Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Lagu Ketuhanan Najwa Latif Sempena Ramadan
- Artis Aquila Emas Dilatih Beramal Pada Bulan Ramadan
- PM: Bonus raya setengah bulan
- Berbuka ala Thai di Intai-Intai
- Kepuasan menguntungkan
- Santai berbasikal jadi trend
- Susah kahwin tak sekufu
- Mencari kepuasan bekerja
- Serlah keperibadian dengan popmycase
- Silat Gayung Fatani pikat Eropah
- Simpan rapi majalah lama
- Saiful tidak cerewet
- Gadis berhati besar
- Menjaga kulit ketika berpuasa
- Daiyan mahu segalanya sempurna
- Simfoni kasih Tomei
- Kursus berpantang
- Bawal Aidijuma
- Penglibatan ibu bapa penting
- NIOSH dekati pelajar tingkatkan kesedaran
- Pelajar sekolah jadi ejen kenal pasti sarang pembiakan aedes
- Kuasa maksimum
- Teknologi hibrid
- Perbetulkan warna
- Tarikan Tasik Merah Jambu di Senegal
| Lagu Ketuhanan Najwa Latif Sempena Ramadan Posted: 25 Jul 2012 02:49 AM PDT PETALING JAYA: Pelancaran lagu terbaru penyanyi remaja Najwa Latif berjudul Ada Mu bersempena bulan Ramadan ini adalah sebagai pengubat kerinduannya terhadap para peminat. Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 17, berkata, lagu berkonsepkan ketuhanan itu dihasilkan buat peminat sejak dia berehat panjang bagi persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal November depan. "Lagu ini adalah sebagai pengubat kerinduan kepada peminat sejak saya berehat panjang daripada industri. Kali terakhir saya mengeluarkan lagu adalah menerusi Untuk Dia bersama Sleeq beberapa bulan lalu. "Secara kebetulan, label NAR Records membuat keputusan untuk mengeluarkan lagu ini bagi meraikan kedatangan Ramadan kali ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini. Najwa berkata, pada asalnya lagu yang dicipta bersama kakaknya Ika Latif kira-kira setahun yang lalu itu, dihasilkan untuk tema Hari Raya. "Ketika lagu Ada Mu dihasilkan kira-kira setahun yang lalu, saya dan kakak merancang untuk buat lagu Hari Raya sebenarnya tetapi apabila kakak dengar muziknya, kami dapati lebih sesuai untuk tema Ramadan. "Kami mengambil masa sekitar dua minggu untuk menghasilkan lagu itu dan proses rakaman dilakukan pada bulan lalu," jelasnya. Mengenai kehidupannya sejak berehat daripada aktiviti seni, Najwa berasa lebih tenteram kerana dapat memberikan tumpuan penuh pada pelajaran. "Saya agak lemah dalam subjek Matematik Tambahan dan Biologi, jadi tumpuan lebih harus saya berikan pada pelajaran. Saya lebih fokus sejak berehat daripada nyanyian. "Sebelum ini, peminat berasa pelik mengapa saya mendiamkan diri secara tiba-tiba tetapi kakak bertindak sebagai pengurus akaun laman sosial memberikan penjelasan bagi pihak saya," luahnya. Penyanyi yang mencipta nama menerusi Cinta Muka Buku ini berkata, walaupun berehat daripada nyanyian dia masih diberikan ruang oleh ibu bapanya untuk menghabiskan masa selama setengah jam pada setiap Sabtu bagi bermain muzik. "Saya lepaskan kerinduan pada muzik pada setiap Sabtu menerusi kelas gitar. Ibu bapa saya beri kelonggaran tetapi tiada komitmen nyanyian buat masa ini," katanya. Lagu Ada Mu yang dilancarkan sejak 21 Julai kini mula berkumandang di radio. Klip video rasminya boleh ditonton dengan melayari http://www.youtube.com/watch?v=bHPGPb0ZpKI&feature=youtube_gdata_player. |
| Artis Aquila Emas Dilatih Beramal Pada Bulan Ramadan Posted: 25 Jul 2012 02:48 AM PDT KUALA LUMPUR: Artis-artis syarikat produksi dan pengurusan Aquila Emas Sdn Bhd komited dalam meningkatkan aktiviti amal dan kebajikan bersempena bulan Ramadan. Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Md Isa berkata, pihaknya sangat mengambil berat dalam menerapkan nilai-nilai tersebut kepada semua artis naungan mereka agar ia dapat memberikan manfaat kepada pihak lain. "Bulan Ramadan bukan alasan untuk kita memperlahankan aktiviti harian serta tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara. "Oleh sebab itu kami di Aquila Emas begitu dalam mempertingkatkan kualiti pencapaian artis serta aktiviti amal dan kebajikan seiring dengan tuntutan Islam," ujarnya kepada mStar Online. Syarizan ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa bersama 100 orang penghuni Pusat Jagaan Nur El Amin di Hotel Federal di sini pada petang Selasa. Dalam pada itu, Syarizan berkata, beliau terharu apabila pihak korporat seperti Hotel Federal yang tidak jemu-jemu melibatkan diri dengan pihaknya untuk menganjurkan majlis-majlis amal untuk golongan yang kurang bernasib baik. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian katanya, ia secara tidak langsung dapat mendekatkan barisan artis syarikat itu dengan masyarakat. "Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat memberi berkat kepada kita malah mengeratkan lagi hubungan antara manusia," ujarnya. Sementara itu, pada majlis berkenaan, artis seperti Zizan Nin, Juliana Ibrahim dan Rizal (AF) sibuk melayan kanak-kanak dari Pusat Jagaan Nur El Amin. Selain itu, bintang-bintang baru seperti Amy Juliet, Akhmar Ridhwan, Azalea Firash, Eva Emmanynna, Mike Ho, Riaz Sopian, Saniza Sabran dan Zyra Sabri turut serta memeriahkan majlis tersebut. Anak-anak yatim juga turut menerima sumbangan daripada pihak Aquila Emas dan Hotel Federal selain dihidangkan dengan pelbagai makanan istimewa. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:45 AM PDT Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan. "Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya. Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. |
| Berbuka ala Thai di Intai-Intai Posted: 25 Jul 2012 02:43 AM PDT SOM TAM AYAM percik, murtabak, nasi tomato dan pelbagai juadah lain mula menjadi sebutan sempena kedatangan Ramadan. Tidak dapat membuat keputusan pilihan berbuka? Apa kata ubah selera berbuka puasa dengan seleksi menu menarik yang fokus kepada masakan kampung di Kelantan serta berkonsepkan gerai makanan di Bangkok, Thailand di Restoran Intai-Intai, Ampang, Selangor. Intai-intai sedikit di belakang deretan kedai di tepi Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang, anda akan menemui restoran ala 'taman larangan' lengkap dengan pemandangan tasik serta pohon menghijau yang menenangkan milik Baha Azman Nor. Sebut sahaja masakan Thai, pasti kita terbayang menu biasa seperti tomyam dan nasi goreng Thai walhal banyak lagi menu menyelerakan dan inilah janji Restoran Intai-Intai. Hidangan stail gerai Bangkok menawarkan antaranya tot gai yam mamuang (ayam goreng dengan mangga hijau), khaeng goong sapharod (udang galah masak lemak nanas muda), pla muek pad prew wan (sotong masam manis) dan phad phed pla duk (ikan duri pedas dengan daun limau purut dan selasih Thai). Rasa masam manis masakan kerabu yang sememangnya terkenal di Thailand dan Kelantan seperti kerabu pucuk paku, kerabu lemak nangka muda dan kerabu suhun bersama kulit kaki ayam pasti membuka selera pelanggan untuk terus menikmati deretan juadah bufet yang disajikan. Menurut Baha yang berasal dari Kelantan, masakan Thailand sememangnya terkenal di tempat asalnya dan ia menepati selera tempatan membuatkan restoran Thai di sini tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Sambil menikmati makanan yang enak, pelanggan turut dihiburkan dengan alunan muzik menenangkan daripada kumpulan pemuzik khas setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tidak lengkap ke restoran ini jika tidak menjamah nasi kukus gulai kawah bersama ayam goreng berempah yang disediakan panas-panas kepada pelanggan. Ia antara hidangan tradisi di Kelantan dan menu utama bersempena bufet Ramadan kali ini. Pilihan pencuci mulut pula pelbagai. Daripada pulut dengan mangga dan durian hinggakan pelbagai jenis kuih-muih Melayu, kek dan buah-buahan. Harga bufet hanya RM39.90 bagi orang dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak dari 1 hingga 7 Ramadan. Manakala 8 hingga 28 Ramadan pula, bayaran sebanyak RM49.90 dikenakan bagi dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak. Digalakkan untuk membuat tempahan awal bagi mengelakkan kekecewaan, Baha turut mengadakan promosi iaitu percuma bufet untuk seorang bagi setiap tempahan 10 orang. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:42 AM PDT PERMAINAN video online memerlukan kerjasama yang tinggi supaya strategi yang dirancangkan berjaya mengalahkan pihak lawan. SUKA bermain permainan video? Tidak menghairankan sekiranya kamu hebat dalam permainan jenis ini kerana .com pasti kebanyakan remaja sering mengisi masa lapang dengan aktiviti tersebut. Daripada permainan semudah Beejeweled atau menguasai pertempuran hebat Call of Duty, setiap game memerlukan pemain menyelesaikan misi ataupun tahap kesukaran yang mencabar minda. Namun istimewanya permainan jenis ini yang dikatakan membuang masa, membazir wang ringgit dan tidak memberikan faedah kini mampu menjana pendapatan sampingan kepada anak-anak muda. Baru-baru ini, .com bertemu dengan ahli kumpulan Orange Esports CS (Counter Strike) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Melalui pertandingan permainan video secara dalam talian (online game), empat anak muda ini mampu menjana ribuan ringgit setelah memenangi pertandingan yang dianjurkan di sekitar ibu kota mahupun di luar negara. Tanpa mengira jenis permainan video dan berapa lama masa yang diperlukan bagi menguasai permainan tersebut, mereka sekali gus membuktikan kebolehan mengawal permainan dengan kemahiran yang ada. Biarpun demikian, mereka masih mempunyai satu persamaan dengan gamers yang lain iaitu mereka akan leka ketika bermain permainan video seolah-olah berada dalam dunia khayalan penuh debaran. Fenomena gamers kini tidak lagi asing lebih-lebih lagi setelah World Cycber Game diadakan di seluruh dunia. Pertandingan tersebut boleh dikatakan agak serupa dengan kejohanan sukan Olimpik namun bezanya ia dimainkan di alam siber atau lebih dikenali sebagai sukan elektronik (E-Sport). - AZRUL & SYAHRIL/AZLIZA HILANI KUMPULAN kami terdiri daripada empat peserta dan kami kini aktif menyertai pelbagai pertandingan permainan video dari jenis Counter Strike 1.6 dan Counter Strike Global Offensive. Dalam seminggu, kami meluangkan masa selama tiga hingga lima jam khusus untuk latihan bagi memantapkan lagi corak permainan kami. Setakat ini, kami telah menjuarai beberapa pertandingan seperti Razer International Competition di Singapura dan membawa pulang RM5,000. Selain itu, ketika menyertai pertandingan terbuka Counter Strike di Sarawak, kami turut memperoleh tempat kedua dan hadiahnya bernilai RM1,500. Raffy Uddin Othman, 22. PADA mulanya kami berempat bertemu di kafe siber. Setelah itu, kami sering berkumpul untuk bermain permainan video bersama. Namun tanpa disangka, kini kami tidak lagi perlu mengeluarkan walau satu sen pun untuk bermain permainan ini kerana kami ditaja oleh Kafe Siber Orange. Malah kami turut ditaja untuk bermain ke luar negara seperti di Singapura dan akan datang kami berharap agar diberi peluang ke negara lain. Melalui permainan video juga, kami berpeluang melancong ke luar negara secara percuma. Balzinder Chhabra, 25. SELAIN kumpulan Orange Esports CS, masih ada tiga lagi kumpulan yang turut mendapat tajaan seperti kami iaitu Orange Esports COD (Call Of Duty), Orange Esports Dota dan Orange Esports Hero Of New Earth. Dengan adanya kumpulan seperti ini, ia sekali gus menggalakkan lagi pemain video lain untuk menubuhkan kumpulan masing-masing bagi menyertai pelbagai pertandingan permainan video yang diadakan. Azim Shaharudin, 21. KEMAMPUAN pemain sebenarnya bergantung kepada peta permainan. Antara peta kegemaran kami ialah De_Inferno. Tanpa strategi dan komunikasi antara rakan sepasukan agak sukar untuk menewaskan pasukan lawan. Muhamad Hazreel Mazlan, 20. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:41 AM PDT Bukan sahaja remaja, kanak-kanak juga turut bersemangat untuk sama-sama terlibat dengan aktiviti berbasikal. AKTIVITI berbasikal bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan masyarakat kita terutama generasi muda hari ini. Kawasan-kawasan tumpuan seperti Putrajaya dan sekitar ibu kota menjadi trek laluan kepada kumpulan berbasikal di setiap hujung minggu. Malah, kumpulan berbasikal ini ada yang sanggup mengayuh jauh ke luar ibu kota seperti ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Mengungkap keseronokan aktiviti berbasikal ini, .com baru-baru ini berpeluang berbasikal bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen mengelilingi bandar Raub, Pahang sejauh 11 kilometer (km). Laluan berbasikal itu bermula dari Taman Tasik Raub-Jalan Lipis-sekitar Kampung Baharu- Sempalit Hilir-sekitar bandar Raub dan masuk semula ke Taman Tasik Raub. Minda penulis membayangkan remaja yang datang untuk aktiviti berbasikal ini dengan keadaan yang santai sahaja. Namun, jangkaan penulis meleset kerana setibanya di lokasi permulaan kayuhan, remaja yang datang lengkap dengan kelengkapan keselamatan berbasikal. Masing-masing kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan kayuhan. Kanan-kanak juga tidak terkecuali dengan gaya mereka yang jelas teruja dengan basikal masing-masing. Seramai 300 penunggang menyertai aktiviti berbasikal yang bermula pukul 7.30 pagi. Suasana hening dan damai di Taman Tasik Raub bertukar riuh dengan keletah pelbagai bangsa yang menyertai aktiviti berbasikal itu. Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri peluang berkayuh bersama dalam kelompok yang besar. Aktiviti kami bermula dengan pelepasan kayuhan beramai-ramai. Corak kayuhan kami juga tidak laju dan lebih santai. Agak seronok juga dapat berbasikal beramai-ramai kerana sambil berbasikal, kami juga dapat menikmati keindahan bandar Raub, Pahang. Sepanjang laluan, banyak mata yang melihat kumpulan besar yang berkayuh seolah-olah berbasikal menjadi fenomena baru di Raub. Penulis memilih untuk berada di kelompok hadapan bersama remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum. Penat? Memang penat sebab sudah lama tidak mengayuh basikal. Tapi mahu tidak mahu, terpaksa juga mengayuh untuk kekal berada di kelompok hadapan. Lapan km pertama laluan, kami berhenti seketika untuk minum-minum sambil merehatkan diri. Turun sahaja dari basikal, kaki penulis terketar seketika kerana sudah lama tidak berbasikal. Tambahan pula, kayuhan kali dilakukan tanpa henti. Kayuhan disambung semula selepas 10 minit berehat. Kali ini penulis memilih untuk berada di kelompok belakang pula. Laluan bertukar corak dari bahu jalan raya ke kawasan taman perumahan. Laluan sedikit sukar kerana terpaksa mendaki dalam kelompok yang besar dan rapat antara satu sama lain. Sepanjang laluan itu, penulis terlihat seorang perempuan Melayu berniaga nasi lemak di hadapan sebuah restoran Cina. Ini menunjukkan sikap perpaduan yang sangat utuh di kalangan masayarakat kita. Menjengah ke kayuhan terakhir, penulis melihat peserta cilik begitu laju mahu menamatkan kayuhan, bersaing antara satu sama lain mahu jadi yang pertama ke garisan penamat. Ada antara mereka yang menjerit-jerit mahu menjadi seperti pelumba basikal negara, Azizul Hasni Awang. Tidak ada seorang remaja pun yang mengadu kepenatan. Sebaliknya, setelah menamatkan kayuhan, mereka gembira dan berkongsi cerita tentang basikal bersama tanpa mengira kaum. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:40 AM PDT JIKA sebelum ini ramai wanita melahirkan rasa tidak puas hati apabila dimadukan, berbeza pula dengan Zahira yang teringin sangat melihat suaminya berkahwin lagi, supaya suaminya tahu sama ada langit tinggi atau rendah. ''Saya berkahwin 14 tahun lalu. Walau sebaya, kami memang tidak sekufu. Dia lulusan SPM dan bekerja sebagai pembantu makmal. Saya guru berijazah. Bapa saya imam dan keluarga kami amat bahagia, manakala keluarganya porak peranda. Ibunya jarang solat dan suka hiburan sensasi. Tanyalah tentang artis, dari A-Z mertua saya boleh jawab. Bapa mertua pula pemandu teksi, rajin solat, rajin ke surau, tapi perempuan keliling pinggang. ''Suami saya, Bad, sebelum dan awal kahwin nampak baik, rajin solat, hormat ibu bapa saya. Lepas maghrib, dia ajar budak-budak mengaji, jadi guru KAFA. Kerana itulah saya terima Bad walaupun taraf pendidikan kami berbeza. Tambahan pula ustaz yang kenalkan, tentulah saya tidak salah pilih. "Setelah berkahwin, kami tinggal di rumah ibu bapa saya. Tiga tahun pertama, semua lancar, Bad turut beri nafkah walaupun sedikit. Selepas tiga tahun dan dapat seorang anak, kami pindah ke rumah sewa. Awalnya Bad tak setuju. Agaknya senang segalanya ditanggung. ''Memandangkan pendapatan saya lebih besar, maka belanja anak, lampin, susu, ubat, upah pengasuh semuanya saya bayar. Dia mula seronok kerana saya tak pernah minta apa-apa. Bad hanya bayar sewa rumah dan bil asas. Belanja dapur dan makan minum saya sediakan. ''Ketika mengandung, saya pergi sendiri ke klinik. Bila anak kedua dan ketiga lahir, perbelanjaan semakin bertambah. Bad makin culas beri duit belanja harian. Akhirnya perbelanjaan anak 100% atas saya, dari belum sekolah, masuk tadika hinggalah sekolah. Itu belum kira belanja makan minum dan urusan rumah tangga. ''Apa yang menyakitkan hati bila anak pertama nak daftar ke sekolah, pun saya terpaksa uruskan. Bad tak mahu pergi alasannya dia tak ada duit dan sibuk. Perkara yang sama berulang pada anak kedua dan ketiga. Sayalah uruskan van sekolah mereka ke rumah pengasuh. Pendek kata semuanya 'atas batu jemala patik.' Persengketaan''Bila beban semakin berat manakala suami lepas tangan, pastilah berlaku persengketaan dalam rumahtangga. Bila saya merungut penat dan duit tak cukup, dia marah konon sepatutnya dia pilih isteri yang tak bekerja, dapat urus keluarga dengan baik. Amboi sedapnya menyakitkan hati saya, dia memang tak reti bersyukur! ''Satu perangai buruk Bad kalau kami bergaduh, dia lari tidur di rumah ibunya dua tiga hari tak balik. Hubungan saya dengan ibu mertua jadi dingin. Mungkin fitrah seorang ibu mesti hendak memenangkan anaknya. Buktinya bila bersemuka, ibu mertua hentam saya habis-habisan. Tahun lepas Bad tak balik rumah tiga bulan. Dia tinggalkan bontang kami anak-beranak, tanpa nafkah, tak ambil tahu sakit pening. ''Dengan senang hati dia duduk rumah ibunya. Saya tak faham macam mana ibunya boleh biarkan Bad berperangai macam tu! Agaknya mertua dan Bad senang hati tengok saya macam nak pengsan uruskan anak-anak. ''Kesian anak kedua yang rapat dengan Bad. Bila Bad balik selepas tiga bulan, dia ikut Bad walaupun nak ke tandas. Tapi Bad buat muka selamba. ''Sengketa kami tak pernah reda. Masalah besar kami, wang. Selama kahwin, Bad tak pernah beri belanja raya, malah baju raya dia pun saya belikan! Dia juga tak pernah bayar yuran sekolah, baju, beg, kasut, semuanya atas bahu saya. ''Kerana perbelanjaan bertambah, saya mengajar tuisyen. Bad duduk rumah jaga anak, itu pun saya beri upah sebab dia merungut kononnya dia boleh buat kerja lain. ''Bila orang sibuk berniaga, dia pun sibuk, tapi duit saya jadi mangsa. Begitu juga bila orang heboh bercerita fasal forex, dia pinjam lagi duit saya. Malangnya telungkup lagi! Setakat ini dia pinjam lebih RM20,000. Gayanya memang tak ada tanda-tanda nak bayar balik! ''Dalam pada itu, Bad kata dia dah tak minat kerja makan gaji. Atas nasihat ibunya, dia berhenti kerja dan jadi pemandu teksi. Abang iparnya beri kereta Wira tapi kereta itu dah berusia lebih 15 tahun, jadi banyak perlu diperbaiki. Duit yang dia dapat sehari-hari daripada penumpang tak dapat bayar apa-apa kecuali untuk teksi buruk tu! ''Akhirnya hutang keliling pinggang. Paling saya risau dia hutang ah long. Tiga tahun lepas saya langsaikan hutang ah long RM3,000 sebab takut diri saya dan anak-anak jadi mangsa. ''Kemuncak sengketa kami apabila dia pukul saya. Puncanya ketika saya mengajar tuisyen, dia tidur berlengkar macam ular sawa. Anak-anak tak makan. Bila saya bersuara, saya disepak, dicekik dan diterajang. Bila saya jatuh terlentang tak boleh bangun, dia keluar tinggalkan saya dan anak-anak. "Cuba pembaca bayangkan, kalau saya pengsan, anak-anak masih kecil, pintu rumah tak ditutup dan ketika itu pukul 10 malam. Sekali lagi dia balik rumah ibunya. Ibunya puas hati saya teruk kena bantai. ''Saya buat laporan polis. Tapi tidak ke pejabat agama sebab tak mahu bercerai. Sebenarnya tiada lagi rasa kasih pada Bad, saya benci tengok dia. Tapi saya kesiankan anak-anak. Mereka masih harapkan kasih seorang ayah. Bad selalu cabar saya minta cerai. Saya tak nak, kalau dia kahwin lain lebih baik. Saya nak tengok dia kahwin dengan wanita tak bekerja yang boleh layan dia. Saya nak tengok macam mana dia nak beri makan anak isterinya dengan perangai pemalasnya. ''Nasihat saya kepada wanita yang berpendapatan tinggi nak berkahwin dengan lelaki lebih rendah gajinya, jangan bagi muka sangat. Biar suami belajar sara keluarga sejak mula kahwin lagi. Sebab kalau dah terbiasa dibantu, lelaki akan ambil kesempatan lepaskan tanggung jawabnya kepada isteri dengan alasan mereka tak ada duit. Jadi sampai bila anda nak pikul tugas dia? '' Itu cerita Zahira mengapa dia suka suaminya kahwin lagi. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:39 AM PDT RAMAI orang yang tidak tahu apakah yang boleh memberikannya kepuasan bekerja. Bagi yang baru mencari pekerjaan maka gaji dan upah adalah faktor yang difikirkan bakal memberikan kepuasan. Sebab itulah mereka sering bertukar pekerjaan lebih-lebih lagi apabila ditawarkan jawatan dengan gaji lebih tinggi. Ada pula yang berfikir mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan akan memberikan kepuasan. Jika tidak sia-sialah belajar bertahun-tahun sewaktu di kolej atau universiti bagi memperolehi segulung ijazah. Bagi sesetengah orang, melakukan pekerjaan yang bukan dalam bidang mereka, dianggap sebagai kerja sementara sebelum mendapat pekerjaan yang lebih sesuai. Namun bagi yang telah lama memasuki alam pekerjaan, mereka sedar bahawa gaji dan upah bukanlah segala-galanya. Justeru ada yang memilih kekal bekerja di sesebuah organisasi walaupun gajinya lebih kecil berbanding jawatan sebelumnya. Memang duit itu penting tetapi pada masa sama, banyak faktor lain lagi yang perlu difikirkan. Berikut faktor-faktor yang sering diambil kira dalam mencari kepuasan bekerja: Komunikasi Terbuka Kita seronok apabila wujud komunikasi dua hala antara majikan dan pekerja kerana ia membolehkan setiap masalah diselesaikan secara langsung dan setiap idea disampaikan terus tanpa tapisan. Sebagai seorang pekerja yang melakukan kerja sama saban hari, kita lebih arif tentangnya berbanding orang lain. Amatlah mengecewakan apabila setiap pandangan dicantas dan setiap usaha ke arah penambahbaikan ditolak tanpa alasan yang munasabah. Bidang Tugas Setiap orang mempunyai bakat dan kecenderungan yang berbeza-beza. Majikan yang cemerlang mampu mengenal pasti bakat dan kecenderungan ini lalu disalurkan pada tugasan yang betul. Menukar bidang tugas bagi tujuan mengelak kebosanan dalam diri pekerja belum tentu dapat meningkatkan produktiviti. Lebih-lebih lagi apabila tugas itu dijalankan oleh mereka yang tidak berkebolehan atau tidak berminat dengan tugasan diberikan. Kebebasan Menjalankan Kerja Kita biasanya rimas apabila kerja yang dipertanggungjawabkan terlalu kerap ditanya dan dipantau seolah-olah majikan tidak yakin kepada kita. Bagi sesetengah, orang cukuplah dengan memberitahu sahaja apa yang perlu dilaksanakan dan semuanya pasti beres. Jaminan Kerja Ada orang kekal bekerja di sesebuah organisasi kerana dia tahu masa depannya terjamin di samping mendapat pencen. Sebab itu ramai yang berebut-rebut memohon pekerjaan sebagai penjawat awam. Namun jaminan kerja tiada sebarang makna apabila kita tidak seronok bekerja disebabkan faktor-faktor lain seperti tempat kerja yang tidak harmoni, komunikasi yang hambar serta bidang tugas yang membosankan. Rangsangan Kerja Kita seronok bekerja apabila sering dipuji, pengorbanan dihargai, kenaikan pangkat yang telus, idea diterima, latihan diberi, suasana tempat kerja kondusif dan sebagainya. Semua ini akan memberikan kita rangsangan bagi meningkatkan prestasi pekerjaan dan kualiti hasil. Faedah lain dan insentif Faedah-faedah seperti bayaran perubatan, elaun perumahan, bonus tahunan, bonus perayaan dan sebagainya antara perkara yang juga diambil kira dalam memilih kerja atau memutuskan untuk bertukar kerja. Walaupun gaji yang diterima lebih rendah tetapi sekiranya insentif-insentif sebegini wujud maka ia sudah cukup membuatkan seseorang pekerja merasa puas kerana merasakan sumbangan mereka dihargai. Waktu kerja yang fleksibel Ada orang seronok bekerja di sesebuah organisasi kerana waktu kerjanya fleksibel. Mereka ini biasanya terlibat dalam bidang jualan kerana di pihak majikan yang penting bukanlah berapa jam masa mereka berada di pejabat sebaliknya berapa banyak jualan yang dibawa kepada syarikat setiap bulan. Lagi banyak jualan lagi bagus meski pun masa mereka berada di pejabat kurang. Peluang untuk maju Tiada seorang pun yang suka berada pada satu takuk selama-lamanya. Semua orang mahukan kenaikan pangkat, peningkatan dalam kerjaya, peluang menyambung pelajaran, tanggungjawab yang lebih besar dan sebagainya. Oleh itu majikan perlu fikirkan sesuatu bagi memenuhi kepuasan ini untuk menjana keseronokan bekerja. Gaji dan upah Ramai yang selama ini menyangkakan bahawa kepuasan bekerja letaknya pada gaji dan upah yang lumayan. Hakikat sebenar adalah sebaliknya. Tidak ada ertinya gaji yang tinggi apabila anda tidak punya masa bersama keluarga, tidak sempat bersosial, tiada masa rehat dan suasana kerja yang tegang. Gaji dan upah lumayan hanya memberikan kepuasan jangka pendek. Saiz organisasi Ada segelintir orang yang bekerja kerana organisasi tempatnya bekerja mempunyai bilangan pekerja yang ramai serta nama yang besar. Hakikatnya, saiz organisasi bukanlah faktor utama dalam mencari keseronokan bekerja. |
| Serlah keperibadian dengan popmycase Posted: 25 Jul 2012 02:38 AM PDT Antara sarung telefon pintar yang boleh dipilih. MUAK dengan warna iPhone, iPad, Blackberry atau telefon pintar Samsung yang pudar, gelap dan tidak menarik langsung. Apa kata cuba klik pada laman web rasmi www.popmycase.com untuk meninjau sarung telefon pintar yang dapat menyerlahkan keperibadian anda. Popmycase adalah syarikat Asia pertama yang mengkhususkan rekaan dan pengubahsuaian sarung telefon pintar dan tablet. Apa yang lebih menarik, pengguna boleh mereka sendiri sarung gajet dengan memuat turun gambar kegemaran dari komputer, tablet, Facebook atau Instagram ke www.popmycase.com. Aplikasi dalam laman web berkenaan memberikan pengguna kebebasan untuk menukar saiz imej, mengubah kedudukan, menambah warna serta meletakkan ayat menceriakan untuk rekaan sarung telefon pintar mereka. Pengarah Urusan Kumpulan Pop My Berry, Josafri Johari berkata, pihaknya melabur dalam teknologi yang membolehkan rekaan sarung telefon pintar dicetak mengikut saiz telefon pintar pengguna. "Sarung telefon pintar yang dikeluarkan oleh popmycase bukan daripada plastik biasa tetapi Lexan iaitu jenama resin polikarbonat yang tahan lasak, ringan, fleksibel dan memberikan perlindungan pada gajet," katanya pada majlis pelancaran popmycase di Kuala Lumpur baru-baru ini. Malah Lexan pernah digunakan oleh NASA dan menjadi bahan binaan untuk jentera Formula One. Selain itu bagi menjaga kualiti, popmycase menggunakan teknologi percetakan 'ink-embedded process'. Tekanan dan haba ketuhar akan mencetak rekaan dengan cara meresap terus ke dalam permukaan sarung telefon pintar bagi menghasilkan rekaan dengan imej sangat jelas dan tidak mudah pudar. Josafri berkata, lebih eksklusif lagi popmycase menyediakan platform bagi artis dan karyawan untuk mengembangkan bakat mereka. "Kini peminat Amy Search, Bunkface, Nini Marini, Orkibal, Spoonman, Sheiko, Kukubesi, TheSuperSunday dan Art:Tech boleh meletakkan hasil seni artis mereka bagi menghiasi sarung telefon pintar," katanya. Josafri berkata, pihaknya akan menambah bilangan artis jika sambutan yang diterima daripada pengguna cukup menggalakkan. "Setakat ini popmyberry menawarkan pelbagai pilihan corak dan rekaan sarung telefon pintar. "Kami memahami kehendak mereka yang mahukan sesuatu yang baru, unik dan inovatif dengan meletakkan hasil kreatif artis dalam rekaan yang lain daripada lain," katanya. Josafri berkata, pengubahsuaian sarung telefon pintar semudah 1 - 2 - 3. "Mereka hanya perlu ke laman web www.popmycase.com, pilih model telefon kemudian muat turun imej daripada komputer atau pilih hasil seni artis. "Imej perlu diubah suai di atas kanvas kosong yang menyerupai ukuran sebenar bahagian belakang model telefon yang dipilih. "Setelah puas hati, pelanggan boleh terus menempah sarung telefon pintar yang akan dihantar ke alamat pelanggan," katanya. Pesanan akan sampai ke alamat pengguna dalam masa dua hingga tiga hari bekerja bagi pesanan dalam negara sementara bagi pesanan luar negara mengambil masa lima hingga tujuh hari bekerja. Sarung prarekaan boleh didapati dengan harga bermula RM98 manakala sarung pengubahsuaian pula dengan harga bermula RM128. Sementara itu, penyanyi Amy Search berkata, sambutan yang diterima mengenai sarung telefon pintar dengan gambarnya amat menggalakkan. "Ramai yang bertanya di mana boleh mendapatkan sarung telefon pintar seperti itu," katanya. Pelukis, Nini Marini pula menyifatkan ini langkah yang baik kerana ramai tidak dapat mencapai hasil seni dengan mudah. Pelukis dan ilustrator, Muid Latif turut melihat popmycase platform terbaik bagi artis meletakkan hasil karya mereka untuk tatapan orang ramai. |
| Silat Gayung Fatani pikat Eropah Posted: 25 Jul 2012 02:37 AM PDT Dr. Aziwahija bertarung menggunakan parang dengan Imre. SETELAH berpusing-pusing beberapa kali mencari kediaman Pengarah Teknikal Antarabangsa, Persatuan Silat Gayung Fatani, Dr. Azimahija Yeop di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam, akhirnya penulis ternampak tiga orang pemuda berambut perang dan seorang gadis Eropah siap berpakaian seragam silat mengatur langkah silat. Dalam hati, ini tentulah rumah Dr. Aziwahija! Terpegun seketika melihat pergerakan anggota tubuh mereka yang tangkas menahan dan menepis serangan lawan. "Beginilah setiap tahun semasa cuti musim panas di Eropah, beberapa orang penuntut Persatuan Silat Gayung Fatani dari sana akan datang ke sini untuk mendalami ilmu persilatan," kata Dr. Aziwahija. Beliau menambah, kini seni bela diri tempatan seperti silat telah menjangkau jauh memikat warga muda antarabangsa seperti Austria, Perancis, Switzerland, Algeria dan United Kingdom untuk mempelajarinya. Minat Dr. Aziwahija yang mendalam terhadap silat bermula sejak berusia belasan tahun apabila mengikuti kisah datuknya yang mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis menggunakan silat. Apabila semakin dewasa, cintanya terhadap silat semakin mendalam. "Silat amat unik kerana setiap pergerakan mempunyai maksud tertentu dan sebab itu juga bangsa asing yang berpengalaman dalam seni bela diri mengakui silat mempunyai banyak kelebihan dan keunikan berbanding seni bela diri lain," katanya. Pergerakan silat, jelasnya adalah sama walaupun ketika melakukan serangan, pukulan atau bela diri. Semuanya terangkum di dalam tujuh elemen iaitu bunga, jurus, tapak, belebat, buah pukul, tempur seni dan tempur bela diri. Walaupun setiap jenis silat itu mempunyai pelbagai nama, pergerakan di dalam silat berlaku di dalam tujuh elemen ini. Menurut Aziwahija, pada 1985 beliau berusaha membangunkan silat di rantau Eropah dan menjadikan silat sebagai salah satu bidang sukan kegemaran ramai. Beliau memperkenalkan silat Gayung Fatani di Austria, Switzerland, Perancis, Jerman, Thailand dan Algeria serta memberikan kursus ilmu persilatan di Itali, Jerman dan Amsterdam. Tidak mengenal jemu, beliau berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Eropah semata-mata untuk memperkenalkan seni bela diri silat di sana. Usahanya membuahkan hasil apabila menjuarai beberapa kejuaraan silat sedunia dianjurkan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) dan kejuaraan di peringkat Eropah. "Usaha berterusan itu secara tidak langsung mempopularkan silat di mata dunia," katanya. Beliau juga menempa kejayaan di peringkat antarabangsa dengan mengangkat silat Malaysia sebagai juara ketika kejohanan antarabangsa berlangsung di Pyongyang, Korea Utara pada 2004, Perugia, Itali (2005), Jerman (2004) dan Bercy, Paris (2010). Imre Ne'meth, 32, yang menjalankan perniagaan pengangkutan kecil-kecilan di Hungary mula berminat dengan seni mempertahankan diri judo di sebuah gimnasium di sana. "Selepas itu jurulatih gimnasium memperkenalkan saya dengan seni bela diri silat. "Memang pada mula saya lihat pergerakan silat agak lembut berbanding dengan sini bela diri lain tetapi lama kelamaan baru saya mengenali silat dan terpikat dengan seninya," katanya yang kini telah mencapai peringkat empat dalam Silat Gayung Fatani. Beliau yang berlatih silat sejak enam tahun lalu merasakan silat mempunyai segalanya yang tidak ada dalam seni bela diri lain. "Saya bercadang membuka gelanggang silat di kampung saya Hungary selepas saya mendapat tauliah sebagai jurulatih," katanya. Sementara itu Roland Lorene, 41, jurulatih silat dan gimnasium di Austria mula belajar silat lapan tahun lalu. "Mulanya saya melihat silat seperti tarian kerana ketika itu saya tidak tahu tarian yang saya lihat adalah langkah-langkah silat," katanya. Tapi apabila mula mengenal silat, beliau dapat melihat seni yang ada dalam silat dan tidak ada pada seni pertahanan diri lain. "Kini saya menjadi jurulatih silat di gimnasium tempat saya bekerja dan saya mempunyai lebih 20 orang pelajar silat," katanya yang telah empat kali datang ke Malaysia. Markus Arnold, 15, dari Vienna, Austria, pula sukakan silat kerana ia memberikan keseimbangan kepada tubuh. "Saya belajar silat tiga kali seminggu dan telah mencapai tahap kedua dan bercadang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan silat Eropah di Belgium tahun depan," katanya. Martina Watcher, 15, yang baru setahun setengah belajar silat turut terpikat semasa pertama kali melihat pergerakan silat. Beliau yang baru pertama kali datang ke Malaysia amat berharap dapat mendalami ilmu persilatan di sini. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:37 AM PDT JAPRI dan isterinya, Zuridah Abdul Rahaman sering membelek majalah lama simpanan mereka di waktu lapang. SIAPA sangka bahan bacaan seharian kita seperti majalah hiburan atau gaya hidup mampu dijadikan satu khazanah berharga suatu hari nanti. Majalah yang dulunya hanya bernilai 50 sen senaskhah kini ada pembeli yang sanggup melabur puluhan hingga ratusan ringgit! Itulah realiti yang dihadapi Japri Din, 44, apabila ada kenalannya yang sanggup menyerahkan sejumlah besar wang demi majalah usang miliknya tetapi tidak dilayan Japri kerana menyayangi koleksinya itu. Melihat kepada koleksi majalah milik Japri antaranya majalah Wanita, Suasana Bintang Film, Muzik & Filem, Utusan Radio & TV serta URTV, timbul rasa kagum atas kesungguhannya memelihara bahan bacaan tersebut. Ada yang berusia sehingga 50 tahun! Cerita Japri, hobi menyimpan majalah lama bermula secara tidak sengaja kerana dia sememangnya seorang yang rapi dalam menyimpan barang. "Antara majalah yang sememangnya disimpan dari dulu ialah majalah URTV kerana ia sememangnya bahan bacaan kami di usia remaja. "Kemudian, saya membeli majalah-majalah hiburan lama yang lain kerana pada asalnya mahu mencari rujukan berkenaan album piring hitam yang saya kumpul. Minat"Lama-lama, minat menyimpan majalah lama turut bercambah melihat kepada keunikan cara penyampaian berita serta susun letak muka suratnya yang menarik. "Majalah-majalah yang ada zaman sekarang juga berkemungkinan akan menjadi khazanah yang amat berharga di masa hadapan," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Meru, Klang, baru-baru ini. Ceritanya, dia tertarik dengan evolusi penyampaian berita serta isi kandungan sesuatu majalah apabila ada majalah yang kini sering memaparkan wajah artis pada muka depan sedangkan suatu ketika dulu wajah orang ternama menjadi penghias muka depan. Majalah Wanita keluaran April 1976 yang memaparkan wajah isteri Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn iaitu Tun Suhaila Tan Sri Mohamed Noah antara koleksi berharga miliknya. Selain itu, ketelusan cara penyampaian berita majalah pada zaman dahulu serta keberanian mereka memaparkan pelbagai isu menarik minatnya. Menurut Japri, selain majalah, dia memiliki kira-kira 1,000 keping piring hitam dari tahun 1950-an dan pelbagai lagi barang antik seperti perabot, set pinggan mangkuk, barangan tembaga, radio dan pelbagai lagi. Hobinya memburu barang antik membawa dia ke merata tempat sehingga ke pelosok kampung dan dia turut berkongsi minat dengan orang ramai apabila turut menjualnya jika mempunyai koleksi berlebihan. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:35 AM PDT HIdangan berbuka puasa mi sup sayur. SUKAKAN hidangan yang ringkas ketika berbuka puasa menjadikan selebriti ini seorang individu yang tidak cerewet dalam pemilihan makanan sepanjang bulan Ramadan. Hidanglah apa jua juadah dia pastinya tidak menolak melainkan lauk-pauk yang dilihat berat seperti kari atau masak lemak. Ini kerana menurut Saiful Nizam Ismail, 30, pembaca Buletin Utama TV3 ini, setelah seharian berpuasa perut pastinya memerlukan masa untuk menerima makanan agar ia tidak 'terkejut'. Untuk itu walaupun masih memilih nasi atau menu lain sebagai hidangan berbuka puasa, Saiful lebih senang memilih lauk- pauk yang ringkas. Begitupun, bagi anak kelahiran Changlun, Kedah ini, sekiranya dia tidak bekerja ataupun mempunyai masa dia seboleh-bolehnya akan memasak sendiri hidangan kegemarannya iaitu mi sup sayur sebagai pembuka selera di bulan Ramadan. Ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor, baru-baru ini, ternyata bapa kepada seorang cahaya mata ini boleh memasak walaupun tidak dikategorikan sebagai seorang yang pandai memasak. Bagi Saiful, dia lebih suka makan di rumah jika hendak dibanding di luar kerana selain kebersihan terjamin dapat juga dia dan keluarga meluangkan masa bersama. "Walaupun bukan bulan Ramadan saya sebenarnya seorang individu yang suka menghabiskan masa di rumah. "Ini kerana setelah penat seharian bekerja tibalah masanya untuk bersama keluarga dan makan bersama-sama merupakan agenda wajib yang tidak boleh ditinggalkan. "Begitu juga apabila tibanya Ramadan, berbuka puasa di rumah menjadi keutamaan sekiranya tidak mempunyai jemputan untuk berbuka di luar," katanya. Mengulas lanjut mengenai masakan ataupun menu kegemarannya apabila tibanya bulan Ramadan, Saiful memberitahu dia suka memasak mi sup sayur. Selain ringkas, ia juga merupakan satu menu yang sihat kerana ada gabungan sayur dengan bahan-bahan lain seperti daging, sotong, udang dan sebagainya. Bagaimanapun Saiful menjelaskan dia akan berbuka dengan buah kurma, kuih muih dan air dahulu sebelum menikmati hidangan lain. Saiful juga memberitahu dia bukanlah seorang individu yang kuat makan. Malah dia juga tidak akan mengulang makan seperti kebanyakan orang. Katanya cukuplah juadah yang dinikmati ketika berbuka dan akan disusuli ketika bersahur. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:34 AM PDT SUDAH hampir dua tahun penulis tidak bertemu gadis bernama Che Wan Fatin Suhana Che Wan Khalid, 23, tapi sikapnya yang rendah diri masih sama seperti dia ditawarkan menjadi cover girl untuk sebuah majalah remaja Islamik suatu ketika dahulu. Sopan dan lembut sahaja suaranya menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya walaupun kini dia mula mencipta nama dalam dunia peragaan. Selain menulis blog, mahasiswa jurusan Perniagaan Antarabangsa itu rupa-rupanya gemar memasak dan mengambil gambar pada waktu terluang. Buku berjudul The Secret dan 50 Facts That Should Change The World antara buku yang sedang dibacanya jika berkesempatan. Bagi kamu yang tidak mahu ketinggalan untuk mengenali pemilik blog small girl with a big heart ini bolehlah layari http://fatinsuhana.blogspot.com. - LYNN / SAFIYANA SALLEH .COM: Siapa Fatin Suhana sebenarnya? Fatin Suhana: Bagi mereka yang baru dikenali, saya akui seorang yang pemalu dan pendiam. Tapi, apabila ada topik yang menarik mungkin susah pula untuk saya berhenti bercakap. Dalam gambar ataupun majalah saya selalu kelihatan tinggi dan mature tetapi realitinya saya tidaklah setinggi mana yang digambarkan. Kematangan saya di dalam gambar juga mungkin disebabkan oleh solekan tebal. Apa perkara yang tidak diketahui pengikut blog Fatin Suhana? Kalau nak bersiap, saya akan mengambil masa lebih daripada 45 minit sebabnya saya susah nak memilih baju yang sesuai untuk digayakan. Lagi satu, saya memang 'pantang' tengok katak... Boleh lemah lutut dibuatnya. Masa sekolah dulu, saya seorang sahaja yang bedah ikan semuanya gara-gara tak sanggup nak pegang katak. Huhuhu... Apa yang selalu ditulis di dalam blog Fatin Suhana? Pada awal dahulu, blog ini ibarat diari saya. Jadi kebanyakan perkara yang saya tulis adalah luahan hati. Tapi sejak dah tak privatekan blog ini lagi, saya banyak menulis tentang makanan, pelancongan dan serba sedikit tentang pengalaman menjadi model. Fatin Suhana suka post gambar dalam blog, keluarga tak kisah ke? Jangan tak tahu, setiap gambar yang saya post di blog itu sebenarnya telah ditapis oleh keluarga saya terlebih dahulu. Jika mereka bagi green light baru saya siarkan dalam blog. Apa yang Fatin Suhana suka layari di Internet? Saya suka membaca blog mengenai masakan, resepi dan seni fotografi. Biarpun saya terjebak dalam dunia peragaan, saya sebenarnya jarang membaca mengenai kecantikan dan fesyen di Internet. Sebab itu, agak keberatan untuk saya memberi tip-tip kecantikan apabila ada pengikut-pengikut di blog yang bertanya. Sorry... Pengalaman pelik sepanjang membuat blog? Sejak blog ni dah tak di privatekan, ramai yang suka stalk pasal kehidupan peribadi saya. Tidak sangka juga, wujud kumpulan haters yang gemar memberi komen negatif terhadap topik-topik yang ditulis dalam blog. Tapi, saya abaikan sahaja orang macam tu sebab bukan mudah nak puaskan hati semua orang. Apa perancangan selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM)? Hurmmm... Ada juga perancangan untuk sambung ke peringkat master tapi saya rasa jealous dengan rakan-rakan yang sudah sudah memasuki alam pekerjaan. Tengoklah macam mana nanti. Doakan saya supaya terus sukses dalam apa jua yang dilakukan. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:33 AM PDT Wan Nor Azlin LEWAT petang selepas berbuka puasa di sebuah hotel, Wan Nor Azlin, 40, mulai tidak sedap badan. Setibanya di rumah, dia segera minum air putih banyak-banyak dan rehat. Alhamdulillah, dia rasa lega. "Mulanya saya merasakan kulit saya kering dan badan menjadi lemah kerana kurang minum air. Kebetulan rakan saya mencadangkan sejenis suplemen yang baik untuk mendapatkan kulit sihat di samping membantu penghadaman," ujar pengguna Iz Citrus Collagen. Menurut Azlin, seorang wanita perlu disiplin dalam hal penjagaan pemakanan dan kesihatan. Baginya, produk suplemen yang mahal tidak semestinya memberi kesan baik dan cepat. "Apa yang penting, disiplin dan memilih kolagen yang berkualiti. Produk yang saya gunakan sekarang mengandungi lebih kolagen berbanding dahulu. Selain itu, ia membantu melembapkan dan mencerahkan kulit," ujar pelakon yang turut menjual produk ini menerusi laman Facebook miliknya. Berkongsi panduan pemakanan suplemen ini di bulan puasa, Azlin mengambilnya selepas berbuka dan ketika bersahur. "Suplemen hanya makanan tambahan untuk tubuh badan. Jangan pula kita mengharap kesannya yang cepat. Namun, pengambilan berterusan boleh membantu kita mencerah dan melembap kulit secara berperingkat," ujarnya. |
| Daiyan mahu segalanya sempurna Posted: 25 Jul 2012 02:32 AM PDT Biodata Nama: Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin Umur: 19 Aktiviti: Pelajar dan model, menyanyi dan berlakon sambilan. Asal: Bangi, Selangor laman web: www.youtube.com/dayantrisha n Memuat turun videonya menyanyikan lagu Yuna berjudul Terukir di Bintang di laman web YouTube yang dilayari hampir 86,000 orang. SEDERHANA dan memikat. Itulah gambaran personaliti yang dimiliki gadis muda ini. Bagi peminat laman perkongsian YouTube, anda mungkin pernah terserempak dengan wajah Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 19. Ini kerana Daiyan pernah memuat turut video nyanyiannya di laman itu. Ia bagaimanapun dilakukan sekadar suka-suka kerana dia lebih menumpukan cabaran utama sebagai pelajar akauntan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Prinsip Daiyan mudah, dia amat mementingkan kesempurnaan dalam setiap apa yang dilakukan, baik perihal diri sendiri, keluarga atau kerjaya. Dalam pelajaran misalnya, dia akan memberi 100 peratus fokus dan hanya menerima tawaran kerja lain pada hujung minggu. RamadanPada masa lapang pula, Daiyan gemar menyanyi, membaca dan bersenam. "Namun, saya akan mengurangkan aktiviti yang memenatkan diri seperti terdedah kepada matahari sepanjang Ramadan. Jika bersenam ringan pun, saya akan melakukan pada waktu malam di rumah," katanya. Selayaknya status anak gadis yang manja, Daiyan lebih suka berbuka puasa di rumah bersama keluarga. "Memandangkan jarak masa antara habis jadual belajar dan berbuka agak terhad, saya dan keluarga selalu singgah di bazar Ramadan untuk membeli makanan," ujarnya yang gemar murtabak. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:32 AM PDT Para model menggayakan koleksi simfoni emas Tomei di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kilauan emas yang pastinya memukau pandangan jarang sekali mengecewakan dalam melengkapkan penampilan wanita. Sudah menjadi lumrah di mana wanita dan logam kuning yang berharga ini seperti kawan karib yang tidak dapat dipisahkan. Terbaru, jauhari emas terkenal, Tomei, melancarkan koleksi hiasan emas sempena musim lebaran yang akan datang. Pengurus Kanan Pemasaran Tomei, Christine Lim berkata, berlian emas putih dan koleksi emas diwujudkan pada tahun ini dan akan terus berkembang sekali gus menjadi erti sebenar kasih sayang antara manusia. Katanya, bagi sesetengah wanita yang berkemampuan, persediaan menyambut hari raya termasuklah membeli barang kemas baru selain menukar perabot atau permaidani. Berdasarkan corak pembelian barang kemas di Tomei, masyarakat Melayu biasanya lebih gemar membeli emas kuning kerana warna kuning lebih terpancar dan berseri. Manakala emas putih pula biasanya diminati oleh golongan muda lebih-lebih lagi bertatahkan berlian. Sementara itu, sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Tomei tidak ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan dengan memperkenalkan koleksi terbaru barang kemas yang lebih cantik. Beliau berkata, tiga set sensasi bakal menarik perhatian iaitu koleksi simfoni kasih, koleksi fantasia dan koleksi flora bagi mencetuskan kemewahan seni ukiran emas sebenar. Selain itu turut ditampilkan anting-anting impian yang anggun dan menarik. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu bermula RM900 hingga RM15,900 atau lebih bergantung kepada harga pasaran emas dan yuran buatan tangan. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:31 AM PDT Maziah Mohamad Aziz (kiri) bersama sebahagian kakitangan GsueBeauty. BERPANTANG bagi seorang wanita selepas melahirkan anak merupakan satu amalan selepas proses kelahiran. Bagi mereka yang berpantang, mereka dilarang keluar rumah selama 40 hari sekali gus tidak boleh 'menyentuh' beberapa jenis makanan seperti timun, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dikatakan sejuk. Dari situ kita dapat lihat betapa pentingnya amalan ini bagi kaum Hawa di mana hampir setiap aspek perlu di jaga. Atas inisiatif itulah pemilik spa kecantikan dan kesihatan GsueBeauty, Maziah Mohamad Aziz, mengambil peluang untuk menawarkan kursus latihan lengkap perbidanan kepada golongan wanita seperti suri rumah, ibu tunggal dan wanita-wanita yang berminat. Spa yang menjangkau usia dua tahun pembukaannya itu akan menjalankan kursus yang dijangka bermula pada 28 Julai ini dengan menunjukkan cara-cara lengkap bagaimana amalan berpantang dan urutan yang betul dilakukan serta memberi pendedahan rawatan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Menurut Maziah, niatnya yang mahu membantu membasmi kemiskinan dan menambah duit poket para ibu tunggal khususnya adalah salah satu bidang perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar namun menjanjikan pulangan yang lumayan terutama di sekitar bandar besar yang kekurangan perkhidmatan tukang urut. Justeru, di GsueBeauty baru-baru ini, yang bertempat di Pandan Prima, Ampang, Selangor, telah menjalankan satu demo percuma sempena kursus yang akan dijalankan sebagai kaedah pembelajaran awal kepada peserta. Terbahagi kepada dua modul iaitu modul pertama, peserta akan belajar teknik-teknik bertungku, bertangas, pemakaian bengkung, penyediaan minuman akar kayu, ramuan herba akar kayu, cara-cara penyediaan mandian herba, pantang larang ibu, senaman dan menu masakan berpantang. Selain daripada itu, GsueBeauty turut menawarkan rawatan untuk bakal pengantin contohnya untuk menaikkan seri, rawatan muka dan sebagainya. Sempena bulan Ramadan, spa ini juga menyediakan beberapa kupon edisi terhad berharga RM39 dan hasil kutipan penjualan kupon ini akan disalurkan ke rumah anak-anak yatim. Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan kupon tersebut di Gsue Beauty sendiri atau hubungi talian 017-6715485 (Kak Mar) untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai kursus dan rawatan yang disediakan. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:29 AM PDT Norjuma beramah mesra dengan salah seorang pelanggan yang datang ke butiknya di Pasar Seni. Kerana minat dan obses itu juga, beliau kini boleh tersenyum lebar dengan rezekinya dalam bidang fesyen bertudung yang dilihat semakin dapat diterima di pelbagai golongan tidak kira peringkat umur. Kelahiran pelbagai jenis tudung membuatkan wanita ini maju satu langkah ke hadapan dengan membuka sebuah butik yang dinamakan tudung bawal Aidijuma di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Menurutnya, butik Aidijuma masih 'hijau' usianya di mana pada Mac 2012 kedainya mula dibuka dan namun kini semakin dikenali orang. "Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang dan pelanggan semakin ramai dan bijak memilih kualiti tudung yang mereka suka," katanya. Norjuma berkata, beliau sendiri adalah peminat tudung bawal yang dilihat mudah untuk dipakai, dibentuk atau difesyenkan. "Sebenarnya kesulitan ketika memakai tudung bawal dari aspek pembentukan tudung tersebut berpunca daripada warna dan jenis kain yang akan menentukan lembik atau kerasnya kain itu," kata Norjuma. Tambahnya, biarpun terdapat pelbagai jenis tudung di pasaran, namun tudung bawal semakin sebati di hati remaja khususnya pelajar. Malah imej dan pembawakan Norjuma sebagai wanita Muslimah juga amat bersesuaian dengan konsep butiknya yang memperlihatkan gaya dan cara pemakaian wanita Islam di zaman moden. Tambah isteri kepada Datuk Mohamed Nazim Razak yang sentiasa cantik itu, beliau lebih sukakan pemakaian tudung yang sederhana dan tidak berserabut. Malah, beliau turut memenuhi dan memahami kehendak pengguna di mana tudung bawal ini mudah di cuci dan pula murah harganya. Bukan itu sahaja, tudung bawal juga boleh dipelbagaikan fesyennya tertakluk kepada kreativiti individu yang memakainya. "Jenis pemakaian yang pelbagai bukan sahaja memperlihatkan kecantikan individu itu malahan ia juga boleh dikenakan dengan pelbagai aksesori yang menawan," katanya. Jadi kepada mereka yang masih tercari-cari di mana lokasi butik tudung bawal Aidijuma ini, boleh datang dan lihat sendiri di Pasar Seni serta dapatkan sendiri koleksi terbaru beliau. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:29 AM PDT PENGLIBATAN ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak. Kajian peringkat antarabangsa Program Pentaksiran Murid Antarabangsa 2009 yang dilakukan oleh Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana penglibatan ibu bapa menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi kejayaannya. Hal ini disokong oleh statistik bahawa 52 peratus masa murid dihabiskan di rumah dan di dalam komuniti berbanding hanya 15 peratus masanya berada di sekolah. Data ini diperoleh daripada sampel jadual waktu murid 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan masa murid berumur tujuh hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah dengan purata 5.5 jam di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib seminggu dan masa tidur lapan jam sehari. Justeru, salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah penglibatan ibu bapa, komuniti serta sektor swasta dalam pendidikan dan ia akan dilaksanakan pada Hari Terbuka GTP pada 24 Julai 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik. Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program bantu sekiranya diperlukan. Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan ruang atau sudut untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang kaji. Sediakan juga buku rujukan walaupun yang terpakai kerana ia akan membantu anak-anak membuat penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara. Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pastikan bunyi televisyen atau radio direndahkan untuk mengurangkan gangguan. Adalah lebih jika perkara ini dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu dengan membacakan buku kepadanya kerana ia merupakan satu aktiviti yang dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai kecintaan terhadap buku dan ilmu. Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat. Berbincang dengan anak mengenai pelajaran dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya, mengatasi keraguannya, membimbingnya merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya. Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita. Maka, bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, mulai 2013, Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) akan diwujudkan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Objektif KSIB antaranya adalah untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan antara ibu bapa untuk saling belajar dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu pembelajaran anak, membantu apabila berlaku krisis, mengukuhkan tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan menyediakan latihan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran. KISB juga bermatlamat membantu dalam berurusan dengan agensi-agensi pendidikan, perubatan dan lain-lain di samping berkongsi maklumat, pandangan serta sumber. Untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai cara meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, sila e-mel kepada saranaibubapa@gmail.com. |
| NIOSH dekati pelajar tingkatkan kesedaran Posted: 25 Jul 2012 02:28 AM PDT Lee Lam Thye (Kiri) melancarkan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sekolah peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. SEBANYAK 10 sekolah menengah di seluruh negara terpilih menjadi anak angkat kepada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha itu merupakan salah satu inisiatif agensinya untuk menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat dan tidak membahayakan warga sesebuah sekolah terbabit. Ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) NIOSH dalam memastikan warga sekolah tidak merasa kurang selesa atau bimbang apabila berada di sekolah dan sentiasa menjadikan kawasan menimba ilmu sebagai tempat selamat. "Selain program kempen keselamatan dan kesihatan di sekolah, hubungan kerjasama ini diteruskan menerusi lawatan sambil belajar oleh warga sekolah ke NIOSH. "Ia dalam usaha mendidik generasi muda mengenai betapa pentingnya menjaga keselamatan diri di sekolah atau pejabat, katanya ketika merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sekolah peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit dihadiri Pengetua Cemerlang, Rasul Maideen Haja Maideen dan Yang Dipertua PIBG, Salim Takin. Mengenai program yang dijalankan, Lam Thye berkata, inisiatif SMK Puncak Alam menganjurkan program itu harus dipuji dan dicontohi sekolah lain khusus dalam memberi pendedahan mengenai aspek penjagaan keselamatan kepada pelajar. Katanya, jika semua pihak di sekolah memainkan peranan masing-masing dan tidak mementingkan diri sendiri, kes kemalangan dapat dielakkan. "Usaha ini sekali gus menolak kebimbangan ibu bapa ketika anak mereka berada di kawasan sekolah atau mana-mana dalam perkarangan sekolah. "Sekolah juga tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pekerjaan (OSHA) 1994 serta konsep OSH in School yang sedang diperkenalkan di setiap sekolah di seluruh negara. "Saya berbangga SMK Puncak Alam menjadi salah sebuah sekolah angkat di bawah NIOSH dan berharap kerjasama ini berterusan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di kawasan sekolah," katanya. Lam Thye menambah, sekolah yang berminat boleh menghubungi pihaknya untuk menjadi sebahagian anak angkat NIOSH. Program sehari itu dipenuhi pelbagai aktiviti menarik antaranya gerai pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ceramah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK). |
| Pelajar sekolah jadi ejen kenal pasti sarang pembiakan aedes Posted: 25 Jul 2012 02:26 AM PDT Sebahagian pelajar sekolah menengah pada majlis penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Anti Aedes peringkat sekolah di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. KIRA-KIRA 2,000 pelajar mewakili 100 sekolah menengah di sekitar Lembah Klang terpilih menjadi renjer memburu lokasi pembiakan nyamuk aedes sempena pertandingan Anti Aedes peringkat sekolah yang berlangsung selama enam bulan bermula Februari lalu. Pertandingan anjuran syarikat pengeluar racun serangga, S.C. Johnson Malaysia yang masuk kali keempat tahun ini itu berjaya memeriksa sebanyak 136,772 lokasi kediaman di lima negeri terpilih antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Pengurus Besar Kelompok Melayu S.C. Johnson, Ramon Daez berkata, bilangan rumah yang diperiksa pelajar pada pertandingan itu melebihi jumlah sasaran yang ditetapkan pihaknya iaitu sebanyak 120,000 lokasi. "Pencapaian pelajar yang menyertai pertandingan ini semakin meningkat dan mereka sangat komited melaksanakan tanggungjawab sosial dan alam sekitar kepada masyarakat dengan matlamat untuk 'mencari dan menasihati' penghuni rumah tentang kepentingan menjaga kebersihan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Anti Aedes peringkat sekolah yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Pada pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit, Kajang muncul juara pertandingan sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM10,000 setelah berjaya merekod kunjungan terbanyak ke rumah kediaman. Sekolah tersebut merekod lawatan dan memeriksa 16,337 rumah kediaman daripada keseluruhan 120,000 lokasi yang berjaya diperiksa oleh 100 sekolah yang menyertainya. Selain itu kata Ramon, pelajar menumpukan usaha mendidik masyarakat untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes melalui bahan pendidikan yang diperolehi melalui kumpulan masing-masing. "Melalui senarai kawasan rumah yang diperolehi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, pelajar yang dikenali juga sebagai Renjer Anti Aedes mencari tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes dan menasihatkan pemilik rumah tentang kaedah pencegahan yang berkesan untuk membasmi nyamuk Aedes. "Kita amat gembira dengan pencapaian dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar dalam menjayakan pertandingan ini sekali gus menepati sasaran kita untuk melahirkan lebih ramai generasi muda berperanan membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes ini," katanya. Sementara itu, Dr. Hasan memuji inisiatif dan komitmen berterusan S.C. Johnson menganjurkan pertandingan tersebut pada setiap tahun demi memastikan masyarakat terus peka membasmi penyakit denggi dari semasa ke semasa. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:26 AM PDT PENGENALAN produk telefon pintar Motorola RAZR MAXX dengan ketahanan bateri sehingga 17 jam di Subang Jaya baru-baru ini. PENGGUNA telefon pintar kini boleh berbual dan melayari Internet dengan lebih lama tanpa perlu runsing kehabisan bateri pada gajet mobiliti mereka. Ini kerana, produk selular terbaru yang diperkenalkan Motorola menerusi model RAZR MAXX mempunyai kelebihan kuasa sehingga 17 jam hanya dengan sekali cas. Menurut Pengurus Negara Peranti Motorola Mobility Asia Tenggara, Ankur Bhandari, kehebatan kuasa bateri itu menjadikan model tersebut berada dalam kelasnya tersendiri. ''Kelebihan seumpama ini pasti dinantikan oleh kebanyakan pengguna selain rekaannya juga bergaya dan menarik,'' katanya pada pengenalan model itu di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Motorola RAZR MAXX disokong oleh sistem operasi Android 2.3 (Gingerbread) yang boleh dinaik taraf kepada Android 4.0 (Ice Cream Sandwich) secara dalam talian. Seperti model-model RAZR terdahulu, peranti berkenaan disempurnakan dengan reka bentuk nipis iaitu hanya 8.99 milimeter (mm) dan ringan. Binaan rangka gajet tersebut diperbuat daripada aluminium berukir yang cukup elegan dan cantik. Malah, menerusi materi fiber kukuh Kevlar dan cermin paparan berteknologi Corning Gorilla menjadikannya tahan lasak, kalis air dan anti calar. Kelebihan lain keluarga RAZR ini adalah mempunyai skrin Super Amoled termaju 4.3 inci, kamera lapan megapiksel untuk rakaman video format 1080p dan kamera web hadapan definisi tinggi (HD). Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan produk unik ini di pasaran dengan tawaran harga RM1,688. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:25 AM PDT Ringkas dan mudah digunakan serta memiliki ciri-ciri mobiliti sempurna menjadikan PadFone bakal digilai ramai. Dua dalam satu, konsepnya mudah apabila anda memerlukan tablet dan telefon dalam satu-satu masa maka di sinilah hadirnya PadFone yang mengagumkan. Ia merupakan telefon pintar juga sebuah tablet dalam masa yang sama mampu menjadi sebuah komputer riba. Bagaimana? Tentu ramai di kalangan pembaca yang tertanya-tanya. Ia merupakan gabungan antara telefon pintar ASUS iaitu PadFone dan juga PadFone Station yang mana mampu memberikan pengalaman melayari dunia maya dengan cara yang baru. Menurut Pengurus Negeri ASUS Malaysia, George Su, dalam mengejar dunia mobiliti yang semakin rancak berkembang, kehadiran PadFone dilihat menyemarakkan lagi kegilaan peminat serta pengguna alatan tersebut. "Ia merupakan teknologi yang dikemas kini bermula daripada telefon pintar, tablet dan juga sebuah komputer riba," ujarnya dalam satu majlis pelancaran PadFone yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. PadFone merupakan sebuah telefon pintar yang digabungkan dengan PadFone Station yang menjadikannya sebuah tablet. Untuk menjadikannya sebagai sebuah komputer riba, tambahkan sahaja pad papan kekunci yang boleh didapati secara berasingan. Ia juga dilengkapi bersama pemproses Qualcomm MSM 8260A Snapdragon S4 Krait dual-core 1.5 Ghz dan berfungsi menggunakan platform Google's Android 4.0 Ice Cream Sandwich sebagai sistem operasinya. PadFone turut menawarkan ruangan simpanan eMMC Flash (memori) daripada 16GB, 32GB, dan 64 GB bersama 1GB LPDDR2 RAM. Sementara itu, kelebihan 8 megapiksel kamera binaan dalam bersama pemproses imej Fuji dan 1080p rakaman video menjadikan PadFone sentiasa bersedia untuk merakamkan saat indah anda. Untuk mendapatkan paparan yang lebih jelas dan terang, ASUS menyediakan skrin paparan Super AMOLED, qHD seluas 4.3 inci bagi memudahkan pengguna PadFone. Malah, panel skrin paparan tersebut juga dibina daripada kaca tahan calar Corning Gorilla bersama HCLR Film untuk mengelakkan kesan cap jari. Untuk kegunaan yang pelbagai PadFone boleh disatukan bersama PadFone Station menjadikannya sebuah tablet. Manakala keseluruhan PadFone yang digabungkan bersama PadFone Station apabila digabungkan bersama papan kekunci akan menukarkannya menjadi sebuah komputer riba. Kini tiga jenis gajet boleh disatukan untuk satu kegunaan dan satu tujuan. Set PadFone ini juga turut dilengkapi bersama aksesori tambahan sebagai pelengkap antaranya adalah Stylus Headset yang berbentuk seperti sebuah pen. Biarpun begitu, Stylus Headset merupakan aksesori pelbagai guna seperti pen untuk menulis di atas skrin PadFone dan juga menjawab panggilan sama seperti fungsi sebuah headset biasa. Dua peranti satu pelan data, bagaimana? Apabila PadFone diletakkan pada PadFone Station, secara automatiknya jaringan 3G untuk PadFone di kongsi bersama. Justeru itu, pemilik kedua-dua peranti tersebut tidak memerlukan pelan data yang berbeza sekali gus dapat menjimatkan kos. Dalam pada itu, transformasi siri produk ASUS kini semakin diberi perhatian dan telah memilik tanda aras yang tersendiri iaitu lebih nipis dan tablet Android yang lebih berkuasa. Apa yang pasti, PadFone pastinya memberikan satu wajah baru bagi penggemar telefon pintar dan tablet, untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web ASUS di http://my.asus.com/Mobile/PadFone. |
| Posted: 25 Jul 2012 02:22 AM PDT PENYELARASAN imbangan putih yang berbeza menghasilkan warna yang berlainan. FUNGSI imbangan putih atau white balance merupakan antara penyelarasan yang sering diabaikan oleh pengguna DSLR walhal ia mempunyai kesan yang besar dalam penghasilan gambar. Penetapan fungsi ini penting untuk mendapatkan warna yang tepat dengan menghilangkan kesan-kesan warna yang dipengaruhi persekitaran. Dalam bahasa mudah, imbangan putih dilakukan untuk mendapatkan warna baju yang putih sebagai putih meskipun kawasan persekitaran disimbahi cahaya kekuningan dari lampu dewan. 'Pencemaran' warna tersebut mungkin tidak dikesan pada mata manusia, namun di dalam kamera, putih baju tersebut tetap dibaca sebagai kekuningan. Oleh itu, penetapan white balance berfungsi sebagai penapis cahaya-cahaya asing yang boleh dipudarkan melalui penggunaan 'penuras-penuras' tertentu. Imbangan putih yang disediakan oleh kebanyakan kamera digital moden termasuk pada kamera kompak antaranya Auto, Shade, Tungsten, Daylight, Cloudy dan White Flourescent. Penurasan Tungsten misalnya digunakan untuk rakaman di dalam bangunan yang disimbahi cahaya lampu kuning. Imbangan ini bertindak 'menyejukkan' suhu warna daripada kuning (panas) kepada sedikit kebiruan (sejuk). Penurasan Cloudy dan Flourescent pula berfungsi sebaliknya. Ia memanaskan warna gambar daripada warna petang yang mendung kepada pemandangan yang lebih bercahaya. |
| Tarikan Tasik Merah Jambu di Senegal Posted: 25 Jul 2012 02:19 AM PDT Air di Tasik Retba kelihatan seperti susu strawberi. ANDA peminat fanatik warna merah jambu? Apakah reaksi anda sekiranya mengetahui ada sebuah tasik dengan warna kegemaran anda? Tasik Merah Jambu atau nama sebenarnya, Tasik Retba atau Lac Rose (bahasa Perancis) terletak di Semenanjung Cap Vert, 35 kilometer di timur laut Dakar di Senegal. Ia sering menjadi tumpuan pelancong kerana keunikan warna airnya yang boleh berubah daripada ungu cair ke merah jambu. Namun, pengunjung lebih gemar mengunjungi tasik itu apabila ia bertukar menjadi merah jambu dan jika ditinjau dari udara, warna tasik tersebut tidak ubah seperti air susu strawberi. Keganjilan warna air tasik itu sebenarnya disebabkan oleh kewujudan mikroorganisma yang hidup di dalamnya. Ia turut mengandungi kandungan garam yang tinggi. Malah beberapa kawasan di tasik yang seluas tiga kilometer persegi itu, turut mengandungi garam sebanyak 40 peratus. Warna airnya akan berubah mengikut cuaca dan pencahayaan matahari terutamanya pada musim panas. Misteri Tasik Retba sebelum ini pernah dijelaskan oleh pakar bakteria Universiti Bath dari Britain, Michael Danson melalui kajiannya terhadap kandungan air tasik tersebut. Katanya, warna merah jambu terhasil disebabkan bakteria yang terdapat pada garam, dikenali sebagai Dunaliella salina. "Kumpulan organisma itu mengeluarkan pigmen merah yang diserap dan menggunakan cahaya matahari untuk menghasilkan lebih tenaga, menyebabkan air tasik bertukar menjadi merah jambu. "Bakteria tersebut tidak berbahaya kepada manusia, namun kandungan garam yang sangat tinggi boleh menjejaskan kesihatan," katanya. Untuk mengelakkan kulit terdedah kepada kerosakan tisu, pengunjung kebiasaannya menyapu mentega khas, Beurre de Karite yang dihasilkan daripada kacang shea sebelum berendam di dalam tasik. Disebabkan kandungan garam yang tinggi, Tasik Retba mempunyai satu lagi keunikan, sama seperti Laut Mati di Jordan yang membolehkan pengunjung terapung dengan mudah. Bagaimanapun, Tasik Retba dipercayai mempunyai kandungan garam yang lebih tinggi iaitu sekali ganda atau lebih berbanding Laut Mati. Selain dijadikan tarikan industri pelancongan, tasik unik itu turut menjadi sumber rezeki kepada penduduk tempatan menjalankan aktiviti melombong garam. Bahan mineral tersebut kebiasaannya digunakan oleh penduduk untuk memeram ikan. Aktiviti melombong garam itu juga telah diwarisi dari generasi ke generasi sejak 1970-an. Penduduk tempatan menggunakan sampan semasa mengorek garam di dasar tasik sebelum dimasukkan ke dalam bakul dan dibawa ke pesisiran pantai untuk dibasuh dan dijemur. Selepas dikeringkan, garam itu akan membentuk ketulan yang padat dan ia perlu dihancurkan sebelum dijual dalam timbunan yang kecil. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






0 ulasan:
Catat Ulasan