diambil secara manual oleh pasukan Operasi Street View, Google Malaysia dengan memandu van dan menunggang motosikal untuk kawasan awam manakala kamera galas untuk merakam pemandangan di dalam hutan.
"Pihak kami akan sentiasa mengemas kini imej lokasi dan data GSV kerana setiap jalan dan tempat di Malaysia sentiasa berubah. Dalam tempoh setahun, kami berjaya merakam 90 peratus imej kawasan awam di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan satu proses berterusan terutama untuk merakam imej-imej yang terkini.
"Google telah digunakan di 61 buah negara dan Malaysia salah satu daripadanya. Sehingga kini, Google mempunyai berbilion pengguna yang boleh mengakses GSV di luar negara. Bayangkan, anda dapat melihat pemandangan Taj Mahal, India dan Everest Base Camp, Nepal dengan hanya menggunakan telefon pintar. Justeru, pengguna GSV di Malaysia juga dapat berbuat demikian untuk melihat lokasi-lokasi di negara ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas pelancaran GSV di ibu pejabat Google Malaysia baru-baru ini.
GSV mempunyai hubung kait dengan Google Maps dan Google Earth. Menerusi GSV, pengguna tidak perlu bimbang mengenai privasi di kediaman anda kerana Google Malaysia mengaburkan wajah manusia, plat kenderaan dan alamat rumah sebagai langkah keselamatan.

GSV turut memaparkan imej destinasi pelancongan di Taman Negara, Pahang yang jelas untuk tatapan para pengguna.


Aduan pengguna
Google juga menerima aduan pengguna yang tidak mahu wajah atau imej kediaman mereka dipaparkan di GSV. Langkahnya mudah, anda perlu menghantar permintaan dan aduan dengan mengklik butang Report a Problem di bawah laman web tersebut.
Sementara itu, Ketua Operasi Street View Google Malaysia, Nhazlisham Hamdan yang merakam imej lokasi-lokasi untuk GSV berkongsi cerita bahawa proses rakaman itu bermula pada bulan Ogos tahun lalu.
Jelasnya, pengangkutan dalam operasi itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kereta dan pasukan khas yang mengambil gambar menggunakan troli serta pengesan.
"Cuaca juga memain peranan utama sewaktu merakam imej dengan menggunakan kamera, laser dan alat sistem kedudukan global (GPS) yang dibangunkan oleh Google. Sekiranya cuaca hujan atau jerebu, kami terpaksa membatalkan proses rakaman. Mengikut prosedur, kami perlu meminta kebenaran daripada pihak-pihak yang tertentu untuk merakam imej sesetengah kawasan seperti lokasi pelancongan, taman tema dan kawasan universiti," ujarnya yang menggalas beg kamera untuk merakam imej panorama di Taman Negara pada bulan Februari lalu.
Layari laman web www. maps.google.com.my untuk memulakan pengembaraan menerusi GSV.


Rumah kapsul terakhir Tokyo

Posted: 08 Oct 2014 11:43 PM PDT



SALAH seorang pemilik kapsul, Takayuki Sekine menunjukkan model Bangunan Kapsul Nakagin.


SETIAP malam, sebahagian penghuni Bangunan Kapsul Nakagin di Tokyo, Jepun masih boleh tidur nyenyak di lokasi yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai bangunan futuristik.
Mempunyai ruang bilik yang kecil seperti kabin sebuah keranda, kapsul itu turut menjadi hotel kepada pekerja pejabat yang tertinggal tren untuk berehat dalam tempoh beberapa jam. Bangunan yang mempunyai 140 unit kapsul itu turut menyimpan satu sejarah seni bina meskipun terdapat perancangan untuk merobohkannya.
"Kami sedang berusaha untuk mengutip derma dari seluruh dunia bagi membeli setiap satu kapsul dalam bangunan itu. Satu bilik merupakan satu undian kepada rancangan untuk merobohkan bangunan itu," ujar pengasas projek Selamatkan Bangunan Kapsul Nakagin, Masato Abe.
Dibina oleh Kisho Kurokawa pada tahun 1972, bangunan itu pernah digunakan sebagai salah satu set penggambaran filem The Wolverine lakonan Hugh Jackman.
Rumah kedua
Kini, separuh daripada kapsul itu dijadikan rumah kedua, pejabat dan studio seni manakala sebanyak 20 unit dihuni secara tetap.
Katil, meja lipat dan bilik air dimuatkan dalam sebuah 'kotak' yang hanya berkeluasan 10 meter persegi. Rekaan dalamannya masih mengekalkan sentuhan era 70-an termasuk sebuah tingkap besar, jam dinding retro dan sistem audio yang turut dipasang di sekeliling bilik tersebut.
Pasangan arkitek berbangsa Portugal, Ana Luisa Soares dan Filipe Magalhães yang berkongsi bilik kapsul hampir setahun berkata, tinggal di daerah Shimbashi adalah sangat 'menyeronokkan' dengan bandar yang sesak dan sentiasa meriah sehingga larut malam. Namun, keadaan bangunan tersebut menjadikan kehidupan mereka semakin rumit.
"Penebat asbestos kapsul tersebut tidak boleh digunakan lagi. Apabila musim sejuk keadaan bilik menjadi sangat dingin. Begitu juga ketika musim panas," katanya.
Batang paip berkarat, masalah air yang teruk dan masa depan yang tidak menentu menyebabkan hampir separuh kapsul telah dimusnahkan oleh pemilik. Mereka turut menyokong usaha merobohkan bangunan bagi pembinaan pangsapuri baharu.
Undian
Menurut salah seorang pemilik, Tatsuyuki Maeda, cadangan perobohan hanya boleh dilakukan jika mendapat undian melebihi 80 peratus daripada pemilik kapsul. Dia merancang untuk mengubah suai tujuh buah kapsul miliknya sebelum merancang untuk dijual.
Sewa untuk sebuah kapsul adalah sebanyak RM1,790 sebulan tetapi kadar tersebut akan naik mendadak jika pangsapuri baharu didirikan.
Cadangan perobohan hampir dilaksanakan pada tahun 2007 apabila menerima undian yang mencukupi walaupun petisyen dan perbincangan antara Kurokawa dengan syarikat hartanah Nakagin telah diubah untuk menyelamatkan bangunan tersebut.
Namun, disebabkan krisis ekonomi global menyebabkan cadangan pengubahsuaian dihentikan dan kempen Kurokawa diteruskan selepas kematiannya pada tahun 2007.
BANGUNAN yang menempatkan 140 unit kapsul ini menyimpan sejarah arkitek Tokyo dan ia harus dipelihara.


Hak milik
Beberapa kapsul sudah bertukar hak milik kepada penghuni baharu termasuk Maeda yang bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan bangunan itu.
"Cakap-cakap untuk merobohkan bangunan itu masih berterusan. Pihak Kurokawa juga ada membuat perbincangan untuk membuat pengubahsuaian secara besar-besaran," ujarnya.
Namun, cadangan menemui jalan buntu apabila pihak Nakagin mengeluarkan kenyataan bahawa usaha memelihara bangunan itu adalah mustahil memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi tetapi cadangan perobohan juga tidak dapat dilaksanakan jika gagal mendapat persetujuan sekurang-kurangnya empat per lima pemilik.
Setakat ini, pelbagai projek dilakukan bagi menghidupkan bangunan itu. Abe yang berpindah keluar selepas sistem air panas dihentikan pada tahun 2010, telah menyewakan kapsulnya kepada tetamu pada harga RM268 semalam menerusi laman web perhotelan, Airbnb.com.
Bagi Takami Sugawara yang merupakan seorang artis, dia menukar bilik kapsulnya kepada sebuah kamera lubang jarum gergasi dengan menyekat cahaya daripada tingkap bilik. Projek itu bertujuan untuk merakamkan imej di luar bangunan secara terbalik menerusi lubang kecil tersebut.
Pensyarah Perbandaran di Universiti Tokyo, Christian Dimmer, memberitahu bangunan Kurokawa merupakan salah satu contoh seni bina pasca perang pergerakan Metabolist yang bertujuan untuk mencipta pembangunan mampan kepada para penduduk. Ia membolehkan penghuni mengeluarkan kapsul mereka jika ingin berpindah.
Ia direka secara individu supaya boleh dikeluar dan digantikan setiap 25 tahun tetapi perancangan itu tidak dapat dilakukan.


Cegah jenayah di taman awam

Posted: 08 Oct 2014 11:42 PM PDT



SEKILAS pandang, kelibat mereka tidak ubah seperti anggota polis yang sedang menaiki basikal sambil bersiar-siar di sekitar taman awam.
Mengenakan baju seragam berwarna biru gelap, dilitupi jaket keselamatan hijau muda dan bertopi keledar putih, kehadiran mereka pasti melahirkan rasa gerun kepada penjenayah.
Itulah gaya penampilan anggota Unit Penguat Kuasa Berbasikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditubuhkan sejak setahun lalu.
Antara peranan utama unit tersebut ialah membuat rondaan dan pemantauan di sekitar taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai.
Namun buat permulaan, unit tersebut hanya melakukan rondaan di lima buah taman rekreasi di sekitar ibu kota iaitu Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri, Taman Metropolitan Kepong dan Taman Metropolitan Batu.
"Saya rasa lebih selamat ketika beriadah di taman ini," kata pengunjung Taman Tasik Melawati, Kuala Lumpur, Muhammad Jibril Jantan, 20.
Menurut anak kelahiran Melaka itu, kes jenayah tidak terhad di kawasan tertentu sahaja, malah ia turut berlaku di taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai.
"Ini dapat memberi lebih jaminan keselamatan kepada kami ketika beriadah selain mampu mengurangkan kadar jenayah," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah pelajar kolej swasta itu, sejak kebelakangan ini, orang ramai berasa tidak selamat ketika beriadah kerana kejadian jenayah seperti kes kecurian kenderaan dan barangan berharga turut berlaku ­­di taman-taman awam.
Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berharap agar pihak DBKL dapat memperluaskan unit berkenaan ke kawasan lain pada masa akan datang.
Dalam pada itu, menurut salah seorang anggota Unit Penguat Kuasa Berbasikal DBKL, Mohammad Syukri A.M. Rizal, 24, setiap hari dia bersama tiga rakannya akan membuat rondaan sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Dia yang berasal dari Simpang Renggam, Johor akan memulakan aktiviti rondaan menggunakan basikal di sekitar kawasan tersebut seawal pukul 7 pagi hingga 3 petang.
"Ia bagi memastikan harta benda dan keselamatan pengunjung berada dalam keadaan selamat, di samping memastikan orang ramai mengikut peraturan yang ditetapkan oleh DBKL," katanya yang masih bujang.

DBKL membekalkan basikal jenis Patrol Bike SW1126 yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat.


Kesalahan
Tambahnya, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai ketika berkunjung ke taman awam ialah vandalisme, kecurian, berkelakuan sumbang, menjaja tanpa lesen, membawa haiwan peliharaan dan meletak kenderaan di atas garisan kuning.
Katanya, sekiranya kesalahan yang dilakukan adalah kecil, maka pihaknya akan menegur secara baik terlebih dahulu.
Namun jika ingkar, pihaknya boleh memberi notis kepada pelaku mengikut akta sedia ada yang membawa hukuman denda sehingga RM150.
Bagi kesalahan-kesalahan berat seperti kes kecurian atau bunuh akan diserahkan kepada pihak Polis.
"Kami bertanggungjawab untuk mencegah kejadian jenayah sahaja. Kami tidak ada kuasa untuk menangkap atau mendakwa pesalah. Tambahan pula, kami hanya dibekalkan senjata jenis T Beton," katanya.
Kesihatan
Mengulas kaedah pemantauan menggunakan basikal, dia berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja menyeronokkan, malah boleh menyihatkan badan.
"Saya memang menggemari aktiviti berbasikal sejak kecil lagi. Disebabkan itu, bertugas menaiki basikal bukanlah satu masalah kepada saya. Berbasikal juga baik dari sudut kesihatan," katanya.
Mohammad Syukri dan rakan-rakannya meronda menggunakan basikal jenis Patrol Bike SW1126 yang diimport oleh DBKL dari Amerika Syarikat.
Katanya, basikal seberat 8.5 kilogram itu direka dengan pelbagai ciri dan spesifikasi khas untuk tujuan penguatkuasaan di bandar raya.

UNIT Penguat Kuasa Berbasikal DBKL juga berperanan sebagai perantara dalam menyampaikan mesej kepada warga kota dan pelancong.


Selain menjaga keselamatan, unit berkenaan juga merupakan perantara dalam menyampaikan mesej kepada warga kota dan pelancong yang memerlukan maklumat berkaitan Kuala Lumpur. Penubuhan unit itu juga diharapkan dapat menjadi identiti baharu kepada Kuala Lumpur.
"Imej yang segak dan lebih mesra mampu meningkatkan dan memperkasakan program-program yang sedang giat dilaksanakan oleh DBKL.
"Jadi, tidak mustahil ia akan menjadi salah satu daya tarikan terbaharu, terutamanya kepada pelancong asing," kata Inspektor Unit Rondaan Berbasikal DBKL, Nor Effendi Rosli.
Mengulas mengenai purata notis yang dikeluar setiap bulan, dia memaklumkan, pihaknya mengeluarkan kira-kira 100 notis atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan sering dilakukan oleh orang ramai di kawasan taman rekreasi ialah meletak kenderaan di atas garisan kuning.
Bantuan kecemasan
Dalam pada itu, bagi memberi lebih impak kepada unit berkenaan, pihak DBKL bercadang untuk memperluaskan peranannya.
Salah satu fungsi yang akan ditambah dalam unit tersebut ialah perkhidmatan bantuan kecemasan.
"Melalui perkhidmatan tersebut, kami berharap dapat memberikan bantuan kecemasan kepada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan atau tercedera ketika melakukan aktiviti di sekitar taman.
"Setakat ini, beberapa orang anggota telah pun dihantar berkursus di Hospital Kuala Lumpur di bawah bimbingan Jabatan Kesihatan," kata bekas pelumba basikal kebangsaan itu.
"Di samping itu, tidak lama lagi, jumlah anggota unit berkenaan juga akan ditambah daripada 20 kepada 40 orang," jelasnya.
Kata Effendi, pertambahan tersebut membolehkan pihaknya memperluaskan kawasan rondaan daripada lima kepada 11 kawasan ­di sekitar ibu kota.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories