RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Nafi putus kasih

Posted: 09 Mar 2012 02:01 AM PST

pix_gal0
Cinta Jangan Pergi papar kisah hubungan Tiz, Remy

LUAHAN Remy Ishak yang mengakui memerlukan masa tatkala disentuh perihal cintanya yang dikatakan sudah berakhir mengundang persoalan memandangkan sebelum ini dia dan Tiz Zaqyah dilihat serasi bersama.Cuma berbanding diri si jejaka, pihak gadis pula dilihat selesa ketika berkali-kali membuat penafian. Malah dia menegaskan, mereka masih bersama hingga sekarang.
Saya tidak faham, kenapa soalan mengenai gosip sama juga yang diajukan, sedangkan saya sudah pun memberi komen kepada media sebelum ini yang kami masih lagi bersama. - Tiz Zaqyah, Pelakon
Tegas Tiz saat ditemui pada sidang media Wanita Inspirasiku di Kota Damansara semalam, selagi kenyataan putus hubungan tidak keluar daripada mulut Remy sendiri, selagi itu dia tidak akan percaya dengan segala desas-desus yang bertebaran.

Bagi pelakon berusia 24 tahun ini, hanya kesibukan tugas yang membuatkan orang luar jarang terlihat kelibat mereka berdua, sehingga timbul cerita kurang enak menyatakan segala-galanya sudah berakhir.

"Kami masih bersama dan gosip yang mengatakan kami putus tidak berasas. Kalau benar dia (Remy) yang mengatakan hubungan kami sudah berakhir, kenapa tidak di depan saya?

"Mungkin orang salah anggap kerana tidak melihat kami ke mana-mana bersama. Hakikatnya, perhubungan kami masih seperti dulu," katanya dengan tenang. Seakan memahami persoalan berkaitan hubungan bakal diaju media semetelah kekasihnya sendiri dikatakan pernah memaklumkan kepada teman media dirinya sudah kembali solo, Tiz cukup berhati-hati menyusun bicara.

Walau kurang selesa berkongsi soal hati, pelakon Nur Kasih itu tetap membalas setiap persoalan, cuma dari bahasa tubuh serta riak wajahnya, dia seperti cuba menyembunyikan sesuatu.

"Saya tidak faham, kenapa soalan mengenai gosip sama juga yang diajukan, sedangkan saya sudah pun memberi komen kepada media sebelum ini yang kami masih lagi bersama.

"Itu cuma gosip dan bagi saya pula, adalah lebih selesa untuk bercerita mengenai karier berbanding soal peribadi. Publisiti sebegini kena adil dan seiring dengan karier saya kerana peminat juga ingin tahu fasal karier, bukan hanya gosip," katanya.

Menyentuh mengenai jangka hayat perhubungan mereka, Tiz menyerahkannya kepada ketentuan Tuhan. Dia juga sedia menerimanya sebagai takdir jika tiada jodoh di antara mereka.

Sibuk dengan penggambaran drama terbaru berjudul Dejavu Di Kinabalu, Tiz memegang watak Nadira bergandingan dengan Aqasha yang membawa watak Amar. Turut berlakon bersama mereka ialah pelakon baru, Aisyah.

Selain itu, Tiz juga akan bergandingan dengan kekasih hatinya dalam drama Cinta Jangan Pergi yang akan menjalani penggambaran di Eropah, Jun ini.

"Skrip ditulis oleh Zul Huzaimi dan sedikit sebanyak ia ada kaitan dengan kisah percintaan kami. Mungkin drama ini akan dapat menguatkan lagi pandangan orang mengenai hubungan kami," katanya.

Perkahwinan Fasha Sandha Dengan Anak Ramli Ngah Talib Tanpa Tajaan

Posted: 09 Mar 2012 02:00 AM PST

Fasha bakal bernikah dengan Jejai bulan depan.

PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Fasha Sandha mengambil pendekatan untuk tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak apabila enggan menerima sebarang tajaan bagi majlis perkahwinannya dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli yang dirancang pada bulan depan.

Fasha berkata, segala kelengkapan perkahwinan termasuk empat persalinan busana untuk majlis itu akan dibayar sendiri oleh bakal suaminya yang sejak awal-awal lagi memaklumkan agar tidak mengharapkan penaja.

"Saya dan bakal suami tidak akan menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak kerana bakal suami ingin mengeluarkan sendiri perbelanjaan untuk majlis perkahwinan kami nanti.

"Tambahan pula kami tidak mahu terhutang budi dengan mereka yang ingin berbuat demikian dan biarlah apa yang ada nanti datang daripada kami sendiri," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Wajah Inspirasiku TV3 di sini.

Tambah Fasha, dia dan Rizal atau lebih dikenali dengan panggilan Jejai juga tidak mengimpikan sebarang majlis besar-besaran tetapi hanya berpuas hati dengan acara yang serba sederhana.

"Saya tidak mengimpikan gelaran weeding of the year sebaliknya berpuas hati dengan majlis sederhana kerana lebih mudah untuk menyapa dan bertemu dengan tetamu.

"Sebarang sidang akhbar juga tidak akan diadakan untuk hebahan mengenai perkahwinan ini kerana menghormati permintaan bakal suami," ujarnya.

Dalam pada itu, Fasha memberitahu dia dan Jejai yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu akan bernikah di rumah pasangan tersebut di Ampang, dekat sini.

Fasha berkata, pada hari tersebut turut diadakan resepsi pertama bagi meraikan hari bahagia mereka sebelum mengadakan dua lagi majlis di Perlis dan di sebuah destinasi yang masih dirahsiakan lokasinya untuk kenalan terdekat.

Bagaimanapun pelakon itu masih enggan mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka.

"Majlis resepsi di Kuala Lumpur akan diadakan selepas akad nikah di rumah yang dibelikan oleh Jejai kepada saya dan dua acara lagi menyusul di Perlis dan sebuah lokasi luar Malaysia untuk kenalan terdekat.

"Tarikh untuk tiga acara itu tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini tunggulah selepas kad kahwin diedarkan," katanya.

Sementara itu, Fasha memberitahu persiapan perkahwinannya masih berjalan dan tidak mengkhususkan sebarang tema untuk hari bahagianya itu nanti.

Fasha memberitahu, cuma majlis di Perlis bersama-sama ahli keluarganya akan berkonsepkan tradisional atas keinginannya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Fasha memberitahu dia dan bakal suaminya akan berbulan madu di Pulau Redang selepas perkahwinan mereka dan mengakui menerima lamaran Jejai selepas kali kedua lelaki itu berbuat demikian.

Jejai sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Nora Danish pada 2006 tetapi hubungan mereka hanya bertahan selama dua tahun. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki Putera Rayqal Ramli yang kini berusia lebih dua tahun.

Permulaan Fursan

Posted: 09 Mar 2012 01:58 AM PST


ANGGOTA kumpulan Fursan, (berdiri, dari kiri) Abdul Muiz, Mohd. Hafiz, Hairulnizam, Mohd. Zulkifli dan Hambali (duduk).


MEREKA bukan sahaja berkhidmat untuk mempertahankan negara, tetapi mungkin ramai tidak tahu yang pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai sebuah kumpulan nasyid di bawah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang telah dicetuskan oleh mantan Pengarah Kagat ketiga iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom sejak tahun 1998 lagi.

Sejak ia ditubuhkan, sebuah kumpulan nasyid yang dinamakan sebagai Fursan telah ditubuhkan. Dianggotai oleh lima orang anggota ATM iaitu Kapten Hairulnizam Hamid, Staf Sarjan Mohd. Zulkifli Mohd. Zin, Staf Sarjan Hambali Hashim, Lans Koperal Mohd. Hafiz Aziz serta Lans Koperal Abdul Muiz Mohd. Esa, Fursan telah mula popular dalam kalangan kem tentera seluruh Malaysia sejak ia rasmi ditubuhkan pada tahun 2010.

Membawa penampilan berbeza dengan memakai pakaian seragam ATM setiap kali membuat persembahan, Fursan ingin mewarnai industri nasyid tempatan yang dilihat semakin suram.

"Industri nasyid Malaysia pada masa kini kelihatan agak perlahan, jadi kami berharap dengan kehadiran Fursan, dapat memeriahkan lagi industri nasyid kita," bicara Hairulnizam yang juga menambah mereka ingin menggunakan medium hiburan alternatif Islam untuk berdakwah.

Malah dalam diam-diam, mereka telah mempunyai album pertama yang berjudul Ibtida' (Permulaan).

Album yang berkonsep nasyid pop kontemporari tersebut mengandungi sembilan buah lagu iaitu Kelahiran, Peribadi Unggul, Bayangan Syurga, Kembara, Ummah Gemilang, Keinsafan Diri, Keindahan Islam, Sirah Maulidur Rasul dan sebuah lagu bonus iaitu Daie Askari.

"Kami juga merupakan pakar motivasi dalam Kagat dan setiap kali majlis motivasi berlangsung, kami akan membuat selingan persembahan daripada Fursan.

"Single pertama Fursan yang berjudul Keinsafan Diri pernah menjadi juara di carta nasyid IKIM.FM dan ia merupakan lagu paling lama bertahan dalam carta iaitu selama 30 minggu selain dua buah lagu lain yang turut dicalonkan. Lagu tersebut juga merupakan antara lagu terbaik sepanjang 2011 berdasarkan permintaan pendengar di radio IKIM.FM," ujar Hairulinizam lagi mengenai perkembangan Fursan.

Aktiviti Fursan juga boleh diketahui dengan melayari laman sosial Facebook mereka di www.facebook.com/fursankagat atau laman blog mereka iaitu www.fursankagat.blogspot.com.

Almy Nadia Lebih Kuat Kerana Anak Angkat

Posted: 09 Mar 2012 01:56 AM PST

Almy bersama anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya yang kini berusia 3 tahun.

PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia menganggap kehadiran anak angkatnya yang dipelihara sejak tiga tahun lalu berjaya mengubah dirinya menjadi seorang wanita yang lebih matang dan bersemangat kuat.

Almy berkata, anak yang diberi nama Nur Afrina Darwisya itu turut mengajarnya erti kematangan dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang wanita.

"Sejah setahun kebelakangan ini saya sibuk memberi tumpuan kepada anak angkat saya ini. Kehadirannya benar-benar telah mengisi kehidupan saya," katanya kepada mStar Online pada Majlis Pelancaran Wanita Inspirasi TV3 di sini pada Khamis.

Bercerita lanjut mengenai anak angkatnya itu, Almy berkata kanak-kanak itu diambil daripada salah seorang saudaranya dan mula menjaga sejak dilahirkan.

Tambahnya jika sibuk dengan jadual penggambaran, tugas menjaga Nur Afrina diberikan kepada ibu Amly yang tinggal di Pulau Pinang.

"Setiap kali habis penggambaran atau apa-apa kerja saya akan terus balik naik bas atau menaiki kereta api untuk balik ke Pulau Pinang bagi bertemu dengan anak," ujarnya.

Tambahnya, dia masih dalam proses mendapatkan hak penjagaan kekal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap kanak-kanak tersebut dan dalam proses mendaftarkannya sebagai anak angkat secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Setahun menghilang daripada khalayak, Almy membuat kemunculan di Majlis Pelancaran Wanita Inspirasi TV3 di Full House Kota Damansara di sini pada Khamis. Gambar Ihsan TV3

"Jika Afrina dapat menjadi hak kekal saya, saya berhasrat untuk membawa ibu saya dan anak angkat saya itu mengerjakan Umrah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan kekasihnya iaitu pelakon Fizz Fairuz tentang keputusannya untuk mengambil anak angkat, Almy memberitahu Fizz tidak menghalang dan menerima Afrina dengan baik.

Bagaimanapun kekasihnya itu belum pernah berjumpa dengan Afrina kerana dia berada di Pulau Pinang.

"Fizz langsung tiada masalah dengan perkara tersebut dan menyokong tindakan saya untuk mengambil Afrina sebagai anak," ujarnya.

Sempat ditanya mengenai hubungannya dengan Fizz, Almy menjelaskan mereka masih lagi bercinta cuma tidak menunjukkan kemesraan itu di hadapan khalayak dan media.

Mereka memilih untuk bersikap 'low-profile' dan enggan mendedahkan terlalu banyak mengenai kisah cinta mereka kepada umum.

"Saya sedar pelbagai tohmahan orang buat mengenai hubungan kami dengan mengatakan bahawa kami telah putus cinta. Rasanya tak baik berkata begitu kerana ia boleh menjadi satu doa buat saya dan Fizz," jelasnya.

John Carter padat aksi, pengembaraan

Posted: 09 Mar 2012 01:55 AM PST

pix_middle

BERJAYA membina kerjayanya sebagai pengarah dan penulis lakon layar bagi filem animasi dengan meraih pelbagai anugerah, Andrew Stanton lebih yakin dengan sentuhan terbarunya, John Carter yang mula menemui penonton di seluruh dunia.

John Carter yang mula ditayangkan di Malaysia mulai semalam, adalah karya epik fantasi membariskan pelakon popular dengan mengangkat penceritaan yang diterjemahkan daripada novel nukilan Edgar Rice Burroughs berjudul Princess of Mars, kira-kira 100 tahun lalu.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    SERASI...(kiri) Stanton sering berbincang dengan pelakon di set penggambaran.

  • Foto

  • Foto

Filem yang menelan belanja sekitar AS$250 juta ini adalah percubaan sulung Stanton dalam filem epik kerana sebelum ini beliau terkenal menerusi karya animasi hebat termasuk Up, Toy Story, A Bug's Life, Monsters Inc, Finding Nemo, The Incredibles, Cars, Ratatouille dan WALL-E.

Jelasnya yang ditemu bual penulis di hotel mewah Boulders Hotel & Golden Spa Door Resort, Arizona, John Carter bakal menjadi kayu pengukur terbaru buatnya.

Ia juga peluang terbaik terus mengukuhkan lagi kemampuannya baik sebagai penulis mahupun pengarah filem.

"Memang awalnya saya gementar dan bimbang kerana menghasilkan filem aksi fantasi sebegini . Ia adalah sesuatu yang sukar dan berdepan banyak risiko.
Mana tidaknya, ia memerlukan satu produksi yang komited dengan pemantauan teliti agar setiap gerak pelakon mengikut plot cerita.

"Karya animasi yang saya hasilkan sebelum ini tiada sebarang had atau sekatan dari segi imaginasi, namun kali ini ia membabitkan lakonan manusia dan bentuk yang berbeza.

"Ia harus relevan bentuk cerita dan rekaan set yang dicipta tenaga produksi.
Itulah antara cabaran yang harus saya lalui lebih-lebih lagi pihak Walt Disney sendiri sudah meletakkan sepenuh keyakinan buat diri saya.

"Saya ingin percubaan pertama ini akan menjadi sesuatu yang hebat kerana ramai pihak mahu melihat bagaimana hasil kerja saya dalam sebuah produksi filem bukan animasi.

"Saya mengharapkan supaya semua peminat filem saya sebelum ini datang menyaksikan karya saya kali ini dan menilai sejauh mana baiknya kesan visual yang kami buat," katanya.

Filem ini mengisahkan perjalanan seorang pahlawan, John Carter yang secara magik tercampak ke Planet Barsoom yang juga dikenali sebagai Marikh.

Selain terpaksa berdepan dengan rasa janggal akan kehidupan pelik dan masyarakat yang pelbagai rupa di sana, Carter tiba-tiba terpaksa menjadi ketua yang memimpin puak di sana dalam menentang musuh yang ingin menghapuskan mereka.

Pelbagai kejadian yang berlaku hingga membuatkan Carter akhirnya bertemu puteri raja. Tidak setakat aksi dan babak cemas pertarungan, filem ini juga sarat dengan elemen drama dan percintaan.

Watak utamanya yang sarat elemen hero gagah dilakonkan bintang muda, Taylor Kitsch yang sebelum ini terkenal menerusi filem Snakes On A Plane, The Covenant, Gospel Hill dan X-Men Origins: Wolverine.

Selain Kitsch, filem yang turut memaparkan pelbagai kehidupan aneh di Marikh itu membariskan pelakon lain termasuk Lynn Collins, Willem Dafoe, Thomas Haden Church, Samantha Morton, Ciaran Hinds dan Mark Strong.

Mengakui gembira kerana berpeluang bekerja dengan barisan pelakon yang hebat dan tidak ada masalah dalam memenuhi permintaannya, Stanton melihat kebebasannya sebagai seorang penulis dan pengarah dimanfaatkan secara 'total'.

"Persamaannya, saya masih lagi duduk berjam-jam bersama penyunting terutama dari segi teknikal dan kesan khas yang digunakan dalam filem ini. Terlalu banyak 'green screen' kami gunakan bagi mewujudkan suasana sebenar di planet yang pelik itu.

"Namun kelainannya, saya tidak boleh terlalu membayangkan sesuatu yang melangkaui kemampuan manusia kerana sebelum ini, semuanya watak kartun dalam filem saya. Saya perlu lebih kreatif dalam menyuntik rasa menarik kepada penonton dan memberi lebih fokus pada setiap watak yang saya bina. Itulah antara kekuatan sebenar John Carter.

"Uniknya kali ini, saya tidak lagi terikat dengan piawaian sebelum ini iaitu kebanyakan penonton yang mengikuti filem saya adalah kanak-kanak dan keluarga mereka. Lantas saya harus memastikan filem ini ada elemen kelakar agar kanak-kanak tidak akan 'membenci' saya," katanya berjenaka.

Petang itu, sidang media yang dihadiri kira-kira 50 wakil media antarabangsa seluruh dunia itu berpeluang mendekati ramai pelakon utama filem John Carter termasuk pengarah dan produsernya.

Malah Stanton turut ditemani tiga penerbit yang mempertaruhkan jutaan ringgit pada kreativitinya iaitu Jim Morris, Colin Wilson dan Lindsey Collins.

Jelasnya lagi, John Carter juga adalah pertemuan kembali buatnya bersama tiga produser yang juga pernah bersama-sama menerima pengiktirafan sebelum ini menerusi Finding Nemo.

"Bukan lagi soal filem saja tapi pelaksanaan projek ini saya sifatkan sebagai gabungan semula bersama tiga penerbit yang sudah seperti keluarga saya sendiri.

"Morris, Wilson dan Collins adalah tiga produser yang tidak pernah berhenti daripada terus mempercayai hasil kerja saya. Mereka sentiasa menyokong dan yakin dengan apa saja keputusan yang saya lakukan.

"Oleh itu, saya seronok bekerja dengan mereka dan semua pelakon filem ini," katanya yang berharap peminat di Asia juga akan menyokong filem menarik ini.

Difitnah Rogol Anak Tiri, Wan (Shades) Lapor SKMM

Posted: 09 Mar 2012 01:53 AM PST

Wan (Shades) dalam satu sidang media bagi menjelaskan perasaan tidak puas hatinya terhadap sebuah blog hiburan yang dikatakan memfitnahnya baru-baru ini.

PETALING JAYA: Bekas penyanyi kumpulan Shades, Mohamad Faizal Mohd Ali atau Wan telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik sebuah blog hiburan yang didakwa telah memfitnahnya menjadi suspek kes rogol anak tiri.

Wan,39, yang dihubungi mStar Online di sini, Jumaat berkata aduan itu dibuat pada Khamis di ibu pejabat SKMM di Putrajaya kerana pemilik blog berkenaan gagal memohon maaf.

Wan telah memberi masa selama tujuh hari untuk mereka berbuat demikian.

"Aduan kepada SKMM itu dibuat berikutan fitnah ke atas saya yang telah dibuat oleh blog hiburan berkenaan dan ia adalah susulan kepada laporan polis dan sidang akhbar yang diadakan sebelum ini.

"Saya telah memohon mereka untuk bersemuka dengan saya dan membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi selepas tujuh hari masih belum ada sebarang tindakan dibuat.

"Aduan itu untuk mengenal pasti siapakah "blogger" berkenaan dan lokasi mereka menjalankan operasi supaya mudah untuk pihak berkuasa mengesan bagi tindakan selanjutnya," ujarnya yang masih bujang.

Wan yang popular dengan lagu "Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal" ketika bersama Shades mendakwa difitnah apabila sebuah blog hiburan menyiarkan laporan tidak beretika dengan tajuk Wan Shades Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol Anak Tiri Selama Tujuh Tahun pada 20 Februari lalu.

Tajuk berkenaan menurut Wan telah mencemarkan maruahnya sebagai seorang selebriti dan kedudukannya sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia, dekat sini.

Dalam pada itu, Wan berkata, dia akan tetap meneruskan saman terhadap blog hiburan tersebut bagi membersihkan namanya selain memberi pengajaran kepada penulis-penulis blog yang tidak mengamalkan etika dalam menghasilkan sesebuah laporan.

Tambah Wan, dia sedang menunggu siasatan daripada pihak SKMM dan dijangka akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat sebelum meneruskan proses menyaman pihak tersebut.

"Gosip dalam dunia hiburan adalah perkara biasa tetapi fitnah dan tuduhan tidak berasas adalah satu masalah yang tidak patut dilakukan.

"Apabila timbul cerita sebegini ia memberikan impak bukan sahaja kepada kerjaya tetapi juga maruah dan orang di sekeliling saya," katanya.

Sementara itu, Wan memberitahu dia terkilan apabila pihak blog hiburan tersebut enggan berjumpa dengannya bagi menjelaskan mengenai situasi tersebut.

"Langsung tiada usaha untuk berjumpa atau menelefon saya untuk memperjelaskan mengenai isu itu apatah lagi untuk meminta maaf. Ia suatu tindakan yang tidak bermaruah," jelasnya.

mStar Online difahamkan, selain Wan, terdapat seorang lagi selebriti wanita yang dikaitkan dengan penyebaran gambar separuh bogelnya turut membuat laporan serupa.

Angau sampai kebas duit atuk

Posted: 09 Mar 2012 01:52 AM PST

KUALA LIPIS: Hanya kerana ingin memiliki sebuah kereta serta berkahwin dengan wanita pujaan, seorang penganggur berusia 40-an sanggup mengeluarkan wang milik datuknya berjumlah RM21,760 menerusi 19 pengeluaran bemenggunakan kad ATM di sekitar bandar ini tanpa pengetahuan warga emas yang juga pesara polis itu.

Kejadian terbabit disedari pesara berusia 74 tahun berasal dari Kampung Kuala Kechau, di sini, pada 1 Februari lalu ketika dia mahu mengeluarkan wang apabila mendapati jumlah simpanannya berkurangan.


Hairan dengan kekurangan jumlah wang simpanannya hasil daripada penjualan tanah, mangsa meminta kakitangan bank membuat semakan sebelum dimaklumkan terdapat 19 kali pengeluaran wang menerusi kad ATM sejak Januari lalu.

Difahamkan, pada 12 Januari lalu, mangsa pernah didesak cucunya membuat kad ATM dengan alasan kasihan melihat datuknya itu menunggu lama setiap kali mahu mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan.


Mangsa bersetuju membuat kad ATM itu dan tidak sedar nombor identiti peribadi (PIN) yang sepatutnya menjadi rahsia sudah ditukar cucunya yang memegang kad berkenaan.


Selepas menghantar mangsa pulang ke rumah, lelaki berkenaan membuat pengeluaran wang sedikit demi sedikit di beberapa buah bank sehingga mencecah jumlah RM21,760 sebelum melarikan diri dan gagal dihubungi datuknya.

Mangsa kebingungan selepas wang itu hilang, mengambil masa hampir seminggu mengesan suspek, namun gagal menemui cucunya itu yang dipercayai sudah melarikan diri.


Berikutan itu, warga emas berkenaan membuat laporan di Balai Polis Lipis, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit berkata, sehingga kini, suspek masih gagal dikesan, namun polis percaya penganggur terbabit masih berada di daerah ini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa mula mengetahui kehilangan wang berkenaan ketika mahu membuat pengeluaran wang sebanyak RM500 di bank untuk kegunaan keluarga.


Katanya, mangsa terpaksa mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan kerana cucunya tidak menyerahkan kad ATM sebelum mendapati baki akaun tidak sampai RM200.


"Bagaimanapun, pada masa sama kami percaya lelaki terbabit bertindak demikian kerana tidak bekerja dan memerlukan wang. Siasatan awal mendapati lelaki itu ada membeli Perodua Myvi terpakai serta berkahwin dengan teman wanitanya, baru-baru ini.


"Mangsa turut mengesahkan dia tidak pernah mengeluarkan wang sebelum ini dan polis masih meneruskan gerakan memburu penganggur terbabit yang dikatakan sudah melarikan diri," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan kejadian terbabit dan mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

Buang ibu di hotel bajet

Posted: 09 Mar 2012 01:50 AM PST

KESEORANGAN...Faridah yang ditinggalkan anaknya.
KESEORANGAN...Faridah yang ditinggalkan anaknya.

KUALA LUMPUR: Menitis air mata seorang ibu yang lumpuh apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, sejak empat hari lalu.

Dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan.

Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota.

Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.


Ketika ditemui Harian Metro semalam, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya.

Ambil dadah keluar meragut

Posted: 09 Mar 2012 01:49 AM PST

BUKTI...senjata dan barangan yang dirampas daripada anggota Geng LC.
BUKTI...senjata dan barangan yang dirampas daripada anggota Geng LC.

PUCHONG: Enam lelaki anggota kumpulan samun dan ragut bermotosikal dikenali Geng LC yang ditumpaskan polis beberapa hari lalu dikesan menagih dadah jenis heroin dipercayai bagi meningkatkan stamina ketika melakukan jenayah berkenaan di bandar ini sejak enam bulan lalu.

Kumpulan terbabit tumpas selepas polis memberkas ketuanya berusia 27 tahun ketika suspek cuba menyamun seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di pusat bandar Sabtu lalu sebelum dia mendedahkan baki anggota kumpulannya. Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, kejadian samun di tempat letak kereta itu disedari dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah yang ternampak suspek menarik beg tangan mangsa seorang pembantu peribadi swasta berusia 33 tahun.


Menurutnya, mangsa melawan dengan menarik semula beg tangannya menyebabkan suspek jatuh daripada motosikalnya, namun suspek bangkit dan mengeluarkan parang ke arah mangsa.

"Melihat kejadian itu, dua anggota polis berkenaan menangkap mangsa dan berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota cedera di tangan kanan terkena parang.


"Suspek juga dipercayai khayal ketika melakukan jenayah itu dan semakan lanjut mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi, manakala nombor pendaftaran motosikal digunakannya juga palsu serta dilaporkan hilang di USJ 8, Subang Jaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat POlis Daerah (IPD) Serdang, di sini, semalam.


Abdul Razak berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Bersatu, di sini, sebelum polis menahan seorang lelaki yang juga anggota kumpulan itu berusia 33 tahun.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai senjata yang digunakan untuk menyamun dan peralatan mencuri motosikal serta beberapa barangan dipercayai milik mangsa mereka.


"Suspek kedua juga mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, curi, dan pecah rumah termasuk dua langkah pencegahan khas di Terengganu," katanya.

Beliau berkata, suspek kedua kemudian membawa polis ke Kampung Kenangan, di sini, sebelum menahan empat lagi lelaki berusia 20-an hingga 50-an yang turut memiliki rekod jenayah lampau.


"Siasatan lanjut mendapati, semua suspek bekerja dalam satu kumpulan dan bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan dengan tangkapan ini polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut dan 13 kes curi motosikal di Puchong," katanya.

Ahli Silap Mata, Mahdi Moudini Sangkal Guna Ilmu Hitam

Posted: 09 Mar 2012 01:34 AM PST

Mahdi Maudini

PETALING JAYA: Ahli silap mata terkenal, Mahdi Moudini,37, menyangkal dakwaan kononnya dia menggunakan sihir iaitu ilmu hitam untuk mengaburi mata penonton dalam setiap persembahan yang dilakukannya.

Pemuda berasal dari Iran ini berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana bukan semua ahli silap mata menggunakan unsur yang tidak sihat sebalik mempamerkan muslihat untuk "memperdayakan" mata penonton.

"Saya menolak acara silap mata saya mempunyai ilmu hitam sebaliknya ia merupakan muslihat yang saya pelajari sejak berusia lima tahun lagi daripada bapa dan datuk saya," katanya kepada mStar Online di Menara Star di sini, Khamis.

Mahdi berkata ramai yang menuduhnya menggunakan ilmu hitam tetapi mereka semua tidak mengetahui silap mata boleh dilakukan jika seseorang mempelajari teknik-teknik serta disokong dengan alat-alat tertentu.

Jelasnya, sejak terlibat dalam bidang tersebut lebih 28 tahun, dia telah menghabiskan kira-kira RM1.8 juta untuk membeli peralatan silap mata bagi tujuan persembahan termasuklah prop yang digunakan untuk menghiburkan orang ramai.

Ujarnya, peralatan silap mata tidaklah semurah seperti yang disangka sebaliknya seseorang yang mahu mempelajari ilmu berkenaan hendaklah mempunyai wang yang banyak.

"Saya mengikuti kelas silap mata ini di negara saya ketika masih remaja. Saya mempelajari teknik-tekniknya selain mewarisi bakat daripada orang tua saya. Pada hari ini tidak ramai orang mengetahui silap mata itu sebenarnya boleh dipelajari dan ada alat-alat yang dibuat khas untuk tujuan berkenaan," jelasnya

Malah katanya, ilmu berkenaan dapat dipelajari dengan mudah jika dipraktikkan sejak kecil malah dia turut mengajar dua anaknya yang berusia antara tiga dan lapan tahun kemahiran tersebut.

Mahdi mempunyai pelbagai teknik silap mata yang pelik dan menakjubkan.

"Kalau anda melihat anak saya bermain silap mata, mesti anda akan kagum tetapi anda akan dapat mengesan muslihat yang hendak disembunyikan kerana mereka masih kecil dan masih lagi belum cekap," jelasnya yang sudah bernikah dengan penduduk negara ini kira-kira lima tahun lalu.

Mahdi menambah dia juga sanggup menyahut cabaran jika ada pihak yang mahu menaja untuknya "menghilangkan" Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana teknik tersebut memerlukan kos yang banyak.

Selain itu dia memberitahu sedang menyiapkan kertas cadangan mengadakan kerjasama dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menunjukkan kepakarannya keluar daripada pesawat yang dinaiki dan berada di terminal.

"Saya bercadang untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana saya yang sudah menaiki kapal terbang, tiba-tiba boleh berada di bawah ketika kapal terbang sudah berlepas. Aktiviti itu juga memerlukan kos yang banyak untuk menyediakan kemudahan tertentu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain Mahdi akan muncul untuk mewakili negara dalam Magical Malaysia Festival yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 23 hingga 25 Mac depan.

Seramai 13 ahli silap mata terkemuka dunia akan mengadakan persembahan di pusat konvensyen tersebut melibatkan beberapa negara seperti Australia, Britain, Hong Kong, Scotland, Jerman dan Sepanyol.

Acara yang akan bermula pada pukul 3 petang dan 8 malam itu menampilkan persembahan luar biasa pemain silap mata dalam mempertontonkan kehebatan masing-masing.

Orang ramai yang ingin menyaksikan acara hebat itu bolehlah mendapatkan tiket yang dijual daripada RM98 hingga RM348.

Tiket untuk pakej keluarga pula dijual dengan harga bermula daripada RM698 hingga RM998.

Pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan menghubungi 03-7880-7999 atau secara dalam talian menerusi www.ticketpro.com.my.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories