Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Sajian Nusantara di SACC
- Yusry & Lisa Surihani mahu anak sulung lelaki
- Kakitangan awam Selangor dapat bonus
- Wings pelaburan terbesar KRU
- Kahwin pada usia 32 tahun
- SAM tekanan buat Syafiq
- Hasan Budu ketagih curi kereta
- Kerani penipu didenda, dipenjara
- Perkampungan Ramadan artis jadi tumpuan
- Takut tengok roket atas kepala
- Malaysia juga boleh tenggelam
- Israel akan serang Syria
- Saluran TV guna pekerja wanita berpurdah
- Gempa bumi kuat landa Sumatera
- Pembuat tauhu, tempe lancar mogok
- Anggota bomba selamatkan warga emas
- Pesakit kagum pulih daripada jangkitan HIV
- Rangka tulang Mona Lisa semakin hampir ditemui
- Persembahan hiburan majlis keraian
- Fenomena filem mikro di China
- Adtech tukar sisa jadi baja dan biogas
- Penemuan baharu pada Musytari Panas
- Mesin cetak untuk peniaga kecil
| Posted: 26 Jul 2012 11:09 PM PDT
SEJAK mula diperkenalkan pada tahun 2010, bufet Ramadan Rasa Nusantara di Shah Alam Convention Centre (SACC) semakin popular dan mendapat perhatian ramai pihak. Ia menampilkan sajian istimewa dari beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei selain Malaysia untuk dinikmati pengunjung ketika tibanya bulan mulia itu. Antara hidangan signatur yang sentiasa dinanti ialah kambing kebuli, iaitu masakan kambing berempah yang menggunakan resipi dari negara jiran tersebut. Diketuai oleh Eksekutif Sous Chef Mohamad Jamili Napiah, bufet Rasa Nusantara menampilkan lebih 150 menu setiap hari. Antaranya rojak Singapura, bakso, tom yam, variasi kerabu, nasi goreng Filipina, ayam adaboo dan rendang ayam Brunei. "Variasi menu Nusantara yang kami tawarkan terutama resipi kambing kebuli berjaya menarik perhatian pengunjung dan kebanyakan daripada mereka pasti akan datang kembali untuk menikmati iftar di SACC pada tahun berikutnya," jelas Mohamad Jamili yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kulinari. CHEF pastri, Shuhaida bersama kek red velvet istimewa sebagai sajian pemanis mulut untuk pengunjung. Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba aneka kek dan pastri air tangan Chef Shuhaida Othman yang pasti menggamit selera terutama kek red velvet, durian pandan dan palova. Dalam pada itu, Pengarah Operasi SACC, Nasrudin Abu Bakar berkata, setiap tahun pihaknya sentiasa menerima sambutan yang amat menggalakkan. "Faktor harga yang berpatutan dan kemudahan yang selesa termasuk lot parkir yang banyak dan surau untuk solat Maghrib dan tarawih menjadikan SACC destinasi ideal untuk berbuka puasa," ujarnya. Bufet Rasa Nusantara SACC boleh memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung pada satu-satu masa. | ||||||
| Yusry & Lisa Surihani mahu anak sulung lelaki Posted: 26 Jul 2012 02:40 AM PDT Muka depan majalah Mingguan Wanita edisi 'bumper' yang kini berada di pasaran. Aksi romantik pasangan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani. SELEPAS enam tahun beraya tanpa wanita bergelar isteri, kini Yusry Abdul Halim, 39 kembali meniti bahagia bersama insan yang dicintainya, Lisa Surihani Mohamed, 26. Ternyata pasangan romantik ini begitu teruja meraikan hari lebaran bersama. Kebahagiaan jelas terpancar di wajah kedua-duanya apabila berbicara mengenai sambutan Aidilfitri pertama mereka selepas disatukan. Lebih istimewa, pasangan sama cantik dan sama padan ini bakal menyambut bulan mulia di kediaman baru mereka yang terletak di Kajang Country Height. "Saya bersyukur dan gembira dengan apa yang dimiliki hari ini. Kehadiran Lisa amat bermakna dalam hidup saya. Dia wanita yang amat istimewa, bersamanya saya rasa bahagia. "Alhamdulillah, sepanjang enam bulan berkahwin kami tidak pernah bergaduh. Kami dapat menyesuaikan diri dengan begitu baik. Saya dan Lisa ada keserasian. Sejak mula kenal sehingga menjalin hubungan istimewa, kasih sayang kepadanya semakin subur. Saya berdoa agar rumah tangga kami bahagia sehingga ke akhir hayat," ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini. Sebagai suami, kata Yusry dia berusaha memberikan yang terbaik buat Lisa. Selain kasih sayang yang tidak berbelah lagi, dia mahu memastikan permaisurinya hidup selesa di kediaman baru mereka. "Sebenarnya saya sudah lama merancang membina kediaman yang selesa untuk keluarga saya, syukur impian saya akhirnya menjadi kenyataan. Ketika bercinta dengan Lisa, rumah ini dalam proses pembinaan. Saya ada bertanya tentang rumah idamannya tapi Lisa hanya mendiamkan diri. Mungkin dia segan maklumlah ketika itu kami masih belum berkahwin. "Saya teruskan perancangan membina rumah mengikut cita rasa saya. Rumah ini mempunyai nilai sentimental buat saya kerana ia adalah rekaan saya sendiri khas buat insan yang dicintai. Saya gembira Lisa suka dengan rekaan dan dekorasi kediaman kami yang berkonsep kontemporari. Cita rasa kami sama lantaran mudah untuk kami menata rias kediaman ini. "Saya mahu meniti hari bahagia bersama Lisa dan membina keluarga di kediaman ini. Semoga ia menjadi kediaman yang selesa dan sempurna untuk kami," jelas pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa ini lagi.
Lisa pilih baju raya Ditanya mengenai sambutan hari raya, kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia menyambutnya secara sederhana. Malah pelakon, pengarah, penerbit, komposer dan penyanyi ini mengatakan dia tidak cerewet memilih baju raya mahupun juadah. "Sejak dulu lagi saya seorang yang sederhana. Saya lebih selesa membeli baju raya di butik, kerana lebih banyak pilihan. Saya jarang menempah baju Melayu dengan pereka fesyen. Sebelum ini, saya sering membuat persiapan raya pada saat akhir. Saya beli sahaja baju yang berkenan di mata. Untuk juadah pagi raya pula, yang menjadi kemestian buat saya ialah air kopi yang dihidangkan bersama lemang," kata Yusry. Sementara itu, Lisa yang menggemari pulut kuning dan rendang ayam di pagi raya mengakui, dia seorang yang teliti dalam membuat persiapan Syawal. Katanya tahun ini, dia dan Yusry memilih rona pastel sebagai tema baju raya. Baginya warna-warna lembut sebegini sangat sesuai untuk sambutan hari raya. "Yusry serahkan soal tema warna baju raya kepada saya, dia tidak kisah kerana cita rasa kami tidak jauh beza. Seperti tahun-tahun terdahulu, saya menyiapkan lima hingga tujuh pasang baju raya. Bukan sahaja untuk menyambut hari lebaran, malah baju ini juga saya gayakan untuk majlis rumah terbuka," ujar Lisa yang tidak menafikan sukar mengehadkan aktiviti lakonan memandangkan jadualnya cukup padat sehingga ke penghujung Ramadan. Pun begitu, dia sedaya upaya akan mencuri masa untuk dihabiskan bersama suami dan juga ahli keluarga yang lain. Berbicara mengenai lokasi sambutan Syawal mereka, Yusry mahupun Lisa tidak mempunyai masalah memandangkan kediaman keluarga masing-masing berdekatan. Jika mengikut tradisi keluarga Yusry, menjelang Aidilfitri, mereka sekeluarga akan meraikan hari mulia ini di kampung halaman yang terletak di Gopeng, Perak. "Selepas sembahyang raya, kami sekeluarga akan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Selepas itu barulah kami akan menziarahi rumah sanak saudara dan menghadiri majlis rumah terbuka . Walaupun tahun lepas, kami berdua belum sah bergelar suami isteri, tetapi kami sudah berkunjung ke rumah keluarga masing-masing untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi. "Bezanya tahun ini sambutannya lebih istimewa kerana saya sudah mempunyai isteri. Selain beraya dengan keluarga saya pastinya saya juga meraikan hari lebaran dengan keluarga mentua serta membawa Lisa bertemu dengan sanak-saudara kedua belah pihak. " Kebetulan kami berdua suka berkumpul ramai-ramai dan tidak membezakan keluarga masing-masing, sebaliknya mengambil berat dan melayan sama rata. Malah, kami juga tidak kisah beraya di rumah siapa dulu. Cuma saya berharap kediaman kami yang sedang dibina siap sepenuhnya dan bolehlah kami menyambut raya di rumah baru," cerita Yusry yang gemar menonton wayang dan bersiar-siar dengan Lisa pada waktu terluang. Dalam pada itu, ahli kumpulan KRU ini turut memanjat kesyukuran kepada Ilahi kerana dikurniakan isteri yang penyayang dan bertanggung jawab. Katanya, walaupun Lisa sibuk dengan jadual seni namun dia tidak pernah mengabaikan keluarga. "Saya terharu dengan pengorbanan Lisa yang setia menjaga saya ketika saya mengalami konjunktivitis baru-baru ini. Keadaan saya bertambah serius sehinggakan Lisa terpaksa menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera. Rupa-rupanya saya alah kepada ubat. "Dalam tempoh itu, Lisa menjaga saya dengan baik begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Malah, saya cukup terharu kerana dia sentiasa menghiburkan saya," akui Yusry sambil menyifatkan isterinya itu juga seorang yang ceria dan tidak kuat merajuk. "Selain itu, dia juga sangat pandai memasak terutama ayam masak pedas yang menjadi kegemaran saya. Malah, gelagatnya cukup mencuit hati. Satu yang saya perasan tentang tabiat Lisa dia pandai mengajuk orang lain. Bayangkan, dia akan 'study' karakter dan kemudian cuba meniru gaya dan aksi orang tersebut," seloroh Yusry.
Mahu anak sulung lelaki Baik Yusry mahupun Lisa tatkala ditanya mengenai cahaya mata, masing-masing tidak menolak andai diberi rezeki dalam masa terdekat. Bahkan, Lisa sendiri sudah bersedia bergelar ibu dan menyerahkan kepada Yang Maha Esa untuk mengurniakan seberapa ramai zuriat. "Saya dan Yusry tidak pernah berbincang berapa ramai anak yang kami inginkan kerana semuanya kami serahkan kepada rezeki. Cuma, kalau boleh untuk anak sulung saya mahu biarlah lelaki, mungkin kerana di kalangan adik-beradik saya empat daripadanya lelaki dan saya seorang perempuan. "Jadi, sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh abang kepada kami adik-beradik membuatkan saya mahu anak lelaki tetapi segalanya saya serahkan kepada rezeki. Jika memperoleh anak perempuan sekalipun saya tetap bersyukur," ujarnya yang masih meneruskan kegiatan seni memandangkan suami memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan. "Dia tidak mengehadkan watak yang perlu saya pilih, sebaliknya menyerahkannya kepada saya asalkan pandai jaga diri, status dan batas-batas sebagai seorang isteri. Kalau diikutkan perancangan, saya teringin melakukan kerja-kerja belakang tabir dan selalu mengikut Yusry ke lokasi. Dia juga tidak kedekut ilmu untuk berkongsi pengetahuan tentang selok-belok penggambaran," ujar Pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21. Lebih banyak kisah menarik, dapatkan Bumper MIngguan Wanita di pasaran sekarang. Anda juga boleh melayari www.mingguanwanita.com.my. | ||||||
| Kakitangan awam Selangor dapat bonus Posted: 26 Jul 2012 02:34 AM PDT Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini meluluskan pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam Selangor bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri. | ||||||
| Posted: 26 Jul 2012 02:33 AM PDT JALIN KERJASAMA. Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim ((tiga dari kiri) bergambar dengan Wings pada majlis sidang akhbar kumpulan tersebut menandatangani kontrak dengan KRU Studios. KUMPULAN rock legenda, Wings merupakan satu nama besar yang wujud dalam industri muzik tempatan. Sejak menapak kukuh dalam belantika muzik tempatan seawal tahun 1985 hingga kini, kumpulan rock tersebut sering mendapat perhatian tidak kira dari peminat mahupun syarikat rakaman. Apa yang menarik, setelah 10 tahun menyepi tanpa sebarang album baharu, Wings yang dianggotai oleh Awie, Joe, Black dan Eddie telah mengambil keputusan yang agak mengejut. Mereka kini dengan rasmi telah mengikat kontrak untuk duduk di bawah payung KRU Studios. Ia merupakan satu keputusan yang sedikit mengejutkan kerana Wings telah lama 'terbang bebas' tanpa terikat dengan sebarang syarikat rakaman sejak tamat kontrak bersama syarikat rakaman BMG lebih lima tahun lalu. Apa yang membuat Wings mengambil keputusan untuk bersama KRU. Adakah kerana mereka tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk menerbitkan album baharu selepas 10 tahun tidak muncul dengan sebarang produk? Adakah Wings membenarkan KRU 'mengganggu' asas muzik rock mereka sebagai sebuah syarikat rakaman yang berhak menentukan jenis muzik yang mereka mahukan? Apa kompromi antara Wings dengan KRU? Semua itu dijawab oleh Wings dan pihak KRU yang bakal menerbitkan album Wings dengan judul Menakluk Kosmos. Kosmo!: Apa yang meyakinkan Wings untuk menerima tawaran daripada KRU, sedangkan Wings telah lama bebas tanpa perlu mengikut petunjuk syarikat rakaman? WINGS: Kami melihat daripada kejayaan yang dicapai oleh KRU yang diterajui oleh tiga anak muda daripada pelbagai sudut iaitu perniagaan, perfileman, mahupun muzik. Kami juga menaruh harapan yang tinggi untuk mereka membuat sesuatu yang bakal terbangkan Wings ke tahap yang lebih tinggi. Sejujurnya, kami yakin untuk bernaung di bawah syarikat ini kerana ia merupakan 100 peratus milik bumiputera dan begitu juga kami yang mempunyai matlamat yang sama. Adakah KRU terbabit dalam pemilihan muzik atau hanya promosi? Apa yang Wings mahu, KRU akan bantu, namun dari sudut susunan lagu-lagu yang akan dihantar ke radio atau untuk mempromosi, kami akan berbincang bersama-sama, untuk menepati cita rasa dan konsep serta tema Wings yang asal. Bagaimanapun, konsep album adalah hak mutlak Wings. KRU tidak campur tangan terhadap karya kami. Wings menandatangani kontrak dengan KRU selepas atau sebelum album siap? Sebelum album siap. Adakah KRU akan menyumbangkan ciptaan mereka? Kami akan menilai sesiapa sahaja yang ingin menyumbangkan lagu kepada Wings. Kami tidak mahu menolak lagu yang hebat kerana jika lagu tersebut mampu menaikkan nama Wings, apa salahnya jika kami terima. Namun, dalam masa yang sama, kami juga ada menyimpan material yang dibuat oleh Wings dan juga membuka peluang kepada yang lain untuk membuat lagu-lagu yang terbaik untuk kami. Terima atau tidak jika KRU ingin menukar konsep Wings? Dalam perbincangan kami, KRU telah meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Wings untuk membawa muzik kami iaitu ia tidak akan lari dari konsep Wings yang asal. Namun, jika KRU punya konsep menarik, kami tidak akan teragak-agak untuk melakukannya, mungkin sebagai projek khas. | ||||||
| Posted: 26 Jul 2012 02:32 AM PDT
DALAM industri perfileman tempatan, nama pelakon popular Shaheizy Sam bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan peminat dan antara pelakon yang memang kerap tampil di layar perak. Merupakan seorang yang berpendirian untuk tidak terlalu memilih tawaran lakonan yang diterima, Sam juga dianggap seorang pelakon yang versatil serta mampu membawakan apa sajak watak yang diberikan seperti watak hero, antagonis, komedi atau lelaki psiko. Biarpun dilihat acap kali tampil dengan filem yang pelbagai genre, ternyata setiap karya yang diterbitkan dengan menampilkan dirinya ternyata jarang mengecewakan daripada segi kutipan dan sambutan penonton. Melihat kepada tawaran lakonan yang tidak putus-putus serta populariti yang diraih sepanjang bergelar anak seni, pelakon berkenaan turut diajukan tentang pasangan hidup memandangkan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada bulan September ini. Apatah lagi sebelum ini pelakon yang baru muncul dengan filem 8 Jam itu juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa pelakon wanita seperti Yana Samsuddin, Wawa Zainal dan Sara Ali. "Bukan saya mahu mengelak untuk mendirikan rumah tangga, tetapi semuanya saya serahkan pada jodoh dan tidak terlalu mencari sangat kerana lebih menumpukan kepada kerjaya. "Lagipun sehingga kini saya masih lagi belum memiliki teman wanita dan saya sasarkan akan berkahwin paling awal semasa usia 32 tahun," ujarnya ketika ditemui pada majlis tahlil anjurannya di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang baru-baru ini. Ditanya mengenai faktor-faktor yang menyebabkan dirinya masih belum terbuka hati untuk memiliki teman hidup sehingga sekarang, Sam menjelaskan jadual lakonan yang sentiasa padat menyebabkan dia lebih gemar untuk memberikan tumpuan kepada kerjayanya. Ujarnya, dia sangat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh menerusi tawaran lakonan yang sentiasa mencurah-curah, malah menyatakan pada masa inilah dia perlu berusaha mengumpul harta sebanyak mungkin. "Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan sejujurnya saya masih belum bersedia untuk mempunyai komitmen dalam berumah tangga. Jadi, sebagai persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan, saya perlu kumpul aset dan wang ringgit terlebih dahulu," ujarnya. Pada masa yang sama, anak kepada pelakon Khathy Fauziah itu juga meluahkan rasa gembira kerana memiliki seorang ibu yang sangat memahami kehendak hatinya dan tidak pernah memaksa untuk berkahwin secepat mungkin. Jelasnya lagi, ibunya juga tidak pernah memperkenalkan mana-mana wanita untuk dijadikan sebagai isteri dan memberikan sepenuh kebebasan buat dirinya untuk memilih sendiri calon isteri. "Mummy sendiri tidak pernah mendesak saya supaya mendirikan rumah tangga segera kerana dia tahu buat masa sekarang saya lebih gemar memberikan tumpuan kepada kerjaya," ujarnya. Berbuka dengan peminat SAM bersama ibu tercinta, Mummy Khaty dan anak saudaranya sewaktu majlis tahlil yang diadakan baru-baru ini. Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan, Sam memberitahu dia telah mengambil keputusan untuk berehat buat sementara dan tidak akan terbabit dalam sebarang penggambaran filem atau drama. Jelasnya, sepanjang menjalani ibadah puasa, dia mahu meluangkan lebih masa bersama ahli keluarga dan sudah merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat. "Sepanjang bergelar pelakon saya memang tidak berkesempatan untuk berbuka puasa dengan peminat kerana agak sibuk berlakon, jadi pada tahun ini saya cuba aturkan satu hari yang sesuai untuk meluangkan masa berbuka puasa dengan mereka. "Kalau ikut perancangan saya akan adakan majlis tersebut pada 11 Ogos ini, cuma lokasi sahaja yang masih lagi tengah saya cari dan saya jangka seramai 200 peminat yang akan hadir nanti," ujarnya. Mengenai juadah kegemaran sewaktu berbuka puasa, Sam menyatakan kuih tepung pelita, cucur udang, ikan bakar dan ayam percik merupakan juadah yang tidak ketinggalan untuk dibeli ketika mengunjungi bazar Ramadan. "Sepanjang bergelar pelakon berbuka puasa di lokasi penggambaran sudah menjadi perkara biasa buat saya, kini dengan adanya masa yang terluang saya dapat berkunjung ke bazar Ramadan dengan lebih kerap," ujarnya. Hampir terbakar Bercerita lebih lanjut mengenai kenangan yang paling menarik ketika menyambut bulan Ramadan, ternyata pelakon berkenaan turut mempunyai sebuah peristiwa yang agak lucu. Ujar Sam, peristiwa tersebut berlaku sewaktu dia berusia enam tahun apabila rumah di kampung ibunya yang terletak di Batu Pahat, Johor hampir terbakar gara-gara bermain bunga api. "Pada masa itu saya dan Zizie sedang leka bermain bunga api dan setelah habis, kami terus membuangnya di kawasan lalang yang terletak berhampiran dengan rumah. "Bagaimanapun, kami tidak menyangka bunga api tersebut belum betul-betul padam sehingga membakar lalang, namun kami bernasib baik apabila api berkenaan dapat dipadamkan dengan cepat," ujarnya. Menurutnya, dapat bersama rakan-rakan mengerjakan solat sunat terawih di masjid pula tetap menjadi saat yang paling menyeronokkan, namun semakin kurang berkesempatan untuk melakukannya sejak sibuk dengan berlakon. | ||||||
| Posted: 26 Jul 2012 02:31 AM PDT
KEJAYAAN abang, Syamsul dan reputasi cemerlang bapanya, Datuk Yusof Haslam membuatkan anak bongsu keluarga Yusof Haslam, Shafiq tertekan ketika mengarahkan filem sulungnya Saya Amat Mencintaimu atau SAM. Shafiq yang kini berusia 19 tahun memberitahu ketika filem itu diarahkan, dia baru sahaja berusia 18 tahun. Tekanan untuk menghasilkan filem yang terbaik serta mengekalkan reputasi cemerlang keluarga membuatkan Shafiq berkampung selama dua bulan di studio ketika proses pasca produksi dilakukan. "Bagi memastikan filem ini mencapai matlamatnya serta harapan yang diberikan orang sekeliling, saya berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana saya bukan sahaja mempertaruhkan nama sendiri, tetapi maruah keluarga dan syarikat Skop Production," kata Shafiq yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. Jelasnya lagi mengenai filem yang melakukan penggambaran selama 36 hari di sekitar Kuala Lumpur itu, kebimbangan utamanya adalah untuk tidak menghampakan harapan keluarga. "Bukan sedikit duit yang dikeluarkan untuk menghasilkan filem ini. Ia sekitar RM1.9 juta. Walaupun saya tahu filem ini dikeluarkan oleh syarikat bapa saya, tetapi hakikat sebenarnya perniagaan tetap perniagaan. "Tidak ada gunanya gelaran pengarah termuda yang diletakkan dalam Malaysian Books of Records jika filem ini tidak mendapat sambutan daripada penonton tempatan," katanya. Tegas Shafiq, dia mengambil risiko yang besar apabila memilih genre ngeri dan suspens yang cukup asing buat penonton filem tempatan. "Skop Production memang dikenali dengan drama dan filem aksi yang berkualiti sebab itu apabila diberi pilihan untuk menghasilkan filem saya cuba elakkan filem aksi yang sudah cukup sinonim dengan abang saya. "Filem ngeri dan suspens lebih dekat dengan jiwa saya. Kalau percubaan saya menjadi, saya akan menjadi orang yang membuka pintu kepada penonton tempatan untuk filem genre sebegini, tetapi jika gagal saya akan menjadi kambing hitam di dalam keluarga," balasnya. Membariskan pelakon popular seperti Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Azad Jazmin, Neelofa dan Fimie Don, Shafiq memberitahu dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengarah pelakon yang lebih senior daripadanya. "Tidak ada sebarang masalah, saya bersyukur kerana mendapat pelakon yang saya inginkan dan mereka memberi kerjasama yang sangat baik, malah lebih daripada apa yang harapkan," ujar Shafiq yang menulis skrip dan memilih score muzik sendiri. Pelakon utama filem tersebut, Shaheizy Sam menyatakan, filem SAM banyak menuntut kekuatan fizikal kerana terdapat banyak adegan bergaduh. "Penggambaran dilakukan di sebuah kilang lama yang berhabuk, saya ada masalah sinus, jadi sepanjang penggambaran saya diserang demam sebanyak tiga kali. "Saya berharap penonton akan menyukai filem SAM kerana filem ini secara visualnya sangat menarik dan Shafiq telah mengejutkan saya dengan kebolehannya," luah Sam. Menonton filem SAM yang akan berada di pawagam pada 19 Ogos depan, kebanyakan media yang hadir sedikit gusar dengan kebolehan Shafiq. Namun, apabila filem itu sampai ke penghujungnya, ternyata Shafiq telah berjaya menggalas tugas pengarah dengan baik. Filem tersebut secara visualnya cukup menarik, ditambah dengan lakonan berkesan oleh Sam. Secara jujur, filem SAM layak ditonton dan dinikmati oleh penonton dan pulang dengan perasaan puas hati. SAM mengisahkan pasangan kekasih lakonan Sam dan Lisa Surihani yang bercinta dan saat Sam ingin melamar Lisa terjadi satu kejadian yang tidak diingini, iaitu Lisa telah diculik. | ||||||
| Hasan Budu ketagih curi kereta Posted: 26 Jul 2012 02:29 AM PDT
KUALA TERENGGANU – Ketua sindiket curi kereta, Hasan Budu (gambar) bagaikan sudah ketagihan untuk terus melakukan jenayah walaupun baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak, Machang, Kelantan apabila dia disyaki masih terjebak dalam kegiatan jenayah. Suspek yang sebelum ini mempunyai 15 rekod mencuri kenderaan dipercayai kembali aktif melakukan jenayah sama selepas dibebaskan dari tahanan pada April lalu apabila banyak kes curi kenderaan kini dipercayai didalangi Hasan Budu atau nama sebenarnya Samsul Bahri Awang Noh, 39. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kegiatan jenayah suspek dari Kampung Padang Luas, Besut itu terbongkar ekoran penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada Isnin lalu "Suspek berkenaan mendedahkan kaitan Hasan Budu dengan penemuan lori Hino dan Mitsubishi Pajero yang berada di rumah suspek terbabit," kata beliau. Menurut beliau, polis kemudian membuat intipan beberapa jam di kawasan rumah tersebut sebelum mengesan Hasan Budu yang memandu Mitsubishi Pajero juga kenderaan curi menghala ke rumah itu. Bagaimanapun, Hasan Budu yang cuba ditangkap dapat menghilangkan diri. Menurut beliau, polis percaya sejak dibebaskan, Hasan Budu telah berjaya merekrut beberapa orang anak buahnya untuk melakukan jenayah curi kenderaan di negeri ini, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang. Katanya, modus operandi kumpulan Hasan Budu ialah menggunakan kunci pendua untuk menghidupkan enjin kenderaan yang mahu dicuri. "Kumpulan tersebut berjaya melarikan kereta dalam beberapa minit tanpa mengira jenis kenderaan," kata beliau. Berikutan itu, Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hasan Budu tampil membuat laporan polis bagi menyekat aktiviti penjenayah itu. | ||||||
| Kerani penipu didenda, dipenjara Posted: 26 Jul 2012 02:28 AM PDT MOHD. FAUZY meninggalkan Mahkamah Sesyen Melaka semalam selepas hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya ditangguhkan menunggu proses rayuan. MELAKA – Gara-gara membuat lapan tuntutan palsu berjumlah RM270,650, seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM1.35 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Fauzy Mohd. Yusuf, 41, dari Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah selepas prosiding pada akhir kes pembelaan. Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut ketika memegang jawatan sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Perkhidmatan Haiwan Melaka (kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka) antara 9 November hingga 30 November 1999. Lapan pertuduhan itu meliputi tuntutan palsu membabitkan dokumen pesanan kerajaan, inden (pesanan pembelian barang secara rasmi) dan invois dengan jumlah tuntutan tertinggi bernilai RM49,800 dan paling rendah RM9,250. Semua tuntutan itu didakwa dilakukan bagi kerja-kerja pembangunan projek tenusu di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Merlimau, Jasin dan Masjid Tanah. Antaranya bagi pembelian benih rumput, kerja membina travis berbumbung lembu susu, pembinaan kandang lembu susu, pembangunan infrastruktur di kawasan padang ragut dan projek tenusu PPRT. Bagi semua pertuduhan itu, Mohd. Fauzy didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama. Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi. Terdahulu selepas hukuman dijatuhkan, tertuduh kelihatan tenang menerima keputusan mahkamah tersebut. Elesabet memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan berdepan hukuman penjara lima tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda yang dikenakan RM1.35 juta. Tertuduh bagaimanapun bernasib baik apabila hakim memerintahkan hukuman penjara bagi kelapan-lapan pertuduhan itu berjalan serentak bermula semalam. Peguam yang mewakili tertuduh, Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan. Namun Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roziza Sidek yang mengendalikan kes membantah permohonan itu. "Sekiranya penangguhan dibenarkan saya pohon jumlah jaminan RM10,000 yang sedia ada ditambah," kata beliau. Elesabet yang mendengar permohonan kedua-dua belah pihak kemudian membenarkan hukuman itu ditangguhkan dengan syarat notis rayuan difailkan semalam. Jaminan dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu. Dalam perbicaraan yang berlangsung selama setahun bermula tahun 2009 itu seramai 30 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan tersebut. | ||||||
| Perkampungan Ramadan artis jadi tumpuan Posted: 26 Jul 2012 02:27 AM PDT SERINA menunjukkan biskut raya di gerainya di Perkampungan Ramadan Artis bersebelahan Bukit Jalil Nite Walk, Kuala Lumpur kelmarin. KUALA LUMPUR – Kemeriahan Perkampungan Ramadan Artis bersebelahan Bukit Jalil Nite Walk di sini menjadi tumpuan orang ramai yang bukan sahaja mahu mendapatkan juadah berbuka puasa tetapi juga bertemu selebriti pujaan masing-masing. Program anjuran Barisan Artis Nasional (Bran) yang dipengerusikan oleh Datuk AC Mizal, bermula sejak 20 Julai lalu sehingga 19 Ogos dari pukul 4 petang hingga 8 malam. Perkampungan itu merupakan cetusan idea artis yang mahukan kemeriahan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri disambut bersama peminat yang tidak mempunyai kampung halaman selain tinggal tetap di Kuala Lumpur. Antara yang membuka gerai di situ ialah pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan yang menjual biskut raya berharga sekitar RM25 hingga RM35 setiap pek. Katanya, biskut yang dibuat sendiri dijual menggunakan mentega sepenuhnya bagi menambah keenakan dan gebu. "Saya jual 10 jenis biskut dengan paling laris ialah tat nenas, kacang, coklat rangup dan nestum," katanya ketika ditemui kelmarin. Pelakon drama, Ema Akma (gambar kecil) pula menjual ayam percik menggunakan resipi campuran rempah ratus istimewa. "Ayam percik yang saya jual rasanya sedikit manis dan pedas. Keenakannya terletak pada kuah yang dibuat sendiri tidak terlalu berwarna merah tetapi pekat. "Setiap satu dijual pada harga RM3.50," katanya. Lain pula dengan penyanyi dan pelakon, Eida Moin yang memilih untuk membantu keluarganya menjual masakan popular mereka iaitu sotong kangkung, yong tau fu dan air soya. "Ini merupakan perniagaan keluarga saya tetapi saya turun padang membantu kerana bila Ramadan, memang tidak menang tangan melayan pengunjung. "Air soya kami juga berbeza kerana kami meletakkan ais yang dibalut plastik supaya rasa lemak soya kekal lama," jelasnya. Bintang Akademi Fantasia 4, Farhan pula menjual kira-kira 20 jenis biskut raya buatan sendiri. "Saya minat buat biskut sejak kecil lagi. Saya akan mula membancuh adunan bermula lepas sahur sampai waktu berbuka," katanya. Katanya, antara jenis biskut yang dijual adalah coklat pizza, makmur Sabah dan mama carry pada harga RM25 hingga RM28. Selebriti lain yang turut berniaga di situ ialah Salamiah Hassan, Watie Elite, Azza Elite, Muhammad Mentor, Ayu One In A Million, Maya Matahari dan Riot Kool. | ||||||
| Takut tengok roket atas kepala Posted: 26 Jul 2012 02:26 AM PDT KUMPULAN pertama tujuh pelajar Malaysia dari Syria mengaminkan doa selepas selamat tiba di KLIA, Sepang semalam. SEPANG - "Saya hanya boleh berdoa ketika melihat roket tentera berterbangan di ruang udara atas rumah kami pada waktu malam." Itulah antara detik mencemaskan yang dialami pelajar Malaysia di Syria, Mohd. Luqman Saidin, 23, ketika dia berada di negara yang sedang bergolak itu minggu lalu. Menurut pelajar Ma'had Dauli itu, situasi tersebut menyebabkan dia serta rakan-rakan pelajar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyelamatkan diri. "Bunyi tembakan dapat didengari dengan jelas dari tempat tinggal saya di kota Damsyik dan malah ia juga kerap berlaku. "Paling menakutkan, ia bagaikan tidak putus-putus terutamanya pada waktu petang selepas Isyak dan berterusan sehingga tengah malam," kata pelajar dari Kedah itu kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam. Luqman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bertindak pantas membawa dia dan rakan-rakannya pulang ke tanah air. Dia bersama enam lagi pelajar menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam dengan menaiki pesawat Emirates EK346 dari Damsyik, Syria. Pelajar lain yang selamat tiba ialah Abdul Halim Mohammad Ghazali, 21; Muhammad Afifuddin Md. Tahir, 23; Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21; Muhammad Othman Zawawi, 23; Muhammad Rusydi Ilhami Ahmad Fahmi, 22, dan Syed Abdul Rahman Syed Ramli, 14. Luqman menceritakan, dia yang tinggal bersama tiga lagi pelajar Malaysia di rumah sewa mereka bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat serta tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan. Seorang lagi pelajar Ma'had Dauli, Muhammad Afifuddin berkata, pergolakan itu menjadikan masjid di Syria sunyi kerana tidak ramai yang berani mengunjunginya untuk beribadat. Malah, katanya, solat tarawih juga dihadkan kepada lapan rakaat dan bukan 20 rakaat bagi mengelak ada jemaah menjadi mangsa serangan. "Selepas solat, kami terpaksa pulang segera ke rumah atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi kawasan kejiranan cuma satu kilometer dari medan pertempuran," katanya. Sementara itu, bagi Muhammad Hasan, keadaan menjadi semakin tidak terkawal pada minggu lalu terutamanya pada hari Rabu dan Khamis. Menurutnya, bunyi tembakan dapat didengari pada bila-bila masa manakala kelibat tentera yang ramai cukup membimbangkan. "Alhamdulillah, Persatuan Pelajar Malaysia Syria dan kerajaan telah membuat keputusan yang tepat untuk menghantar kami pulang," katanya yang belajar di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro. | ||||||
| Posted: 26 Jul 2012 02:24 AM PDT KAWASAN pantai yang terhakis seperti di Tanjung Piai, Johor ini lebih mudah tenggelam jika berlaku kenaikan paras laut. KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia terutama kawasan pesisir pantai berisiko ditenggelami air laut jika lapisan ais di Greenland cair sepenuhnya. Pakar geologi, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, risiko itu timbul kerana kejadian ais cair di pulau berhampiran Kutub Utara tersebut jika berterusan boleh menyebabkan paras air laut termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka meningkat. "Apabila air laut meningkat maka daratan Malaysia akan ditenggelami air laut terutama kawasan pesisir pantai yang berada pada kedudukan rendah. "Risiko ini bagaimanapun tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pencairan ais di Greenland akibat pemanasan global berlaku secara berperingkat-peringkat," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Beliau mengulas kejadian kecairan glasier yang luar biasa di Greenland pada bulan ini yang membabitkan kawasan lebih luas berbanding sepanjang tempoh 30 tahun lalu. Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan hampir 97 peratus permukaan glasier di Greenland mula mencair. Sebuah bongkah ais gergasi dua kali lebih besar daripada Manhattan, Amerika Syarikat atau hampir menyamai saiz Pulau Tioman di Malaysia turut pecah. Ibrahim berkata, fenomena pemanasan global menjadi punca lapisan ais di Greenland cair dan ini telah mengakibatkan paras air laut di Malaysia meningkat satu hingga dua milimeter setiap 10 tahun. Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais di Greenland ialah dengan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global. Sementara itu, Pakar Oseanografi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus pula memberitahu, peningkatan paras air laut akan menyebabkan kawasan-kawasan rendah di negara ini dinaiki air dan banjir kilat berlaku lebih kerap. "Kawasan rendah yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini berkemungkinan berlaku banjir dan proses untuk air surut akan mengambil masa lebih lama," jelasnya. Menurut Kamaruzaman, kecairan ais yang berlaku dan kesannya kepada negara ini adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal, pembebasan karbon dioksida (CO2) dan pertambahan penduduk manusia. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Yap Kok Seng pula ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang memantau perkembangan di Greenland serta akan mengkaji kesan fenomena itu terhadap Malaysia. | ||||||
| Posted: 26 Jul 2012 02:23 AM PDT
BAITULMUQADDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menegaskan, negaranya akan bertindak dengan segera jika para pejuang Hezbollah Lebanon menyerbu tempat simpanan senjata kimia dan biologi milik Syria. Beliau membuat kenyataan itu di Radio Israel semalam. Beberapa pemimpin Israel sebelum ini menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan di tempat simpanan senjata Syria bagi menghalang senjata kimia dan biologi jatuh ke tangan para pejuang Hezbollah. Para pemimpin Israel bimbang jika rejim Presiden Bashar Al-Assad tumbang, senjata itu akan diperoleh para pejuang Hezbollah dari Lebanon. Sementara itu, Turki menutup laluan komersial di sempadan Syria. Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu memberitahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai pelarian bahawa sempadannya itu masih dibuka untuk para pelarian dari Syria. Sementara itu, keganasan di bandar raya kedua Syria, Aleppo, memuncak kelmarin ekoran pertempuran tentera pemerintah dengan kumpulan pemberontak, kata pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia. Badan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu melaporkan pertempuran berlaku di daerah Bustan Al-Qasr, selatan Aleppo dengan tentera Bashar menggunakan beberapa helikopter tempur di kawasan penempatan penduduk. Kebangkitan penduduk di Syria bermula pada Mac lalu apabila kumpulan pemberontak menentang tentera Bashar. Kumpulan pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran kabangkitan rakyat berlaku di Tunisia dan Mesir. Tentera Pembebasan Syria yang turut mewakili pemberontak turut terlibat dalam serangan menentang tentera Bashar. Setakat ini lebih 20,000 orang telah terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak itu dengan tentera Bashar. | ||||||
| Saluran TV guna pekerja wanita berpurdah Posted: 26 Jul 2012 02:22 AM PDT BEBERAPA pekerja wanita di studio saluran televisyen Maria TV di Kaherah pada 23 Julai lalu. KAHERAH - Mesir mempunyai satu-satunya saluran televisyen yang menggunakan pengacara, pemberita dan jurukamera yang memakai purdah. Saluran televisyen itu, Maria TV turut dikendalikan oleh wanita Muslim. SEORANG jurukamera saluran Maria TV. Ia dilancarkan pada Sabtu lalu dan diilhamkan pengarah televisyen itu, Ahmed Abdallah. Antara program yang disiarkan adalah tentang kecantikan, perubatan dan perkahwinan. Saluran itu disiarkan enam jam seminggu. | ||||||
| Gempa bumi kuat landa Sumatera Posted: 26 Jul 2012 02:21 AM PDT SINABANG, Indonesia - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan pantai barat Pulau Sumatera semalam dengan menyebabkan penduduk bertempiaran keluar dari kediaman dan bangunan. Pihak berkuasa berkata, seorang lelaki rebah dan mati akibat terkejut semasa dia keluar dari rumahnya. Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa yang berpusat pada kedalaman 22 kilometer itu berlaku pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan kira-kira 34 kilometer ke barat laut Sinabang. Penduduk di sini memberitahu, gegaran kuat berlaku selama satu minit dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. "Orang ramai menjerit, mengambil barang milik masing-masing dan bergegas keluar dari kediaman mereka," kata seorang wartawan agensi berita AFP di sini. "Bekalan elektrik terputus dan saya dapat melihat rekahan pada dinding-dinding kediaman," tambahnya. Seorang jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, seorang lelaki mati semasa keluar dari rumahnya di pulau ini yang memiliki 80,000 penduduk. Media tempatan dan agensi meteorologi memberitahu, tiada laporan tentang kerosakan besar atau kemalangan jiwa akibat bencana itu setakat ini. | ||||||
| Pembuat tauhu, tempe lancar mogok Posted: 26 Jul 2012 02:21 AM PDT
JAKARTA - Pembuat tauhu dan tempe melancarkan mogok semalam dengan menghentikan pengeluaran bahan itu semalam manakala produk soya yang diperbuat daripada kacang soya tidak dijual di kedai-kedai, lapor agensi berita AFP semalam. Keadaan itu berlaku kerana kemarau yang menlanda Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan pengeluaran kacang soya. AS merupakan pengeluar terbesar jagung dan kacang soya mengalami musim kemarau yang paling teruk dalam tempoh 25 tahun. Kira-kira 23,000 pembuat tauhu dan tempe di Jakarta dan Jawa Barat melancarkan mogok kerana harga kacang soya yang meningkat. "Para pengeluar makanan terpaksa membuat saiz makanan itu lebih kecil dan pengguna berasa marah," kata Pengerusi Koperasi Taufu dan Tempe Indonesia, Sutaryo. Ketika ini, harga kacang soya meningkat dari 5,500 rupiah (RM1.83) sekilogram pada Januari lalu kepada 8,000 rupiah (RM2.67). Menurut laporan, sebanyak 60 peratus import kacang soya Indonesia adalah dari AS. Ekoran mogok itu, pelaksanaan duti import kacang soya sebanyak lima peratus ditangguhkan sehingga akhir tahun ini. | ||||||
| Anggota bomba selamatkan warga emas Posted: 26 Jul 2012 02:20 AM PDT MARTINEZ (kiri) cuba memujuk Lui untuk turun semasa rumahnya terbakar di Racine kelmarin. RACINE, Wisconsin - Seorang anggota bomba mendukung seorang warga emas, Pete Lui menuruni tangga dari tingkat dua rumahnya yang terbakar di sini kelmarin. Sebelum ketibaan pasukan bomba, seorang lelaki, Edwardo Martinez cuba untuk meyakinkan Lui supaya turun dengan menggunakan tangga kayu. Namun, warga emas itu enggan turun dengan menggunakan tangga tersebut. Tangga kayu itu kemudian terbakar.
Anggota-anggota bomba menggunakan tangga logam untuk menyelamatkan Lui selepas mereka tiba di lokasi kejadian. Dua anggota bomba memanjat tangga itu ke tingkat dua rumah tersebut. Salah seorang anggota bomba itu mendukung Lui semasa dia turun dengan menggunakan tangga tersebut. Warga emas itu kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan. | ||||||
| Pesakit kagum pulih daripada jangkitan HIV Posted: 26 Jul 2012 02:19 AM PDT
WASHINGTON - Satu-satunya pesakit HIV yang dipercayai sembuh menerusi pembedahan pemindahan sum-sum, Timothy Ray Brown (gambar) memberitahu kelmarin bahawa dia berasa kagum dan kini melancarkan satu yayasan baharu bagi menggalakkan penyelidikan bagi mencari ubat penyakit maut itu. Brown, 47, yang berasal dari bandar raya Seattle dalam negeri Washington, popular selepas beberapa doktor cuba menggunakan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemianya. Sejak 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan menunjukkan keputusan yang negatif dalam ujian HIV. "Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati," kata Brown dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP. "Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV," tambahnya. Lelaki itu sedang belajar di Berlin, Jerman apabila didapati positif HIV pada 1995 dan diberitahu dia cuma boleh hidup selama dua tahun lagi. Namun, kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia setahun kemudian membolehkan jangkitan HIV yang dihidapi berjuta-juta penduduk dunia dirawat. Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan. Dia kemudian disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkannya mengalami pneumonia dan kandungan darahnya mengandungi bakteria beracun. Dalam usaha menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Gero Huetter mendapat idea untuk melakukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum dengan menggunakan penderma sel induk yang memiliki gen mutasi CCR5. Mereka yang tiada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh ditembusi virus tersebut. Namun, manusia yang tiada gen CCR5 jarang ditemui dan dipercayai cuma satu peratus penduduk dunia yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut. Idea Huetter adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan itu. Brown didapati bebas daripada kuman maut itu selepas menjalani pembedahan tersebut. | ||||||
| Rangka tulang Mona Lisa semakin hampir ditemui Posted: 26 Jul 2012 02:17 AM PDT
FLORENCE - Beberapa ahli arkeologi kelmarin menemui satu rangka manusia di bawah simen biara Sant'Orsola di sini yang dipercayai mungkin model wanita lukisan Mona Lisa yang dilukis oleh pelukis terkenal, Leonardo da Vinci. Sebelum ini beberapa rangka tulang manusia juga telah ditemui dalam misi mencari kubur model tersebut yang dipercayai isteri seorang pedagang sutera, Francesco del Giocondo iaitu Lisa Gherardini. Kerja-kerja untuk mencari rangka Gherardini itu diketuai seorang ahli arkeologi Itali, Silvano Vinceti di biara tersebut pada tahun lalu. Ia dilakukan selepas dokumen terbaharu yang ditemui mengesahkan Gherardini pernah tinggal di biara tersebut selepas kematian suaminya. Rangka-rangka manusia itu akan dikaji bagi mengetahui sama ada ia kepunyaan Gherardini. Selepas identiti rangka manusia itu diketahui, kerja-kerja untuk membentuk semula mukanya akan dilakukan selama dua bulan. Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Gherardini merupakan model untuk lukisan Mona Lisa. Lukisan itu dihasilkan antara tahun 1503 dan 1506. Ketika ini lukisan tersebut dipamerkan di Muzium Louvre, Paris. | ||||||
| Persembahan hiburan majlis keraian Posted: 26 Jul 2012 02:16 AM PDT
MEMPELAI yang hendak dirai Mohammad Marji, 57, sudah pun beredar meninggalkan majlis. Namun, seperti ada rasa tanggungjawab, Mohammad atau mesra disapa Pak Mat berkeras dan semahu-mahunya hendak mempersembahkan tarian barongan yang menjadi kebanggaannya. Meskipun sudah lewat lima jam ke majlis perkahwinan itu, dia tidak kisah kalau pasangan mempelai tiada, janji masih ada tetamu yang boleh dihiburkannya. Lelaki itu tidak henti meluahkan kekesalan atas kelewatannya. "Tak tahulah apa yang tak kena dengan kereta aku. Anak buah aku semua dah ada kat padang, tunggu aku je ni," dengusnya. Memang benar. Peralatan muzik dan para penari sudah sedia menanti pewaris Barongan Kampung Parit Binggan Batu, Batu Pahat, Johor di Padang Perumahan Awam Labis itu. Tanpa banyak bicara, Pak Mat lantas mencapai trompetnya yang terukir kepala naga di hujungnya untuk memulakan persembahan. Tatkala bunyi gong, gendang, bonang, angklung dan trompet bersatu dan alunan irama yang mengasyikkan mula bergema, semua tetamu bagaikan larut mendengarnya. Lagu bertajuk Cecah Rowo, Caping Gunung dan Perahu Layur dendangan kumpulan Barongan Seri Wahyuni berjaya memikat perhatian para hadirin. Tidak kira tua atau muda, masing-masing terpaku dan enggan berganjak. Namun sekali-sekala, ada raut ketakutan pada riak wajah mereka. Adegan demi adegan membuat jantung berdegup pantas. Seperti mengikut ritma, seorang lelaki umpama seorang pahlawan melangkah ke tengah padang. Tubuhnya meliuk-lentuk. Kemudian datang tiga gadis berpakaian tradisional merah jambu bersama kuda kepang menghampirinya. Topeng harimau PENARI yang membawa watak Barongan perlu memakai topeng berupa kepala harimau dan burung merak seberat 36 kilogram. Debaran kepada persembahan ini semakin terasa apabila seorang pahlawan itu memakai topeng harimau yang dihiasi bulu merak. Entah dari mana kekuatan yang diperoleh, lelaki itu berupaya mengangkat topeng seberat 36 kilogram (kg) itu. Persembahan yang memakan masa dua jam itu penuh bertenaga, unik dan tersendiri. Pak Mat bukan sebarangan orang. Kata-kata yang terpacul daripada mulut beliau merupakan penanda aras kepada semangatnya yang luar biasa. Dia utuh memegang pepatah Melayu. Katanya, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
"Saya mula didedahkan dengan barongan seawal usia enam tahun. Arwah ayah selalu bawa saya melihat persembahan yang dibuat oleh kumpulannya. "Yang lucunya ketika itu apa yang bermain di fikiran saya cuma keseronokan bila melihat seorang pendekar menggayakan topeng kepala harimau yang dihiasi bulu burung merak," beritahu Pak Mat. Dia terus bercerita tanpa ada perasaan riak. Arwah datuknya, Binggan Abu Bakar ialah individu yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan barongan di Kampung Parit Binggan Batu (di mana) sekitar tahun 1930-an. Era Perang Dunia Kedua telah merencatkan seni itu seketika. Roh barongan yang mengalir dalam tubuh keturunan Binggan, seolah-olah mengajak abangnya, Yusuf mengembalikan kegemilangan warisan itu sebelum Pak Mat mengambil alih pada tahun 1969. Pak Mat bukan sekadar boleh memainkan semua alat muzik bahkan pandai menari. Salasilah barongan GADIS yang memegang watak dayang berkuda mengiringi muzik dalam persembahan barongan. ru ini. "> Dia yang juga memimpin kumpulan kuda kepang dan zapin di kampung itu dilihat begitu gembira untuk menghuraikan salasilah barongan atau dikenali sebagai riyok. Sambil membetulkan kopiah corak batik ala Jawa di kepalanya, dia mula bercerita: "Barongan dipercayai berkembang di Malaysia sekitar tahun 1722 setelah dibawa oleh hamba abdi yang datang ke Johor ketika kejatuhan kerajaan Riau Lingga. "Dulu, pemain-pemainnya akan jadi separa sedar dan mabuk kerana terlalu asyik menarikan gerak tari, namun kini ia sudah berubah, tiada lagi kejadian mabuk kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam." Desas-desus kononnya barongan diciplak daripada tarian Reog yang berasal dari Ponorogo, Indonesia dan menyerupai budaya Hindu, Pak Mat kurang arif mengenainya. PEMAIN muzik Kumpylan Barongan Seri Wahyuni Kampung Parit Binggan, Batu Pahat memainkan beberapa alat muzik tradisional pada satu persembahan di Padang Perumahan Awam Labis baru-baru ini. Lelaki berjiwa besar ini tidak putus bercakap tentang kemalapan seni barongan. Keluhnya, masyarakat masa kini hanya memandang sebelah mata warisan turun temurun itu. Namun, kehadiran temannya, Shudak Dollah, 52, bersama sembilan orang ahli kumpulan barongan Seri Wahyuni memberi sedikit kelegaan kepada Pak Mat. Shudak yang ramah-tamah memberitahu, dia sudah 25 tahun bersama Kumpulan Barongan Seri Wahyuni dan seni itu sudah meresap jauh ke dalam dirinya. "Saya bukan sekadar minat tapi niat saya lebih kepada mempertahankan nilai dan warisan budaya bangsa. "Sebagai seorang yang berketurunan Jawa, saya mahu barongan terus hidup dan dikenali oleh anak cucu kita nanti," katanya sambil mendedahkan bahawa dirinya merupakan pahlawan di sebalik topeng harimau dan merak itu. Mengulas lanjut, Shudak terpaksa mengerah seluruh kudratnya membawa topeng yang beratnya melebihi 30kg itu. Katanya, dia juga perlu berhati-hati kerana topeng yang digalas di atas kepala, hanya dikawal dengan gigitan pada palang kayu kecil yang diletakkan di dalam topeng kayu itu. Terdapat 2,500 helai bulu merak yang disusun pada jalinan buluh yang diikat dengan rotan. "Pernah sekali dalam satu persembahan, seorang penonton cuba untuk mengayakan topeng berkenaan tapi mengalami kemalangan dan tercabut tiga batang gigi kerana tidak biasa melakukannya," imbas Shudak. Shudak memberitahu, dia sendiri memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk memahirkan diri. Sememangnya, stamina dan kekuatan fizikal untuk menjadi penari barongan sangat dituntut. | ||||||
| Posted: 26 Jul 2012 02:15 AM PDT
FILEM mikro telah merangsang berpuluh-puluh juta penonton dan menawarkan kebebasan berkarya yang sebelum ini mustahil untuk dilakukan. Ia sekali gus melahirkan pembikin filem segera yang hanya menggunakan telefon pintar. Sehingga hujung minggu lalu, filem-filem dalam internet telah memberi ruang seluas-luasnya kepada individu yang baru belajar mengarah hingga para pengarah. Semua kandungan yang sebelum ini menjadi mangsa suntingan pihak penapisan kini boleh ditayangkan di laman-laman web yang dihos oleh portal internet. Bagaimanapun, fenomena yang diperhatikan semakin berkembang pesat dalam tempoh dua tahun lalu itu telah menyebabkan Beijing nekad untuk mengetatkan kawalan terhadap media baharu. "Filem jenis ini membolehkan hampir setiap orang menjadi pengarah. Saya boleh mempersembahkan pemikiran dan cerita yang saya hajatkan. "Ia sama seperti penulis blog yang boleh menerbitkan artikel mereka," kata pembuat filem veteran Tanah Besar dan juga calon Anugerah Akademi, Gu Changwei, 54. Dia mendapat pencalonan Oscar bagi kategori sinematografi melalui filem arahan Chen Kaige bertajuk Farewell My Concubine pada tahun 1993. Tambahnya, durasi filem-filem mikro tidak melebihi 30 minit dan ditayangkan di seluruh China melalui portal seperti Youku.com dan Sohu.com. Ia amat mudah mendapat bilangan penonton yang ramai. Pengarah Komunikasi Youku, Jean Shao berkata, kali pertama pergerakan filem mikro mendapat perhatian orang awam adalah apabila filem Old Boys ditayangkan pada tahun 2010. Filem itu ditonton lebih 47 juta kali.
Ia merupakan salah satu filem yang mengambil program bersiri 11 Degrees yang mengandungi 10 judul filem mikro. Keseluruhan jumlah penonton apabila digabungkan mencecah 120 juta orang. Para pengarah berpendapat, filem mikro memberikan peluang kepada mereka untuk berhubung dengan penonton seluruh negara terutamanya selepas laman YouTube disekat. Maklum balas "Saya boleh melihat maklum balas serta-merta sebaik sahaja orang ramai habis menonton. Saya pula boleh mengetahui sama ada ia bagus atau tidak dan melihat bahagian yang perlu diperbaiki. "Filem-filem mikro mempersembahkan sesuatu yang nyata dan menjadi penghubung komunikasi antara pengarah dengan penonton," kata Changwei. Dia merupakan salah seorang daripada empat orang pengarah Asia yang menyumbang dalam program sekelompok filem mikro, Beautiful 2012. Program tersebut mendapat sokongan Persatuan Festival Filem Antarabangsa Hong Kong dan Youku serta ditayangkan di kebanyakan festival filem Asia sejak bulan Mac. Ia turut menayangkan filem Walker yang meraih perhatian ramai. Filem arahan rakyat Taiwan, Tsai Ming-liang, itu memaparkan perjalanan seorang sami di tengah-tengah bandar Hong Kong. Revolusi telefon pintar Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan pelaburan Amerika Syarikat (AS), Needham & Company, China merupakan pasaran negara terbesar bagi telefon pintar di dunia. Lebih kurang 33.1 juta peranti itu dijual pada suku pertama tahun ini berbanding 25 juta buah telefon di AS manakala pihak Pentadbiran Radio, Filem Dan Televisyen China (SARFT) mendakwa seramai 325 juta penduduknya menonton video dalam talian secara berkala. "Kami menyaksikan teknologi mobil berkembang dengan pantas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan. "Ia mengubah cara orang ramai memperoleh informasi dan bahan hiburan. Hampir setiap orang memegang telefon pintar dan minat kita terhadap peranti itu semakin meningkat sama seperti orang mula mengalihkan perhatian daripada televisyen ke komputer peribadi.
"Situasi itu sangat cool apabila orang dapat menonton filem ketika berada di luar rumah," kata Pengarah Urusan Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF), Tang Liujun. Tang nyata teruja dengan perkembangan pembikinan filem mikro yang mengangkat pelbagai tema dan mesej. Pihak industri menganggarkan pengeluaran filem mikro yang dihasilkan di China pada tahun lalu melebihi 2,000 judul berbanding filem arus perdana sekitar 500 tajuk sahaja. Kandungan tidak sihat Sebelum ini, kandungan cerita yang dihasilkan oleh pergerakan filem mikro dipantau mengikut panduan yang dirasakan sesuai oleh pihak Youku. Namun begitu, selepas terdapat peningkatan kebimbangan terhadap perkara itu, kerajaan China berikrar pada minggu lalu untuk bertindak bagi menangani kegilaan tersebut. Tidak seperti televisyen atau filem yang ditayangkan di pawagam, siri dalam talian dan filem-filem pendek dihasilkan dengan penapisan minimum. Beijing mengenakan peraturan yang ketat terhadap kandungan yang memberi gambaran negatif pada keadaan politik atau memainkan isu-isu yang membawa kepada masalah sosial. "Terdapat beberapa peraturan yang wajib dipatuhi pembikin filem seperti isu pornografi, sama seperti filem aliran perdana China. Namun diakui, terdapat lebih kebebasan berkarya dalam aliran filem mikro. "Kami mendapat 30,000 komen pada filem Walker karya Tsai Ming-liang pada hari pertama dimuat naik," cerita Shao. Bagi ramai pembikin filem, pergerakan itu kini menjadi hala tuju unik yang menawarkan peluang kreatif seluas-luasnya. "Ia memberikan saya lebih kebebasan dalam menyampaikan mesej. Tiada tekanan untuk mencapai status pecah panggung dengan filem sebegini," kata Changwei. | ||||||
| Adtech tukar sisa jadi baja dan biogas Posted: 26 Jul 2012 02:14 AM PDT
KESUKARAN melupuskan sisa makanan dan minyak yang mencecah beratus kilogram setiap hari sentiasa mengganggu fikiran pemilik restoran Namkiending di Bangkok, Thailand, Banuerd Loplamlert. Selama hampir 15 tahun, masalah itu bermain di fikiran Loplamlert kerana sisa makanan tersebut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Bahkan, usahawan itu tidak mengetahui cara sesuai melupuskan lebihan minyak memasak dan lemak yang boleh menjejaskan alam sekitar. Selain terpaksa mengeluarkan belanja besar mengatasi masalah tersebut, Loplamlert sebenarnya tidak berasa yakin kaedah yang sedia ada itu benar-benar berkesan. Bagaimanapun, selepas beliau menghadiri satu ekspo di Bangkok kira-kira tujuh tahun lalu Loplamlert menemui jalan penyelesaian yang tidak pernah diduganya. Di situ, dia diperkenalkan dengan mesin kitar semula keluaran Micro Biotec Co. Ltd. SISA jualan sayuran dihancurkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin kitar semula Adtech di pasar basah Samyan, Bangkok. "Semasa berada di ekspo berkenaan, seorang pekerja telah menerangkan mengenai mesin kitar semula itu. Pada waktu itu saya tidak begitu yakin dengan produk tersebut. "Namun, terdetik di sanubari saya untuk mencuba sesuatu yang baharu asalkan ia dapat memulihara alam sekitar walaupun perlu mengeluarkan pelaburan," katanya. Dia ditemui pada sesi lawatan syarikat BWF Network, CH Green Sdn. Bhd. dan Micro Biotec. Co. Ltd. ke premis-premis yang sudah menggunakan Adtech di beberapa buah wilayah di Thailand baru-baru ini. Sebagai pembeli terawal Adtech iaitu mesin berkapasiti 350 kilogram (kg), ternyata ia bukanlah pelaburan sia-sia. Menurut Loplamlert, dengan menggunakan Adtech, dia dapat menjimatkan kos operasi di restorannya sekali gus mampu memulihara alam sekitar sehingga menambah dua lagi mesin tersebut. "Lebihan makanan dan minyak yang agak sukar diuruskan sebelum ini dapat diurus dengan baik serta berkesan. Selain daripada itu, mesin tersebut juga mampu menghasilkan baja selepas kira-kira 15 minit melalui proses kitar semula," katanya.
Baja yang dihasilkan melalui proses kitar semula digunakan terus pada tumbuhan yang ditanam untuk kegunaan restoran itu. Hasilkan gas bio Melalui mesin kitar semula berkenaan, ia turut mampu menghasilkan biogas. "Saya menggunakan biogas yang terhasil untuk memasak dan ia dapat mengurangkan sehingga 20 peratus kos penggunaan gas memasak di restoran ini. "Saya dapat menjimat kos operasi sehingga RM20,000 setahun," ujarnya. Sementara itu, juruteknik yang bertugas di Horseshoe Point, Pattaya, Viroat Wathawy, memberitahu, Adtech sebenarnya dapat menghasilkan pulangan yang menguntungkan. "Setiap hari dua mesin Adtech yang berkapasiti 500kg setiap satu dapat menghasilkan 1,000 liter baja cecair daripada bahan buangan kuda di Horseshoe Point yang kemudiannya dijadikan EM (effective mikroorganisme). SRIYAPHAN menunjukkan model mesin Adtech yang mampu menghasilkan biogas, baja dan efektif mikroorganisma yang bermanfaat kepada alam sekitar di kilang Micro Biotec di Nonthaburi baru-baru ini. "Sebanyak 80 peratus digunakan untuk tumbuhan di kawasan Horseshoe Point, manakala bakinya dijual kepada petani di sekitar kawasan ini," katanya. Jumlah yang dijual itu bersamaan 200kg yang dijual pada harga RM12 seliter di Thailand. Ia dapat menghasilkan pendapatan sebanyak RM2,400 sehari. Jumlah itu tidak termasuk penjimatan penggunaan baja ke atas tumbuhan di kawasan seluas kira-kira 80 hektar itu. Jelasnya, hasil baja yang diterima melalui penggunaan mesin itu sangat berbaloi, malah proses penghasilan baja hanya mengambil masa kira-kira dua jam sahaja setiap hari. Mudah dikendalikan MURID sekolah Kumutmas di Pakret, Nonthaburi menggunakan mesin Adtech untuk melupuskan sisa makanan dari rumah dan sekolah. Dalam pada itu, pelajar-pelajar Sekolah Kumutmas, Nonthaburi, Thailand mempunyai cerita tersendiri berhubung mesin mesra alam tersebut. Menurut mereka, mesin tersebut mudah dikendalikan dan mengajar pelajar menyayangi alam sekitar. Salah seorang pelajar, Naphat Sirichaipattana memberitahu, walaupun usianya baru mencecah 10 tahun, tetapi dia sudah pandai mengendalikan Adtech. Selain sisa makanan di sekolah, mereka turut membawa sisa makanan dari rumah untuk dikitar semula menjadi biogas dan baja menggunakan Adtec di sekolahnya. "Ibu saya gembira sebab saya bukan sahaja bawa sisa makanan yang berbau busuk ke sekolah, tetapi dapat membawa pulang baja untuk kegunaan tumbuhan di rumah," kata pelajar itu lagi. Pengarah sekolah berkenaan, Ajjana memberitahu biogas yang dihasilkan melalui proses itu pula akan disalurkan untuk kegunaan kantin sekolah. "Sekarang ini kami sudah mampu menjimatkan kos gas memasak sebanyak 50 peratus. "Kami menetapkan sasaran dalam masa terdekat untuk menggunakan sepenuhnya biogas selepas penggunaan Adtech mencapai tahap maksimum iaitu 100kg," katanya yang turut menjelaskan mesin berkenaan dibeli Ahli Lembaga Pengarah sekolah itu sejak setahun lalu. | ||||||
| Penemuan baharu pada Musytari Panas Posted: 26 Jul 2012 02:13 AM PDT AKTIVITI menakjubkan planet Musytari Panas dapat dilihat jelas melalui rakaman dari pusat kajian Hubble Space. SEKUMPULAN ahli astronomi menemui perkara baharu mengenai planet Musytari Panas dengan menggunakan kaedah yang sama seperti teknik rakaman cahaya bintang. Dipanggil sebagai 'pemerhatian tiada tara', saintis dapat mengesan perubahan signifikan di atmosfera Exoplanet HD 189733b (label khas planet tersebut). Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dapat memerhati letupan bintang yang mengeluarkan pancaran sinar-x yang kuat. Kekuatannya cukup untuk meletupkan sebahagian atmosfera HD 189733b. "Jarak gelombang berganda yang digunakan oleh pusat kajian Hubble Space memberikan kita pandangan yang tidak pernah berlaku mengenai interaksi antara letupan bintang aktif dan atmosfera planet gergasi," kata salah seorang penyelidik. Exoplanet HD 189733b terletak sejauh 63 tahun kelajuan cahaya dari Bumi. Jarak yang sangat dekat itu memudahkan ia dilihat dengan menggunakan teropong. Saiz dan persekitarannya lebih kurang sama dengan Musytari. Disebabkan ia terlalu dekat, para astronomi menjadikan ia sebagai subjek untuk kajian penyebab proses pelepasan atmosfera. Dalam kajian sebelum ini, sebuah kumpulan pengkaji di Perancis menggunakan teleskop Hubble Space bagi mendokumen gas hidrogen yang terlepas dari atmosfera luar HD 189733b. Penemuan itu menjadikan planet tersebut yang kedua diketahui boleh melakukan penyejatan pada waktu itu. | ||||||
| Mesin cetak untuk peniaga kecil Posted: 26 Jul 2012 02:12 AM PDT
MESIN pencetak, Samsung SCX-3400 Series Multifunction Laser disasarkan kepada pengguna yang mahu mencetak dengan pantas selain pengusaha bisnes kecil-kecilan. Reka bentuknya dicipta supaya menjimatkan ruang termasuk dulang kertas kecil dan permukaan kawalan yang boleh dilipat bergantung kedudukan pencetak. Sama seperti semua jenama mesin pencetak yang berada di pasaran, pencetak keluaran Samsung itu juga mempunyai pelbagai fungsi seperti mencetak, mengimbas, menyalin dan faks. Pengurus Kategori Pencetak dan Barangan Konsumer Samsung, Ku Wei Jian memberitahu, pencetak SCX-3400 mempunyai fungsi WiFi yang membolehkan imej dalam telefon dicetak tanpa wayar secara terus. WiFi terbahagi kepada dua jenis iaitu WiFi Setting dan WiFi Direct. Peranti yang mempunyai aplikasi Samsung MobilePrint boleh disambung terus dengan hanya menekan butang Wifi Direct pada pencetak. Selain itu, imej-imej yang diimbas menggunakan pencetak Samsung boleh disimpan dalam telefon bagi membolehkan imbasan-imbasan dokumen tersebut dikongsi dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Masalah remeh membuat fotokopi kad pengenalan atau lesen yang memerlukan kedua-dua permukaan kad dicetak juga dimudahkan dengan butang ID Copy. Caranya mudah iaitu dengan menekan butang dan hanya perlu mengikuti langkah-langkah yang dipaparkan. Dikuasakan dengan upaya pemproses 433 megahertz dengan memori berkapasiti 128 megabait, SCX-3400 boleh mencetak sehingga 20 muka surat bersaiz A4 seminit. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






0 ulasan:
Catat Ulasan