RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kilauan emas sempena Syawal

Posted: 09 Aug 2011 10:20 PM PDT


Set Legenda Emas mengandungi rantai dan gelang dipadankan dengan anting-anting Impian dan cincin reka bentuk bunga.


WANITA dan barang kemas umpama kawan karib yang mampu menceria dan menghiburkan hati yang berduka.

Buktinya, bagi membujuk isteri atau kekasih yang merajuk lelaki biasanya memilih untuk menghadiahkan barang kemas .

Barang kemas turut dipandang sebagai pemberian yang istimewa dalam sesuatu perkahwinan sebagai hadiah atau hantaran. Selain cincin, ada yang menghadiahkan gelang, rantai tangan, rantai leher dan sebagainya.

Oleh kerana itu, walau harga emas semakin mahal bukan menjadi penghalang untuk wanita mengunjungi kedai-kedai emas bagi mendapatkan koleksi terbaru atau sekadar untuk 'mencuci mata'.

Pengurus Kanan Pemasaran Tomei, Christine Lim, mengakui suasana orang ramai membeli barang kemas tambah rancak menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, bagi sesetengah wanita yang berkemampuan, persediaan menyambut hari raya termasuklah membeli barang kemas baru.

"Selain menyediakan pakaian, perhiasan rumah, kuih-muih dan sebagainya, hari raya mereka terasa lebih meriah dan seronok jika mendapat barang kemas baru.

"Ada yang membeli baru bagi menambah yang sedia ada, tidak kurang juga yang menukar barang kemas lama mereka kepada yang baru bagi mendapatkan rekaan terkini," katanya.

Berdasarkan corak pembelian barangan kemas di Tomei, kata Christine, masyarakat Melayu lebih gemar membeli emas kuning kerana warna emas kuning lebih terpancar dan berseri.

Manakala emas putih pula biasanya diminati oleh golongan muda lebih-lebih lagi yang bertatah berlian.

Sementara itu sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Tomei tidak ketinggalan sama memeriahkan dengan memperkenalkan koleksi terbaru barang kemas yang lebih cantik dan berseri.

Menurut Christine, koleksi yang bertemakan Gemilang Emas Bersama Tomei ini merupakan rekaan terbaru yang menonjolkan kegemilangan emas dan kecantikan berlian.

"Setiap rekaan yang terdapat dalam koleksi ini menyerikan si pemakai dengan makna tersendiri, selain memaparkan daya tarikan emas sebagai hiasan tidak terbatas dek zaman," katanya.

Beliau berkata, tiga set sensasi bakal menarik perhatian iaitu Set Gemilang Emas yang melambangkan kegemilangan zaman seorang wanita, set Lagenda Emas pula memaparkan cerita turun-temurun keagungan emas sementara set Seri Mewah mencetus kemewahan seni ukiran emas.

Selain itu turut ditampilkan anting-anting Impian yang anggun dan menarik.

Juga tidak ketinggalan ialah koleksi Sweet Lily daripada jenama antarabangsa Prima Gold yang merupakan koleksi emas tulen 24K.

"Sejak turun temurun emas sudah dianggap sebagai komoditi yang berharga dan bernilai.

"Jadi bagi memperingat prestij tersebut, sempena hari raya ini kami perkenalkan jongkong emas keluaran khas dengan gambar KLCC. "Jongkong emas menjadi pilihan pelanggan yang membeli emas sebagai pelaburan masa depan," kata Christine.

Sementara itu, sempena promosi Jimat-Jimat Raya di Tomei, orang ramai boleh mengunjungi pameran emas dan berlian Tomei di Alamanda, Putrajaya dari 5 hingga 29 Ogos; Suria KLCC (6-14 Ogos) dan 1 Utama (10-21 Ogos).

Pelbagai tawaran menarik serta hadiah percuma disediakan sepanjang promosi tersebut.

Selain itu sertai juga Peraduan Gemilang Emas Bersama Tomei di Facebook dengan melayari www.facebook.com/mytomei yang bermula 1 hingga 15 Ogos dan menangi loket edisi khas Prima Gold.

Haliza pertahan tudung bawal

Posted: 09 Aug 2011 10:17 PM PDT


Haliza sentiasa berbincang dengan kakitangan bagi memastikan pelanggan sentiasa selesa dengan tudung bawal.


SEMANGAT yang ditunjukkan anak jati Selangor ini seharusnya diberi pujian kerana setelah 14 tahun bergelumang dalam dunia perniagaan, akhirnya hari ini jenama Bawal Exclusive semakin dikenali seluruh negara.

Hanya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di arked sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Haliza Maysuri, 34, bukan sahaja berjaya 'mengumpul' pelanggan tetap malah perniagaan tudung bawal sentiasa dicari kaum Hawa yang gemarkan tudung tersebut.

Bagi Haliza, perniagaannya hari ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada keluarga dan suami tercinta di samping berkat kesabaran dan semangatnya.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, menurut ibu kepada dua orang cahaya mata ini, selama 14 tahun dia tidak pernah menukar produk perniagaannya biarpun trend pemakaian tudung sentiasa berubah.

Jelas Haliza, untuk lima tahun pertama dia memasarkan produknya di pasar pagi dan pasar malam.

Akhirnya, apabila perniagaan semakin berkembang dan maju, dia mampu menyewa sebuah kedai.

Dalam usaha memberikan kelainan kepada tudung bawal keluarannya, Haliza telah menghasilkan sendiri tudung bawal tersebut di samping meletakkan kristal swarovski sebagai hiasan.

Disebabkan kristal swarovski itulah, Putri telah menjenamakan tudungnya dengan Bawal Exclusive.

"Tudung bawal mempunyai peminatnya tersendiri dan sehingga hari ini walaupun terdapat banyak produk tudung yang pelbagai jenis di pasaran tetapi bagi mereka yang selesa dengan tudung bawal, mereka tidak akan beralih.

"Alhamdulillah, pelanggan saya semakin bertambah setiap hari dan untuk terus bersaing dengan produk-produk yang sedia ada hari ini, setiap bulan saya akan mengeluarkan corak yang baru dan berbeza," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya di No. 205, Tingkat 1, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai produk keluaran syarikatnya, jelas Haliza, kesemua tudung bawal yang dihasilkan, kainnya diimport dari Jepun manakala kristal swarovski pula diimport dari Austria.

Untuk menjaga kualiti, Haliza memberitahu ia dibuat 100 peratus di kilangnya yang terletak di Puchong dan dalam masa yang sama, suaminya, Mohd. Rosli Bawal turut mereka sendiri corak tudung-tudung tersebut dalam usaha menjaga kualiti dan eksklusif jenamanya.

"Bagi menjamin eksklusif jenama Bawal Exclusive itu sendiri, semua proses penghasilannya dibuat di sini yang bermula daripada potong, jahit dan menampal batu-batu kristal.

"Kami turut mengambil tempahan khas untuk butik-butik dan tempahan ini coraknya hanya satu.

"Lagipun, segala corak yang dihasilkan merupakan idea saya sendiri dan ia tidak sama dengan corak-corak tudung yang lain," katanya lagi.

Lagi satu, jelas Haliza, sesiapa yang membeli tudungnya, mereka diberi jaminan terhadap setiap batu kristal yang terdapat pada tudung dan sekiranya batu kristal tersebut jatuh mereka boleh datang dan tampalnya semula tanpa sebarang bayaran.

Hari ini, Bawal Exclusive bukan sahaja boleh didapati di Kuala Lumpur malah ia juga boleh didapati di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Bukan itu sahaja, Bawal Exclusive turut dieksport ke Yunan, China.

Siapa sangka, peringkat permulaan segala-galanya diuruskan sendiri, hari ini dia mempunyai seramai 18 orang pekerja.

Boleh didapati pada harga serendah RM35, produk Bawal Exclusive juga mencecah ribuan ringgi.

Untuk melihat sendiri koleksi Bawal Exclusive, anda boleh layari www.bawal.com.my atau hubungi talian 03-26985295.

Transformasi inklusif mantapkan kuasa tempur

Posted: 09 Aug 2011 10:15 PM PDT


TEGAP BERDIRI... Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (dua dari kiri) bersama tiga cabang Panglima ATM dari kiri Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud ketika Perbarisan Perintah Ulung di Dataran PTD, Kem Sungai Besi Kuala Lumpur baru-baru ini.


UTUSAN: Boleh ceritakan karier ketenteraan Datuk sebelum menjadi Panglima Tentera Darat?

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah dimurahkan rezeki dan diberikan kepercayaan untuk menerajui angkatan tentera kita.

Saya memulakan perkhidmatan pada 5 Januari 1978 sebagai Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek di Maktab Tentera Diraja sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dengan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Saya pernah menyandang jawatan pemerintah, jurulatih dan staf antaranya Ketua Cawangan Senjata, Pegawai Memerintah ke-6 dan 24 RAMD, Komandan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan, Panglima Markas 7 Briged di Johor, Asisten Ketua Staf Perancangan Pertahanan Markas ATM, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Timbalan Panglima Tentera Darat.

Apabila dilantik sebagai Panglima Tentera Darat, apa perasaan Datuk ketika menerima tanggungjawab itu?

Alhamdulillah, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan kurnia dan hidayah-Nya, saya telah diberi mandat sebagai Panglima Tentera Darat ke-24.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad serta pucuk pimpinan ATM kerana telah memberi penuh kepercayaan kepada saya.

Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM kerana telah memperkenan pelantikan ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat dan rakan-rakan di atas doa mereka.

Sesungguhnya, pelantikan ini adalah satu mandat, amanah dan tanggungjawab yang besar dan saya menerimanya dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Harus saya akui bahawa saya tidak pernah menyangka, dalam perjalanan karier sebagai seorang pegawai tentera, saya akan menjadi Panglima Tentera Darat.

Saya percaya jika kita pikul tanggungjawab dan amanah ini bersama, yang ringan akan kita jinjing yang berat dapat kita pikul, malah lautan api juga tidak mustahil kita renangi. Insya-Allah.

Apakah strategi yang akan Datuk gunakan untuk memperkasakan mutu perkhidmatan Tentera Darat?

Saya telah menggariskan beberapa pendekatan khusus menerusi Perintah Ulung saya baru-baru ini untuk memperkasakan lagi mutu perkhidmatan Tentera Darat. Selaras dengan Perintah Ulung itu, kesinambungan pemerintahan terdahulu akan saya teruskan.

Bagaimanapun, beberapa transformasi akan dilakukan untuk memantapkan Tentera Darat yang inklusif serta membangunkan semangat kesatuan 1 Jiwa Tentera Darat.

Secara amnya, terdapat lima topik utama ke arah pendekatan tersebut iaitu Kelangsungan Visi Mengekal Tradisi, Transformasi Inklusif Mengekal Relevansi Tetap Diungguli, Sahsiah Diri Prestasi Tentera Darat, Satu Jiwa Enam Akal Budi dan Tekad, Doa, Restu, Tawakal dan Restu Hala Tuju Yang Jitu Dituju.

Fokus utama adalah berpandukan kdua dimensi utama iaitu kesiagaan tempur dan kualiti hidup untuk menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah ketumbukan serba moden dan berkebolehan dalam mempertahankan kedaulatan serta keutuhan negara pada sebilang masa.

Bagaimana mencari kaedah terbaik bagi menyediakan sebuah pasukan berwibawa dari aspek strategik dan taktikal supaya peranan mempertahankan negara dapat dilaksanakan dengan sempurna?

Pendekatan yang saya syorkan adalah penumpuan terhadap latihan ketenteraan, membina modal insan, pembentukan keutuhan aspek kognitif dan minda serta memperlengkapkan Tentera Darat agar mapan melaksanakan segala tugasan yang diamanahkan dengan cemerlang.

Fokus adalah kepada manusia, mesin dan kaedah yang perlu digabungkan untuk menghasilkan output dan end state yang meningkatkan kecemerlangan dan profesionalisme organisasi.

Apakah yang perlu diperbaiki oleh Tentera Darat supaya dapat membentuk satu pasukan yang lebih mantap?

Asas kewujudan dan pengertian prestasi Tentera Darat adalah mengenai persoalan tahap kesiagaan tempur. Ia mengenai kemampuan Tentera Darat mempertahankan tanah air, khususnya ancaman dari luar.

Pada masa aman, Tentera Darat sentiasa berlatih meningkatkan kuasa tempur agar kerajaan dan masyarakat yakin mereka mempunyai pasukan yang mampu memberi perlindungan sebagai payung keselamatan. Justeru di masa aman, gerak geri perlakuan setiap individu warga Tentera Darat mencerminkan kemampuan kesiagaan tempur.

Tahap dan prestasi kesiagaan tempur adalah mengenai kewibawaan tiga elemen kuasa tempur iaitu daya tembak, daya gerak dan daya juang atau moral.

Elemen daya tembak dan daya gerak adalah elemen ketara berunsurkan faktor fizikal yang nyata, sementara daya juang adalah elemen tidak ketara berunsurkan faktor spiritual yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar kecuali melalui refleksi akal budi seseorang anggota.

Sejarah mengajar kita bahawa penumpuan yang hanya menjurus kepada salah satu elemen ini, sama ada elemen ketara atau tidak ketara adalah satu kelemahan kuasa tempur dalam melaksanakan sesuatu misi ketenteraan. Justeru pemerintahan saya akan mengutamakan keseimbangan pengurusan kedua-dua elemen ini.

Faktor wujud dulu kepada kuasa tempur ialah keseimbangan simbiosis yang saling melengkapi di antara faktor manusia, mesin dan kaedah.

Justeru, menjadi harapan saya agar kajian-kajian mengenai trilogi tersebut diberi perhatian lebih serius secara berterusan, terutamanya di Institusi dan pusat latihan tentera darat.

Saya juga meletakkan kepercayaan kepada semua lapisan kepemimpinan agar sentiasa berpandangan jauh bagi melaksanakan kajian-kajian terhadap keperluan ketenteraan dalam pelbagai situasi semasa dan masa hadapan.

Apakah perkara yang sering menjadi cabaran kepada Tentera Darat?

Pertama ialah isu peruntukan kewangan yang merupakan cabaran yang perlu saya akui dan terima dalam usaha melaksanakan latihan, program serta pembangunan Tentera Darat. Namun ia bukan alasan untuk pasukan meneruskan segala perancangan mengikut keutamaan dan peruntukan yang diperoleh.

Kedua, kepelbagaian jenis corak tugas memerlukan Tentera Darat sentiasa berubah agar semua tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat.

Tentera Darat dilihat sebagai ejen perubahan dan memerlukannya sentiasa bersiap sedia membantu pihak tertentu tidak kira dalam apa bentuk sekalipun dalam lingkungan kemampuannya.

Terakhir, mengekalkan mutu serta tahap profesionalisme setiap warga Tentera Darat yang telah diamanahkan untuk mempertahankan negara kita.

Pada pandangan Datuk, apakah transformasi yang akan berlaku pada Tentera Darat dalam10 tahun lagi ?

Transformasi Tentera Darat dalam 10 tahun akan datang adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik Army 2 10 Plus 10 serta Pelan Pembangunan ATM Dimensi ke-4 atau 4D MAF yang menyasarkan untuk menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah ketumbukan yang serba moden dan mempunyai ciri-ciri khusus untuk melaksanakan tugas dalam konteks pelbagai spektrum konflik.

Ilmu pengetahuan penting dalam melahirkan pemimpin berkemampuan tinggi dan dapat memberi sumbangan bermakna kepada ATM, apa pendekatan Datuk dalam memastikan elemen ilmu terus menjadi teras pembangunan organisasi tentera?

Saya memfokuskan pada pembangunan keupayaan kognitif dan intelektual warga Tentera Darat. Kita akan terus menggalakkan usaha setiap warga tentera untuk melanjutkan pelajaran ke beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara menerusi Skim Pengajian Tinggi ATM dan Program K-Force. Di samping itu, Tentera Darat akan terus menerima graduan UPNM untuk memenuhi kuota pengambilan pegawai ke dalam organisasi ini.

Elemen ilmu pengetahuan juga ditetapkan sebagai satu kriteria utama dalam pengurusan sumber manusia dan diberi keutamaan dalam aspek kenaikan pangkat dan penempatan kerja untuk setiap warga tentera darat.

Apa perancangan Datuk untuk memastikan jenama Malaysia terus terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat?

Saya akan terus menyokong usaha kerajaan membantu negara-negara tertentu dalam pelbagai misi kemanusiaan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bersama kerajaan ke arah mencapai Keamanan Global.

Selain pengalaman dan latihan 'on the job training' (OJT) yang diperoleh setiap individu yang menyertai misi tersebut, warga Tentera Darat juga akan menimba pengetahuan dan pengalaman yang sewajarnya dalam konteks kerjasama antarabangsa dengan pasukan negara lain.

Penglibatan anggota tentera juga berkembang sebagai ejen pembangunan termasuk meningkatkan mobiliti sosial, membuka peluang perniagaan dan menyediakan infrastruktur kepada rakyat, apa peringkat seterusnya bagi Tentera Darat?

Tentera Darat sebagai sebuah organisasi inklusif, turut menyokong program yang dianjurkan oleh kerajaan seperti Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu program kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan agensi lain yang berganding bahu menjana kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Program NBOS dilihat sebagai satu usaha positif yang melalui kerjasama strategik itu, kerajaan dapat menjimatkan kos dan seterusnya lebih banyak projek pembangunan negara dapat dilaksanakan.

Melalui program itu juga, hubungan yang lebih erat dapat dijalinkan di kalangan agensi kerajaan dalam menghasilkan output lebih berkesan demi kebaikan dan faedah semua pihak.

Apa saranan Datuk kepada warga Tentera Darat?

Saya menyarankan warga Tentera Darat berpegang pada kualiti hidup sebagai salah satu faktor utama membangunkan elemen ketiga kuasa tempur Tentera Darat iaitu daya juang ketenteraan.

Ia merupakan tahap keyakinan, ketabahan, pengorbanan dan sikap keberanian yang tinggi bagi melaksanakan tugas pasukan.

Tahap daya juang seseorang anggota ditentukan oleh pengertian kehidupan, sama ada kehidupan ini untuk diri kita sahaja, keluarga, pasukan, agama, bangsa atau negara. Individu yang mempunyai tahap daya juang bersendikan pasukan dan kenegaraan semestinya berbeza dengan pengertian kehidupan anggota yang bersendikan material semata-mata.

Justeru, saya menyeru kepada setiap warga Tentera Darat agar sentiasa membangun dan menyuburkan tahap daya juang yang bersendikan kenegaraan 1Malaysia yang mampu mewujudkan Tentera Darat sebagai 1Angkatan, tetap gagah, tetap setia bagi mendukung aspirasi rakyat dan kedaulatan negara.

Ustazah Pilihan perlu taring

Posted: 09 Aug 2011 10:14 PM PDT


(Dari Kiri) Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat UKM, Prof Dr. Siti Rugayah Tibek, Fauziah Nawi dan wakil Astro Oasis, Nurjannah Mohd. Salleh antara juri yang hadir di sesi uji bakat di lokasi terakhir Ustazah Pilihan, baru-baru ini.


