RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Vikki ada 94 anak, tapi anak patung

Posted: 08 Mar 2012 07:49 PM PST

VIKKI bersama sebahagian daripada anak patung yang memenuhi bilik tidurnya.
VIKKI bersama sebahagian daripada anak patung yang memenuhi bilik tidurnya.

LONDON: Gara-gara ditakdirkan tidak mampu hamil dan melahirkan anak, seorang remaja menghabiskan wang sehingga RM100,000 bagi membeli anak patung sebagai koleksinya.

Menderita penyakit sindrom ovari polycystic (PCOS), Vikki Andrews, 19, mula membeli anak patung tiga tahun lalu.


Media semalam melaporkan, Vikki disahkan doktor menghidap PCOS selepas dia menjalani pemeriksaan ketika dia berusia 16 tahun.

Tindakannya mengumpul pelbagai jenis dan bentuk anak patung menyebabkan bilik tidurnya kini dipenuhi objek berkenaan.


Digelar "anak patung kelahiran semula", mainan itu diperbuat daripada plastik tetapi menggunakan rambut manusia.


Menurut Vikki, anak patung pertamanya bernilai RM1,000 dan diberi nama Charlotte.

Masih belajar dan bekerja sambilan di sebuah bar, Vikki berkata, dia menggunakan wang simpanannya yang dikumpul sejak berusia 14 tahun bagi menambah koleksinya. "Dalam tempoh seminggu selepas membeli Charlotte, saya membeli anak patung kedua sebagai 'adik' untuknya," katanya.


Sejak itu, kata Vikki, dia semakin ghairah mahu mengumpul anak patung.

PCOS dianggap satu daripada masalah paling meluas dihadapi wanita di dunia.


Walaupun ia bersifat kompleks, ada bukti kukuh menunjukkan PCOS boleh dianggap sebagai antara penyakit genetik.


PCOS dianggap satu daripada punca utama gangguan kesuburan.


Sementara itu, tunang Vikki, Warren Bone, 19, tidak berminat dengan koleksi berkenaan.


Tidak cukup dengan itu, ibu bapa Vikki juga melarang dia membawa anak patung berkenaan ke ruang tamu rumah mereka di Newbury, Berkshire.


Namun, kata Vikki, kadang-kadang dia melanggar arahan itu.


"Sesekali saya membawanya ke tempat kerja untuk bermanja," katanya.

D.J Dave Anjur Konsert RM1 Juta Untuk Bantu Artis Susah

Posted: 08 Mar 2012 07:48 PM PST

D.J Dave berharap dapat membantu artis yang dihimpit kesusahan dengan penganjuran konsertnya nanti.

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk D.J Dave berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Artis Malaysia dalam masa terdekat untuk membantu golongan artis yang dihimpit kesusahan.

D.J Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, 64, berkata, kesulitan hidup sebahagian besar artis pada masa ini menyebabkan dia mahu melaksanakan usaha murni itu.

"Mereka (artis lama) pernah menghiburkan kita tetapi apabila semakin uzur mereka terpaksa menanggung derita kerana kekurangan dana sokongan.

"Kesusahan mereka adalah takdir yang ditentukan Tuhan jadi saya yang mempunyai kelebihan dan kemampuan ini rasa bertanggungjawab untuk membantu," katanya.

D.J Dave ditemui selepas pelancaran konsert Sketsa Memori - Live D.J Dave di Istana Budaya, di sini, petang Khamis.

Konsert itu akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini.

D.J Dave yang sinonim dengan penglibatan secara aktif dalam aktiviti-aktiviti kebajikan berkata, jika dia terus membantu artis-artis yang menghadapi kesempitan hidup hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja, usaha itu tidak akan berlanjutan untuk jangka panjang.

"Maka saya rasa perlu untuk memulakan yayasan ini agar ia berkembang dan membawa manfaat kepada kelompok artis yang lebih besar.

"Saya sedang berbincang dengan beberapa pihak untuk impian ini kerana tidak mahu didakwa mempunyai kepentingan peribadi sekiranya timbul sebarang masalah kelak," katanya.

Sementara itu bercakap mengenai konsertnya itu, D.J Dave berkata dia bakal menyampaikan kira-kira 30 buah lagu sepanjang konsert tiga hari itu.

"Saya mahu mengimbau nostalgia kepada peminat. Semua lagu akan dipersembahkan mengikut susunan muzik asal.

"Saya ingin meraikan sambutan 40 tahun penglibatan saya dalam nyanyian bersama peminat dan berharap ia dapat menarik ramai penonton.

"Malah, sebahagian keuntungan daripada konsert itu akan disalurkan kepada yayasan tersebut," katanya.

Pada konsert selama dua jam itu nanti, D.J Dave turut mengundang penyanyi-penyanyi seangkatan dengannya seperti Uji Rashid dan Datuk Ahmad Nawab serta artis-artis baru seperti Dayang Nurfaizah dan Marsha.

Katanya, konsert yang menelan kos melebihi RM1 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh beliau dan ia merupakan konsert yang terakhir dalam karier nyanyiannya.

Kali terakhir penyanyi lagu Maafkanlah ini muncul dengan konsert solo adalah menerusi Konsert Udara dengan D.J Dave pada 1987.

Serah borang terus di Melaka

Posted: 08 Mar 2012 07:46 PM PST

DAPATKAN magnet Zizan.
DAPATKAN magnet Zizan.
PEMINAT di sekitar Melaka atau yang berhampiran boleh menyerahkan terus borang undian Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 terus kepada penganjur sempena jelajah promosi anugerah ini di Dataran Pahlawan Mall, Bandar Hilir Melaka, esok dan lusa.

Malah peminat dan pembaca juga boleh membuat undian dan menghantar terus kepada kami dengan mendapatkan borang dalam akhbar Berita Harian pada hari berkenaan.Sementara itu, pelbagai barangan eksklusif edisi terhad ABPBH2011 disediakan kepada pengunjung yang hadir ke Dataran Pahlawan Mall. Barangan eksklusif seperti pelekat bermagnet gambar pemenang ABPBH tahun lalu, kemeja T, payung, lanyard, rantai kunci dan banyak lagi turut ditawarkan yang bukan saja boleh didapati dengan menukar kepala akhbar Berita Harian (BH) malah boleh didapati secara percuma.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk ABPBH2011 merangkap Pengarang Hiburan BH, Zainuri Misfar, berkata pelbagai barangan ini antara tanda kenangan yang tidak boleh didapati di mana-mana kedai cenderamata.

"Kepada orang Melaka khususnya, mereka bukan saja berpeluang bertemu artis popular malah boleh membawa pulang barangan eksklusif yang disediakan penganjur. Mereka hanya perlu menyediakan keratan kepada akhbar BH sebanyak 10 keping dan menukar dengan cenderamata. Selain itu mereka juga boleh bermain dengan permainan roda berputar yang turut menyediakan hadiah eksklusif," katanya.

Selepas siri jelajah ABPBH2011 di SACC Mall, Shah Alam pada 25 & 26 Februari lalu serta Berjaya Megamall, Kuantan Pahang (3 & 4 Mac), jelajah ABPBH2011 meneruskan misi mencari bakat baru dalam nyanyian menerusi pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang diadakan pada 10 Mac, bermula jam 10 pagi.

Pengalaman ilmu tak ternilai

Posted: 08 Mar 2012 07:44 PM PST

pix_middle
pix_topright

KEBANYAKAN kita selalu percaya cara untuk berjaya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sewaktu di bangku sekolah dan menimba ilmu hingga ke menara gading. Jika seseorang dapat merangkul segulung ijazah, maka cerahlah masa depan.

Ini sudah lumrah apatah lagi ada persepsi jika seseorang itu tiada kelayakan akademik, sangat sukar untuknya berjaya dalam kerjaya, sekali gus hidup mewah.
Malah ibu bapa pula paling risau sekiranya anak-anak tidak dapat atau tidak mahu meneruskan pelajaran.


Namun begitu, jangan cepat berprasangka buruk terhadap individu yang tidak berpeluang belajar hingga ke universiti. Ini kerana, memiliki segulung ijazah tidak membawa makna nasib mereka akan berubah dan mudah mendapat pekerjaan.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekali hati sudah nekad untuk berjaya dalam bidang diminati, segala rintangan datang pasti akan diharungi dengan tabah berpaksikan semangat yang tidak luntur.

Itulah dibuktikan Shuhaida Othman, 37, untuk bergelar chef yang pakar dalam pembuatan kek, biskut, roti dan pemanis mulut.

Dikenali juga sebagai chef pastri, Shuhaida kini bertugas di Westwide Bistro, Pusat Konvensyen Shah Alam selepas mendalami pengalaman selama 15 tahun di restoran berputar Sri Angkasa, Menara Kuala Lumpur.

Sebagai seorang wanita yang menggalas tugas sebagai ketua chef pastri, cabarannya banyak. Antaranya bagaimana mahu menolak persepsi terhadap dirinya
di kalangan pekerja lelaki di bawah jagaannya.

Namun, dengan berkat kesabaran dan toleransi, semuanya dapat dikawal dengan baik oleh pemilik senyuman manis ini.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang ini, resipi kek paun oleh ibu tercinta menjadi penyebab dirinya berada di tahap ini.

"Ibu saya suka memasak dan membuat kek. Kek yang paling senang dibuat ketika itu pula ialah kek paun. Setiap kali ibu membuatnya, saya jadi pemerhati dan lama-kelamaan minat itu bercambah.

"Saya cuba perlahan-lahan dengan bimbingan ibu. Tidak sangka, rupanya bakat saya di bidang ini. Selepas itu, abang saya menjual kek yang saya buat di pejabat mereka. Sambutan yang diterima pula amat menggalakkan dan membuatkan saya menjadi lebih gembira.

"Dari situ, saya belajar dan mencuba resipi lain tanpa melanjutkan pengajian ke universiti. Saya belajar sendiri dengan pergi ke perpustakaan, rujuk buku masakan dan ambil kursus jangka pendek selama sehari yang diadakan pusat komuniti," katanya yang mula serius dalam bidang ini selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Selain itu, dia juga bekerja di kedai kek untuk mengutip pengalaman. Satu persatu teknik dipelajarinya sebelum diberi sepenuh kepercayaan untuk menghasilkan sebiji kek menggunakan air tangannya.

Menurutnya, belajar melalui pengalaman asas terbaik untuk mencapai kejayaan.
Itu prinsip yang dipegang Shuhaida kerana baginya, apabila kita mahukan sesuatu, maka cari dan belajar untuk mendapatkannya walau ia susah sekalipun.

"Saya tidak ke kolej mahupun universiti, saya juga tidak terlalu suka makan kek tetapi sangat meminati seni pembuatannya yang cukup remeh sekali.

"Walaupun ia memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi serta mengambil masa agak panjang, namun hasilnya cukup berbaloi selain kelihatan cantik.

"Seiring dengan kemajuan teknologi, saya turut mempelajari teknik dan resipi baru menerusi laman YouTube dan laman web berkaitan pemanis mulut. Selalunya, saya lakukan pada waktu malam selepas selesai tugasan di tempat kerja dan juga di rumah.

"Penting untuk saya sebagai ketua mengetahui perkembangan dan inovasi baru dalam proses penciptaan pastri supaya tidak ketinggalan dengan hotel, restoran dan kafe lain selaku pesaing," katanya.

Berdasarkan pengalaman Shuhaida, bidang ini banyak memerlukan pengalaman kerana teori saja tidak mencukupi untuk mahir membuat kek atau manisan.

Bagaimanapun, fenomena itulah yang berlaku di kalangan kebanyakan pelajar lepasan diploma atau ijazah masa kini yang tidak berkemahiran dalam seni pembuatan kek dan hanya berbangga dengan kelulusan yang ada.

Menurutnya, proses membuat kek atau manisan memerlukan kepakaran dan jangan sesekali berputus asa untuk belajar dari bawah, maju selangkah demi selangkah.

"Secara jujur saya katakan, pelajar lepasan universiti khusus dalam bidang masakan, kulinari atau pastri akan bermula dari bawah semula di sesuatu restoran mahupun hotel. Gaji asas mereka juga rendah berbanding orang lain yang jauh lebih berpengalaman.

"Soalan pertama yang akan ditanya penemuduga juga adalah apa dan berapa banyak pengalaman dimiliki untuk memastikan individu itu tahu melakukan tugasnya dengan sempurna," jelasnya.

Selain itu, dia turut menasihatkan wanita yang mahu membabitkan diri dalam bidang ini ataupun baru �berjinak-jinak membuat kek supaya sebaik-baiknya melengkapkan diri dengan ilmu asas pembuatan makanan ini terlebih dulu.

Jangan bertindak tergesa-gesa, jangan malu untuk bertanya dan minta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih pakar.

Mengenai persaingan dalam bidang perniagaan pula, Shuhaida menyarankan agar wanita mempunyai modal secukupnya dan sentiasa melengkapkan diri dengan maklumat terkini membabitkan cita rasa terkini serta memenuhi permintaan orang ramai.

Sekiranya takut untuk terus membuka kedai, mulakan perniagaan secara kecil-kecilan melalui blog, laman sosial mahupun di rumah saja.

"Keuntungan yang diperoleh menerusi jualan kek atau manisan ini amat berbaloi kerana pulangan yang diterima melebihi modal awal. Bagaimanapun, ia perlu disusuli dengan semangat yang kuat dan berterusan," katanya yang bercita-cita membuka kedai kek pada masa depan.

Sharnaaz Cerita Pengalaman Terperangkap Dalam Banjir Bersama Shila

Posted: 08 Mar 2012 07:42 PM PST

Kekasih Sharnaaz, Shila Amzah turut terperangkap dalam kejadian.

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad memberitahu kereta miliknya telah ditenggelami air selepas terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku di Batu 11, Ulu Langat di Kuala Lumpur lewat malam Rabu.

Sharnaaz berkata, air memasuki keretanya jenis Waja itu sehingga ke paras stereng menyebabkan sistem pendawaiannya mengalami kerosakan dan terpaksa dihantar ke bengkel.

"Ini adalah pengalaman pertama saya mengharungi keadaan sebegini dan ia cukup menakutkan tambahan pula ketika itu Shila ada bersama saya.

"Bagaimanapun saya bersyukur kami terselamat dalam kejadian itu tanpa sebarang kecederaan walaupun kereta milik saya rosak teruk akibat ditenggelami air," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian itu, Sharnaaz berkata dia dan Shila baru selesai menikmati makan malam di sebuah restoran berhampiran bersama ibu Shila.

"Pada mulanya Shila dan ibunya datang bersama tetapi masa balik dia balik dengan saya diekori oleh ibunya di belakang.

Sharnaaz sempat merakamkan sekeping gambar ketika dia dan Shila cuba menyelamatkan diri dengan menghimpit kereta miliknya ke sebuah kedai di Batu 11, Hulu Langat pada kejadian malam Rabu.

"Masa kejadian saya singgah di stesen minyak di Batu 11, Ulu Langat dan diberitahu oleh ibunya untuk berpatah balik kerana jalan menghala ke rumah Shila di Ampang telah dinaiki air.

"Saya cuba berpatah balik untuk ikut melalui laluan Bukit Ampang tetapi jalan telah ditutup oleh pihak polis dan kami berdua tersadai di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya," ujarnya.

Tambahnya, hujan yang lebat telah menyebabkan limpahan air daripada Sungai Serai naik dengan cepat sehingga telah memaksa mereka melarikan diri ke dalam sebuah lori bagi menyelamatkan diri.

Sharnaaz berkata, dia dan beberapa orang awam lain terpaksa duduk di dalam lori muatan pasir itu sehingga awal pagi, Khamis kerana air masih belum surut.

"Ia adalah pengalaman yang cukup buruk setakat ini buat saya dan Shila. Nasib baik dia juga seorang yang kuat semangat," katanya.

Sementara itu, Shila menerusi akaun Twitter miliknya turut menceritakan pengalamannya terperangkap selama 12 jam akibat banjir kilat yang berlaku di kawasan itu.

"Kami terpaksa bermalam di atas lori yang tidak berbumbung dan mengharungi hujan lebat sepanjang malam dan hanya keluar daripada kawasan itu lewat pagi ini," ujar penyanyi itu menerusi satu entri di Twitter.

Hujan lebat yang melanda Lembah Klang pada malam Rabu telah menyebabkan beberapa kawasan di naiki air termasuk di kawasan Ampang dan Hulu Langat.

CUEPACS anggap isu SBPA selesai

Posted: 08 Mar 2012 07:40 PM PST

KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam  di Putrajaya, semalam.
KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam di Putrajaya, semalam.
Kongres gembira sebahagian besar tuntutan kakitangan awam dipenuhi

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggap isu dan polemik mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selesai selepas ia dibatalkan dan penggajian diteruskan mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu melegakan dan menggembirakan lebih 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.
Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi. - Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS.
Katanya, kenaikan gaji itu adalah adil dan saksama serta memberi kebaikan kepada semua penjawat awam kerana SBPA membentuk jurang antara kumpulan pengurusan dengan kumpulan utama.

"Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi.

"Kalau nak ikut rasa tidak puas hati sampai bila pun masalah tidak selesai... sekarang kita kena jenamakan semua sikap kerana CUEPACS sentiasa berunding untuk menambahbaik gaji kakitangan awam," katanya.

Dalam pada itu, Omar juga gembira kerana kerajaan turut memansuhkan dasar pemisah (exit policy) selari pembatalan dasar SBPA.
Beliau berkata, dengan pelarasan gaji berkenaan, tidak ada lagi kakitangan awam menerima pendapatan kurang daripada gaji minimum swasta yang diumumkan antara RM800 hingga RM1,000 baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng, berkata laluan kerjaya yang lebih luas bagi guru memberi manfaat kepada lebih 400,000 golongan itu di seluruh negara.

"Langkah ini menunjukkan golongan pendidik tetap diberikan keutamaan oleh kerajaan kerana guru siswazah (Gred DG41) dan bukan siswazah (DG29) kini tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk naik pangkat atau gred lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) pula meminta kerajaan mengawal kenaikan harga barang di pasaran selepas pengumuman Perdana Menteri supaya tidak menjejaskan penjawat awam yang menikmati pelarasan gaji serta kenaikan elaun sara hidup.

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, berkata selain itu KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan sentiasa berbincang serta berhubung rapat dengan CUEPACS dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu pada masa depan.

Gaji, COLA naik

Posted: 08 Mar 2012 07:35 PM PST

NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA).Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan.
Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.
Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

"Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula," katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

"Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting," katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

"Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global," katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri

  • Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.

  • Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.

  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.

  • Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip 'time-based' Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
  • Fahami fungsi serbuk penaik

    Posted: 08 Mar 2012 07:35 PM PST


    Kek pisang aprikot dan kurma.


    KEBANYAKAN produk pastri yang dibakar memerlukan bahan penaik agar ia naik dengan gebu dan lembut.

    Oleh demikian agen penaik seperti serbuk penaik (baking powder) digunakan. Saya pasti anda sudah biasa dengan kegunaan baking powder.

    Ia merupakan bahan penaik kimia berbentuk serbuk kering yang digunakan untuk menambah isipadu atau meringankan tekstur produk pastri seperti kek, mufin, skon dan biskut.

    Apabila anda menggunakan baking powder untuk membuat kek dan sebagainya adalah lebih baik mengayaknya bersama dengan bahan-bahan kering dahulu sebelum dibancuh dengan bahan-bahan lain supaya produk yang anda bakar itu akan naik dengan sekata.

    Baking powder mengandungi serbuk soda, garam-garam asid (aluminium krim tartar dan natrium sulfat) dan ditambah tepung jagung yang berfungsi untuk menyerap sebarang lembapan.

    Hobi tambah pendapatan

    Posted: 08 Mar 2012 07:34 PM PST


    Siti Zabidah Setia (tengah) bersama empat suri rumah yang mengikuti kelas membuat kek fondant anjurannya.


    SETIAP orang yang mempunyai hobi tersendiri mampu mengatur masa lapangnya dengan terancang, berdisiplin dan berkesan.

    Individu yang tahu memanfaatkan masanya boleh memaksimumkan hobi tersebut untuk menambah pendapatan terutama bagi suri rumah mahupun wanita bekerjaya.

    Hobi boleh dikembangkan melalui penambahan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus tertentu.

    Antara hobi yang boleh mendatangkan hasil yang lumayan ialah membuat kek atau coklat di rumah.

    Melalui kaedah moden, perniagaan ini mampu berkembang dari rumah.

    Di samping menguruskan rumahtangga, suri rumah dapat memanfaatkan masa terluang untuk tujuan meningkatkan pendapatan keluarga.

    Pulih hormon untuk kurus

    Posted: 08 Mar 2012 07:34 PM PST


    Diet dan senaman kadang-kadang tidak mampu mengurangkan masalah berat badan di sebabkan ketidakseimbangan hormon.


    PENGHIDAP obesiti sering tampak serupa kerana mereka mengalami masalah pengecilan tulang pada rahang dan soket mata. Oleh itu mata tampak kecil dan muka berisi.

    Apabila kurus, bentuk tulang muka kembali normal dan mereka akan kelihatan jauh lebih jelita.

    Namun tidak semua pengidap obesiti mampu mendapatkan bentuk badan idaman biar pun telah menjalani program berdiet dan bersenam.

    Ada yang hilang berat badan pada minggu pertama tetapi selepas itu jarum penimbang berat badan tidak berganjak lagi.

    Sebab itu dalam rejim diet sering menyaksikan keputusan yang berbeza biar pun gaya pemakanan dan senaman yang diamalkan adalah sama. Faktor yang menyebabkan perbezaan itu amat berkait rapat enzim dan kadar hormon pembakar lemak dalam tubuh sama ada tinggi atau sebaliknya.

    Forum untuk ibu bekerja

    Posted: 08 Mar 2012 07:33 PM PST


    Wanita bekerjaya memerlukan kumpulan sokongan untuk mereka berkongsi masalah, isu dan pengalaman. - Gambar hiasan


    MEMEGANG tiga 'jawatan' serentak iaitu sebagai wanita bekerja, isteri dan ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut pengorbanan dan yang paling utama kekuatan mental dan fizikal.

    Bagi wanita yang telah dan sedang melalui proses tersebut pasti mempunyai luahan hati tersendiri. Ada positif dan tak kurang juga luahan sedih.

    Namun ada kalanya mereka tidak tahu atau tiada ruang untuk meluahkan apa yang terpendam.

    Tambah merumitkan apabila ibu bekerja menjadi buntu dan mula tidak tahu apa sebenarnya yang mereka lakukan dan telah lakukan dalam kehidupan ini.

    Atas alasan itu maka di wujudkan satu forum khas untuk isteri, ibu dan wanita bekerjaya meluahkan apa yang mereka alami, menerusi kecanggihan dunia Internet.

    "Kebanyakan wanita dari kategori ini sering merasakan bahawa mereka bersalah kerana tidak dapat memberikan yang terbaik terutamanya untuk anak-anak.

    "Peruntukan masa yang terlalu sedikit untuk anak-anak menyebabkan kebanyakan ibu 'menghukum' diri sendiri. Akhirnya mereka menjadi begitu tertekan dengan perkara tersebut sehinggakan ada yang lebih parah apabila memberikan kesan terhadap perkara lain pula," ujar Pengarah Eksekutif Malaysian Working Mothers Forum, Parveen Yassin.

    Parveen yang ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini berkata, forum itu sebenarnya mengambil ilham daripada sebuah forum di Singapura yang mana ketika itu Parveen berkhidmat di sana sebagai pegawai khidmat pelanggan.

    "Saya juga menghadapi cabaran yang tersendiri apabila hendak mewujudkan keseimbangan antara tuntutan kerja, dan keluarga. Agenda balik lambat memang selalu terjadi terutama apabila berhadapan dengan deadline.

    "Memang semua kita mahu lakukan, melayan anak dan suami. Penat badan belum ditambah dengan emosi lagi. Untuk mendapatkan keseimbangan tersebut bukanlah satu perkara yang mudah, terutama apabila hendak menenangkan diri sendiri atas rasa bersalah tersebut," cerita ibu kepada dua cahaya mata berusia lima dan tiga tahun ini.

    Forum ibu bekerja di Malaysia

    Forum ini diwujudkan pada hujung Mac lalu dan juga bersempena dengan pengumuman cuti bersalin selama 90 hari di Malaysia.

    "Saya mendapati tiada badan yang menyokong ibu-ibu bekerjaya. Kita memiliki satu tempat sokongan untuk ibu-ibu tunggal namun tidak bagi ibu-ibu bekerjaya sedangkan mereka juga mempunyai dilema mereka tersendiri," kata Parveen yang turut menegaskan penubuhan forum ini bukan untuk memperjuangkan hak kesaksamaan gender sama sekali.

    Menurut Parveen, 31, matlamat utama penubuhan forum ini adalah untuk ibu bapa meluahkan perasaan sambil diberi pendapat oleh pakar dalam bidang yang berkenaan.

    "Sebagai contoh daripada aspek nutrisi, kami mempunyai pakar dari Dutch Lady yang akan menerangkan khasiat dan pengambilan menu yang baik untuk perkembangan anak-anak.

    "Selain itu terdapat juga nasihat daripada pakar perundangan untuk konflik berkaitan ibu bekerjaya.

    "Pernah sebelum ini seorang ibu mempersoalkan kenapa majikan tidak menerima pekerja wanita baru yang mengandung. Sebagai pengelola forum, masalah wanita ini telah dirujuk pada kaunselor undang-undang dan akhirnya dia mengetahui hak yang sepatutnya dia dapat," cerita Parveen lagi.

    Semenjak wujudnya forum ini, ia telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 2,500 ahli di laman Facebook mereka.

    Jelas Parveen lagi, dia akan turut mengadakan satu konvensyen yang bagi membolehkan semua ahli bersemuka dan sekali gus dapat membincangkan beberapa topik penting yang sesuai dengan keperluan semasa setiap ibu bekerjaya di zaman ini.

    "Beberapa pakar dalam bidang berkaitan topik tertentu akan dijemput dan serentak dengan konvensyen tersebut, kami juga akan melancarkan satu kaji selidik untuk mendapatkan data, statistik berkaitan wanita bekerjaya di Malaysia.

    "Yang pastinya hasil kajian tersebut akan membantu ibu-ibu bekerjaya dan memberikan manfaat buat mereka kelak," ujar Parveen.

    Sumbangan untuk mangsa kanser

    Posted: 08 Mar 2012 07:32 PM PST


    Chris Pikounis (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada wakil tiga pertubuhan iaitu Persatuan Kebajikan Kanser Payudara, Majlis Kanser Kebangsaan dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.


    Wanita yang menjadi mangsa kanser payu dara tidak pernah keseorangan dalam perjuangan mereka untuk hidup secara normal.

    Melalui bantuan kumpulan-kumpulan sokongan mereka bukan sekadar meraih simpati malah mampu menjadikan kehidupan lebih bermakna dengan membantu golongan senasib.

    Perjalanan menjadi lebih mudah apabila ia turut mendapat perhatian syarikat-syarikat korporat yang tampil dengan pelbagai aktiviti membantu kumpulan-kumpulan sokongan ini.

    Terbaru Colgate-Palmolive melalui produk pelembut pakaiannya, Softlan meraikan kejayaan Kempen Amal Kanser Payu Dara Softlan dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM80,100 kepada tiga pertubuhan kanser.

    Sepanjang kempen yang berlangsung selama sebulan pada November lalu, sebanyak 10 sen daripada setiap pembelian Softlan didermakan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Majlis Kanser Kebangsaan (Makna) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

    Pada masa sama kempen amal tahunan yang memasuki tahun ketiga tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang pentingnya pengesanan awal kanser payu dara yang menjadi musuh utama wanita.

    Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn. Bhd., Chris Pikounis berkata, Softlan menganjurkan kempen ini atas kesedaran bahawa kanser payu dara adalah risiko kesihatan utama bagi wanita.

    Katanya, adalah penting membuat pengesanan awal dalam usaha mengurangkan kematian.

    "Melalui usaha sama kami ini diharapkan orang ramai akan lebih menyedari tentang perlunya mereka sentiasa berwaspada terhadap kanser payu dara," katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Menurut Pikounis lagi, sepanjang tiga tahun lepas, jenama tersebut telah mengumpul sumbangan berjumlah RM231,832 dalam usaha memerangi kanser payu dara.

    Jumlah kutipan pada tahun lepas pula berjaya melebihi sasaran sebanyak RM75,000 dan kutipan pada tahun sebelumnya sebanyak RM78,000.

    "Kami berasa bangga kerana Kempen Amal Kanser Payu Dara Softlan mencerminkan komitmen kami terhadap kebajikan komuniti," katanya.

    Ibu bapa bekerja kurang masa untuk anak

    Posted: 08 Mar 2012 07:31 PM PST


    Rahul Colaco pada majlis pelancaran kempen Membesar Bersama anjuran Friso, baru-baru ini.


    KAJIAN psikologi mendapati ibu bapa yang bekerja mempunyai masa yang terlalu singkat untuk bersama anak-anak mereka.

    Kajian tersebut mendapati seorang bapa hanya sempat memperuntukkan masa selama tiga minit sehari bagi berbual dengan anak-anak mereka manakala ibu pula banyak menghabiskan masa bersama anak di tandas berbanding masa untuk bermanja dengan anak-anak yang masih kecil.

    Keadaan ini menjadikan jurang antara anak dan ibu bapa terlalu jauh dan menyebabkan anak tidak rapat dengan orang tuanya sendiri.

    Situasi ini, jika dibiarkan akan mempengaruhi perkembangan personaliti diri. Anak-anak akan membesar sebagai seorang yang lebih sensitif dan beremosi ekoran kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka sejak kecil lagi.

    Proses membesarkan anak di zaman moden, bukanlah sesuatu yang mudah, ditambah pula kesibukan ibu bapa di pejabat.

    Menyedari kepentingan itu, Friso baru-baru ini melancarkan satu kempen bertema Membesar Bersama (GUT) agar si ibu dan anak dapat mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.

    Menurut Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco, kempen tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan si anak dan ibu bapa tetapi juga membantu perkembangan anak-anak supaya lebih cergas dan bijak.

    "Dengan adanya kempen membesar bersama ini, ibu bapa dapat melihat anak-anak membesar bersama biarpun mereka dalam keadaan yang sibuk,'' katanya ketika melancarkan kempen itu baru-baru ini.

    Tambah Rahul, pendekatan itu juga dilakukan selepas menyedari ibu bapa moden kini mempunyai sudut pandangan yang berlainan terhadap konsep keibubapaan.

    Lebih menarik, ia juga bertujuan untuk menjadi satu landasan bagi ibu bapa dan anak mereka meneroka sesuatu yang baru dan menarik secara bersama.

    "Dunia kanak-kanak penuh dengan daya imaginasi untuk dipacu dengan keinginan mendalami dan mengetahui sesuatu perkara baru bagi menjana daya kreativiti dan kepintaran mereka. justeru sifat ingin tahu perlu digunakan sebaiknya,'' ujar Rahul.

    Katanya, menerusi kempen ini, ibu bapa dapat membuka ruang dan menyelami dunia anak-anak dan memberikan pengalaman menarik kepada mereka bagi menjana daya kreativiti dan penerokaan mereka dengan penuh imaginasi.

    Antara aktiviti yang menyeronokkan adalah terowong interaktif di mana ibu bapa akan bersama-sama anak mereka bermain permainan interaktif yang dipancarkan di dinding dan lantai terowong tersebut.

    Aktiviti lain termasuklah pusat kraf yang mana ibu bapa dan anak mereka menyesuaikan kemeja-T dan lencana mengikut cita rasa sendiri atau bermain permainan mereka sambil berseronok

    Kata Rahul, kempen itu bermula 22 Februari lalu dan akan berlanjutan sehingga 8 April ini di beberapa negeri termasuklah di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor; Pulau Pinang dan Johor Bahru.

    Orang ramai juga boleh menebus hadiah saguhati istimewa untuk anak-anak dengan membawa kod bar, pembalut tin pek Friso Gold 3 atau Friso Gold 4.

    Pilihan makanan si manja lebih sihat

    Posted: 08 Mar 2012 07:30 PM PST


    Chef Florence Tan (kanan) menunjukkan cara mudah menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anak.


    PADA Ogos 2010, Nestle (Malaysia) Berhad dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), telah melaksanakan program Kanak-Kanak Sihat Nestle (NHK).

    Program yang berlangsung selama tiga tahun itu bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan pemakanan dan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak sekolah.

    Untuk itu, baru-baru ini telah dibentangkan hasil kajian tersebut oleh Presiden NSM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pakar bagi Program NHK, Dr. Tee E Siong pada bengkel Ibu Bapa-Guru NHK yang dianjurkan oleh Nestle Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Hasil kajian tersebut menunjukkan kanak-kanak yang terlibat dalam program tersebut sudah menunjukkan minat yang memberangsangkan hanya selepas setahun ia dijalankan dengan peningkatan pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pemakanan.

    Dr. Tee turut memberitahu bahawa kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam skor pengetahuan mereka dalam kesemua enam modul pendidikan pemakanan dan kesihatan yang diajar kepada mereka.

    "Hasil yang menggalakkan ini diperoleh pada akhir tahun pertama pelaksanaannya dan ia turut menunjukkan bahawa kanak-kanak mendapat pengajaran daripada program berkenaan.

    "Hari ini (bengkel) ibu, bapa dan guru yang hadir turut dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut menunjukkan peningkatan dalam amalan yang sihat dengan lebih ramai murid membuat pilihan makanan yang 'lebih menyihatkan' berbanding pada awal program berkenaan," katanya semasa membentangkan laporan NHK.

    Katanya lagi, program sedemikian bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak malah ibu bapa turut terlibat.

    Ini secara tidak langsung akan mendedahkan ibu bapa kepada corak serta gaya pemakanan yang sihat di samping memainkan peranan penting dalam tabiat pemakanan anak masing-masing.

    Dalam pada itu, menurut Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal-Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf, pelaksanaan program tersebut sebenarnya tepat pada masanya, memandangkan orang ramai dan kerajaan kini sangat prihatin terhadap kes penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat.

    "Apa yang membimbangkan, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi semakin bertambah setiap tahun.

    "Ini bermakna ia lebih penting bagi kami bukan saja untuk memastikan produk kami membantu untuk mengurangkan masalah-masalah ini tetapi juga menggalakkan tabiat pemakanan dan gaya hidup yang sihat secara lebih aktif di kalangan pengguna.

    "Nestle memberi sumbangan dari segi pengetahuan pemakanan dengan menggunakan pendidikan sebagai kaedah untuk membantu kanak-kanak memahami nilai pemakanan dan aktiviti fizikal.

    "Dua perkara ini akan memperkasakan mereka dalam membuat pilihan yang tepat berkaitan tabiat pemakanan dan gaya hidup yang sihat," tambahnya.

    Beliau turut memberitahu, program tersebut melibatkan lebih 60 buah negara seluruh dunia dan pihaknya akan meningkatkan jumlah tersebut dalam tempoh tiga tahun lagi.

    Zainun menambah, melalui program tersebut pihaknya mensasarkan lebih enam juta kanak-kanak seluruh dunia mendapat manfaat daripada program tersebut menjelang tahun 2014.

    Bengkel pada petang itu turut disertakan perbincangan panel oleh pakar-pakar pemakanan seperti Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Norimah A. Karim, Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Dr. Zawiah Hashim dan wakil daripada Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia, Dr. Chin Yit Siew.

    Ibu bapa dan guru juga diberi peluang untuk melihat modul tahun 2012 dan memberikan maklum balas mengenai program tersebut.

    Selain itu terdapat juga demonstrasi masakan oleh chef selebriti Florence Tan, yang menunjukkan cara mudah untuk menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak mereka.

    Program NHK dibahagikan kepada dua bahagian iaitu komponen kesedaran untuk khalayak ramai dan komponen penyelidikan.

    Matlamat utama pada akhir projek tiga tahun ini adalah untuk membentuk satu modul pendidikan yang boleh digunakan oleh Kementerian Pelajaran bagi pelaksanaan sekolah rendah di negara ini.

    Ia akan melibatkan kira-kira 2,600 orang pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun menerusi bengkel dan pameran bergerak.

    Dalam masa yang sama, NSM turut menyokong usaha-usaha bagi menggalakkan pemakanan yang sihat di kalangan masyarakat untuk mencegah kekurangan khasiat dan penyakit kronik berkaitan pemakanan di negara ini.

    Pendakwah perlu ikhlas berdakwah

    Posted: 08 Mar 2012 07:30 PM PST


    Pendekatan dakwah berbentuk santai dan bersahaja harus dilakukan bagi menarik minat golongan bukan Islam untuk menerima Islam.


    MENYEBARKAN ajaran Islam bukanlah semudah yang disangka. Selain memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi yang tinggi, keyakinan diri serta peribadi mulia perlu disertakan dalam diri seseorang pendakwah.

    Segala cabaran perlu dilalui dengan hati terbuka dan ikhlas dalam melaksanakan usaha dakwah, terutamanya kepada golongan yang belum mendapat hidayah dan menentang satu-satunya agama yang diredai oleh Allah itu.

    Oleh itu, tugas sebagai pendakwah masyarakat Orang Asli adalah satu cabaran yang sukar kerana ia menguji kesabaran serta semangat pendakwah dalam menghadapi segala kerenah setiap lapisan masyarakat yang ingin menerima dakwah.

    Seni sulaman souzani

    Posted: 08 Mar 2012 07:28 PM PST


    KOPIAH bersulam souzani Asia Tengah, abad ke-19 M / abad ke-13 H.


    SOUZANI merupakan hasil kerja tangan kaum wanita yang melambangkan kemahiran, ketekunan dan ketelitian seseorang wanita dalam sesuatu pekerjaan.

    Souzani berasal daripada perkataan Parsi yang bermaksud jarum yang menjadi alat penting dalam menghasilkan sulaman souzani yang halus dan berwarna warni.

    Sulaman souzani kebiasaannya berkait rapat dengan kehidupan golongan wanita Afghanistan di Asia Tenggara. Ia dihasilkan bukan sahaja untuk mengisi masa lapang, malahan ia dianggap sebagai satu kemahiran yang wajib ada pada setiap wanita di sana.

    Kebanyakan sumber dari Asia Tengah menyebut tentang bagaimana kerja-kerja menyulam souzani bagi seseorang wanita bermula semenjak mereka berusia tujuh tahun.

    Tinggalkan dunia glamor demi Islam

    Posted: 08 Mar 2012 07:28 PM PST


    Jason Hamza Perez berusaha membantu mereka yang hidup di jalanan kembali kepada jalan kebenaran.


    ISLAM telah membuka mata anak muda kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat ini yang suatu masa dahulu terlibat dengan penjualan dadah di jalanan sebelum beralih ke dunia hiburan hip hop.

    Dua mimpi yang menjadi igauan sepanjang hidup bergelumang dengan dosa itu akui Jason Perez ialah dia pasti akan meringkuk dalam penjara ketika usianya mencecah 21 tahun.

    Manakala mimpi keduanya pula ialah walau bagaimanapun dia cuba mengelak semua itu daripada berlaku, dia tetap akan berkesudahan dengan kematian.

    Rupa-rupanya, kedua-dua mimpi ngeri Jason itu ternyata benar. Uniknya, Jason kini bernafas semula dengan nama Islamnya, Jason Hamza Perez.

    "Saya tidak tahu tentang nafsu. Islam menyedarkan saya bahawa di jalanan anda selalu mencari musuh. Namun, dalam Islam ia mengajar saya bahawa dalam rangka untuk menemukan musuh saya, saya harus melihat diri di cermin terlebih dahulu. Hakikatnya, musuh saya adalah diri saya sendiri iaitu nafsu saya," akui Hamza.

    Tayangan dokumentari bertajuk, The New Muslim Cool yang pernah menjadi isu hangat rakyat Amerika Syarikat suatu ketika dahulu, sedikit sebanyak mengandungi pengalaman hijrah akidah dan kerohanian Hamza sebaik bergelar Muslim. Dokumentari itu turut menyelitkan pandangannya yang berketurunan Puerto Rico tentang agama.

    Kini, Hamza telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik dan hip hop yang suatu masa dahulu digilainya.

    Menurut Hamza, dia mengambil keputusan muktamad itu dengan alasan memberikan lebih tumpuan kepada keluarga, membantu mengukuhkan fungsi masjid dan melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan secara profesional.

    Malah isteri Hamza, Jennifer Maytorena Taylor merupakan generasi keempat Muslim keturunan Afrika di Amerika Syarikat, yang juga pengarah dan penerbit dokumentari, The New Muslim Cool.

    Hamza membentuk sebuah komuniti yang terdiri daripada orang keturunan Latin dan Afrika-Amerika yang mana akhirnya ia berpindah dari Massachusetts ke Pittsburgh.

    Dia menjadi begitu aktif dengan anggota komuniti tersebut sehingga sanggup bekerja keras demi membantu insan-insan yang terlibat dengan penagihan dadah keluar daripada kehidupan di jalanan.

    Akhirnya, dia berakhir di penjara sebagaimana yang sering dimimpikan sebelum ini. Ironinya bukan sebagai rakan satu sel tetapi sebenarnya Hamza menjadi guru agama atau pendakwah di Penjara Allegheny County.

    Berkongsi cerita bagaimana dia boleh bertukar menjadi seorang Muslim akui Hamza, dia mempunyai seorang teman bernama Louie Ekuador. Mereka membesar bersama dan kemudian sama-sama juga terlibat dalam penjualan dadah.

    "Saya mencari kebahagiaan sebagai orang muda, tetapi saya tidak pernah menemuinya. Saya mencuba kehidupan jalanan dan dadah, tapi itu hanya membuat saya menjadi lebih tertekan.

    "Biarpun kami berjaya mengumpulkan wang yang banyak, sayangnya ia tidak memberi apa-apa kepuasan, jauh sekali kebahagiaan. Suatu hari, sedang kami duduk melepak, kami didatangi oleh seorang Muslim. Dia mula bercerita tentang Islam. Akhirnya kawan saya itu menjadi Muslim," ceritanya.

    Kebetulan pula, rumah kediaman Hamza berhadapan dengan sebuah masjid. Cuma dia tidak pernah tahu tentang Islam dan ajarannya. Satu-satunya perkara yang dia tahu mengenai Islam ialah mereka membunuh kambing.

    "Jadi, dalam masyarakat, masjid mereka lebih dikenali sebagai tempat di mana kambing dibunuh. Memang benar, saya rapat dengan bangunan itu tetapi tidak benar-benar tahu tentang apa yang terjadi di dalamnya. Kawan saya, Louise akhirnya memeluk Islam dan menghilang diri selama 40 hari. Khabarnya, dia pergi dengan Jemaah Tabligh menyebarkan Islam.

    "Namanya pun sudah berubah menjadi Luqman. Suatu hari Luqman datang berpakaian serba putih dengan seorang syeikh bernama Iqbal. Pada masa itu saya dan beberapa teman jalanan sedang bermain dadu, minum, dan merokok. Saya terpegun melihat Louise, wajahnya kelihatan bercahaya. Saya boleh melihat perubahan dalam dirinya.

    "Jadi, saya terus meninggalkan yang lain. Saat itu, syeikh ada bertanyakan sama ada saya percaya akan Allah yang Esa dan Nabi Muhammad. Saya tahu tentang Allah tetapi tidak tentang Muhammad. Melihat perubahan pada Louise, tanpa ragu-ragu dan teragak-agak, saya minta diajar mengucapkan dua kalimah syahadah, di tepi jalan itu juga. Adik saya yang menyaksikan insiden itu juga, ikut bersyahadah," katanya.

    Terang Hamza lagi, berita pengislaman itu diterima sedih oleh keluarganya. Pun begitu, apabila mendapati dengan cara itu dia adik beradik bebas daripada dadah dan kegiatan berbahaya, ibu bapa mereka merestuinya.

    "Ibu saya sangat menyokong kerana saya berubah menjadi seorang anak yang memberatkan ibu, membantu dalam urusan keluarga dan melakukan apa sahaja yang dimintanya.

    "Dulu sebelum menjadi Muslim, saya tidak pernah ambil kisah tentang ibu. Perubahan dalam diri saya turut menarik kakak saya untuk bergelar Muslim. Kemudian, salah seorang rakan saya ikut jejak. Akhirnya, lebih daripada 55 orang kenalan saya memeluk Islam," jelasnya.

    Langkah seterusnya yang diusahakan Hamza ialah kembali ke tempat di mana mereka menjual dadah dan memasang papan tanda bertanda Heroin membunuh kamu dan Allah menyelamatkan anda!

    Hasilnya, ramai daripada mereka terpengaruh.

    Ditanya masalah yang dihadapi sebagai Muslim jelas Hamza pada peringkat awalnya, dia bagai hilang arah kerana beranggapan terpaksa menurut apa yang diperkatakan oleh Muslim lain.

    "Saya jadi keliru apabila ada beberapa orang Muslim, mengajar saya untuk melihat Muslim lain dan mengkritik umat Islam lain. Antaranya dalam aspek penampilan seperti Muslim yang berjanggut panjang dan 'pakaian aneh' mereka.

    "Sampai satu peringkat, perbuatan mengkritik orang menjadi lebih kerap sementara mengingat Allah menjadi sedikit. Saya mulai rasa kehilangan nikmat kemanisan yang dialami ketika pertama kali menjadi Muslim. Namun, saya lakukan transformasi besar bersandarkan pernyataan, hanya melihat kesalahan diri, bukan kesalahan orang," katanya.

    Keselamatan duniawi, ukhrawi

    Posted: 08 Mar 2012 07:26 PM PST


    Pendidikan Islam penting diajarkan kepada anak-anak supaya mereka tetap beramal dengan amalan soleh. - Gambar hiasan


    PENDIDIKAN dalam Islam mestilah bersandarkan kepada kalimah Islam. Ini bermakna pengertian pendidikan yang digunakan kepada bahasa asal agama Islam perlulah dilihat agar kefahaman tentang pendidikan Islam itu benar-benar dikuasai.

    Justeru, pendidikan dalam Islam dari segi bahasa Arab terdiri daripada beberapa perkataan utama, iaitu tarbiyyah, tarbib, ta'adib, tadris, ta'alim, tazkiah dan riyadah.

    Perkataan-perkataan ini semuanya membawa maksud menjaga, mengasuh dan mendidik ke arah kebaikan. Pendidikan dalam Islam yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah memberikan definisi yang menguatkan makna yang tersurat dalam bahasa Arab.

    Dalam kehidupan beragama, Islam tidak memaksa seseorang memeluk menganuti ajaranya. Walau bagaimanapun, anak yang dilahirkan oleh kedua-dua ibu bapa Islam sudah tentu akan dididik dengan agama Islam.

    Bagi yang bukan Islam, seseorang itu diberikan kebebasan memilih agama yang disukai. Dalam hal kepercayaan lain taghut bermaksud syaitan, berhala dan kepercayaan-kepercayaan yang menyesatkan.

    Telah dijelaskan bahawa kesan-kesan buruk amalan taghut antaranya masyarakat akan berpecah belah dan seseorang itu akan dibenci oleh orang lain.

    Selain itu ia akan mendorong seseorang melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Seterusnya, perbuatan jenayah akan berleluasa dalam masyarakat.

    Dalam suatu riwayat Nabi SAW bersabda: Sufyan bin Abdullah berkata; Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang Islam. Aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain. Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ikrarkan (katakan): Aku beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur (istiqamah). (riwayat Muslim).

    Islam adalah agama yang benar-benar sesuai dengan fitrah manusia. Terdapat beberapa hikmah berpegang dengan agama Islam. Antaranya seseorang itu akan selamat di dunia dan di akhirat.

    Juga terhindar daripada melakukan kejahatan. Seseorang itu akan dikasihi dan diredai Allah. Kita akan dikurniakan ketenangan dan ketenteraman dan memperoleh kejayaan dalam hidup.

    Sebagai ibu bapa dan guru, perkara ini hendaklah dididik kepada anak-anak di rumah dan pelajar di sekolah. Tugas pengajaran dan pendidikan ini dapat dilakukan dengan baik dan sempurna sejak seseorang itu masih kecil, remaja dan meningkat dewasa. Hal ini penting bagi anak-anak supaya tetap beramal dengan amalan soleh.

    Terdapat beberapa keburukan jika kita tidak mengikut ajaran Islam. Antaranya jauh daripada hidayah Allah. Hidup dalam kesesatan. Terdedah untuk melakukan kemungkaran dan suka melakukan kezaliman dan amalan kebaikan tidak diterima.

    Sikap Mukmin yang berpegang kepada agama Allah. Antaranya melakukan ibadat kepada Allah, memiliki ilmu pengetahuan, melakukan kebaikan kepada orang ramai menjauhi perkara-perkara yang tidak berfaedah, berdaya maju dan berdaya saing.

    Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Peliharalah (perintah dan larangan) Allah, nescaya kamu akan selalu merasakan kehadiran-Nya. Kenalilah Allah waktu kamu senang, nescaya Allah akan mengenalimu waktu kamu dalam kesusahan kesulitan. Ketahuilah apa yang kamu luput dari kamu adalah sesuatu yang pasti tidak mengenaimu dan apa yang akan mengenaimu pasti tidak akan meleset daripada kamu. Kemenangan (keberhasilan) hanya dapat dicapai dengan kesabaran. Kelonggaran bersamaan dengan kesusahan dan datangnya kesulitan bersamaan dengan kemudahan." (riwayat At Tirmizi).

    Potensi graduan Asia Barat

    Posted: 08 Mar 2012 07:14 PM PST


    KPMM ditubuhkan bertujuan untuk memberi pendedahan kerjaya guaman syarie kepada mahasiswa syariah di Mesir.


    GRADUAN lulusan Asia Barat terkenal dengan kemahiran mereka dalam hukum-hakam agama. Mereka juga berupaya membaca teks asal kitab-kitab agama bagi menjadi rujukan. Golongan itu memiliki potensi yang amat besar untuk dimanfaat negara, khususnya dalam bidang guaman syarie.

    Baru-baru ini, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah berjaya membantu mahasiswa syariah di Mesir menubuhkan Kelab Peguam Muda Malaysia Mesir (KPMM) di Kaherah.

    KPMM ditubuhkan bagi memberi pendedahan tentang kerjaya guaman syarie kepada mahasiswa syariah di Mesir.

    Pada tahun lepas inisiatif yang sama telah dibuat bagi penubuhan Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Majlis pelancaran yang dihadiri lebih 200 peserta itu disertai dengan forum kerjaya guaman syarie. Ia memberi input berguna tentang kerjaya sebagai peguam syarie dan undang-undang Islam di Malaysia.

    Menariknya, forum tersebut tidak hanya dihadiri oleh mahasiswa syariah tetapi turut disertai secara aktif oleh mahasiwa jurusan lain seperti usuludin, perubatan, pergigian dan ulum Islamiyah. Mereka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengetahui isu semasa perundangan negara.

    Penubuhan KPMM memang ditunggu-tunggu oleh mahasiswa syariah di Mesir kerana rata-ratanya mahasiswa syariah di Mesir memang mahir dengan hukum-hakam agama tetapi sedikit ketinggalan dari sudut undang-undang negara dan tata cara mahkamah syariah.

    Dengan adanya kelab yang bermotif kerjaya itu, sedikit sebanyak mahasiswa syariah akan dapat menimba ilmu dan melakukan persediaan menjadi peguam syarie setelah kembali ke tanahair.

    Seorang peguam syarie perlu menguasai bukan sahaja kitab-kitab thurath, tetapi juga kitab-kitab muasarah yang berfungsi mentafsirkan kitab thurath. Kitab-kitab itu saling lengkap melengkapi dan mesti dikuasai oleh peguam syarie.

    Dalam konteks Malaysia, oleh kerana undang-undang negara ini telah dikodifikasi, seorang peguam syarie tidak boleh lari daripada memahami undang-undang bertulis Malaysia sama ada undang-undang substantif ataupun procedural.

    Kaedah pentafsiran undang-undang yang selaras dengan hukum syarak juga perlu dikuasai sepenuhnya jika mahu menjadi seorang peguam syarie yang cemerlang.

    Kemahiran ini penting kerana peguam syarie juga ada kalanya dilantik dalam pelbagai jawatankuasa mendraf undang-undang. Input berguna daripada para peguam sentiasa dinantikan kerana peguam syarielah yang berada di lapangan menangani isu-isu perundangan syariah.

    Seharusnya seorang peguam syarie yang baik tidak hanya berfungsi dalam mahkamah sahaja tetapi juga di luar.

    Peguam adalah satu profesion yang dihormati. Pandangan peguam seringkali menjadi rujukan dan ikutan.

    Sekiranya seorang peguam syarie hanya memikirkan untuk memenuhi kantung sahaja maka amat malanglah masyarakat yang mendambakan peguam syarie untuk menegakkan hak-hak mereka.

    Menyedari permasalahan itu PPMM mengambil inisiatif mencari potensi baru peguam syarie yang mendapat pendidikan di Asia Barat. Diharapkan kelak alumni Kelab Peguam Muda ini akan menjadi peguam syarie yang lebih berjaya dan mahir dalam hukum-hakam dan undang-undang. Potensi besar mahasiswa Asia Barat mestilah digilap agar suatu ketika nanti mahkamah syariah akan bersinar dengan penuh kecemerlangan.

    Majlis pelancaran Kelab Peguam Muda Malaysia Mesir ini diserikan lagi dengan kehadiran delegasi Kelab Peguam Muda Jordan yang diketuai oleh Muhammad Iz'aan Azalan.

    KPMM yang diketuai Muhammad Faizal Sabhon dijangka akan memberi kesan besar kepada mahasiswa syariah dan menarik minat mahasiswa syariah di Mesir menyertai guaman syarie.

    PPMM berharap dengan tertubuhnya Kelab Peguam Muda di Jordan dan Mesir itu, potensi mahasiswa syariah di Asia Barat akan dapat digilap dan mereka akan menjadi penyumbang besar kemajuan undang-undang syariah di Malaysia.

    PPMM akan terus membimbing kelab-kelab peguam muda itu dari semasa ke semasa dan membekalkan kemahiran dan kepakaran membantu mahasiswa syariah yang berminat berkecimpung di bidang guaman syarie ini.

    Bunohan memang kelas A!

    Posted: 08 Mar 2012 07:10 PM PST


    BIARPUN seketika, kemunculan Tengku Azura membangkitkan emosi tersendiri.


    JUJURNYA, saya cukup teruja untuk menonton filem cereka kedua arahan Dain Iskandar Said berjudul Bunohan ini yang mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula semalam (8 Mac).

    Selepas 'kecewa' kerana filem pertamanya, Dukun gagal ditayangkan atas faktor sensitiviti, sudah pasti ramai lagi yang mahu menonton buah tangan terbarunya itu.

    Apatah lagi, filem tersebut sudah menjelajah dunia dengan menyertai festival filem antarabangsa selain ditayangkan di sirkit sinema dunia serta ulasan pengkritik filem asing tentang Bunohan yang rata-rata mendapat kritikan yang sangat positif dan pujian tinggi melangit.

    Apabila cerita tentang Bunohan bertebaran di seluruh dunia sehingga mampu menembusi makalah ternama seperti Variety dan The Hollywood Reporter, sudah tentu ada sesuatu yang cukup istimewa tentang Bunohan.

    Projek Pop bakal cetus fenomena

    Posted: 08 Mar 2012 07:10 PM PST


    KUMPULAN Hujan dan penyanyi Joe Flizzow antara yang terlibat dalam Projek Pop.


    MEMPERTARUHKAN pengalaman sebenar dalam dunia hiburan, drama bersiri terbitan 8TV, Projek Pop bakal membongkar kisah sebenar di sebalik kejayaan sesebuah konsert besar.

    Apa yang lebih menarik mengenai drama bersiri itu adalah penglibatan beberapa nama besar dunia hiburan seperti kumpulan Hujan, Adibah Noor, Joe Flizzow dan ramai lagi.

    Menurut pengarah bersama, Akmal Danial Mohemed Jaafar, atau lebih dikenali sebagai Atomsk dia memilih untuk mengarah drama bersiri tersebut kerana kelainan yang akan ditonjolkan projek Pop kepada penonton saluran televisyen itu.

    "Gabungan realiti dan drama bakal memberikan kelainan kepada program ini.

    "Secara jujurnya kami pernah melalui apa yang akan dipertontonkan dalam Projek Pop. Dengan pengalaman itulah kami percaya drama bersiri ini akan mewujudkan satu lagi fenomena baru kepada penonton," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri ini di Damansara, Selangor baru-baru ini.

    Bukan kisah Russell Brand

    Posted: 08 Mar 2012 07:08 PM PST


    MESKI sudah berpisah, Katy tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan bekas suami.


    PENYANYI terkenal Katy Perry baru-baru ini menafikan bahawa single terbaru miliknya bertajuk Part Of Me, merupakan lagu yang dituju kepada bekas suaminya, Russell Brand.

    Walaupun kebanyakan lirik dalam lagu itu memberi gambaran jelas mengenai perkahwinannya yang runtuh pada hujung tahun lepas, Katy memberitahu lagu tersebut sudah ditulis sejak dua tahun lalu.

    Malah katanya, lagu tersebut sudah ditulis sewaktu menyiapkan album Teenage Dream.

    "Saya menulis lagu ini dua tahun lalu. Sunggu kelakar apabila semua orang mula mengaitkannya dengan situasi sekarang.

    "Malah, ada mereka yang bekerja dengan saya juga percaya lagu itu hanya ditulis beberapa minggu lalu. Sudah tentu saya menafikannya," kata penyanyi berusia 27 itu kepada MTV News baru-baru ini.

    Wardina tabah demi tanggungjawab

    Posted: 08 Mar 2012 07:02 PM PST

    Wardina Safiyyah Fadlullah

    Siapa yang tidak kenal dengan Wardina Safiyyah Fadlullah yang kelibatnya sering kita lihat di kaca televisyen mahupun akhbar dan majalah.

    Bukanlah populariti yang hendak dikejar, namun keberadaannya dalam bidang seni secara tidak langsung mengalungkannya dengan status public figure.

    Sebagai selebriti, setiap langkah wanita berusia 33 tahun ini menjadi perhatian masyarakat termasuk kehadirannya dalam majlis-majlis ilmu dan motivasi.

    Ramai yang tersalah sangka, Wardina kini menceburi bidang baru sebagai penceramah agama dan motivasi, namun ibu kepada tiga anak ini sekeras-kerasnya menafikan tanggapan itu.

    "Saya bukan penceramah agama atau motivasi kerana saya tiada tauliah dan kelayakan dalam bidang berkenaan.

    "Saya hanyalah seorang student of knowledge yang belajar daripada sesiapa dan dari mana-mana sahaja. Daripada makcik jual kuih tepi jalan pun banyak yang boleh saya pelajari," jelas Wardina melalui kiriman e-mel kepada Zass.

    Malah, kata Wardina, dia juga tidak mahu masyarakat terus menggelarnya sebagai penceramah mahupun motivator.

    "Saya seorang wanita, ibu, aktivis, Muslim, isteri dan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dan kebaikan untuk saya, anak-anak dan negara ini, kerana jujurnya saya amat risau dengan apa yang saya lihat kini.

    "Saya cuma bertukar idea dan pengalaman dalam tulisan, lisan dan perbuatan dengan mereka yang mahu membina minda bersama berfikir secara kritis, memperbaiki diri dan mencari inspirasi sama seperti saya mahu belajar dari sesiapa sahaja," kata Wardina mengenai aktivitinya ketika ini.


    Air mata tumpah

    Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, menurut Wardina, dia langsung tidak mengharapkan pujian apatah lagi mengejar anugerah dan wang.

    Namun, bukan sekali dua air matanya tumpah setiap kali berdepan dengan fitnah dan hinaan mereka yang kurang menyenangi lantaran kelantangannya dalam berbicara dan menyuarakan pendapat.

    "Saya sanggup tinggalkan anak-anak, berkorban masa dan tenaga kerana ini sudah saya anggap sebagai tanggungjawab.

    "Saya tak mahu duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Saya akan tetap menghulurkan tangan pada remaja, kanak-kanak serta wanita yang saya sayangi bersesuaian dengan kapasiti saya," katanya.

    Menurut Wardina, kadangkala dia tertanya-tanya adakah dia sudah melakukan dosa sehingga ada segelintir masyarakat tidak dapat menerima caranya.

    "Ya, benar saya tidak sempurna. Maafkan saya. Tapi saya mahu lebih baik kerana demi ALLAH saya sedang menjaga diri, hati dan iman ini sebaiknya.

    "Apabila dikeji dengan kata-kata hina daripada musuh, kita lebih banyak muhasabah dan belajar memperbaiki diri. Jika ini menjadikan saya lebih baik, berilah saya lebih dugaan. Jika pujian menyebabkan saya rasa khayal dan selesa, maka tidak sekalipun saya inginkan," ujarnya.


    Lebih cantik dari JLo?

    Sempat juga bertanya kepada Wardina mengenai topik yang hangat dibualkan di internet mengenai artikel berkaitan dirinya di sebuah portal.

    Melalui laporan itu, Wardina dipetik sebagai berkata dalam sebuah majlis bahawa dia lebih cantik daripada Jennifer Lopez (JLo) kerana dilahirkan sebagai wanita Muslim.

    Mengakui kecewa dengan berita tersebut, Wardina menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata tersebut.

    "Itu adalah satu kenyataan yang bodoh kerana jika seseorang wanita Muslim itu akhlak buruknya, dia tetap tidak cantik walaupun lebih jelita daripada JLo.

    "Mungkin penulis berita itu lupa perkara utama yang ingin saya sampaikan iaitu cukuplah kita berkiblatkan Barat untuk menilai 'cantik' dan menggunakan pelakon Hollywood seperti JLo sebagai 'rujukan' kita," katanya.

    Menurut Wardina, sebagai Muslim kita perlu yakin bahawa ALLAH telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian seperti yang disebut dalam Surah At-Tin.

    "Tak usah rasa rendah diri kalau kita tidak seperti apa yang majalah atau Barat 'label' sebagai cantik.

    "Cukuplah kita tiru mata, solekan, pakaian, rambut mereka. Yakinlah dalam diri yang lebih penting ialah apabila kita cantik dengan adab, akhlak, Islam, iman dan ihsan," katanya.

    Polis cedera dilibas parang

    Posted: 08 Mar 2012 07:00 PM PST

    Polis cedera dilibas parang

    SERDANG – Seorang kons­tabel polis cedera tangan kanan akibat terkena libasan parang ketika memberkas ketua kumpulan penjenayah, dikenali Geng LC, dalam kejadian di parkir sebuah pasar raya di Puchong, Sabtu lalu.

    Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, Ahmad Azraeen Junaidi, 25, terlihat seorang lelaki terjatuh daripada motosikal Yamaha 135 LC selepas cuba meragut beg ta­ngan wanita, berusia 33 tahun.

    Ahmad Azraeen berkata, lelaki itu kemudiannya me­ngacukan parang ke arah mangsa serta orang awam.

    "Saya bersama seorang lagi anggota cuba memberkas suspek yang bertindak agresif. Ketika itu berlaku pergelutan.

    "Ketika saya cuba menangkap­ dan menggarinya­, suspek sempat melibas parang sehingga mengenai tapak tangan kanan," katanya ketika ditemui, semalam.

    Menurutnya, selepas suspek berusia 27 tahun itu diberkas, anggota polis itu dibawa ke klinik berhampiran untuk ra­wa­tan.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Batu 13, Puchong dan memberkas seorang lelaki dan merampas beberapa barangan disyaki barang curi dan senjata berbahaya.

    Abdul Razak berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Kampung Kenanga dan menahan empat lagi lelaki.

    "Kita merampas empat motosikal Yamaha 135 LC dan Honda Wave yang dilaporkan dicuri, antaranya di USJ 8, Bukit Puchong dan Senawang, Negeri Sembilan.

    "Semua suspek, berusia antara 26 dan 53 tahun, adalah ahli kumpulan Geng LC yang aktif sejak enam bulan lalu. Mereka melakukan kegiatan samun dan curi motosikal jenis Yamaha 135 LC," katanya.

    Katanya, semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau bersabit dadah dan curi.

    Beliau berkata, dengan penahanan semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut dan 13 kes curi motosikal di daerah ini.

    ‘Pancing’ duit masjid RM5

    Posted: 08 Mar 2012 06:58 PM PST

    Draman-(kiri)-dipenjara-sehari-dan-didenda-RM500-kerana-'mengail'-duit-tabung-masjid-berjumlah-RM5.

    KUALA TERENGGANU - Kedengaran lucu, tapi ia sebenarnya menjengkelkan. Seorang penganggur yang mungkin terdesak, sanggup 'memancing' menggunakan lidi, semata-mata kerana ingin mencuri wang tabung masjid sebanyak RM5.

    Bagaimanapun, tindakan 'kreatif' tertuduh iaitu Draman Hamzah, 39, yang berasal dari Kebor Besar, di sini, akhirnya dibalas dengan hukuman penjara selama sehari.

    Majistret Noradila Ab Latif ketika membaca keputusannya turut memerintahkan agar tertuduh membayar denda sebanyak RM500 atau dipenjara selama dua minggu jika gagal membayar denda.

    Sebelum itu, tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan ke atasnya dibacakan. Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor V Ravi.

    Berdasarkan fakta kes, pengadu, Sayed Shahidi Sayed Mohamad, 38, pada 6 Mac lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari, yang ketika itu berada di rumah seorang rakan di Kampung Tok Ku Chabang 3, menyedari seorang lelaki tidak dikenali duduk berdekatan tabung masjid di situ, dipercayai hendak mencuri wang dalam tabung.

    Pengadu bersama rakannya kemudian ke pintu utama masjid, dan mendapati ada lelaki sedang 'mengail' dengan menggunakan lidi dalam tabung tersebut.

    Dia bersama rakannya kemudian menangkap suspek dan ketika ditangkap, terdapat RM4 dalam genggaman tangan kiri dan RM1 masih lagi berada pada lidi pengail.

    Pengadu kemudiannya merampas RM5 daripada suspek dan tidak lama kemudian, polis tiba. Dia kemudiannya menyerahkan wang RM5 itu dan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

    Categories