RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Najwa Latif buang ayah?

Posted: 29 Sep 2011 07:31 PM PDT

Belum pun setahun menempa nama dalam arena muzik tempatan, Najwa Latif dihambat kontroversi apabila gadis berusia 16 tahun ini dikatakan sudah tidak berhubung dengan ayah kandungnya sejak beberapa bulan yang lalu.

Bukan itu sahaja, malah penyanyi Cinta Muka Buku ini, dikatakan telah membuang ayah kandungannya dalam kehidupannya. Perkara ini berlaku berikutan satu krisis keluarga yang berlaku dan Najwa tidak dapat menerima tindakan ayahnya ketika itu.

Krisis ini dikatakan berpunca daripada teguran ayah Najwa terhadap dia dan kakaknya, Syafiqa yang bertindak sebagai pengurusnya. Zass mendapatkan ayah Najwa, Abdul Latif Ismail bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu.

Namun, Abdul Latif seorang guru di Kota tinggi, Johor, ini tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung perkara berkenaan, tetapi berharap dapat bertemu anak-anaknya sebelum berangkat ke Tanah Suci pada awal Oktober ini.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa. Saya bimbang, masyarakat akan berfikir bukan-bukan mengenai keluarga saya dan anak-anak saya. Lagi pula Najwa sedang membina namanya. Apa yang berlaku, saya reda, mungkin ini sudah ditetapkan kepada saya.

"Cuma saya harap sangat dapat bertemu anak-anak saya sebelum ke sana. Saya tidak tahu apa nasib kita nanti. Adakah sihat, sakit atau menemui ajal di sana.

"Saya berdoa dapat berjumpa dengan anak-anak saya, itu sahaja," katanya yang tidak mahu berbicara mengenai masalah yang melanda keluarganya itu.

Najwa ketika ditemui berkata, isu itu terlalu peribadi kerana melibatkan keluarga dan enggan mengulas lanjut.

"Saya minta maaf, ini terlalu peribadi untuk diceritakan. Saya lebih selesa menutup mulut dan tidak mahu memberi sebarang komen. Jika ada pihak yang mahu bercakap, itu terpulang.

"Tetapi saya lebih selesa berdiam diri dan memberi fokus kepada pelajaran dan kerjaya saya yang baru bermula. Saya tidak mahu campurkan kisah keluarga, pelajaran dan kerjaya," katanya.

Mengakui ibu bapanya sudah empat tahun berpisah, Najwa berharap cerita ini dapat dihentikan dan tidak mengundang apa-apa spekulasi lagi.

Ditanya adakah permintaan ayahnya untuk bertemunya serta adik beradiknya akan terlaksana, Najwa hanya terdiam.

"Seperti yang saya jelaskan, perkara ini terlalu peribadi. Sukar untuk saya katakan ya atau tidak. Cuma apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, hati kami masih belum bersedia," katanya yang ditemani kakaknya Syafiqa.

Sementara itu, wakil syarikat rakamannya NAR Records Azahari yang turut menemani Najwa dengan 'selamba' mencelah perbualan dan mahu cerita ini tidak dikeluarkan. Ditanya mengenai sejauh mana syarikat rakaman mengetahui hal ini, jawabnya:

"Kami memang tahu mengenai masalah keluarganya tapi kami tidak mahu masuk campur dengan masalah mereka dan biar mereka urus sendiri," katanya dengan nada agak keras.

Najwa juga menerima anugerah Bakat Anak Muda Selangor baru-baru ini akan muncul dengan single keduanya Carta Hati.

Filem Ombak Rindu bakal cetus fenomena

Posted: 29 Sep 2011 07:30 PM PDT

Selepas kejayaan filem Lagenda Budak Setan (LBS) yang memberi impak sebagai sebuah filem drama percintaan yang pecah panggung, mendorong pihak Tarantella Pictures untuk meneruskan fenomena mengadaptasi novel ke medium filem.

Jalan cerita dan konfliknya agak melankolik dengan kisah perjalanan hidup dan percintaan yang disulam dengan emosi dan tragis dalam novel karya Fauziah Ashari yang dihasilkan kira-kira 12 tahun lalu, begitu menarik perhatian Tarantella untuk diadaptasikan.

Cerita yang membawa tema drama percintaan ini memulakan penggambarannya mulai pertengahan Julai tahun lalu, menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Alor Setar, Yan, Kuala Kerpan, Langkawi, Padang Besar (Perlis) dan Danok (Thailand). Ombak Rindu yang ditangani Osman Ali ini, diterajui oleh Aaron Aziz sambil diapit dua aktres terkenal tanah air, Lisa Surihani dan Maya Karin.

Jika Sharad Sharaz sudah berjaya mengangkat novel LBS ke filem, kejayaan itu mahu diulang oleh Osman Ali untuk percaturan terbarunya ini.

Bagi Osman Ali, yang juga antara pembaca naskah tulisan Fauziah itu, mengakui tawaran mengangkat karya sarat emosi itu ke medium lebih luas sebagai cabaran besar untuknya menterjemah pengorbanan cinta wanita dari sisi berbeza.

"Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya menyahut cabaran Sharad Sharan selaku penerbit untuk menggarap novel yang diikuti ramai peminat.

Kisahnya masih menjurus kepada pergolakan hidup Izzah, kemelut dalam diri Hariz, kini merasai cinta isterinya itu selain tersepit antara permintaan keluarga dan kemahuan diri. Bagaimana pun, kronologi kisah masih tiada perubahan, cuma ia lebih sarat dengan emosi," katanya.

Osman mengakui, antara cabaran lain adalah 'meMelayukan' aktres berdarah kacukan, Maya Karin yang menunjangi filem ini baik dari segi karakter, penampilan mahu pun lenggok percakapannya malah dalam kisah ini Izzah dizahirkan bertudung selain pandai mengaji.

Pengarah ini menggunakan kepakaran Ellie Suriati sebagai pembimbing barisan pelakon untuk membentuk Maya sebagai Izzah serta 'melarikan' Lisa Surihani dengan karakter gadis agresif dan ia tidak sesukar disangka, malahan menakjubkan apabila masing-masing cukup menyerlah.

"Kami sengaja meletakkan Maya sebagai gadis kampung manakala, Lisa menjadi agresif untuk mencari kelainan kerana sebelum ini belum pernah mereka mendapat watak yang sangat kontras. Karakter berlawanan ini antara warna yang menyerlahkan lagi perjalanan Ombak Rindu.

"Selain watak, keutamaan saya adalah syot cantik namun bagi saya antara momen yang cukup mencabar adalah penggambaran di tengah laut di Langkawi di mana satu kren besar di pasang semata-mata mahu mengambil sudut terbaik babak dalam kapal layar," katanya mengenai filem yang mengambil masa 45 hari untuk disempurnakan itu.

Osman yang mengakui cukup teruja dengan pembikinan Ombak Rindu menyatakan Izzah sebagai simbolik nasib kaum wanita yang sering menjadi mangsa keadaan, ingin dicintai namun perasaan itu kadang-kadang menuntut pengorbanan yang tidak berpenghujung.

Cinta dan kasih sayang masih merupakan tema pokok dalam kisah yang menyayat hati ini. Bermula dari zaman remaja Izzah di kampung, berdepan dengan masalah hidup dan keluarga, sehinggalah ke alam perkahwinannya tdilanda masalah.

Kegadisannya direnggut lelaki durjana akibat sikap tidak bertanggungjawab bapa saudaranya yang menjualnya dek kerana hutang judi.

Sebagai perempuan, Izzah juga mendambakan kasih sayang sejati. Apakah Izzah memang dilahirkan untuk menderita selamanya? Masih adakah cinta untuk dirinya? Saksikan apa yang berlaku selanjutnya di pawagam 1 Disember ini.

Wardina jadi mentor Diana

Posted: 29 Sep 2011 07:30 PM PDT

Dengan izin ALLAH SWT, saban hari semakin ramai artis wanita tempatan yang berhijrah ke arah imej Muslimah. Mungkin sudah tiba masanya untuk mereka mengubah hala hidup masing-masing.

Selepas tekad membuat keputusan untuk bertudung pada 19 September, Isnin lalu, pelakon yang juga model, Diana Amir, 25, berkata, hidupnya kini semakin tenang selepas melakukan penghijrahan besar dalam dirinya itu.

Di sebalik penghijrahan itu, selain keluarga, ada insan lain yang sedia memberi dorongan kepada Diana. Insan itu bukanlah asing dalam industri seni, tetapi cukup terkenal dengan imejnya yang sopan santun serta berwibawa tinggi. Nama Wardina Safiyyah, 32, menjadi sebutan sejak Diana mula melakukan penghijrahan. Menerusi portal hiburan dan laman sosial Twitter, Wardina tidak putus-putus memberi sokongan kepada Diana.

Akui Diana, Wardina banyak membantunya, baik dari segi nasihat, ilmu agama dan berkongsi pengalaman menjalani kehidupan wanita Muslimah. Malah, persahabatan antara mereka bertambah erat. Bagi Diana, Wardina adalah mentornya kini.

"Kak Wardina artis pertama yang ucap tahniah kepada saya. Semasa menerima ucapan itu, saya rasa sangat terharu apabila artis senior sepertinya sudi menjadi penasihat saya.

"Dia juga memperkenalkan saya kepada beberapa rakannya yang aktif dengan aktiviti usrah anjurannya setiap minggu.

"Insya-ALLAH, saya akan sertai usrah yang akan datang. Dengan bimbingan guru agama yang ada, saya dapat mendalami Islam," kata Diana yang pernah bekerjasama dengan Wardina menerusi drama Impian Illyana tajaan Sunsilk pada 2004.

Diana berkata, dia turut kagum dengan Wardina yang memberikannya ayat suci al-Quran untuk dijadikan pegangan dan ingatan.

"Sungguh telah datang kepadamu pelajaran al-Quran dari Tuhanmu. Penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada (jiwa). Dan petunjuk serta rahmat bagi orang beriman"

Demikian ayat suci yang dipetik daripada surah Yunus, ayat 57.

Daripada terjemahan ayat tersebut, Diana mengakui jiwanya tersentuh tatkala membacanya.

"Sayu hati saya apabila pertama kali membacanya. Ketika itu, baru saya tahu betapa kerdilnya saya di mata Yang Maha Esa," katanya yang kini semakin banyak membaca buku berkenaan ilmu agama.

Sementara, Wardina meluahkan rasa gembira dengan keputusan Diana untuk berhijrah di usia yang muda. Kata Wardina, sebagai artis senior, dia tidak keberatan untuk mendorong dan memberi tunjuk ajar kepada Diana mendalami agama Islam.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendorong sesama artis. Apatah lagi saya menganggapnya seperti adik. Malah kami juga sudah lama kenal. Dengan penghijrahan barunya ini, akan membuatkan kami lebih rapat. Saya akan cuba bantu apa yang termampu," kata Wardina.


Merancang ke tanah suci


Seiring dengan penghijrahannya, pelakon flem 3,2,1 Cinta ini merancang untuk ke tanah suci bagi mendekati dirinya kepada ALLAH SWT.

"Insya-ALLAH, sekiranya ada rezeki dan tiada halangan, saya bercadang ingin ke tanah suci untuk mengerjakan Umrah pada awal tahun depan sebab saya diberitahu satu agensi bahawa ketika ini tiada kekosongan.

"Saya akan pergi dengan siapa, itu tidak pasti lagi. Tetapi jika berkemampuan, saya ingin bawa sekali ibu dan bapa saya. Harap-harap saya dapat mencari ketenangan jiwa yang sebenar di sana.

"Bukan itu saja, saya juga takut nikmat hidayah yang diberi Yang Maha Esa ini ditarik balik. Sebab itu saya berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama walaupun sibuk dengan karier," katanya dalam satu sesi fotografi bersama Zass.


Tidak buang kawan lama

Bukan sahaja perwatakannya berubah selepas bertudung, malah Diana menceritakan aktiviti sehariannya turut berbeza daripada sebelum ini yang sering menghabiskan waktu terluang dengan rakan-rakan di luar.

Katanya, kegiatan melepaknya juga sudah dikurangkan buat sementara waktu memandangkan Diana sibuk mempelajari ilmu agama Islam, tetapi tidak sesekali untuk pelakon berusia 25 tahun ini membuang rakannya daripada hidupnya.

"Sekarang saya lebih menjaga adab dan pertuturan kerana bagi saya, bertudung bukan sahaja di luaran, tetapi dalam hati juga perlu berhijab.

"Rata-rata, semua rakan menyambut baik penghijrahan saya ini dan mereka ada juga minta saya kongsikan pengalaman dan pendapat untuk turut berubah. Saya sayang ahli keluarga dan kawan-kawan semua.

"Tolong jangan salah sangka, saya berubah bukan kerana fesyen dan tudung semata-mata," tegasnya.

PruBSN hasrat kuasai pasaran

Posted: 29 Sep 2011 07:27 PM PDT

Prudential BSN Takaful berhasrat menguasai pasaran takaful di negara ini dengan menjadi nombor satu dalam segmen tersebut seiring dengan pengenalan produk terbarunya, PruBSN Link Series.

Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Bhd, Azim Mithani berkata, pihaknya mencatatkan penguasaan pasaran 26 peratus pada suku pertama tahun ini, dengan kedudukan nombor dua dalam pasaran takaful.

Menurutnya, pelan perlindungan PruBSN Link Series adalah satu produk inovatif dengan tiga pelan unik; SmartLink, FirstLink dan TakafulLink yang direka khas untuk setiap peringkat umur.

"Sebagai peneraju pasaran Takaful, kami berasa perlu untuk memperkenalkan produk sesuai dengan pelbagai sasaran pasaran yang bukan hanya dapat menambah pilihan produk yang kami tawarkan, bahkan menawarkan produk kepada pelbagai segmen pelanggan dalam pelan perlindungan dan pelaburan.

"Justeru, sempena sambutan ulang tahun kelima kami tahun ini, Prudential BSN Takaful memperkenalkan produk yang menyediakan perlindungan bernilai dan menawarkan kepada pelanggan untuk memilih jenis pelan perlindungan dan pelaburan yang mereka inginkan," katanya semasa pelancaran produk itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Kajian Produk Prudential BSN Takaful Bhd, Zailan Arshad.

Azim berkata, pihaknya juga menyasarkan produk baru itu dapat mencapai kejayaan sama seperti PruBSN Takafulink yang bersaiz kira-kira 90 peratus.

Puchong jadi bandar judi

Posted: 29 Sep 2011 07:27 PM PDT


PREMIS tingkat dua rumah kedai di sekitar kawasan pusat bandar Puchong banyak dijadikan pusat mesin judi haram.


PUCHONG – Di sebalik pembangunan pesat di bandar ini, ia rupa-rupanya menjadi syurga kepada sindiket mesin judi haram yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di sekitar kawasan berkenaan.

Tinjauan Kosmo! di kawasan pusat bandar, Puchong Perdana dan Puchong Permai sahaja mendapati terdapat lebih daripada 10 premis haram yang kebanyakannya beroperasi di premis rumah kedai.

Berselindung di sebalik papan tanda perniagaan, pemilik pusat judi haram didakwa semakin bermaharajalela apabila berani membuka perniagaan selama 24 jam sehari semata-mata mahu mengaut keuntungan besar.

Malangnya, mereka yang menjadi mangsa adalah golongan remaja dan pelajar sekolah yang merupakan pengunjung tegar ke premis itu.

Menurut sumber, pemilik premis kebanyakannya menyewa bilik di tingkat dua premis rumah kedai dan mengubahsuainya menjadi bilik memuatkan mesin-mesin slot judi.

Selain itu, pemilik premis memasang kamera litar tertutup bagi memantau serbuan pihak berkuasa selain mengupah Tonto yang sentiasa mundar-mandir berhampiran kawasan premis terbabit.


BANGUNAN rumah kedai ini juga menjadi lokasi banyak premis mesin judi haram yang dikunjungi pelajar sekolah di sekitar Puchong.


Seorang penduduk, Ismail Hamzah, 41, berkata, dia sendiri pernah melihat pelajar sekolah yang memakai pakaian seragam masuk ke premis tersebut pada waktu persekolahan.

Menurutnya, gejala yang berlaku menunjukkan pemilik premis tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa yang melarang mereka di bawah usia 18 tahun mengunjungi pusat hiburan mahupun perjudian.

"Kalau sudah berniaga secara haram, apa sahaja mereka akan lakukan asalkan dapat untung. Keadaan ini jika dibiarkan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya gejala sosial dan ponteng sekolah yang semakin serius di bandar ini," katanya di sini semalam.

Larang petani guna kalsium karbida

Posted: 29 Sep 2011 07:26 PM PDT


Mohamed idris menunjukkan buah-buahan tempatan yang selalu diperam oleh petani dengan menggunakan kalsium karbida di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Amalan memeram buah-buahan menggunakan kalsium karbida di kalangan petani di negara ini didakwa mampu menghilangkan daya ingatan pengguna termasuk kecacatan bayi ketika lahir.

Hasil kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu mendapati bahan kimia tersebut kini digunakan secara meluas oleh petani yang mengusahakan tanaman pisang, betik, nenas, cempedak, mangga dan ciku supaya cepat ranum sebenarnya merbahaya.

Difahamkan, secara umumnya penggunaan kalsium karbida adalah untuk kerja-kerja kimpalan, memateri keluli besi dan berfungsi menyalakan api pelita.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, pemakanan buah yang diperam dengan bahan kimia arsenik dan fosforus itu bukan sahaja beracun kepada pengguna malah boleh memudaratkan kepada mereka yang mengendalikannya.

"Antara kesannya kepada saraf dalam jangka masa pendek adalah sakit kepala, pening, mengantuk dan kejang otot manakala jangka panjangnya pula ialah hilang daya ingatan.

"CAP terperanjat berikutan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kesihatan Malaysia masih belum membendung bahaya ini sungguhpun telah dibangkitkan sejak 36 tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

MASkargo tingkat dagangan di Asia

Posted: 29 Sep 2011 07:25 PM PDT


JAMALUDIN (kanan) dan Naib Presiden Operasi Kargo MASkargo, Ibrahim Salleh memeriksa kargo yang dibawa dari Narita menggunakan pesawat A330-200F baharu di Bayan Lepas kelmarin.


GEORGE TOWN – MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) menjangkakan pertumbuhan dagangan sebanyak 25 peratus melalui penerbangan di rantau Asia pada tahun 2012, sekaligus membuka pasaran baharu di negara ini.

Naib Presiden Kanan Pengurusannya, Jamaludin Ismail berkata, langkah strategik itu diambil bagi memperkukuhkan lagi pasaran dengan negara-negara terbabit ekoran kemerosotan ekonomi yang melanda Eropah baru-baru ini.

Menurut beliau, dengan perolehan empat pesawat baharu jenis Airbus A330-200F, ia mampu membawa kepada perubahan positif dalam modul perniagaan dan operasi MASKargo.

"Pesawat pertama untuk kategori saiz sederhana ini tiba hari ini (Khamis) manakala selebihnya akan diterima pada bulan November ini, Januari dan April tahun depan.

"Pesawat A330-200F ini dijangka meningkatkan kapasiti penerbangan melalui penerbangan ke Jakarta di Indonesia, Narita, Jepun; Hong Kong; Shanghai, China; Amsterdam, Netherlands; Sharjah, Emiriah Arab Bersatu dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas majlis ketibaan pesawat pertama Airbus A330-200F dari Narita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini malam kelmarin.

Agrobank peruntuk RM10 juta untuk graduan

Posted: 29 Sep 2011 07:24 PM PDT


WAN MOHD. FADZMI (kanan) menyerahkan zakat perniagaan Agrobank Pulau Pinang kepada Pengurus Besar PUZPP, Dr. Azman Abd. Samad (kiri) dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir di Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menjayakan program Skim Usahawan Tani Komersial Siswazah (SUTKS) yang ditawarkan kepada graduan universiti tempatan.

Presiden Agrobank, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, peruntukan tersebut merupakan tambahan kepada jumlah sama yang telah diberikan untuk menjayakan skim tersebut tahun lalu.

Jelasnya, peruntukan itu akan diberikan dalam bentuk pinjaman kepada pemohon yang layak berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh pihak bank berkenaan.

"Melihatkan kejayaan (pinjaman) tahun lalu, kini kami memperuntukkan RM10 juta untuk diberikan kepada golongan siswazah yang ingin menjalankan perniagaan berasaskan pertanian.

"Setiap pemohon layak mendapat pinjaman sehingga RM50,000 yang akan diberikan secara berperingkat berdasarkan tahap kemajuan perniagaan mereka," katanya selepas merasmikan cawangan Ar-Rahnu Agrobank Bukit Mertajam di sini semalam.

Pada majlis yang sama, beliau telah menyerahkan zakat perniagaan Agrobank Pulau Pinang bernilai RM52,935 kepada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZPP) dan RM42,622 kepada golongan asnaf dalam bentuk bantuan wang tunai, komputer riba dan bantuan perniagaan.

Pemandu teksi acu pistol samun penumpang

Posted: 29 Sep 2011 07:24 PM PDT


AYOB (kanan) memerhatikan anggota polis memeriksa teksi yang dinaiki dua lelaki yang membawa dua pucuk pistol dan peluru selepas ditahan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Kegiatan jahat seorang pemandu teksi dan rakannya menyamun pelancong asing dan meninggalkan mangsa di kawasan sunyi sejak beberapa bulan lalu tumpas apabila mereka ditahan dalam operasi khas polis di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Cheong Eu di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 38 dan 58 tahun yang bersenjatakan dua pucuk pistol itu ditahan pada pukul 11.45 malam ketika hendak melakukan jenayah dalam teksi yang dinaiki dari Seberang Perai.

Dalam serbuan oleh anggota Cawangan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu, polis merampas pistol automatik jenis Baretta dan Browning bersama kelopak serta 29 butir peluru kaliber 9mm.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis menemui pistol itu di tepi pinggang dan belakang badan dua suspek itu.

Katanya, modus operandi suspek adalah mengambil penumpang terutama pelancong asing dan membawa mereka ke kawasan sunyi untuk disamun sebelum ditinggalkan.

Jelasnya, mereka yang mempunyai rekod jenayah berkaitan bunuh, curi dan dadah ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Lelaki lupus mayat dijel 80 bulan

Posted: 29 Sep 2011 07:23 PM PDT


MOSHAROF (dua dari kanan) dijatuhi hukuman penjara 80 bulan selepas mengaku melupus mayat dua beranak di Mahkamah Majistret Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara 80 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas dua pertuduhan melupuskan mayat seorang wanita dan anak lelakinya di sebuah apartmen di sini bulan lalu.

Majistret Wan Karimah Wan Ab. Ghani memutuskan, tertuduh Mosharof Hossain, 23, dihukum penjara 40 bulan bagi setiap pertuduhan dan menjalani hukuman secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Ogos lalu.

Mosharof didakwa melupuskan mayat wanita Indonesia, Siti Sando, 35, dan anaknya, Mohd. Shukri, 2, pada pukul 11.20 pagi 29 Julai lalu dan pukul 11 pagi 3 Ogos 2011 di rumah Nombor 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini.

Cuma sempat cat 20 minit

Posted: 29 Sep 2011 07:22 PM PDT


BULATAN menunjukkan palang kren yang patah hingga mengakibatkan Taskimin maut manakala rakannya parah di Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA – Kerja-kerja mengecat di sini yang dilakukan enam pekerja menggunakan tiga buah kren sejak kelmarin dicemari insiden berdarah apabila seorang maut manakala seorang lagi parah selepas salah satu tiang kenderaan itu patah semalam.

Insiden pukul 10 pagi itu menyebabkan seorang warga Indonesia, Taskimin (gambar), 24, mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter. Rakan senegaranya, Sustrino, 34, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka.

Difahamkan, ketika itu, mereka baru 20 minit mengecat bangunan pusat beli-belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini. Kren yang patah itu dikatakan telah digunakan selama 10 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kedua-dua mangsa terjatuh ke kaki lima sebuah bank berdekatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila beban dalam sangkar tidak seimbang dengan kekuatan palang kren yang membawa mangsa," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Muhyiddin sarankan SAR diserap di bawah Kementerian Pelajaran

Posted: 29 Sep 2011 07:21 PM PDT


MUHYIDDIN (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Majlis Madrashah Al-Attas Arabiah, Syed Ali Mohamed Al-Attas sempena ulang tahun ke-100 madrasah itu di Ulu Tiram semalam.


JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar Sekolah Agama Rakyat (SAR) khususnya di Johor menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran bagi membolehkan mereka menikmati peruntukan dan bantuan Kerajaan Pusat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, di samping itu guru-guru SAR akan mendapat tawaran skim gaji yang lebih baik.

"Saya percaya kita perlu bincang sedikit masa lagi, kalau dapat dipersetujui ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Johor) sebagai ketua agama.

"Pihak Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan yang sesuai untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah agama mengikut skim gaji sama dengan sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 SABK Madrashah Al-Attas Arabiah Johor di Ulu Tiram di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan Pusat telah dibuat untuk menyerapkan SAR ke dalam SABK.

Katanya, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri itu adalah penting ke arah membangunkan sistem pendidikan agama dalam kalangan pelajar.

Mengenai SABK Madrashah Al-Attas Arabiah, Muhyiddin berkata, ia merupakan sekolah agama rakyat yang pertama di Johor menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kementerian Pelajaran untuk berdaftar di bawah SABK.

Beliau memberitahu, sekolah berkenaan telah menikmati pelbagai bantuan yang disalurkan kementerian sama seperti sekolah-sekolah harian yang lain merangkumi keperluan guru-guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks dan biasiswa.

Sempena sambutan 100 tahun penubuhan madrasah itu, beliau turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu meningkatkan prasarana sekolah tersebut.

Mohd. Raffie bersyukur tidak buta

Posted: 29 Sep 2011 07:20 PM PDT


MUHD. Khairun Aseh (kiri) melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Raffie Abdul Latiff di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tiada kata mampu diucapkan oleh seorang jurujual minyak wangi yang menjadi mangsa simbahan asid pada hari kelapan Ramadan lalu selain bersyukur kerana mata kanannya berjaya diselamatkan.

Bagi Mohd. Raffie Abdul Latiff, 28, kejayaan sekumpulan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pembedahan ke atas mata kanannya sehingga kembali pulih amat tidak diduga sama sekali.

Pembedahan tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif HKL, Dr. Normala Basiron yang sebelum ini turut merawat mangsa renjatan elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22.

Malah lebih menggembirakan jurujual minyak wangi itu apabila kulit badannya yang melecur akibat terkena asid juga semakin pulih.

"Sejak tragedi itu, saya sudah pasrah mata kanan saya akan buta tetapi tak sangka pula ia boleh pulih. Jadi kedua-dua mata boleh melihat kembali.

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua tenaga pekerja HKL terutamanya di Unit Rawatan Kebakaran kerana menjaga saya selama ini," katanya.

Pengebom sembunyi di Malaysia

Posted: 29 Sep 2011 07:19 PM PDT

DERETAN motosikal yang musnah akibat letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet, Sungai Golok pada 16 September lalu. Gambar kecil, Suhaidi.


KOTA BHARU – Polis sedang giat mengumpul maklumat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa dalang yang melakukan siri letupan bom di Sungai Golok, Thailand dipercayai sedang bersembunyi di negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tidak akan berdiam diri jika dakwaan tersebut benar seperti didakwa pihak berkuasa Thailand.

Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut.

"Polis Kelantan sedang membuat risikan berhubung perkara itu bersama-sama polis Thailand. Kita (polis) akan mendapatkan maklumat lanjut dan kita sama sekali tidak akan berdiam diri dan akan mengatur strategi. Segala maklumat ini penting bagi polis Kelantan.

"Kalau benar mereka berada di negara ini, kita akan tangkap. Setakat ini dalam siasatan kita tidak jumpa mana-mana (individu) yang dimaksudkan itu," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Pemakaian Pangkat Bagi Anggota di sini, semalam.

'Bukan hilang tapi jatuh bilik air' - Shahir

Posted: 29 Sep 2011 07:19 PM PDT


SHAHIR masih menegaskan dia dan Rozita tidak lebih daripada kawan biasa.


TIDAK habis-habis kontroversi timbul berkenaan juara program Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi.

Sebelum ini dia yang digosip bercinta dengan aktres jelita Rozita Che Wan pernah menghilangkan diri dan alasan yang diberi ketika itu dia mempunyai masalah kesihatan.

Kemudian, dia dikatakan menghilangkan diri sekali lagi dan kononnya ingin bersara daripada menjadi anak seni.

Pilih produk untuk jadi duta

Posted: 29 Sep 2011 07:18 PM PDT



SITI SALEHA, klasik namanya. Formula yang digunakannya untuk menapak dalam dunia seni bermula daripada berlakon iklan, dilantik menjadi duta kepada beberapa produk dan kemudiannya terlibat dalam dunia lakonan, sehingga hari ini, namanya 'meletup' biarpun masih dianggap pucuk muda yang baru berputik.

Drama bersiri Nora Elena yang ditayangkan untuk slot Akasia di TV3 bagaimanapun secara total telah memperkenalkan figura genit itu kepada khalayak tentang siapa sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum yang baru berusia 21 tahun itu.

Apapun, populariti yang diraih pada hari ini bukan calang-calang nilainya. Ada pengorbanan yang perlu ditempuh untuk berada di aras terkini.

Perlu bersedia untuk menjadi figura umum yang pastinya akan ditatap walau di mana dia berada, Saleha juga harus akur kadangkala privasinya direnggut buat tatapan umum.

Namun, lebih selesa untuk tidak membicarakan perihal kehidupan peribadinya berbanding kerjaya yang dibina, pertemuan bersama Siti Saleha baru-baru ini lebih banyak melihat skop optimisme selaku artis baharu.

Bermula dengan bidang lakonan iklan mahupun jurucakap produk, pastinya Saleha tidak boleh lari daripada lingkaran yang sudah dibikinnya itu. Namun ada syarat yang ditetapkannya.

"Kalau saya diberikan peluang untuk menjadi duta atau jurucakap pastinya tidak akan ditolak, tapi saya akan melihat juga kepada kesesuaian sesuatu produk dengan saya.

"Memandangkan kelompok peminat di negara kita kebanyakannya orang Melayu, maka seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlibat dengan iklan atau produk yang menjadikan diri saya sebagai simbol seks," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Malah, ujarnya tidak menjadi hal sekiranya dia diminta untuk memakai tudung untuk penggambaran drama ataupun iklan dan akuinya juga dia cukup selesa.

"Jelas sekali saya pernah memakai tudung dalam beberapa lakonan saya sebelum ini seperti Ustaz Amirul dan Alif Ba Ta, jadi pastinya tidak ada masalah untuk saya berkaitan isu itu," tambah gadis kacukan British-Belanda-Melayu itu.


FIGURA genit ini mempunyai cita-cita memiliki syarikat produksi sendiri di masa depan.


Sama juga seperti soal berpakaian, Saleha menegaskan dia tidak ada sebarang masalah untuk memilih mana-mana pereka pakaian yang sudi menajanya, namun perlu sesuai dengan imej yang diciptanya selama ini.

Enggan menerima pakaian yang terlalu seksi atau menjolok mata, Saleha mengakui dia kadangkala sedikit cerewet dengan solekan yang dikenakan.

"Saya bukan seorang yang demanding, sama seperti berlakon drama atau iklan, apa yang datang semuanya rezeki untuk saya, tapi tengok keadaan juga terutama berkaitan dengan solekan. Ada kalanya saya kurang selesa dengan solekan yang tidak kena atau sesuai dengan saya," getus pelajar jurusan komunikasi di Kolej Inti, Subang, Selangor itu lagi.

Anugerah Industri Muzik

Saleha ketika ditanya tentang keinginannya untuk menceburi bidang lain selain lakonan seperti pengacaraan atau nyanyian mengakui dia sememangnya berminat untuk menjadi pengacara.

"Tugas pertama sebagai pengacara adalah mengendalikan satu episod gerbang Anugerah Industri Muzik (AIM) yang akan mengetengahkan mengenai para karyawan muzik yang meraih pencalonan tahun ini.

"Memang saya minat bidang pengacaraan tapi seboleh-bolehnya saya ingin mengendalikannya dalam bahasa Inggeris memandangkan itu keselesaan saya berkomunikasi dengan lebih jelas," katanya yang bakal tampil dengan filem Pukul Habis pada penghujung tahun ini.

Pukul Habis merupakan filem pertama lakonannya dan watak yang diberikannya adalah dambaannya selama ini.

"Dalam filem ini saya memegang watak wanita yang perlu melakukan aksi bertarung. Jika selama ini peminat melihat saya sebagai seorang yang feminin tetapi menerusi filem ini saya mempersiapkan diri dengan ilmu kickboxing untuk menjayakan watak," ujarnya yang bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dan Johan Raja Lawak dalam Pukul Habis.

Antara Klang dan United Kingdom


SITI SALEHA beraksi bersama beberapa model untuk iklan pewangi Echanteur Paris.


Tidak kisah untuk berulang-alik dari kampung ayahnya, Mohd. Baharum Abdul Rahman, 60, di Klang, Selangor ke kediaman ibunya, Tracey Johnson atau nama Islamnya Aisyah Abdullah, 49, di United Kingdom (UK), Saleha sudah kalis dengan dugaan yang ditempuhinya itu sejak berusia 10 tahun.

"Dari kecil lagi, apabila kawan-kawan datang ke rumah dan bertanyakan di mana ibu saya, sudah menjadi kelaziman untuk saya berikan jawapan yang sama.

"Ini dugaan yang saya tempuh dek penceraian kedua-dua ibu dan bapa saya, tapi syukur buat masa sekarang sekiranya ada masa saya akan pulang ke UK melawat ibu saya dan dia juga ada kalanya akan pulang ke Malaysia dan mungkin juga mengejutkan saya dengan imejnya yang bertudung," kata adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam, 24, itu.

Begitu pun, cerita Saleha, pernah bapanya memberikan kelonggaran untuk dia menetap bersama ibunya di UK, namun dia memilih untuk setia menjaga bapanya di Klang.

"Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), ayah pernah menyuruh saya tinggal bersama ibu di UK tapi rasanya saya sudah selesa di sini, bersama karier yang sudah kukuh, agak canggung jika saya memilih untuk hidup di sana. Lagipun, saya boleh menjaga ayah di sini," bicara si cantik menyusun frasa.

Ditanya apakah perkembangan dirinya dalam tempoh 10 tahun akan datang, Saleha nyata sudah ada gambaran yang jelas.

"Saya sekarang sedang menghabiskan pelajaran, supaya 10 tahun lagi saya mahu gembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya.

"Kalau boleh saya ingin buka sebuah syarikat produksi yang secara amnya boleh mengeluarkan produk iklan saya sendiri.

"Mungkin juga pada masa itu saya sudah berkahwin, menjadi 10 pelakon wanita terbaik Malaysia dan kalau ada rezeki akan melebarkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia dan Filipina," tuturnya menutup bualan.

Safee nafi dakwaan

Posted: 29 Sep 2011 07:13 PM PDT

SAFEE tetap bertekad untuk mengembangkan karier bola sepaknya.


"BUKAN saya tidak sudi untuk kembali semula (menjalani latihan) bersama Cardiff City tetapi jadual saya begitu ketat ketika ini.

"Justeru, dakwaan kononnya saya (berpatah arang berkerat rotan) dengan kelab itu sememangnya tidak berasas.

Demikian kata penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali yang menafikan dakwaan kononnya dia 'merajuk' untuk kembali menjalani latihan bersama kelab England, Cardiff City selepas ini.

Desas-desus negatif itu timbul dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ekoran kenyataan Safee yang dikatakan ingin mencuba nasib untuk beraksi bersama kelab Australia pula selepas ini sebaik selamat menjejakkan kaki di tanah air kelmarin.

Spekulasi tersebut diperkuatkan dengan peluang Safee yang dikata- kan pudar untuk menyarung jersi The Bluebirds lantaran masalah permit kerja walaupun mendapat khabar gembira daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memberi jaminan untuk membantu 'David Bec- kham Malaysia' itu mengatasi masalah berkenaan jika Cardiff mahu melamarnya.

Meskipun dikhabarkan akan dipanggil untuk dinilai semula selama dua minggu lagi oleh pengendali The Bluebirds, Malky Mackay yang dilaporkan berminat dengan kesungguhan, disiplin dan skil Safee sebelum ini, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu juga tidak pasti sama ada ia boleh dilaksanakan pada waktu terdekat.

"Jadual saya begitu ketat. Selain mewakili (bekas pasukan) Selangor bagi aksi Piala Sultan Selangor (esok), saya juga akan ke Australia (mewakili skuad kebangsaan) bagi perlawanan persahabatan.

"Kalau ikutkan hati memang saya mahu kembali semula ke Cardiff. Bukan senang untuk menjalani lati- han bersama pemain-pemain yang hebat di sana dan jika tidak terpilih pun, saya langsung tidak menyesal.

"Tetapi saya sendiri tidak pasti bila saya boleh menyertai semula latihan di sana," katanya kepada Kosmo! semalam.

Safee sebelum ini selesai menja- lani sesi pemilihan selama dua minggu bersama skuad kendalian Malky Mackay itu sejak pertengahan September lalu sebaik mendapat 'lampu hijau' daripada maji- kannya, Pelita Jaya.

Menurut Safee, dia belum membuat sebarang perbincangan lanjut dengan pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee berhubung perkara itu, selain tidak menolak kemungkinan akan merujuk perkara tersebut kepada Pelita Jaya terlebih dahulu sebelum boleh mengulas lanjut.

"Saya juga tidak pasti bila akan kembali ke Indonesia kerana Pelita Jaya pastinya memerlukan khidmat saya sebelum Liga Indonesia bermula (10 Oktober ini), jadi kita tengok dahulu macam mana," kata- nya yang mengakui masih keletihan selepas menempuhi penerbangan yang panjang dari London kelmarin.

Ketika ditanya mengenai keingi- nannya beraksi di Australia, jelas Safee: "Sebagai pemain, saya mempunyai sasaran sendiri untuk beraksi di pentas yang lebih baik, ter- utamanya di Australia dan Eropah bagi mengembangkan karier saya.

"Tetapi ia bukan bermakna saya tidak lagi mahu menyarung jersi Cardiff, justeru saya harap semuanya faham," katanya memohon tidak disalahertikan.

Loji penapisan minyak Shell di Singapura terbakar

Posted: 29 Sep 2011 07:12 PM PDT

ASAP tebal dapat dilihat dengan jelas di Pulau Bukom selepas fasiliti minyak itu terbakar.


SINGAPURA - Sebuah loji penapisan minyak utama Shell milik syarikat tenaga gergasi Anglo-Dutch terbakar dan membuatkan anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkannya.

"Kami percaya ia adalah kemalangan. Satu siasatan penuh akan dilakukan sebaik saja api berjaya dipadamkan," kata wakil syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

Kebakaran tersebut bermula semalam di kilang penapis Shell di Pulau Bukom yang terletak lima kilometer dari Singapura. Pegawai yang tidak terlibat diarahkan keluar dari tempat tersebut.

Seramai 100 orang anggota bomba dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan 250 pegawai terlatih Shell berusaha sepanjang malam untuk memadamkan api.

Loji tersebut merupakan pusat penapisan minyak Shell terbesar di dunia dari segi kapasiti penyulingan bahan mentah, menghasilkan bahan api, pelincir dan bahan kimia khusus dengan kebanyakannya untuk dieksport.

Menurut Shell, seorang anggota bombanya mengalami cedera ringan, sementara lima orang lagi anggota bomba berdepan masalah kesihatan lain.

SCDF turut menggunakan 21 buah pesawat pembawa air untuk menyejukkan kawasan kebakaran bagi mengelakkan tangki simpanan berhampiran terdedah kepada suhu tinggi.

Rakyat Cuba sudah boleh jual beli kereta lama

Posted: 29 Sep 2011 07:12 PM PDT


ANTARA kereta lama yang
masih digunakan secara
meluas di Havana.


HAVANA - Pihak berkuasa Cuba membenarkan jualan kereta di antara individu mulai semalam, selepas diharamkan selama 50 tahun yang membuatkan negara komunis itu bagaikan muzium kereta-kereta vintaj.

Sebelum ini, rakyat Cuba hanya boleh menjual kereta yang dibina sebelum revolusi negara itu pada tahun 1959. Undang-undang baharu yang diterbitkan dalam Warta Rasmi itu dilihat sebagai sebahagian daripada siri pembaharuan yang dilakukan oleh Presiden Cuba, Raul Castro untuk mengurangkan kawalan kerajaan ke atas ekonomi dan menggalakkan perniagaan berskala kecil.

Undang-undang itu membolehkan pemindahan milik kenderaan dibuat bagi tujuan jual beli atau sumbangan dalam kalangan rakyat atau warga asing yang menetap di Cuba.

Bagaimanapun, rakyat biasa masih dilarang daripada membeli kereta baharu. Namun mereka yang membeli kereta buatan Rusia melalui majikan masing-masing sebelum tahun 1990 kini boleh menjualnya secara sah.

"Ini merupakan salah satu keputusan terbaik untuk rakyat. Kereta adalah keperluan, bukannya barang mewah," kata seorang penjual barang kemas, Angel Garcia, 40, yang memandu kereta era Soviet, Moskvich.

Paris menangis, Prince terkejut

Posted: 29 Sep 2011 07:11 PM PDT


Michael Amir


LOS ANGELES - Dua orang kakitangan Micheal Jackson memberitahu Mahkamah Tinggi Los Angeles mengenai keadaan cemas untuk menyelamatkan Raja Pop itu, ketika anak-kanaknya mula menangis dan bagaimana doktor Conrad Murray cuba untuk mengada-adakan cerita beberapa minit selepas bintang tersebut meninggal dunia.

Pada hari kedua perbicaraan, mahkamah turut diberitahu bahawa Murray berulang-ulang kali mendakwa Jackson berada dalam keadaan sihat, beberapa minggu sebelum kematiannya pada 25 Jun 2009.

Saksi-saksi itu juga menyatakan Jackson sering berjumpa dengan doktor Arnold Klein kerana sakit kulit. Dia juga kadangkala dilihat bercakap dengan perlahan dan sukar difahami.

Pengakuan paling menyedihkan datang daripada pembantu peribadi Jackson, Michael Amir Williams. Dia masih ingat menerima panggilan telefon daripada Murray yang cemas dan memintanya segera datang ke rumah sewa Jackson di Hombly Hills. Jackson meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat dos berlebihan ubat sedatif propofol.

Perbicaraan kes Jackson bermula pada Selasa lalu dengan pihak pendakwa mendakwa Murray bersalah kerana cuai dan mengakibatkan kematian Jackson. Sementara peguam Murray menyatakan Jackson mati akibat sikapnya sendiri yang mengambil ubat secara berlebihan.

Semalam, imej mayat Jackson dengan mata terbuka disiarkan. Malah, rakaman audio yang menunjukkan penyanyi itu telah diberi ubat turut didedahkan.

Selepas Jackson disahkan mati di hospital UCLA, Williams mengakui bahawa ada berbual dengan Murray. "Dia (Murray) memberitahu ada satu krim di dalam bilik Micheal yang dia tidak mahu orang lain tahu mengenainya. Dia juga meminta saya untuk menumpangkannya untuk mengambil krim tersebut. Tetapi saya menolaknya," kata Williams.

Murray juga didakwa mengarahkan supaya ubat-ubatan termasuklah beberapa botol propofol dikeluarkan dari bilik Jackson sebelum polis sampai.

Sementara itu, ketua keselamatan Jackson, Faheem Muhammad masih ingat bagaimana reaksi anak Jackson yang terkejut apabila melihat bapa mereka meninggal dunia.

"Paris terduduk menangis, manakala Prince berdiri tanpa bersuara dengan wajah sangat terkejut," kata Muhammad.

Murray, 58, berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun sekiranya didapati bersalah oleh sepasukan juri.

Penjara lama jadi tarikan pelancong

Posted: 29 Sep 2011 07:10 PM PDT


SEORANG kanak-kanak melihat patung banduan yang dipamerkan di salah satu lokap di muzium terbabit.


GREEN ISLAND, Taiwan - Penjara yang menempatkan penjenayah tegar dan tahanan politik di Pulau Green yang terletak di pantai timur Taiwan merupakan lokasi paling ditakuti suatu ketika dahulu.

Di sana, beribu-ribu banduan dipenjarakan dengan sebahagian daripada mereka menemui ajal. Namun kini, ia menjadi destinasi pelancongan utama kerana pemandangan cukup indah dan sejarah hitam yang dimilikinya.

"Ketika saya kecil, ayah suka menakutkan saya untuk dihantar ke Pulau Green sekiranya tidak menjaga tingkah laku. Sekarang saya berpeluang melihatnya dan mengakui ia sungguh menakutkan apabila memikirkan bagaimana banduan tinggal beramai-ramai di dalam lokap yang kecil," jelas seorang pengunjung ke penjara yang kini sudah diubah menjadi sebuah muzium, Vicky Liu, 22.

Muzium tersebut mengumpul dan mempamerkan artifak dari tahun 1951 hingga 1987. Antaranya ialah lukisan yang menunjukkan banduan dipukul dengan buluh panjang atau dipaksa melutut di atas serpihan kaca. Pada satu masa, penjara itu pernah menempatkan sehingga 2,000 orang banduan.

"Kami mahu menjadikan penjara ini sebagai satu bangunan yang diingati," kata ketua muzium terbabit, Cheng Sheng-hsing.

Beberapa buah kedai di bandar Jhongliao turut menjual barangan cenderahati bertemakan penjara. Misalnya, lakaran kartun sekumpulan banduan yang sedang merancang untuk melarikan diri.

Amazon perkenal tablet terbaharu Kindle Fire

Posted: 29 Sep 2011 05:41 PM PDT


PENGANALISIS melihat kemunculan Kindle Fire boleh membuatkan pengeluar komputer tablet yang lain seperti Apple dan Samsung menurunkan harga produk mereka.


NEW YORK - Amazon kelmarin memperkenalkan komputer tablet sesentuh keluarannya yang akan dijual di Amerika Syarikat (AS).

Kindle Fire yang mempunyai fungsi seumpama iPad keluaran Apple itu dijual pada harga $199 (RM635), separuh harga lebih murah berbanding iPad yang ada di pasaran sekarang.

Model asas Kindle sebelum ini digunakan untuk membaca eBooks. Namun, gajet terbaharu itu akan menggabungkan ciri tersebut dengan kemampuan untuk memainkan muzik, filem dan melayari Internet.

Pengguna juga boleh mengakses lebih 18 juta filem, program televisyen, lagu, aplikasi, permainan video, buku dan majalah menerusi laman web Amazon.

Gajet tersebut mempunyai skrin bersaiz tujuh inci, berbanding iPad 2 iaitu 9.2 inci. Tidak seperti iPad, Kindle Fire tidak mempunyai kamera atau aplikasi untuk membuat panggilan video.

"Kindle Fire akan membawa semua hasil kerja yang diusahakan di Amazon selama 15 tahun ke dalam satu perkhidmatan bersepadu untuk pengguna.

"Ia menawarkan permainan, muzik, carian laman web dan buku pada harga hanya $199 (RM635). Ini merupakan produk premium yang ditawarkan pada harga bukan premium. Kami akan menjual jutaan unit Kindle Fire," kata Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos.

Bangkai paus terdampar di padang

Posted: 29 Sep 2011 05:38 PM PDT


BANGKAI seekor ikan paus Sei di atas padang di tebing Muara Humber, England kelmarin.


YORKSHIRE, Britain - Bangkai seekor ikan paus yang didapati terdampar di sebuah padang dan terletak kira-kira 800 meter dari pesisir pantai di Humber Estuary di sini mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pakar haiwan.

Ikan paus betina sepanjang lebih 10 meter (m) itu adalah daripada spesies Sei dan jarang terperangkap di perairan Britain.

"Ia mungkin terperangkap kerana air cetek ," kata seorang pegawai persatuan hidupan liar Yorkshire, Andy Gibson.

Tambahnya, sepanjang tempoh 20 tahun, hanya tiga ekor paus tersebut pernah terperangkap di Britain.

"Keadaannya amat menyedihkan. Ia berada di dalam air yang cetek iaitu pada kedalaman 1.2m ke 1.6m menyebabkannya sukar untuk berenang," kata Andy.

Paus tersebut merupakan paus terbaru yang mati di kawasan perairan itu. Pada awal bulan ini, seekor paus muda daripada spesies Fin terperangkap di Immingham, timur laut Lincolnshire.

Kereta mampu baca fikiran manusia

Posted: 29 Sep 2011 05:37 PM PDT


TEKNOLOGI automotif dibangunkan untuk mencipta persekitaran pemanduan yang lebih selamat di jalan raya.


GENEVA, Switzerland - Gergasi automobil Jepun, Nissan dan sebuah universiti di Switzerland sedang membangunkan kereta yang mampu mengimbas fikiran manusia dan membuatkan kenderaan tersebut bersedia untuk langkah seterusnya.

"Ideanya adalah untuk menggabungkan kepintaran kenderaan dan pemandu bagi menghasilkan persekitaran pemanduan yang selamat," kata profesor daripada Swiss Teknologi Universiti EPFL, R. Millan.

Projek itu menggunakan penilaian aktiviti otak, corak pergerakan mata dan pengimbas di sekeliling kenderaan menggunakan alat pengesan untuk meramalkan tindakan pemandu.

Kenderaan itu kemudian akan bersedia membelok dengan memperlahankan pergerakan jika perlu, atau berada sedikit ke kiri atau kanan.

Jurucakap EPFL berkata, penyelidikan itu mengambil masa selama empat tahun. "Kami harap prototaip akan siap apabila tiba penghujung tempoh itu," katanya.

Pacak penyapu sebagai tanda protes rasuah

Posted: 29 Sep 2011 05:35 PM PDT


PEMANDANGAN 594 penyapu yang dipacak di hadapan bangunan Parlimen Brazil di ibu negara Brazil, Brasilia kelmarin.


BRASILIA, Brazil - Sekumpulan aktivis membuat demonstrasi dengan memacak 594 batang penyapu di hadapan bangunan Kongres Kebangsaan Brazil di sini.

Tindakan kumpulan aktivis hak asasi manusia, dikenali sebagai Pergerakan Sungai Keamanan itu dibuat sebagai simbolik bagi menggesa pemerintah membasmi gejala rasuah di Brazil.

Jumlah penyapu yang dipacak itu bersamaan dengan jumlah timbalan dan senator yang menganggotai Kongres Kebangsaan Brazil.

Demonstrasi yang sama pernah dilakukan di pantai Copacabana di bandar raya Rio de Janeiro awal bulan ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories