Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Gara-gara kritik bangunan UKM dalam Twitter Nazim mohon maaf
- Kikis label 'budak jahat'
- Gulai kawah rias batang pisang laris di Baling
- Soo Wincci Azam Puasa Penuh
- Bebas Dari Penjara, Ariel (Peterpan) Bersyukur
- Watie (Elite) Mual Makan Nasi
- Pakej lengkap urutan
- Obsesi si pengumpul wang
- Transaksi wang secara elektronik
| Gara-gara kritik bangunan UKM dalam Twitter Nazim mohon maaf Posted: 24 Jul 2012 12:36 AM PDT
EMPAT tahun berkecimpung dalam industri lakonan, baru hari ini nama pelakon Nazim Othman, 28, meraih perhatian khalayak kerana kecemerlangan lakonannya dalam drama arahan Erma Fatima berjudul Deejavu di Kinabalu yang sedang hangat ditayangkan di TV3. Namun, pada Rabu minggu lalu tiba-tiba nama Nazim hangat gara-gara status jujurnya di akaun Twitter berkenaan bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelihatan usang ketika menjalani penggambaran sebuah drama di sana. Kejujuran dalam meluahkan perasaan itu memakan dirinya sendiri apabila warga UKM serta peminatnya tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu. Menyedari kesilapannya, Nazim segera memohon maaf di Twitter. Nazim yang bakal muncul dengan sebuah lagi drama arahan Erma Fatima berjudul Kau Yang Terindah pada mulanya enggan memperbesar-besarkan isu kerana menganggap ia memberi impak negatif kepada kerjayanya. Bagaimanapun, apabila perkara itu menjadi topik hangat di internet, Nazim sedar status selebriti yang dipikulnya semakin berat seiring dengan perhatian yang diberikan oleh peminat kepadanya. Enggan dirinya disalah erti ikuti temu bual Kosmo! bersama Nazim baru-baru ini. Kosmo!: Apabila Nazim menulis status di Twitter tentang bangunan usang UKM, sedar atau tidak status itu bakal mengundang kemarahan pihak lain? Nazim: Kalau boleh saya enggan panjangkan isu ini kerana semakin saya beri komen, tidak memberi sebarang faedah. Cuma apa yang boleh saya katakan sebagai manusia, saya turut melakukan kesilapan dan memohon maaf, selepas itu saya bermuhasabah diri. Ada pihak mendakwa anda sengaja menulis status tersebut untuk meraih publisiti murahan. Komen anda? Sejujurnya saya tidak sengaja, saya tidak mahu meraih publisiti murahan kerana itu bukan prinsip yang saya pegang. Sejak saya menjadi pelakon saya tidak kejar populariti, sebaliknya saya mahu dikenali dengan bakat serta mutu produk yang melibatkan saya. Kalau saya jenis yang suka publisiti murahan, saya tidak perlu tunggu sekarang sebaliknya sudah lama saya berbuat demikian. Terkejut dengan respons orang ramai? Memang saya terkejut kerana selama ini tiada siapa yang kisah tentang apa yang saya lakukan. Saya sudah terbiasa begitu, tetapi kebelakangan ini saya sedar situasi itu sudah berubah kerana masyarakat sudah mula memandang setiap gerak-geri saya. Kejadian ini secara tidak langsung membuatkan saya terfikir siapa saya di mata masyarakat. Maknanya kini anda semakin popular, rimas dengan perhatian diberikan peminat? Alhamdulillah, popular atau tidak terletak di tangan peminat, saya percaya rezeki di tangan Allah. Saya yakin, apa yang berlaku kepada saya sekarang ada hikmah di sebaliknya. Saya tidak rimas, sebaliknya bersyukur dengan perhatian yang diberikan. Pengajaran yang anda perolehi selepas kejadian ini? Saya akan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan saya kerana saya sedar setiap apa yang dilakukan akan memberi implikasi negatif atau positif pada diri sendiri, peminat dan masyarakat. Jadi, saya memilih untuk memberi implikasi positif dan menjadi insan yang lebih baik. Walaupun telah berlakon selama empat tahun tetapi nama Nazim hanya popular apabila berlakon drama Deejavu di Kinabalu arahan Erma Fatima. Saya percaya setiap pelakon tidak akan menyerlah dengan sendirinya, sebaliknya dengan bantuan pengarah yang bagus, dan kru penggambaran yang sangat mementingkan kualiti kerja. Apabila bekerja dengan orang yang sentiasa ingin yang terbaik, secara tidak langsung lakonan saya menyerlah. Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan Erma Fatima. Apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan? Sama seperti tahun lalu, sekarang saya sibuk dengan penggambaran drama Kau Yang Terindah bersama Neelofa. Tiada istilah rehat untuk saya, selagi saya diperlukan, selagi itu saya akan bekerja. Saya lebih suka sibuk daripada tidak melakukan sebarang pekerjaan. Bulan Ramadan juga tidak menghalang saya daripada bekerja seperti biasa. | |||||
| Posted: 24 Jul 2012 12:35 AM PDT
JADUAL penggambaran pada pagi Rabu minggu lalu tertunda gara-gara hujan yang tumpah mencurah ke lantai pekarangan Kampung Budaya 1Malaysia, Menara Kuala Lumpur. Terpaksa jurufoto Amin Farij Hassan membidik sasaran pada ketika itu dari perspektif berbeza. Hasilnya, figura Awi Rafael segak bersama sebuah gitar koleksi istimewanya berjaya dirakam menggunakan teknik khas fish eye. Kata Awi, ketika itu dia berbangga melihat hasilnya walaupun pergerakan terbatas. Dia juga menyifatkan hujan seperti muzik yang mengawal tingkahnya. "Masa berlalu amat cepat, diam tak diam lebih setahun saya berada dalam industri seni dan dapat peluang untuk mencetuskan aliran muzik saya. "Syukur Alhamdulillah saya diterima ramai dan saya gembira. Terbukti lagu itu adalah raja yang sifatnya memfokus dan menyatukan" kiasnya. Ketika namanya sedang meningkat naik bermula dengan lagu Pulanglah diikuti Bila Aku Jatuh Cinta dan kini Asalkan Aku OK, Awi Rafael atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Ewan Gunawan, 26, cenderung mengikuti arus muzik rakan seperjuangannya seperti Aizat dan Yuna. Katanya, kedua-dua nama besar itu pandai membawa diri dan jujur dalam berkarya. Ujarnya: "Orang sekeliling akan mengiktiraf muzik kita jika kita ikhlas dan melakukan apa yang Allah kurniakan." Mendalami makna di sebalik kata-kata itu, Awi menjelaskan setiap naskhah lagu yang dihasilkan tercetus daripada idea yang datang secara tiba-tiba dan ketika itu adakalanya dia perlu merakamkan setiap melodi melalui telefon jika berada di luar rumah. Lirik rojak Begitu juga lirik-lirik lagunya, ilham yang datang secara tiba-tiba perlu dicatatnya tanpa perlu ditangguh-tangguh. Lantaran itu ujarnya, ada sesetengah lirik lagunya mengandungi patah berbahasa Inggeris. "Sekali ilham datang saya perlu tulis, hal yang sama terjadi jika lirik itu muncul dalam minda. Hakikatnya, lirik yang pertama kali muncul itu adalah lirik terindah yang jika digubah menjadi kurang enak," ujarnya ketika ditanya mengenai caranya mencampur-adukkan lirik bahasa Melayu dan Inggeris dalam beberapa buah lagunya. Respons lain berhubung lagu itu kata Awi, dia tiada hak untuk memberikan komen lanjut terhadap lagu sendiri dan mengharapkan masyarakat menilai lagu-lagunya dengan lebih terbuka. "Saya harap pendengar tidak mempertikaikan isu bahasa dalam lagu-lagu saya sebaliknya melihat mesej yang terkandung dalam setiap lagu. "Lagipun, pendengar sudah kenal cara Awi Rafael mencipta lagu dan saya pun kini dalam proses mempelajari beberapa teknik lain," katanya yang bakal muncul dengan sebuah album baharu berjudul Siapa Yang Sempurna selepas sambutan Aidilfitri nanti. Hanez Suraya Menyusur lebih mendalam, album yang mengandungi sembilan buah lagu itu merupakan album kedua Awi selepas album EP lima buah lagu Awi Rafael yang sebelum ini dikeluarkan sekitar tahun lalu. Ujar Awi, album itu sifatnya lebih matang, sarat kisah-kisah romantis, kisah hatinya, berkisar masyarakat dan menyampaikan mesej-mesej ketuhanan. "Album itu sudah siap sepenuhnya dan menunggu masa untuk dipasarkan tidak lama lagi. Tiga bulan lalu, saya mendapat peluang untuk membuat proses mastering di Abbey Road, London, tempat kumpulan The Beatles merakamkan album mereka suatu ketika dulu," tambahnya. Memetik sebaris kata-katanya berkenaan album itu, ia sedikit sebanyak menceritakan perjalanan cinta Awi yang kini sedang hangat bersama pelakon Hanez Suraya. Ditanya sejauh mana perhubungan dua jiwa itu memandangkan mereka tidak lagi segan bermain teka-teki akan hal status hubungan mereka, jawab Awi hubungan mereka di tahap "menggalakkan!" "Kami tenang dan selesa. Menggalakkan dalam erti kata lain saya tidak mahu berjanji tapi perlu buktikan terlebih dahulu. "Saya perlu kerja keras dan sekiranya jodoh kami berpanjangan, insya-Allah akan ke jinjang pelamin jua. Sasaran kahwin lagi cepat lagi bagus, tapi saya tidak mahu tergopoh-gapah. Kedua-dua keluarga sudah menerima hubungan kami dengan baik. "Malah, raya tahun ini lebih seronok kerana dapat menyambutnya di kampung Hanez di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain kampung mama saya di Pontian, Johor," ceritanya teruja. Berlakon Sementara itu, umpama rezeki datang bergolek, Awi kini sedang mempersiapkan diri untuk berlakon dalam sebuah filem yang enggan didedahkan judulnya. Menariknya, filem itu dijadualkan menjalani penggambaran di Gold Coast, Australia pada 1 hingga 15 Ogos ini. Tambah mengujakan, tahun ini sekali lagi Awi bakal berpuasa di perantauan biarpun hanya dua minggu. "Saya akan membawakan watak seorang busker (penyanyi jalanan) seperti mana kehidupan saya sebelum ini di sana. Saya mengambil peluang ini kerana saya rasakan selesa biar pada mulanya agak segan. "Berlakon bagi saya merupakan satu cabang untuk mengembangkan bakat, tapi saya tetap akan setia bersama bidang penulisan lagu yang membawa saya hingga ke tahap ini," tambahnya. Tidak kekok katanya berpuasa di tempat sejuk seperti Australia, yang canggung apabila tidak ramai umat Islam di negara itu yang boleh meraikan bulan penuh berkat itu. "Di sana tidak ramai orang Melayu, ketika di Melbourne pun hanya ada sebuah masjid kecil iaitu Masjid Al-Buqaraq untuk beribadat. "Tapi tahun ini saya sudah berjanji dengan diri sendiri untuk mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim. Saya mengambil peluang kali ini untuk beribadat sebaik mungkin," janjinya. | |||||
| Gulai kawah rias batang pisang laris di Baling Posted: 24 Jul 2012 12:33 AM PDT ABD. MALIK (kanan) memasak gulai kawah di gerainya sambil diperhatikan para pelanggan di Bazar Ramadan pekan Baling semalam. BALING - Gulai kawah campuran rias batang pisang dengan daging atau tulang lembu sudah tidak asing lagi kepada masyarakat di sini. Peniaga gulai kawah, Abd. Malik Mat Khir, 45, berkata, dia terpaksa mendapatkan rias batang pisang daripada sekurang-kurangnya 10 pokok pisang setiap hari untuk dimasak bersama daging cincang atau tulang lembu. Abd. Malik yang berpengalaman memasak gulai kawah hasil belajar daripada tukang masak kenduri kahwin, memberitahu, bukan semua gulai kawah mampu menarik minat dan selera pembeli. Katanya, warna kuahnya yang kekuningan dan cair mampu menarik selera pembeli. Abd. Malik berkata, ramuan rempah untuk membuat gulai kawah adalah daripada jenis serbuk kari yang sesuai yang tidak terlalu pedas dan tidak berkuah pekat. Menurutnya, sejak dua hari berniaga di pasar Ramadan pekan Baling, setiap petang lebih 300 bungkus gulai kawah dijual kepada pelanggan. Bermula pukul 3 petang, Abd. Malik akan mula menumis bahan gulai di bazar Ramadan itu dan menjualnya seawal pukul 5 petang dengan harga RM3 sebungkus. | |||||
| Posted: 24 Jul 2012 12:32 AM PDT PETALING JAYA:Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia, Soo Wincci berazam untuk berpuasa penuh tahun ini bagi mendekatkan diri dengan peminat daripada komuniti Melayu beragama Islam sepanjang bulan Ramadan ini. Soo Wincci berkata, ini adalah kali pertama dia ingin berpuasa dan memberitahu teruja dengan kedatangan Ramadan kerana ingin menyemarakkan lagi semangat bulan mulia itu bersama-sama para peminatnya. "Menerusi program MasterChef peminat saya semakin ramai daripada kalangan kaum Melayu dan saya rasa dengan belajar berpuasa saya dapat mendekatkan diri dengan mereka. "Selain itu, ia juga dapat mencabar diri saya membuat sesuatu perkara baru yang pertama kali ingin berpuasa," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Soo Wincci, walaupun sedar dengan cabaran yang bakal ditempuh sepanjang berpuasa, dia yakin dapat mengharunginya dengan dorongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan dan peminat. "Berpuasa itu pasti menjadi suatu perkara yang amat mencabar buat diri saya tetapi kerana ingin menghidupkan semangat perpaduan dikalangan peminat saya teruskan niat ini. Populariti penyanyi itu meningkat secara mendadak selepas menyertai program masakan berkenaan dan Soo Wincci turut tampil dengan single pertamanya berjudul Terus Teranglah bersama Jow Flizzow. Dalam pada itu, Soo Wincci berkata, dia turut mendapatkan beberapa tips daripada rakan berbangsa Melayu dan yakin dapat melakukannya. Katanya, rakan-rakan turut menasihatinya supaya jangan memaksa diri dan berpuasa mengikut kemampuan sebagai permulaan. "Rakan-rakan banyak jadi pendorong dan semangat inilah yang ingin saya tonjolkan kepada semua peminat dan berharap dapat berpuasa selama 30 hari," katanya. Sementara itu, Soo Wincci berkata, akaun Twitter miliknya telah meningkat sebanyak 2,000 pengikut dalam masa seminggu dan rata-rata daripada mereka adalah kaum Melayu. Katanya, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana ia adalah bukti dirinya semakin diterima dikalangan peminat bukan Cina. "Saya harap dengan populariti yang dikecapi kini dapat memberikan manfaat kepada saya untuk melakukan sesuatu yang akan disukai oleh semua kaum di Malaysia," katanya. | |||||
| Bebas Dari Penjara, Ariel (Peterpan) Bersyukur Posted: 24 Jul 2012 12:31 AM PDT BANDUNG: Vokalis kumpulan muzik pop Peterpan, Ariel menganggap pembebasan bersyarat dari Penjara Kebon Waru, Bandung pada bulan Ramadan membawa hikmah yang besar kepada dirinya. Sambil mengucapkan syukur dengan pembebasan itu, Ariel, 31, berkata satu perkara yang begitu dirasainya selepas menjadi orang bebas pada bulan mulia ini ialah beliau tidak terkejut dengan suasana di luar penjara. Bercakap pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada majlis kesyukuran pembebasannya, dan acara berbuka puasa bersama peminat serta anak yatim, Ariel bagaimanapun enggan menjelaskan dengan lebih lanjut hikmah yang dirasai kerana bimbang tersilap cakap atau disalah tafsir orang ramai. "Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai, belum tentu tidak bagus buat kamu. Dalam kesulitan ini, saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup," katanya. Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham telah dihukum penjara tiga setengah tahun oleh mahkamah pada pada Januari tahun lepas kerana mengedar dua video lucah yang dipercayai membabitkan dirinya sendiri dan dua artis wanita iaitu Cut Tari dan kekasihnya ketika itu, Luna Maya. Sehingga kini, Ariel dan Luna Maya tidak mengaku mereka adalah orang dalam video lucah itu namun Cut Tari membuat pengakuan bahawa beliau dan Ariel adalah orang dalam video itu, dan memohon maaf secara terbuka atas perlakuannya itu. Pembebasan bersyarat hari ini diberikan pihak berkuasa selepas Ariel menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman yang dikira sejak beliau ditahan reman pada 2010. Sementara itu, Ariel berkata beliau akan segera menyiapkan buku memoir pengalamannya selama lebih dua tahun menjadi banduan dan kemungkinan akan melancarkan buku berkenaan pada pertengahan bulan Ramadan ini. "Banyak orang ingin tahu apa yang saya lakukan selama dua tahun lebih dalam tahanan. Begitu juga dengan apa yang dilakukan oleh anggota Peterpan yang lain di luar sepanjang tahun 2010 sehingga tahun 2012 ini. Justeru, buku catatan ini akan merakamkan keseluruhannya," katanya. Ketika ditanya wartawan sama ada beliau menganggap diri menjadi superstar sejak berada di penjara kerana sokongan luar biasa oleh para peminatnya, Ariel berkata beliau tidak menganggap sedemikian dan tidak menyangka mendapat perhatian yang begitu besar daripada peminat dan media. "Saya pernah membahaskan hal ini dengan teman-teman Peterpan. Seperti saya, mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," katanya. Kepada satu soalan lain, penyanyi itu berkata beliau tidak pernah terfikir untuk melakukan ritual "membuang sial" selepas keluar penjara sebagaimana yang dilakukan beberapa pihak. "Saya ada cara lain untuk dilakukan andai menyebut soal buang sial seperti yang kamu (wartawan) sebutkan. Tidak ada istilah buang sial itu," katanya. Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel berkata beliau akan kembali aktif berkarya dalam kumpulan Peterpan. | |||||
| Posted: 24 Jul 2012 12:30 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Watie Sadali (Elite) mengakui mual untuk makan nasi selepas hampir setahun tidak menjamah makanan asas itu kerana ingin mengekalkan bentuk tubuhnya. Watie berkata, walaupun pada mulanya agak sukar untuk menyesuaikan diri tetapi lama-kelamaan dia telah menjadi biasa tidak mengambil nasi sebagai makanan utama. "Hampir setahun dah saya tidak makan nasi kerana ingin mengamalkan diet selepas kagum melihat kelangsingan tubuh kakak saya walaupun sudah berusia lingkungan 40-an. "Kini saya langsung tak boleh makan nasi dan kalau nak rasa pun cuma sedikit sahaja," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Watie berkata, dia kini banyak bergantung kepada minuman kesihatan bagi membantunya mendapatkan tenaga kerana tidak mengambil nasi sebagai makanan rutin. Watie memberitahu, jika berasa lapar dia akan mengambil minuman tambahan itu jika tidak berkesempatan untuk makan akibat sibuk di lokasi penggambaran. "Alhamdulilah minuman kesihatan itu serasi dengan saya dan ia membantu saya dalam mengurangkan berat badan," katanya. Bagaimanapun kata Watie, senaman secara kerap juga amat penting bagi memastikan penurunan berat badan konsisten dan mencapai angka yang dikehendaki. Sementara itu, Watie berkata, dia kini sedang sibuk dengan beberapa penggambaran telefilem untuk siaran Hari Raya Aidilfitri sebelum bercuti panjang untuk bersama keluarga. | |||||
| Posted: 24 Jul 2012 12:16 AM PDT SANTAI...kaedah urutan yang betul dijalankan secara santai bagi melengkapkan peserta dengan pelbagai pengetahuan berkaitan urutan bersalin tradisional. URUTAN tradisional terutama selepas bersalin dilakukan masyarakat Melayu sejak zaman dulu yang dilengkapi dengan mandian herba dan ubat-ubatan tradisional bagi mengembalikan tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka melahirkan anak. Selain itu, rawatan urut tradisional sebegini bukan saja penting untuk wanita lepas bersalin, tetapi juga boleh diamalkan wanita muda kerana ia mampu mengesan penyakit yang berpunca daripada urat saraf, selain melegakan badan selepas seharian penat bekerja. Tetapi perubahan zaman menyebabkan urutan tradisional begini makin dilupakan apatah lagi dengan kemunculan persaingan berasaskan urutan moden yang mula mendapat tempat di hati kaum wanita.
| |||||
| Posted: 24 Jul 2012 12:15 AM PDT
RUANG legar Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kuala Lumpur pada pagi hujung bulan Mac lalu dipenuhi dengan orang yang berumur akhir 20-an hingga 70-an. Mereka begitu khusyuk membelek objek bersaiz kecil dengan diameter lebih kurang dua sentimeter. Selepas puas membelek, ada antara hadirin beralih pula ke gerai lain untuk melihat wang kertas atau syiling lama yang ditawarkan penjual sementara menunggu sesi lelongan diadakan di ruang bersebelahan. Kaedah menilai wang syiling bukan setakat melihat pada mata kasar tetapi ada beberapa individu menggunakan kanta pembesar untuk melihat keaslian. Seperti yang diungkapkan oleh ahli numismatik merangkap ahli Persatuan Numismatik Malaysia, Lawrence De Souza, 50-an, terdapat penjual yang mahu mendapat untung cepat dengan membasuh wang lama. Kemudian, mereka mendakwa wang tersebut tidak berada dalam peredaran sekali gus menjual pada harga yang begitu tinggi. Bagi pengumpul wang, duit-duit yang tidak pernah berada dalam pasaran, tidak digunakan dan memiliki ciri-ciri unik mempunyai harga tinggi berbanding not yang pernah digunakan. Setiap tahun, Persatuan Numismatik Malaysia menganjurkan acara lelongan dan jualan wang kertas lama untuk memberi peluang kepada orang ramai terutama ahlinya mendapat koleksi unik. Pagi itu, salah seorang ahlinya yang baru berusia 27 tahun, Mohd. Shahrul Zharif Shamsudin sanggup menempuh perjalanan sejauh 309 kilometer dari Singapura semata-mata mahu menghadiri acara lelongan itu. Rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jurutera perisian di republik itu sampai di Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi dan terus ke JMM. "Acara-acara lelongan seperti ini memberi peluang kepada pengumpul seperti saya kerana ahli numismatik yang memiliki banyak koleksi akan melelongkan koleksi peribadi mereka," kata Shahrul Zharif sebelum acara lelongan bermula. AZMAN menunjukkan ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada wang kertas baharu. Beliau telah membelanjakan wang sebanyak RM600 bagi sekeping wang syiling 1 sen yang dikeluarkan pada tahun 1970 pada pagi tersebut. Pada acara lelongan pula, sebaik bidaan lot nombor tujuh iaitu sekeping wang syiling 1 sen keluaran 1976 dibuka, pantas Shahrul Zharif mengangkat papan tanda bagi memberi isyarat dia membuat bidaan. Syiling tembaga Syiling 1 sen itu diperbuat daripada tembaga sepenuhnya dan tidak pernah berada dalam pengedaran. Nilai buka untuk bidaan bermula pada harga RM2,500. Apabila terdapat individu lain turut membida, dia sekali lagi mengangkat papan tanda untuk memberi harga lebih tinggi. Shahrul Zharif percaya harga syiling itu mampu mencapai harga RM3,600 dan meletakkan sasaran maksimum untuk membeli syiling tersebut pada nilai yang sama. "Syiling 1 sen yang diperbuat daripada tembaga sangat sedikit dan cara mudah untuk mengenalinya ialah dengan meletakkan magnet padanya. Pasti tidak melekat," katanya yang datang ke Kuala Lumpur seorang diri. Syiling yang jarang ditemui itu wujud kerana berlaku kesilapan ketika proses pembuatannya. Pada tahun 1973, wang syiling 1 sen yang diperbuat daripada tembaga dihentikan pengeluarannya. Penukaran bahan disebabkan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati, kos pembuatan bahannya lebih mahal berbanding nilai yang ditunjukkan pada permukaan, menurut ahli numismatik, Dickson Niew, 50-an. "Tembaga mudah mengalami pengoksidaan. Warnanya bertukar menjadi pudar serta gelap. Jika terpegang, cap jari mudah kelihatan dalam tempoh tiga bulan," terang Dickson sambil menambah bilangan syiling 1 sen tahun 1976 terlalu sedikit lebih kurang 100 keping. GOLONGAN muda kini turut mula berminat dengan hobi pengumpul wang ini. Kini, sasaran Shahrul Zharif adalah untuk mengumpul semua syiling 1 sen bermotif bangunan Parlimen pada bahagian belakang untuk setiap tahun. Pada mulanya, dia hanya berminat mengumpul mata wang lama dolar tetapi penemuan sejumlah wang 1 sen di rumah keluarga menyebabkan Shahrul Zharif tertarik untuk mengumpul sekali gus menjadi ahli Persatuan Numismatik Malaysia. "Saya kumpul untuk kepuasan diri dan rasa seronok melihat koleksi yang ada," ungkap Shahrul Zharif ketika menjelaskan manfaat obsesinya mengumpul wang syiling 1 sen. Beliau juga tidak bercadang menjual koleksi lengkapnya itu nanti. Bagi keluaran siri terbaharu, Dickson menasihatkan supaya membuat pelaburan dengan membeli satu set, simpan dan lupakan. "Jika umur panjang, ia akan memberi keuntungan kepada pemilik atau pewaris," ujarnya. Sudah menjadi kebiasaan, setiap 15 hingga 20 tahun sekali, denominasi mata wang rekaan baharu akan diperkenalkan. Ia merupakan amalan biasa malah dilakukan oleh kebanyakan bank pusat di seluruh dunia. Kata Pengarah Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang BNM, Azman Mat Ali, mata wang siri baharu perlu dikeluarkan untuk mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan sedia ada selain memperkenalkan aspek yang baharu.
Wang kertas baharu berada dalam edaran pada 16 Julai lalu merupakan siri keempat. Siri pertama dikeluarkan pada 2 September 1968 manakala ejaan bahasa Melayu baharu diperkenalkan pada 16 Ogos 1972. Siri kedua dikeluarkan pada 1 September 1982 dan siri ketiga berada dalam peredaran secara berperingkat-peringkat bermula dengan wang kertas RM2 pada 5 Februari 1996, RM10 (19 Januari 1998), RM50 (20 Julai 1998), RM100 (26 Oktober 1998), RM5 (27 September 1999) dan RM1 (8 November 2000). Ciri keselamatan "Terdapat tiga tahap ciri keselamatan dalam wang kertas baharu ini. Ia lebih moden, praktikal dan terkini sejajar dengan perkembangan teknologi. "Ini bertujuan memudahkan pengguna dan meningkatkan perlindungan kemungkinan berlaku pemalsuan," terang Azman ketika ditemui di ibu pejabat BNM, Kuala Lumpur. Tahap pertama untuk kegunaan orang ramai, tahap kedua untuk kegunaan pekerja-pekerja di kaunter melibatkan wang seperti pengurup dan di bank-bank. Tahap ketiga dan tercanggih pula, ciri-ciri keselamatan hanya boleh dikesan oleh mesin seperti mesin teler automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM). Ciri keselamatan yang digunakan orang awam boleh dilihat dengan mata kasar malah ketulenannya juga mampu dikesan melalui cara menyentuh wang kertas. Wang kertas menggunakan teknik percetakan intaglio yang merupakan cetakan dengan dakwat dalam kuantiti yang banyak. Ia menghasilkan efek timbul apabila disentuh. Selain itu, pengguna boleh mengesan dengan mudah wang tulen atau tidak dengan melihat benang keselamatan yang berubah-ubah warna apabila digerakkan. Jika dihalakan bawah cahaya pula, ciri-ciri keselamatan seperti imej potret tera air (watermark) Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pertama dapat dilihat manakala wang kertas yang diperbuat daripada substrat (bahan asas) polimer memiliki tingkap pandang telus. Ciri-ciri baharu yang ditambah pula ialah potret dengan tera air piksel (pixel watermark) dan benang kanta mikro dengan petak kilat berwarna.
"Mereka yang bekerja di kaunter wang pula selalunya mempunyai instrumen pengesan dalam bentuk alat-alat ringkas seperti kanta pembesar atau lampu ultra ungu," terang Azman yang telah berkhidmat dengan BNM lebih dua dekad. Melalui penggunaan kanta pembesar, pekerja kaunter bank dapat melihat perkataan Bank Negara Malaysia berulangkali dicetak pada bahagian belakang yang menjadi latar belakang rekaan. Ciri ini dikenali sebagai cetakan huruf mikro. Selain itu, pada tengkolok potret YDPA terdapat satu set perkataan yang tercetak nama penuh YDPA. Kedua-dua set tulisan itu amat sukar dilihat dengan mata kasar. Jelas Azman, hanya bintik-bintik kecil yang kelihatan jika wang tersebut palsu. Bagi tahap keselamatan ketiga, ciri-cirinya hanya boleh dibaca oleh mesin. Nombor siri kepingan wang kertas yang berwarna hitam memiliki sifat magnetik. Sebagai contoh, mesin CDM boleh mengesahkan kesahihan wang kertas selain beberapa ciri yang dapat dikesan dengan infra merah. Denominasi RM20 diperkenal kali ini manakala syiling siri ketiga memiliki saiz dan kemasan tepi yang berbeza-beza bergantung pada nilai permukaan duit. "Ciri keselamatan dan saiz wang syiling yang berbeza memudahkan orang ramai menggunakannya," kata Azman yang menyifatkan siri terbaharu sukar mengelirukan pengguna. | |||||
| Transaksi wang secara elektronik Posted: 24 Jul 2012 12:11 AM PDT MESIN ATM membolehkan urusan bank seperti pengeluaran dibuat pada hari tidak bekerja. FATIMAH ATAN masih ingat lagi sekitar tahun 60-an. Wanita berusia 63 tahun itu terpaksa beratur panjang di pejabat pos semata-mata mahu membayar bil elektrik. Ketika itu, pejabat pos sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal jauh dari bandar kerana ia mudah ditemui dan menawarkan pelbagai perkhidmatan. Menyimpan duit di pejabat pos pada masa itu sangat popular dan lazimnya ramai yang berbuat demikian. Namun apabila berlaku kesempitan wang pada hujung minggu, ia menjadi masalah besar pula sehingga kadangkala terpaksa mengikat perut sementara menunggu bank dibuka pada hari bekerja. "Tidak seperti sekarang, ketika itu tidak ada mesin teler automatik (ATM) yang beroperasi 24 jam," kata wanita yang berasal dari Muar, Johor itu. Bagaimanapun, nilai sekeping RM50 ketika itu sangat besar sehingga mampu membeli pelbagai barangan rumah berbanding sekarang yang disifatkannya sangat mahal. Lain pula kaedah transaksi yang digunakan oleh Shaiful Nizam Mukhelas, 28. Dia tidak pernah mengenal kesusahan yang ditempuhi oleh Fatimah atau dua generasi sebelumnya. Sejak setahun lalu, lelaki yang berumur 28 tahun itu menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik atau e-banking terutama untuk membayar bil internet dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Menggunakan CIMB-click, dia boleh memindahkan wang daripada akaun simpanan ke kad kredit dan tahap kepercayaannya sangat tinggi. Sistem itu bukan sahaja memerlukan memasukkan nama pengguna dan kata kunci malah memerlukan kod unik berbentuk soalan. Kod jawapan unik yang perlu diisi itu hanya diketahui oleh pemiliknya. Proses transaksi mudah Ketika membeli-belah pula, dia lebih gemar menggunakan kad kredit kerana tidak perlu membawa wang yang banyak dan proses transaksi dengan juruwang sangat mudah. Dalam seminit, Shaiful Nizam dapat melangsaikan semua bayaran bil setiap bulan tanpa perlu beratur panjang. Dia begitu bersyukur dengan semua perkhidmatan yang ada di depan mata tambahan pula lelaki yang menetap di Kajang, Selangor itu tidak memiliki kenderaan. "Penyata akaun hanya dicetak apabila diperlukan. Ia sangat mesra alam dan bil-bil tidak lagi menyemakkan peti pos setiap bulan," selorohnya disambut hilai tawa yang panjang. Pembayaran elektronik amat digalakkan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia sangat efisien, murah, mudah dan selamat. Walau bagaimanapun, peningkatan penggunaan kaedah pembayaran berasaskan elektronik tidak mungkin dapat menyebabkan penggunaan wang dalam bentuk fizikal pupus sama sekali. "Cuma, potensi penjimatan kos bagi sesebuah negara kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun apabila berpindah sepenuhnya daripada pembayaran berasaskan kertas ke e-pembayaran. "Selain itu, peratus peningkatan edaran mata wang dijangka lebih stabil berbanding sekarang," kata Pengarah Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang, (BNM), Azman Mat Ali. Pada peringkat awal, masyarakat menukar barang dalam bentuk pemberian hadiah. Ia berlaku kerana mereka sukar untuk menentukan nilai persamaan barang untuk ditukar. Kulit siput gerus Sebagai contoh, ketika masyarakat luar berurus niaga dengan pedagang Arab ketika abad kedua Sebelum Masihi. Mereka menukar hadiah antara ketua masing-masing. Pemberi hadiah akan menyatakan jenis barangan yang perlu diberi sebagai penukaran. Selain itu, mereka turut menukar perkhidmatan. Bagaimanapun, nilainya masih tidak tetap. Kulit siput gerus mula dijadikan mata wang pada awal abad ketiga Masihi. Mata wang berasaskan sumber asli emas dan bijih timah mula digunakan sekitar abad ke-15. Kesultanan Pasai merupakan kerajaan pertama menggunakan wang emas manakala mata wang Kesultanan Melaka pula diperbuat daripada bijih timah. Kedua-dua bahan tersebut tahan lama, ada nilai dan mempunyai kestabilan. Menurut pensyarah kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Supian Sabtu, pada zaman itu, semua mata wang yang berasaskan emas dan timah diterima pakai dalam transaksi perdagangan tanpa mengira jenis dan tempat asal mata wang. "Ia bertepatan dengan prinsip Islam seperti pembayaran jizyah yang membenarkan bayaran dibuat dalam apa bentuk mata wang asalkan diperbuat daripada emas," kata Mohd. Supian ketika ditemui. Menurutnya, penukaran daripada siput gerus kepada bahan logam berasaskan emas dipengaruhi oleh faktor agama. Kulit siput gerus digunakan dalam aktiviti keagamaan apabila ditemui di kawasan perkuburan. MOHD. SUPIAN Emas dan bijih timah pula mula digunapakai selepas kedatangan agama Islam ke Kepulauan Melayu. Pengaruh Islam dapat dilihat pada tempaan gelaran sultan yang memerintah pada permukaan syiling seperti al-Sultan al-Adil, al-Malik al-Adil dan al-Adil. Wang syiling yang diperbuat daripada sumber asli bumi diperkenalkan oleh pedagang dari China. Mohd. Supian telah melakukan kajian terhadap wang lama selama empat tahun dan laporan mengenainya setebal 552 muka surat bertajuk, Bentuk Mata Wang Kesultanan di Tanah Melayu, Numismatik dan Arkeologi Abad ke-15 hingga 19 Masihi. Kawasan penemuan dan kajian kebanyakan terdapat di kawasan sungai. "Pusat perdagangan kerajaan Melayu lama banyak berpusat di tebing-tebing sungai. Wang tampang digunakan sebagai cukai dikenakan oleh pedagang yang menggunakan laluan sungai," terang Mohd. Supian. Pemalsuan wang Wang tampang dinilai dengan perbandingan berat iaitu sekati bersamaan 10 tahil. Bagi urus niaga mata wang biasa, sekeping wang mas (nama bagi duit diperbuat daripada emas) sama dengan nilai empat keping mata wang kupang. Wang kupang dan mas dibezakan dengan berat yang berbeza. Pada zaman moden ini, hanya bank pusat atau pihak tertentu diberi mandat mencetak mata wang. Bagi BNM, pihaknya menggunakan pencetak-pencetak wang kertas antarabangsa yang mempunyai reputasi tinggi dan melalui proses penilaian tender yang teliti dan ketat. Kata Azman, kuantiti cetakan wang bergantung pada keperluan semasa bagi setiap denominasi. "Antara faktor yang diambil kira ialah kadar pertumbuhan ekonomi dan jangkaan kadar inflasi negara. Selain itu, kadar gantian mata wang rosak yang dilupuskan dan keperluan stok rizab turut dipertimbangkan," kata Azman. Keperluan negara pada masa-masa tertentu dinilai sebelum kelulusan untuk mencetak dikemukakan bagi pertimbangan Lembaga Pengarah BNM. Konsep pengeluaran mata wang siri keempat pula menggunakan substrat polimer bagi denominasi RM1 dan RM5 kerana penggunaannya yang kerap manakala wang kertas lain menggunakan substrat kapas. Mata wang yang rosak atau lusuh akan dikeluarkan daripada edaran. Semua wang tersebut akan dimusnah dengan kaedah mericih berdasarkan proses dan produser ketat yang diamalkan oleh BNM manakala wang palsu akan dilapor terus kepada pihak polis. "Biarpun terdapat kes-kes pemalsuan wang, Malaysia merupakan antara negara yang paling rendah memiliki kes tersebut berbanding negara lain," ungkap Azman. Berbeza pada zaman Kesultanan Melayu dahulukala, duit dihasilkan oleh sultan yang memerintah sahaja. Setiap kali sultan baharu ditabalkan, baginda akan memerintah semua syiling yang dikeluarkan oleh sultan terdahulu dikumpul. Terang Mohd. Supian lagi, syiling-syiling akan dilebur dan cetakan tertera nama sultan baharu dibuat. Selain sultan, kerabat sultan turut dibenarkan mencetak duit. Sebagai contoh, di Terengganu, isteri sultan diberi keizinan mencetak sebanyak 1,000 keping wang setahun untuk kegunaan seperti jual beli. Wang syiling dilebur oleh pandai besi (panggilan bagi orang pandai memproses besi) di tempat terbuka. Kata Mohd. Supian, ia terbukti apabila duit pada zaman Kesultanan Johor memiliki banyak jenis bahan asing selain bahasa asas. Acuan berbentuk pokok digunakan bagi membuat bentuk bulat untuk syiling sebelum ditempa. "Ada cerita ketika kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis. Mereka mengarak mata wang Kesultanan Melayu itu di seluruh bandar bagi mempertonton kepada orang ramai kerana waktu itu menjadi saat terakhir penduduk Melaka melihat duit tersebut," kata Mohd. Supian sambil menambah ia umpama satu penghinaan terhadap Kesultanan Melaka yang tumbang. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






0 ulasan:
Catat Ulasan