Setelah program realiti televisyen Imam Muda mencatat kejayaan yang memberangsangkan, cubaan Astro Oasis membawakan program Ustazah Pilihan dilihat perlu 'taring' supaya orang ramai terpanggil untuk menyaksikan program terbaru itu nanti.

Baru-baru ini, uji bakat pencarian Ustazah Pilihan telah diadakan di lokasi terakhirnya iaitu Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Wakil Astro Oasis, Nurjannah Mohd. Salleh berkata, sambutan yang diberikan pada sesi uji bakat terakhir amat menggalakkan.

"Ramai juga yang hadir untuk menjalani sesi uji bakat hari ini kerana ini merupakan lokasi terakhir sebelum pihak kita membuat penilaian dan sekali gus, mengumumkan siapakah yang akan memasuki Ustazah Pilihan musim pertama.

"Alhamdulillah uji bakat berjalan lancar yang meliputi empat destinasi yang mana, lokasi pertama ialah di Kedah," katanya.

Nurjannah berkata, apabila program Ustazah Pilihan ditampilkan, pihaknya bersikap optimis walaupun akan ada suara-suara sumbang yang ingin membanding-bandingkan antara program khas untuk golongan hawa itu dengan Imam Muda.

"Apa yang penting, menerusi program Ustazah Pilihan, ia dapat dijadikan platform dalam berdakwah di samping sama-sama dapat berkongsi ilmu.

"Maka itulah, motif utama program Ustazah Pilihan adalah untuk membentuk individu yang boleh menjadi ikon muslimah dan seterusnya menjadi contoh kepada mereka di luar sana.

"Lagipun, jika dibandingkan jumlah ustaz pada ketika ini, ternyata golongan ini amat kurang sekali berbanding dengan golongan yang bergelar ustaz.

"Oleh itu tidak salah rasanya jika rancangan ini dapat membentuk jati diri yang baik di samping memartabatkan golongan wanita itu sendiri," jelasnya.

Pada sesi uji bakat terakhir Ustazah Pilihan, aktres Fauziah Nawi dipilih sebagai juri personaliti.

Beliau berkata, rata-rata peserta yang menghadiri uji bakat rancangan itu boleh berkomunikasi dengan baik dan mempunyai personaliti yang menarik.

"Alhamdulillah, ramai di antara peserta yang hadir mempunyai personaliti menarik dan mampu berbahas dengan baik.

"Malah ada di antara peserta yang kita temui mampu bertutur lebih daripada satu bahasa. Salah seorang darinya mampu bertutur dalam bahasa Parsi," katanya sambil menyatakan rasa kagum terhadap kebolehan peserta uji bakat tersebut.

Sementara itu, dua orang peserta Ustazah Pilihan, Nur Aqidah Mawardi dan juga Firuz Akhtar Mohamad Bohari ketika ditemui sejurus selepas sesi uji bakat selesai berkata, mereka gementar tetapi teruja untuk menjadi peserta dalam program tersebut.

Bagi Nur Aqidah, 21, dia sememangnya agak skeptikal terhadap rancangan tersebut pada mulanya namun merubah fikiran apabila menyedari pentingnya pendakwah wanita sebagai pembimbing.

"Hati saya terpanggil untuk menyertai rancangan ini kerana ingin sama-sama membantu masyarakat mendekati Islam.

"Ketika saya menjalani praktikal di Jabatan Agama Islam (Jais) daerah Hulu Selangor baru-baru ini, saya turut terlibat dalam operasi membanteras maksiat.

"Bermula dari situ, saya berharap dapat membantu orang ramai terutamanya golongan wanita dalam memahami isi hati mereka dan sama-sama menyelesaikan masalah.

"Maklumlah, hanya wanita yang memahami hati wanita," ujar pelajar Syariah di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Cheras itu.

Bagi pemegang Ijazah Bahasa dan Sastera Parsi dari Iran, Firuz Akhtar, 27, penyertaannya dalam Ustazah Pilihan adalah salah satu cara baginya untuk berdakwah.

"Banyakcara untuk berdakwah namun pendekatan melalui rancangan ini lebih cepat sampai kepada peminat.

"Apabila disiarkan di televisyen, ia akan menjangkaui jumlah penonton yang ramai sekali gus dapat menyebarkan dakwah dengan lebih meluas.

"Bagi saya, rancangan Ustazah Pilihan ini merupakan salah satu langkah yang baik dan masyarakat tidak seharusnya menilai perkara ini terlalu awal," katanya menutup bicara.

Era baru hidup Leonardo

Posted: 09 Aug 2011 10:13 PM PDT


DENGAN hanya dua buah filem tahun lalu telah berjaya menempatkan Leonardo DiCaprio sebagai aktor paling mahal di Hollywood ketika ini.


SATU ketika dulu, pernah pemerhati dunia hiburan Hollywood meramalkan jangka hayat populariti jejaka kacak pujaan wanita ini tidak akan kekal lama.

Semuanya kerana penangan filem blockbuster arahan James Cameron, Titanic yang telah meledakkan populariti Leonardo DiCaprio sehingga menjadikan dirinya sebagai King of the World (ungkapan popular yang diucapkannya dalam filem tersebut).

Pada usia yang cukup muda iaitu 23 tahun ketika itu, Leonardo atau lebih selesa disapa dengan panggilan Leo telah mengecapi kemasyhuran yang cukup jarang dikecapi oleh aktor seusianya.

Siapa yang dapat lupa watak Jack Dawson yang dibawakannya dalam filem itu sehingga membuatkan ramai wanita di seluruh dunia mengagumi serta mengagungkan Leo.

Bagi anak jati Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) ini, dia cukup sedar populariti Titanic telah mengubah hidupnya secara total.

Walaupun sebelum itu dia sudah pun membintangi beberapa buah filem yang tidak kurang hebatnya, impak yang terhasil tidak sehebat Titanic.

"Pada ketika itu, saya rasa saya memang memiliki segala-galanya. Sehinggakan saya sendiri tidak menjangka Titanic akan menjadi sehebat itu.

"Percaya atau tidak, sewaktu mula-mula membaca skripnya ketika itu bersama James Cameron, saya kurang yakin dengan filem itu sendiri.

"Apatah lagi, saya juga sedar bahawa saya bukan pilihan utama ketika itu untuk membawakan tersebut. Namun, James menyakinkan saya bahawa watak itu memang untuk dicipta untuk saya.

"Titanic bukan sahaja mengubah hidup saya sebagai seorang aktor tetapi juga individu terutama dari segi pemikiran saya dalam usaha untuk memanjangkan hayat karier saya sendiri," kata Leo dalam satu temu ramah bersama majalah Rolling Stone tidak lama dulu.

Kata-kata Leo itu merujuk kepada tawaran filem yang diterimanya selepas Titanic di mana kebanyakannya naskhah blockbuster.

Ini termasuklah dua francais filem terlaris dunia iaitu Spider-Man dan Star Wars yang ditolak Leo dengan justifikasi sendiri.

"Saya seorang yang cukup gemarkan filem-filem bercorak sains fiksyen. Saya sedar di mana kemampuan saya kerana untuk menghayati watak bagi filem-filem sains fiksyen ini ia bukanlah sesuatu yang mudah.

"Sebab itu saya katakan, selepas Titanic ia membuatkan saya lebih matang dalam membuat keputusan untuk memilih filem-filem yang mampu memberikan saya kepuasan maksimum.

"Saya tidak akan sama sekali berkompromi dalam soal kerjaya dan atas alasan itu, saya memang menjadi selektif terhadap tawaran filem yang datang kepada saya selepas Titanic.

"Buat apa kalau berada di lokasi penggambaran sehingga menyusahkan orang lain hanya kerana mahu memuaskan hati sesetengah pihak. Walhal jiwa kita sendiri tidak tenang kerana melakukan perkara yang kita kurang minat," ulas Leo sewaktu memperkatakan tentang pasca populariti Titanic.

Skeptikal

Barangkali luahan Leo itu ada kaitannya dengan beberapa buah filem seperti The Man In The Iron Mask dan Celebrity (1998) serta The Beach (2000) yang gagal mencatatkan kutipan tiket yang memberangsangkan selain kritikan pedas terhadap filem-filem tersebut.

Lalu, Leo mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan dan kehilangannya selama dua tahun ketika itu telah mengundang pelbagai tanggapan skeptikal masyarakat serta pihak media.

Tetapi baginya, dia mahu menjana kembali tenaganya agar dia dapat mencari ruang dan hala tuju baru dalam karier seninya dengan membintangi filem-filem yang mampu memberikannya kepuasan.

Ternyata tahun 2002 telah mengubah hidup Leo sekali gus membuka lembaran baru apabila dia diberi peluang membintangi filem Catch Me If You Can arahan pengarah tersohor, Steven Spielberg.

Bergandingan bersama pemenang Oscar sebanyak dua kali, Tom Hanks dalam filem tersebut, Catch Me If You Can telah membuktikan kredibiliti Leo sebagai sebagai seorang aktor.

Tidak lagi bersandarkan kepada wajah kacak semata-mata sebaliknya Leo membuktikan dia benar-benar serius mahu menjadi seorang aktor versatil.

Kejayaan filem itu juga telah membuatkan Leo semakin dipandang tinggi oleh pengarah serta penerbit di Hollywood semakin mempercayai bakat lakonannya.

Seiring dengan usianya juga, Leo tidak mahu lagi terikat dan terkongkong dalam filem-filem yang ringan.

Sebaliknya dia mahu mencabar dirinya sendiri dengan membintangi filem yang memiliki naskhah yang dapat mencungkil bakatnya dengan lebih dalam lagi.

Ternama

Deretan filem yang dibintangi Leo selepas Catch Me If You Can membuktikan dia berpeluang berlakon dengan pengarah filem ternama.

Sehinggakan Leo sudah dianggap sebagai anak emas terbaru pengarah handalan Hollywood, Martin Scorsese kerana kekerapannya membintangi filem-filem arahan Martin.

Antaranya termasuklah Gangs of New York, The Aviator, The Departed dan Shutter Island yang semuanya mendapat pujian serta cemerlang sebagai filem-filem pecah panggung.

"Dia (Leo) memang seorang aktor yang hebat. Dia tidak perlu bercakap tetapi ekspresi wajahnya sudah cukup untuk menceritakan kepelbagaian emosi yang sedang dihadapinya pada saat itu," komen Martin sewaktu memperkatakan tentang lakonan Leo dalam filem The Departed.

Kejayaan pasca Titanic untuk Leo juga telah membolehkan pemilik nama penuh Leonardo Wilhelm DiCaprio ini dicalonkan untuk Oscar bagi Pelakon Lelaki Terbaik sebanyak dua kali (The Aviator dan Blood Diamond).

Pada usianya sekarang, karisma dan kewibawaannya sebagai seorang aktor semakin hari semakin menyerlah sehingga pengarah filem, Inception iaitu Christopher Nolan menyifatkan Leo tidak ubah seperti seniman Al Pacino dan Jack Nicholson.

"Saya puas dan gembira dengan perjalanan seni saya setakat ini apabila dapat berlakon dengan pengarah hebat dan naskhah yang cukup luar biasa bagi saya.

"Saya mahu terus mencari peluang seperti ini biarpun pada satu ketika nanti nama saya tidak lagi dijulang peminat. Biarlah mereka mengingati saya kerana hasil kerja saya yang dapat membuatkan saya terus hidup dalam diri mereka.

"Tiada apa yang saya kesalkan dalam hidup ini kerana semuanya sudah saya lalui dan rasai. Apabila melihat ramai pelakon remaja yang meniti laluan populariti zaman ini, saya bersyukur kerana saya tidak perlu melalui apa yang mereka lalui.

"Saya fikir dengan teknologi moden hari ini ia membuatkan kehidupan saya lebih terkongkong dan membataskan setiap gerak-geri saya.

"Kini, saya sudah tidak kisah lagi kerana populariti bukan lagi agenda utama dalam hidup saya," jelas Leo dengan maksud yang mendalam.

Platun Harimau cetus semangat patriotik

Posted: 09 Aug 2011 10:11 PM PDT


Antara pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan drama bersiri Platun Harimau.


DRAMA rantaian 13 episod, Platun Harimau yang diangkat dari naskah novel hasil nukilan Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Abdul Hamid memaparkan kisah kehidupan sebenar tentera darat.

Ceritanya bertitik tolak bagaimana anggota Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) memburu komunis dan menangkap tali barut yang membantu pergerakan komunis dari kaca mata sebenar penulis buku tersebut.

Drama yang menelan belanja hampir RM1 juta itu mendapat suntikan pengarah, Razali Mohd. Yussof.

"Platun Harimau telah pun ditayangkan di TV2 sejak 21 Julai lalu dan setakat ini, maklum balas yang kami terima adalah positif.

"Kami berharap dengan tersiarnya drama bercorak patriot ini, dapat menyemarakkan lagi semangat cinta bangsa dan tanah air sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-54 kita nanti," katanya pada majlis pelancaran Platun Harimau yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin di Wisma Transit, Mindef, baru-baru ini.

Menurut Razali, drama tersebut sarat dengan mesej pengajaran dan kesedaran agar generasi muda sentiasa ingat jasa pejuang yang banyak berkorban demi kesenangan hidup hari ini.

"Pelbagai cabaran dan halangan terpaksa ditempuhi oleh perwira-perwira kita sebelum ini bagi menjaga keselamatan negara.

"Semuanya dilakukan semata-mata untuk memastikan tanah air tercinta tidak jatuh ke tangan komunis.

"Oleh itu, saya harap drama Platun Harimau ini dapat memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia tentang betapa sukarnya mencari keamanan namun terlalu rapuh untuk dimusnahkan ketika ini," ujarnya .

Tambah Razali, drama 13 episod terbitan Nadirasa Budaya (M) Sdn. Bhd., itu menggunakan hampir 200 tenaga tentera darat untuk adegan peperangan dan kem latihan.

Platun Harimau yang berlatar belakangkan tahun 80-an dibarisi oleh barisan pelakon hebat antaranya Norman Hakim, Safura Ya'cob, Yatt, Zamarul Hisham, Zul Zuhaimy, Watie Sadali, Zaidi Omar, Wendy Wong, Rosnah Mat Aris, Zarina AF dan Afzan Anak Wayang.

Hasrat Yatt tercapai

Cita-cita terpendam untuk menyarung uniform celoreng tentera selama ini akhirnya menjadi kenyataan apabila Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 30, berpeluang membawakan watak Doktor Baini dalam Platun Harimau itu.

Mengakui menyimpan cita-cita untuk menjadi tentera udara suatu ketika dahulu, Yatt berasa amat bertuah apabila ditawarkan berlakon dalam drama itu.

"Yatt memang berminat untuk menyarung uniform tentera. Apabila dapat tawaran untuk berlakon dalam drama Platun Harimau ini, Yatt terus terima," ujarnya sambil tersenyum manja.

Dia berkata, walaupun wataknya sebagai doktor tidak melibatkan adengan fizikal namun itu tidak bermaksud dia boleh berlakon sambil lewa.

Rezeki artis bertudung

Posted: 09 Aug 2011 10:10 PM PDT



Melihatkan senario drama atau filem tempatan dahulu, jarang watak utamanya menonjolkan karakter perempuan bertudung. Jika ada pun, hanya watak pembantu yang kebiasaannya dilakonkan oleh pelakon veteran.

Sering kita mendengar keluh kesah pelakon yang asalnya tidak bertudung sukar mendapat tawaran berlakon setelah berubah imej dan bertudung.

Penghijrahan mereka adalah sesuatu yang baik, tetapi dari sudut lain periuk nasi mereka terjejas gara-gara watak terhad, selain tidak dapat mengikuti syarat yang ditetapkan.

Walaupun peluang lakonan masih terbuka, namun ada antara mereka terpaksa menolak kerana syarat yang tidak masuk akal seperti perlu membuka tudung demi menjayakan watak.

Malah, watak yang diberi juga acap kali sama iaitu gadis baik atau teraniaya, seolah-olah menafikan kebolehan bakat mereka yang mampu membawa pelbagai jenis karakter.

Namun, sejak akhir-akhir ini landskap dunia lakonan sudah berubah apabila semakin banyak filem mahupun drama berkonsepkan Islamik yang ditayangkan.

Filem dan drama dengan tema sedemikian bukan saja membawa kelainan dan dapat menarik minat penonton, malah secara tidak langsung sering menampilkan watak utamanya sebagai wanita bertudung.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah drama dan filem Nur Kasih yang melihatkan Tiz Zaqyah memegang watak utama sebagai Nur Amina yang bertudung dan alim.

Sementara itu, drama kontroversi Tahajud Cinta yang kini ditayangkan di TV3 juga membariskan watak utamanya yang digambarkan sebagai wanita bertudung seperti yang dijayakan pelakon jelita, Nur Fazura dan Fouziah Ghous.

Jika diikutkan, pelakon wanita bertudung boleh menarik nafas lega kerana kemunculan drama dan filem Islamik bermakna lebih banyak watak perempuan bertudung diwujudkan.

Namun sayang, perkara sebaliknya pula berlaku apabila trend ini juga membawa kepada kemunculan pelakon wanita yang tidak bertudung di luar melakonkan watak perempuan bertudung.

Benarkah sebenarnya tiada langsung ruang untuk pelakon bertudung bergerak aktif dalam bidang lakonan?

Ikuti luahan pelakon yang bertudung mengenai nasib dan rezeki mereka di dalam dunia hiburan setelah mengalami transformasi imej.

Adira sebak terkenang keluarga

Posted: 09 Aug 2011 10:09 PM PDT



Penyanyi comel kelahiran Akademi Fantasia musim ke lapan, (AF) 8, Adira mengakui sebak kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika Ramadan.

Menurutnya, sejak kecil lagi dia sudah biasa bersahur dan berbuka dengan keluarga di rumah. Tapi kini, dia terpaksa menjalaninya seorang diri.

"Tahun ini adalah tahun kedua saya berpuasa sebagai artis, sudah dua tahun jugalah saya terpaksa berjauhan daripada keluarga.

"Dulu pagi-pagi kami akan bersahur bersama, berbuka juga beramai-ramai. Tapi sekarang bersahur dan berbuka seorang diri. Apa pun, nasib baik saya tinggal bersama kakak, ada peluang saya berbuka dengannya. Jika tidak pasti saya akan berasa lebih rindu kepada keluarga," kata penyanyi berasal dari Sabah ini.

Menurut Adira, sehingga kini dia masih belum berkesempatan berbuka bersama keluarga di kampung.

"Saya tidak dapat pulang ke Sabah kerana jadual kerja agak ketat sepanjang bulan Ramadan ini. Mama pun tidak dapat datang ke sini kerana risaukan ternakannya di kampung.

"Jadi, saya perlu menunggu sehingga raya nanti, barulah dapat bertemu mereka," katanya yang sudah mengambil cuti raya selama seminggu.

Sambutan Ulang Tahun ke-4 Yezz!

Posted: 09 Aug 2011 10:08 PM PDT



Bersempena usianya empat tahun, Majalah Yezz! terbitan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd menganjurkan majlis 4th Anniversary Yezz! Party bagi meraikan ulang tahun penerbitan majalah tersebut.

Ia bagi menghargai sokongan pembaca dan mendekatkan majalah Yezz! Dengan pembacanya. Berlangsung dengan cukup meriah di Cruise Tasik Putrajaya, ia dihadiri ramai selebriti tempatan serta para pembaca Yezz! Yang bertuah.

Majlis dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Constabaru Sdn Bhd, Ahmad Jamil Gazali dan Pengarang Majalah Yezz! Anie Mohamed potong kek.

Bertemakan "Fairytale", para tetamu, artis jemputan, dan para finalis yang terlibat dibawa menaiki "Kelah" bot berlayar menyusuri keindahan di sekitar Putrajaya.

Padat dengan pelbagai aktiviti menarik, ia dimulakan dengan tarian daripada pembaca setia Yezz! iaitu Cinderella Dance. Zoey dan Shila Amzah bertindak selaku pengacara majlis dan ternyata gandingan kedua-dua selebriti ini menggamatkan lagi suasana.

Persembahan yang dijayakan oleh para artis yang hadir seperti One Nation Emcees, Adam & VIP, Awi Rafael, Iqa Mentor, Tilu, dan Ernie Zakri menghiburkan tetamu.

Turut diserikan dengan nyanyian artis-artis jemputan, turut diadakan acara cabutan bertuah dan permainan bersama media, artis dan pembaca Yezz!

Hadiah-hadiah dan kek disumbangkan oleh Startouch Media, D'Tandoor, The Persada, AR & Alfio Raldo, Red Box Ria, Cityzone, Dua Dua Kodot, Suria FM, Ntv 7, Disney Channel, Secret Garden, The Faceshop, FMC, Garnier, Nusantara Edaran Filem, RAM Entertainment, Mc Donalds, Lipice, Henry Cats & Friends, Kleenex, Kotex, Jazz Star, Tayangan Unggul, Warner Music, KRU, dan Sony BMG. Cruise Tasik Putrajaya dan Inter-Orient Travel & Tour Sdn Bhd sebagai penaja rasmi lokasi.

Kemunculan 13 daripada 15 Finalis Covergirl Yezz! Smart, Gorgeous & Trendy 2011/2012 menggamatkan suasana. Penyertaan awal sebanyak 51 orang di senarai pendek daripada 1,000 penyertaan. Mereka dinilai menerusi Test Shoot dan Talent Test dan akan berentap di pentas akhir pada 22 Oktober 2011 di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam.

BSN sasar RM600j

Posted: 09 Aug 2011 10:06 PM PDT



Bank Simpanan Nasional (BSN) menganjurkan kempen BSN Fabulous Fever (BFF) yang berlangsung mulai Julai hingga Disember 2011.

Dua kempen di bawahnya; kempen Bulan Perbankan Islam BSN (iBSN) dan kempen Celebrating Happy 5 masing-masing berlangsung mulai 1 Julai sehingga 30 September 2011 dan 31 Oktober sehingga 31 Disember 2011.

Naib Presiden, merangkap Ketua Bahagian Perbankan Islam BSN, Ahmad Noh Jeni berkata, kempen iBSN disasarkan kepada semua dan bertujuan mempromosikan produk Perbankan Islam yang diterajui BSN kepada pelanggannya.

Menurutnya, kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu disasarkan dapat meraih deposit bersih RM600 juta di samping menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi oleh pelanggan baru dan sedia ada BSN di seluruh negara.

"Sambutan yang kami terima sejak 1 Julai lalu amat memberangsangkan di mana sembilan produk perbankan Islam BSN ditawarkan seperti Kempen SSP Insentif Khas, Kempen Simpan & Menang Giro-I/ Giro Ladies! dan Kempen BSN Ahsan Warga Emas.

"Setakat ini, kempen SSP Insentif Khas menerima sambutan paling banyak. Kami sasarkan kempen SSP Insentif Khas menyumbang deposit bersih sebanyak RM300 juta," katanya.

Malaysia berpeluang bertapak di China

Posted: 09 Aug 2011 10:05 PM PDT



Pengeluar makanan dan kosmetik halal Malaysia berpeluang untuk bertapak di wilayah Gansu di China kerana ia kini sedang muncul sebagai pasaran pesat membangun bagi produk halal.

Menurut China Muslim Association, China ketika ini mempunyai kira-kira 22 juta penduduk Islam dan pasaran produk halalnya dianggarkan bernilai lebih RM6.42 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan lebih 10 peratus.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, bironya di Chengdu melaporkan terdapat peluang bagi pengeluar makanan halal Malaysia untuk bekerjasama dengan gedung membeli belah dan pasar raya pelbagai cawangan utamanya.

Kerjasama itu dalam usaha mengakses pasaran dan memenuhi permintaan penduduk Islam yang meningkat bagi produk halal.

"Malah, terdapat juga peruncit dan pengedar China bertanya tentang bantuan dalam proses persijilan halal.

"Kekurangan produk dari negara Asean juga menyebabkan produk dan perkhidmatan halal Malaysia berpotensi untuk bertapak lebih awal dalam pasaran China," katanya.

Matrade berkata, dengan bantuan biro Matrade di Chengdu, syarikat halal Malaysia seharusnya mewujudkan publisiti mengenai produk mereka.

Sejuta pengguna Lebuh raya LATAR

Posted: 09 Aug 2011 10:04 PM PDT


PEMANDANGAN dari udara Lebuh raya Latar yang telah dibuka sejak 23 Jun lalu.


KUALA LUMPUR - Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Lebuh Raya LATAR) telah mencatatkan satu juta pengguna bagi laluan itu selepas pembukaannya pada 23 Jun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Bhd. (KLSEB), Amran Amir, sehingga 31 Julai lalu sebanyak satu juta pemandu telah melalui empat tol plazanya.

KLSEB merupakan pengendali lebuh raya berkenaan.

"Lebuh raya itu sudah pastinya telah membuktikan kewujudannya dalam menghubungkan banyak bandar baharu dan perkampungan seperti Rawang, Selayang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Tambah beliau, lebuh raya berkenaan telah mencergaskan senario ekonomi dalam membuka wadah bagi laluan yang lebih mudah, menjimatkan masa dan cekap daripada segi penggunaan bahan bakar.

"Kami yakin bahawa lebuh raya LATAR akan terus dimanfaatkan sepenuhnya," tambah beliau.

Lebuh Raya LATAR menghubungkan Kuala Lumpur menerusi Taman Templer dengan Ijok di Kuala Selangor menerusi laluan sepanjang 33 kilometer dalam hanya 18 minit.

Pencuri telefon dicekup polis

Posted: 09 Aug 2011 10:01 PM PDT


TUN HISAN (tengah) menunjukkan sebahagian komponen telefon awam yang dirampas daripada lima lelaki pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Kelakuan jahat lima lelaki yang menyamar sebagai kontraktor untuk mencuri dan mengangkat telefon awam sejak tiga bulan lalu bagi mendapatkan duit syiling terbongkar apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan baru-baru ini.

Suspek-suspek berusia di antara 20 dan 40 tahun tersebut ditahan di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Bandar Baru Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 26 Julai lalu ketika hendak menjual barangan tersebut buat kali ke-17 pada pukul 6.05 petang.

Dalam serbuan itu, polis merampas 112 tutup telefon awam bahagian depan, 50 gagang, sebuah lori dan sebuah kereta Proton Wira dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM960,000.

Selain itu, polis turut merampas topi kontraktor, baju keselamatan, beberapa peralatan untuk melonggarkan skru dan tukul besi. Difahamkan, suspek turut menggunakan dokumen palsu untuk melakukan kegiatan tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan mendapati, suspek akan meleraikan telefon yang dicuri untuk dijual di kedai besi buruk. Duit syilingnya turut diambil.

Mayat gadis Perancis dibedah siasat

Posted: 09 Aug 2011 10:00 PM PDT


MAYAT Stephanie Foray dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan semalam untuk dibedah siasat.


KUANTAN – Polis kini menjalankan siasatan terperinci berhubung kes penemuan tulang rangka pelancong wanita Perancis, Stephanie Foray, 30, yang dijumpai tertanam di sebuah gua di Pulau Tioman kelmarin.

Siasatan tersebut bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar termasuk motif dan cara mangsa dibunuh oleh dua suspek lelaki yang kini dalam tahanan polis.

Dalam pada itu, tulang rangka mangsa tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 12.20 tengah hari semalam untuk dibedah siasat.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pihaknya tidak membuat sebarang andaian berhubung motif wanita itu dibunuh.

"Kes masih disiasat melalui dua suspek yang ditahan baru-baru ini. Motif dan lain-lain perkara berhubung kes itu akan diberitahu selepas siasatan selesai," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan mayat Stephanie Foray ditemui dibunuh kejam sebelum ditanam di sebuah gua di Kampung Tekek, Pulau Tioman kelmarin.

Mayat wanita yang masih belum berkahwin itu ditemui pada pukul 1 petang oleh polis ekoran penahanan dua lelaki warga tempatan pada 24 Julai lalu.

Seorang daripada suspek merupakan ahli perniagaan berusia 44 tahun yang memiliki sebuah pondok inap desa dan sebuah kafe manakala seorang lagi suspek merupakan sepupu ahli perniagaan tersebut.

Biometrik mula tunjuk kesan

Posted: 09 Aug 2011 09:59 PM PDT


PROGRAM pendaftaran biometrik warga asing yang sah bertujuan mengekang kegiatan jenayah merentasi sempadan melibatkan pendatang. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Sejumlah 2,000 kes membabitkan warga asing dengan satu biometrik tetapi mempunyai lebih daripada dua dokumen dikesan Jabatan Imigresen sejak 1 Jun lepas di 69 pintu masuk di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad (gambar) berkata, senarai itu kini dalam pemerhatian dan jabatan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti mereka.

"Ia mungkin disebabkan daripada beberapa punca, satu mungkin mereka tukar pasport baharu kerana pasport lama hampir tamat dan kemudian masuk balik guna pasport baharu," katanya pada satu sesi taklimat kepada media di sini semalam.

Saya masih wujud - Deanna

Posted: 09 Aug 2011 09:56 PM PDT


DEANNA tidak mengambil tugasan lakonan dengan banyak kerana dia lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti.


SUDAH lama tidak melihat kelibat wanita berdarah kacukan Melayu-Swizerland ini di layar perak mahupun di kaca televisyen. Filem terakhir lakonannya adalah sebuah filem genre seram, Chermin yang menampilkan dirinya untuk watak antagonis iaitu hantu jelita bernama Mastura.

Filem yang menggandingkan dirinya dan Natasha Hudson itu ditayangkan di pawagam kira-kira tiga tahun lalu.

Figura yang dimaksudkan itu ialah pelakon, penyanyi, pengacara dan peragawati Deanna Yusoff yang rupa-rupanya masih lagi aktif alam dunia hiburan tempatan.

Namun, bagi Deanna, 'kehilangan' dirinya selama ini bukanlah bermakna dia sudah tidak wujud, namun kemunculannya itu bukan yang boleh dilihat di kaca TV mahupun layar perak.

"Saya masih lagi wujud dan berada di sini (Malaysia). Saya tidak pergi ke mana-mana. Tapi kini, saya banyak mengambil tawaran sebagai hos majlis-majlis korporat.

"Ada beberapa alasan kepada persoalan itu juga yang mana salah satunya ialah apabila saya sudah menceburkan diri dalam bidang perniagaan, keinginan saya untuk ke bidang lakonan semakin berkurangan," ujar Deanna yang ditemui semasa menjalani penggambaran program terbaharu TV, What Men Want bertempat di Restoran Hoofed, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Deanna sebenarnya merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Artisanal Asia Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat dari Switzerland, GrandJean Freres.

Tambahnya, ia umpama apabila sering melakukan perkara yang sama, ada ketika apa yang dilakukan itu menjadi semakin menimbulkan kebosanan dan dari situ keinginan semakin berkurangan di dalam diri.

Selain itu, tutur Deanna, 44, tiada projek yang dirasakan menarik yang ditawarkan atau diterima oleh empunya diri.

"Mungkin itu antara alasan paling teguh yang dapat menjawab persoalan 'kehilangan' saya ini. Namun, selepas Ramadan, saya mungkin akan kembali ke kaca televisyen kerana saya akan muncul dalam sebuah drama kelak.

"Tapi, saya tidak dapat bercerita panjang kerana ia masih belum dipastikan lagi.

"Banyak tawaran yang saya terima selepas bulan Ramadan ini kelak seperti terlibat dalam program nyanyian dan seperti biasa menjadi hos dan sebagainya," ungkap Deanna.

Di luar jangkauan minda

Deanna mengakui dia jarang mengambil tawaran lakonan yang banyak. "Kadangkala hanya satu atau dua tawaran lakonan saya ambil. Ini kerana saya mahu memastikan saya dapat melakonkan karakter-karakter yang di luar kebiasaan.

"Saya suka skrip dan watak yang mencabar, bukannya watak yang biasa ditonton. Dan apa yang saya lihat, memandangkan saya sudah berumur, mereka (penerbit) hanya fikirkan watak ibu untuk diberikan kepada saya.

"Saya tidak kisah sebenarnya diserahkan watak ibu, namun apabila watak yang diberi kurang mencabar dan menonjol, saya kurang minat. Mungkin watak wanita berumur itu boleh dilakonkan daripada sudut yang lain yang mana watak itu menjadi sangat menarik," jelasnya.

Menurut Deanna lagi, faktor itu menjadi antara sebab kenapa dia kurang dilihat tampil di layar perak mahupun kaca TV. Ada beberapa tawaran yang diterima sepanjang dirinya berehat namun katanya, ketiadaan skrip dan watak yang kukuh menjadi antara penyebab dirinya berehat daripada berlakon buat sekian lama.

Ujar wanita jelita yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-10 (1992) ini, dia tekad berpegang kepada prinsipnya itu kerana dia menginginkan sesuatu yang dapat membuatkan dirinya terus berkembang dan mencecah naik ke suatu tahap yang lebih tinggi dalam dunia lakonan.

Justeru, Deanna ingin mencuba sesuatu perkara yang di luar jangkauan minda penonton. Mengenai watak yang diinginkannya selama ini, bicara Deanna, dia tidak mahu meletakkan sebarang label spesifik.

"Apa yang penting, watak itu haruslah kelihatan benar, dan apabila tonton watak tersebut, penonton seperti dapat rasakan apa yang dirasai dan ingin disampaikan oleh watak itu. Ataupun, mungkin watak yang membuatkan orang terfikir dan berfikir," tegas Deanna yang sering mengambil serius mengenai tawaran lakonan yang diterimanya.

Anne akui degil, mentah

Posted: 09 Aug 2011 09:55 PM PDT


ANNE HATTAWAY


ANNE HATHAWAY mengakui dia seorang yang mentah dan degil ketika mula-mula menceburi karier lakonannya. Kata Anne, dia bersikap profesional di set penggambaran filem-filem lakonannya tetapi biasanya dia tidak ambil peduli terhadap nasihat-nasihat yang diberikan oleh para pengarah.

"Saya fikir saya dulu lebih banyak bercakap daripada mendengar dan sebab itu saya rasa ketinggalan banyak benda. Memang saya selalu bersikap profesional di set penggambaran filem-filem lakonan saya itu tetapi mungkin ketika itu saya masih mentah dan degil, jadi saya bimbang kalau saya tak bersuara, orang lain tidak akan mendengar apa pandangan saya," jelasnya.

Anne juga mengakui tidak faham kenapa namanya dikatakan sinonim dengan filem romantik komedi sedangkan dia tidak pernah berlakon dalam genre sebegitu.

Beritahunya lagi kepada majalah Marie Claire: "Agak kelakar apabila umum mengaitkan saya dengan filem romantik komedi sedangkan saya tidak pernah berlakon dalam filem sebegitu. Saya sangat jujur tentang filem yang saya mahu lakonkan. Itulah strategi saya sebenarnya."

Rusuhan merebak di tiga bandar Britain

Posted: 09 Aug 2011 09:55 PM PDT


SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah kedai perabut di Croydon, selatan London semalam.


LONDON, Britain - Keganasan merebak ke seluruh bandar raya ini dan sekurang-kurangnya tiga bandar lain semalam ketika polis bertempur dengan ribuan perusuh dan perompak yang memaksa Perdana Menteri David Cameron pulang ke Britain untuk berdepan dengan krisis itu.

Cameron menamatkan percutiannya di Itali dan kembali ke Britain untuk mempengerusikan mesyuarat semalam dengan Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan mengenai rusuhan itu.

Banyak bangunan dibakar di Croydon, Peckham dan Lewisham, selatan bandar ini dengan kumpulan penjarah meronda jalan-jalan raya di Hackney di timur, Clapham di selatan, Camden di utara dan Ealing di barat.

Selain bandar raya ini, rusuhan turut berlaku di bandar raya Liverpool, Birmingham dan Bristol.

Polis Scotland Yard memberitahu, ia telah mengerahkan 1,700 anggota tambahan untuk menangani kekacauan di sini iaitu yang terburuk sejak beberapa tahun lalu. Polis turut menggunakan sejumlah kereta berperisai untuk menyuraikan perusuh.

Beratus-ratus anggota polis pencegah rusuhan memasuki Hackney untuk cuba mengawal keganasan di daerah berkenaan yang terletak cuma beberapa kilometer dari lokasi temasya Sukan Olimpik 2012 yang bakal berlangsung.

Menjelang malam, pasukan polis membawa baton memaksa kumpulan belia berundur manakala penduduk tempatan yang berharap untuk pulang ke kediaman mereka tersekat di belakang kepungan polis.

Di Croydon, sejumlah bangunan di seluruh blok terbakar termasuk sebuah premis perniagaan berusia 100 tahun yang menjual perabut dengan api terus marak.

Penduduk setempat dipindahkan kerana api yang merebak manakala akhbar Guardian memetik seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian sebagai berkata: "Kami tidak boleh bertahan, ia semakin teruk."

Keganasan bermula pada Sabtu lepas di kawasan penempatan berbilang etnik di Tottenham, utara bandar raya ini selepas seorang lelaki kulit hitam berusia 29 tahun di tembak mati oleh polis dua hari sebelum itu.

Menurut Setiausaha Dalam Negeri, Theresa May, situasi yang berlaku di negara itu tidak pernah dilihat sejak lima tahun lalu.

"Kami perlu menamatkan dan kami perlu mengakhirinya dengan segera," katanya kepada stesen televisyen Sky News.

Menurutnya, lebih 450 orang ditangkap di London sejak rusuhan berlaku selama tiga hari berturut-turut.

Scotland Yard menyatakan, bilik-bilik penjara sudah penuh dengan para banduan di London dengan para tahanan dipindahkan ke balai polis lain.

Kira-kira 6,000 anggota polis ditempatkan di London kelmarin tetapi mereka masih gagal untuk mengekang keganasan.

Wayne Rooney rayu keganasan dihentikan di London

Posted: 09 Aug 2011 09:54 PM PDT


WAYNE ROONEY


LONDON - Penyerang skuad bola sepak England, Wayne Rooney semalam merayu supaya keganasan ditamatkan di London sehingga menjejaskan perlawanan bola sepak antara skuadnya itu dengan Belanda.

"Rusuhan ini adalah gila, kenapa terdapat orang yang melakukannya untuk menyerang negara sendiri, bandar kita," kata Rooney dalam mesejnya di Twitter. "Ini memalukan negara kita. Tolong hentikan," katanya.

Pemain pertahanan England, Rio Ferdinand menggambarkan rusuhan yang berlaku buat kali ketiga berturut-turut itu sebagai satu kegilaan dan melontarkan soalan sama ada askar-askar perlu diletakkan di jalan-jalan raya di ibu kota Britain.

"Ia kelihatan seperti budak-budak, orang ramai tidak takut atau menghormati polis. Mungkin pihak tentera akan mendapat penghormatan itu? kata Ferdinand di laman Twitter.

Salur darah manusia boleh digodam

Posted: 09 Aug 2011 09:53 PM PDT


JAY RADCLIFFE menunjukkan sebuah peranti radio yang digunakan untuk menggodam pam insulin semasa dia menghadiri persidangan Black Hat di Las Vegas pada Khamis lalu.


LAS VEGAS, Amerika Syarikat (AS) - Salur darah manusia turut tidak terselamat daripada penggodam komputer selepas seorang penyelidik keselamatan siber mendapati pam insulin alat pengawasan gula dalam darah boleh dikawal penggodam, lapor sebuah akhbar semalam.

Akibatnya, pesakit diabetis boleh dikawal supaya menerima terlampau banyak atau terlalu sedikit insulin iaitu hormon yang mengawal pencernaan gula, sekali gus membahayakan nyawa mereka.

Penyelidik siber berkenaan, Jay Radcliffe yang juga penghidap diabetes mencipta sendiri peranti radio untuk menggodam seterusnya mengawal pam insulin yang digunakan oleh pesakit diabetis.

Dia membentangkan penemuan itu pada persidangan keselamatan komputer Black Hat di sini pada hujung minggu lalu.

"Reaksi awal saya ialah peranti penggodam ini hebat tetapi saya kemudian berasa gerun apabila menyedari pam insulin yang membantu saya untuk terus hidup tidak memiliki kawalan keselamatan," katanya.

Penemuan Radcliffe mencetuskan kebimbangan mengenai peralatan kesihatan sedia ada seperti peralatan yang mengawal degupan jantung dan monitor bilik pembedahan di era Internet.

Obama dakwa warisi masalah hutang AS

Posted: 09 Aug 2011 09:52 PM PDT


BARACK OBAMA memasuki kereta limousin selepas dia menghadiri majlis kutipan derma
untuk kempen dana Parti Republikan di sebuah kediaman peribadi di Washington kelmarin.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama semalam menyatakan, beliau 'mewarisi' sebahagian besar masalah negara termasuk hutang dan defisit yang tinggi daripada pentadbiran sebelumnya.

Kenyataan tersebut dilihat bakal menjadi tema kempen Obama untuk pilihan raya Presiden 2012 dalam usaha beliau menerajui AS untuk penggal kedua.

Sebelum Obama menerajui AS, George W. Bush menjadi Presiden AS selama dua penggal.

Bercakap pada satu majlis mengumpul dana Parti Demokrat yang memerlukan setiap keluarga dikenakan bayaran AS$15,000 (RM45,389) untuk bergambar bersamanya di sini, Obama mempertahankan dasar ekonominya dan memaklumkan bahawa masalah ekonomi di Eropah kini menjejaskan AS.

"Kita memang mempunyai masalah serius berkaitan hutang dan defisit yang sebahagian besarnya saya warisi," kata Obama.

Menurutnya, krisis kewangan yang kini melanda Eropah menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk.

Wakil rakyat Parti Demokrat dan Parti Republikan bersetuju untuk meningkatkan kadar siling hutang dan memotong perbelanjaan pentadbiran pada minggu lalu untuk membolehkan AS membayar hutangnya.

Namun, agensi penarafan kredit Standard & Poor tetap menurunkan taraf hutang AS dengan menyebabkan pasaran-pasaran saham utama menjunam kelmarin.

Wanita 61 tahun gagal berenang

Posted: 09 Aug 2011 06:17 PM PDT




HAVANA - Percubaan kedua perenang maraton, Diana Nyad (gambar) untuk berenang dari Cuba ke Florida Keys di Amerika Syarikat (AS) sejauh 166 kilometer telah berakhir.

Menurut laman Twitter perenang itu, dia ditarik keluar dari laut awal kelmarin selepas berenang selama 29 jam iaitu hampir separuh daripada masa 60 jam yang perlukan untuk menamatkan cabaran tersebut.

Seorang perenang maraton lain yang berada di atas bot yang mengiringi Nyad, Elaine Lafferty, menyatakan di Twitter: "Ia sudah berakhir. Terlalu banyak faktor yang menyebabkan percubaan ini tidak selamat untuk diteruskan."

Perenang berusia 62 tahun itu dilaporkan membuat keputusan untuk menamatkan renangan tersebut ekoran faktor angin kuat dan arus laut yang deras.

Nyad cuba melakukan percubaan yang gagal dilakukannya ketika dia berusia 28 tahun pada tahun 1978 iaitu berenang selama 60 jam meliputi 165 kilometer dari Havana ke Key West.

Kali ini, dia melakukan renangan itu tanpa menggunakan sangkar jerung. Nyad sebaliknya bergantung kepada medan elektrik daripada peralatan yang ditarik oleh beberapa pendayung kayak untuk menghalau ikan pemangsa itu.

Pada percubaan pertamanya, dia berhenti selepas berada di dalam air selama 41 jam dan 49 minit akibat arus kuat dan cuaca buruk.

Kunis gembira ramai lelaki terpikat padanya

Posted: 09 Aug 2011 06:16 PM PDT


Mila Kunis


LOS ANGELES - Pelakon filem Black Swan dan Forgetting Sarah Marshall, Mila Kunis terkejut apabila dia menjadi daya tarikan ramai lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, dia juga berasa gembira kerana ramai lelaki yang tertarik kepadanya sejak dia berlakon dalam kedua-dua filem berkenaan.

Namun, kata pelakon berusia 27 tahun itu, ekoran populariti itu, dia menjadi sasaran berita palsu berhubung kisah cintanya.

Kunis bertegas bahawa dia tidak bercinta dengan pelakon Justin Timberlake walaupun terdapat spekulasi bahawa mereka sedang bercinta.

Menyentuh mengenai lelaki yang diminatinya, Kunis berkata, dia merupakan seorang yang kelakar.

Maraton ubah gaya hidup dua sahabat

Posted: 09 Aug 2011 06:13 PM PDT


KEDUA-DUA mereka berkongsi kisah yang sama pernah dipanggil gemuk semasa zaman remaja tapi hari ini memeiliki berat badan ideal melalui menjaga diet makanan dan aktif bersenam.


SEJAK kecil lagi Azhar Elmiza Ahmad memiliki saiz badan yang besar berbanding kanak-kanak seusianya. Semuanya disebabkan tabiatnya yang menggemari makanan ringan sejak dari kecil lagi.

Setiap kali pulang dari sekolah, kedai runcit milik neneknya yang terletak tidak jauh dari rumahnya merupakan lokasi pertama yang dituju. Sebelum pulang ke rumah, pasti perutnya diisi penuh dengan aneka makanan ringan seperti keropok, coklat, gula-gula dan aiskrim.

Di rumah perutnya tidak pernah kelaparan, minatnya dalam masakan menyebabkan ada sahaja hidangan yang dicuba untuk memenuhi tuntutan seleranya. Menu kegemarannya ialah nasi goreng dan mi goreng.

Pelajar terberat

Pemakanan yang tidak terkawal menyebabkan berat badannya meningkat mendadak. Ketika di sekolah menengah, berat badannya mencecah sehingga 85 kilogram, menjadikannya pelajar bersaiz paling besar di dalam kelas.

"Perasaan malu, rendah diri memang ada di dalam diri saya disebabkan fizikal yang besar. Saya cuba berdiet, tak makan dan sebagainya untuk kurus, namun tidak memberi hasil yang diharapkan," kata lelaki berusia 32 tahun itu.


BERAT badan Azhar pernah mencecah 130 kilogram satu ketika dahulu.


Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, penyakit asma yang dialaminya menyebabkan dia tidak begitu aktif ketika di alam persekolahan. Ia juga dijadikan alasan kuat untuk mengelakkan dirinya daripada terlibat dalam aktiviti sukan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Keadaan itu berterusan sehinggalah dia menuntut di peringkat sarjana muda Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia sekitar tahun 1997. Amalan gaya hidup tidak sihat serta tekanan belajar menyebabkan berat badannya semakin meningkat.

Azhar memberitahu, kehidupan di luar kampus yang dijalaninya menyebabkan dia bebas membeli makanan di sekitar kawasan rumah sewa tanpa mengira waktu.

"Biasanya, selepas penat menelaah pelajaran sehingga ke tengah malam, perut mudah lapar. Apa lagi, hidupkan enjin motor, lepas itu mulalah cari kedai makan untuk isi perut," imbau Azhar.

Selepas menamatkan pengajian di universiti, Azhar nekad menyambung pelajarannya dalam bidang kulinari demi merealisasikan cita-citanya. Dia memilih kursus Diploma Profesional Chef di sebuah kolej swasta di ibu kota.

"Sejak belajar kursus itu, berat badan saya semakin menjadi-jadi sehingga mencecah 130 kilogram. Bayangkan saiz pinggang saja sudah mencecah 40 sentimeter. Setiap hari 'bermain' dengan makanan menyebabkan nafsu makan saya semakin sukar dikawal," ceritanya.

Transformasi gaya hidup


SELAIN dapat mengekalkan kesihatan tubuh, Azhar (dua dari kanan) berpeluang mendapat kenalan baharu dalam sukan maraton.


Kehidupannya berubah tatkala menjalani latihan di sebuah hotel di Pulau Pinang. Seorang rakan, tiba-tiba mengajaknya mendaftar diri di sebuah gimnasium yang baru dibuka ketika itu.

Ceritanya, sejak itu rutin hariannya berubah, selepas pulang dari kerja dia pasti ke gimnasium untuk bersenam.

"Bayangkan dalam sebulan saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram. Selain senaman berterusan, saya juga mula mengawal pemakanan dan mengira kalori yang diambil setiap hari.

"Paling menggembirakan, semasa bergraduasi, rakan-rakan terkejut melihat perubahan diri saya, ketika itu berat badan saya sekitar 75 kilogram," katanya.

Perubahan gaya hidup yang dijalaninya berterusan sesudah bergelar chef. Pengalaman beberapa tahun menimba pengalaman bekerja di Amerika Syarikat (AS), Macau, Maldives dan Jepun sebelum ini lebih mendisplinkan Azhar untuk meneruskan amalan gaya hidup sihat.

"Di AS, saya berbasikal sejauh 15 kilometer setiap hari dari rumah ke hotel yang terletak di New Orleans. Di Maldives saya lebih selesa berlari di atas treadmill kerana kawasan riadahnya agak terhad," katanya yang masih belum berumah tangga.

Bekerja sebagai sous chef di sebuah syarikat antarabangsa, Azhar mula berjinak-jinak dalam maraton selepas diperkenalkan oleh seorang rakannya. Acara pertama yang disertainya ialah Energizer Night Run yang diadakan di Putrajaya pada April tahun lalu.

"Biarpun baru pertama mencuba, saya berjaya mencatatkan masa yang agak baik iaitu sekitar 44 minit. Sejak itu saya mula ketagih untuk berlari, bukan untuk menjadi juara, tetapi sekadar suka-suka dan mencari kenalan baharu.


AZHAR (kanan) dan Syah kini semakin aktif dalam sukan maraton.


"Antara kejohanan yang pernah disertainya setakat ini ialah KL Maraton, Penang Half Maraton, Standard Chartered Hong Kong Maraton 2011 dan terbaru Standard Chartered KL Marathon 2011 yang berlangsung pada Julai lalu," ujarnya yang baru berhijrah ke Australia baru-baru ini.

Dulu elak bersukan

Salah seorang rakan barunya yang turut mempunyai minat yang sama ialah Syahril Nizam Kamaruddin, 36.

Arkitek yang menetap di Taman Melati, Gombak, Selangor itu juga mengakui perkenalannya dengan Azhar melalui kejohanan maraton sebelum ini menjadikan mereka rapat.

Menariknya, Syahril juga mempunyai kisah yang sama seperti Azhar. Dia mengalami obesiti sejak zaman kanak-kanak lagi akibat kurang bersenam serta sukar mengawal tabiat makannya.

"Tatkala, rakan-rakan lain bermain bola di padang, saya lebih selesa duduk rumah menonton televisyen. Makan juga tidak terkawal, maklumlah sejak kecil lagi saya dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh oleh nenek.

"Walaupun tinggal di asrama ketika di sekolah menegah, berat badan saya pernah mencapai sehingga 115 kilogram. Bukan tidak mahu aktif atau bersukan, tetapi saiz badan besar menyebabkan saya cepat penat," ceritanya yang lebih mesra dengan panggilan Syah.


AKTIVITI kecergasan yang berterusan berjaya mengurangkan berat badan Azhar (kanan) dan Syah pernah melebihi angka 100 kilogram.


Syah berkata, keadaan itu berterusan sehinggalah dia menamatkan pengajiannya di universiti, berkahwin dan bekerja di sebuah firma arkitek di ibu negara.

Katanya, bebanan kerja yang tidak pernah surut menyebabkan masanya untuk bersukan atau aktif semakin terhad, manakala aturan dietnya juga semakin tidak menentu.

"Pantang perut lapar, saya pasti akan makan semahunya tidak kira walaupun sudah lewat malam. Hanya itu sahaja yang mampu mengurangkan tekanan selepas penat bekerja seharian.

"Walaupun mempunyai keahlian di gimnasium, namun ia hanya hangat-hangat tahi ayam, saya seakan tiada motivasi untuk mengubah diri.

"Lagi pun sejak dari kecil saya sudah lali dengan macam-macam panggilan seperti gemuk, debab, shrek dan sebagainya. Sebab itu saya tidak kisah pandangan orang ramai mengenai keadaan saya," jelasnya.

Perubahan dalam dirinya bermula apabila isterinya, Zarina Abdul Aziz, 37, memperkenalkan Syah dengan seorang teman lamanya yang baru membuka sebuah pusat kecergasan.

Program komprehensif yang dirangka ternyata berjaya mendisplinkan Syah untuk terus aktif di samping menitik beratkan amalan pemakanan yang sihat yang selama ini diabaikan.

"Saya akui, mula-mula dulu memang azab, maklumlah selama ini tidak pernah bersenam apatah lagi berlari, rasa nak 'pecah' jantung dibuatnya.

"Akhirnya, setelah beberapa bulan barulah saya dapat menyesuaikan diri. Sejak itu, sekurang-kurangnya sejam sehari, saya pasti akan berjoging di sekitar Taman Tasik Perdana dan Taman KLCC (Menara Berkembar Kuala Lumpur), kadang-kadang saya turut membawa keluarga bersama," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Kini mempunyai purata berat badan sekitar 77 kilogram, Syah memberitahu dia sering membawa bekal dari rumah untuk memastikan diet yang diamalkan lebih teratur berbanding membeli makanan daripada luar.

Selain mengamalkan rejim kecergasan harian dan amalan pemakanan yang sihat, dia juga berjinak-jinak dalam aktiviti maraton, biathlon dan triathlon sejak empat tahun lalu.

"Kini, saya seakan obses untuk berlari, boleh dikatakan setiap tahun ada saja kejohanan yang saya sertai termasuk yang diadakan di luar negara seperti di Singapura.

"Seperti juga Azhar, aktiviti yang saya sertai hanya sekadar untuk bersosial dan menambah kenalan. Jika tiada pertandingan, kami tetap berkumpul atau berjumpa di mana-mana taman rekreasi di ibu negara untuk berlari," katanya.

Jangan harapkan keputusan segera

Posted: 09 Aug 2011 06:12 PM PDT


FATIMAH


PENDEDAHAN Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai penduduk paling ramai yang mengalami obesiti di Asia Tenggara oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tahun lalu perlu membuka mata banyak pihak untuk menanganinya.

Ketua Dietetik dan Pemakanan Berkhasiat, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad berkata, masalah obesiti atau kegemukan mampu untuk diatasi jika masyarakat menyedari puncanya terutama di peringkat kanak-kanak.

Beliau berkata, antara faktor utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah itu adalah pengambilan diet yang tidak seimbang seperti makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula serta rendah kandungan zat mineral, vitamin dan nutrisi penting untuk tubuh seperti vitamin A, D, C dan kalsium.

"Pada masa yang sama ia diburukkan lagi dengan pengambilan makanan segera seperti burger, kentang goreng, gula-gula dan sebagainya yang mempunyai kandungan lemak trans yang sukar diurai oleh tubuh," katanya.

Beliau menjelaskan, masalah obesiti juga berlaku disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat kini seperti gaya kerja dan perubahan kemudahan infrastruktur yang semakin maju serta kurangnya aktiviti fizikal seharian.

"Masyarakat dulu, walaupun mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tetapi, kadar penggunaan tenaga yang diperoleh daripada makanan tersebut adalah seimbang. Berbeza dengan masyarakat hari ini yang hanya duduk dan lebih menggunakan otak dalam kerja seharian mereka.

"Makanan yang berlebihan terutama lemak dalam badan yang tidak ditukar kepada tenaga akan disimpan dalam sel lemak yang menyebabkan obesiti. Kegemukan yang melampau mendedahkan golongan ini terhadap penyakit kronik kardiovaskular, kencing manis dan darah tinggi," jelasnya.

Disebabkan itu, Fatimah berkata, pencegahan dan perawatan perlu dilakukan di peringkat awal melalui pemakanan seimbang selain amalan gaya hidup sihat.

Katanya, disiplin ketika makan atau memilih makanan perlu bermula dari rumah.

"Mengurangkan saiz hidangan, kandungan makanan yang mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan di samping kandungan bahan perasa, pengawet dan perisa mampu membendung obesiti.

"Sebaiknya lebihkan pengambilan makanan berserat seperti sayur-sayuran, bijirin dan buah-buahan," katanya.

Fatimah menjelaskan, di samping aspek pemakanan senaman juga penting untuk memastikan lemak yang terkumpul dapat dibakar.

"Sememangnya, bagi mereka yang mengalami kegemukan sukar bagi mereka memulakan senaman, bagaimanapun selagi mereka tidak mencubanya selagi itulah mereka akan tetap memberikan pelbagai alasan.

"Paling penting mereka tidak boleh mengharapkan keputusan yang segera. Aktiviti kecergasan yang dilakukan perlu dilakukan perlahan-lahan agar ia tidak memudaratkan tubuh atau mengundang kecederaan," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories