Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Bukti binaan berkualiti Audi
- Gotong-royong sempena Ramadan
- Pasar malam tempat tibi menular
- Qalisya kini bebas
- Isteri Zed Zaidi Lahirkan Bayi Lelaki
- Sesi Demonstrasi Kelainan Dalam 'Fiqh Wanita'
- Kedudukan Fouziah Gous Tidak Tergugat Kerana Artis Baru
- Artis Pakai Tudung Tidak Perlu Mengeluh
- Tinggal Berasingan Berjaya Pulihkan Rumah Tangga Ani Mayuni
- Udang karang gergasi dilepaskan ke laut
- Kristen Stewart minta maaf kerana menipu kekasih
- 14 bangkai harimau awet dirampas
- Rangka bot firaun ditemui di Abu Rawash
- Radio Kalaweit lindungi haiwan pupus
- Rezeki kini datang berganda
- Berjimat sediakan juadah berbuka
- Susut 15kg dalam 6 minggu
- Hikmah solat tarawih
| Posted: 27 Jul 2012 08:24 PM PDT
SEBELUM ini, pengimport rasmi kenderaan Audi di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil) pernah memperkenalkan keluarga siri Q iaitu Q5 dan Q7. Mendapat sambutan memberangsangkan untuk kedua-dua model tersebut, Euromobil mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pula SUV kompak premiumnya, Audi Q3 baru-baru ini. Jika dilihat pada tawaran terbaharu itu, Euromobil sememangnya memiliki tawaran lengkap untuk semua peminat Audi. Jika mahukan kompak mewah, ada A1. Penggemar sedan pula boleh memilih antara model A4, A5, A6, A7 dan A8. Kalau wang tidak menjadi masalah, ada pula model sport TT dan R8. Berbeza dengan tawaran di pasaran Eropah yang lengkap dengan pilihan enjin diesel, anda hanya boleh memilih dua varian Q3, normal atau S Line di Malaysia. Dengan tambahan harga sebanyak RM21,000 varian S Line dipasang dengan pelbagai aksesori termasuklah stereng tiga jejeari, rim aloi 18 inci dan beberapa kemasan lain. Kalau ada duit lebih lagi, anda juga boleh memilih aksesori lain seperti comfort key (RM2,500), bumbung panoramik (RM6,000), warna dengan efek mutiara (RM3,500) dan sistem audio BOSE berharga RM5,000. Audio Concert Audi REKAAN luaran Audi Q3 dikatakan tidak banyak beza dengan model SUV Audi yang lebih besar, Q5. Q3 memiliki penampilan seperti sebuah coupe. Biarpun ia nampak seperti Q5 yang dikecilkan, jentera itu tetap dibina sebagai sebuah Audi. Maksudnya, kualiti luaran, dalaman dan perincian terhadap perkara-perkara kecil yang ada padanya cukup impresif. Saiznya yang kompak bagaimanapun boleh menampung lima orang penumpang dengan selesa. Sekiranya perlu untuk mengangkat lebih barang, lipat sahaja tempat duduk belakang. Ruang kargo yang pada asalnya hanya 460 liter bertambah kapasiti kepada 1,365 liter dengan sekelip mata. Sesiapa pun akan berpuas hati dengan kualiti material yang diaplikasikan pada kabin Q3. Sebahagian besarnya dibalut kulit. Jika tidak, kemasan krom akan mengambil tempat. STERENG empat jejari yang turut dilengkapi butang kawalan audio dan kawalan jelajah (cruise control). Anda suka menghadiri konsert? Dengan Q3, anda boleh pergi ke konsert setiap kali masuk ke dalam kokpit Q3. Sistem audio Concert Audi menawarkan bunyi berkualiti tinggi. Ia terdiri daripada pemain cakera padat tunggal, slot kad memori SDHC, selain boleh membaca muzik daripada format MP3, AAC dan WMA. Sistem itu juga memiliki input AUX dan 6 CD Changer. Bunyi daripada stesen radio atau cakera padat akan disalurkan menerusi amplifier enam saluran kepada sepuluh unit pembesar suara yang berkuasa total 180 watt. Menyalin semula reka bentuk luaran model-model Audi yang lain, penampilan luaran Q3 menyerlah melalui lampu utama jenis Xenon dan butiran lampu LED. Pada bahagian belakang, lampu berbentuk tiga segi nyata menarik perhatian. Sementara ekzos berkembar dan spoiler nipis cuba membuktikan bahawa ia mampu untuk menjadi sebuah SUV kompak yang sporty. Hasil daripada reka bentuk pengurangan berat yang sistematik, berat SUV crossover itu tidak melebihi 1,500 kilogram. Bonet dan bahagian belakangnya dibuat menggunakan aluminium. Sementara ruang penumpang dibina dengan keluli regangan tinggi. Rekaan yang earodinamik juga membolehkan Q3 mendahului kelasnya dengan pekali seret (drag doefficient) cuma 0.32Cd, angka yang boleh dibanggakan untuk sebuah SUV. Menurut Koordinator Pembangunan Audi Q3, Thomas Soppa, struktur Q3 secara asasnya adalah gabungan antara platform PQ46 (Passat CC) serta PQ35 (Tiguan dan Mark VI Golf). Pendek kata, apa yang membentuk Q3 terdiri daripada komponen-komponen terbaik daripada model-model keluaran Volkswagen. Enjin bercekapan tinggi PAPARAN digital ini boleh ditutup sekiranya ia tidak digunakan. Seperti biasa, Audi memasang Q3 dengan enjin bercekapan tinggi TFSI bersesaran 2.0 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan S tronic. Berupaya menjana kuasa sehingga 170hp, ia tetap menawarkan penjimatan minyak menerusi teknologi pancitan terus bahan api, sistem Start/Stop dan sistem pemulihan kuasa. Audi mendakwa Q3 hanya memerlukan 7.7 liter untuk setiap 100 kilometer. Lebih menyeronokkan, kuasa tork 280Nm itu dapat dicapai ketika jarum rpm hanya mencecah 1,700 hingga 4,200rpm. Jentera itu mengaplikasikan sistem pacuan empat roda, sebab itulah ada emblem bertulis perkataan Quattro pada bahagian belakangnya. Bagi memastikan pengendalian yang mantap, Q3 dipasang dengan suspensi jenis multi-link untuk roda hadapan dan belakang. Sistem Quattro mula dibina Audi sejak tahun 1982. Harus tahu bahawa ia merupakan sistem pacuan semua roda yang pertama dibangunkan untuk meningkatkan prestasi kawalan jentera di atas jalan raya. Tidak cukup dengan itu, sistem suspensi tersebut dipakejkan sekali dengan Electronic Stability Program (ESP) yang bertanggungjawab mengagihkan kuasa tork kepada roda sekiranya tayar mula hilang cengkaman. Bagi menambah keyakinan ketika memandu, Q3 turut dipasang dengan pelbagai sistem keselamatan aktif dan pasif. Misalnya, enam beg udara, brek antikunci (ABS), Electronic Brake force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA). Kita memandu mengikut mood. Adakalanya santai dan ada masanya ingin memandu dengan sedikit aggresif. Jadi, Q3 memberi pilihan kepada pemandu untuk memilih karekteristik pemanduan melalui ciri Audi Drive Select. Ciri tersebut akan mengubah pemetaan enjin, pendikit, penukaran gear dan maklum balas stereng. Mode yang boleh dipilih adalah auto, comfort, dynamic dan efficiency. Saya tidak fikir pembeli Q3 akan memandunya di laluan off-road. Kalau ada pun, mungkin bilangannya terlalu kecil. Namun begitu, sebagai persediaan, ketinggian Q3 telah dinaikkan kepada 170 milimeter, memadai untuk meredah banjir kilat yang tidak berapa serius di Kuala Lumpur. Diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang Audi di Sepanyol, Euromobil meletakkan sasaran untuk menjual 100 unit Q3 pada tahun ini dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada varian S Line. | ||
| Posted: 27 Jul 2012 07:49 PM PDT BEDOLAH (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama ahli jawatankuasa Kerimba dan para penduduk Bukit Antarabangsa yang menjayakan aktiviti gotong-royong. SUASANA riuh-rendah mewarnai pekarangan Masjid Bukit Antarabangsa, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, pada pagi Sabtu lalu. Kemeriahan itu datangnya daripada para penduduk Bukit Antarabangsa dan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, Kuala Lumpur yang berganding bahu melunaskan aktiviti gotong-royong. Seawal pukul 8 pagi, mereka sudah berkumpul dan seterusnya diberikan tugasan mengikut jenis kerja dan kawasan pembersihan. Selain memotong rumput, ada yang menebas lalang, membersihkan longkang dan membuang sampah bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes. Tidak ketinggalan, segelintir daripada mereka bertugas membersihkan di dalam ruang masjid seperti mencuci permaidani, jendela dan mengelap lantai. "Pembahagian tugas amat penting bagi memastikan kerja-kerja pembersihan disempurnakan sebelum masuknya waktu Zuhur. Selain itu, aktiviti gotong-royong ini dapat dilakukan dengan baik memandangkan pihak polis membawa peralatan pembersihan dalam kuantiti yang banyak. KAWASAN semak di belakang masjid dibersihkan bagi mengelakkan masalah pembiakan nyamuk. "Gotong-royong ini diadakan untuk membersihkan Masjid Bukit Antarabangsa sempena kedatangan bulan Ramadan. Lagipun, ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan Kerimba dengan kerjasama pihak polis," ujar Penasihat Kelab Rimba Ilmu Masjid Bukit Antarabangsa (Kerimba), Mohd Shuib Lebar, 69. Sementara itu Nazir Masjid Bukit Antarabangsa, Datuk Bedolah Botok, menyatakan persekitaran masjid yang bersih dan bebas daripada bau yang kurang menyenangkan akan memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan ibadah dan menimba ilmu di masjid. "Khususnya pada bulan Ramadan ini, rata-rata penduduk Islam di Bukit Antarabangsa akan melakukan solat sunat tarawih, berbuka puasa dan menyertai aktiviti qiamulail pada tengah malam di sini. "Bagi saya, amalan gotong-royong wajar dijadikan aktiviti bulanan mahupun mingguan di sesebuah kawasan kejiranan. Selain mencantikkan rumah Allah, kita juga dapat mewujudkan semangat kerjasama serta merapatkan ukhwah dalam kalangan penduduk setempat," ujarnya. Platform terbaik AKTIVITI memasak turut diadakan sebagai persediaan santapan selepas selesai sesi gotong-royong. Menurut Bedolah, masjid adalah platform terbaik untuk mendidik orang Islam erti kasih sayang, saling membantu dan semangat muhibah. Tambahan pula, aktiviti gotong-royong anjuran Kerimba itu turut mendapat perhatian dan kerjasama 100 orang anggota polis PGA. Secara tidak langsung, ia mempamerkan bahawa polis bukan sekadar bertindak menjaga keamanan masyarakat dan negara malah sentiasa bersedia menghulurkan bantuan pada program tanggungjawab sosial. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, menerusi aktiviti sebegitu persepsi masyarakat terhadap anggota polis dapat diubah. "Ia memberi mesej bahawa kami bukan saja membantu menyelesaikan kes atau masalah berkaitan jenayah, sebaliknya berkhidmat dalam pelbagai aspek. "Justeru, saya menyarankan agar semua ketua polis negeri dan daerah mengambil inisiatif melibatkan diri dalam acara murni ini," tambah Ismail ketika ditemui Kosmo! pada aktiviti gotong-rotong itu. Dalam pada itu, Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras, SAC Datuk Mohd. Rodzi Ismail gembira kerana program berkenaan berjalan seperti yang dirancang. Semua individu begitu komited dan bekerja dalam semangat berpasukan. | ||
| Pasar malam tempat tibi menular Posted: 27 Jul 2012 07:46 PM PDT
KUALA LUMPUR - Siapa sangka pasar malam yang selama ini menjadi tempat tumpuan orang ramai membeli pelbagai barangan basah serta makanan kini menjadi antara kawasan yang berisiko tinggi merebaknya penyakit berjangkit terutamanya tuberculosis atau tibi. Penyebaran penyakit batuk kering itu dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa virus tibi di tempat-tempat awam terutamanya pasar malam dan menyebarkannya kepada penduduk tempatan. Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, situasi itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila pada tahun lalu sahaja pihaknya telah menerima kira-kira 1,500 kes dengan 15 peratus daripada penghidapnya terdiri daripada warga asing."Kita bimbang dengan angka berkenaan kerana mereka (PATI) ini dilihat semakin ramai berada di kawasan awam seperti pasar malam dan pada masa yang sama menyebarkan virus penyakit tibi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam. Beliau memberitahu, pelarian dari Myanmar merupakan antara penyumbang utama penyebaran penyakit tibi terutamanya di sekitar ibu negara khususnya di kawasan Pudu dan Bukit Bintang. "Warga Myanmar yang rata-rata kebal kepada ubat penyakit itu biasanya telah pun menghidap tibi sebelum masuk ke negara ini," ujar beliau. Menurut Abdul Razak, keadaan itu telah meningkatkan risiko penyebaran penyakit tibi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan mereka. Katanya, kadar penyebaran penyakit itu dalam kalangan mereka juga adalah tinggi kerana golongan tersebut kebiasaannya tinggal beramai-ramai di sebuah rumah. "Sebuah rumah biasanya didiami oleh kira-kira 40 orang pelarian dan ia memudahkan penyakit itu disebarkan antara mereka kerana keadaan itu pasti mewujudkan sistem pengudaraan yang tidak baik. "Golongan yang dijangkiti ini pula seterusnya akan ke kawasan awam dan menyebarkan penyakit itu kepada orang ramai," ujarnya. Selain warga Myanmar, PATI dari Indonesia, Nepal serta Bangladesh turut menyumbang kepada peningkatan penyakit tibi di negara ini. "Selain pasar malam, pasar-pasar awam juga menjadi kawasan penyebaran penyakit itu seperti Pasar Borong Selayang yang dipenuhi oleh warga Bangladesh," ujarnya. | ||
| Posted: 27 Jul 2012 03:21 AM PDT QALISYA...pernah digilap oleh Ajai melalui Wake The Baby. MENYEPI dan tanpa publisiti tidak bermakna Qalisya Ray, 21, tiada lagi dalam industri, tetapi dia sedang merancang untuk menghasilkan single terbaru di bawah syarikatnya sendiri, The Rays Management yang baru saja ditubuhkan awal tahun ini. Gadis jelita itu mula dikenali ramai menerusi lagu Satu Januari ciptaan Ajai.
"Selepas terlepas ikatan daripada Wake The Baby, saya senang bergerak sendiri di bawah pengurusan keluarga terutama kakak saya yang banyak membantu saya dalam urusan kerja. Dia bukanlah pengurus sepenuh masa, tetapi buat masa ini dialah yang banyak menyelaraskan kerja seni saya. "Insya-Allah, kalau saya jadi buat lagu single dalam Inggeris, saya akan merakamkannya di studio di luar negara, tetapi jika saya hasilkan single dalam bahasa Melayu, saya akan berduet dengan artis Indonesia. Tengoklah, yang mana boleh memberi impak kepada kerjaya seni saya. "Artis Indonesia itu sudah ada namun kami masih lagi berbincang dan andai kata ia menjadi kenyataan bolehlah saya mencuba pasaran di Indonesia pula. Demi memenuhi harapan yang tinggi ini, saya berhati-hati memilih lagu kerana saya mahu terhasilnya lagu itu nanti dapat menggegarkan persada muzik tanah air. "Saya serius menyertai bidang seni dan saya akan berusaha yang terbaik. Memang ada keinginan untuk menghasilkan album penuh, tetapi suasana sekarang tidak membenarkan. Kalau kita hasilkan 10 lagu, bukan semua lagu itu akan menjadi hits dan diminati ramai. Keadaan itu hanya merugikan wang yang dikeluarkan untuk pembikinan album itu. "Lebih saya tumpukan pada satu lagu dulu dan sekiranya permintaannya bagus, saya akan hasilkan single seterusnya. Lagu yang dimuatkan dalam album mini terdahulu bukanlah tidak bagus, tetapi belum mampu meninggalkan kesan yang mendalam di hati peminat," katanya. Ketika mula menyertai dunia seni, jelas Qalisya dia masih mentah dan tidak tahu 'permainan' dunia, maka segala keputusan diserahkan kepada Ajai. "Lebih setahun dalam industri, saya belajar dan memerhatikan keadaan sekeliling. Dari situ saya nekad untuk menubuhkan syarikat sendiri dan cari sendiri lagu. Saya cuba mencontohi penyanyi yang sudah berjaya di mana saya lihat macam mana mereka bekerja dan akhirnya memperoleh apa yang mereka idamkan. "Ada sesetengah perkara kita tak boleh bergantung kepada pendapat dan cita rasa orang lain. Kita perlu ada cita rasa sendiri dan saya tidak pernah putus asa," katanya. Ujar Qalisya yang wajahnya mirip artis Bollywood itu dengan rambut panjang melepasi bahu, barangkali ramai yang tidak tahu genap seminggu pelancaran mini albumnya, dia terus mendapat undangan dari Istana Negara untuk mengadakan persembahan pada majlis mesyuarat diraja dan sejak itu dia banyak mendapat jemputan daripada VIP serta acara tertutup yang lain. "Saya tidak dapat publisiti kerana acara tertutup seperti itu tiada media yang hadir dan untuk merakamkan gambar pun agak sukar. Dek kerana banyak undangan daripada golongan VIP dan korporat, saya jarang berpeluang untuk membuat persembahan di pentas terbuka seperti di Jomheboh dan sebagainya," katanya. Bercerita mengenai Ramadan, Qalisya lebih banyak menghabiskan masanya di rumah bersama keluarga. "Ramadan datang setahun sekali dan rugi kalau bulan yang mulia itu dibiarkan berlalu begitu tanpa pengisian daripada kita sendiri. Saya dan keluarga juga akan balik beraya awal di Pasir Mas, Kelantan kerana selain berhari raya di sana, kami juga akan membuat persiapan majlis resepsi perkahwinan ibu saudara saya yang akan diadakan selepas hari raya," katanya. Berbicara dengan Qalisya, tutur katanya lebih matang dari usia dan itu semua adalah hasil didikan ibunya yang juga seorang ahli perniagaan. "Semua adik-beradik saya seramai empat orang adalah perempuan dan ibu sangat menjaga semua anak perempuannya. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada kakak, saya dan adik untuk menghadapi cabaran hidup hari ini. "Ibulah idola saya dan saya sangat berterima kasih kepada ibu serta ayah kerana menjadikan kami anak gadis yang kuat semangat dan tidak gentar untuk menghadapi kehidupan ini. Ibu mempersiapkan kami berempat menjadi orang yang boleh berdikari," katanya. | ||
| Isteri Zed Zaidi Lahirkan Bayi Lelaki Posted: 27 Jul 2012 03:19 AM PDT PETALING JAYA: Isteri kepada Zed Zaidi iaitu Natalia Mustafa Kamal, 29, selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Pusat Perubatan Tropicana di sini kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat. Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32, berkata, anak yang diberi nama Ryan Ziqry itu dilahirkan dengan berat 4.32 kilogram menerusi pembedahan. "Ikutkan isteri saya nak bersalin secara normal tetapi doktor menasihatkan untuk melakukan pembedahan kerana saiz bayi terlalu besar. Bagaimanapun syukur Alhamdulillah semuanya telah selamat dan keadaan isteri juga baik," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Dalam pada itu, Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memberitahu, isterinya telah dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak pukul 5 pagi Jumaat, sebelum dibawa masuk ke bilik pembedahan empat jam kemudian. Menurut Zed, dia turut dibenarkan menemani isterinya di dalam bilik pembedahan dan menyaksikan sendiri anak pertamanya itu dilahirkan. "Saya adalah lelaki yang paling gembira hari ini dengan kehadiran anak sulung saya dan pengalaman berada di dalam bilik pembedahan bersama isteri sukar digambarkan dengan kata-kata. "Bagaimanapun saya bersyukur keadaan kedua-dua insan yang sangat saya sayangi selamat," katanya. Sementara itu, Zed menganggap kelahiran Ryan Ziqry pada bulan Ramadan adalah satu keberkatan buat dirinya serta keluarga dan berharap bayi berkenaan akan menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu dan bapanya. "Alhamdulillah, Ryan dilahirkan dalam bulan Ramadan yang mulia dan pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dan tarikh dia dilahirkan iaitu 27 Julai sama dengan tarikh lahir saya, cuma saya 27 Jun. "Dia menjadi tumpuan keluarga ketika ini dan kelahirannya disambut dengan penuh rasa kesyukuran," katanya. Zed dan Natalia berkahwin pada 29 April tahun lalu di Restoran Felda Villa, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. | ||
| Sesi Demonstrasi Kelainan Dalam 'Fiqh Wanita' Posted: 27 Jul 2012 03:18 AM PDT PETALING JAYA: Program bual bicara terbaru Fiqh Wanita membawa kelainan apabila setiap topik atau permasalahan yang dibahaskan akan disertakan dengan sesi praktikal dan demonstrasi dengan melibatkan penyertaan penonton di studio. Penerbit Eksekutif Fiqh Wanita, Mohd Naim Niamat berkata, sesi tersebut pastinya akan memudahkan penonton memahami persoalan yang dibincangkan oleh ahli panel jemputan. "Selain berinteraksi bersama penonton di studio, penonton di rumah juga boleh melontarkan persoalan mereka kepada panel menerusi laman sosial Facebook Fiqh Wanita," katanya dalam satu kenyataan di sini kepada mStar Online. Menggantikan program Al-Hidayah yang bersiaran pada setiap Jumaat pada pukul 1.30 petang, Fiqh Wanita yang akan disiarkan di TV3 turut membincangkan mengenai kepentingan hukum Islam dalam kehidupan wanita Muslim seperti bersuci, ibadat dan kewajipan lain berkaitan wanita dengan lebih jelas. Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, program bual bicara itu akan membuka segala persoalan serta memberi penyelesaian kepada para penonton khususnya kaum wanita untuk menjalani sebuah kehidupan yang lebih baik. "Lebih menariknya lagi, program 30 minit ini lebih memfokuskan kepada topik dan isu yang boleh dijadikan panduan dan amalan buat seseorang Muslimah dalam meneguhkan iman, takwa dan kerohanian," katanya. Telah menemui penonton sejak 6 Julai lalu, Fiqh Wanita dihoskan oleh Shadiya Abbas. Antara panel yang dijemput ke program tersebut ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Zaleha Kamarudin, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Asmak Husin, Noraslina Jusin, Nourul Iman Niamat. | ||
| Kedudukan Fouziah Gous Tidak Tergugat Kerana Artis Baru Posted: 27 Jul 2012 03:17 AM PDT PETALING JAYA: Persaingan sengit daripada lambakan aktres muda pada hari ini tidak menggugat kedudukan pelakon Fouziah Gous sebagai bintang televisyen. Fouziah, 30, berkata, dia tidak berasa bimbang atau gentar dengan kemunculan aktres-aktres baru kerana percaya pada kemampuan dan komitmen kerjanya. "Saya tidak perlu bimbang dengan adanya muka-muka baru kerana semua orang mempunyai rezeki masing-masing. Saya hanya menjadi diri sendiri dan menjaga mutu kerja agar sentiasa disenangi semua pihak. "Berkat disiplin dan usaha yang berterusan, saya percaya peluang itu akan selalu ada," katanya kepada mStar Online. Katanya, persaingan yang sengit di kalangan aktres bagaimanapun tidak menghalang dia bersikap selektif dalam menerima tawaran lakonan. "Selepas enam tahun berkecimpung dalam seni lakon, saya perlu bersikap lebih memilih dalam tawaran lakonan demi memantapkan profil. "Memandangkan kerjaya saya cenderung pada drama televisyen berbanding filem, saya perlu pastikan lakonan saya dapat ditonton menerusi pelbagai stesen dan bukannya hanya menerusi sesebuah saluran sahaja," katanya. Mengenai kerjaya, Fouziah yang baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri Dendam Sarakit untuk TV3 memutuskan untuk berehat sepanjang Ramadan ini kerana kepenatan dengan komitmen lakonan sebelum ini. "Saya baru sangat menamatkan penggambaran Dendam Sarakit dua hari lepas. Sekarang saya hanya mahu berehat daripada lakonan. "Sejak awal tahun, saya terlibat dengan komitmen lakonan secara berterusan. Ada beberapa tawaran yang belum sah lagi, tapi saya mahu menghabiskan masa di rumah dengan keluarga sahaja Ramadan ini," katanya. | ||
| Artis Pakai Tudung Tidak Perlu Mengeluh Posted: 27 Jul 2012 03:15 AM PDT PETALING JAYA: Artis-artis wanita khususnya mereka yang membuat keputusan untuk berhijrah dan menukar imej dengan memakai tudung tidak wajar mengeluh jika berdepan kesulitan untuk mendapatkan tawaran kerja. Golongan itu seharusnya yakin terhadap niat utama untuk berhijrah dan perlu mengelak daripada memberikan kenyataan yang boleh mencemarkan imej mereka selepas membuat keputusan untuk berubah. Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata, sekiranya ada di kalangan artis yang baru bertudung sukar untuk mendapat tawaran kerja kerana penghijrahan itu, individu tersebut harus menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka. "Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah. "Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah. "Bertudung dan menutup aurat itu tidak membebankan atau membatasi urusan seharian kita," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini. Penerbit eksekutif JS Pictures ini berkata demikian sebagai respons kepada luahan dan rungutan segelintir artis wanita yang bertudung mendakwa kurang mendapat tawaran seperti sebelumnya. Malah terdapat sesetengah artis yang tergamak memberi kenyataan sinis dengan memburuk-burukkan pihak tertentu selepas menukar imej selain turut menyertai parti politik pembangkang. Berdasarkan kepada pengalamannya Sheila berkata, kerjaya dan perniagaannya tidak merudum sebaliknya dia menikmati kesan positif terutama sekali selepas pulang daripada menunaikan ibadat Haji pada hujung 2007. "Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung. "Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung. "Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar," katanya. Bersifat sementara Aktres berpengalaman Aida Khalida pula berkata, senario tawaran lakonan yang terjejas selepas bertudung hanya bersifat sementara kerana dia juga tidak terlepas daripada pengalaman itu ketika mula bertudung kira-kira empat tahun lalu. "Bagi saya, isu tawaran terjejas atau merosot adalah ujian Allah kepada artis yang baru berhijrah. Ketika mula-mula bertudung empat tahun lalu, saya pun hadapi perkara yang sama tetapi ia hanya sementara. "Berkat keyakinan, doa dan usaha Allah pasti bukakan pintu rezeki kepada kita. Tawaran kerja yang konsisten atau terjejas tiada kaitan dengan bertudung kerana ia adalah perkara wajib bagi wanita Muslim," katanya. Menurut Aida, rezeki daripada pendapatannya menjadi lebih berkat berbanding sebelum bertudung dulu kerana ia berterusan dan tidak pernah putus. "Alhamdulillah, pendapatan lakonan saya tidak terjejas, malah rezeki itu menjadi lebih berkat sejak saya bertudung. Kalau sebelum ini, dapat sebanyak mana pun wang pasti akan habis begitu sahaja tetapi sekarang rezeki itu sentiasa ada. "Susah saya hendak jelaskan sebenarnya tetapi itulah perkara terhebat yang saya peroleh berkat penghijrahan ini," katanya. Bekas pelakon dan pengacara yang kini bergelar aktivis bebas Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmo (Wardina) mengakui menerima impak negatif dan diskriminasi daripada industri seni ketika dia berhijrah sekitar 12 tahun lalu. "Namun saya sudah meletakkan sasaran untuk berundur diri daripada lakonan dan beralih ke bidang pengacaraan ketika itu. Tidak saya nafikan, impak diskriminasi saya alami ketika mula-mula bertudung tetapi ia hanya perkara kecil dan sementara. "Lama-kelamaan, penggiat seni dan peminat semakin terbuka dan menerima penghijrahan saya. Mungkin juga kerana saya sudah tidak mahu berlakon ketika bertudung dulu, saya jadi tidak begitu kisah mengenai reaksi orang kerana saya tahu apa yang saya lakukan," katanya. Ujar Wardina, jika seseorang artis wanita itu berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni selepas bertudung, dia harus bersabar dan percaya pada rezeki yang ditetapkan Allah. "Berhijab bukan kerana kita sudah sempurna iman atau terlalu baik tetapi kerana mahu menjadi manusia yang lebih baik. "Jika di kalangan artis bertudung mampu bertahan, teruslah berusaha mencari rezeki yang berkat tetapi jika sebaliknya, maka beralihlah kepada bidang yang lebih baik," katanya. | ||
| Tinggal Berasingan Berjaya Pulihkan Rumah Tangga Ani Mayuni Posted: 27 Jul 2012 03:14 AM PDT KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga penyanyi dangdut Ani Mayuni yang berlaku pada awal Februari lalu akhirnya selesai apabila dia dan suaminya Zairi Azmi mengambil pendekatan untuk berjauhan selama sebulan setengah. Menurut Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 33, tindakan itu terbukti berkesan apabila proses berjauhan itu dapat memulihkan keretakan hubungan mereka sebelum ini. "Selepas insiden itu (dipukul) saya dan suami ambil keputusan untuk berjauhan bagi lebih mengenali diri dan menilai semula baik buruk sikap kami. "Saya bersyukur, rupanya tempoh berjauhan itu berjaya memulihkan hubungan perkahwinan kami," katanya ketika ditemui mStar Online di sini, malam Rabu lalu. Pada 2 Februari lalu, sebuah akhbar harian tabloid melaporkan Ani telah ditendang dan dipukul suaminya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan muzik Arrow di rumah mereka yang terletak di Desa Rejang, di sini. Dalam laporan tersebut, penyanyi dangdut itu mendakwa kepalanya turut dihentak ke dinding hanya kerana dia meminta suaminya membelikan sarapan pagi. Bagaimanapun, Ani menafikan bahawa dirinya ditendang seperti yang diuar-uarkan di media sebaliknya hanya dipukul selepas bertengkar. Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sedap ini berkata, tempoh berjauhan itu memberikan ruang antara satu sama lain untuk memperbaiki kekurangan masing-masing. "Apa yang saya boleh katakan, konflik rumah tangga kami sudah pulih dan kehidupan bertambah harmoni. Saya melihat ada hikmah di sebalik kejadian itu. "Apabila berjauhan selama sebulan setengah, baru saya sedar kesilapan saya dan begitu juga suami. Ia membuatkan kami bermuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan masing-masing. "Insiden itu berpunca daripada emosi kami yang saling memendam rasa selama ini kerana isu masa dan sering berjauhan," katanya. Ditanya mengenai kesan insiden itu kepada dirinya, Ani berkata tiada impak negatif dialami kerana kemelut perkahwinannya berjaya diselesaikan dalam keadaan baik. "Saya memang tidak pernah fikirkan atau mahukan perceraian. Biar seteruk mana pun keadaannya ketika itu, saya cuba bertahan demi anak-anak dan rumah tangga saya. "Kini keadaan kembali seperti sedia kala, jadi saya tidak perlu berasa trauma atau bimbang. Malah, kehidupan kami sekeluarga semakin bahagia," katanya. Ani dan Zairi Azmi atau Ayie, 37, mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2004. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dan Muhammad Emir Oezil, 2. | ||
| Udang karang gergasi dilepaskan ke laut Posted: 26 Jul 2012 11:35 PM PDT Pengurus restoran The Dock, Kristen Eighme menyerahkan udang karang gergasi kepada Wilson di Waterford, Connecticut kelmarin. TELUK NIANTIC, Amerika Syarikat - Seorang lelaki Connecticut, Don MacKenzie membeli seekor udang karang gergasi seberat 9.07 kilogram dari sebuah restoran sebelum dia melepaskan semula ke dalam laut di sebuah lokasi rahsia kelmarin. MacKenzie mengetahui tentang udang karang itu yang mempunyai nama jolokan Lucky Larry daripada kanak-kanak tempatan. Namun, dia enggan mendedahkan harga yang perlu dibayarnya untuk membeli udang tersebut daripada restoran The Dock. Menurutnya, udang itu perlu mengambil masa selama 80 tahun untuk mecapai saiznya seperti sekarang. Dia membawa udang tersebut menaiki sebuah bot ke sebuah lokasi rahsia di sini dan melepaskannya ke dalam laut dengan bantuan seorang kenalannya, Steve Wilson. | ||
| Kristen Stewart minta maaf kerana menipu kekasih Posted: 26 Jul 2012 11:34 PM PDT GAMBAR fail menunjukkan Sanders (kanan) dan Stewart. LOS ANGELES - Aktres terkenal, Kristen Stewart memohon maaf secara terbuka kepada kekasihnya yang juga aktor filem Twilight, Robert Pattinson selepas beberapa akhbar melaporkan dia mempunyai hubungan sulit dengan pengarah filem Snow White and the Huntsman, Rupert Sanders. Aktres berusia 22 tahun itu telah bercinta dengan Pattinson, 25, selama beberapa tahun manakala Sanders sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Stewart membuat permohonan maaf itu menerusi majalah People kelmarin selepas dia menyembunyikan hubungan sulitnya dengan Sanders daripada pengetahuan Pattinson. "Saya amat kesal kerana melukakan dan perasaan malu yang saya telah lakukan kepada individu yang rapat dengan saya dan setiap orang yang terjejas (ekoran hubungan sulit itu). "Perbuatan yang tidak bijaksana ini telah membahayakan perkara yang paling penting dalam kehidupan saya, orang yang saya cintai dan paling hormati, Rob (Pattinson). "Saya menyintainya, saya menyayanginya, saya amat kesal," katanya. Stewart bercinta dengan Pattinson selepas mereka berkenalan di set penggambaran filem Twilight. Dalam filem itu mereka melakonkan watak sebagai pasangan kekasih. Sanders, 41, turut memohon maaf secara terbuka menerusi majalah yang sama. "Saya berasa amat tidak keruan tentang kesakitan yang saya telah lakukan terhadap keluarga saya. "Apa yang saya ada di dunia ialah isteri saya yang cantik dan anak-anak saya. "Saya menyayangi mereka dengan sepenuh hati saya. "Saya berdoa kami akan melaluinya (skandal) bersama-sama," katanya. Majalah Us Weekly menyiarkan gambar bagi membuktikan mereka mempunyai hubungan sulit. Dalam gambar itu, kedua-dua mereka berada dalam keadaan mesra. Pada bulan lalu, majalah Forbes mengumumkan Stewart merupakan aktres Hollywood yang menerima bayaran paling tinggi. Para peminat filem Twilight berasa kecewa ekoran pengakuan Stewart itu. Beberapa peminat membidas Stewart di laman Twitter manakala yang lain memberi sokongan kepada Pattinson. Namun, skandal itu mungkin akan menjejaskan tayangan siri terakhir Twilight pada November depan dan imej bersih Stewart. "Perkara yang paling mengejutkan ialah Stewart menipu Pattinson yang merupakan lelaki yang setiap orang di dunia mahukannya," kata editor kanan Us Weekly, Ian Drew. | ||
| 14 bangkai harimau awet dirampas Posted: 26 Jul 2012 11:33 PM PDT SEORANG anggota polis kelmarin memeriksa harimau mati yang telah diawet selepas ia dirampas dari sebuah rumah gudang di Cibubur, Jakarta. JAKARTA - Sebanyak 14 bangkai harimau yang telah diawet dirampas di sebuah gudang di Cibubur selatan Jakarta pada 19 Julai lalu. Rampasan itu dibuat oleh anggota-anggota polis kerana harimau Sumatera tersebut merupakan haiwan yang dilindungi ekoran semakin pupus. Seorang suspek telah ditangkap polis atas dakwaan melakukan perdagangan haram hidupan liar. | ||
| Rangka bot firaun ditemui di Abu Rawash Posted: 26 Jul 2012 11:31 PM PDT SEORANG pekerja mengukur lebar rangka sebuah bot Firaun. KAHERAH - Rangka sebuah bot kayu yang digunakan pada zaman firaun dan berusia 5,000 tahun ditemui di kawasan arkeologi Abu Rawash, barat Kaherah oleh beberapa ahli arkeologi Perancis. Panjang bot solar itu ialah 6 meter (m) panjang dan 1.5m lebar. Pendedahan penemuan itu dibuat oleh Kementerian Antikuiti Mesir kelmarin. Pada kebiasaannya, bot itu ditanam dekat mumia firaun kerana ia dipercayai mampu membawanya kepada tuhan di syurga. | ||
| Radio Kalaweit lindungi haiwan pupus Posted: 26 Jul 2012 11:30 PM PDT
SEJAK zaman kanak-kanak, Aurelien Brule mempunyai minat yang mendalam terhadap haiwan berbanding pelajarannya. Pada usia 13 tahun, dia menjadi sukarelawan di sebuah zoo di Perancis. Brule menghabiskan sebahagian besar masanya berdamping dengan pelbagai spesies monyet di situ. Jika remaja seusianya lebih selesa bermain permainan video di rumah, Brule pula lebih gemar memerhatikan tingkah laku pelbagai makhluk primat itu setiap hari membuatkan dirinya bahagia dan teruja. Antara haiwan yang cukup menarik perhatiannya di zoo itu ialah spesies ungka bertangan putih. Haiwan yang diancam kepupusan itu cukup lincah bergayutan di atas pokok. Pada satu hari, ketika dia sedang tertekan seekor ungka betina tiba-tiba menghampiri, memegang dan menggenggam tangannya, seolah-olah cuba menggembirakan dirinya. Hati Brule tersentuh melihat tingkah laku haiwan itu. Sejak itu dia bertekad berjuang dan melindungi ungka dan spesies-spesiesnya. "Tuhan tidak menjadikan makhluk primat sebagai perhiasan di bumi ini. Saya khuatir jika kita tidak memperjuangkan hak-hak haiwan ini, ia akan mengalami kepupusan," katanya dalam satu temu ramah. Menulis buku Pada usia 17 tahun, Brule berjaya menerbitkan sebuah buku bertajuk, Le Gibbon a Mains Blanches (Ungka Bertangan Putih). Dalam buku itu dia menceritakan mengenai keunikan tingkah laku haiwan tersebut dan kesanggupannya berulang-alik dari rumah di Frejus, selatan Perancis ke zoo itu sejauh 30 kilometer. "Saya juga berjaya menjodohkan seekor ungka betina di zoo ini dengan seekor ungka jantan di sebuah zoo di utara Perancis," tulisnya di dalam buku itu. Puas berkhidmat sebagai sukarelawan di zoo, dia mula terfikir untuk mendekati haiwan itu di habitat asalnya. Kesempatan itu hanya muncul apabila seorang aktres komedi Perancis, Muriel Robin yang kagum dengan usahanya itu, berjaya mengumpulkan dana untuk menghantar Brule yang ketika itu berusia 18 tahun ke Thailand. Di Negara Gajah Putih itu, dia banyak melakukan kajian mengenai ungka. Kehadirannya begitu disenangi penduduk tempatan, malah mereka turut menggelarnya Chanee yang bermaksud ungka dalam bahasa Thai. BRULE kini bukan sahaja menetap, bahkan berkahwin dengan wanita Indonesia. Brule mula menyedari impiannya untuk memperjuangkan nasib haiwan itu hanya terlaksana jika dia berhijrah ke Indonesia. "Terdapat 17 spesies ungka di dunia dan tujuh daripadanya boleh ditemui di Indonesia. Sebab itu saya memilih untuk berhijrah ke Indonesia," katanya. Sebaik tiba di Indonesia pada tahun 1998, Brule mula menyedari situasi ungka di negara itu amat menyedihkan. Ia diburu untuk dagingnya atau dijadikan haiwan peliharaan, malah habitatnya di dalam hutan juga semakin musnah disebabkan aktiviti perladangan kelapa sawit. Dianggarkan kira-kira 100,000 ungka yang tinggal di hutan-hutan Borneo. Kemusnahan hutan yang mencatatkan sehingga 1.5 juta hektar setahun di negara itu, Brule menjangkakan haiwan itu pupus dalam tempoh antara 15 hingga 20 tahun yang akan datang. Dia menetap di Jakarta untuk tempoh beberapa bulan bagi meyakinkan kerajaan di negara itu mewujudkan sebuah pusat santuari khusus untuk melindungi dan menjaga ungka daripada kepupusan. Pusat santuari "Prosesnya agak sukar kerana ketika itu Indonesia sedang dilanda reformasi yang membawa kepada kejatuhan Presiden Suharto. Saya juga sukar berkomunikasi dengan kakitangan kerajaan kerana tidak fasih berbahasa Indonesia," jelasnya. Bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat Brule. Pergerakannya terbatas, setiap dua bulan sekali dia perlu ke Singapura untuk melanjutkan visanya. Kegigihannya membuahkan hasil. Selepas lebih sembilan bulan menunggu dan berulang-alik ke pejabat kerajaan hampir setiap hari, akhirnya permohonan beliau diluluskan. Tanpa sebarang bantuan dan dana daripada kerajaan, beliau berjaya menubuhkan sebuah pusat santuari di sebuah pulau di Hampapak, Kalimantan seluas lebih 1,000 hektar. Ia dikenali sebagai Kalaweit yang bermaksud ungka dalam bahasa Dayak. Beberapa tahun kemudian, pusat santuari kedua dibina di Pulau Marak, Sumatera Barat. Kini Kalaweit atau lebih dikenali Yayasan Kalaweit diiktiraf sebagai antara pusat santuari ungka terbesar di dunia dengan lebih 250 haiwan, 50 pekerja dan dana sekitar AS$491,000 (RM1.43 juta) yang disumbangkan oleh orang perseorangan. "Kami juga memastikan haiwan-haiwan lain seperti kera, monyet, pukang, buaya dan beruang madu tidak mengalami nasib yang sama. Stesen radio "Selain mengembalikan haiwan-haiwan ini ke habitat asalnya, kami juga melakukan kerja-kerja konservasi di samping memusnahkan jerat-jerat yang dipasang pemburu haram," katanya kepada AFP. Usaha Brule tidak terhenti setakat itu sahaja, pada tahun 2003, dia menubuhkan sebuah stesen radio, Radio Kalaweit. BERDEPAN dengan haiwan ganas dan berbahaya antara cabaran yang perlu dilalui oleh Brule setiap hari. Ideanya ialah menggunakan elemen hiburan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak asasi haiwan. "Muzik memainkan peranan penting sebagai mesej. Sekiranya anda menubuhkan sebuah stesen radio yang hanya bercakap mengenai alam sekitar, kami tahu ia tidak akan mendapat sambutan," katanya yang sering bersiaran ke udara untuk menyampaikan info dan maklumat mengenai haiwan itu. Kewujudan stesen radio berfrekuensi 99.1 FM itu mendapat sambutan hangat di Indonesia. Lebih menarik, radio itu mencatat rating yang tinggi sehingga 15,000 pendengar sehari. Pada masa yang sama, banyak ungka berjaya diselamatkan hasil maklumat dan tip yang diberikan oleh pendengar setia. Stesen radio itu tidak sekadar memberi kesedaran, malah berperanan untuk menghukum mana-mana individu yang ingkar terhadap undang-undang seperti memelihara ungka sebagai haiwan peliharaan. "Kami mendedahkan nama-nama mereka yang didapati mengurung ungka di dalam sangkar, tanpa mengira pangkat atau jawatannya sama ada ketua polis atau gabenor sekali pun. Sebahagian besarnya haiwan-haiwan ini akan ditemui semula beberapa bulan kemudian," katanya. Haiwan-haiwan itu kemudiannya dibawa ke pusat santuari bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan rapi, diasingkan buat sementara waktu sebelum dilepaskan ke habitat asalnya. Pada usia mencecah 32 tahun, Brule mengakui tugasnya tidak semudah yang disangka. Berdepan dengan taikun-taikun perladangan kelapa sawit yang kurang senang dengan usaha yang dilakukannya selama ini, antara risiko yang perlu dihadapi. Pada tahun 2009, Brule dan isterinya, seorang warga Indonesia, Nurpradawati pernah diserang sekumpulan pembalak tempatan, malah beliau juga pernah menerima ancaman surat layang yang menyuruhnya keluar dari negara itu. Bagi melindungi keluarga terutama kedua-dua orang anak lelakinya, Enzo Gandola, 2, dan Andrew Ananda, 8, dia terpaksa menempatkan beberapa pengawal keselamatan di luar kediamannya. Dia menyedari risiko yang berlaku setiap masa. "Namun, ia merupakan satu risiko yang saya perlu lalui kerana sesuatu itu tidak akan bermula tanpa seseorang memulakannya," kata Brule. | ||
| Posted: 26 Jul 2012 11:29 PM PDT
BERHENTI kerja sebagai pengatur cara komputer semata-mata mahu menjual minyak wangi. Bagi mereka yang mendengarnya pasti menganggap gadis manis yang berusia 27 tahun ini membuat satu kerja yang gila! Orang mungkin beranggapan seolah-olah hal yang tidak masuk akal bagi seseorang yang sudah belajar tinggi dan mempunyai karier bagus tetapi kemudian mahu berhenti untuk menjual minyak wangi. Bazlina Ridzuan punya alasan tersendiri yang membuatkannya sanggup mengambil risiko. Dia juga menyedari rasional di sebalik keputusannya. "Melihatkan keuntungan yang diperoleh daripada jualan One Drop Perfumes yang dilakukan secara sambilan lebih lumayan berbanding gaji bulanan yang diterima, saya tekad berhenti kerja untuk menjualnya sepenuh masa. "Dulu, balik kerja malam dalam pukul 10, kemudian jual One Drop Perfumes secara sambilan. Jika ada pelanggan nak barang, saya perlu hantarkan kepada mereka," katanya. Pada mulanya Bazlina tidak berminat langsung untuk menjualnya kerana bungkusannya tidak menarik. Selepas pembungkusannya bertukar wajah dan tampak lebih eksklusif, dia mula menjualnya pada tahun 2008. Asalnya, Bazlina hanya mengambil 10 kotak One Drop Perfumes melalui rakannya dan menjualnya di pejabat. Berikutan permintaan yang memberangsangkan, jumlah kotak yang dijual semakin hari semakin bertambah. Mula bertatih dalam perniagaan secara dalam talian sambil menjadikan rumahnya sebagai pejabat selama dua tahun, dia kemudian menyertai abangnya yang mempunyai premis perniagaan iaitu Rizi Biz Shop. "Modal permulaan yang saya laburkan untuk perniagaan One Drop Perfumes ini ialah sebanyak RM5,000 dan hasil keuntungan jualan tersebut mampu memperluaskan lagi perniagaan sedia ada dengan menjual pelbagai barangan kosmetik lain. BAZLINA akan terus menjual One Drop Perfumes selagi ada banyak permintaan daripada pelanggan. "Walaupun turut menjual produk kosmetik lain, One Drop Perfumes mencatatkan hasil jualan yang tinggi. Kini, jualannya mencecah RM70,000 sebulan," ujar pengurus di Rizi Biz Shop itu ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Menurut Bazlina, jualan yang paling tinggi yang pernah diperolehnya ialah sebanyak RM1 juta sebulan. Rekod jualan yang diperoleh pada tahun 2009 itu adalah ketika dia menjadi satu-satunya stokis One Drop di Bangi. Pengguna setia Tidak dinafikan, sudah lumrah perniagaan pasti ada pasang surutnya. Namun, apabila tiba musim puasa dan raya, jualan One Drop Perfumes semakin meningkat dengan adanya Kempen Badan Wangi, Poket Berisi. "Walaupun ada saingan dengan minyak wangi yang lain, One Drop Perfumes ada pengguna setianya sendiri. Kebanyakan pelanggan akan membuat pembelian minimum sebanyak 30 kotak yang berharga RM40 dan RM45 setiap satu. "Penjualan dalam talian tetap diteruskan walaupun sudah ada premis perniagaan sendiri kerana majoriti pelanggan dalam talian daripada Sabah dan Sarawak," katanya sambil memberitahu pembelian paling sedikit yang dibeli pelanggan dalam talian ialah sebanyak 10 kotak. Jika dahulu, bekas penuntut Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak ini terpaksa menahan segala keinginannya membeli sesuatu untuk dirinya, kini, apa yang dihajati dapat ditunaikan. Daripada memandu kereta Viva kemudian beralih ke Alza, gadis yang masih bujang ini bakal memiliki jentera idamannya, Honda. Bazlina memberitahu, orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang membeli set One Drop Perfumes yang bernilai RM40 sepanjang tempoh kempen Kempen Badan Wangi, Poket Berisi yang akan berakhir September ini kerana mereka bakal mendapat habuan duit raya. "Dalam kempen duit raya tahun 2010 lalu, saya sangat teruja apabila mendapat baucar tunai RM200 dalam kotak One Drop Perfumes. "Memang banyak untungnya apabila menjual One Drop Perfumes ini, tetapi apabila bercerita tentangnya, ramai yang tidak akan percaya," ujarnya yang mampu menjual lebih 300 kotak sehari kepada pelanggan dalam talian.
Ketika ditanya, sampai bila dia mahu menjual One Drop Perfumes, Bazlina dengan yakin menjawab: "Selagi ada banyak permintaan, selagi itulah saya akan menjualnya." Dalam pada itu, Siti Veeda Mak Su, 29, yang mula menjual produk One Drop Perfumes sejak tahun 2009 di kios, Carrefour Wangsa Maju mengakui bahawa ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Pada mulanya, rakan Siti mengesyorkan agar meletakkan produk One Drop Perfumes di kiosnya. Sebanyak 10 kotak yang diberikannya habis dijual dalam masa yang singkat. Laris dijual "Melihat ia laris dijual, kemudian saya mengambil sendiri stok lebih kurang 20 kotak dan semuanya terjual dalam masa tiga hari," katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan kini menetap di Kajang. Berbekalkan modal permulaan serendah RM175, ibu kepada seorang anak ini memperolehi keuntungan yang sangat berbaloi. Siti Veeda memberitahu, ramai pelanggannya dalam kalangan pelajar yang suka membeli One Drop Perfumes secara berasingan kerana ia dijual pada harga RM7 sebotol berbanding RM40 hingga RM45 sekotak. "Jualan semakin meningkat dan pelanggan ramai membelinya ketika tiba hari gaji dan waktu menjelang puasa dan raya. "Jika dulu untung berniaga sekadar cukup-cukup makan sahaja, namun sejak jual One Drop Perfumes keuntungan jadi berganda," ujarnya yang mendapat sokongan penuh suami, Shahril Asraf Abdullah, 34, untuk berniaga. Katanya, sepanjang Kempen Badan Wangi, Poket Berisi tahun lalu, lebih 300 kotak One Drop Perfumes dijual. Dia dan suami bukan sahaja menjual produk One Drop Perfumes, malah menggunakan haruman tanpa alkohol tersebut kerana gemarkan wangi-wangian. "Istimewanya One Drop Perfumes ini, baunya tahan lama, murah, baunya persis minyak wangi mahal dan boleh digunakan untuk bersolat. "Jarang orang tua pakai minyak wangi, tetapi ramai yang datang membelinya kerana ia tidak mengandungi alkohol," katanya yang pernah mencatatkan jualan mencecah RM10,000 sebulan dan RM1,000 sehari menjelang raya. Jika ada dalam kalangan pelajar mahupun penuntut universiti yang berminat untuk menjual One Drop Perfumes, Siti Veeda sangat mengalu-alukannya. "Sekurang-kurangnya mereka boleh membantu menambahkan pendapatan keluarga di samping mencari duit poket sendiri," ujarnya. | ||
| Berjimat sediakan juadah berbuka Posted: 26 Jul 2012 11:28 PM PDT PADA bulan Ramadan, golongan wanita merupakan individu yang paling sibuk memikirkan mengenai hidangan berbuka puasa. Bahkan, kebanyakan wanita tidak mementingkan selera mereka ketika memikirkan menu berbuka, sebaliknya apa yang berada di minda ialah memenuhi keinginan keluarga. Namun, satu perkara yang perlu diketahui ialah memasak tidak termasuk dalam tanggungjawab seorang isteri. Jika tidak memasak, isteri tidak bersalah. Tanggungjawab yang diletakkan di bahu isteri hanyalah satu amalan tradisi. Pada zaman dahulu, golongan lelaki keluar mencari rezeki, sementara wanita yang berada di rumah melakukan kerja-kerja mengurus rumah tangga termasuk memasak. Adakalanya, wanita juga keluar membantu lelaki sama ada suami, ayah atau saudara kandung lelaki keluar menambah pendapatan keluarga. Menurut syariat Islam, tugas mengurus rumah tangga termasuk memasak ialah tanggungjawab bersama suami dan isteri. Diceritakan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, "Aku bertanya kepada Aisyah: "Apakah Nabi SAW kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: "Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Baginda pun keluar untuk sembahyang (ke masjid)" - hadis riwayat Al-Bukhari. Hadis ini ialah bukti bahawa suami sewajarnya membantu para isteri melakukan kerja-kerja di rumah dan di dapur. Isteri tidak diwajibkan memasak. Namun, jika disuruh suami maka si isteri wajib memasak dengan syarat suaminya menyediakan bahan-bahan yang diperlukan atau memberi wang. Andai disuruh sahaja tanpa menyediakan keperluannya atau tidak memberikan wang yang perlu, isteri berhak untuk tidak memasak. Bahkan, tidak perlu membeli hidangan untuk suami kerana tanggungjawab menyediakan makanan bukan tertanggung di atas bahu isteri. Jumlah keluarga Seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi RA pernah mendengar ayahnya berkata, bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah SAW bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian." Hadis riwayat Abu Daud. Ramai beranggapan, memasak lebih jimat berbanding membeli makanan yang sudah siap. Hakikatnya, isu jimat ini bergantung kepada bentuk hidangan yang dipilih dan jumlah ahli keluarga. Sebagai contoh, jika hanya sepasang suami isteri tanpa anak-anak dan kedua-duanya ingin berbuka dengan nasi tomato, membeli lebih jimat berbanding masak sendiri. Cuba senaraikan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan hidangan dua pinggan nasi tomato berserta ayam masak merah dan acar. Saya yakin jumlahnya hampir RM30 berbanding membeli dua bungkus nasi tomato siap masak yang dijual pada harga RM8. Jika anda mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, memasak memang menjimatkan. Namun, jika ingin membeli hidangan siap masak di pasar Ramadan, berhati-hatilah. Pastikan tukang masaknya menunaikan solat.
Kesan terlalu buruk jika anda makan daripada air tangan orang yang tidak solat. Pada zaman Rasulullah SAW, diriwayatkan ada seorang lelaki bertemu Rasulullah dan mengkhabarkan dia telah usahakan sesuatu dan jika perkara tersebut berhasil, dia bernazar akan minum air kencing anjing hitam. Dengan kuasa Allah, perkara yang diusahakan berhasil dan lelaki tadi bingung. Apakah yang perlu dilakukan dengan nazarnya? Jawab Rasulullah: "Kamu carilah rumah yang penghuninya tidak solat dan tadahlah air hujan yang turun dari bumbung rumah orang tersebut kerana air yang ditadah menyamai air kencing anjing hitam." Itu baru air dari bumbung rumah, bagaimana pula dengan air tangan orang yang tidak solat? Saya tidak katakan hukum memakan hidangan yang dimasak oleh orang tidak solat ialah haram. Sememangnya sesuatu yang halal itu akan tetap halal selagi tidak dicampur dengan yang haram walau dimasak oleh orang bukan Islam. Cuma kesucian makanan tersebut menjadi fokus utama. Jika kita inginkan yang baik-baik saja untuk memantapkan sahsiah dan keperibadian kita, kita juga perlu berhati-hati mengenai kesucian makanan yang disuap ke dalam mulut kita. Islam itu mudah dan memudahkan tetapi tidak bermakna kita boleh ambil mudah. Tidak perlulah pula mengintip setiap tukang masak di restoran atau gerai untuk mengetahui solat atau tidak. Yakin dengan penampilannya, insya-Allah, Dia akan membantu anda. Hidangan berbuka Selain isteri, suami dan anak-anak perlu bergandingan dalam proses menyediakan hidangan berbuka puasa. Amalkan mesyuarat ahli keluarga untuk membincangkan menu hidangan berbuka puasa dan sahur. Bukan sahaja membantu memberi cadangan tetapi juga membantu dalam proses penyediaan dan memasak. Dilema isteri atau ibu yang bekerja ialah kesuntukan masa. Sebaik-baiknya rancang menu yang bakal disediakan. Anda mungkin boleh menyediakan hidangan tersebut separuh masak terlebih dahulu selepas bersahur, sebelum ke tempat kerja. Tidak perlulah sediakan hidangan hebat setiap hari. Memadai hidangan yang mudah dan cepat disediakan. Masa hujung minggu, barulah sediakan hidangan kelas lima bintang. Para suami pula jangan cepat mencemuh atau memperlekehkan masakan isteri. Ingat! Isteri juga berpuasa dan penat. Hargailah kepenatan dan pengorbanan isteri menyediakan hidangan terbaik buat anda sekeluarga. Usahakan untuk menyemarakkan kasih sayang suami isteri ketika Ramadan ini dengan bertindak seperti Wonderpets: "Apa yang penting, kerjasama!" | ||
| Posted: 26 Jul 2012 11:27 PM PDT
SERING mengalami sakit dan lenguh pada bahagian kaki membuatkan Muhamad Hazim Mohd. Badri, 29, mula berasa gelisah lebih-lebih lagi memiliki berat badan sebanyak 120 kilogram (kg). Simptom tersebut yang mula dirasai sejak awal tahun ini menyebabkan dia mencuba sebuah produk minuman yang berharga RM600. Cerita anak kelahiran Muar, Johor itu, dia yang menggunakan produk tersebut selama satu bulan akhirnya terpaksa berhenti meminumnya gara-gara harga yang begitu mahal. Namun, usaha untuk mengurangkan berat badan tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya dia mencari alternatif lain dengan melayari internet sehinggalah terjumpa blog penasihat pemakanan terkenal, Kevin Zahri. Secara kebetulan, menerusi blog Kevin itu, dia terlihat iklan Cabaran Sihat Enam Minggu bersama Kevin anjuran majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., iSihat, yang diadakan buat musim kedua. Jaga bab makan Tanpa berfikir panjang, kakitangan kerajaan itu terus menyahut cabaran tersebut dengan menghantar borang penyertaan. Bertutur lanjut mengenai dilema memiliki fizikal yang gemuk, Muhamad Hazim bagaimanapun, mengakui dia tidak mengamalkan corak pemakanan yang sihat. SERAMAI 30 peserta dengan kelengkapan permainan paintball di Propark Paintball, Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang baru-baru ini. Pendek kata, tiada istilah pantang larang soal pengambilan pemakanan dalam kehidupan sehariannya itu. Anak sulung daripada empat adik-beradik itu lebih gemar makan makanan bergoreng dan makanan segera. "Boleh dikatakan sekali seminggu, saya akan makan makanan segera, manakala pada hari biasa dua pinggan nasi. Itu sudah lumrah sejak menuntut di universiti lagi," katanya. Begitupun, sejak awal tahun ini siswazah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak itu mula mengawal berat badannya dan berjaya mengurangkan sehingga 105kg. Namun, baginya itu tidak mencukupi sehinggalah dia sanggup mengeluarkan kos sebanyak RM420 untuk menyertai Cabaran Sihat Enam Minggu bersama Kevin yang telah diadakan pada 2 Jun hingga 14 Julai lalu. Muhamad Hazim antara 30 peserta yang terpilih dalam program berkenaan. Selama enam minggu bersama Kevin, percaya atau tidak dia akhirnya berjaya menurunkan sebanyak 15kg lagi berat badannya. Kejayaannya itu sekali gus membolehkan dia dinobatkan sebagai juara Cabaran Sihat Enam Minggu bersama iSihat dan Kevin Zahri dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan hadiah sampingan. BAWAH: Salah satu acara berbasikal menjadi sebahagian program Cabaran Sihat Enam Minggu. Berkongsi mengenai kejayaannya itu, dia hanya mengamalkan petua yang diberikan Kevin seterusnya mengawal nafsu makan. Akui Muhamad Hazim, isterinya, Nazatul Syima Idrus, 29, banyak membantu dalam soal penyediaan makanan. Menyentuh mengenai tip, dia memberitahu, Kevin mencadangkan kepada kesemua peserta supaya mengambil setiap hidangan yang mengandungi protein seperti ikan, ayam dan telur dan sayur-sayuran. "Pada waktu tengah hari, beliau menyarankan kepada saya supaya mengambil segenggam nasi, lauk ikan dan sayur-sayuran. Bagi sarapan pagi, saya perlu mengambil makanan seperti bijirin, manakala makan malam pula sup sayur, ikan atau ayam goreng," ujarnya. Menurut Muhamad Hazim lagi, para peserta juga dinasihatkan mengambil makanan ringan yang mengandungi nutrisi yang baik seperti walnut sebelum lapar bagi mengelakkan makan dalam jumlah yang banyak kemudiannya. Tingkat keyakinan diri Sementara itu, Asiqah Yadiy Jamaludin, 24, yang menduduki tempat kedua pula mengamalkan sistem sukat kandungan makanan yang diambilnya pada setiap hari. Bagi pemegang Sarjana Pentadbiran Sains dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, pengiraan kalori sejak memasuki cabaran berkenaan akhirnya membantu dia mencapai kedudukan berkenaan. Sejak memasuki penyertaan berkenaan, cerita anak kelahiran Segamat, Johor itu, dia akan mengamalkan konsep berkenaan untuk mengurangkan berat badan dari 93kg ke 80kg. AKTIVITI paintball menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, dia mahu mengubah fizikalnya kerana akan memasuki alam pekerjaan tidak lama lagi. Justeru, dia mengakui dengan penampilannya itu dia berasa kurang keyakinan diri. Dia tidak mahu kekurangan fizikalnya itu menjejaskan imej apabila melangkah masuk ke dunia pekerjaan. Oleh itu, dia yang berazam mahu menurunkan berat badan dengan cara yang berkesan akhirnya telah berjaya menguruskan diri dalam tempoh enam minggu sekali gus membawa pulang RM2,000 berserta hadiah sampingan. "Saya akan terus memperaktikkan segala petua Kevin dan apa yang penting mengamalkan pemakanan berdasarkan piramid makanan," jelasnya lagi. | ||
| Posted: 26 Jul 2012 11:25 PM PDT
PADA bulan mubarak ini elok sangatlah kita bersama-sama bermuhasabah tentang amal ibadah kita. Antaranya ialah solat tarawih yang hanya setahun sekali dapat kita laksanakan. Tarawih bermaksud berehat-rehat atau bersenang-senang. Oleh itu, solat tarawih dianjurkan untuk dilakukan secara berjemaah dan diselang-selikan dengan doa dan selawat seperti yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita agar para jemaah dapat menikmati ibadah dalam penuh kekhusyukan dan ketenangan. Solat tarawih dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW pada malam-malam bulan Ramadan. Kali pertama, baginda keluar ke Masjid Nabawi untuk bersolat tarawih dan diikuti oleh sebilangan sahabat. Begitu juga pada malam kedua dan pada malam ketiga. Bilangan sahabat semakin ramai dan menanti untuk mendirikan solat tarawih bersama Baginda. Akan tetapi, Baginda tidak keluar untuk bersolat dengan sahabat. Pada keesokan paginya, Baginda bersabda: "Sungguh aku telah menyaksikan apa yang kamu semua lakukan. Tidak ada yang menghalangku untuk keluar (solat tarawih) bersama kamu semua selain aku khuatir sekiranya ia difardukan kepada kamu semua." Tidak keluarnya Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat bersama sahabat pada waktu itu adalah kerana Baginda SAW khuatir jika dilakukan terus-menerus ia akan menjadi wajib ke atas umatnya. Itulah tanda kasih sayang Baginda pada umatnya, walhal ada riwayat dari Aisyah yang mengatakan setelah Baginda pulang mengerjakan tarawih di masjid, Baginda menyambung solatnya sehingga hampir subuh dan tidak kurang daripada 20 rakaat, bahkan lebih dari itu yang dikerjakan oleh Baginda. Dewasa ini para umatnya mengambil kesempatan atas keprihatinan Baginda sehingga meringankan ibadah tarawih, bahkan timbul perbalahan tentang bilangan rakaat solat terawih. Solat tarawih ialah solat sunat bagi lelaki dan wanita yang dilakukan setelah solat Isyak sebelum solat witir pada bulan Ramadan. Ia ditunaikan secara berjemaah dengan memberi salam pada setiap dua rakaat. Dari Abu Hurairah, dia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat mementingkan solat malam bulan Ramadan dengan perintah yang tidak mewajibkan. Baginda bersabda: "Siapa yang menunaikan solat tarawih dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan keredaan Allah), maka diampunkan dosanya yang telah lalu." Tentang bilangan rakaat solat tarawih, jumlah tersebut (20 rakaat) dijelaskan oleh Saidina Umar al-Khattab melalui perbuatan ketika terakhir kali berkumpul dengan sahabat yang solat di belakang seorang imam. Para sahabat sepakat terhadap yang demikian, begitu juga sepeninggalan beliau, para Khalifah ar Rasyidin tidak ada yang mempertikaikannya. Seperkara lagi, kita perlu saling mengingatkan bahawa solat tarawih merupakan sunat muakkad. Namun begitu, ramai dalam kalangan masyarakat kita tersalah anggap dan tersalah lakukan. Solat yang fardu lima waktu tidak dipelihara tetapi solat tarawih yang dikejarkan. Ini berlaku kerana umat Islam tidak menitikberatkan soal awlawiyyat (keutamaan) sehingga mendahulukan yang sunat ke atas yang fardu. Diharapkan Ramadan tahun ini kita berubah menjadi insan kamil dan beribadah sehendaknya serta beribadah dengan ilmu agar tidak lagi menjadikan Ramadan sebagai pentas lakonan semata-mata. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






0 ulasan:
Catat Ulasan