Bangga jadi ‘call girl’ Posted: 24 Sep 2011 08:19 PM PDT  Dari kiri - Aiza, Lily, Shila TERLUPA batasan agama untuk menjadi panduan hidup, tiga beradik yang mulanya ke pusat hiburan untuk berhibur dan mempunyai kekasih sebagai pengubat sunyi akhirnya hanyut dek godaan syaitan hingga ada yang sanggup menjual tubuh. Disebabkan limpahan wang yang mampu diraih dengan mudah juga membuat ada antara tiga beradik liar dari Georgetown, Pulau Pinang itu rela menjadi "call girl" bagi dengan melayan lelaki kaya, kacak dan berkereta mewah hingga ke ranjang.
Wartawan Metro Ahad, Zuhainy Zulkifli berkesempatan bertemu dengan tiga beradik ini untuk mendengar sendiri pengalaman dan luahan rasa mereka.
AIZA (bukan nama sebenar), 26, anak ketiga dari lima beradik: "Hidup saya mula menjurus ke arah perbuatan seks bebas bermula sejak usia 17 tahun selepas berkenalan dengan Saiful yang ketika itu berusia 18 tahun dari Alor Setar, Kedah.
Ketika itu saya bukan saja bangga menjadi teman wanita kepadanya disebabkan dia dikenali ramai di tempatnya tetapi Saiful yang selalu memberi wang dan membelikan pakaian berjenama menyebabkan saya mula gelap mata dan rela mengorbankan dara kepadanya.
Saya masih ingat semasa kami menyambut satu perayaan dan selepas melihat persembahan bunga api, Saiful mengadu tidak boleh memandu kereta kerana mengantuk dan memujuk saya supaya menginap di sebuah hotel tiga bintang.
Saya masih mentah ketika itu hanya menurut saja katanya, malah dia berkata akan menyewa dua bilik berasingan tetapi apabila tiba di hotel, dia beritahu semua bilik sudah penuh dan hanya ada satu bilik saja.
Pada malam itu jugalah mahkota diri saya diragut Saiful, malah kami beberapa kali terlanjur.
Bermula hari itu, kami sering melakukan perbuatan terkutuk itu, malah pernah beberapa kali melakukan seks dalam kereta berhampiran sebuah stadium di Alor Setar.
Saiful anak orang kaya kerana bapanya seorang ahli perniagaan terkenal. Setiap hari Sabtu, kami akan bertemu dan setiap kali kami berjumpa sekurang-kurang RM200 pasti masuk kocek.
Jumlah itu bagi saya yang hanya seorang pelajar tingkatan lima adalah cukup besar dan sebab itu saya tidak kisah untuk membiarkan dia meratah tubuh saya.
Setahun selepas berkenalan dengan Saiful, hubungan kami putus selepas dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di sebuah kolej swasta apabila dipaksa bapanya.
Saya yang seperti ketagih hubungan seks kemudiannya bertaut kasih pula kepada seorang pemain muzik berkumpulan yang terkenal, Azlan.
Hubungan saya dan Azlan hanya sekadar untuk melempiaskan keinginan seks masing-masing dan bukan kerana cinta.
Azlan juga seorang yang agak kaya, kacak dan digilai ramai gadis ketika itu membuatkan saya bangga diusung ke sana ke mari ketika dia melakukan persembahan jelajah negeri.
Saya berpisah dengan Azlan dua tahun kemudian dan selepas itu saya mula memburu lelaki kaya dan hidung belang tanpa mengira usia, namun tidak bagi lelaki biasa dan tidak berduit.
Ibu dan ayah tidak pernah bertegas dengan saya dan mereka hanya memberi teguran dan nasihat supaya meninggalkan kehidupan penuh dosa itu.
Pada usia remaja, saya tidak perlu bekerja seperti rakan yang lain, telefon saja lelaki yang saya kenal, mereka akan memberi saya wang dengan hanya perlu melayan nafsu dan tuntutan batin mereka saja.
Pada suatu hari, saya mendapat panggilan telefon daripada beberapa rakan yang mendakwa video seks mirip wajah saya tersebar di internet.
Saya tidak tahu siapa yang menyebarkannya kerana saya sudah tidur dengan beberapa lelaki dan akhirnya saya mengambil keputusan menetap bersama kakak sulung saya yang tinggal bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur.
Ibarat lari dari mulut buaya, masuk ke mulut naga, saya sedari sikap kakak dengan saya sama saja. Sebut sahaja nama kelab malam, semuanya kami tahu dan kakak yang bekerja di sebuah butik pakaian juga memperkenalkan rakannya kepada saya, malah ramai juga yang sudah 'cuba' saya.
Dua bulan kemudian, saya bekerja di sebuah butik kecantikan sebagai mengisi masa lapang pada waktu siang. Dengan wang gaji, saya membeli sebuah kereta supaya nampak mewah bagi mengaburi mata lelaki.
Jika lelaki itu kaya, tinggi jugalah habuan yang akan saya dapat asalkan melayan mereka sebaiknya.
Kadang kala, terbit juga penyesalan di hati saya mengenai tahap pendidikan, pekerjaan dan seluruh kehidupan saya.
Ada rakan yang saya jumpa sudah bertudung dan mengenal tikar sembahyang sedangkan saya, membaca surah al-Fatihah pun sudah lupa.
Kakak kedua saya sering menghubungi saya dan kakak dengan menasihatkan kami supaya pulang ke pangkal jalan tetapi semua itu saya balas dengan gelak tawa.
Kini, saya tidak pasti berapa lama lagi kami adik-beradik akan terus berada dalam keadaan tersesat begini, adakah Tuhan akan mengampunkan dosa kami yang sudah jauh tersesat ini."
LILY (bukan nama sebenar), 29 tahun dan anak sulung dari lima beradik:
"Kehidupan saya dan Aiza tidak banyak bezanya tetapi saya jadi begini kerana seorang lelaki. Saya akui bahawa saya lebih pandai bersosial daripada Aiza kerana semua lelaki saya sapu.
Minuman keras pula sentiasa di tangan, pendek kata mahu sarapan pun dengan air kencing syaitan itu.
Saya pernah belajar di sebuah universiti tempatan di pinggir Kuala Lumpur selepas tamat tingkatan enam tetapi diberhentikan pada semester ketiga selepas pelajaran saya merosot.
Semua itu terjadi selepas kejutan budaya yang dialami menyebabkan saya berhibur setiap malam bersama rakan.
Saya tidak mahu pulang ke kampung kerana kehidupan di kota lebih seronok, malah saya langsung tidak menjenguk keluarga dan hanya menelefon mereka sebulan sekali.
Saya berkenalan dengan Rizal yang berusia 26 tahun ketika itu, bekerja sebagai penjual kereta. Kehidupan saya mewah kerana dia juga membela saya ketika baru berusia 21 tahun di rumah yang saya tinggal sekarang di Cheras.
Dia mengajar saya merokok, meneguk arak, malah dia sering berkunjung ke rumah sewa saya bagi memadu kasih.
Rizal yang sudah mempunyai tunang ketika itu tetapi dia bijak menyembunyikan hubungannya dengan saya.
Pada hujung minggu, Rizal akan ke Johor Bahru berjumpa tunangnya dan pada ketika itulah saya mengambil peluang memberi layanan istimewa kepada beberapa rakan lelaki lain yang sanggup memberi wang.
Dua tahun kemudian, kira-kira tiga bulan sebelum Rizal berkahwin, kami ditangkap basah. Saya pulang ke Pulau Pinang pada malam itu juga bersama Rizal selepas diikat jamin.
Ayah dan ibu hanya diam membisu, malah bersetuju saja dengan keputusan kami yang mahu segera berkahwin.
Rizal pula berdepan dengan masalah apabila keluarga tunangnya minta ikatan diputuskan. Sebulan kemudian kami berkahwin tanpa restu keluarga Rizal.
Mungkin perkahwinan yang tidak diberkati, kami bercerai enam bulan kemudian. Dengan gelaran janda pada usia 24 tahun, saya kembali liar dan berpeleseran di kelab malam.
Kegiatan saya lebih rancak selepas Aiza tinggal di rumah saya, malah bekas suami juga sering berkunjung ke rumah bagi menghilangkan rindu sedangkan saya sendiri sudah tidak mempunyai perasaan terhadapnya.
Rizal tetap membayar sewa rumah dan memberi wang perbelanjaan menyebabkan saya sendiri tidak kisah dengan perbuatan itu.
Namun, tidak pernah pula Rizal mencuba Aiza serta menyayangi Aiza seperti adiknya malah dia sering membawa kami pergi bercuti.
Dengan hidup yang bergelumang dosa, adik keempat saya juga sering berkunjung ke rumah saya kerana menyambung pelajaran di universiti tempatan di Shah Alam. Setiap hujung minggu, dia akan datang ke rumah saya bagi menikmati kehidupan sosial seperti kami. Shila tidak berminat melakukan hubungan seks berbayar tetapi dia lebih cenderung secara ringan-ringan.
Saya terfikir, adakah dosa saya ini diwariskan kepada dua adik saya dan apakah ibu bapa masih mahu menerima kami selepas mereka tahu kegiatan kami? Saya dan Aiza tidak berani menjejak kaki ke rumah di kampung dan pulang hanya pada Aidilfitri.
Selepas memohon ampun dan maaf, kami terus pulang ke ibu kota. Panas rasanya berada di kampung."
SHILA (bukan nama sebenar), 24 tahun dan keempat daripada lima beradik:
"Antara lima beradik, saya paling bijak dalam pelajaran malah tidak pernah mengabaikannya. Begitu juga ketika menuntut di universiti, saya hanya bersosial setiap hujung minggu dan turut menerima wang tambahan dari kedua kakak saya bagi membeli keperluan belajar.
Ketika pertama kali pergi ke rumah kakak keempat saya itu, agak terkejut apabila terdapat tiga lelaki ada dalam rumahnya termasuk bekas abang ipar yang sedang berbaring di bilik tidurnya.
Saya tanya kepada Lily, tetapi dia hanya tersenyum dan mendakwa itu adalah perkara biasa jika menetap di Kuala Lumpur.
Pada malam itu, saya dibawa ke sebuah pusat hiburan dan agak kekok dengan suasana baru.
Namun sedikit pun saya tidak berminat menyentuh minuman beralkohol yang dipesan Lily malah beberapa lelaki menawarkan RM400 bagi mencuba saya tetapi saya tolak dengan baik.
Tetapi selepas itu, saya semakin seronok apabila diraba rakan Lily dan Aiza. Akhirnya saya tewas dan terjebak dengan aksi ringan-ringan.
Mereka membayar saya RM300 sebagai duit poket dan jumlah akan ditambah jika saya ikut mereka balik ke rumah tetapi saya masih sayangkan dara saya dan tidak mungkin akan menyerahkannya kepada sesiapa sebelum berkahwin.
Namun, bagi saya wang bukanlah segalanya. Saya berkenalan pula dengan Shafiq yang berusia 27 tahun dan dia seorang pemain gitar di sebuah kelab.
Shafiq seorang yang baik, jauh sekali meminta tubuh saya dan saya senang ketika bersamanya. Saya tidak pasti berapa lama hubungan kami dapat bertahan kerana saya mula mengharapkan Shafiq dapat membawa saya keluar dari keseronokan hidup ini.
Hiburan yang kami nikmati saban malam, kadang kala membosankan. Kini saya mula rasa bersalah kepada keluarga.
Pernah saya menangis apabila teringat wajah ibu yang menyediakan sarapan semasa saya hendak pulang ke kampus dan wajah ayah yang sudah tua dengan topi lusuhnya mengusung beg ke kereta buruknya.
Ibu hanya suri rumah, ayah pula seorang pesawah, siapa pula yang mahu menemani mereka di hari tua.
Jika dulu, saya jarang pulang ke kampung kerana terpengaruh dengan rentak hidup Lily dan Aiza, kini Shafiq akan menemani saya sebulan sekali pulang ke kampung bagi menjenguk keluarga.
Kini saya bekerja di sebuah jabatan kerajaan sebagai penolong pembantu tadbir. Gaya hidup saya kini lebih kepada melepak di kedai makan bersama teman tetapi tabiat merokok saya masih sukar dibuang.
Hubungan saya dengan Lily dan Aiza tidak pernah renggang, saya juga sering mengikut mereka bercuti di beberapa pusat peranginan dalam negeri. |
Kontroversi berakhir Posted: 24 Sep 2011 08:19 PM PDT  SUDAH SAH... Norman dan Memey diapit anak-anak Norman, selepas majlis akad nikah. KOTA TINGGI: Detik yang dinanti membuatkan pelakon sensasi Memey Suhaiza, 23, sebak sebaik menjadi isteri kepada Norman Hakim, 35. Hampir tiga tahun berdepan cemuhan dan pandangan serong masyarakat, pasangan Norman dan Memey akhirnya selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Felda Tenggaroh Selatan 1, petang semalam. Dengan hanya sekali lafaz, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidun sah bergelar suami Memey dalam majlis akad nikah yang diadakan pada jam 5.15 petang semalam. Dalam majlis pernikahan itu, Norman memberi lima dulang hantaran kepada pengantin perempuan dengan jumlah wang hantaran RM24,000 dan dibalas tujuh dulang hantaran daripada pihak Memey. Majlis diadakan selepas solat Asar itu menerima tajaan pelbagai pihak, termasuk bagi sesi videografi yang diuruskan Ezuwan Tazri Studio Production, Iezla Bridal, Antika Bridal, PLU Creative bagi penyediaan hantaran dan solekan daripada Tiar Zainal. Sebelum ini Norman dan Memey mencetuskan kontroversi apabila ditangkap atas tuduhan berkhalwat di pejabat Norman di 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang pada 30 Oktober 2008, sekitar jam 3 pagi.
Mereka kemudian didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) dan Seksyen 29 (1) (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, selepas melalui episod perbicaraan panjang, keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 29 Julai lalu membebaskan mereka daripada tuduhan berkhalwat. Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Salehan Yatim yang berpuas hati apabila pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan, disambut dengan linangan air mata oleh pasangan ini. Ketika kes masih berjalan, Norman dan Memey mengambil keputusan melangsungkan pertunangan pada 13 September 2010 di kediaman keluarga Memey di sini. Ini perkahwinan kedua Norman selepas perkahwinan dengan Abby Abadi selama lapan tahun dengan dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3.
Majlis resepsi perkahwinan mereka untuk saudara mara, penduduk kampung serta masyarakat sekitar daerah ini berlangsung di Felda Tenggaroh Selatan 1 pada hari ini dan diadakan secara rewang atau gotong-royong.
Sementara itu, majlis resepsi di Kuala Lumpur akan diadakan pada 28 September ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur bernilai RM12 juta membabitkan penajaan Rafflesia The Pearl Centre selaku penaja utama serta Profesor Datuk Jimmy Choo yang menaja dua kasut, Snips, Lord's Tailor dan Hotel Crowne Plaza Mutiara. |
Komunikasi tanpa rahsia Posted: 24 Sep 2011 08:17 PM PDT NORMAN Hakim, 35, jadikan kegagalan perkahwinan pertamanya sebagai iktibar untuk melayari hidup barunya bersama Suhaiza Suhaimi, 23 atau Memey. Pasangan yang secantik sepadan itu selamat diijabkabulkan semalam (24 September) selepas Asar di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor. Hari ini pula berlangsungnya majlis kenduri dan persandingan mereka dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu.
Bukan sedikit dugaan yang mereka lalui namun kalau sudah jodoh mereka tetap akan bersama. Paling melegakan pasangan raja sehari itu bila mana mereka bebas daripada tuduhan khalwat. Rezeki yang datang menjelang perkahwinan mereka dengan tajaan jutaan ringgit juga tanpa diduga sama sekali.
Pada hari pernikahan yang disaksikan keluarga kedua-dua belah, sahabat-handai dan saudara-mara itu, Memey terima mas kahwin RM22.50 dan wang hantaran RM24,000 berserta lima dulang barangan hantaran berbalas tujuh. Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon dan Memey ditemui Selebriti Metro Ahad seminggu sebelum mereka bergelar suami isteri dan kala itu seri pengantin begitu terserlah. Barangkali dek kerana kesibukan Memey tidak berhenti menjalani penggambaran drama dan baru saja menyambut Ramadan serta berdebar untuk bergelar pengantin baru, tubuhnya kelihatan sangat susut dengan penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram. Akui Norman, dia masih berasa cemas, tertekan dan berdebar walaupun ini pernikahan keduanya selepas kegagalan pertama bersama Abby Abadi hampir dua tahun lalu.
"Sebagai selebriti, saya berasa tertekan kerana orang terus mahu tahu kisah hidup saya selepas ini. Namun begitu, apa yang penting perancangan selepas berkahwin. Meskipun sudah ada orang baru dalam hidup tetapi saya tetap bersedih dengan kegagalan perkahwinan saya yang pertama.
"Saya manusia biasa yang ada kekurangan diri. Apa saja yang berlaku akan dijadikan batas sempadan dalam kehidupan yang baru dibina ini. Hidup selebriti ini macam dalam program realiti, orang pandang dari setiap sudut. Siapa yang mahu berkahwin semata-mata untuk bercerai? Saya sayangkan perkahwinan saya dulu tetapi malangnya jodoh kami tidak panjang.
"Alhamdulillah saya tengok Abby semakin dapat menerima kenyataan perceraian kami, jiwanya semakin stabil dan dapat terima saya dengan baik. Apabila saya tengok anak-anak yang semakin membesar, boleh nampak diri kami berdua dalam diri mereka. Saya beritahu Abby, kami hanya berpisah sebagai suami isteri namun tanggungjawab saya sebagai bapa kepada tiga anak kami tidak akan terputus.
"Jangan kerana saya dan Abby bercerai, anak-anak turut kehilangan kasih orang tua mereka. Saya sentiasa 'ada' untuk anak-anak dan saya juga masih mengambil berat mengenai Abby. Saya juga mahu dia mencari kebahagiaannya sendiri" katanya.
Tidak marah
Norman bersyukur kerana Memey sangat memahami situasi dirinya sebagai duda anak tiga. Malah Memey juga tidak marah apabila tahu Norman masih ambil tahu mengenai Abby.
"Syukur kerana Memey tahu keadaan diri saya dan supaya tiada perselisihan faham, saya beritahu Memey apa saja yang berlaku. Saya turut menjemput Abby dan 'teman baiknya' Zul Ariffin ke majlis resepsi kami di Hotel Crowne Plaza Kuala Lumpur, pada Rabu ini (28 September).
"Saya harap ia adalah permulaan kepada perdamaian saya dan Abby. Apapun yang berlaku pada kami berdua, apabila saya bersama Abby dan anak-anak, saya mahu mereka berada dalam suasana keluarga yang bahagia," katanya.
Memey pula berkata, dia tidak menduga dengan pelbagai dugaan melanda hidupnya, menjelang detik bahagia banyak perkara berlaku termasuk penajaan yang bernilai RM12 juta daripada Rafflesia The Pearl Centre. Pada malam resepsi perkahwinannya, Memey akan menyarungkan baju pengantin rekaan pereka terkenal dunia, Vera Wang, berkonsepkan ala Bohemian dan gaun jenama Rafflesia bertakhtakan mutiara. Dia juga akan menyarungkan kasut rekaan Jimmy Choo. Resepsi itu berkonsepkan New York bertema hitam putih.
Barangkali satu lagi sejarah baru tercipta buat pasangan mempelai ini apabila semua baju dan kasut yang dipakai mereka akan dipamerkan di Muzium Negara, mulai 26 November hingga 31 Disember ini. Ia bertujuan memberitahu kepada orang ramai bahawa mutiara bukan hanya untuk perhiasan diri tetapi juga boleh dipelbagaikan untuk hiasan kasut, baju dan beg tangan.
Bill Bora selaku perancang perkahwinan pasangan itu menyediakan yang terbaik buat Norman dan Memey kerana kebetulan Rafflesia mahu memperkasakan jenamanya dengan memperkenalkan banyak produk baru termasuk gaun pengantin Rafflesia.
Mutiara Kasih
Santapan pada resepsi itu diberi nama Mutiara Kasih. Ini kali kedua Rafflesia menjadi hos perkahwinan selebriti selepas mengadakan majlis sama untuk supermodel, Amber Chia dan suaminya.
Mencungkil perasaan Memey, dia bagaikan kehilangan kata-kata dengan segala persediaan yang dilakukan oleh banyak pihak bagi memeriahkan majlis perkahwinannya.
"Sedang saya sibuk membuat persediaan di kampung bersama emak dan ayah, Bill hubungi saya beritahu Rafflesia sudi menaja majlis resepsi saya di Kuala Lumpur. Ia majlis yang istimewa hanya 200 jemputan diundang di kalangan selebriti dan media. Ketika itu, Bill sudah menyiapkan separuh persediaan untuk resepsi itu," katanya.
Mereka yang lain turut sudi memberikan penajaan termasuk Ezuwan Ismail (baju nikah), Hatta Dolmat (baju sanding), Rizman Ruzaimi (baju untuk acara potong kek). Pelamin dan hiasan barang hantaran pula tajaan Iezla Bridal dan PLU Creative dari Johor Bahru. Majlis di kampung dan di Kuala Lumpur itu juga diabadikan dalam bentuk rakaman video oleh Ezuwantazni Studio Production.
"Lega rasanya segala kontroversi sudah berakhir dan kini melangkah ke kehidupan baru. Dengan sokongan keluarga, saya dapat melaluinya dengan tabah dan sabar. Saya tak perlukan orang lain yang selama ini hanya memberikan pandangan negatif. Sekarang saya rasa semua pihak menerima diri saya dengan baik.
"Saya mahu menjadi isteri yang baik. Sejak mengenali Norman, kami mempunyai komunikasi yang sangat baik dan semoga ia berterusan sampai bila-bila. Antara kepincangan sesebuah perkahwinan apabila pasangan gagal meluahkan rasa yang terpendam di hati.
"Sebagai pasangan artis, lalui kami bukan mudah. Ada saja spekulasi yang timbul dan menghentam kami, jadi kami tidak boleh menggelabah. Sejak tiga tahun lepas banyak sangat dugaannya. Norman banyak memberikan sokongan dan kami berjaya melepasnya satu persatu," katanya.
Jelas Memey, Norman tidak pernah berahsia dengannya termasuk hubungannya dengan anak-anak dan bekas isterinya.
"Apa yang Norman buat, dia akan beritahu supaya saya tidak mendengarnya daripada pihak lain. Apabila gambar atau ada saja cerita yang disampaikan oleh kawan-kawan, saya tidak marah atau kecil hati sebab Norman sudah beritahu dulu.
"Norman sudah terapkan perkara itu sejak awal dan ia menjadi sebahagian kehidupan saya. Doakan rumah tangga kami aman bahagia sampai bila-bila," katanya yang belum tetapkan destinasi bulan madu. |
Dua beradik kena tahan Posted: 24 Sep 2011 08:16 PM PDT  TUMPAS... dua beradik berasal dari Muar, Johor ditahan polis Indonesia selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu. IPOH: Sepasang adik beradik berasal dari Muar, Johor sengaja mencari nahas apabila ditahan pihak berkuasa negara jiran selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu dianggarkan bernilai lebih RM500,000. Difahamkan, suspek wanita berusia 46 tahun dan adik lelakinya berusia 33 tahun menggunakan taktik menyembunyikan bungkusan paket dadah di dalam alat generator, mesin mengurut kaki dan pelbagai perkakasan elektrik yang dibawa masuk ke negara itu. Pasangan adik beradik itu bagaimanapun ditahan ketika cuba membawa masuk dadah melalui Pelabuhan Internasional Bandar Sri Setia Raja, Bengkalis, Sumatera menggunakan perkhidmatan feri. Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, pasangan adik beradik terbabit ditahan jam 1.30 tengah kelmarin selepas tiba ke pelabuhan itu. Polis republik terbabit yang terlebih dulu mendapat maklumat, melakukan pemeriksaan terhadap barangan elektrik dibawa oleh suspek kononnya bagi tujuan perniagaan.
Suspek dikatakan sengaja menyembunyikan dadah itu secara berasingan di dalam perkakas elektrik yang dibawa, namun polis republik terbabit berjaya menemui tujuh bungkusan dadah. Difahamkan, dua bungkusan dadah syabu berwarna biru manakala lima bungkusan lagi berwarna putih, dan dianggarkan bernilai RM500,000 mengikut harga pasaran. Adik beradik itu dikatakan mengaku pernah beberapa kali melakukan aktiviti penyeludupan dadah ke Indonesia selepas diupah seseorang rakyat Malaysia dengan ganjaran RM1,000 setiap seorang. Suspek yang mendakwa dadah syabu itu perlu dihantar ke destinasi Surabaya kini ditahan di balai Polis Bengkalis dan bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun. Kes itu adalah tangkapan terbaru selepas seorang ahli perniagaan Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta, Rabu lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara jiran itu.
Difahamkan, suspek berperanan penting menyalurkan dadah berkenaan, yang diperoleh daripada Iran dan Belanda, kepada sindiket terbabit melalui jalan laut ke Medan, Indonesia sejurus bekalan tiba di Malaysia yang dijadikan pusat transit.
Ahli perniagaan terbabit ditahan bersama tujuh lagi anggota sindiket lain, semuanya warga Indonesia, selepas hampir tiga bulan mengekori pergerakan mereka.
Hasil penahanan itu, polis Indonesia menemui 52,000 pil ecstasy dan 1.5 kilogram bernilai lebih RM6 juta yang disembunyikan di tiga lokasi berasingan di sekitar Jakarta Pusat. |
Pancung gadis Posted: 24 Sep 2011 08:15 PM PDT  TOLAK KEZALIMAN...kanak-kanak mengangkat sepanduk menuntut Bashar dihukum di Idlib, barat laut Syria, semalam. BEIRUT: Seorang gadis ditemui mati dengan lehernya dipancung - dipercayai angkara ejen keselamatan kerajaan Syria, lapor media semalam. Zainab al-Hosni, 18, didakwa menjadi mangsa perang psikologi rejim Bashar al-Assad untuk menakut-nakutkan orang awam daripada terus menyertai protes mendesak presiden itu disingkirkan. Dinasti keluarga Bashar menguasai pemerintahan Syria secara kuku besi sejak lebih 40 tahun lalu sebelum dia berdepan penolakan majoriti penduduk Syria sejak enam bulan lalu. Zainab dipercayai wanita pertama maut ketika dalam tahanan pasukan keselamatan Suria. Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, mendakwa Zainab ditahan ejen keselamatan kerajaan bagi memberi tekanan kepada abangnya yang menyertai kegiatan antikerajaan supaya menyerah diri.
Saksi berkata, keluarga aktivis antikerajaan berdepan pelbagai tekanan dan ancaman, termasuk melalui panggilan telefon dan pembunuhan - seperti dibuktikan dengan kematian Zainab. Pejabat hak asasi PBB semalam berkata, tekanan dan serangan ke atas aktivis antikerajaan turut melewati sempadan Syria. Jurucakap agensi itu, Ravina Shamdasani, berkata pejuang hak asasi manusia di luar negara turut menjadi sasaran. "Kami bimbang apabila ada laporan menunjukkan keluarga aktivis antikerajaan kini turut menjadi sasaran pasukan keselamatan Syria," katanya. |
Ambil berat haid tidak teratur Posted: 24 Sep 2011 08:14 PM PDT RAMAI wanita sering menganggap kitaran haid tidak teratur sebagai perkara biasa dan tidak diberi perhatian serius. Malangnya, masalah berkenaan mungkin menjadi punca kesukaran untuk menimang cahaya mata kelak. Menurut Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari, kitaran haid yang tidak menentu antara gejala menunjukkan seseorang wanita itu mungkin mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS), punca lazim menyebabkan seseorang itu kurang subur.
"PCOS adalah satu keadaan penyakit sistem reproduksi yang berlaku ketidakseimbangan hormon dalam badan yang memberi kesan terhadap kitaran haid dan ovulasi. Kajian menunjukkan 90 peratus wanita yang mengalami haid tidak teratur mengalami PCOS dan 30 peratus yang tidak mengalami haid langsung didapati mengidap PCOS.
"Ia adalah masalah paling lazim yang menyebabkan seseorang wanita itu gagal hamil, tetapi malangnya sehingga kini tidak ramai yang menyedarinya. "Bahkan ramai antara wanita di Malaysia mempunyai gejala ini tanpa disedari kerana ia tidak menunjukkan simptom awal misalnya sakit atau deman yang biasa berlaku seperti penyakit lain. "Bahkan gadis seusia awal 17 tahun juga boleh dijangkiti PCOS. Selain kitaran haid tidak teratur gejala seperti jerawat, kenaikan berat badan serta pertumbuhan bulu roma yang luar biasa antara simptom awal gejala ini," katanya, baru-baru ini.
Menurutnya, PCOS boleh mengganggu proses ovulasi dan penghasilan telur yang berkualiti dari ovari, seterusnya menyebabkan wanita berkenaan mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan boleh mengganggu sistem badan yang lain seperti metabolisme dan sistem kardiovaskular.
"Punca PCOS masih belum diketahui sepenuhnya dan penyelidikan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar. Antara tanda utama PCOS termasuklah tiada ovulasi, ovari yang bengkak yang mengandungi sista kecil di dalamnya.
"Kebanyakan gejala ini berlaku pada wanita berusia 20 hingga 30 tahun tanpa mengira kaum dan budaya. Ia juga kerap terjadi di kalangan sanak saudara tetapi bukan penyakit keturunan," katanya.
Meskipun ovari mengandungi folikel dengan telur, folikel berkenaan tidak membesar dan matang sepenuhnya untuk menggalakkan ovulasi. Ovari yang tidak bermasalah biasanya menghasilkan satu folikel matang setiap bulan sebelum dikeluarkan bagi proses persenyawaan di saluran falopia.
Begitu pun, ada juga wanita yang mempunyai penampilan ovari normal, tetapi mempunyai gejala lain. Pada dasarnya ovari yang bermasalah ini juga hiperandrogenik, iaitu ovari menghasilkan jumlah hormon lelaki testosterone dan androstenedione berlebihan.
Ini menyebabkan hirsutism atau pertumbuhan bulu yang tidak sepatutnya seperti pada atas bibir dan dagu (misai dan janggut). Ada kalanya keadaan ini juga menyebabkan penambahan berat badan, diabetis dan penyakit kardiovaskular.
Kajian antarabangsa menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada wanita yang berusia melebihi 20 tahun mengalami masalah ini, dan lebih daripada 40 peratus wanita yang mempunyai masalah kesuburan adalah disebabkan PCOS.
Ramai wanita mengalami gejala atau simptom yang berbeza antara satu sama lain menyebabkan diagnosa secara klinikal menjadi sukar dilakukan.
Ada juga yang mempunyai simptom ringan seperti jerawat kecil selain simptom lebih teruk seperti tumbuh bulu berlebihan pada muka serta keguguran rambut.
SOALAN LAZIM
Siapa yang berisiko mendapat PCOS
Sesiapa boleh mendapat PCOS tanpa mengira peringkat usia namun kekerapan berlaku lebih kepada wanita berusia 20 hingga 30 tahun. Keturunan turut menjadi penyumbang kepada gejala berkenaan.
Apakah punca PCOS?
Setakat ini tidak diketahui bagaimana ia berlaku tetapi terdapat beberapa teori yang hangat diperkatakan antaranya :
Kekurangan hormon
Ia mungkin disebabkan kekurangan hormon kerana mereka yang mengidap PCOS didapati tidak mengandungi tahap hormon yang secukupnya untuk ovulasi berlaku. Untuk berlaku ovulasi, hormon FSH dan LH mestilah berada dalam keadaan yang seimbang tetapi ia tidak berlaku pada mereka yang mengidap PCOS. Oleh yang demikian, folikel didalam ovari tidak berkembang dan gagal matang seterusnya tiada berlaku ovulasi.
Kebal kepada insulin
PCOS mungkin juga disebabkan oleh badan yang kebal kepada insulin.ini menanmbahkan lagi risiko anovulasi.
Faktor genetik
Ia mungkin disebabkan oleh penyakit keturunan kerana terdapat ramai dikalangan PCOS mempunyai keluarga yang mengidap gejala sama.
Bagaimana mahu mengetahui gejala ini pada diri sendiri?
Sekiranya anda didapati sukar untuk hamil, doktor selalunya akan membuat beberapa ujian untuk memberikan diagnosa yang tepat terhadap masalah anda:
Ujian darah Luteinizing Hormone (LH)
Ujian darah Follicle Stimulating Hormone(FSH)
Ujian darah Progesterone/Testesterone
Ujian darah prolaktin
Ultrasound Pelvis- rahim dan ovari
Bagaimana merawat masalah ini?
Sekiranya anda didiagnosakan mempunyai PCOS, terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh menolong anda mengurangkan simtom dan mengembalikan kesuburan anda.
Ubat subur
Adalah ubat kesuburan yang boleh menolong mengalami ovulasi.
Ubat perancang keluarga
Pil ini boleh mengembalikan semula hormon anda dan mengurangkan simptom seperti mengurangkan bulu yang berlebihan dan haid yang tidak teratur. Pil ini selalunya diberikan bagi mereka yang tidak bercadang untuk hamil.
Pembedahan
Sekiranya anda mengalami PCOS dan ubat subur tidak memberikan kesan yang memuaskan, doktor anda mungkin mencadangkan prosedur yang dinamakan ovarian drilling. Ia adalah sejenis pembedahan menyebabkan ovari akan dikorek menggunakan alat khas. 70 peratus wanita mengalami ovulasi selepas menjalani prosedur ini.
Mengenai PCOS
Diagnosa PCOS boleh dibuat dengan menjalani ujian darah LH/FSH pada hari kedua atau ketiga haid, ujian tahap testosterone dan imbasan ultrasound.
PCOS memberikan wanita lebih risiko untuk mendapat masalah infertiliti disebabkan anovulasi, kencing manis, tekanan darah dan kolesterol yang tinggi, kegemukan dan masalah kanser rahim.
PCOS adalah penyakit yang akan dialami seumur hidup dan setakat ini tiada ubat yang boleh mencegahnya. Jarang-jarang, ia hilang dengan sendirinya.
Rawatan bergantung kepada wanita sama ada berhasrat untuk hamil atau tidak. Ubatan termasuklah pil hormon dan ubat subur.
Simptom sindrom ovari polisistik (PCOS)
Masalah jerawat.
Kitaran haid tidak menentu.
Hirsutism - pertumbuhan bulu roma yang tidak normal (seperti misai atau janggut).
Masalah berat badan - berat badan bertambah ataupun bahagian atas badan lebih besar atau gemuk daripada bahagian bawah.
Ovari lebih bengkak daripada wanita lain dan mempunyai lebih daripada satu cista.
Keguguran rambut.
Kurang subur.
l Sukar hamil
Rawatan: Terbahagi kepada tiga, iaitu :
Ubat - pengambilan ubat seperti Clomid dan suntikan HCG untuk membantu proses ovulasi. Sesuai digunakan untuk wanita yang langsing dan hanya boleh dilakukan bagi tempoh enam bulan sekali atau enam kali saja. Surgeri - pembedahan Laparoscopic Ovarian Drilling yang mana ovari akan ditebuk supaya sista kecil dihapuskan dan ovari lebih senang distimulasikan untuk menghasilkan telur dan ovulasi. In vitro fertilisation (IVF) - jika masih tidak mengandung selepas menjalani semua rawatan tadi, pasangan perlu mempertimbangkan teknik permanian IVF. |
Rotorua daerah dua tasik Posted: 24 Sep 2011 08:13 PM PDT MENGAITKAN New Zealand, yang terbayang di minda kita All Blacks, Kiwi dan Maori. Dunia kini memberi perhatian di negara yang digelar orang Maori Tanah Berawan Putih Yang Panjang (The Land Of The Long White Cloud) sejak berlangsungnya Kejohanan Ragbi Dunia dari 9 September hingga 23 Oktober. Bukan ragbi yang mahu diceritakan penulis, tetapi satu destinasi di Rotorua dan Taupo untuk kita lebih menghargai keindahan alam ciptaan Illahi.
ADRENALIN...jet bot yang menjadi aktiviti pelancong di Huka Falls. RIANG...penulis (kanan) diberikan peluang untuk menyusukan anak kambing biri-biri. RIANG...kegembiraan jelas terpancar di wajah rakan penulis ketika menaiki Swoop walaupun sebelum itu kelihatan gentar. Terletak di Pulau Utara New Zealand, daerah Rotorua dan Taupo terkenal dengan struktur muka bumi yang terhasil daripada aktiviti geoterma. Gunung Ruapehu terletak 40 kilometer (km) barat daya Taupo adalah salah sebuah gunung berapi yang paling aktif di dunia. Walaupun risau akan bahaya letusan gunung berapi, saya bersama enam rakan lagi membuat perjalanan ke daerah itu kerana inginkan pengalaman berada di kawasan geothermal.
Rotorua berasal dari perkataan Maori iaitu Roto (tasik) dan rua (dua) yang bermakna Rotorua sebagai 'dua tasik.' Lawatan penulis bersama rakan universiti di Christchurch, New Zealand diadakan ketika cuti musim sejuk. Dari Christchurch kami menaiki kapal terbang dan mendarat di Wellington. Perjalanan kami dengan menaiki van dari Wellington mengambil masa kira-kira 6 jam dan kami tiba di Taupo jam 9 malam. Menikmati makanan yang dimasak ketika singgah di rumah rakan di Napier, aktiviti lawatan kami hanya bermula pada keesokan harinya. Kami menginap di sebuah 'backpackers' yang kami tempah melalui Internet. Cukup sekadar bersarapan pagi dengan roti dan telur goreng, yang memang sudah menjadi menu kebiasaan bagi kami pelajar di perantauan. Membuat masakan sendiri tidak menjadi masalah sekiranya melawat New Zealand. Kebanyakan 'backpackers' menyediakan dapur untuk kegunaan umum dengan harga yang berpatutan.
Huka Falls adalah sebuah air terjun yang airnya mengalir dari Tasik Taupo ke Sungai Waikato. Kami diberitahu bahawa air yang turun adalah mencukupi untuk mengisi lima kolam renang bersaiz Olimpik setiap saat. Deruan air yang deras dengan warna biru memberikan pemandangan yang cukup menakjubkan. Satu aktiviti menarik yang terdapat di sini adalah menaiki jet bot di Huka Falls Jet.
Penumpang dibawa menaiki bot berkuasa tinggi menuju ke arah Huka Falls. Kelajuan dan tinggi dan diselang seli dengan putaran 360o yang dilakukan oleh pemandu bot pastinya membuatkan jantung penumpang berdegup kencang dengan keseronokan.
Selesai menaiki bot, kami ke Huka Prawn Park yang terletak bersebelahan dengan Huka Falls Jet. Di sini, pengunjung diberi peluang untuk memancing udang yang diternak di dalam kolam yang disediakan. Huka Prawn Park satu-satunya pusat ternakan udang di New Zealand, dan kolam ternakannya perlu dipanaskan bagi mendapatkan suhu yang sesuai bagi penternakan udang. Disebabkan faktor inilah, Taupo dipilih sebagai lokasi pusat ternakan ini kerana ia membolehkan tenaga geoterma digunakan untuk memanaskan kolam.
Terbit rasa bangga sebagai rakyat Malaysia apabila diberi�tahu baka udang-udang dalam kolam ini adalah dari 'Giant Malaysian River Prawn'. Setelah diajar cara-cara memancing udang yang betul, kami memulakan misi memancing udang untuk dibuat makan tengah hari.
Penulis adalah orang pertama yang berjaya mendapatkan udang setelah 15 minit mencuba. Selepas itu, satu persatu rakan kami mula mendapatkan hasil pancingan. Udang yang kami tangkap direbus di pondok yang disediakan dan dibawa ke restoran dalam pusat ternakan itu untuk dimakan.
Kami memulakan perjalanan ke Rotorua pula setelah kekenyangan memakan udang. Perjalanan ke Rotorua dari Taupo mengambil masa kira-kira sejam. Memandu ketika musim sejuk menjadi pengalaman yang menarik dan juga mencabar pada masa yang sama. Pemandu harus berhati-hati dengan keadaan jalan yang licin akibat ais. Walaupun Rotorua dan Taupo berada dalam kawasan geoterma, suhu pada musim sejuk cukup untuk membuat anda menggigil terutama�nya ketika angin bertiup.
Setibanya di Rotorua, kami mendaftar masuk dulu di 'backpackers' dan berehat sementara menanti malam. Kami pada mulanya hairan akan bau telur tembelang yang boleh dihidu di mana saja anda berada di Rotorua. Salah seorang dari kami pelajar jurusan Geologi menerangkan kepada kami bahawa bau tembelang itu adalah disebabkan oleh kandungan sulfur yang tinggi dalam tanah di kawasan berkenaan.
Kami bersiar-siar pada petang itu, menikmati keindahan Bandar Rotorua yang satu ketika dulu pernah ditimpa bencana letusan gunung berapi yang cukup dahsyat. Ke mana saja kami pergi, di tepian jalan pasti terdapat ciri-ciri geografi yang hanya terdapat di kawasan geoterma seperti kolam lumpur yang menggelegak kepanasan, kolam-kolam kecil yang berwap panas, serta wap-wap panas yang keluar dari tanah.
Keesokan harinya kami ke Agrodome, sebuah tarikan pelancong yang cukup popular dengan 'Sheep Show'. Apa yang ditampilkan oleh rancangan ini adalah semua jenis kam�bing biri-biri yang terdapat di New Zealand. Di samping itu, pelbagai demonstrasi seperti mencukur bulu kambing dan memerah susu kambing juga diadakan.
Sebagai golongan muda yang sukakan cabaran, kami meneruskan perjalanan ke destinasi selanjutnya iaitu Swoop. Salah satu daripada aktiviti ekstrim di New Zealand, pengunjung akan dimasukkan ke dalam karung yang seakan-akan 'sleeping bag' dan dilepaskan dari ketinggian 40 meter untuk dibiarkan berayun. Walaupun timbul rasa gusar di hati seandainya tali tersebut putus, penulis berjaya meyakinkan rakan yang lain bahawa sistem itu direka untuk tahan menampung penulis adalah pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
Rasa gementar bertukar menjadi teruja setelah selesai aktiviti tersebut. Majoriti daripada kami sememangnya rasa tidak puas dan mahu mengulangi pengalaman tersebut. Namun atas faktor kewangan yang terhad, ini tidaklah dapat kami lakukan.
Untuk menikmati sepenuhnya ciri-ciri geografi yang dipengaruhi aktiviti geoterma, kami melawat Wai-o-Tapu Thermal Wonderland.
Salah satu tarikan utama dalam taman ini adalah pertunjukan geiser yang diadakan beberapa kali dalam sehari.
Kebiasaannya, geiser hanya memancut pada masa rawak yang tidak dapat ditentukan. Namun untuk tujuan persembahan, pancutan geiser boleh dicetuskan secara kimia.
Pelbagai lagi keindahan alam geoterma yang boleh dinikmati di Wai-O-Tapu. Kebanyakannya diberi nama yang menarik perhatian seperti Devil's Home, Oyster Pool dan Infernal Crater. Semuanya diberi bersesuaian dengan keadaan kawasan tersebut yang panas serta tanah yang berwarna-warni kesan bahan galian yang hanya boleh didapati di kawasan gunung berapi.
Mengikut sejarah, Rotorua suatu masa dahulu sebuah bandar yang cukup sibuk dengan aktiviti pelancongan menerusi tarikan yang dinamakan 'The Pink and White Terraces'. Kejadian semula jadi ini dikatakan cukup mengagumkan sehingga ada yang menggelarnya salah satu keajaiban dalam dunia pada waktu itu.
Namun satu letusan gunung berapi yang cukup dahsyat mengakibatkan semuanya ditimbus oleh lahar.
Sebuah perkampungan Maori dan penempatan orang Inggeris ketika itu turut hilang dalam tragedi berkenaan. Kesan tinggalan kejadian itu boleh dilihat melalui lawatan kami ke 'Buried Village'. Sesudah tiga hari berada di Rotorua dan Taupo, kami bertolak ke Auckland menaiki kapal terbang pulang ke Christchurch.
Ibarat tidak kenal maka tidak cinta, hingga kini tidak lekang di ingatan kami akan bandar gunung berapi ini serta panorama indah persekitarannya membuatkan kami memasang azam tidak mustahil bertandang kembali andai ada rezeki.
|
Empat jerung ubah hidup Syed Abdul Rahman Posted: 24 Sep 2011 08:11 PM PDT  IKTIRAF...Syed Abdul Rahman bersama anugerah diterimanya. PERTEMBUNGAN kali pertama dengan sekawan empat ikan jerung di Pulau Redang, Terengganu, kira-kira 15 tahun lalu menjadi detik perubahan dalam kehidupan seorang pencinta hidupan lautan. Memulakan niat untuk menyaksikan hidupan laut terutama spesies bersaiz besar, pemilik pusat latihan skuba kanak-kanak dan remaja, Kids Scuba, Syed Abdul Rahman Syed Hassan, awalnya kecewa apabila tiada tanda-tanda kehadiran haiwan berkenaan.
PENTING...antara peralatan penting dalam sukan skuba. ANUGERAH...menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. MINAT...bersama isteri di dasar lautan. Namun, dengan kekuasaan Maha Pencipta, lelaki berusia 46 tahun itu diberi berkesempatan menyaksikan keajaiban apabila berpeluang melihat haiwan pemangsa berkenaan dalam jarak kurang daripada satu meter.
Lebih menakjubkan, seekor daripada kawanan pemangsa digeruni di lautan itu seakan-akan menyedari kehadiran Syed Abdul Rahman lantas mendekati penyelam yang memiliki pengalaman hampir 25 tahun untuk tempoh satu minit sebelum beredar kembali kepada kumpulannya. Sejak daripada itu, Syed Abdul Rahman mula menghargai dan menghormati hidupan yang bernafas di lautan masin, selain aktif menambah satu demi satu koleksi pengalaman ketika mula berjinak-jinak dengan hobi di dasar laut. Pengasas dan pemilik pusat latihan skuba kanak-kanak Malaysia yang mempunyai nama besar di peringkat antarabangsa ini mengakui aktiviti menyelam di dasar laut di Asia Tenggara, khususnya Malaysia jarang mendapat perhatian.
Apatah lagi sukan ini kerap kali dimomokkan sebagai 'hobi orang kaya' berikutan memerlukan kedudukan kewangan yang besar dan stabil sebelum menyertai kursus serta menyediakan alat kelengkapan termasuk topeng (mask), kaki sirip (fins) dan baju penyelam (wetsuit) mencecah ribuan ringgit.
Beliau menafikan dan menepis tanggapan berkenaan, baginya aktiviti yang disifatkan memberi manfaat kepada anak kecil wajar diberi perhatian khusus oleh golongan ibu bapa yang menjadi teraju utama dalam menyusun atur program sihat anak.
"Melihat fenomena sekarang, anak kecil di Malaysia masih disogok dengan ilmu 'mainan' seperti permainan Internet berbanding aktiviti manfaat dalam usaha membentuk disiplin generasi muda di usia kecil.
"Berbanding negara Barat terutama Amerika Syarikat, aktiviti skuba sebenarnya mempunyai tempat di kalangan komuniti mereka malah beberapa universiti bertaraf dunia turut menawarkan kursus berkaitan hidupan marin," katanya.
Mengenang semula saat terbinanya syarikat diurus bersama keluarga, Syed Abdul Rahman berkata beliau meminati aktiviti snorkling di awal usia 20-an sebelum lahirnya keinginan terhadap skuba.
Menanamkan tekad dan semangat, bapa kepada tiga anak perempuan ini mengikuti kursus pengenalan skuba selama empat hari bersama B&J Dive Centre, sebelum ditauliahkan menerima Lesen 'Open Water Diver' (selam di sungai, tasik, laut) oleh Professional Association of Diving Intructors (Padi).
Selepas itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang malah mengikuti semua kursus skuba merangkumi advance, resque, dive master, pengajar (instructor) dan tertinggi, jurulatih pengajar daripada beberapa agensi bertaraf antarabangsa iaitu Padi, National Association of Underwater Instructors (NAUI) dan Scuba School International (SSI).
Biarpun memiliki lesen skuba yang diiktiraf antarabangsa, Syed Abdul Rahman tidak sesekali membelakangkan cara hidup dan ilmu penyelam tradisional terutama golongan nelayan yang memiliki pengalaman luas dalam teknik interaksi bersama lautan.
Jikalau segelintir golongan Adam sanggup menghabiskan masa di tengah-tengah padang golf, namun berbeza bagi lelaki yang memegang jawatan sebagai pegawai kewangan di syarikat swasta ini apabila mengunjungi setiap pelosok perkampungan nelayan untuk menimba ilmu dan pengalaman.
Katanya, dia sanggup menadahkan telinga selama berjam-jam semata-mata ingin mengutip pengalaman daripada kaum nelayan terutama di negeri pantai timur termasuk Sabah malah dia lebih selesa ke destinasi berkenaan tanpa ditemani sesiapa.
Enggan tergesa-gesa menubuhkan Kids Scuba, beliau mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membuat penyelidikan selain mengumpul pengalaman menyelam di beberapa negara seluruh dunia termasuk Australia, Maldives, Thailand, Indonesia serta Copenhagen, Denmark.
Katanya, kesan daripada pengalaman sedia ada maka timbulnya idea untuk menawarkan latihan khusus kanak-kanak sejurus menyaksikan gelagat dan aksi anak kecil masyarakat Barat yang mampu mempamerkan potensi cemerlang dalam aktiviti menyelam.
Optimis dengan kekuatan mental dan fizikal anak Malaysia, Syed Abdul Rahman menjadikan anak sulungnya, Sharifah Nadhirah yang ketika itu berusia 8 tahun sebagai 'bahan uji kaji' sekali gus berjaya diiktiraf sebagai Penyelam Skuba Termuda Padi Seal Team dan pertama di Malaysia oleh Padi yang berpusat di Australia.
Melihatkan kejayaan berkenaan, Syed Abdul Rahman bertindak lebih agresif dengan penubuhan Kids Scuba pada 2004 yang berpusat di kediamannya di Putra Height, Selangor, selama dua tahun dengan kerjasama isteri.
Apabila permintaan daripada ibu bapa kian meningkat, beliau yang juga bergelar Timbalan Presiden, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA) membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi lebih sesuai iaitu di Jalan Putra Mahkota 7/6C, Putra Height pada 2008 hingga kini.
Lebih membanggakan, Kids Scuba turut menerima pengiktirafan termasuk Anugerah Program Terbesar Scuba Rangers Terbesar Dunia oleh Agensi Scuba Ranger di Bangkok, Thailand, pada 2008 dan Anugerah Program Skuba Kanak-kanak dan Scuba Rangers Paling Cemerlang di Dunia yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, tahun lalu.
Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, beliau menyediakan pusat latihan yang bertemakan kanak-kanak malah suasana di dasar laut turut diterapkan di bilik kelas, galeri jualan dan pejabat operasi sekali gus membangkitkan keinginan dalam diri setiap pengunjung.
Kelas yang dianjurkan setiap Sabtu yang berpusat di Putra Height bagi pengajaran teori manakala latihan menyelam pula dilakukan di Pusat Latihan Maybank, Bangi kerap dikunjungi pelajar berusia antara lapan tahun hingga 18 tahun.
Memiliki 15 tenaga pengajar termasuk tiga wanita, Kids Scuba berjaya melatih lebih 600 kanak-kanak termasuk anak orang kenamaan Malaysia sejak ditubuhkan.
Menjadikan kanak-kanak sebagai kumpulan sasaran, Syed Abdul Rahman tidak menganggap mengajar golongan muda adalah rumit sebaliknya disifatkan lebih mudah untuk membentuk disiplin dan minat mereka berikutan memiliki tenaga banyak serta keberanian tinggi.
Biarpun memiliki kerjaya tetap, beliau menganggap Kids Scuba sebagai satu perniagaan bermanfaat untuk membantu generasi muda memupuk minat selain menjadi saluran riadah antara ibu bapa dengan anak masing-masing, bukan sekadar mementingkan keuntungan.
Aktiviti riadah bersama keluarga itu ditekankan kepada setiap pelajar apabila ibu bapa turut diwajibkan mengikuti kem skuba yang diadakan tiga kali setahun, terutama pada cuti persekolahan.
Antara lokasi terpilih bagi mengadakan Kids Scuba Camp adalah Pulau Tioman, Pahang, pulau di Terengganu serta di Sabah termasuk Pulau Sipadan dan Pulau Layang-Layang.
Kids Scuba juga melebarkan sayapnya dengan pembukaan cawangan kedua di Denmark yang diurus tadbir oleh bekas anak muridnya merangkap rakan kongsi, Nick J Visser pada 22 Ogos 2010.
Merungkai perkembangan sukan skuba di Malaysia, beliau menganggap sukan air itu memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan ia terbukti apabila Tourism Malaysia mendedahkan
aktiviti skuba memberi pulangan bernilai RM20 juta dalam sektor pelancongan tahun lalu.
PROFIL
NAMA: Syed Abdul Rahman Syed Hassan JAWATAN: Pengarah Kids Scuba LAHIR: 13 Oktober 1965 ASAL: Johor Bahru, Johor ISTERI: Bahiyah @ Nadia Ahmad ANAK: Sharifah Nadhirah (17 tahun), Sharifah Hanani (13) dan Sharifah Najwa Amni, lapan tahun. ADIK-BERADIK: Pertama daripada tiga beradik PENDIDIKAN: Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (1998)
|
Anak tidak dimanja dengan kemewahan Posted: 24 Sep 2011 08:10 PM PDT  PENDORONG...keluarga menjadi pendorong. MENERIMA pendapatan bulanan bertaraf eksekutif di syarikat gergasi yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan memiliki syarikat sendiri, bukanlah platform untuknya memanjakan anaknya dengan kemewahan. Sebaliknya, Syed Abdul Rahman mengamalkan sikap tegas dengan menonjolkan semangat dan kesungguhan mengerah tenaga demi mencari sesuap nasi dalam situasi ekonomi negara yang semakin mencabar.
Bergelar anak kepada penyelam dan pemilik Kids Scuba bukanlah tiket untuk bersenang-lenang di kolam renang Pusat Latihan Maybank ketika sesi menyelam namun perlu memainkan peranan penting sebagai 'kakitangan' syarikat dalam menyediakan kelengkapan bagi pelajar.
Menurut Syed Abdul Rahman, setiap Sabtu, isteri dan dua lagi anaknya akan turut ke pusat renang membantunya menyediakan peralatan selain menjadi tenaga pengajar bagi wanita yang enggan dilatih jurulatih lelaki. "Anak saya diberi pendedahan awal mengenai skuba dan pengalaman itu kian bertambah apabila mereka sendiri turun padang menyertai saya di kolam renang. "Sebelum kelas bermula, mereka akan menyediakan peralatan seperti topeng dan fins untuk pelajar. Kemudian sejurus kelas berakhir, mereka menjadi orang terakhir bertanggungjawab membersihkan semua peralatan yang digunakan.
"Sebagai pulangan, saya akan memberi sedikit insentif berbentuk wang untuk menghargai bantuan mereka dan dalam masa sama, mereka mempelajari kemahiran mencari rezeki," katanya.
Menafikan tindakan itu sebagai mengajar anak mengejar kemewahan, beliau berpandangan sikap berkenaan dapat membentuk jati diri anaknya untuk bekerja keras untuk mencapai sesuatu matlamat dalam kehidupan.
Malah, Syed Abdul Rahman meluahkan rasa syukur apabila anaknya semakin matang dalam menilai tindakan dan pengajaran yang ditekankannya.
Memegang jawatan penting dalam Malaysia Scuba Diving Association (MSDA), beliau kerap ke luar negara mewakili Malaysia mempromosikan sukan skuba dan destinasi skuba menarik tempatan, sementara itu, tugasnya di Kids Scuba diambil alih oleh isteri dan anak.
Wajar digelar keluarga penyelam, isterinya yang berperanan sebagai pengurus operasi turut memiliki Lesen 'Advance Open Water Diver' termasuk anak sulung, manakala anak kedua pula mempunyai Lesen 'Advance Open Water Diver Junior' dan Padi Seal Team bagi yang bongsu.
Tiba cuti persekolahan, beliau pasti mencuri masa untuk membawa keluarganya ke pulau di Malaysia dan serata dunia semata-mata melakukan aktiviti skuba.
|
Wanita terpendek Posted: 24 Sep 2011 08:09 PM PDT  COMEL... Bridgette bersama adik lelakinya, Brad diiktiraf sebagai pasangan adik-beradik terpendek di dunia.  AKTIF... Bridgette menjadi anggota kumpulan sorak di kolejnya. SAMBIL duduk di atas kerusi kanak-kanak berwarna merah jambu, kaki Bridgette Jordan berjuntaian ketika dia menghulurkan tangan untuk mengakses internet. Merenung ke arah skrin komputer riba, Bridgette memerlukan sedikit usaha untuk mengendalikan tetikus komputer di atas meja merah jambu.
Namun, itulah cara kehidupan seharian orang kerdil berusia 22 tahun itu - yang juga penyanyi, anggota kumpulan sorak bersama rakannya di Kolej Kaskaskia.
Dia kini mempunyai sebab untuk bersorak lebih kuat - selepas dimahkotakan sebagai wanita terpendek di dunia, sebagaimana dicatat dalam Buku Rekod Dunia Guinness yang kelihatan lebih besar berbanding dirinya jika diletakkan bersebelahan Bridgette. Bridgette daripada Sandoval, Illinois, Amerika Syarikat yang berketinggian 0.69 meter - turut memegang rekod sebagai pasangan adik- beradik terpendek, bersama adik lelakinya, Brad. Kombinasi ketinggian pasangan itu ialah 1.65 meter. Ketika ditanya perasaannya mendapat gelaran itu, yang dirampas daripada Elif Kocaman daripada Turki yang berketinggian 0.71 meter, dia berkata: "Ia perasaan yang hebat'.
"Memang hebat menjadi orang kerdil. Saya percaya setiap orang perlu yakin dengan diri sendiri."
Brad yang berketinggian 0.96 meter dan gemar bermain bola keranjang serta mempelajari seni tempur karate, menambah: "Harap- harap ia akan membantu orang ramai menyedari tiada masalah untuk menjadi individu yang berbeza."
Pasangan kerdil itu menghidap Majewski osteodysplastic jenis II.
Mereka tinggal bersama ibu bapa di Sandoval dan belajar di Kolej Kaskaskia.
Sementara itu, Iyoti Amge, 17, dari Nagpur, India kini diiktiraf sebagai remaja terpendek di dunia dengan ketinggian 0.60 meter.
|
Murah, mesra alam Posted: 24 Sep 2011 08:07 PM PDT  SEJUK MATA MEMANDANG... ruang rehat dibina menghadap ke hutan. SERIK dengan bebanan pinjaman bank, Simon Dale memilih untuk mengubah hidupnya sekeluarga dengan cara sendiri. Dengan bermodalkan alat pertukangan, Dale, 32, membawa isteri dan anaknya ke pinggir bukit di Wales dan mula menebang pokok serta menggali tanah. Matlamatnya - membina rumah mesra alam dengan hanya bermodalkan £3,000 (RM14,550). TETAP SELESA... rumah ini dihangatkan dengan kayu api manakala lampunya menggunakan tenaga suria. KELUARGA MESRA ALAM... pasangan Dale dan Jasmine bersama anak mereka di depan rumah yang disiapkan dalam tempoh empat bulan. RUMAH HOBBIT... menggunakan bahan terpakai dan hampir-hampir tidak kelihatan kerana kedudukannya yang terletak di pinggir bukit. WAWASAN UNIK... tanpa pengalaman membina rumah, Dale menyiapkan kediaman ini menggunakan bahan terpakai dan murah. BINAAN ASAS... struktur rumah Dale pada peringkat awal. BERPERINGKAT... mula-mula Dale memasang rangka rumah menggunakan batang pokok sebelum atap bagi membolehkan keluarganya berteduh lebih awal di situ. Dalam tempoh empat bulan, siaplah rumah serba sederhana itu dan segera menarik perhatian ramai. Rumah Dale itu digelar sebagai Rumah Hobbit - sempena watak penting dalam cerita fantasi The Lord Of The Rings.
Tanpa memiliki pengalaman sebagai tukang atau seni bina, Dale membangunkan kediaman mesra alam itu menggunakan bahan terpakai, seperti kayu terbuang untuk lantai dan mengalirkan air daripada sungai untuk keperluan harian. Ketika sibuk menyiapkan rumah, isteri Dale, Jasmine Saville, serta dua anak mereka berkhemah tidak jauh dari situ. Menurut Dale, menjadi arkitek untuk rumah sendiri satu pengalaman menarik dan sukar dilupakan. "Ia membolehkan anda mencipta dan merealisasikan apa saja yang anda mahukan. "Rumah ini jauh lebih menarik dan selesa berbanding 'kotak-kotak' direka untuk mendapatkan keuntungan maksimum oleh pemaju perumahan," katanya.
Dale berkata, membina kediaman menggunakan bahan semula jadi membolehkan dia dan keluarganya hidup dengan lebih selamat.
Katanya, kebanyakan bangunan moden dibina dengan mengambil kira aspek keuntungan, manakala bahan digunakan biasanya berbahaya dan mengancam kesihatan.
Menceritakan permulaan proses pembinaan Rumah Hobbit itu, Dale berkata, mereka sangat bertuah ketika tercari-cari tapak membangunkan rumah impian.
"Tuan tanah membenarkan kami membina rumah di sini dengan syarat kawasan sekitarnya dijaga sebaik mungkin.
"Atas perjanjian itu, kami diberikan tapak rumah secara percuma," katanya.
Pada peringkat awal, Dale menggali pinggir bukit itu dengan bantuan bapa mentuanya dan memasang rangka bangunan menggunakan batang pokok.
Fasa kedua pembinaan bermula dengan Dale meletakkan susunan jerami di bahagian atas bagi membolehkan ia bertindak sebagai penebat.
Jerami itu kemudian ditutup dengan plastik supaya tiada sebarang kebocoran berlaku ketika hujan. Akhirnya, atap rumah Dale dilengkapkan dengan lapisan tanah bagi menyesuaikan binaan itu dengan keadaan persekitarannya.
Apabila rangka luaran disiapkan, Dale dan keluarganya memberi perhatian kepada bahagian dalaman pula.
Dinding rumah itu turut menggunakan batang jerami yang diadun dengan susunan batu serta batang pokok hazel.
Kemudian, Dale menyusun kepingan palet secara terbalik sebelum dilapiskan dengan papan nipis.
Dalam laman sesawang Dale, Jasmine menulis: "Sesetengah pengalaman silam, pembacaan dan keyakinan memberi kami kekuatan untuk membina rumah mengikut selera kami dalam persekitaran semula jadi.
"Bagi kami, ia satu pengalaman yang menguji kesabaran, tapi dengan segala tekanan dan penat lelah, kami tak pernah menyesal," katanya.
Untuk membekalkan tenaga, rumah itu memanfaatkan tenaga suria.
Kata Dale, isu yang ditekankan dalam kehidupan unik mereka ialah hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.
"Kita boleh membangunkan sesuatu dengan menggunakan teknologi mudah dan bersesuaian," katanya.
Sejak Rumah Hobbit Dale itu disempurnakan, dia kini menyiapkan penempatan kompleks kediaman mesra alam pertama di Wales, dikenali sebagai Perkampungan Lammas. |
Nafas baru lagu keroncong Posted: 24 Sep 2011 08:06 PM PDT  HARMONI...gabungan alat muzik keroncong.  ASYIK...mereka serius setiap kali berlatih. BUNYI 'crong' daripada alat muzik ukulele cak dan cuk saling menyanggah diiringi bunyi petikan selo berselang dengan 'double bass' menyebabkan irama klasik keroncong cukup merdu didengar. Tidak hairan nama besar seperti penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang dan seniman agung
P Ramlee selesa menyanyikan melodi klasik ini yang cukup sebati dengan rumpun Melayu di Malaysia.
Sebelum ini, perkembangan kumpulan pemuzik yang mendendangkan muzik itu dipelopori kaum lelaki sekali gus menenggelamkan kehadiran pemuzik berbakat di kalangan wanita. Tidak mustahil muzik klasik yang dulu dipandang sepi oleh muda-mudi ini bakal menjadi siulan pemuda sebaik menyedari akan kemunculan kumpulan keroncong pemuziknya semua adalah wanita. Inisiatif tenaga pengajar fakulti muzik Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan Malaysia (Aswara) memberi nafas baru kepada muzik klasik ini dengan mengetengahkan bakat tujuh pelajar wanita daripada pusat pengajian berkenaan dilihat eksperimen berjaya.
Kumpulan dikenali dengan nama Puteri Aswara sudah memecah tradisi keroncong kerana berjaya menggondol anugerah kumpulan harapan dalam satu festival muzik keroncong di Johor Bahru, baru-baru ini.
Menurut pemain double bass Puteri Aswara, Hamizah Ali, 25, menjadi kumpulan sulung wanita mula mendendangkan irama keroncong ini menyebabkan dia bersama ahli lain dilihat sebagai pasukan yang sungguh unik dalam industri seni ini.
"Menjadi ahli kepada projek perintis dalam melahirkan kumpulan keroncong wanita pertama di Malaysia satu kebanggaan buat diri saya serta rakan.
"Kehadiran kami mendapat reaksi positif oleh penggiat dan penggemar seni muzik keroncong kerana ahli kumpulan kami semuanya wanita ternyata berbeza daripada kumpulan keroncong lain.
"Oleh kerana kami berbeza, kami menjadi perhatian dan tumpuan penggemar muzik keroncong," katanya yang juga berperanan sebagai ketua kumpulan berkenaan. Beralih kepada peranannya, gadis daripada Kuantan itu berkata dia adalah 'nadi' kepada kumpulan ini sebaik mula persembahan.
"Saya pemain double bass berperanan menentukan rentak (beat) dan ia bagaikan gendang dalam muzik keroncong ini. Disebabkan itu, double bass yang dimain tidak menggunakan teknik gesekan tetapi lebih kepada petikan pengganti kepada elemen perkusi (percussion) tiada dalam muzik keroncong persembahan kumpulan Puteri Aswara.
"Kesimpulannya saya akan menjadi panduan dalam memastikan pemuzik lain berada pada not yang betul," katanya mewarisi bakat daripada neneknya, seniwati veteran, Raja Hamidah Raja Saat.
Sementara itu, Noraini Othman, 21, pula berkata irama klasik cukup popular di Johor ini bukan sebarang lagu dan menyanyikannya satu cabaran sungguh besar kerana bunyi 'upbeat' daripada cak dan 'downbeat' daripada cuk.
"Sewaktu pertama kali menyanyikannya, serba tidak kena. Saya sukar menyampaikan lagu irama ini pada awalnya kerana keliru bahagian mana patut mulakan nyanyian.
"Mujur guru pembimbing, Kuntoro Edhi (Pak Edhi) menerangkan teknik dan cara menyanyikannya barulah saya memahaminya.
"Nasihat Pak Edhi paling saya ingat setiap kali melagukan lagu keroncong seperti keroncong Kuala Lumpur dendangan Allahyarham P Ramlee ialah setiap 'patah irama' haruslah betul.
"Uniknya, lagu keroncong dinyanyikan agak lewat sedikit daripada irama sebenar," katanya sering membuat rujukan penyanyi keroncong dendangan Kumpulan Keroncong Yayasan Johor.
Manakala bagi Siti Raiha Md Abd Aziz, 19, meskipun biasa mempersembahkan keroncong kerana aktif dalam kumpulan Keroncong Seri Bayu dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang, dia masih perlu berusaha memantapkan kemahiran bermain.
"Tidak semestinya saya berkecimpung dengan muzik ini seawal 10 tahun, saya tidak perlu berusaha sekuat ahli lain.
"Saya masih perlu berlatih bersama dengan kerap kerana ia memastikan saya berada pada momentum sesuai.
"Secara tidak langsung keserasian antara kami makin kuat dan alunan muzik dihasilkan lebih harmoni," kata gadis dari Johor itu.
Gadis itu berkongsi saat manis sepanjang pembabitannya dalam seni muzik klasik keroncong iaitu berkesempatan membuat persembahan keroncong di hadapan Putera Mahkota Johor ketika itu DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Edhi yang dibawa khas daripada Yayasan Warisan Johor, berkata perkembangan seni keroncong di Malaysia biasanya tertumpu kepada klasik.
Ini mengakibatkan seni keroncong bukan pilihan anak muda sebagai muzikal hiburan berbanding Indonesia yang sudah 'diasimilasikan' dengan pelbagai melodi.
"Anak Malaysia mungkin lebih dekat dengan irama keroncong seandainya ada usaha 'mengkomersialkan' irama ini dengan campuran genre muzik lain menjadikan ia lebih segar. Contohnya, memperkembangkan ia menerusi pelbagai genre keroncong dengan memasukkan elemen rock dinamakan keroncong 'Jong Rock' atau keroncong 'Campursari' iaitu gabungan alat muzik keroncong dan kugiran," katanya.
Penyelaras kumpulan berkenaan, Mohd Khair Abd Latif, berkata usahanya bersama rakan ialah memartabatkan kembali muzik itu dengan pendekatan lebih drastik.
"Kami sebagai tenaga pengajar bukan saja mengajar tetapi sentiasa berusaha menghidupkan kembali muzik klasik ini di kalangan generasi muda.
"Ia bonus buat pelajar itu sendiri kerana dapat menajamkan skil bermain alat muzik di samping melihat peluang mereka untuk memasarkan diri mereka sebagai penggiat seni itu sendiri," katanya. |
Tempah batu nisan untuk kematian Posted: 24 Sep 2011 08:02 PM PDT IBRAHIM Anon, 46, pemilik nama kartunis Ujang, pernah mengalami pengalaman perit apabila karya atau lukisannya dipatenkan oleh pemilik sebuah syarikat awal 1990-an sebagai harta inteleknya. Kisah seperti Aku Budak Minang, Usop Sontorian dan pelbagai watak pernah menghiasi majalah humor sehingga mengangkat popularitinya tetapi syarikat berkenaan menerusi peguamnya terlebih dulu menghantar notis bahawa mereka adalah pemilik Majalah Ujang.
Walaupun sudah turun naik mahkamah dan kesnya bertukar tangan daripada seorang peguam kepada peguam yang lain bagi menghalang syarikat berkenaan, segalanya sudah terlambat.
Menurut undang-undang, dia tidak dibenarkan mengambil mana-mana bahagian dalam majalah itu dicetak semula dalam sebarang bentuk sama ada cetakan, penukaran, penyamaran, edaran, penyerahan atau mempamerkan dalam media cetak, digital dan pelbagai lagi tanpa kelulusan. "Bayangkan, saya langsung tidak boleh melukis kartun yang pernah saya hasilkan menerusi watak ciptaan saya dalam sebuah majalah, sampaikan kalau lukis gambar pokok pun, saya dikenakan tindakan undang-undang. "Cubaan mempertahankan hak saya dengan turun naik mahkamah membuatkan segala penerbitan saya terpaksa gulung tikar. Saya dihujani surat dan arahan mahkamah agar segala majalah keluaran saya ditarik balik di pasaran. Hutang dengan syarikat percetakan dan gaji kakitangan semuanya bernilai RM1.8 juta. Akhirnya mahkamah mengisytiharkan saya muflis.
"Bayangkan, saya terduduk dan rasa seakan-akan kehidupan ini direnggut sekali gus rumah tangga saya juga hampir musnah dan memaksa saya lari ke kampung untuk mencari ketenangan. Saya hampir gila dan pernah menempah batu nisan sendiri semata-mata persiapan untuk 'kematian' sendiri," katanya.
Demi menghilangkan tekanan perasaan, dia pulang ke kampungnya di Kuala Pilah tanpa melakukan sebarang kerja kerana buntu memikirkan apa yang berlaku serta fikirannya menjadi kosong.
"Saya berkelana dan wang ringgit memang langsung tiada, sebaliknya hanya berharap ihsan orang ramai. Apabila pulang ke rumah semula, suatu hari emak menegur dan memarahi saya kerana mengerjakan solat dan berulang-ulang hinggakan 14 rakaat. Sebenarnya, ketika itu saya sudah tidak tahu apa yang berlaku seolah-olah dalam dunia yang amat asing," katanya.
Hampir lapan bulan menyepi diri dan langsung tidak menghiraukan isterinya, Zaiha Abdul Rahman dan empat cahaya mata, ibunya paling banyak memberi kekuatan semangat kepadanya agar bekerja keras demi masa depan dia sekeluarga.
Ujang mengakui yang dia pernah mengusung guni mengandungi gelang untuk dijual dengan harga RM2 semata-mata mencari sesuap nasi. Bahkan, dia pernah melukis potret di kaki lima di sebuah pekan dan menjualnya kepada orang ramai untuk mencari sesuap nasi.
"Bayangkan ketika zaman kegemilangan, saya pernah memperoleh pendapatan RM50,000 sebulan tetapi di zaman kejatuhan, dengan hasil jualan lukisan potret berharga RM10, saya mampu menampung hidup saya untuk dua, tiga hari. Bayangkan ketika melukis potret atau inspirasi daripada kartun saya dan mengabadikan dalam kad ucapan Hari Raya, tiba-tiba saya didatangi surat saman.
"Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, saya sekali lagi tertekan apabila ibu meninggal dunia tiga tahun lalu. Namun segala nasihat dan doanya menjadi ubat paling mujarab buat saya meneruskan kelangsungan hidup ini," kata anak ketujuh daripada lapan beradik ini bercerita mengenai arwah ibu tercinta, Ramlah Omar.
Sebagai insan cekal, dia kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu bekas majikannya, pemilik syarikat Creative Enterprise iaitu Jaafar Taib untuk kembali bertugas di syarikat berkenaan.
Namun katanya, selepas itu tidak putus-putus rezeki datang menggolek dan mendapat tawaran menghasilkan kartun untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Kini, dia bersama syarikat Century Vantage Sdn Bhd yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor menerbitkan majalah komik animasi yang menjurus kepada bacaan untuk semua golongan dan dikenali 'Animaxi'.
"Apa yang penting dalam hidup, kita harus berfikiran positif. Walaupun diuji dengan pelbagai dugaan namun saya tidak pernah berputus asa bahkan kekuatan saya adalah sifat dalaman yang dimiliki diri ini. Saya sudah menempuh pelbagai halangan besar dan reda dengan ketentuan takdir," katanya.
Kes membabitkan hak cipta
Kes 1:
KUALA LUMPUR: "Usaha saya selama ini membangunkan perniagaan seakan sia-sia dan mengecewakan apabila tudung keluaran syarikat saya berjenama Hawa diciplak peniaga asing hingga mengakibatkan kerugian RM700,000 sebulan.
"Perkara seperti inilah yang boleh melemahkan semangat usahawan Melayu untuk terus maju dalam bidang perniagaan. Saya tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menciplak produk keluaran saya," kata pemilik perniagaan, Idaman Hawa Sdn Bhd, Jeffrey Arazmi Mokhtar.
Katanya, dia terpaksa melalui proses yang panjang hampir dua tahun untuk mendapatkan hak cipta terhadap produk keluarannya, tetapi peniaga asing dengan mudah mencuri rekaannya.
"Bagaimana peniaga Melayu hendak maju di bumi sendiri sedangkan peniaga asing mendominasi dan bersikap agresif dengan mencuri hak kami," katanya, semalam.
Katanya, sebelum rekaan tudungnya diciplak, jualan produk itu memberangsangkan dan menjadi rebutan pelanggan hingga mampu menjual lebih 8,000 helai untuk setiap rekaan daripada empat rekaan keluaran syarikatnya. (Harian Metro; 4 Jun 2010)
Kes 2:
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didenda RM13 juta oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini, pada 23 Disember lalu selepas didapati bersalah memiliki 6,500 video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) karaoke cetak rompak membabitkan koleksi lagu artis popular tempatan dan antarabangsa.
Ia sekali gus menjadi jumlah denda tertinggi pernah dikenakan ke atas pesalah cetak rompak sejak Akta Hak Cipta diluluskan Parlimen, seterusnya dikuatkuasakan 23 tahun lalu.
Ahli perniagaan, Tee Min Hock, 35, turut berdepan hukuman dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan selepas disabitkan kesalahan itu mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987.
Mengikut keterangan fakta kes, VCD dan DVD karaoke cetak rompak itu ditemui disembunyikan di rumah ahli perniagaan terbabit dalam serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) pada 27 September 2007.
Difahamkan, serbuan dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), dengan VCD dan DVD karaoke cetak rompak itu dipercayai mahu digunakan untuk tujuan komersial. (Berita Harian: 30 Dis 2010) |
X-Trail garang Posted: 24 Sep 2011 07:28 PM PDT JARANG kita lihat 'sport utility vehicle' (SUV) seperti Nissan X-Trail menjadi pilihan untuk diubah suai kaki kereta. Disebabkan bentuknya yang besar, kos dan alat ganti kenderaan itu menjadi penghalang untuk diketengahkan sebagai hobi modifikasi, maka ia dilupakan. Namun bagi pemilik kenderaan ini yang mempunyai cita rasa berbeza, proses modifikasi yang dilakukan dianggap sebagai cabaran untuknya. Kerana itu, Nissan X-Trail ini dijadikan sebagai projek khas untuk diubah suai.
Sekali pandang, kenderaan ini kelihatan sedikit garang dengan penggunaan 'wide bodykit' yang direka secara 'custom'. Ia membabitkan bumper depan dan belakang, 'skirt' tepi dan juga spoiler serta bonet hadapannya.
Tidak cukup dengan ubah suai dilakukan, pemiliknya turut menaik taraf sistem audio. Menggunakan dua sub woofer daripada Alpine dan set audio daripada Macon, ia sudah memadai untuk memberikan kualiti muzik yang menarik. Bagaimanapun, tidak seperti kaki kereta lain yang turut menukar jentera kenderaan mereka kepada yang lebih berkuasa, pemiliknya hanya memilih untuk mengekalkan enjin asalnya. Namun begitu, ia sudah dinaik taraf melalui proses 'tuning' agar ia dapat memberi kuasa melebihi kuasa asalnya. Selain itu, bahan api yang terbakar turut disalurkan dengan baik menerusi sistem 'piping' yang dinaik taraf kepada set ekzos yang digunakan kenderaan mewah seperti BWM iaitu AC Schnitzer.
Sekurang-kurangnya, kereta ini mampu mencecah kelajuan 180km/j walaupun dengan penggunaan rim besar bersaiz 20 inci daripada jenama Enkei.
PENGUBAHSUAIAN
EKZOS
Tabung AC Schnitzer Straight piping' 2 inci
RIM 20 inci Enkei
SUSPENSI Suspensi boleh laras udara Bomber
AKSESORI Tempat duduk hadapan semi bucket custom Papan pemuka Sistem audio Alpine Dua buah LCD 7 inci Amplifier Alpine Set audio Macon Wide bodykit custom Spoiler custom Bumper depan dan belakang custom |
Udang galah Tanjung Tualang di Mali Ipoh Posted: 24 Sep 2011 07:27 PM PDT  Udang galah segar membangkit selera. UDANG galah Tanjung Tualang cukup popular. Malah, mengikut cerita, pelancong dari Singapura berbondong-bondong menaiki bas ke pekan kecil di tengah negeri Perak, semata-mata untuk menikmati keenakannya. Oleh kerana kebanyakan restoran tidak halal yang menyediakan hidangan tersebut, maka tentunya umat Islam tidak berpeluang merasa udang galah yang sememangnya terkenal itu. Tapi kini ia bukan lagi masalah. Kunjungi restoran Mali Ipoh Seafood, Ipoh, Perak, anda pasti teruja. Restoran berasaskan masakan Cina halal yang diusahakan oleh usahawan muda, Azlan Mohd. Said itu turut menyediakan pelbagai lagi khazanah makanan Perak seperti ikan hantu atau ketutu dan tilapia Tasik Banding. Penulis yang berkesempatan mencuba kelazatan makanan di restoran di pusat perdagangan Casuarina, Jalan Dr. Raja Nazrin Shah itu tidak dapat menahan selera apabila menyaksikan udang galah sepanjang tapak tangan dimasak kukus ala-Cina disusun sebaris bersama lapisan-lapisan putih telur. Hidangan yang masih panas itu menandakan ia baru sahaja dimasak. Tentunya kecur air liur tidak sabar mahu mencuba sendiri keenakan udang galah Tanjung Tualang itu. Malah, keterujaan penulis tidak terhenti di situ. Selepas itu, disajikan hidangan isi haruan yang dibalut bersama buah mangga dan epal. Nampak pelik, tetapi saat secubit isi udang dan isi ikan haruan menjengah ke dalam mulut, penulis perlu bersetuju dengan pendapat seorang rakan bahawa makanan laut paling sesuai jika dimasak gaya masakan Cina. Pendapat itu mungkin benar kerana kaedah memasak yang ringkas dan cepat, maka kesegaran dan kemanisan serta rasa makanan ini kekal terjamin. Menurut Azlan, masakan Cina bukan semuanya berasaskan tumis, sos tiram mahu pun kukus. ''Orang Cina juga terkenal dengan masakan asam pedas dan kari," katanya sambil menghulur dua dulang berisi masakan asam pedas kepala ikan Norway dan kari ikan bawal. Keenakan asam pedas berkenaan mendapat reaksi positif seorang rakan yang kebetulan berasal dari Melaka yang terkenal dengan masakan asam pedas. ''Kalau begini tidak perlu balik Melaka untuk menikmati asam pedas," katanya. Hidangan lain yang turut menjadi kesukaan pengunjung adalah lam ko kicap atau ikan ketutu yang dimasak pada suhu tinggi bersama rempah ratus serta kicap istimewa telah berjaya mengekalkan kemanisan isi ikan tersebut. Masakan tilapia stim ros juga tidak kurang hebatnya. Menu ini pasti pengganti yang paling sesuai untuk penggemar ikan masak tiga rasa. Bezanya, ikan tidak digoreng sebaliknya dikukus. Menu-menu lain yang tidak boleh diketepikan adalah sotong Mongolia dan kailan dua rasa yang digoreng garing manakala batangnya ditumis. Bagi menghilangkan dahaga, jangan lupa mencuba jus amra atau kedondong, dan laici tembikai yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Menurut Azlan, selain mengutamakan kesegaran dan mengekalkan keaslian cita rasa, Mali Ipoh tidak berkompromi dalam soal kebersihan serta keselesaan pelanggan. Bagi menjamin halal, semua sos dan tepung yang digunakan untuk masakan di restoran itu dibuat dan diadun sendiri. Restoran yang sesuai untuk seisi keluarga itu juga turut menyediakan hidangan masakan Melayu dan barat selain menerima tempahan yang boleh dibuat melalui talian 05-2341618 dan 05-2433618. Mali Ipoh Seafood yang boleh memuatkan 160 pelanggan dalam satu-satu masa itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 11.00 pagi hingga 11.00 malam. Sabtu dan Ahad dibuka pukul 11.00 pagi hingga 12.00 malam. |
Melayan si manja cerewet makan Posted: 24 Sep 2011 07:26 PM PDT TERDAPAT beberapa isu berlainan yang mungkin dihadapi oleh sesetengah ibu bapa mengenai pemakanan anak-anak mereka. Sesetengahnya disenaraikan di bawah: Si manja yang mengambil terlalu sedikit jenis makanan. Jika si manja anda hanya mengambil beberapa jenis makanan terpilih dan sentiasa enggan mengambil makanan yang mempunyai rasa, tekstur, bau, suhu dan rupa tertentu, anak anda mungkin termasuk dalam kategori ini. Mungkin si manja anda hanya gemar makanan berwarna putih, seperti nasi, roti, mihun dan susu. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mahu mengambil makanan seperti nuget ayam, ayam goreng dan mi ayam, dan enggan menyentuh makanan lain. Kanak-kanak ini mungkin menunjukkan tanda-tanda kegentaran jika diminta makan makanan yang tidak disukai. Ini mungkin berpunca daripada pengalaman masa lalu, seperti tercekik, tersedak atau muntah sewaktu baru mencuba makanan pejal. Malah, ramai ibu bapa menyedari keadaan ini apabila mereka memberi makanan berketul kecil atau berlainan tekstur kepada anak kecil mereka. Kanak-kanak akan tersedak, meludah keluar makanan atau muntah apabila diberi makanan tertentu yang tidak disukai. Si manja yang jarang tampak lapar. Adakah si manja anda sentiasa berlari-lari, ingin tahu tentang semua perkara, dan tidak hendak duduk diam apabila makan? Jika beginilah sifatnya, bermakna si manja anda mungkin jatuh di bawah kategori ini. Anda pasti menyangka bahawa kanak-kanak yang sebegini aktif tentu kuat makan, kerana mereka sepatutnya rasa lebih lapar daripada kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Bagaimanapun, anda mungkin terkejut bila mendapati kanak-kanak yang aktif biasanya tidak suka duduk diam di meja makan dan makan dengan betul. Kanak-kanak ini lebih berkemungkinan menunjukkan selera makan yang kecil, merasa kenyang selepas makan hanya 2 atau 3 suap, dan perhatian mereka mudah terpesong daripada makanan. Mereka lebih berminat untuk bermain dan berbual dengan ibu bapa, adik-beradik atau kawan-kawan daripada duduk makan di meja makan untuk menghabiskan makanan dalam pinggan mereka. Si manja yang takut makan. Dalam sesetengah kes, si manja kelihatan takut untuk makan, dan menentang kuat sebarang percubaan untuk memujuk mereka supaya makan. Anak-anak kecil yang rasa takut dan enggan makan akan menangis, menggeliat, menolak makanan atau enggan membuka mulut setiap kali anda cuba menyuapkannya. Malah, ada yang mula menangis apabila melihat botol susu, mangkuk atau sudu, kerusi makan atau barangan lain yang ada kaitan dengan makanan dan waktu makan. Ada kemungkinan si manja anda menunjukkan perasaan takut untuk makan disebabkan trauma atau pengalaman masa lalu yang menakutkan, termasuk tercekik, tersedak atau muntah. Mungkin juga si manja pernah merasa trauma apabila tiub dimasukkan melalui mulut dan tekak sewaktu menjalani rawatan perubatan. Kanak-kanak yang diberi makan melalui tiub untuk tempoh yang lama (disebabkan masalah perubatan) selalunya kurang berselera dan tidak berpengalaman makan secara normal. Kanak-kanak ini selalunya tidak mahu makan. Adakah anda patut merasa bimbang? Kebanyakan anak kecil memang cerewet makan. Selepas makan hanya 2-3 suap, atau hanya makan nuget ayam yang digemari, mereka enggan mengambil makanan lain. Gelagat ini sudah pasti menyebabkan ibu bapa risau akan kesihatan dan pemakanan anak-anak mereka. Bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak akan berubah selepas melalui peringkat ini dan ramai yang membesar dengan baik tanpa menghadapi masalah makan apabila mereka lebih besar. Fasa ini di mana si manja sukar dipujuk untuk makan mungkin merupakan zaman paling mencabar dalam hidup anda, tetapi sebenarnya ia merupakan masa yang sesuai untuk mendidik si manja memulakan tabiat makan yang baik. Beberapa peraturan di bawah boleh membantu si manja memupuk tabiat makan yang baik! Tarik minat si manja dengan masakan sendiri. Biarkan si manja anda membuat popiahnya sendiri. Sediakan semua bahan, tetapi beri peluang kepada si manja pilih bahan untuk intinya. Ini membolehkan si manja mencuba makanan baru yang mungkin tampak menarik dan membuka seleranya. Anda juga boleh membuat snek yang tampak menarik dan menyeronokkan, seperti sandwich berbentuk bintang atau buah-buahan dicucuk pada batang lidi dengan sos cecah untuk membuka seleranya dan membuat si manja lebih berminat terhadap jenis makanan yang berlainan. Sentiasa berikan makanan baru. Jika si manja anda takut untuk mencuba makanan baru, atau keberatan untuk makan apa yang ada dalam pinggannya, jangan putus asa! Ingatlah, bila si manja anda kata "tak nak", tidak semestinya dia bermaksud "tak nak"; si manja mungkin masih kenyang dan belum mahu makan lagi. Mungkin dia bermaksud "bukan sekarang" dan lebih bersedia untuk mencubanya kemudian. Kajian menunjukkan bahawa sesetengah ibubapa perlu mencuba sehingga 15 kali sebelum seorang anak kecil menerima makanan baru. Cerewet makan mungkin juga bermakna tunjuk kuasa, "Saya tak mahu makan apa yang ibu mahu saya makan!". Makan bersama-sama Ini bukan sahaja merupakan cara yang baik untuk mengasuh si manja mengamalkan tabiat makan yang baik, tetapi juga cara untuk mengelakkan gangguan yang boleh mengalihkan perhatiannya seperti televisyen dan permainan video. Anda juga boleh menikmati "makanan baru" di depan si manja yang cerewet makan, tanpa menghulurkan makanan kepadanya. Apabila anda makan, beritahu si manja bahawa makanan itu sememangnya sedap. Lama-kelamaan, si manja akan faham bahawa dia tidak dipaksa makan dan mungkin tertarik atau berminat untuk mencubanya. Jangan ikut semua kemahuan si manja Anda mungkin sanggup untuk menyediakan sajian kegemaran si manja, tetapi ini akan menyukarkan anda menyediakan hidangan untuk seisi keluarga. Anda tidak perlu memasak kesemua yang digemari oleh si manja, sebaliknya, cuba masukkan dalam menu sesuatu yang digemari si manja dalam sajian untuk seisi keluarga. Dengar apa yang si manja tidak cakap. Ada kalanya, si manja anda mungkin tidak mahu makan kerana dia rasa kenyang. Dengan mendesak si manja supaya terus makan, anda mungkin menimbulkan masalah makan pada masa hadapan, kerana anak anda mungkin membesar tanpa menyedari bila dia rasa lapar dan bila dia rasa kenyang. Ini seterusnya boleh menyebabkan pengambilan makanan secara berlebihan dan berat badan berlebihan. Justeru, pujuk anak anda supaya makan pada waktu makan atau mengambil snek pada waktu yang sewajarnya, tetapi jangan paksa jika si manja enggan berbuat demikian. Prinsip dan peraturan di atas akan membantu si manja anda mencuba dan menerima pelbagai jenis makanan secara beransur-ansur. Sungguhpun jumlah dan jenis makanan yang diambil oleh si manja mungkin masih kurang jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain, kesemua ini merupakan sebahagian daripada proses membesar. Ingatlah, jangan sama sekali memaksa atau mendesak si manja makan sesuatu yang tidak diingini; kebanyakan kanak-kanak akan meninggalkan fasa cerewet makan dan boleh makan pelbagai jenis makanan apabila dewasa. l PENULIS ialah pakar pemakanan. |
Bukan andartu tapi solo Posted: 24 Sep 2011 07:25 PM PDT "SAYA tertarik sungguh dengan dua cerita 'Andartu jangan jadi perosak' dan 'Bila selalu ke seberang' dalam ruangan ini. Saya terasa seolah-olah menyindir saya. Itu pengakuan Farahaswani dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon selasa lalu. ''Kerana gelaran andartu saya sering dicemuh, saya lebih suka dipanggil solo. Namun saya bertuah kerana ada kerja tetap dengan kerajaan, ada rumah, kereta, dan mampu hantar emak ayah ke Mekah, berbanding kawan-kawan lain, walaupun kami sama lulus universiti tetapi mereka tak ada kerja tetap hingga ada yang terpaksa jadi kerani atau terpaksa buka pusat jagaan anak-anak dan sebagainya. ''Pada saya dah jadi lumrah kalau gadis solo dicemuh, kahwin awal pun dicerca, kahwin tak dapat anak disoal, kahwin duda dikutuk apa lagi jika kahwin suami orang, menjela-jela umpat keji mereka. ''Sebagai kakitangan teknikal yang dimonopoli oleh kaum Adam, tugas mengajar saya jadi tegas dan matang dalam pergaulan. Kenalan saya 95 peratus lelaki. Keluar bekerja, shopping, sarapan, makan tengah hari, petang atau malam semua dengan lelaki. Hinggakan pemandu yang bawa saya ke merata tempat pun pernah disalah ertikan oleh isterinya kerana selalu balik jauh malam dari tapak projek. ''Namun naluri kewanitaan saya tetap ada walaupun umur mencecah 30an. Ingin bekeluarga, disayangi, dibelai dan dimanja. Kerana itulah saya tertarik dengan Izhar seorang pengurus syarikat pembekal berusia awal 40an, sudah beisteri ada empat anak. Perkenalan bermula kerana tugas kami yang saling memerlukan. ''Akhirnya saya terperangkap dengan cinta suami orang. Dia penyabar, lemah lembut, bertanggungjawab, hormat orang tua, termasuk mertua dan ipar duainya. Pendek kata dia memang ciri-ciri lelaki idaman wanita. Tetapi dia pendiam susah nak baca isi hatinya, namun lelaki tetap lelaki, nafsu tetap nombor satu ''Seawal 7.30 kami akan bersms dan bertelefon. Kerana ketika itu isterinya sibuk, dia pendidik maka tugas hantar anak ke sekolah jadi tugasnya kerana ke sekolah sama. Manakala Izhar mengambil tugas menyiapkan dan menghantar anak kecil ke rumah pengasuh sebelum ke pejabat. ''Diari hariannya semua dalam kepala saya. Manusia memang tidak boleh lari dari kesilapan. Selama tiga tahun jadi kekasih gelapnya, saya lupa diri dan jawatan yang dipikul hingga saya gunakan kedudukan saya memberi dia projek bernilai ratusan ribu ringgit, namun syarikatnya memang pun mampu dan sukar dipersoalkan. ''Kerana 'kebaikan' itu saya berpeluang melancong ke luar negara bersamanya, menerima hadiah barangan berjenama, menginap di hotel besar dan makan angin ke KL sudah menjadi acara biasa kami. ''Namun isterinya tercium aktiviti kami, dia hantar anaknya, adiknya jadi bodyguard Izhar kalau keluar malam, tapi Izhar bukan bodoh. Kerana cinta saya jadi buta. Tapi bangkai ditutup pun lama kelamaan berbau busuk jugak. Begitu juga dengan hubungan kami. Rakan sepejabat sudah tahu mereka nasihatkan saya kahwin di Siam ada juga yang nasihatkan saya putuskan hubungan. Bahaya kata mereka. Saya ikut nasihat suruh putus. Kata mereka ''biar gelap seketika, lama kelamaan kita akan biasa dengan keadaan bergelap.'' ''Rakan sepejabat banyak menolong saya bangkit dari masalah dan berjalan semula. Kalau dulunya saya seorang happy go lucky bertukar jadi seorang serius dengan kerja tapi sekarang saya boleh senyum semula. ''Tiga tahun mengajar saya erti kehidupan, Izhar mengadu isteri tak beri layanan sibuk dengan tugasnya dan sibuk sambung belajar ambil ijazah, hinggakan lupa makan pakai suami, mungkin juga suami 'tak cukup makan'. Tetapi si isteri jadi cemburu buta, sentiasa memeriksa kilometer perjalanan kerata suami. Menelefon suami setiap jam, suruh anak dan adik jadi spy, tak puas hati pergi check suami di tapak projek dan ke masjid kalau suami lambat balik. ''Kepada Zamzalina atau isteri-isteri yang cemburu, kalau anda ingat anda pandai, suami lebih cerdik, kalau periksa kilometer kereta suami, dia guna kereta kawan. Kalau anda periksa telefon, awal-awal lagi dia delete semua call dan sms, bil pun dia buat summary dan dia pakai dua telefon. Untuk peribadi dia sorok tempat sulit, memang payah jumpa. Menginap di hotel, beli belah, dia tak pakai kad Kredit semua tunai. Bil penting di alamat ke pejabat. Saya tahu semua ini mereka yang pecah lubang. ''Nasihat untuk isteri-isteri dan saya juga, jangan terlalu percaya dan terlalu kongkong suami. Biar dia jadi dirinya sendri jangan kita menjadi acuan dan mereka perlu di bentuk seperti anak kecil. ''Sebenarnya bukan mudah saya lalui masa putus cinta, saya terpaksa minta tukar ke daerah lain, dan kini sambung belajar isi masa lapang nak jadi yang seorang terbaik. Dan pengalaman mendewasakan saya. Saya perlu hati-hati dengan kerjaya dan status saya. ''Kini saya tanamkan falsafah yang jadi pegangan dan menyakinkan diri saya, bahawa ' Tidak semua yang kita hendak kita akan dapat' dan 'tidak semua yang kita dapat adalah perkara yang kita benar-benar hendak. ''Bila saya mendalami kata-kata itu hati saya jadi lebih tenang, dan kalau boleh saya berharap perkataan andartu tidak digunakan gantikan dengan perkataan 'Solo' untuk golongan gadis seperti saya. Kerana ia lebih manis dan sedap telinga mendengar,'' itu cerita Farahaswani tentang pengalaman pahit yang dilaluinya ketika jadi kekasih gelap suami orang. Hasratnya mencintai suami orang tidak akan berulang lagi. Namun dia tidak boleh melawan urusan Allah, kerana Dia menentukan segalanya. |
Gaya kondo moden Eropah Posted: 24 Sep 2011 07:24 PM PDT  SAAT pintu terkuak, terlihat suasana ruang tamu tersusun kemas. Dan seketika pandangan tertumpu kepada pelbagai barangan hiasan rumah yang diatur rapi di segenap penjuru ruang tamu dan ruang makan. Daripada warna latar putih kepada susunan kusyen hinggalah barangan kaca seperti gelas putih, meja, buku- buku dan perhiasan kecil semua tersusun cantik di kedua-dua bahagian ruang utama kondominium di bilik pameran, Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur. Kemudian mata melirik pula ke bilik tidur yang menggamit suasana romantik bersulam katil dan tilam mewah. "Inilah kondo mewah Platinum Victory," kata seorang petugas sewaktu membawa kami meninjau ke segenap penjuru kondominium mewah itu. Cahaya mentari yang menerobos masuk menerusi jendela dan langsir material organza di ruang tamu rumah kondo itu mewujudkan suasana cerah dan segar. Walaupun dinding ruang tamu berwarna putih, ia tidak sedikit pun membuat diri rasa berada di ruang yang kosong atau sepi. Rumah yang dihias dengan sentuhan moden itu memang menenangkan. Tata riasnya ringkas dan kemas namun masih ada cita rasa kemewahan. Permainan warna-warna semula jadi seperti coklat, putih, hitam dan kelabu mencerminkan keperibadian penghuninya yang gemarkan kedamaian. Pilihan Kebiasaannya ramai yang merungut apabila berpindah ke apartmen atau kondominium kerana tidak dapat meletakkan perabot yang banyak kerana ia menyempitkan ruang rumah. Niat untuk membeli kelengkapan kontemporari terpaksa dilupakan begitu saja, gara-gara set tersebut dijual dalam unit yang banyak. Namun melihat dekorasi kondominium ini membuatkan hati ingin memilikinya. Harga jutaan untuk sebuah kondo mencecah nilai jutaan, pemiliknya pasti berpuas hati. Di ruang tamu, dua sofa dengan rekaan moden, ringkas dan tempat duduk yang luas. Sebuah meja kopi kayu diletakkan tepi sofa. Pilihan fabrik sofa dengan warna pastel tidak janggal apabila dipadan bersama dinding putih dengan bantal kusyen menghiasi sofa tersebut. Keringkasan susun atur berkelangsungan hingga ke bilik tidur. Bahkan ruang makan dan dapur kelihatan kemas dan bersih. Kebanyakan peralatan dan lampu berwarna putih menyerikan seni hiasan kondo ini. Walaupun saiz ruang agak terhad, permainan warna dilihat berjaya memberi suasana yang lebih selesa, luas dan tenang. Semuanya indah dan terasa tidak mahu keluar daripada ruang kondo tersebut. Dalam pada itu, di bilik pameran Platinum Victory baru-baru ini telah berlangsung pertandingan Ratu Cantik Cina Kosmo Asia Tenggara 2010 yang menyaksikan Luo Wei Qi, 28 dari Singapura sebagai pemenang. |
Syiling tarikh istimewa Posted: 24 Sep 2011 07:24 PM PDT 
| Koleksi kesayangan bertarikh 16 September yang cukup bermakna. | KEBAHAGIAAN Mazni Zakaria berlipat kali ganda setiap kali tanggal 16 September hadir. Tarikh itu penuh makna menyaksikan perkongsian dua peristiwa penting dalam hidupnya. Tentunya dia menumpang bangga apabila hari lahirnya disambut bersamaan hari penubuhan Malaysia. Dua peristiwa bersejarah itu membuatkan Mazni cukup teruja dan berdebar apabila memikirkannya. Semangat patriotisme semakin membara menjelang malam tarikh keramat itu yang menyatukan warganegara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Wanita berusia 44 tahun ini cukup menghargai perjuangan orang lama yang banyak mencorakkan masa depan negara. Lantaran itu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini memilih untuk mengabadikan dua peristiwa berkenaan dalam satu bentuk yang eksklusif. Memandangkan dirinya cukup dekat dengan barang kemas sejak kecil lagi, Mazni memilih untuk mengekalkan 'perasaannya' dalam logam berharga itu. Dipatenkan Puas berusaha, akhirnya Mazni berjaya mencipta sebuah syiling berbentuk empat segi seberat 10 gram dari emas tulen 999.9. Menariknya, setiap kepingan emas itu dipatenkan terlebih dahulu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi mengelak timbul masalah kemudian hari. Sijil Pendaftaran Cap Dagangan yang diperolehi beberapa bulan lalu menyebabkan dia begitu kobar bercerita tentang perasaannya pada pertemuan di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini. "Pada setiap syiling juga, saya abadikan 16967 sebagai tarikh hari jadi selain lambang 1 Malaysia," katanya bersungguh-sungguh. Syiling berkenaan juga disifatkan sebagai sumbangan kecil dirinya terhadap negara. Biarpun tidak seberapa, asalkan dia dapat melahirkan rasa bangga menjadi anak Malaysia. Ditanya reaksi di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan berhubung ideanya itu, ada senyuman lebar kelihatan di wajahnya. Ada juga yang memberi cadangan untuk mengabadikan tarikh peristiwa istimewa negara yang lain pula. Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak ini akan mempertimbangkan usul itu kerana setiap pelaburan memerlukan kajian terperinci. |
Ejakulasi awal punca merajuk Posted: 24 Sep 2011 07:22 PM PDT  BENARKAH pramatang ejakulasi (PE) dikaitkan dengan masalah pancut awal menganggu hubungan suami isteri? – Gambar hiasan Soalan: DALAM satu perbualan antara rakan-rakan saya di pejabat, ada antara mereka pernah mengadu merajuk dengan suaminya kerana terlalu cepat mencapai ejakulasi ketika mereka melakukan hubungan seks. Saya sendiri pernah mendengar tentang ejakulasi pramatang (PE) yang selalu dialami oleh kaum Adam. Doktor, mengapa perkara ini berlaku, apakah maksud sebenar PE dan bagaimana untuk mengatasinya. Melur, Selangor Jawapan PE didefinisikan sebagai satu keadaan yang menyebabkan lelaki memancutkan air maninya terlalu cepat sebelum masanya. Klimaks selalunya mendahului kehendak lelaki itu sendiri mahupun pasangannya sehingga tidak sempat memberi dan merasakan kepuasan yang lebih lama dalam hubungan seksual. Ia boleh dikenali sebagai keadaan perubatan yang boleh memberi kesan kepada mana-mana lelaki yang boleh dikenal pasti melalui: *Pancutan yang berlaku dalam masa seminit atau kurang selepas masuk ke dalam vagina. *Langsung tidak mampu mengawal pancutan dengan cepat setiap kali hendak atau masuk ke dalam vagina. *Menyebabkan perlakuan negatif seperti stres, kekecewaan ataupun terus mengelak melakukan hubungan seks. Antara rawatan yang disarankan adalah komunikasi antara pasangan, pendidikan psiko-seksual, strategi pemikiran dan perbuatan. Ini termasuk beberapa teknik seperti stop-start (Semens 1956 iaitu berhenti, kemudian mula. Selain itu, squeeze (Master and Johnson 1970) iaitu tahan pancutan dengan memegang atau memicit dan stop-pause (Kaplen 1980) iaitu berhenti dan tunggu. kombinasi faktor fisiologi dan psikologi dipercayai mempengaruhi mekanisme ejakulasi. Penyelidikan mendapati bahawa serotonin, sejenis neurotransmiter (seperti penghantar isyarat kimia dalam otak) yang juga membantu mengawal tidur dan selera, menyederhanakan mood dan mengurangkan kesakitan, memainkan peranan penting menentukan masa ejakulasi. Matlamat utama bagi terapi PE, tidak kira sama ada berbentuk farmakologi atau tingkah laku ialah untuk meningkatkan kawalan terhadap ejakulasi. Ia mungkin menghasilkan tahap kepuasan seks yang lebih tinggi bagi lelaki dan pasangannya, atau mengurangkan keresahan peribadi atau masalah keintiman yang timbul. Dalam pada itu, ubat yang diiktiraf ialah Dapoxetine. Bukan penyebab ketidaksuburan Soalan SAYA berumur 35 tahun dan baru tiga tahun berkahwin dan masih belum dikurniakan anak. Saya merasakan diri saya mungkin berhadapan dengan masalah PE. Adakah masalah saya ini petanda saya tidak subur hingga menyukarkan memperolehi anak? Apakah yang perlu saya lakukan? Lelaki Delima Jawapan PE sebenarnya tidak menyebabkan ketidaksuburan tetapi ia boleh menyukarkan seseorang wanita sukar mengandung terutamanya apabila pancutan berlaku sebelum ia masuk ke dalam vagina. Ia juga memberi kesan kepada emosi, fizikal dan mental seseorang lelaki. Melalui pengalaman pesakit PE, kebanyakan mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah, murung dan tertekan. Emosi dan perasaan mereka kadang-kadang tidak menentu, resah, cepat baran atau marah dan menjejaskan rutin seharian mereka dalam jangka masa yang panjang. Saya nasihatkan anda berjumpa pakar, lakukan pemeriksaan untuk menjalani rawatan yang betul. Jejas hubungan intim? Soalan BENARKAH pramatang ejakulasi (PE) dikaitkan dengan masalah pancut awal menganggu hubungan suami isteri? Adakah ia satu penyakit serius? Kebiasaannya, apakah yang akan doktor lakukan untuk memeriksa sama ada seseorang lelaki menghidap penyakit ini? JJ, Perak Jawapan Ya, PE bermakna pancutan terlalu cepat dan ia merupakan punca yang selalu dikaitkan dengan masalah seksual. Mengikut kajian, sehingga 29 peratus lelaki mungkin menghidap PE di Malaysia. Ia menjadi serius apabila menjadi punca hubungan suami isteri tidak bahagia dan tertekan. Dalam beberapa kes PE yang dapat dikesan, rumahtangga terjejas hanya kerana masalah kecil dalam hubungan seks suami isteri. Apabila pesakit berjumpa doktor, analisis dan sejarah seksual pesakit akan diambil untuk diagnosis PE. Saya menggalakkan pasangan iaitu isteri turut hadir berjumpa doktor untuk berbincang dan mendapatkan maklumat seksual mereka dengan lebih tepat. Dalam pada itu, kaum lelaki perlu sedar bahawa PE adalah masalah perubatan yang boleh menjejaskan hubungan intim dan kualiti kehidupan. Justeru itu, mereka perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan. |
Maizirah OKU serba boleh Posted: 24 Sep 2011 07:21 PM PDT 
| Maizirah suka berdikari. | DENGAN dibantu dua tongkat, dia melangkah keluar dari kereta yang dipandu. Bagi yang tidak mengenalinya, pasti tidak menyangka bahawa si pemandu kenderaan tadi seorang insan kurang upaya. Kecekapannya memandu sama seperti mereka yang sempurna. Dan sememangnya wanita berusia 49 tahun ini mengakui, tiada apa yang membezakan dirinya dengan insan lain kecuali hanya satu kaki yang hilang. "Selagi kudrat saya ini mampu digerakkan, tidak sama sekali saya ingin meminta-minta, malah kalau terdaya saya yang akan memberi," demikian tutur wanita bernama Maizirah Alang Mohd Zin memulakan bicara. Bertempat di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Batu Gajah, Perak, ibu tabah ini menceritakan kisah hidupnya. Kehilangan satu kaki akibat ditimpa kemalangan dua minggu selepas mendirikan rumah tangga merubah 360 darjah kehidupannya. Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar tahun 1984 itu pada mulanya cukup memberi kesan dalam hidupnya. "Pada mulanya memang rasa susah nak terima keadaan diri. Bayangkan kita sudah biasa bergerak ke sana sini. Disebabkan kemalangan itu, saya kehilangan sebelah kaki. Mujurlah ada keluarga yang membantu memberi semangat. Akhirnya saya akur dengan ketentuan Ilahi," katanya. Bermula dari situ, Maizirah tekad untuk meneruskan hidup seperti biasa. Dia menjalani pembedahan demi pembedahan bagi memperbetulkan kakinya. Cubaan memakai kaki palsu gagal kerana kulitnya mengalami alahan teruk. Lalu berbekalkan tongkat, wanita tabah ini melakukan kerja-kerja harian seperti biasa. Ternyata semangat ibu kepada Nurshafawati Zafirah Ahmad Tajuddin, 23 dan Muhammad Noor Sabqi Waqiuddin, 21 ini luar biasa sekali. Bukan setakat diri diuji dengan kemalangan yang hampir meragut nyawa, naluri keibuannya turut tersentuh tatkala dua daripada empat cahaya matanya meninggal dunia sejurus dilahirkan. "Mungkin itu antara ujian yang perlu saya lalui. Saya yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Sedih memang sedih, namun hidup tetap perlu diteruskan," katanya. Tidak cukup dengan itu, rumah tangganya turut bergelora. Akhirnya setelah memikirkan sehabisnya, dia dan suami mengambil kata putus untuk berpisah pada tahun 2000. Bagi Maizirah, biarlah dia hidup sendiri membesarkan anak-anak daripada hidup bersama namun tiada bahagianya. Mujurlah dia memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang. Justeru, mencari nafkah untuk membesarkan anak-anak bukanlah sesuatu yang janggal walaupun sudah bergelar OKU. Setiap kali menjelang hari raya, Maizirah akan mengambil tempahan menjahit baju. Wanita ini turut memiliki kepakaran memasak dan turut menjadi tenaga pengajar di Kolej Komuniti. Adakalanya, dia juga menerima tempahan katering untuk pelbagai jenis juadah. Dalam usaha menambah pendapatan keluarga, Maizirah juga terlibat dalam pelbagai jenis jualan langsung. halangan Bagi Maizirah, walaupun kini bergelar OKU, itu bukan halangan untuk melakukan pelbagai jenis kerja yang dilakukan insan normal yang lain. "Saya cuma tak ada kaki, namun masih mampu bergerak dan berkerja. Itu sahaja dah cukup. Bila lihat penderitaan orang lain yang lebih susah, hati saya lagi tersentuh," katanya. Tidak hanya ligat mencari nafkah untuk menampung keluarga sendiri, wanita ini turut aktif dalam pelbagai bidang yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat. Selain terlibat dengan Persatuan OKU dan Persatuan Ibu Tunggal peringkat bahagian, dia juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Pemadam Batu Gajah. Lebih membanggakan, Maizirah pernah menyertai pertandingan boling OKU dan berjaya mendapat tempat ketiga peringkat negeri Perak. Wanita serba boleh ini menyeru mereka yang senasib dengannya agar tidak mengharapkan bantuan daripada masyarakat semata-mata. "Sampai bila kita perlu bergantung kepada orang lain. Jika benar kita tidak berdaya itu tak mengapa, tapi ada juga yang suka mengambil kesempatan," katanya dalam nada yang sedikit kecewa. Justeru beliau turut berharap, pihak bertanggung-jawab memberi peluang kepada insan sepertinya untuk berdikari dan menjalani hidup seperti insan biasa yang lain. |
Bebas kotoran wajah Posted: 24 Sep 2011 07:21 PM PDT 
| Pastikan tangan anda kering sebelum menggunakan pembersih wajah ini. | TIGA langkah - membersih , menyegar, melembap - merupakan langkah penjagaan asas untuk memastikan kulit terjaga. Dua kali sehari, amalan tiga langkah penjagaan ini dapat memastikan kulit bersih dan segar serta diberikan kelembapan yang diperlukan. Bagi mendapatkan keindahan dan seri wajah yang optimum, ritual rawatan muka mampu menjanjikan hasil yang memberansangkan. Pun begitu, mendapatkan produk yang bersesuaian kulit juga menjadi kriteria penting untuk memenuhi kehendak kulit. Ini kerana menggunakan rangkaian produk penjagaan yang tidak bersesuaian boleh memberikan kesan kepada kulit. Justeru untuk mendapatkan impak kesempurnaan wajah, bahan daripada sumber alam dikatakan yang terbaik untuk memenuhi keperluan kulit. Pembersih wajah berasaskan minyak misalnya dipercayai membersihkan kulit wajah hingga jauh ke dalam. Shu Uemura percaya dengan keberkesanan molekul minyak yang merupakan sains unik untuk membersih permukaan wajah. Bagi 'sifu' dunia kecantikan dan fesyen yang terkenal dengan penghasilan barangan yang menggabungkan seni dan kecantikan ini, Shu Uemura , membersih wajah merupakan langkah awal dan akhir untuk solekan. Berpaut pada falsafah seninya itu, dan meraikan bakat-bakat baru dalam dunia seni maka sifu kecantikan kontemporari Jepun ini memperkenalkan fresh pore calrifying gentle cleansing oil. Shu Uemura percaya cairan minyak adalah paling sesuai untuk kerja-kerja membersih berbanding susu mahupun krim yang likat memandangkan ia mudah disebarkan dan lembut menyentuh kapilari di permukaan kulit wajah. Sifat minyak yang lebih ringan serta molekul yang kecil mampu membuatnya sampai ke lapisan dalam kulit dengan lebih mudah apalagi pembersih Shu Uemura mempunyai komposisi tinggi untuk menarik kekotoran yang melekat di pori secara lembut tanpa mengganggu keseimbangan semula jadi kulit. Ia menggunakan formula unik sistem HPO (High Performance Oil System), kombinasi kompleks daripada tiga minyak terpilih bagi pembersihan menyeluruh. Baru-baru ini, pembersih wajah yang berusia 40 tahun ini memenangi anugerah utama pada tahun 2010 oleh Yahoo! Beauty Jepun dalam kategori pembersih wajah. Selain itu, ia turut diiktiraf oleh Marie Claire Taiwan dan Allure Korea sebagai pembersih wajah terbaik. |
Nadia Nadia peminat sejarah Posted: 24 Sep 2011 07:20 PM PDT 
| Nadia mahir menyediakan kuih tradisional seperti bahulu, semperit dan popia gulung. | JARANG sekali kita mendengar anak muda hari ini meminati subjek sejarah. Namun berbeza dengan Nurul Aimi Nadia Ahmad, dia lebih sanggup bersengkang mata membaca bahan bacaan berkaitan subjek itu berbanding novel-novel cinta. Baginya, selain menambah ilmu, melalui sejarah kita dapat memahami dengan lebih terperinci asal-usul sesuatu perkara. Kita juga katanya boleh melihat kaitan antara kejayaan yang dikecapi hari ini melalui fakta lalu yang sememangnya tidak boleh diubah atau ditokok tambah lagi. "Saya memang suka membaca buku-buku berkaitan sejarah. Misalnya mengenai pembukaan atau penubuhan sesebuah negeri," katanya yang mesra disapa sebagai Nadia. Berusia 25 tahun, wanita kelahiran Taiping, Perak dan dibesarkan di Petaling Jaya kini berkerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat elektronik terkemuka di ibu kota. Menurutnya, tugasnya di situ memerlukan dia sentiasa peka supaya operasi syarikat berjalan dengan lancar. Pengalaman berkerja dengan beberapa buah syarikat lain turut membantu Nadia dalam memenuhi tuntutan hariannya. Tambahan lagi mempunyai rakan-rakan yang sering membantu. Walaupun membesar di ibu kota, wanita ini sebenarnya gemar turun ke dapur dan jangan terperanjat andai diberitahu dia mahir menghasilkan kuih tradisional seperti bahulu. "Selain masak untuk diri sendiri, Nadia juga menerima tempahan rakan-rakan ketika Aidilfitri lalu. Bukan sahaja bahulu, Nadia juga menghasilkan kuih semperit, popia simpul dan biskut almond London," katanya yang menyambut Hari Raya bersama teman-teman di Kuala Lumpur sahaja. |
Busana tradisional menyerlah Posted: 24 Sep 2011 07:18 PM PDT 
| Warna merah ternyata sesuai untuk wanita muda. | KONSEP busana tradisional semakin diminati. Keunikan rekaan terserlah dengan kombinasi corak yang unik dan menarik. Kini, pelbagai rekaan klasik atau tradisional boleh didapati daripada pelbagai fabrik, corak dan warna yang menarik. Perincian yang indah dengan rekaan unggul menampilkan gaya kontemporari dan eksklusif kepada si pemakai. Walaupun masih mengekalkan konsep baju kurung dan kebaya, hiasan manik-manik menyerlahkan keterampilan lebih-lebih lagi mereka yang mengekalkan konsep Muslimah. Bagi anda yang berminat untuk tampil ayu dan menarik, koleksi busana Mutiara Fesyen yang boleh dibeli melalui bisnes online, http://mutiarafesyen.blogspot.com mungkin memenuhi cita rasa anda. Konsep suai padan Mutiara Fesyen menjual pelbagai jenis pakaian siap yang ditempah dan dijahit sendiri seperti baju kurung, baju kebaya, kurung moden, dress, dan lain-lain. Namun yang menarik perhatian koleksi baju kurung dan kebaya yang masih mengekalkan elemen tradisional dan masih menjadi pilihan anak muda yang bertudung. Koleksi tersebut mendapat sentuhan sutera Korea, sutera India, sifon cetak, organza. Tidak ketinggalan, busana songket yang menggunakan kain organza dengan konsep suai padan. Baju kurung tradisional yang bercorak yang dihiasi manik kelihatan sederhana. Ia sesuai digayakan ketika menghadiri rumah-rumah terbuka di samping majlis makan malam atau perkahwinan. Konsep yang sama turut diilhamkan untuk sentuhan baju kebaya moden berwarna polos. Bagi yang inginkan kelainan, kebaya moden ini sesuai untuk wanita yang inginkan gaya elegan dan sopan. Wanita yang inginkan gaya sederhana tetapi masih menitik beratkan kualiti kain, kebaya potongan asli dan pendek boleh dijadikan pilihan. Hanya menggunakan perincian sulaman yang ringkas, gaya wanita masih terserlah dengan padanan kain batik. Bagi mereka yang berminat dengan koleksi ini, boleh menghubungi Fadziani di talian 017-2044313 atau e-mel mutiarafesyen@yahoo.com. |
Gigi kembali putih Posted: 24 Sep 2011 07:18 PM PDT  Skala warna gigi. Rawatan pemutihan gigi biasanya mampu mencapai sehingga lima atau enam bayangan kecerahan. EEE, gigi kuning." Pasti ayat itu pernah terlintas di fikiran kita tatkala melihat individu dengan sebaris gigi berwarna kekuningan. Atau mungkin kita sendiri mengalaminya dan merasa sangat tidak selesa. Mempunyai sebaris gigi yang putih memang menjadi idaman sesiapa saja, namun bagaimana untuk mendapatkannya? Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan iHeal Kuala Lumpur, Dr. Nazli Haffiz berkata, rata-rata masyarakat negara ini terutama yang berbangsa Melayu dan Cina mempunyai gigi yang sedikit kekuningan. Namun seandainya warnanya terlalu ketara kuning dan ditambah dengan sedikit warna seakan lebam, ia pasti membuatkan pemiliknya berasa tidak selesa serta kurang berkeyakinan. Menurut beliau, masalah gigi kuning berpunca daripada beberapa sebab. "Punca utama adalah faktor usia dan pengambilan makanan yang menyebabkan terhasil kekotoran pada gigi seperti kopi, teh dan minuman kola. Selain itu, tabiat merokok juga menyebabkan gigi mengumpul kekotoran dan berubah warna," kata beliau. Jelas beliau, ketika proses pembentukan gigi kekal, pengambilan sesetengah antibiotik atau florida yang berlebihan juga menyebabkan gigi berubah warna. Rawatan pemutihan gigi Dr. Nazli berkata, rawatan pemutihan gigi adalah satu prosedur kosmetik pergigian bagi mengembalikan warna asal gigi secara selamat. Sesiapa saja boleh melakukan rawatan pemutihan gigi, namun begitu, mereka perlu melalui satu ujian terlebih dahulu. Mereka yang mengalami sensitiviti, gigi berlubang dan sebagainya perlu melakukan rawatan bagi menangani masalah tersebut terlebih dahulu sebelum memulakan program pemutihan gigi. Menurutnya, prosedur tersebut menggunakan asid cair dengan kepekatan sekitar 22 hingga 27 peratus bagi menghilangkan kesan kotoran pada gigi. "Pengguna boleh memilih dua cara iaitu membeli kit rawatan dan melakukan sendiri di rumah atau menggunakan khidmat pakar bagi sepanjang rawatan di klinik gigi," katanya. Menurutnya, rawatan yang dijalankan oleh pakar lebih terbukti keberkesanannya kerana ia dilakukan dengan betul mengikut prosedur khusus. Jelasnya, keputusan yang akan dicapai tidaklah terlalu menakjubkan dan biasanya gigi akan menjadi lebih cerah sehingga lima atau enam bayangan pada skala warna gigi. Menurutnya, warna putih yang biasa kita lihat pada gigi selebriti bukan disebabkan rawatan pemutihan tetapi veneers iaitu menggunakan satu lapisan seperti topeng yang membalut dan memperbaiki struktur luar gigi. Berbeza dengan rawatan pemutihan gigi biasa, proses ini hanya mengembalikan warna asal gigi. Mungkin ada yang beranggapan prosedur ini berbahaya dan boleh menyebabkan lapisan luar gigi menipis. Bagaimanapun kata Dr. Nazli, perkara itu tidak benar kerana ia hanya menghakis kekotoran yang melekap pada permukaan gigi kerana asid yang digunakan cair. Risiko Ditanya mengenai risiko ketika rawatan dijalankan kata beliau ia sangat rendah seperti rasa pedih dan tidak selesa pada bahagian gusi jika seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif. "Ini disebabkan cecair pemutih terkena pada bahagian yang sensitif. Namun rasa itu biasanya tidak lama. Bahagian gusi juga ditutup sepanjang rawatan dijalankan," kata beliau. Menurutnya, keputusan prosedur adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada warna asal gigi mereka. Rawatan pemutihan gigi juga katanya, tidak sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun ke bawah serta wanita yang mengandung atau menyusukan bayi mereka. Prosedur hanya mengambil masa sekitar 45 minit dan ia sesuai buat mereka yang ingin mengubah penampilan untuk sesuatu acara. Dr. Nazli berkata, disebabkan pemutihan gigi menggunakan asid maka ia hanya dicadangkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun. |
0 ulasan:
Catat Ulasan