RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Terlanjur dengan kekasih

Posted: 28 Jul 2012 10:30 PM PDT

Maisara sanggup tinggal berjauhan bagi mengelak memalukan keluarga dengan kandungannya.

Ketika remaja sebayanya sedang bersengkang mata mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini, berlainan pula dengan Maisara (bukan nama sebenar), 17.

Gadis manja yang merupakan anak tunggal itu, kini terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk bersalin.

Walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta, tetapi demi menutup aib keluarga, Maisara sanggup menghadapinya.

Dia berharap, anak yang dikandungnya nanti akan diserahkan kepada keluarga angkat yang mampu menjaga dan mendidiknya dengan baik.

Mengimbas kembali detik dia terlanjur, dia mengakui darah muda yang sentiasa ingin mencuba selain termakan dengan rayuan lelaki, adalah punca dia sarat mengandung anak luar nikah.

"Hubungan saya dan Hanif (bukan nama sebenar), 19, memang rapat kerana kami tinggal sekampung dan sering menghabiskan masa bersama-sama. Kami telah mengambil keputusan menjalinkan hubungan secara serius apabila saling menyukai antara satu sama lain.

"Selalunya, saya dan Hanif bersama rakan-rakan lain akan menghabiskan masa pada waktu malam dengan melepak secara beramai-ramai sambil melayan Internet di kafe yang berdekatan dengan rumah," katanya.

Tambahnya, walaupun ibunya sering menasihati supaya tidak terlalu bebas berkawan, tetapi ia ibarat mencurah air di daun keladi.

"Kalau ibu marah, saya tidak ambil kisah apa yang ibu nasihat. Malah akan buat tidak tahu sahaja," katanya.

Katanya, satu malam dia terlanjur bersama hanif ketika keluarga Hanif tiada di rumah kerana bercuti.

"Seperti kebiasaan, apabila habis melepak kami akan pulang bersama-sama. Jalan untuk pulang ke rumah memerlukan saya melalui kawasan rumah Hanif.

"Apabila sampai di kawasan rumahnya, dia telah menahan saya supaya tidak terus pulang, sebaliknya mempelawa saya untuk singgah dahulu ke rumahnya," katanya.

Tambahnya, tanpa berfikir panjang, dia telah menerima ajakan Hanif kerana ketika itu Hanif hanya berseorangan.

"Semuanya berlaku dengan sepantas kilat. Saya telah terlanjur kerana terbuai dengan pujuk rayunya selain tidak kuat untuk melawan kehendak nafsu ketika itu.

"Ibarat setelah mendapat madu, sepah dibuang, Hanif mengambil keputusan untuk berpisah dengan saya pada malam itu juga setelah dia berjaya memuaskan nafsunya,' katanya.

Akuinya, dia tidak menyangka keterlanjurannya pertama kali telah menyebabkan dia mengandung.

"Mula-mula saya tidak risau apabila lambat datang bulan kerana biasa ada masalah haid yang datang tidak tetap.

"Namun apabila memasuki tiga bulan saya masih belum datang bulan, saya mengesyaki sesuatu berlaku dan telah membuat sendiri ujian kehamilan dan mendapati saya positif," katanya.

Ujarnya, apabila menyedari dirinya berbadan dua, pelbagai cara dilakukan untuk menggugurkan bayi dalam kandungan.

"Saya makan pil untuk gugur kandungan tersebut. Dalam pada itu, juga bertanya kepada kawan-kawan yang pernah melalui situasi yang sama.

"Dalam tempoh tersebut juga, saya tidak berani untuk memberitahu ibu mengenai perkara yang sebenar. Sehinggalah saya telah memohon bantuan guru kaunseling untuk memaklumkan kepada ibu," katanya.

Ujarnya, walaupun sedih kerana membuat ibunya menangis tetapi perkara tersebut telah berlaku dan tidak boleh diundur lagi.

"Ibu telah mengambil keputusan menghantar saya ke Pusat Kebahagiaan Wanita Remaja (Kewaja) demi menutup aib daripada pengetahuan keluarga.

"Sehingga kini, ibu cuba menyembunyikan keadaan saya dari pengetahuan ayah tiri," katanya.

Beliau akui, setelah selamat melahirkan bayinya nanti, dia akan meneruskan kembali pelajaran yang tertangguh selain berusaha menjadi anak yang baik.

Wahidayah tempat bergantung

Posted: 28 Jul 2012 10:29 PM PDT

Keadaan di dalam Rumah Wahidayah.

KES-kes wanita yang dijangkiti HIV/AIDS bukan lagi satu isu yang boleh dipandang remeh. Pada tahun lepas, sebanyak 9,494 wanita yang berumur 20 tahun ke atas dilaporkan menghidap AIDS.

Dengan peningkatan jangkitan yang mendadak semenjak sepuluh tahun, iaitu tiga kali ganda sebanyak 1.2 peratus pada tahun 1990, 9.4 peratus pada tahun 2000 dan 18.3 peratus pada tahun 2010, jangkitan yang terbanyak dilaporkan ialah menerusi hubungan seks dengan suami sendiri.

Apabila virus HIV ini semakin menular, pastinya golongan ini seringkali menjadi mangsa keadaan.

Jikalau diketahui mereka dijangkiti virus ini, masyarakat bertindak memulaukan mereka menyebabkan mereka terpaksa dihalau dari rumah kerana ada segelintir ahli keluarga yang tidak mahu bertanggungjawab dengan keadaan wanita yang hidup dengan HIV. Ini menyebabkan keadaan golongan ini terumbang-ambing.

Apa yang menyedihkan sekiranya mereka berstatus ibu tunggal dan mempunyai anak kecil, anak itu terpaksa pula 'diheret' ke sana sini untuk mencari perlindungan apatah lagi dalam keadaan mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap.

Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menyembunyikan status penyakit mereka sendiri atas alasan tidak mahu disingkirkan oleh ahli keluarga.

Berdasarkan kemelut yang dihadapi oleh golongan ini, Rumah Wahidayah diwujudkan dalam usaha untuk membantu golongan wanita, ibu tunggal dan anak-anak mereka untuk meneruskan kehidupan.

Pengerusi Persatuan Wahidayah Malaysia (Pewahim), Norlela Mokhtar, 48, berkata, atas dasar untuk membantu golongan ini, Pewahim telah menubuhkan Rumah Wahidayah (wanita HIV yang telah diberikan hidayah) dalam usaha menyediakan penempatan asas dan selamat bagi wanita dan kanak-kanak yang terjejas akibat epidemik HIV.

Ujar Norlela, Pewahim merupakan satu-satunya pertubuhan wanita HIV di negara ini dan baru sahaja didaftarkan menerusi Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada bulan Mei lalu.

''Krisis keluarga yang dihadapi menyebabkan golongan wanita memerlukan tempat tinggal apabila dibuang masyarakat.

''Malah, Rumah Wahidayah juga merupakan satu tempat yang strategik bagi para pesakit HIV untuk datang mendapatkan bantuan atau menginap sementara selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Norlela, Rumah Wahidayah yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor itu memberikan perkhidmatan kepada penghuni secara percuma melalui perkhidmatan kesihatan, keperluan asas dan sokongan yang berterusan.

Tujuan penubuhan Rumah Wahidayah katanya, adalah untuk mengurangkan kesan kemudaratan akibat HIV/AIDS dan menjadi pertubuhan wanita peneraju dalam pengurangan kemudaratan virus itu di negara ini.

''Dalam pada itu, selain menjadi pusat penempatan sementara bagi penghuni rumah berkenaan, ia juga menjadi pusat sokongan rakan, kumpulan sokong bantu dan perhimpunan ketika hari-hari perayaan dan seterusnya bertindak sebagai pusat kemahiran buat penghuni dengan memberikan latihan berbentuk kemahiran seperti menjahit, memasak dan membuat kraf tangan," katanya.

Apabila ditanya apakah beza rumah ini daripada rumah-rumah perlindungan untuk penghuni HIV lain, Norlela berkata, seperti rumah WAKE2, di Setapak, Kuala Lumpur yang dibina untuk mangsa HIV yang kebanyakan mangsanya masyarakat gelandangan dan mereka menetap terus di situ.

Begitu juga Rumah Soleha disediakan dengan menyediakan program paliatif kepada mangsa HIV. Namun Rumah Wahidayah lebih berfungsi sebagai penempatan sementara bagi wanita yang tidak terlantar (mampu melakukan kerja) untuk menerima sebarang latihan kemahiran dan kursus-kursus yang ditawarkan selain menguruskan untuk mendapatkan rawatan menepati temu janji di klinik dan hospital.

''Setakat ini terdapat empat penghuni di rumah ini dan kita menganggarkan hanya 20 penghuni wanita dan kanak-kanak akan ditempatkan di rumah ini pada satu-satu masa.

''Selain rumah ini, kita juga mempunyai wakil cawangan di semua negeri," katanya yang turut memberitahu Rumah Wahidayah masih memerlukan sumbangan berbentuk dana mahupun barangan dalam usaha melengkapkan infrastruktur rumah berkenaan.

Rumah Wahidayah boleh dihubungi di talian 019-2595864 atau 017-3665570.

Kesengsaraan umat Islam

Posted: 28 Jul 2012 10:27 PM PDT

Keadaan kanak-kanak pelarian Rohingya yang menghuni kem di sempadan Pakistan-Myanmar.

MASA bagaikan terhenti berdetik bila mendengar kata-kata daripada Fayazul Islam Mohd. Narsim, 32 (disebut Fauzul) seorang berketurunan Rohingya dari Rakhine (Arakan), Myanmar.

Saudara Islam di kampung halaman menderita. Saban hari diancam keganasan dan Ramadan mereka tidak sama dengan Malaysia yang penuh dengan kemeriahann kemakmuran,

Malah katanya, sejak awal Jun lalu, keganasan dan penindasan semakin menjadi-jadi.

"Terbaru maklumat yang diterima, hampir kesemua masjid-masjid di Rakhine dikunci. Umat Islam dilarang ke masjid. Lebih menyedihkan, pihak tentera menahan kesemua imam.

"Kelazimannya, apabila ditahan, mereka tidak mungkin akan dibebaskan. Mungkin kita hanya menerima mayat-mayat mereka sahaja," ujar Fayazul yang pasti membuat hati sesiapa saja yang mendengar tersentuh.

Itu bezanya nasib saudara Islam di beberapa bahagian lain dunia yang menderita disangat rakan-rakan seagama mereka bergembira menyambut kehadiran Ramadan.

Di Malaysia misalnya, Ramadan ibarat musim pesta makanan. Pergilah ke mana sahaja, makanan pasti melimpah ruah.

Situasi itu berbeza dengan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar yang sebahagian besarnya menjadi pelarian ke serata pelosok dunia.

Baki yang tinggal di kampung halaman mereka pula sentiasa dalam ketakutan.

Nasib yang sama juga menimpa umat Islam di Syria yang kini diambang perang saudara yang membabitkan pertelingkahan antara puak pemberontak dengan kerajaan.

Begitu juga dengan saudara Islam di Sudan dan Yemen yang sebahagian mereka diancam kebuluran ekoran kemiskinan dan kekurangan bekalan makanan.

Di Rakhine, Myanmar, penduduknya yang dikatakan seramai dua juta orang dengan majoriti beragama Islam telah dinafikan hak untuk menghidupkan bulan Ramadan terutama bagi tujuan pengimarahan masjid.

Etnik Rohingya disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai etnik minoriti yang paling teruk ditindas di dunia.

Fayazul yang merupakan ketua komuniti untuk seramai 400 pelarian Rohingya di sebuah penempatan di Klang, Selangor telah berada di negara ini selama empat tahun.

Dia tiba di Malaysia setelah hampir dua bulan melarikan diri dalam keadaan yang sangat azab dan seksa dari Rakhine.

Imam ditangkap

Kata Fayazul, Ramadan di bumi kelahirannya tetap cuba disambut seperti mana ia diraikan di tempat-tempat lain.

Penduduk Islam Rakhine turut ingin menghidupkan dan memeriahkan masjid dengan ritual solat berjemaah dan beriktikaf.

"Walaupun setelah kerajaan mengenakan perintah berkurung (sejak 10 Jun lalu), keinginan umat Islam ke masjid bagai tidak boleh dibendung. Mereka teguh dengan pendirian walau nyawa jadi taruhan.

"Semangat ini menyebabkan pihak berkuasa sangat marah. Mereka menutup masjid dan menangkap para imam dan ustaz.

"Hampir 100 masjid, termasuk masjid yang berabad usianya telah dimusnahkan oleh kerajaan junta Myanmar. Yang adapun tidak boleh digunakan oleh umat Islam di sana," tuturnya dalam bahasa Inggeris yang agak fasih ketika ditemui di Ibu Pejabat Muslim Aids di Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seketika itu juga, Fayazul tenggelam dalam kenangan silam saat menyambut Ramadan di kampungnya di Blok 2 Buthidaung, Rakhine, sebuah perkampungan yang sangat daif.

"Walaupun dalam keadaan yang sangat daif tanpa bekalan elektrik, Ramadan kami cukup meriah. Biarpun kami terpaksa menggunakan generator lebih dari masa biasa.

"Ini kerana kami hendak menghidupkan masjid. Malah masjid-masjid kami terkenal kerana hampir setiap malam akan menghabiskan satu surah ketika solat sunat terawih," kenang Fayazul lagi.

Jika dahulunya, iaitu sejak 1991 mereka hanya dihalau dari kampung halaman, tetapi kini mereka turut dibunuh dengan kejam. Beribu-ribu rumah dibakar dan mereka dihalang mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

"Tuhan sahaja yang mengetahui betapa kejamnya penganiayaan yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya. Mereka menjadi mangsa penyembelihan, dibakar dan dibunuh. Seolah-olah nyawa itu sudah tidak ada nilainya," kata Fayazul.

Namun kata Fayazul umat Islam yang masih berada di wilayah bergolak Rakhine dan yang berada di kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh dan Thailand, tetap melaksanakan ibadat puasa.

"Jika di kem-kem pelarian kami hanya mendapat bekalan beras daripada pihak PBB. Tetapi di Rakhine kami benar-benar berpuasa dalam keadaan perut benar-benar kosong," ujarnya sayu.

Ekoran krisis pembersihan etnik itu oleh Junta tentera Myanmar, Fayazul sendiri kehilangan dua adik lelakinya.

"Syeikhul Islam, 25, dan Rafil Islam, 18, hilang ketika menyelamatkan diri ke sempadan Myanmar-Bangladesh. Rafil kali terakhir dilihat cuba menyeberang sungai dengan menaiki bot.

"Saya yakin kedua-dua mereka ditahan pihak tentera dan kemungkinan untuk mereka selamat adalah mustahil. Kehilangan ini masih saya rahsiakan daripada pengetahuan ibu yang masih berada di kampung," ujarnya lemah.

Sebagaimana kebanyakan pelarian Rohingya lain, hasrat untuk kembali semula ke tanah air tercinta mungkin sesuatu yang mustahil. Rakhine sebuah negeri yang berkeluasan 36,762 kilometer persegi yang terletak di bahagian Barat Laut Myanmar.

"Namun, jika sudah ditakdirkan, saya ingin membawa ibu dan adik-beradik lain untuk menikmati udara kebebasan di sini," kata Fayazul.

Bazar Ramadan tumpuan 'pemburu' makanan

Posted: 28 Jul 2012 10:26 PM PDT

Penjual ayam golek, Mohd. Anis Rahman, 24, sibuk membakar ayam di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

BULAN puasa dan bazar sememangnya tidak dapat dipisahkan, lebih-lebih lagi bagi si bujang yang inginkan pelbagai makanan enak tetapi tidak boleh menghasilkannya sendiri.

Maka bazar Ramadan menjadi tumpuan segenap orang muda mencari makanan ataupun lebih disebut sebagai medan food hunt bagi mereka.

Namakan sahaja apa jenis makanan yang terfikir di minda sudah pasti ada dijual di bazar-bazar ini, tidak kira makanan Utara, Pantai Timur ataupun Selatan.

Hinggakan ada antara pengunjung yang sanggup bertukar-tukar bazar Ramadan setiap minggu untuk mencari makanan unik sepanjang bulan puasa.

Ada juga antara mereka telah mengetahui bazar mana yang perlu dituju jika mahukan sesuatu juadah yang mereka inginkan berbekalkan pengalaman tahun-tahun lalu.

Begitulah hebatnya penangan bazar Ramadan yang kian mendapat tempat di hati rakyat negara ini, bukan sahaja dikunjungi oleh umat Islam bahkan memberi peluang kepada bangsa lain merasai kemeriahan bulan Ramadan.

.com baru-baru ini berpeluang meninjau beberapa bazar di sekitar ibu kota untuk mendekati generasi muda dalam memilih juadah berbuka mereka.

Antara bazar yang dilawati adalah Bazar Ramadan Kampung Baru, Bazar Ramadan Tasik Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur dan Seksyen 13, Shah Alam.

Jom kita tinjau menu-menu popular dan pendapat remaja yang datang ke bazar-bazar ini.

Irama J-Rock gaya Bob The Sausage

Posted: 28 Jul 2012 10:25 PM PDT

SESUAI dengan usia serta pengikutnya yang terdiri daripada golongan remaja, kumpulan Bob The Sausage (BTS) cuba membawa identiti baru, rock Jepun atau J-Rock.

Meskipun irama dark heavy pop punk yang dibawanya lebih menyerlah ketika di atas pentas gig, BTS tidak takut mencuba kelainan dalam bidang nyanyian.

Bagi ahli kumpulan BTS yang terdiri daripada Esty Richard (vokal), Jared Lee (gitar), JC Lam (drum), Jason Chan (gitar utama) dan Wei Chen (base), irama J-Rock sesuai dengan jiwa remaja mereka.

Tampil dengan gaya yang tersendiri, imej BTS tidak boleh dipandang remeh kerana faktor itu boleh dinilai peminat untuk mengukur kematangan karier muzik mereka.

Sebagai pendatang baru yang masih setahun jagung, imej J-Rock menyuntik semangat baru dalam arena muzik indie.

Konsep J-Rock ini merupakan cetusan idea mereka berlima ketika belajar di Institute Advertising Communication Training (IACT).

Imej ini sesuai dengan minat mereka dan secara kebetulan alunan muzik ini turut diminati remaja tempatan biarpun ia masih dianggap baru di Malaysia.

Biarpun sebelum ini mereka tiada identiti atau imej khusus untuk ditawarkan kepada peminat tetapi selepas album Once Upon a Time There Was A Sausage Named Bob dihasilkan identiti remaja moden ini diselaraskan dengan penampilan J-Rock.

Kumpulan BTS menggandingkan pemuzik berbakat dan irama mereka banyak dipengaruhi oleh pemuzik dari Jepun.

Saksikan sendiri kehebatan mereka mengganas di atas pentas gig ataupun layari laman web mereka di http://www.bobthesausage.

com atau http://www.facebook.com/ onceuponatimetherewasasausagenamedbob.

Perjudian atau nasib

Posted: 28 Jul 2012 10:23 PM PDT

Panduan kerjaya perlu diperbanyakkan bagi membantu pelajar memilih pekerjaan yang diminati.

ASSALAMUALAIKUM kepada semua pembaca .com,

MUNGKIN persoalan yang saya ajukan tidak sama seperti e-mel sebelum ini yang banyak bercerita mengenai isu-isu semasa. Luahan saya mudah, bagaimana hendak mengetahui apakah yang bakal terjadi pada diri saya dalam 10 tahun akan datang.

Saya kini berusia 18 tahun, baru sahaja mendapat tempat di salah sebuah universiti tempatan, namun dalam kursus yang saya sendiri tidak tahu kewujudannya. Keputusan semasa di kolej matrikulasi tidak teruk dan tidak juga terlalu baik.

Jadi adakah nasib saya ini bergantung pada perjudian ataupun hanya nasib sahaja. Jika ditolak, takut nanti langsung tidak mendapat tempat di mana-mana universiti sekali gus memusnahkan hasrat saya bergelar mahasiswa.

Secara jujurnya saya bercita-cita menjadi seorang juruterbang. Namun tiada satu kolej mahupun universiti kerajaan menawarkan kursus penerbangan, tambahan pula kolej swasta memang tidak mampu untuk saya, lebih-lebih lagi ibu bapa hanya berniaga sendiri.

Jadi, apakah langkah sewajarnya yang perlu saya ambil? Adakah meneruskan pelajaran di universiti yang telah ditawarkan atau, terus mencari tempat di mana saya dapat mengejar cita-cita saya.

Justeru, kerajaan atau pihak berwajib perlu memberi penerangan ataupun panduan kepada pelajar seperti kami yang sememangnya tidak tahu apakah yang perlu dipilih selepas tamat alam persekolahan.

Selama 11 tahun pelajar hanya disogok dengan sekolah yang ditentukan oleh kerajaan yang mana enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Bagaimana pula selepas itu?

Mungkin masalah saya kecil namun ia berlaku di kalangan pelajar-pelajar lepasan kolej matrikulasi dan tingkatan enam khususnya pelajar yang tiada panduan daripada orang tua yang langsung tiada pelajaran.

Harap pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memainkan peranan secara menyeluruh terhadap masalah ini.

PELAJAR DILEMA

Batu Pahat, Johor

Bukan sekadar hobi

Posted: 28 Jul 2012 10:20 PM PDT

Walaupun kecil, setiap figura aksi mempunyai nilai yang mampu mencecah hingga ratusan ribu ringgit.

PERMAINAN figura aksi memang sesuatu yang sinonim dengan kanak-kanak. Tunjukkan apa sahaja jenis permainan sekalipun, pasti ia mampu menarik perhatian mereka.

Kini, permainan figura aksi bukan sahaja menjadi rebutan peminat cilik bahkan juga menjadi kegilaan pengumpul di kalangan orang dewasa dan bekerjaya.

Malah, syarikat pembuat mainan seperti Hasbro, Toynami, Takara Tomy, Bandai, Tamiya dan sebagainya semakin menumpukan koleksi permainan yang dikhususkan untuk orang dewasa.

Mainan yang dikumpul juga dilihat lebih bebas, tidak tertumpu kepada koleksi adiwira atau superhero sahaja, sebaliknya koleksi yang diadaptasi daripada filem seperti E.T, Mission Impossible dan lain-lain kian mendapat sambutan.

Baru-baru ini .com berpeluang untuk berhimpun bersama dengan pengumpul mainan figura aksi untuk melihat sendiri pelbagai koleksi mainan yang dipamerkan di Perpustakaan Kuala Lumpur.

Tidak terhad kepada pameran sahaja, sebaliknya perhimpunan itu turut menyediakan ruang kepada pemilik bertukar mainan dengan pengumpul lain.

Malah, barangan cenderahati serta mainan yang dijual semasa perhimpunan itu juga jauh lebih murah berbanding harga di luar.

Program ini juga tidak menumpukan kepada faktor keuntungan, sebaliknya setiap kutipan sewa tapak dan sebagainya akan diderma terus ke badan kebajikan.

Bagi sesetengah orang, mainan mungkin menjadi simbol kebudak-budakan, tetapi bagi pengumpul mainan pula, ia adalah harta karun yang mempunyai nilai estetika, kreativiti dan harga yang tiada tandingan. - AZRUL /DJOHAN

SHAHRIN SHAH

SUDAH lama sebenarnya saya menantikan perhimpunan seperti ini, tapi tiada siapa mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti ini.

Ada sesetengah orang kata program seperti ini satu pembaziran. Bagi saya, perjumpaan seperti ini lebih puas berbanding berhubung melalui online.

Tambahan, kalau beli menerusi online, susah untuk kita menentukan keadaan permainan itu. Kalau kita dapat tengok depan mata dan dapat belek-belek dulu mainan yang kita hendak beli bagi saya itu lebih puas.

Melalui aktiviti ini, saya mengumpulkan semua kelab pengumpul mainan. Malah, pengumpul mainan dari Brunei, Singapura dan Indonesia turut hadir dengan koleksi permainan mereka.

Bukan senang hendak mengumpulkan semua kelab-kelab pengumpul mainan. Tapi saya yakin saya mampu melakukannya.

Malah, saya sendiri sudah 20 tahun mengumpul mainan, jadi memang menjadi impian saya untuk menganjurkan program yang mengumpulkan kesemua pengumpul mainan di bawah satu bumbung.

Sebanyak 70 penjual termasuk wakil kelab menyertai event ini. Antaranya, Kelab Hot Wheel, Transformers, Starwars, Hot Toys dan Masked Rider.

WAN MUHAMMAD AZNAN WAN AZMI a.k.a WAN KEDAH

Penganjur

SAYA memang meminati Transformers sejak dari kecil lagi. Malah, pada waktu itu juga, saya sudah mempunyai sebuah model Transformers.

Tapi masa itu masih mentah lagi. Nilai sebuah mainan pun saya tidak tahu.

Tetapi sekitar tahun 2003, saya sudah kembali mengumpul model figura dan kebanyakannya adalah model Transformers.

Sehingga kini, saya mempunyai 150 koleksi peribadi model Transformers. Saya juga mempunyai koleksi model Transformers keluaran pertama.

Bagi saya, mengumpul mainan ini bukan satu bentuk pembaziran, sebaliknya ia adalah minat seseorang.

MOHD. HAFEEZ CHE HILLMIN, 27

Eksekutif

SAYA terlibat mengumpul mainan sejak empat tahun lalu.

Fokus pengumpulan saya lebih kepada mengumpul mainan berbentuk kereta. Setakat ini, saya sudah membelanjakan hampir RM20,000 untuk mengumpul kereta mainan.

Ia bukan satu bentuk pembaziran sebab kita berbelanja terhadap sesuatu barang yang mempunyai nilai yang tinggi pada masa akan datang.

MOHD. AZHARI AHMAD a.k.a CHAN, 25

Pereka Grafik

SAYA sudah mula kumpul mainan sejak di bangku sekolah menengah lagi dan masih mengumpul sehingga kini.

Selain daripada mengumpul, saya juga ada menjual koleksi-koleksi peribadi saya yang melibatkan komik atau patung figura koleksi lama.

ALBERT KONG, 21

Pelajar

Scha shopping bersama peminat

Posted: 28 Jul 2012 10:19 PM PDT

ERNIE Baizura (kanan) dan Celine Wong tidak dapat menyembunyikan kegembiraan mereka apabila diberi peluang membeli-belah bersama artis kesayangan mereka, Scha Alyahya di Pusat Beli - Belah Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur baru baru ini.

SETELAH melangkah ke alam perkahwinan, rezeki Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 29, atau lebih dikenali sebagai Scha Alyahya makin bertambah.

Selepas dilantik sebagai duta produk Avon Malaysia dan Carefree, nampaknya 'rezeki' sekali lagi memihak kepada Scha Alyahya apabila dia diumumkan sebagai jurucakap pusat beli-belah fesyen terkemuka, Kenanga Wholesale City (KWC).

KWC ialah pusat beli-belah fesyen borong sehenti pertama di Malaysia yang menyatukan pelbagai perniagaan berasaskan fesyen, aksesori, kasut, hadiah-hadiah dan produk-produk kecantikan di bawah satu bumbung.

Scha dipilih sebagai duta itu kerana bakat berlakon, mengacara dan peragaannya menepati kriteria KWC selain mencerminkan imej fesyen terkini para wanita yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta proaktif.

Scha mengakui dia sangat teruja dipilih sebagai jurucakap pusat beli-belah tersebut dan peluang itu turut dikongsi bersama peminat fesyen yang sanggup mencari lokasi baru mencari pakaian dan aksesori terkini.

Melihat pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri, Awan Dania membeli-belah di KWC nampak begitu mudah kerana apa jua fesyen boleh didapati di bawah satu bumbung.

Jom, lihat aksi Scha Alyahya shopping bersama peminatnya.

Penangan Wings

Posted: 28 Jul 2012 10:18 PM PDT

NORMAN (tengah) bersama kumpulan Wings iaitu (dari kiri) Black, Eddie, Awie dan Joe pada majlis yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

KALAU ada yang berpendapat artis tempatan kini sukar untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman, rasanya telahan itu silap sama sekali.

Ini dapat dibuktikan apabila kumpulan rock tersohor negara, Wings sudah pun secara rasminya menjadi artis naungan KRU Music Group.

Siapa sangka untuk artis senior seperti Wings masih lagi mendapat tempat dan ada pihak yang menawarkan peluang bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan legenda tanah air.

Dalam hal ini, ucapan tahniah dan syabas harus diberikan kepada Norman Abdul Halim yang terus mempercayai kredibiliti Wings untuk meluaskan lagi legasi seni mereka.

Kata Norman, selepas setahun mengadakan perbincangan, barulah Wings bersetuju untuk menyertai syarikatnya.

"Malah ini juga pelaburan terbesar oleh pihak kami. Ada syarat yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak di mana kontrak hanya akan disambung jika masing-masing berpuas hati dengan setiap projek album.

"Antara kerjasama yang telah dipersetujui termasuklah pihak KRU akan menggalas tanggungjawab dari segi penerbitan, pemasaran dan promosi album. Cuma kami tidak akan sentuh mengenai konsep album yang dihasilkan," kata Norman dalam sidang akhbar yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Album Wings bersama KRU Music Group berjudul Menakluk Kosmos akan dilancarkan pada bulan September ini sementara sebuah album kompilasi istimewa juga akan diterbitkan.

Semestinya untuk kumpulan Wings, kerjasama terbaru ini adalah satu penghormatan untuk mereka selepas lebih 10 tahun tidak muncul dengan sebarang album.

"Kami memerlukan strategi promosi yang kuat. Kerana itu juga kami bersetuju untuk berada di bawah naungan KRU yang cukup hebat dan terkenal dalam soal pemasaran dan publisiti.

"Sekiranya album kali ini berjaya, kami akan meneruskan kerjasama dengan album seterusnya pula," kata Awie mewakili teman-temannya yang lain.

Serasi bersama

Posted: 28 Jul 2012 10:17 PM PDT

ANA dahlia mahu watak yang lebih mencabar untuk menguji kredibilitinya sebagai pelakon.

DI kalangan rakan artis, Ana Dahlia dikenali kerana pandai memasak. Malah Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz, 30, pernah membuat pengakuan yang dia tertarik untuk menyunting Ana sebagai isteri kerana kelebihannya itu.

Bagaimanapun setelah bergelar isteri kepada Chef Riz yang pakar memasak itu, Ana mengaku yang dia jarang membantu suaminya di dapur.

Malah jelasnya, jika tidak sibuk di lokasi penggambaran, dia lebih senang menghabiskan masa di rumah berbanding menemani Chef Riz di restoran.

Pun begitu, sempat juga dia membantu suaminya itu sewaktu pembukaan Restoran Flavours, Bangsar, Kuala Lumpur, milik Chef Riz.

"Bukan Ana tidak mahu bantu, Riz kalau di dapur cukup garang. Dari Ana sakit hati kena marah, biarlah buat kerja di rumah. Kalau dia memerlukan bantuan sangat-sangat barulah Ana pergi.

"Ana pun tahu kalau di restoran, dia yang berkuasa dan sebab itu Ana panggil dia Chef. Selaku Chef, dia memang cerewet dan sebab itu jugalah Ana jarang ke sana," katanya tersenyum.

Kata Ana, biarpun Chef Riz pakar dalam bidang masakan namun jika di rumah suaminya itu lebih gemar makan makanan kampung masakannya.

"Makanan yang sering disajikan untuk Riz adalah tomyam udang, sup tulang dan kangkung goreng belacan. Hari-hari dapat menu ini pun dia tidak kisah.

"Bulan Ramadan ini, Riz paling suka kalau berbuka dengan keluarga Ana sebab kami enam beradik. Ana pun suka berbuka dengan keluarga sebab bila ramai riuh rendah jadinya," cerita anak kedua itu.

Belum rezeki

Ana yang bergelar isteri kepada Chef Riz pada 11 Disember 2011 berkata, seperti pasangan lain mereka juga mendambakan suara anak kecil.

Namun sehingga kini, pasangan tersebut masih lagi menanti saat-saat indah itu.

"Nak buat macam mana belum rezeki kami. Kalau ikutkan Ana dan Riz, kami tidak kisah jika diberi anak dalam waktu terdekat ini.

"Ana percaya mesti ada hikmah di sebaliknya kenapa dalam tempoh ini Ana belum hamil. Mungkin masih baru lagi. Lagipun ibu bapa kami tidak sibuk bertanya pasal cucu," kata menantu kepada Datuk Chef Wan ini lagi.

Cari peluang baru

Biarpun namanya semakin menonjol dalam bidang lakonan namun di sudut hati Ana Dahlia tersimpan hasrat untuk menjadi pengacara program.

"Berlakon memang Ana suka tapi kata orang kalau boleh nak kembangkan bakat sebab pengacaraan pun cabang seni juga.

"Itulah kalau ada peluang untuk mengacara program berbentuk kewanitaan atau apa sahaja, mesti Ana terima," katanya terus terang.

Ana yang pernah muncul dalam filem Mantera dan bakal tampil dalam filem Gila-Gila Remaja 2 berharap di masa akan datang, dia berpeluang berlakon dengan aktor tersohor Eman Manan.

"Siapa yang tak nak berlakon dengan Eman Manan. Kalau ada tawaran berlakon dengan dia, pasti Ana tidak menolak. Selain itu, orang baru seperti Ana mesti idamkan untuk berlakon dengan pelakon ternama," katanya.

1Inspirasi untuk Olimpik

Posted: 28 Jul 2012 10:16 PM PDT

FARHAN (depan kiri) antara penyanyi yang terbabit menjayakan album 1Inspirasi.

ALBUM ataupun lagu yang bertemakan patriotik boleh berperanan memberi semangat bukan sahaja kepada para atlet tetapi juga pendengar dan penonton yang menghayatinya.

Lagu berjudul 1Inspirasi ciptaan Keroz Nazri misalnya, dicipta sesuai dengan kedatangan temasya Sukan Olimpik 2012 yang bakal berlangsung di London, United Kingdom mulai 27 Julai ini.

Menurut komposer berusia 28 tahun ini, lagu itu yang didendangkan ramai penyanyi termasuk bintang Akademi Fantasia seperti Farhan dan Maulana diterbitkan kena pada masanya.

"Lagu 1Inspirasi ciptaan saya itu mempunyai elemen patriotik dan ia dipersembahkan dalam genre muzik pop. Dalam lirik lagu itu ada semangat tentang perjuangan, keamanan dan setia kawan.

"Ia sesuai digunakan untuk bahan siaran selingan di radio dan televisyen termasuklah pada sepanjang sukan Olimpik kali ini berlangsung," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Keroz berkata, lagu itu yang merupakan salah satu daripada lagu dalam album berjudul 1Inspirasi diterbitkan oleh Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama Orlaith Inc. Sdn. Bhd.

Album itu yang telah dilancarkan di Putrajaya sempena sambutan Hari Belia pada 23 Mei lalu telah dicetak sebanyak 2,000 unit yang kebanyakannya diedarkan secara percuma.

Jelas Keroz atau nama sebenarnya Khairul Nizam Nazri, dia mengambil masa hampir tiga minggu untuk mencipta lima lagu dan menerbitkan album itu yang diterbitkan dalam bentuk cakera padat.

"Album itu telah diedarkan secara percuma kepada para belia sewaktu sambutan Hari Belia yang lepas tetapi pada masa sama ia juga dijual di tempat lain dengan harga RM10 seunit.

"Duit jualan cakera padat itu telah didermakan kepada Persatuan Austisme Malaysia. Selain menerapkan semangat patriotik album ini juga diterbitkan untuk tujuan amal," ujarnya.

Selain dalam bentuk album, 1Inspirasi juga diterbitkan dalam bentuk klip video mula ditayangkan di stesen-stesen televisyen terutama RTM sejak 23 Julai lalu.

Penerbit Eksekutif album itu yang juga wakil Orlaith Inc. Sdn. Bhd., Azam Ismail Bakri, 48, berkata lagu 1Inspirasi dan album itu bukan setakat untuk menaikkan semangat kesukanan sahaja.

Sebaliknya, mesej lirik lagu itu juga boleh dikaitkan dengan pelbagai situasi seperti bagi menggalakkan generasi muda menuntut ilmu dan juga semangat cintakan tanah air.

"Lagu itu juga boleh dimuat turun di laman YouTube di Internet secara percuma sejak 23 Mei lalu manakala klip videonya telah disiarkan RTM pula sejak 23 Julai lepas," jelasnya lagi.

Selain 1Inspirasi, antara lagu yang turut dimuatkan dalam album yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan itu adalah Hope, Aman dan Young Happy.

Kebangkitan Nolan

Posted: 28 Jul 2012 10:14 PM PDT

SAYA pernah kecewa apabila nama Christopher Nolan tercicir dari senarai Pengarah Terbaik Oscar untuk Inception (2010). Perasaan itu wujud sekali lagi selepas menonton The Dark Knight Rises kerana Nolan sememangnya seorang pengarah bervisi dan mempunyai keupayaan luar biasa.

The Dark Knight Rises tidak membiarkan anda kecewa atau keliru sebaliknya durasi tayangan hampir tiga jam itu dirasakan seperti tidak cukup kerana anda mahukannya lagi.

Jika ada pun perkara yang ingin diadukan ialah penamatnya. Bukan bermakna ia teruk tetapi sebagai filem terakhir trilogi Batman, kisahnya dirasakan belum betul-betul tamat dan terbuka untuk sambungan. Peminat seakan diberi harapan untuk sekuel.

Kerana sifatnya sebagai filem yang penghabisan, The Dark Knight Rises lebih 'besar' dan bercita-cita tinggi daripada dua yang terawal iaitu Batman Begins (2005) dan The Dark Knight (2008). Sesuatu yang pasti tentang Nolan ialah dia sangat pintar 'mengkacukkan' tema psikologi dalam drama dan genre aksi adiwira.

Filem ini bermula lapan tahun selepas cerita dalam The Dark Knight tamat. Gotham City meratapi pemergian Harvey Dent (Two-Face) dan Bruce Wayne bersama alter-egonya, Batman mengambil tanggungjawab untuk mengaku bersalah di atas kematian itu walaupun hakikatnya tidak.

Wayne bersembunyi di dalam rumah agamnya, berasa kesal dan menyalahkan takdir. Sehinggalah Catwoman dan Bane datang menggugat, bukan saja kedudukannya sebagai hartawan tetapi mengancam keselamatan bandarnya.

Nolan beruntung kerana filem ini dibarisi pelakon terkenal. Tetapi apa yang menyebabkan mereka nampak handal ialah kerana lakon layarnya.

Nolan dan tiga penulis skripnya berjaya memukau penonton dengan babak-babak aksi yang melonjakkan adrenalin di samping suntingan kemas dan rekaan produksi seperti set dan props yang canggih.

Lihat saja kereta Batman yang sangat 'out-of-this-world' serta pejabat Wayne di rumah agamnya yang mempunyai kolam besar dan air terjun. Itu belum lagi penjara tempat asal-usul Bane yang dianggap neraka dunia yang mempunyai struktur kolong dan tingkat-tingkat batu yang sangat dinamik binaannya.

Namun apa yang lebih memberi kesan ialah tahap psikologi dan kemanusiaan untuk setiap karakter. Nolan memberi jiwa dan latar belakang yang cukup untuk pembinaan watak-watak ini sehingga penonton dapat merasai dan lebih bersimpati daripada membenci kerana setiap apa yang terjadi pasti ada sebabnya.

Misalnya watak Miranda Tate lakonan Marion Cotillard. Awalnya saya menyangkakan karakter ini seperti terpinggir. Namun di penghujung cerita, penonton akan tahu mengapa wataknya seakan timbul-tenggelam tetapi sebenarnya memberi signifikan yang amat besar.

Michael Caine sebagai Alfred pula, walaupun babaknya tidak banyak, memberi persembahan yang sangat mencengkam. Kesetiaannya kepada Wayne dan keluarga amat menyentuh hati dan inilah persembahannya yang paling beremosi sepanjang tiga filem Batman.

Christian Bale seperti biasa tidak mengecewakan. Barangkali dalam The Dark Knight, Bale sedikit dibayangi dengan persembahan bertenaga Heath Ledger sebagai The Joker tetapi dalam filem ketiga ini, dia 'bangkit' dan menyerlah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bale adalah interpretasi terbaik untuk watak ikonik itu sejak francais Batman difilemkan. Maaf untuk Michael Keaton, Val Kilmer dan George Clooney. Bale 'memeluk' karakter ini dengan lebih humanistik dan penonton boleh membaca kelemahan di sebalik kekuatannya.

Watak pengancam baru Gotham City, Bane dilunaskan dengan cemerlang oleh Tom Hardy. Walaupun memakai topeng gas (hanya satu babak imbas kembali yang menunjukkan wajahnya), suara dan tingkah laku Hardy menggerunkan.

Usah bandingkan Bane dan The Joker kerana mereka mempunyai misi yang berbeza. Jika The Joker mahu berperang secara psikologi, Bane hanya mahu memusnahkan Wayne dan Gotham. Malah Bane sebenarnya sekadar orang suruhan.

The Dark Knight Rises adalah filem yang gelap, baik dari segi perasaan mahupun rupanya. Tahniah bukan saja patut diberikan kepada Nolan tetapi pengarah sinematografi Wally Pfister, begitu juga komposer Hans Zimmer yang memberikan skor muzik cemerlang, mengatasi dua filem terdahulu.

'Kegelapan' filem ini bagaimanapun diceriakan dengan karakter Catwoman/Selina Kyle lakonan Anne Hathaway. Jika ramai yang sangsi akan kebolehannya membawakan watak itu, sila pergi menonton. Dia menyuntik momen-momen 'comel' dan jenaka secara tidak sengaja dalam gayanya sendiri.

Perhatikan juga Joseph Gordon-Levitt. Peranannya sebagai pegawai polis Blake mungkin dirasakan seperti pembantu saja tetapi tidak mustahil kisahnya sebagai Robin diangkat menjadi filem.

Seperti trilogi The Lord of the Rings (2001-2003), filem ketiganya, The Return of the King adalah penyudah.

Itu pun, kisahnya akan disambung semula menerusi prekuel The Hobbit bermula hujung tahun ini.

Justeru, saya yakin Batman akan kembali. Jika boleh, biarlah Nolan juga yang meneruskannya kelak.

Perjuangan belum tamat

Posted: 28 Jul 2012 10:13 PM PDT

Setelah dua tahun menyepi tanpa lagu baru, kini Bunkface kembali mengubat rindu peminat terhadap mereka.

Namun kembalinya Bunkface kali ini mempunyai satu tujuan yang sangat kuat malah dalam masa yang sama mahu memartabatkan muzik tanah air dan menolak muzik luar.

Mungkin perkara ini sudah biasa didengar, namun Bunkface mengambil tindakan berterus terang melalui barisan lagu yang disampaikan dalam album terbaru mereka, Bunk Not Dead.

Jika sebelum ini lagu Panik pernah diharamkan untuk dimainkan di corong radio milik kerajaan, Bunkface tidak mahu menganggap perkara tersebut sebagai halangan untuk menyatakan suara mereka kepada pendengar.

Menurut vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar, 25, kehadiran mereka kali ini dianggap lebih berani dan tidak berselindung.

"Apa yang cuba kami sampaikan kali ini adalah bersifat terus terang dan kami tidak mahu cakap lagu ini ditujukan kepada sesiapa dan boleh jadi kepada semua orang.

"Tapi kalau ada pihak yang terasa dengan lagu tersebut, sedar-sedar sendirilah.

"Apa yang kami cuba sampaikan ialah mengenai penindasan oleh kuasa besar dan mangsa terhadap keadaan tersebut," jelas Sam bersungguh ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ditanya mengapa mengambil pendekatan sebegitu, Sam menyatakan kini masyarakat terlalu disogok dengan rangkaian lagu cinta yang tidak berkesudahan di pasaran.

"Kami menggunakan muzik kami untuk meluahkan perasaan kepada masyarakat. Apa yang terdapat dalam album itu merupakan isi hati kami.

"Jadi, kami mahu lakukan sesuatu yang berbeza dan tidak pernah orang lain lakukan atau suarakan," tambah Sam.

Rasanya apa yang diluahkan oleh kumpulan Bunkface merupakan masalah bersama yang sememangnya dihadapi oleh semua pejuang dan penggiat muzik tanah air.

Siapa yang tidak sakit hati apabila ada sahaja persembahan yang berskala besar, pasti artis luar yang menjadi pilihan.

Paling hairan, demam dan tsunami Korea bagaikan tidak pernah surut dan dalam masa yang sama turut menenggelamkan kebolehan anak tempatan.

Namun, berapa kerat sangat yang berani bersuara. Silap hari bulan, satu lagu pun tidak dibenarkan ke udara di corong-corong radio.

Mungkin apa yang dikatakan oleh barisan anak muda ini merupakan salah satu suara kebanyakan daripada mereka yang merasa tertindas dalam industri seni tanah air.

Tapi mungkin juga kerana darah muda yang masih panas dan mahukan sesuatu yang dianggap dapat mengembalikan kegemilangan muzik tempatan.

Walau apa pun alasan, tujuannya hanya satu iaitu menaikkan kembali lagu buatan tangan sendiri dan diterima di bumi sendiri.

Malah Sam sendiri mengakui dia berharap agar industri seni tanah air akan kembali seperti sedia kala dan jika boleh mahu pengaruh muzik K-Pop khususnya dapat dikurangkan.

"Kami akan berusaha menaikkan kembali industri muzik tanah air dan kami akan mulakan dengan berperingkat-peringkat.

"Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan persembahan di universiti awam dan juga swasta bagi meneruskan usaha ini.

"Apa yang kami lakukan adalah demi industri muzik tanah air dan kalau boleh, kami mahu menggerakkan semula gig yang pernah mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini," ujar Sam penuh bersemangat.

Apa yang jelas, sebagai pejuang yang mahu menaikkan kembali muzik tempatan, tidak salah kiranya suara anak muda ini diberi perhatian demi menyelamatkan industri yang tidak seberapa.

Nabil tak tinggal sahur

Posted: 28 Jul 2012 10:12 PM PDT

NABIL sibuk sepanjang Ramadan dengan aktiviti seni dan tugasan di konti Suria FM.

TIDAK menafikan dirinya kini sibuk dengan pelbagai tugasan yang hadir, dalam masa yang sama, Nabil Ahmad tidak mahu ketinggalan dalam mengejar rahmat bulan Ramadan.

Apa yang pasti, tahun ini Nabil tidak akan terlepas daripada bersahur kerana dia perlu bersedia pada awal pagi sebelum bersiaran di Suria FM.

"Alhamdulillah tahun ini saya masih berkesempatan menyambut Ramadan dan apa yang pasti, sahur memang tidak akan terlepas.

"Mula-mula dulu memang payah nak bangun awal pagi tapi sekarang sudah okay," katanya yang turut mengakui sedikit sibuk pada bulan mulia ini.

Menurut anak kelahiran Negeri Sembilan itu, dia terlibat dalam pelbagai aktiviti ketika ini namun tidak menganggapnya sebagai bebanan.

"Apabila tiba bulan puasa, biasanya memang kami ada aktiviti seperti berbuka puasa dan juga rakaman raya.

"Ikutkan niat di hati memang nak penuh solat terawih seperti zaman kanak-kanak dulu, tetapi bila ada aktiviti, kadang-kadang terlepas jugalah," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Apa yang pasti, Nabil tidak mahu menjadikan berkat Ramadan kali ini sia-sia begitu sahaja.

Terokai pasaran Filipina

Posted: 28 Jul 2012 10:11 PM PDT

PARA karyawan filem Filipina menyambut baik kedatangan delegasi Gafim sewaktu kunjungan mereka di Makati City, Manila, Filipina baru-baru ini.

PELUANG pasaran drama televisyen dan filem bukan setakat di negara ini semata-mata. Sebaliknya, ia juga boleh diterokai di negara-negara Asia Tenggara seperti Filipina yang mempunyai hubungan lebih erat dari segi sosio politik dan budaya.

Menyedari hakikat itu, Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia (Gafim) mula mengorak langkah dengan membawa ahli-ahli di bawah naungannya ke Manila, Filipina baru-baru ini. Ia salah satu usaha untuk merebut lebih banyak peluang tersebut.

Menurut Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, sudah sampai masanya penerbit dan pembikin drama serta filem tempatan mencari peluang pasaran filem di negara yang mempunyai penduduk berjumlah hampir 100 juta orang itu.

"Dari bilangan rakyat Filipina itu sahaja sudah boleh menggambarkan peluang yang tersedia di sana. Ini adalah kali pertama Gafim melakukan inisiatif ini di mana ia banyak membuka peluang kepada ahli-ahli gabungan ini," katanya kepada Hits selepas majlis itu diadakan.

Dalam rombongan itu, banyak syarikat produksi Malaysia seperti Sheunik Sdn. Bhd. dan NDG Productions yang diwakili Sid Tamrin turut serta merebut peluang tersebut. Beberapa siri kerjasama dua syarikat terbabit dengan para karyawan filem Filipina telah diadakan.

Bukan setakat para penerbit dan pengarah malah wakil-wakil pengedar, stesen televisyen, wakil-wakil media massa serta para karyawan filem Filipina turut hadir menyaksikan detik-detik yang bersejarah itu.

Tiga produk hasil usahasama antara dua syarikat Malaysia itu dengan karyawan filem Filipina telah dimenterai. Dua daripadanya menerusi Sheunik Sdn. Bhd. yang menerbitkan sebuah filem berjudul Ponti'anak: The Malaysian Trial arahan pengarah Filipina, Alvin B. Yapan.

Filem itu seratus peratus akan menjalani penggambaran di Filipina dan hasil usahasama dengan Alemberg Ang iaitu seorang penerbit terkenal di sana menerusi syarikat produksi VYAC Production. Pelakon dari Malaysia juga dijangka berlakon sama.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Sheunik Sdn. Bhd., Richard Ung Kok Kee, selain filem pihaknya turut menjalin kerjasama dalam menerbitkan dokumentari di sana. Antara dokumentari yang akan diterbitkan tidak lama lagi berjudul Nourishing Asian - Rice sebanyak 20 episod membabitkan 10 negara ASEAN.

"Dokumentari Nourishing Asian - Rice ini mempunyai 20 episod dan setiap episod mempunyai durasi sejam. Dua episod itu akan menjalani penggambarannya di Filipina. Untuk itu, kami telah bekerjasama sebuah syarikat produksi Filipina iaitu Voyage Studio arahan Baby Ruthvillerama.

"Tujuan kerjasama ini diadakan ialah bagi memastikan produk-produk kami itu dapat ditayangkan di televisyen dan pawagam di sana. Tanpa adanya kerjasama seperti ini sukar untuk produk-produk kita memasuki pasaran Filipina. Ini adalah peluang kita di sana.

"Melalui cara ini kita memberi peluang pekerjaan kepada para karyawan filem di sana di mana mereka amat mengalu-alukannya. Sebagai balasannya maka barulah produk kita boleh dipasarkan di negara mereka," ujarnya penuh yakin.

Nourishing Asian - Rice bukan setakat membabitkan Filipina malah penggambarannya turut dijalankan di sembilan lagi negara ASEAN. Setiap negara akan menampilkan dua episod di mana penggambarannya akan diadakan di negara-negara terbabit dengan kos keseluruhannya mencecah RM2 juta.

Penerbitan dokumentari dan usahasama itu boleh dianggap sebagai perkongsian pintar kerana apabila siap kelak ia akan ditayangkan di stesen-stesen televisyen setiap negara terbabit. Sheunik Sdn. Bhd. secara tidak langsung telah memasarkan produk mereka di seluruh negara ASEAN.

Selain daripada dua produk itu, NGD Productions iaitu sebuah lagi syarikat produksi Malaysia turut bekerjasama menerbitkan sebuah filem berjudul Petals Pour In Petaling yang mengisahkan tentang kehidupan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur arahan pengarah Filipina, Emerson Reyes.

Pada kunjungan itu, delegasi Gafim turut diwakili beberapa wakil persatuan-persatuan di bawah gabungan itu seperti Zed Zaidi yang mewakili Persatuan Seniman Malaysia, Khir Mohd. Noor (Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia) serta Khalim Rohani (Persatuan Penyiar Malaysia).

Kehadiran mereka sedikit sebanyak membantu Gafim dalam menerangkan iklim perfileman dan dunia penyiaran di Malaysia. Sesi perbincangan dua hala itu turut membabitkan pihak kerajaan Filipina yang menghantar Ketua Pusat Kebudayaan Filipina, Edward Cabagnot.

Menurut Edward, pihaknya mengalu-alukan kunjungan deligasi Gafim itu yang mampu merancakkan lagi industri perfileman dua negara terbabit.

"Lima tahun kebelakangan ini industri perfileman Filipina teruk. 90 peratus pembikin filem di sini adalah golongan pembikin filem bebas dan 10 peratus lagi daripada arus perdana. Kami menerbitkan sekitar 150 buah filem setahun dan 90 peratus adalah filem-filem independent (bebas).

"Kebanyakan pawagam di sini lebih menayangkan filem-filem Hollywood. Ia ekoran kurangnya filem-filem cereka terbitan tempatan. Dengan penduduk seramai hampir 100 juta, bilangan filem cereka yang diterbitkan itu masih belum mencukupi dengan penduduk yang ada.

"Setakat ini filem cereka Filipina yang paling tinggi kutipannya sebanyak RM21 juta menerusi filem Private Benjamin pada tahun lalu. Dengan adanya usahasama hasil usaha Gafim ini, kami harap ia akan memeriahkan lagi industri perfileman di sini," katanya optimis.

Turut diadakan ialah lawatan ke stesen penyiaran terkemuka ABS-CBN di Manila. Pada kunjungan itu pihak stesen televisyen tersebut telah berminat untuk menayangkan filem Libas arahan Jurey Latiff selepas mereka melihat sedutan promo filem yang antaranya dilakonkan oleh Rosyam Nor dan Scha Al-Yahya itu.

Ternyata kunjungan delegasi Gafim yang turut disertai wakil-wakil media massa dari Malaysia dan Filipina itu merupakan titik permulaan kerjasama dalam bidang perfileman di antara dua negara. Delegasi lain akan menyusul lebih banyak lagi selepas ini nanti.

Tulis, terbit buku Islam

Posted: 28 Jul 2012 10:10 PM PDT

Buku-buku hasil penulisan Maizurah sesuai untuk kanak-kanak sekolah.

WAJAHNYA sama, tidak banyak berubah walau usianya sudah mencecah 4 series. Bahasa simbolik berbaur komedi yang sering diguna bagi menggambarkan mereka yang telah berada di usia 40-an.

Seiring kematangan begitu juga tumpuan hidupnya kini. Maizurah Hamzah yang satu ketika dulu adalah aktres dan penyanyi popular yang berasal dari Singapura, kini lebih gemar membicarakan tentang buku hasil penulisannya sebagai fokus utama perbincangan.

Bagi Maizurah, bukan bermakna bidang hiburan dilupakan terus. Cuma dia mahu mencari keseimbangan antara pendidikan dan hiburan. Malah katanya, bidang pendidikan dan hiburan memang sukar dipisahkan terutamanya untuk kanak-kanak pra sekolah.

Perubahan paling ketara ialah pada penampilan ibu kepada empat cahaya mata ini. Beliau kini bertudung dan selesa mengenakan pakaian yang ringkas dan longgar.

Pada pandangan, beliau tetap kelihatan anggun dan sama seperti yang pernah dilihat di kaca televisyen kira-kira 10 tahun dahulu.

Itulah Maizurah yang lebih selesa dengan panggilan Mai. Siapa sangka Maizurah kini penulis dan penerbit buku berkonsep keagamaan khas untuk kanak-kanak prasekolah.

"Sebenarnya saya telah mula menulis buku kanak-kanak sejak 10 tahun yang lalu. Ketika itu anak sulung saya, Zikry Adif Kurnia berusia lima tahun. Memang agak sukar mencari buku bacaan bahasa Inggeris yang sesuai dan menarik untuk anak kecil terutama sekali yang bercorak keagamaan.

"Saya sendiri juga sememangnya gemar membaca dan secara peribadi penggemar buku yang menggunakan ilustrasi menarik dengan warna-warna yang ceria.

"Anak saya pula penggemar komik superhero. Saya terfikir mengapa tidak diterapkan elemen superhero tersebut dalam konsep Islam seperti ucapan bismillah dan zikir yang sudah tentu mempunyai 'kuasa' lebih hebat berbanding superhero barat," jelasnya yang ditemui di Butik Rona Jingga, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejak idea tersebut timbul, Maizurah mula mengumpul bahan malah turut bekerjasama dengan penerbit dan ilustrator bagi memastikan impiannya menjadi kenyataan.

"Buku ini adalah asas sahaja. Saya mahu anak-anak di negara ini mendapat buku yang bercirikan Islam dengan mesej yang baik disampaikan dalam bahasa Inggeris kerana buku jenis tersebut masih belum banyak di negara ini. Saya mahu menambah pilihan ibu bapa yang mahukan bahan bacaan yang baik untuk anak mereka.

"Saya sendiri pernah menjadi guru Bahasa Inggeris untuk anak darjah satu dan dua. Saya dapati ramai anak-anak kita masih belum berkeyakinan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Anak saya juga dulunya tinggal dengan nenek dan datuk yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Apabila bersekolah kurang berkeyakinan untuk bertutur padahal mereka tahu berbahasa Inggeris. Sebab itulah salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak boleh bertutur bahasa Inggeris ialah menerusi pembacaan," jelasnya.

Maizurah berkata, buku yang ditulisnya boleh digunakan untuk aktiviti drama, kemahiran bertutur terutama di tadika yang berkonsepkan montessori.

"Apa yang disentuh dalam buku ini ialah kemahiran asas hidup anak Muslim, kemahiran sosial yang baik, cara pemikiran dan tindakan yang betul. Buku ini terbahagi kepada dua edisi dan setiap satu mengandungi 16 set.

"Ia lengkap dengan warna dan lukisan yang menarik dengan harga yang berpatutan," katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar sukarela di sebuah rumah anak yatim.

Maizurah juga boleh berbangga apabila sebuah tadika Islam di Johor telah bersetuju menggunakan bukunya sebagai salah satu alat bantuan mengajar.

"Saya juga mendaftarkan diri dalam kelas perniagaan, perjalanan untuk menghasilkan buku ini memang panjang, begitu banyak cabarannya.

"Pernah satu masa, buku saya sudah boleh diterbitkan tetapi ilustrator pula menghilangkan diri," katanya.

Akur dengan ketentuan tersebut, Maizurah akhirnya mengambil keputusan menerbitkan sendiri.

"Sekiranya kita mahu membuat satu perubahan maka kita kena betulkan diri kita dahulu kemudian perubahan positif tersebut akan kita kecapi secara perlahan-lahan," jelasnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Menyesal tinggal puasa

Posted: 28 Jul 2012 10:09 PM PDT

umat Islam diwajibkan berpuasa dan tidak boleh ditinggalkan dengan sengaja.

KEHIDUPAN saya sebelum ini agak hanyut dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab terhadap agama. Saya ingin mendapatkan penjelasan ustaz mengenai beberapa perkara tentang hukum puasa yang pernah saya abaikan sebelum ini.

1. Bagaimana saya perlu menggantikan semua puasa yang pernah saya abaikan sebelum ini?

2. Berapa banyakkah fidyah yang perlu saya bayar dan boleh ustaz jelaskan bagaimana nilai fidyah dikira (daripada cupak kepada nilai duit).

3. Adakah fidyah itu perlu saya lakukan setelah saya habis menggantikan puasa saya?

Nazlan, Ampang

JAWAPAN:

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Ta'ala yang telah memberi hidayah-Nya kepada saudara. Semoga Allah mengekalkan nikmat hidayah ini untuk saudara dan juga sekelian umat Islam.

Berkenaan dengan puasa yang diabaikan sebelum ini, dapatlah dikategorikan pengabaian dan peninggalan puasa kepada dua bahagian; pertama, puasa yang diabaikan dan ditinggalkan secara sengaja. Puasa jenis ini tidak boleh diganti sama sekali. Akan tetapi apa yang boleh dilakukan oleh saudara untuk menebusnya adalah bertaubat dengan taubat nasuha iaitu taubat yang benar dan jujur. Taubat nasuha mengandungi empat elemen utama iaitu, pertama; menyesal terhadap dosa besar yang dilakukan. Kedua; berazam untuk tidak mengulangi dosa besar itu. Ketiga; memperbanyakkan amalan-amalan saleh. Keempat; jika dosa besar itu berkaitan dengan manusia, maka hendaklah dipulangkan, atau dimohon maaf, atau ditebus.

Bahagian kedua, puasa yang diabaikan dan ditinggalkan secara tidak sengaja dan mempunyai sebab. Pengabaian dan peninggalan puasa jenis ini boleh diganti. Terdapat dua kategori pengabaian puasa yang boleh diganti. Kategori pertama; puasa yang ditinggalkan dan perlu diganti dengan puasa juga.

Kategori orang yang perlu menggantikan puasa mereka dengan puasa ganti di bulan lain ialah orang sakit yang boleh sembuh dan orang yang mengembara. Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184) yang bermaksud: "Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain."

Kategori kedua; puasa yang ditinggalkan dan perlu diganti dengan fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kategori orang yang perlu menggantikan puasa mereka dengan fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin ialah orang lelaki tua yang tidak mampu berpuasa, wanita tua yang tidak mampu berpuasa, orang sakit yang tidak boleh sembuh, wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan anak. Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184) yang bermaksud: "Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin."

Terdapat riwayat daripada Ibnu Abbas yang menerangkan kategori ini seperti berikut: Riwayat pertama bermaksud: Daripada 'Ata' bahawa dia mendengar Ibnu 'Abbas membaca,"Dan wajib atas orang-orang yang diberatkan puasa (kerana tua dan sebagainya maka mereka tidak mampu berpuasa, {membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin,". Ibnu 'Abbas berkata 'Ayat ini tidak mansukh. "Mereka ialah orang tua lelaki dan wanita yang tidak mampu berpuasa maka mereka memberi makan bagi setiap hari seorang miskin," (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Qaulih Ta'ala 'Ayyaman Ma'dudat...', No. 4145).

Riwayat kedua bermaksud: Daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata, "Dibenarkan untuk orang tua lelaki dan wanita tua yang kedua-duanya mampu berpuasa, untuk berbuka jika mereka ingin, dan memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari itu,". Kemudian perkara itu dimansuhkan dengan ayat ini; "{Maka sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu}. Akan tetapi, perkara ini kekal untuk lelaki tua dan wanita tua jika mereka tidak mampu berpuasa, juga untuk wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak jika kedua-duanya khuatir maka mereka berdua berbuka dan memberi makan satu orang miskin bagi setiap hari,". (Hadis riwayat al-Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Jumu'ah, Bab al-Hamil wa al-Murdi' iza Khafata, No. 7464).

Justeru, puasa yang ditinggalkan dengan sengaja hendaklah dikesali dan dilakukan taubat nasuha. Manakala puasa yang ditinggalkan secara tidak sengaja hendaklah diganti sama ada dengan berpuasa atau dengan memberi makan kepada orang miskin mengikut keterangan di atas.

Berdasarkan kepada keterangan di atas, fidyah atau memberi makan kepada orang miskin adalah untuk orang tua yang tidak mampu berpuasa sama ada lelaki atau perempuan, orang sakit yang tidak dapat sembuh, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya. Kadar fidyah pula adalah dua cupak atau setengah gantang makanan asasi seperti beras, gandum, kurma dan sebagainya, iaitu bersamaan dengan satu setengah kilogram. Boleh juga dibuat satu set makanan lalu diberikan kepada orang miskin pada kadar seorang miskin untuk satu hari yang ditinggalkan. Akhir sekali, tiada dalil yang menunjukkan fidyah itu perlu digandakan berdasarkan kepada kelewatan menggantikannya. Dalam erti kata lain, satu hari hanya perlu diganti dengan berpuasa satu hari atau dengan memberi makan kepada seorang miskin.

Semoga Allah Ta'ala mengampuni kelemahan kita dan menerima amalan saleh yang kita lakukan.

Soalan 2

Salam

Semoga Ustaz berada dalam sihat-sihat di beri Allah. Saya ada dua kemusykilan.

1. Musykil sikit tentang bacaan al-Quran saya yang merangkak-rangkak, hari-hari saya bersungguh ingin membaca dengan betul. Namun sekarang terdapat banyak alat-alat canggih, saya dengar dari situ dan saya ikut cara mereka baca. Bagaimana pandangan ustaz dan dari hadis-hadis Nabi SAW tentang penggunaan alat-alat ini.

2. Saya tidak jumpa hadis yang menyatakan: Sesiapa mati pada malam/pagi jumaat, maka dia bebas daripada soal jawab dan seksa kubur. Benarkah Ustaz?

Sekian, terima kasih

Salam Ramadan Al Mubarak

Pak Ngah

Jawapan Minggu 4 Soalan 1:

Saya amat terharu dengan kesungguhan Pak Ngah membaca al-Quran walaupun merangkak-rangkak. Teringat saya kepada hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda, "Orang yang mahir membaca al-Quran setaraf dengan malaikat yang mulia lagi taat (al-Safarah al-Kiram al-Bararah). Adapun orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersangkut-sangkut dan bersusah payah membacanya, dia akan dapat dua pahala." (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab, Bab, No. 798). Nasihat saya kepada Pak Ngah agar meneruskan usaha mulia ini sehingga akhirnya berdiri setaraf dengan martabat para malaikat.

1. Adapun berkenaan dengan alat-alat canggih yang dijual di pasaran, yang memperdengarkan bacaan al-Quran al-Karim, saya nasihatkan Pak Ngah seperti berikut: Pertama, pastikan alat-alat itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri. Jika diluluskan, maka tiada masalah untuk Pak Ngah menggunanya untuk membantu memperelokkan bacaan al-Quran. Menggunakan alat-alat moden ini termasuk dalam urusan dunia, di mana Rasulullah telah bersabda, "Kamu semua lebih mengetahui tentang urusan duniamu." (Hadis sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab al-Fada'il, No. 2363).

Dengarlah bacaan daripada alat-alat itu, kemudian ikutlah membaca. Kedua, walaupun alat-alat itu mendapat kelulusan KDN, Pak Ngah tetap perlu cuba sedaya-upaya untuk memperbetulkan bacaan al-Quran dengan memperdengarkan bacaan Pak Ngah kepada seorang Ustaz yang berkemahiran dalam ilmu tajwid. Ini kerana, alat-alat itu hanya dapat memperdengarkan bacaan dan tidak dapat mengenal pasti kesilapan bacaan kita. Buatlah perkara yang kedua ini walaupun seminggu sekali.

2. Hadis yang dicari oleh Pak Ngah itu bermaksud, "Tiada seorang muslim pun yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali dia akan diselamatkan oleh Allah daripada fitnah/azab kubur." Hadis ini diriwayat oleh al-Imam at-Tirmizi dalam al-Sunah, Kitab al-Jana'iz, Bab Ma Ja'a fi Man Mata Yaum al-Jumu'ah, No. 1074. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad, di dalam Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 6546. Status hadis ini dipertikaikan oleh para ulama. Ada yang menghukumnya daif dan ada yang menghukumnya hasan. Saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa hadis ini adalah berstatus hasan. Justeru hadis ini dapat dijadikan sandaran dalam memberi berita gembira bagi orang Islam yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Semoga Allah Taala mengurniakan kepada kita husnul khatimah atau kematian yang baik, dan menyelamatkan kita semua daripada azab kubur dan juga azab neraka.

Hidup bersederhana

Posted: 28 Jul 2012 10:08 PM PDT

ISLAM adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sifat sederhana ini mencerminkan kemurnian iman dan kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga yang tidak terhitung banyaknya.

Sesuai dengan falsafah dan hikmah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah. Melaluinya secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah dan bilangan kekerapan makan dan minum secara teratur. Lantaran itu, perbelanjaan seharian akan lebih berhemat dan selamat daripada membazir atau boros.

Islam juga amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar sederhana dalam berbelanja terutama di bulan Ramadan. Bulan puasa sewajarnya mendidik umat Islam supaya menahan nafsu mata dan nafsu perut agar tidak boros berbelanja. Sifat dan amalan sederhana dalam makan dan perbelanjaan sangat digalakkan oleh Islam kepada umatnya.

Sempena Ramadan lagi sudah terdapat pelbagai tawaran harga murah dan juadah dijual di bazar Ramadan yang menguji iman. Sifat sederhana adalah sifat hamba-hamba Allah yang dekat dengan-Nya. (rujuk al-Furqan: 67)

Jelaslah sifat sederhana ini amat dititikberatkan dalam kehidupan umat Islam. Seseorang yang bersifat sederhana tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus dibantu.

Jadikan kesederhanaan sebagai cara hidup yang baik dan sihat. Tidak akan melarat sesiapa sahaja yang mengamalkan cara hidup yang sederhana.

Melalui sifat kesederhanaan akan lahirlah rasa syukur, sabar, tawakal dan insaf di hati seseorang. Sifat-sifat ini juga banyak membawa kebahagiaan hidup kepada pengamal sifat ini terutama dalam suasan ekonomi meleset dan harga barang melambung tinggi.

Cerdik pandai Islam pernah berkata, kesenangan hati dan ketenangan jiwa adalah lebih berharga daripada kesenangan kerana pangkat dan kekayaan yang melimpah ruah. Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.

Oleh itu, carilah kesenangan hati dan ketenangan jiwa di bulan Ramadan dengan mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja. Godaan nafsu mata seperti kata peribahasa, 'rambang mata' ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi mengelakkan pembaziran. Belilah barang atau makanan yang perlu sahaja supaya tidak melakukan pembaziran.

Imam Abu Hanifah pernah berkata, sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang diperoleh dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian menimbulkan penyesalan.

Sikap sederhana ini ditekankan apabila barangan menjadi berkurangan sewaktu musim kemarau dan kelaparan. Inilah yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s., yang telah mengurangkan penggunaan barangan sepanjang tujuh tahun yang subur untuk disimpan buat menghadapi musim kemarau. (rujuk Yusuf: 47).

Dalam hal hidup sederhana Nabi SAW bersabda: "Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk bermegah-megah." (riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Vita asnaf bertuah

Posted: 28 Jul 2012 10:07 PM PDT

Kesabaran dan kecekalan Vita Kamis akhirnya terbalas apabila perniagaan beliau terus berkembang dan semakin mendapat permintaan ramai.

WAJAHNYA sering terpapar di mana-mana iklan zakat. Di papan iklan besar pinggir jalan, di Internet malah di dada akhbar. Senyumannya penuh bangga. Seakan-akan mahu menggambarkan betapa teruja hati membina masa hadapan dengan bantuan zakat.

Lalu, pertemuan diatur demi mendengar sendiri kisah di sebalik tabir. Rasanya, hampir tidak cukup ruangan ini buat menyingkap segala kenangan silam milik empunya diri.

"Jujurnya, sepanjang hidup, saya tidak pernah merasai nikmat kesenangan apatah lagi kemewahan. Sebutlah, apa lagi kesusahan dan penghinaan yang tidak pernah saya lalui. Dipandang rendah kerana bertemankan sebuah kereta buruk yang layak dikitar semula, menjual nasi lemak dan air soya. Pernah dihalau daripada berniaga dan banyak lagi.

"Semuanya adalah rempah-ratus yang amat mahal bagi saya. Ia akan saya simpan sebagai azimat buat selama-lamanya," demikianlah secoret keperitan hidup Vita Kamis, 43, yang menjadi tamu Jejak Asnaf buat kali ini.

Katanya, dahulu dia bekerja sebagai budak penghantar di sebuah syarikat perkapalan sebelum diterima menjadi kerani akaun di sebuah syarikat saham.

"Kala itu ekonomi negara tidak begitu baik, syarikat itu goyah. Dalam masa yang sama, saya dinasihatkan oleh seorang ustaz agar mencari pekerjaan yang lebih baik, halal dan barakah. Masakan tidak, syarikat itu menjalankan perniagaan yang syubhah. Demi mencari jalan keberkatan, saya pun mengundurkan diri," jelas Vita mengimbau kenangan kira-kira 20 tahun lalu.

Vita mula berniaga dengan dibantu isteri, Haslian Buang, 39. Dengan sedikit modal, dia membeli sebuah kereta terpakai yang amat daif. Dengan modal yang ada itu jugalah Vita mencuba menjual nasi lemak.

"Biasalah, orang miskin selalunya dipandang sebelah mata. Maka, demi mengelakkan rasa malu, saya dan keluarga jarang pulang ke kampung. Biarlah kesusahan itu kami lalui sendiri, walau rindu sentiasa bertamu di hati," ujar Vita penuh emosi.

"Sehinggalah ke tahun 2006, saya disapa oleh seorang pegawai zakat. Waktu itu saya sudah beralih menjual air soya. Saya berhajat untuk memohon bantuan daripada pihak zakat, lalu pegawai itu mencadangkan agar saya dibanci.

"Ternyata, saya layak untuk disenarai sebagai asnaf dan dengan itu jugalah saya layak dibantu dengan segera," jelas bapa kepada tiga anak antara usia lapan hingga 16 tahun itu.

Ternyata, mentari yang teriknya redup dilitup awan menjadi cerah kembali dipuput angin yang bertandang.

Perkenalan Vita dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak sia-sia, kerana dari situlah bermulanya kejayaan dalam sejarah hidupnya.

"Setelah dibantu oleh LZS, saya terfikir jualan air soya saya yang kurang memberangsangkan perlu diubah.

"Setelah berbincang dengan isteri, kami bercadang mencari sesuatu yang lebih menguntungkan lalu terbitlah idea menjual rojak dan tahu bakar pula. Mulai saat itulah, di samping berjualan air soya dan rojak, saya sentiasa mencari dan mencuba resipi baru untuk kuah rojak saya itu.

"Bayangkan, hampir setahun saya mencuba dan terus mencuba dengan pelbagai bahan. Sehinggalah ke suatu hari, pelanggan-pelanggan rojak kami memberitahu kuah rojak yang kami sediakan amat sedap dan berbeza rasanya dengan kuah-kuah rojak lain yang biasa terjual di pasaran.

"Maka, mulai saat itulah, kami serius menjual rojak dengan kuah resipi rahsia kami itu," tambah Vita.

Kemahiran pengantara

Posted: 28 Jul 2012 10:05 PM PDT

Pengantara diuji daripada pelbagai aspek dalam kemahiran komunikasi. - Gambar hiasan

SECARA kebiasaannya, pengamal undang-undang menjalani latihan sebagai pengantara bagi membantu menyelesaikan masalah yang berbangkit tanpa perlu melalui proses mahkamah.

Melalui pendedahan terhadap proses pengantaraan, seseorang akan memahami bahawa ia adalah salah satu pilihan yang wujud dalam menyelesaikan pertikaian. Ia boleh digunakan dan tidak terikat dengan proses mahkamah.

Pengantaraan boleh digambarkan sebagai salah satu cabang pengetahuan yang berurusan dengan pelbagai bentuk kemahiran komunikasi. Kemahiran-kemahiran komunikasi yang diperlukan oleh seorang pengantara adalah sangat berbeza dengan seorang peguamcara, penimbangtara atau yang setara dengannya.

Pengantara tidak seperti peguamcara dan penimbangtara yang kes perlu dibentangkan di mahkamah yang menatijahkan satu pihak menang dan satu pihak lagi kalah.

Ini adalah satu proses membantu pihak yang bertelagah berkomunikasi antara satu sama lain agar mencapai persetujuan yang diingini selari dengan kehendak mereka.

Disebabkan perbezaan tujuan yang ingin dicapai oleh proses mahkamah, timbangtara dan pengantara, maka laras bahasa dan beberapa istilah yang digunapakai dalam mahkamah dan timbangtara tidak boleh digunapakai dalam proses pengantara.

Bahasa yang digunapakai juga perlu diolah dan mencerminkan keperluan seorang pengantara untuk memiliki minda psikologi yang tepat dalam menjalankan proses perundingan. Jika seorang pengantara tidak dapat memenuhi aspek asas itu, maka ia tidak akan berjaya.

Penggunaan bahasa yang tidak sesuai mungkin akan mengakibatkan pihak yang terbabit merasa dihukum, dinasihati, dicadangkan, diarahkan, dipaksa, dipengaruhi atau apa-apa unsur negatif.

Ini akan menyebabkan proses terhenti seterusnya gagal mencapai objektifnya. Jika itu berlaku ia bertentangan dengan serta sifat pengantaraan itu sendiri iaitu persetujuan secara sukarela.

Oleh itu, pengantara diuji daripada pelbagai aspek dalam kemahiran komunikasi. Pengamal undang-undang yang berusaha untuk menjalankan mediasi tanpa meneliti aspek-aspek asas mediasi akan mendapati diri mereka tersasar daripada proses sebenar seperti mana ia sepatutnya dijalankan. Natijahnya keputusan yang diingini tidak diperolehi.

Proses pengantaraan bukan perkara baru. Malah mereka yang tidak berlatarbelakangkan undang-undang juga berupaya menjadi pengantara yang baik. Ini disebabkan mereka tidak cenderung menilai setiap situasi daripada perspektif undang-undang.

Pihak-pihak yang terbabit diberi lebih kebebasan dengan pelbagai pilihan. Oleh itu mereka tidak terperangkap dalam dilema undang-undang. Antara lainnya, untuk menentukan yang mana hak dan kepentingan dalam melaksanakan penyelesaian mereka sendiri.

Seorang peguam bagaimanapun secara umumnya arif dan peka akan perkara terbaik untuk pihak yang diwakilinya menyebabkan tumpuan diberikan kepada hak dan bukan keperluan.

Jaga adab berpuasa

Posted: 28 Jul 2012 10:04 PM PDT

HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: "Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan."

Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.

Ulama Salaf berkata: "Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa."

Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.

Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).

Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.

Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.

Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.

Jangan siakan Ramadan

Posted: 28 Jul 2012 10:03 PM PDT

kemuliaan Ramadan janganlah dicemari dengan berlebih-lebihan dalam soal penyediaan makanan. - Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH, syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita telah dianugerahkan sekali lagi kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadan. Ia seumpama tempat persinggahan sementara yang mempunyai timbunan rahmat dan kasih-sayang daripada Allah SWT, sebelum kita meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi.

Seorang cendekiawan Islam pernah berkata bahawa hidup ini umpama perjalanan sebuah kereta api. Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.

Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan kali ini. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.

Berapa ramai di kalangan orang yang rapat dengan kita tidak sempat bersama-sama dengan kita pada Ramadan hari ini. Mereka mungkin berbuka puasa dan menunaikan solat terawih bersama kita pada Ramadan yang lalu, namun malangnya mereka sudah tidak berkesempatan untuk bersama-sama dengan kita pada kali ini.

Mereka yang sedang membaca tulisan ini perlu merasa bertuah dan beruntung kerana dipilih oleh Allah SWT sekali lagi untuk menggarap sebanyak mungkin pahala yang disediakan oleh Allah SWT.

Pepatah Melayu ada menyebut; "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna." Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan kita sebelum ini. Allah SWT sengaja menyebutkan beberapa ayat yang menjelaskan penyesalan mereka yang mensia-siakan kehidupan di dunia ini.

Antaranya ialah firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (al-Sajadah: 12)

Dan firman Allah SWT: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi. Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai "tarikh luput"nya yang tersendiri.

Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya dengan LIMA perkara; tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan, tentang hartanya dari mana datangnya, ke mana dibelanjakan harta tersebut dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya. (riwayat Tirmidzi).

Beg tangan warnai raya

Posted: 28 Jul 2012 10:02 PM PDT

Pelbagai jenama beg tangan yang diperagakan kepada pelanggan diperagakan oleh Atilia dan Sazzy Falak (kanan).

SEKIRANYA anda penggemar beg tangan berjenama dan ingin memilikinya tetapi tidak tahu tempat yang hendak dituju, Reebonz menjemput anda meraikan musim perayaan yang akan datang.

Dengan rekaan warna-warni di jualan hari lebaran buat pertama kalinya di Malaysia, tujuan utamanya untuk memberikan yang terbaik buat pelanggan.

Ia bagi meraikan kemeriahan musim perayaan terutamanya masyarakat Melayu yang pasti bergaya dengan beg tangan Reebonz.

Jenama beg tangan terkenal itu merupakan destinasi dalam talian eksklusif di Indonesia, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan dan Malaysia di mana pelanggan boleh mendapatkan barangan mewah tersebut dengan harga berpatutan menerusi acara jualan murah dalam taliantertutup yang berlangsung selama dua hingga tiga hari sahaja.

Menurut Pengurus Besar Serantau bagi Malaysia dan Timur Tengah, Sean Oh, acara tersebut bagi membolehkan pihaknya memberikan pilihan jenama yang lebih banyak kepada pelanggan dan memastikan produk yang ditawarkan sentiasa baru dan terkini.

Berhubung dengan jualan hari raya, ia merupakan acara istimewa yang akan berlangsung selama dua hari di Malaysia.

Majlis memperagakan beg tangan itu baru-baru ini turut dihadiri oleh artis terkenal Atilia dan Sazzy Falak.

Antara jenama beg tangan yang ditawarkan ialah Balenciaga, Burberry, Coach, Gucci, Prada dan Vintage Chanel.

Classic Glam Raya

Posted: 28 Jul 2012 10:00 PM PDT

KLasik namun menawan.

"BERSESUAIAN dengan temanya Classic Glam, koleksi Aidilfitri pada kali ini menampilkan kelainan dari segi rekaan, jenis fabrik dan perincian bagi setiap helai baju mahupun skirt tetapi masih tidak lari dengan kehendak trend terkini yang menampakkan gabungan idealistik budaya tradisi yang menonjolkan keayuan di hari lebaran nanti," katanya.

Tambahnya, di antara yang ditonjolkan oleh rekaannya adalah baju-baju yang mempunyai unsur-unsur tradisional dan diberi nafas moden.

"Rekaan kegemaran seperti kurung moden, kurung Kedah, kebaya jarang masih dikekalkan di samping rekaan terbaru seperti top potongan peplum yang ditampilkan di dalam koleksi Classic Glam ini.

"Penggunaan fabrik-fabrik bercorak seperti polka dot, jalur, berbunga broked menampakkan elemen klasik yang cuba ditonjolkan. Kepelbagaian tekstur pada skirt juga dititikberatkan dengan elemen pergerakan yang sangat menarik dalam koleksi kali ini," katanya.

Tambahnya lagi, keistimewaan rekaan pakaian koleksi kali ini dapat dilihat melalui ketelitian dan kekemasan jahitan serta kepakaran dalam menggunakan elemen-elemen forte zery seperti manik dan tatahan butiran kristal swarovski yang tidak terlalu sarat pada setiap rekaan.

"Penggunaan fabrik yang glamor dan sofistikated juga digunakan ke dalam koleksi raya kali ini seperti fabrik sequin , sutera organza, sutera shantung, sutera syifonchiffon, renda Perancis dan sutera satin. Selain itu, perincian seperti bow, tussel dan sequin banyak menatari koleksi Classic Glam ini," katanya.

Beliau berkata, teknik-teknik yang digunakan menerusi buatan tangan yang halus atau couture seperti drapping, pleats, patching, tulle- gathering, sulaman manik dan juga sulaman berbentuk bunga ros hitam dan putih di dalam rekaannya.

"Koleksi ini akan memberi sentuhan kelainan yang lebih moden, seksi dan elegan kepada si pemakai. Ia juga sesuai digayakan ke rumah-rumah terbuka dan majlis-majlis formal ketika di bulan Syawal nanti.

Beliau berkata, antara golongan sasaran ialah wanita yang berkerjaya, golongan ternama dan artis-artis tempatan yang mahukan kelainan dan ingin tampil berani dalam berfesyen. Koleksi ini turut digayakan oleh selebriti, Natasha Hudson dan Sabhi Saddi.

Koleksi Classic Glam Raya akan membawa si pemakainya untuk menjiwai rekaan glamor, moden dengan elemen tradisi Melayu di hari lebaran nanti.

Harga untuk koleksi ini bermula dari RM2,000. Untuk keterangan lanjut, sila e-melkan kepada zerry84@yahoo.com atau http:// zeryzamry.blogspot.com.

Hotel Zenith tawar pakej lengkap Ramadan

Posted: 28 Jul 2012 09:58 PM PDT

SEBANYAK 30 gerai dibuka bagi memeriahkan Bazar Ramadan di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang.

RAMADAN di Hotel Zenith bukan hanya terhad kepada juadah berbuka puasa, sebaliknya hotel lima bintang yang semakin kukuh membina nama di Pahang dan Pantai Timur itu menyajikan pakej lengkap yang jarang ditawarkan oleh kebanyakan hotel lain di negara ini.

Bermula dari pakej bilik yang ditawarkan pada harga istimewa dan pelbagai pilihan lauk-pauk tempatan dan antarabangsa untuk bufet Ramadan, Hotel Zenith yang terletak di Kuantan, Pahang itu turut mengadakan Bazar Aidilfitri bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Ramadan.

Pada tahun ini, hotel tersebut mengadakan Bazar Aidilfitri selama sebulan mulai 21 Julai lalu dengan lebih 30 gerai menjual pelbagai kelengkapan hari raya.

Bazar yang bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam itu menjual pelbagai barangan seperti aneka jenis biskut raya, pakaian, aksesori dan kasut.

Terletak di tingkat tiga hotel itu, bazar tersebut dibuka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain jualan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, terdapat juga pameran yang dikendalikan beberapa agensi kerajaan, antaranya KPDNKK dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Apa yang menarik, terdapat pameran karya seni bertemakan Gaza oleh seorang pelajar iaitu Muhamed Izzfahan Bukhary Izat Bukhary, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan.

Pengarah Urusan hotel tersebut, Khoo Eng Seng berkata, bazar ini dibuka selepas mendapat sambutan positif daripada orang ramai pada tahun lalu.

"Pihak kami membuka bazar ini untuk memberi kemudahan kepada tetamu bagi membeli barang keperluan hari raya di sini," katanya kepada S2.

Menurutnya, selain daripada bazar, pihaknya turut menyediakan bufet Ramadan dengan bayaran sebanyak RM85 bagi dewasa dan RM42.50 untuk kanak-kanak.

Beliau juga berkata, pengunjung berpeluang menikmati lebih daripada 100 jenis juadah yang disediakan berasaskan hidangan tradisi Melayu dan antarabangsa.

"Antara hidangan istimewa kami adalah gulai kawah, nasi beriani kambing, bubur lambuk dan teh tarik badam.

"Kesemua ini pasti membawa pengalaman menikmati makanan kampung kepada pengunjung. Kami yakin sajian ini dapat memuaskan cita rasa pengunjung memandangkan pelbagai juadah disediakan," katanya.

Sambil menikmati juadah berbuka puasa katanya, pengunjung akan dihiburkan dengan alunan muzik nasyid dari kumpulan nasyid yang dijemput khas untuk menghiburkan mereka.

Sepanjang Ramadan ini juga, kadar bilik ditawarkan pada harga yang lebih rendah iaitu RM199 semalam bagi bilik jenis Deluxe.

Kesemua bilik dilengkapi dengan televisyen skrin rata dengan siaran stesen berbayar, Internet dan kemudahan telefon panggilan antarabangsa (IDD).

Promosi yang bermula dari 21 Julai sehingga 18 Ogos itu turut memberi peluang kepada tetamu hotel menikmati bufet Ramadan pada harga RM75.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories