RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sony perkenal PlayStation 3

Posted: 19 Sep 2012 10:22 PM PDT


PLAYSTATION 3 dipamerkan pada satu sidang media di Tokyo, semalam. Sony Corp. menyatakan gajet terbaharunya itu adalah lebih kecil, nipis dan ringan.


TOKYO - Syarikat pengeluar barangan elektrik, Sony Corp. memperkenalkan gajet permainan videonya iaitu PlayStation 3 (PS3) yang lebih kecil, nipis dan ringan menjelang cuti akhir tahun nanti.
Langkah itu dilakukan sebagai persediaan untuk menangani saingan yang semakin sengit daripada telefon pintar.
Pengumuman itu dibuat semalam, sehari sebelum menjelang acara tahunan Tokyo Game Show yang akan dihadiri oleh pencipta-pencipta permainan video bersama produk masing-masing.
Model terbaharu PS3 itu mempunyai saiz yang hampir sama dengan sebuah komputer riba dan separuh lebih kecil berbanding saiz model asal yang diperkenalkan pada tahun 2006.
Model terbaharu itu ditawarkan dengan dua pilihan cakera keras dalaman lebih besar iaitu 500 gigabit dan 250 gigabit berbanding model sedia ada iaitu 320 dan 160 gigabit.
Pelancaran global akan bermula pada 25 September di Amerika Utara menerusi versi PS3 yang memiliki kapasiti cakera dalaman 250 gigabait. Gajet itu dijual pada harga AS$269 (RM823) seunit.

Jerman larang penggunaan Internet Explorer

Posted: 19 Sep 2012 10:21 PM PDT

FRANKFURT - Pihak berkuasa Jerman kelmarin menggesa orang ramai supaya berhenti melayari internet menggunakan pelayar web Internet Explorer milik Microsoft Corp.
Gesaan itu dibuat berikutan penemuan satu lagi virus dalam pelayar web tersebut yang menyebabkan komputer peribadi terdedah kepada serangan penggodam.
Masalah yang menjejaskan beratus-ratus juta pengguna Internet Explorer di seluruh dunia itu dikatakan timbul pada pada hujung minggu lalu.
Menurut Microsoft, penggodam boleh mengeksploitasi virus untuk menggodam komputer seseorang yang melayari satu laman web yang mengandungi virus, sebelum mengambil alih komputer mangsanya.
Pejabat Persekutuan Keselamatan Maklumat Jerman (BSI) menyatakan bahawa pihaknya sedar mengenai sasaran serangan tersebut.
"Virus yang tersebar dengan pantas itu amat membimbangkan," kata pihak berkuasa Jerman dalam satu kenyataan.
BSI menasihati semua pengguna Internet Explorer supaya menggunakan pelayar web alternatif sehingga Microsoft Corp. mengeluarkan satu perkembangan mengenai keselamatannya.

Pembedahan pertama pemindahan rahim ibu kepada anak di dunia

Posted: 19 Sep 2012 08:38 PM PDT



TIGA daripada lebih sepuluh pakar bedah yang melakukan
transplan rahim ibu kepada anak perempuan di Sweden. Dari kiri: Andreas G Tzakis, Pernilla Dahm-Kähler dan Mats Brannstrom.


STOCKHOLM - Sepasukan doktor di Sweden berjaya melakukan pembedahan pemindahan rahim daripada ibu kepada anak perempuan yang pertama di dunia, kata satu pasukan perubatan kelmarin.
Universiti Gothenburg menyatakan, dua wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an menerima rahim daripada ibu mereka dalam pembedahan di Hospital Sahlgrenska, barat Sweden pada hujung minggu lalu.
Identiti mereka tidak didedahkan.
"Lebih sepuluh orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk prosedur tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam pembedahan sukar ini," kata ketua pasukan pakar bedah berkenaan, Mats Brannstrom.
Beliau merupakan seorang profesor Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Gothenburg.
Menurutnya, rahim seorang wanita itu telah dibuang bertahun-tahun lalu akibat kanser servik. Sementara wanita kedua pula dilahirkan tanpa rahim.
" Kedua-dua pesakit yang menerima rahim baharu berada dalam keadaan baik tetapi penat selepas menjalani pembedahan. Ibu mereka sudah boleh berjalan dan akan dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lagi," jelas Brannstrom.
Pihak universiti berkenaan memberitahu, dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 wanita di Sweden tidak dapat mengandung kerana ketiadaan rahim.
Pasukan perubatan tersebut memberitahu, kualiti rahim dikawal oleh ovari dan hormon di dalam badan manusia. Berdasarkan teori tersebut, mereka menjelaskan, rahim wanita yang sudah mengalami menopaus boleh menampung kehamilan.
Seorang penerima rahim tersebut yang dikenali sebagai Anna berkata, dia memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula fungsi badannya seperti wanita lain.
"Satu perasaan hebat kerana dapat merasai pengalaman ini (mempunyai rahim)," katanya dalam komen yang disiarkan di laman web Hospital Sahlgrenska.
Menurutnya, tiada jaminan dia dan teman lelakinya akan dapat menimang cahaya mata selepas prosedur tersebut.
"Namun, kami ada peluang yang baik. Jika saya hamil, ia adalah bonus buat kami," katanya.

Filem indie uji kreativiti Alex

Posted: 19 Sep 2012 08:37 PM PDT



DIIKTIRAF sebagai rancangan paling popular di Amerika Syarikat dan mempunyai sejarah yang panjang sejak ia mula ditayangkan pada 11 Oktober 1975, Saturday Night Live (SNL) sudah menjadi sebahagian daripada hidup Alexander Buono.
Alexander atau mesra disapa Alex sudah 14 tahun berkecimpung sebagai individu belakang tabir bagi memastikan program hiburan lewat malam terulung di negara Uncle Sam itu berjalan lancar.
Bermula sebagai kru biasa, kini Alex, 38, boleh berbangga bergelar Pengarah Fotografi Unit Filem di SNL yang sentiasa mencatat ranking tertinggi apabila disiarkan secara langsung pada setiap malam Sabtu di AS.
"Rancangan SNL sudah berusia 38 tahun. Ironinya, ia sebaya dengan saya. Sudah pasti saya gembira dan bangga dengan pencapaian ini," ujar Alex ringkas ketika ditemui selepas selesai Bengkel Canon Cinema EOS System - Television Production di Tropicana Golf Club & Country, Petaling Jaya baru-baru ini.
Selain bersama SNL, Alex juga merupakan pengarah seni sepenuh masa untuk filem-filem indie dan banyak menghasilkan video muzik.
Menyelusuri perjalanan kehidupan pemuda kelahiran Portland, Oregon itu, banyak perkara yang dikongsi beliau terutamanya kisah zaman kecilnya. Menurut Alex, membesar dengan filem-filem Hollywood seperti Star Wars dan ET membuatkan dirinya memasang cita-cita untuk menjadi penerbit filem.

ALEX (duduk tengah) bersama kru unit filem Saturday Night Live yang merupakan figura belakang tabir program tersebut.


Beliau juga antara peminat tegar pengarah tersohor, Steven Spielbierg, yang dianggap sebagai idolanya untuk mencapai kejayaan dalam bidang seni.
"Selain Spielberg, saya turut mengagumi penerbit filem bebas (indie) seperti Michael Man, Alexander Bair dan Jason Wright yang sentiasa gigih dalam berkarya," tutur Alex lagi.
Tambah beliau, ketika zaman sekolah, kamera sentiasa berada di tangannya. Apa juga yang dilihat di persekitaran pasti tidak lepas daripada rakaman lensa.
Kemudian, Alex akan menulis berkaitan gambar yang dirakam dan cuba menghasilkan video sendiri. Minatnya yang mendalam terhadap kamera dan dunia fotografi membuatkan Alex sanggup berhijrah ke Los Angeles pada tahun 1991.
Semua itu dilakukan semata-mata untuk menyambung pengajian di Sekolah Seni Sinematik University Of Southern California dalam jurusan Produksi Filem dan Fotografi bagi menimba ilmu sebanyak mungkin.
Kumpul ilmu
Tahun-tahun awal pascakolej Alex telah dihabiskan bersama kru kamera di studio termasuklah untuk penghasilan filem Twister, Conspiracy Theory dan Armageddon. Beliau banyak belajar daripada pengarah seni terkenal American Society of Cinematographers (ASC) dan mentor peribadi seperti Conrad Hall, Don Burgess, Dean Cundey dan John Schwartzman.
Pengalaman yang diperoleh tidak disia-siakan. Semangat dan kesungguhan Alex dalam berkarya dan mengejar impian ternyata ada balasannya.
Pada tahun 2003, Alex menerima pencalonan Oscar bagi filem pendek Johny Flynton yang dihasilkannya. Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi menjadi pengarah seni dan penerbit bersama untuk filem indie, Green Street Hooligans yang dibintangi Elijah Wood, Charlie Hunnam dan Claire Forlani.
Filem tentang geng subbudaya dan isu keganasan dalam sukan bola sepak di London itu berjaya memenangi Hadiah Utama Juri dan Anugerah Penonton di Festival Filem South By Southwest pada tahun 2005.
Rentetan daripada itu, Alex meneruskan minatnya dengan menulis dan merakam dokumentari Bigger Stronger Faster. Ia telah disiar dalam Festival Filem Sundance 2008 dan dipilih oleh Magnolia Pictures untuk diedarkan di seluruh dunia.

GREEN STREET HOOLIGANS lakonan Elijah Wood (kanan) dan Charlie Hunnam yang memaparkan kisah konflik fanatik bola sepak di London merupakan salah satu filem indie yang dihasilkan Alex.


"Bagi saya, penghasilan sesebuah filem bukan seperti projek sains. Jadi, lakukan mengikut apa yang anda mahu dan jangan takut dengan kegagalan.
"Namun, memegang peranan sebagai pengarah seni bukan satu tugas yang mudah. Anda perlu bekerja keras untuk memenuhi kehendak skrip dan pengarah. Jadi, aspek kreativiti amat diperlukan," jelasnya.
Mengakui dirinya bertuah kerana kerjaya seni turut disokong isteri tercinta, Alex dalam nada bergurau memberitahu: "Isteri saya, Tamsin Rawady ialah seorang produser filem. Berada dalam aliran yang sama membuatkan kami serasi berdua. Bayangkan ketika di atas katil pun, kami masih lagi berbincang tentang filem."
Pasangan bahagia itu bakal menyambut kelahiran anak sulung mereka penghujung September ini.
Teknologi terbaharu
Pada tahun 2009 iaitu musim ke-10 Alex bersama SNL, berjaya mencatatkan satu lagi penanda aras dalam kerjayanya apabila format lensa refleks tunggal digital (DSLR) digunakan buat kali pertama.
Sepanjang musim tersebut, beliau merakam slot parodi komersial menggunakan kamera Canon 5DmII dan 7D. Alex kemudian meneruskan eksperimen dengan kamera DSLR sebagai Unit Kedua DP bagi drama bersiri Detroit 187 untuk tayangan di saluran ABC.

LAMAN web Alex memaparkan tentang pelbagai karya seni yang telah dihasilkan sepanjang kariernya termasuk filem dan klip video.


Tidak ketinggalan, Alex turut menghasilkan drama bersiri saluran NBC bertajuk Chicago Fire menggunakan format DSLR.
Di samping itu, Alex merakam debut rangkaian produk baharu Canon C300 untuk parodi komersial SNL. Beliau terus menggunakan kamera tersebut untuk tugasan dalam rancangan popular itu yang kini memasuki musim ke-14.
"Teknologi yang ada semakin canggih. Secara teori tidak mustahil untuk seseorang itu menghasilkan filem menarik dan berkualiti dengan hanya menggunakan kamera kecil. Apa yang penting, anda harus berani mencabar diri.
"Produk DSLR memberi peluang kepada pembuat filem muda untuk menghasilkan karya filem terbaik. Kini, anda sudah tidak mempunyai alasan untuk menolaknya. Ternyata, ia satu perkara yang mengujakan untuk diterokai," ungkap Alex.
Alex merupakan ahli International Cinematographer's Guild, International Documentary Association dan Writer's Guild of America.
Beliau kini menetap di Venice, California dan sentiasa berulang-alik ke New York setiap minggu untuk menjayakan rancangan SNL. Alex juga giat menulis dan menghasilkan klip-klip video untuk syarikat produksi miliknya, Third Person.
Untuk maklumat lanjut mengenai Alex, layari laman web www.alexbuonoreel.com.

Kampus mesra golongan cacat pendengaran

Posted: 19 Sep 2012 08:36 PM PDT


UNIVERSITI Gallaudet meneroka pelbagai kajian baharu untuk memberi lebih keselesaan kepada golongan orang kelainan upaya.


PEMAIN bola sepak, Tony Tatum menerima tepukan gemuruh daripada penonton, namun agak pelik kerana tiada bunyi tepukan yang kuat boleh didengari. Sebaliknya, anda hanya boleh melihatnya.
Penonton kelihatan menggoyang-goyangkan tangan mereka di udara sebagai tanda penghargaan kerana Tatum dan mereka yang hadir berkomunikasi dengan bahasa isyarat.
Tatum mengalami kesukaran mendengar dan mengikuti pengajian di Universiti Gallaudeti itu iaitu institusi pengajian tinggi yang menawarkan program khas untuk golongan pekak.
Kampus itu terletak di kawasan menghijau di Amerika Syarikat(AS). Piagam institusi itu mendapat perkenan Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1864. Ia direka khas untuk golongan yang berinteraksi menerusi bahasa isyarat.
Contoh kemudahan terkini ialah bilik asrama Tatum iaitu di bangunan canggih bernilai RM64 juta yang terdapat 175 katil di situ.
"Ia sangat sesuai untuk golongan pekak," kata Tatum.
Apa yang membuatkan Living and Learning Residence Hall 6 begitu inovatif adalah ia direka berdasarkan prinsip DeafSpace.
"DeafSpace adalah terma yang digunakan di universiti ini untuk merujuk pembinaan, reka bentuk bangunan dan ruang yang kondusif untuk golongan pekak," kata Hansel Bauman, pengarah bagi reka bentuk dan perancangan kampus Gallaudet.

BANGUNAN asrama khas yang dikenali sebagai Living and Learning Residence Hall 6 dibina dengan konsep mesra golongan cacat pendengaran.


Mesra pengguna
Lawatan ke bangunan lima tingkat itu mendapati ia mesra pengguna dan moden, malah memenuhi keperluan keselamatan bagi golongan tersebut seperti amaran bahaya yang dipaparkan secara visual.
Perkara yang ketara pada binaan bangunan itu adalah kemasukan cahaya menerusi tingkap yang besar bagi tujuan mengurangkan silau.
Kawasan terbuka yang luas dan dinding boleh ubah serta mempunyai roda, membolehkan kumpulan orang pekak mengambil bahagian dalam sesuatu dialog.
Selain itu, laluan pejalan kaki direka agak luas bagi memudahkan golongan berkenaan berkomunikasi.
Di pintu utama dan tanjakan menggunakan sensor sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan golongan pekak.
Lebih menarik, sesetengah dinding dicat menggunakan warna biru yang mempunyai fungsi tersendiri.
"Warna dinding tersebut bertindak umpama muka surat yang mengandungi perkataan di atasnya," kata Bauman.

TATUM menunjukkan keunikan siling asrama yang dipasang dengan papan panel untuk mengurangkan gema.


Dengan kebanyakan golongan pekak atau mengalami kesukaran pendengaran menggunakan alat bantuan pendengaran, mereka akan mengalami masalah ketika berada ditempat tinggi.
Penggunanya akan terganggu oleh bunyi gema yang terhasil daripada alat tersebut.
"Meskipun penggunaan alat pendengaran membantu golongan pekak, namun kewujudan gema memberi masalah kepada mereka," kata Bauman yang menerangkan pemasangan panel di siling bertujuan mengurangkan gangguan tersebut.
Lokasi kajian
Adakalanya, perkara sebegitu kecil iaitu hanya dengan pemasangan panel boleh memberi kesan yang sebegitu besar kepada golongan pekak.
David Lewis, rakan kongsi di LTL Architects memberitahu, pihaknya telah menghabiskan banyak masa untuk menyiapkan projek berkenaan, tetapi masih memerlukan penghuni di asrama tersebut sebagai bahan kajian.
"Saya sangat berharap bangunan ini bukan sahaja menjadi tempat tinggal dan belajar kepada golongan berkenaan, tetapi sebagai lokasi kajian untuk kita pelajari sesuatu daripada mereka," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Kebangsaan bagi golongan Pekak AS, Howard Rosenblum, mengiktiraf kakitangan Gallaudet dengan melabel mereka sebagai golongan perintis.
"Banyak reka bentuk bangunan yang hebat dan futuristik di dunia ini, namun istimewanya Living and Learning Residence Hall 6 adalah ia bangunan yang unik diiktiraf mencapai spesifikasi DeafSpace," katanya.

Beli-belah melalui telefon pintar

Posted: 19 Sep 2012 07:58 PM PDT




SEBELUM ini Terrence Tan sentiasa memastikan dia membawa beberapa kad setia yang disimpan di dalam dompetnya ke mana sahaja dia pergi. Tujuannya, supaya dia tidak terlepas peluang jualan istimewa bagi pemegang kad setia atau tiba-tiba naluri membeli-belah tercetus di destinasi tertentu yang memerlukan penggunaan kad tersebut.
Situasi itu menyebabkan dompetnya kelihatan sendat kerana dipenuhi dengan himpunan kad ganjaran. Namun, baru-baru ini keadaan berubah apabila dia hanya membawa gajet Samsung Galaxy Note sewaktu berkunjung ke Plaza Low Yat di Kuala Lumpur.
Diimbas jurujual
Ketika membeli beberapa produk berkaitan teknologi, dia hanya menunjukkan kod QR bagi aplikasi Moola Frenz yang baru disertainya untuk diimbas oleh jurujual kedai terbabit.
"Aplikasi mudah alih Moola Frenz ini sangat hebat. Ia memudahkan pengguna tanpa perlu menyimpan kad setia yang banyak.
"Malah, apabila kita membeli-belah di rangkaian Moola Shopz, lebih banyak ganjaran yang dapat dinikmati. Ia benar-benar mengujakan saya sebagai pengguna," jelas Terrence kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Aplikasi mudah alih Moola dilancarkan oleh ICT Utopia Sdn. Bhd. iaitu subsidiari milik penuh 1 Utopia Berhad pada majlis di plaza tersebut baru-baru ini.
Ia merupakan program Pulangan Tunai-Gaya Hidup pertama seumpamanya yang menyasarkan pengalaman membeli-belah pengguna dengan ganjaran tanpa henti.
Langkah ini seiring dengan permintaan pengguna yang mahukan harga yang lebih rendah, berkualiti, pilihan lebih baik dan berkemampuan untuk mencapai perniagaan melalui semua saluran yang ada pada bila-bila masa.
Berbeza dengan program ganjaran konvensional, Moola ialah program mobil evolusi yang berfungsi menggunakan aplikasi mobil dan kod QR menggunakan teknologi terkini.
Aplikasi mobil ini dicipta khas untuk kemudahan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah secara percuma. Pada masa yang sama, mereka berpeluang memperoleh tawaran paling hebat tanpa memerlukan sebarang kad. Majlis ini dilancarkan oleh Pengarah Urusan 1 Utopia Berhad, Victor Chin dan Pengurus Besar Kumpulan Low Yat, Michael Lee.
Pengarah Eksekutif 1 Utopia Berhad, Kenny Chow berkata, Moola merupakan lebih daripada program kesetiaan biasa. Ia menyamai kehebatan wang tunai yang digunakan sebagai pembayaran alternatif untuk ahli-ahlinya yang dikenali sebagai Moola frenz.
"Sama ada anda untuk membayar sepenuhnya atau melunaskan harga belian serta-merta ketika menjamu selera, membeli produk IT, melancong dan produk fesyen di rangkaian Moola Shopz.

KEBANYAKAN perniagaan kini tidak terlepas daripada penggunaan telefon pintar. – Gambar hiasan


"Moola menawarkan kemudahan maksimum untuk membayar barangan dan perkhidmatan tanpa wang tunai sebaliknya menggunakan teman paling rapat pengguna, telefon pintar. Tanpa proses berlarutan, anda hanya perlu imbas dan urus niaga selesai," jelas Kenny.
Moola sememangnya unik jika dibandingkan dengan program yang terdapat di pasaran. Ia menawarkan penebusan fleksibel di mana-mana Moola Shopz menggunakan Moola yang telah diperoleh dan dikumpul.
Setiap pembelian akan memperoleh poin Moola, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menjamu selera di pelbagai restoran dan outlet F&B, membeli-belah untuk produk ICT termasuk percutian dan fesyen.
Moola memberi ganjaran tanpa henti kepada pembeli seperti baucer FreeMakan dan pelbagai tawaran hebat lain apabila mereka menggunakan Moola yang diperoleh untuk lebih banyak penjimatan dan nilai wang.
Pengarah Projek Moola, Ryan Loh berkata, semua ahli Moola Frenz akan menikmati keahlian sepanjang hayat percuma tanpa dikenakan caj pentadbiran atau yuran penyertaan.
"Apabila dibandingkan dengan pengalaman membeli-belah linear tradisional, Moola memberi lebih manfaat kepada pedagang melalui peningkatan belian impulsif dengan kesan sampingan ke atas keuntungan. Ia berdasarkan maklumat masa sebenar yang Moola berikan kepada pelanggan mengenai promosi dan produk baharu.
"Penggunaan media sosial pintar adalah satu lagi aspek utama Moola. Keputusan membeli amat dipengaruhi oleh pendapat yang diberikan melalui media sosial dan ulasan dalam talian.

LAMAN web Moola menyediakan senarai kedai yang menyertai dan promosi terkini program tersebut.


"Tidak ada perniagaan yang imun daripada segmen mudah alih apabila sebahagian besar pengguna beralih ke telefon pintar. Program afiniti saudagar Moola melalui teknologi aplikasi mudah alih khusus akan membawa ribuan pelanggan baharu ke kedai pedagang yang mengambil bahagian sekali gus meningkatkan jualan, keuntungan dan kesetiaan pelanggan mereka dalam rangkaian Moola Shopz," jelas Ryan panjang lebar.
Tambahnya, kadar penembusan telefon mudah alih di Malaysia telah mencatat rekod yang menakjubkan pada 127.7 peratus manakala kadar penembusan pengguna telefon pintar pula dijangka mencecah 80 peratus menjelang akhir tahun ini.
Di samping itu, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh PayPal menyatakan, 642,770 rakyat Malaysia melakukan pembelian menggunakan peranti mudah alih pada tahun 2011, berbanding 253,960 tahun sebelumnya.
Transaksi telefon pintar ini bernilai RM337 juta, mewakili hampir tiga per empat daripada keseluruhan pasaran dagangan mudah alih, berbanding RM108 juta yang dicatatkan melalui tablet.
"Angka ini amat positif untuk Moola dan ICT Utopia yakin bahawa mampu memperoleh dua juta keahlian dalam tempoh setahun dari sekarang," tutur Ryan lagi.
Kesedaran jenama
ICT Utopia telah memperuntukkan RM1.5 juta ke atas belanjawan pengiklanan dan promosi untuk mewujudkan kesedaran jenama yang lebih besar buat Moola.
Pada masa ini, ICT Utopia mempunyai 25 pedagang F&B dan 40 pedagang runcit ICT di Lembah Klang dan Plaza Low Yat. Jumlah tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang awal tahun hadapan. Setakat ini, 1 Utopia telah memulakan media sosial, aktiviti saudagar setempat, peraduan dan bakal diikuti oleh radio untuk membina kesedaran yang lebih tinggi mengenai Moola.
Dalam pada itu, setiap Moola Frenz atau ahli Moola berpeluang memenangi kereta BMW 3 Series sebagai hadiah utama. Peraduan di seluruh negara ini terbuka kepada semua Moola Frenz yang berbelanja melebihi RM500 bagi setiap transaksi di ICT Moola Shopz dan RM50 di F&B Moola Shopz.
Apa yang perlu dilakukan oleh semua peserta ialah mendaftarkan nombor siri peraduan di dalam aplikasi Moola mereka. Poskan ke pusat perkhidmatan Moola atau masukkannya ke dalam kotak khas yang terdapat di Plaza Low Yat.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.moola.my atau www.facebook.com.moolamalaysia. Anda juga boleh muat turun Moola App dari GooglePlay, Blackberry App World dan Apple Aps Store.

Taufan Isaac landa Louisiana

Posted: 19 Sep 2012 07:57 PM PDT


PENDUDUK yang terjejas teruk di Lousiana beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.


BERPULUH-PULUH ribu orang masih lagi dalam keadaan bergelap pada hari Isnin awal bulan lalu di Louisiana dan Mississippi, Amerika Syarikat (AS).
Keadaan masih tidak berubah walaupun telah seminggu Taufan Isaac yang tidak pernah berlaku melanda kawasan pinggir teluk itu. Sehingga kini, kawasan-kawasan rendah masih lagi dibanjiri air.
Lebih kurang 100,000 penduduk yang tinggal di Lousiana dilaporkan tidak mempunyai bekalan kuasa. Itu termasuk beribu-ribu lagi penduduk di Mississippi dan Arkansas.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah melawat Lousiana pada Isnin, 3 September lalu dan mendekati persekitaran kawasan yang telah musnah di St. John.
Kawasan kecil itu ditenggelami air akibat keganasan Taufan Issac.
"Kami memberitahu mangsa bahawa kami di peringkat persekutuan sedang menyelesaikan kes ini secepat mungkin selain memastikan kemusnahan seperti ini tidak berlaku lagi serta memutuskan perkara yang perlu dilakukan," kata Obama kepada para pemberita di sebuah kawasan sejauh 50 kilometer di luar New Orleans.
Obama turut melawat kawasan kejiranan Ridgewood yang diperbuat daripada batu-bata. Halaman perumahan tersebut masih lagi memberikan peringatan betapa teruknya kesan ribut taufan yang berlaku akhir bulan lalu.

BARANGAN kelengkapan rumah yang rosak akibat ditenggelami air dilonggokkan di hadapan salah sebuah sebuah rumah.


Timbunan sampah sarap yang mengandungi penebat, perabot rosak dan permainan kanak-kanak memenuhi laman rumah. Obama sempat bersalaman dengan penduduk La Place.
La Place merupakan antara kejiranan yang teruk ditenggelami air selain beberapa penduduknya terpaksa diselamatkan dari atas bumbung dengan menggunakan bot.
Dalam keadaan panas yang membahang, Obama berjalan ke setiap rumah untuk menanyakan keadaan mangsa. Sampah masih lagi bersepah manakala air tidak menunjukkan sebarang tanda akan surut.
Di St. John, para penduduknya menghabiskan cuti umum mereka dengan menarik permaidani dan perabot yang basah ke tempat yang lebih bersih serta kering. Menggunakan peluntur dan air, mereka bertungkus-lumus membersihkan barangan itu dengan harapan kulapuk tidak merebak.

SEBUAH keranda terlambung keluar dari tanah selepas Taufan Isaac melanda sebuah kawasan perkuburan di Plaquemines.


Bau busuk
Di sebuah tempat yang ditenggelami air sedalam 60 sentimeter, sampah sarap, serpihan perabot dalam air yang tidak bergerak mengeluarkan bau yang sangat busuk tambahan pula suhu yang tinggi melebihi 30 darjah Celsius.
"Ia sangat panas dan kotor tetapi saya cuba untuk mengeluarkan semua lumpur dari rumah saya," kata salah seorang penduduk dis itu, Melton, 60.
Beberapa buah rumah selepas kediaman Melton, seorang lagi penduduk, Ed Powell berkata, Taufan Isaac telah menyebabkan dia berfikir sama ada untuk terus tinggal di situ.
"Saya tahu, tinggal di Lousiana sama seperti bertaruh tetapi kami tidak mahu menggadai nasib seperti ini. Apabila kamu rugi dengan cara begini, kamu rugi besar," keluhnya.
Tambah Powell, walaupun Obama dapat menyediakan penyelesaian atau pelan menangani masalah banjir di kawasannya, isu masa akan membatasi usaha tersebut.
Lebih 2,800 orang kini masih berada di pusat penempatan sementara di Lousiana. Angka tersebut telah menurun daripada 4,000 orang.
Jurucakap rasmi negeri tidak dapat menganggarkan bilangan orang yang masih memerlukan pusat penempatan sementara untuk tempoh yang panjang.
Ketua pejabat darurat negeri, Kevin Davis berkata, penempatan sementara termasuk hotel dan rumah sewa yang dipilih adalah berdekatan dengan kediaman kediaman penduduk yang musnah.
Ketua kawasan Plaquemines, Billy Nungesser berkata, ribut taufan kategori pertama telah melanda kawasannya dan tempat-tempat lain. Dia mengakui, kerosakan yang berlaku adalah lebih teruk berbanding ribut Katrina pada tahun 2005.

Pencuri komputer Tengku Amalin dijel

Posted: 19 Sep 2012 07:54 PM PDT

MAHADI (gambar kecil) dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam kerana mencuri komputer (gambar kecil kiri) Tengku Amalin.


KOTA BHARU – Tindakan berani seorang pengawal istana mencuri komputer riba milik puteri raja Kelantan, Tengku Amalin A'ishah Putri di ruang tamu Istana Mahkota Kubang Kerian di sini bulan lalu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tengku Amalin, 29, merupakan adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mahadi Mahamad, 35, setelah lelaki itu mengaku bersalah mencuri komputer riba jenama Apple Macbook bernilai RM7,500.
"Mahkamah melihat bukan sahaja kepada barang yang kamu curi tetapi keberanian kamu menceroboh kawasan larangan untuk mencuri barang tersebut. Kamu sepatutnya menerima hukuman yang berat," kata Mohd. Fazaly Ali.
Mohd. Fazaly Ali mengarahkan Mahadi menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu.
Mahadi dari Jalan Telipot di sini didakwa mencuri komputer riba berwarna putih itu dan satu alat pengecas milik Tengku Amalin yang berada dalam jagaan sepupunya, Tengku Noremilina Tengku Iskandar, 27, di istana tersebut. Kejadian itu berlaku antara pukul 12 tengah hari 29 Ogos lalu hingga pukul 2 pagi 30 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada 13 September lalu, Tengku Noremilina membuat laporan polis selepas mendapati komputer riba milik Tengku Amalin yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga dan diletakkan di bilik ruang tamu istana hilang.
Pada pukul 6 petang 15 September lalu, polis menangkap empat suspek termasuk tertuduh yang kemudian mengaku mencuri barangan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tengku Amalin pernah menjawat jawatan majistret di Mahkamah Majistret Kota Bharu antara tahun 2006 hingga 2009.
Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan itu kerana melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Melbourne, Australia dalam jurusan undang-undang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories