RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Posted: 21 Aug 2013 09:12 PM PDT



MOHAMMED RAFI MOHAMED BIHIR, 39, sering kali berulang-alik ke luar negara demi kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan.
Hakikatnya, sepanjang berada di luar negara terutamanya negara-negara seperti Vietnam, China dan Filipina, bapa kepada tiga orang anak itu sentiasa berhadapan masalah mencari restoran makanan halal.
Justeru, dia terpaksa bertanya kepada kakitangan hotel bagaimana untuk mendapatkan makanan halal sepanjang berada di negara-negara itu.
"Lagipun, saya kurang arif dengan tempat-tempat saya berurusan. Oleh itu, saya terpaksa bertanya kepada orang ramai di kawasan tersebut, selain mencari maklumat melalui internet," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sungguhpun mendapat maklumat menerusi di laman-laman sesawang yang berkaitan, Mohammed Rafi berhadapan dengan satu lagi halangan apabila kebanyakan restoran tersebut telah ditutup malah ada sebahagian kedai berkenaan telah diambil alih oleh perniagaan lain.
"Apabila melalui saat-saat seperti ini, saya tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada roti dan tuna yang dibawa dari Malaysia," jelasnya.
Namun, baru-baru ini dia mula berjinak-jinak menggunakan aplikasi Muslim Pro selepas salah seorang rakannya memperkenalkan aplikasi telefon pintar berkenaan.
"Aplikasi itu sangat membantu kerana memberi pelbagai maklumat berhubung lokasi makanan halal, waktu solat, arah kiblat dan banyak panduan lain yang penting bagi saya," katanya.
APLIKASI Muslim Pro memudahkan umat Islam mencari restoran makanan halal ketika berada di luar negara.


Bertitik tolak dari situ, anak jati Kuala Lumpur itu kini banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan apabila berada di luar negara.
"Saya tidak perlu pening lagi kerana kesemua maklumat berkaitan Islam sudah ada di dalam aplikasi ini," tuturnya tersenyum.
Seorang pengguna yang berasal dari United Kingdom yang hanya mahu dikenali sebagai Rizqi pula menyifatkan aplikasi Muslim Pro merupakan antara aplikasi terbaik dan praktikal yang terkandung dalam telefon pintar iPhonenya.
"Saya sering menggunakan aplikasi ini kerana arah kiblatnya sangat tepat. Malah waktu solat akan bertukar mengikut lokasi di mana kita berada.
"Jika saya sibuk bekerja, aplikasi ini akan mengingatkan masuknya waktu solat sekali gus saya tidak terlepas menunaikan tuntutan agama itu," ujarnya.
Aplikasi tersebut diperkenalkan di pasaran oleh Bitsmedia Pte. Ltd. (Bitsmedia), sebuah syarikat pembangun aplikasi mudah alih yang berpangkalan di Singapura, dalam sistem operasi iOS pada tahun Ogos 2010 dan Android pada Mac tahun lalu.
Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan AppStore. Bagaimanapun, jika pengguna ingin menaik taraf kepada versi premium, bayaran sebanyak RM4.72 akan dikenakan.
Versi tersebut membolehkan pengguna mendengar bacaan al-Quran dalam bentuk audio, membaca terjemahan ayat-ayat suci tersebut dan memilih pelbagai suara bilal yang melaungkan azan.
Aplikasi komprehensif
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Erwan Mace, 39, Muslim Pro merupakan aplikasi komprehensif terutama bagi umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Muslim Pro menyediakan waktu solat berdasarkan lokasi pengguna, penunjuk arah kiblat seluruh dunia dan pencarian restoran halal serta masjid.

APLIKASI Muslim Pro ini telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali di seluruh dunia.


"Aplikasi ini amat berguna terutamanya kepada umat Islam yang berkunjung ke luar negara. Melalui aplikasi ini, mereka boleh mencari segala maklumat yang diperlukan," katanya sambil memberitahu rata-rata pengguna memberi maklum balas positif selain pengiktirafan lima bintang terhadap aplikasi itu.
Sejak aplikasi Muslim Pro ditawarkan kepada pengguna di seluruh dunia, aplikasi itu telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali, terutama dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Malaysia, Turki, dan Maghribi.
Tidak ketinggalan negara-negara yang mempunyai minoriti penduduk Islam seperti Perancis, Jerman, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
Menceritakan lebih lanjut mengenai aplikasi itu, beliau memberitahu, aplikasi tersebut menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) untuk mencari senarai restoran halal dan lokasi masjid di sesebuah bandar.
Malah, pengiraan waktu solat dilakukan berdasarkan kedudukan matahari untuk latitud khusus dan longitud dengan menggunakan formula matematik yang tertentu.
Bagi meningkatkan kemahiran dan penghayatan pengguna terhadap ayat-ayat suci al-Quran, beliau menambah, Muslim Pro juga menyediakan audio bacaan kesemua 114 surah al-Quran dan terjemahan yang membenarkan pengguna memilih qari dan bahasa seperti Indonesia, Melayu, Perancis, Itali, Portugis, Turki, Inggeris dan Belanda.
Pelbagai fungsi
Menurut Erwan, aplikasi tersebut bersifat mesra pengguna kerana terdapat lapan menu pilihan iaitu waktu solat, arah kiblat, bacaan al-Quran, senarai cuti umum, 99 nama Asma al-Husna, senarai restoran halal, mod tidur yang membenarkan pengguna mendengar alunan azan penuh secara automatik walaupun peranti pintar mereka dalam mod senyap, penghantaran kad ucapan perayaan dan bantuan tetapan.
"Jadi, pengguna hanya perlu menekan menu maklumat yang ingin dicari. Misalnya, lokasi restoran halal. Selain memaklumkan mengenai nama restoran, ia turut menyalurkan maklumat mengenai jarak restoran tersebut dari lokasi pengguna.

MUSLIM PRO merupakan aplikasi komprehensif bagi membantu umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.


"Aplikasi ini menggunakan sistem navigasi yang memandu pengguna ke lokasi restoran yang dipilih," ujarnya sambil memberitahu aplikasi berkenaan boleh digunakan di seluruh dunia.
Ekoran sambutan memberangsangkan daripada pengguna, beliau memaklumkan, Bitsmedia merancang untuk menambah baik kandungan yang ditawarkan, di samping membangunkannya untuk pelbagai platform peranti pintar dalam mengikuti keperluan terkini masyarakat Islam.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya merancang membina aplikasi yang sama itu untuk kegunaan telefon biasa.
Langkah itu, jelas beliau, dilihat dapat memberi peluang kepada semua pengguna Islam untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.
"Kami mahu menghasilkan produk yang boleh digunakan oleh semua pengguna Islam. Kami berharap perkhidmatan yang diberikan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat yang beragama Islam untuk menghasilkan teknologi berkaitan keperluan agama mereka," tuturnya.

Kemudahan dua peranti serentak

Posted: 21 Aug 2013 09:10 PM PDT



SET fon kepala wayarles ini boleh menggunakan dua peranti serentak.


SEGALA-GALANYA kini sama ada kelengkapan diri mahupun aksesori mesti menepati tahap praktikal dan mempunyai gaya yang menyerlahkan identiti si pemilik.
Set fon kepala Jabra Tag tampak mampu menepati cita rasa golongan tersebut, bukan sahaja reka bentuknya menawan, malah mampu memberikan kepuasan mendengar muzik dan berhubung dengan lebih baik.
Reka bentuk fizikalnya berupa sebuah loket tanpa wayar dengan binaan dalam radio FM. Ia boleh digayakan dengan mengantungkan pada leher pengguna.
Jika mahu kelihatan lebih ranggi, klipkan Jabra Tag anda pada pakaian atau beg supaya kelihatan seperti aksesori yang canggih.
Dengan Jabra Tag, anda dapat menikmati muzik kegemaran atau menonton video di laman YouTube menerusi sambungan pelbagai peranti mudah alih sehingga tujuh jam.
Berbual menggunakan aplikasi Skype, kualiti audio yang bermutu tinggi dapat dinikmati sehingga lapan jam.
Menariknya, ia boleh menggunakan dua peranti mudah alih secara serentak selain masih dapat mendengar radio FM, sungguhpun bateri peranti mudah alih itu sudah kehabisan.
Jika mahu menukar set fon kepala dengan yang lain, tag berbentuk loket itu sepadan dengan semua jenis fon kepala.
Namun, harus diberitahu, satu lagi kelebihan fon kepala Jabra Tag ialah ia mampu mengasingkan bunyi bising dari luar daripada didengari pendengar. Seterusnya membolehkan pendengar mendengar muzik atau berbicara dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan luar.
Selain fungsi Bluetooth, loket Jabra Tag memudahkan kawalan muzik dan panggilan, menyimpan senarai muzik yang didengari dan menyelaras tahap suara.

Lindungi data penting dalam komputer

Posted: 21 Aug 2013 09:09 PM PDT


ANDA bertanggungjawab memastikan segala maklumat penting syarikat tidak terdedah kepada orang lain.


KITA sering diingatkan tentang kepentingan melindungi data, tidak kira maklumat peribadi mahupun maklumat perniagaan, daripada risiko kecurian.
Hakikatnya, kedua-dua maklumat tersebut perlu dilindungi sebaik mungkin bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab yang mungkin menggunakannya untuk tujuan yang tidak baik.
Apatah lagi, nilai maklumat seperti kertas kerja projek, sebut harga, reka bentuk yang belum dipatenkan dan kandungan kontrak sesebuah projek boleh mencecah nilai sehingga jutaan ringgit.
Justeru, setiap kakitangan yang terlibat mengendalikan maklumat bertanggungjawab memastikan ia tidak terlepas kepada pihak lain yang boleh mengakibatkan organisasi tempat bekerja mengalami kerugian.
Berikut merupakan langkah-langkah yang dapat diambil oleh pekerja ketika berada di pejabat bagi memastikan keselamatan maklumat perniagaan:
1. Kunci sistem apabila tidak berada di meja
Pastikan anda mengunci sistem dengan menggunakan kombinasi Ctrl+Alt+Del dan Enter sebelum meninggalkan komputer, tidak kira untuk tempoh yang lama ataupun hanya seketika.
Ini kerana dokumen kerja yang sedang anda buat mungkin sulit dan tidak semua kakitangan boleh melihatnya. Ini dapat mengelakkan fail disalin daripada komputer anda atau perubahan maklumat dibuat tanpa pengetahuan anda.
2. Aktifkan log masuk dan kata laluan
Dengan mengaktifkan pelindung skrin komputer dengan nama pengguna berserta kata laluan, ia dapat mengelakkan komputer anda daripada diakses apabila anda meninggalkannya tanpa dikunci.
Anda juga boleh memilih untuk menetapkan 10 atau 15 minit masa terbiar atau tidak menggunakan komputer sebelum ia diaktifkan secara automatik.
3. Jangan biarkan media storan di atas meja tanpa pengawasan
Salah satu perkara yang sering diambil mudah oleh kakitangan ialah dengan membiarkan media storan seperti cakera padat, cakera video digital, pemacu pena atau cakera keras luaran ditinggalkan di atas meja.

SELEPAS tamat mesyuarat pastikan segala contengan di papan putih dipadamkan.


Bayangkan, sekiranya media ini yang mengandungi maklumat sulit syarikat hilang sewaktu kita meninggalkan komputer pada waktu makan tengah hari. Kita tentunya menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap kehilangan maklumat berkenaan.
Lantaran itu, sebelum meninggalkan meja, pastikan semua maklumat penting ini disimpan di dalam laci berkunci.
4. Simpan dokumen bercetak di tempat selamat
Satu lagi kesilapan yang biasa dilakukan oleh kakitangan sewaktu mengendalikan maklumat sulit ialah mencetaknya tetapi gagal mengambil cetakan tersebut di mesin pencetak.
Hari ini, kebanyakan organisasi menggunakan mesin pencetak yang turut dikongsi oleh kakitangan lain.
Kegagalan mengambil dokumen yang dicetak juga boleh mengakibatkan kebocoran maklumat.
Sesetengah pencetak pejabat pula dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hanya akan mencetak setelah kakitangan itu berada di sisi pencetak dan memasukkan nombor PIN terlebih dahulu. Ini dapat menguatkan lagi tahap sekuriti cetakan dokumen.
5. Padam contengan diskusi di bilik mesyuarat
Perbincangan atau sesi mencari idea kadangkala memerlukan contengan atau lukisan pada papan putih.
Idea seperti strategi pemasaran organisasi atau cadangan reka bentuk seringkali dikongsi dan dilukis pada papan putih di dalam bilik mesyuarat.
Bagaimanapun, kegagalan memadamkannya selepas sesi perbincangan boleh membawa padah jika pengguna bilik mesyuarat yang seterusnya bukan dalam kalangan yang sepatutnya mendapat akses kepada maklumat tersebut.
Bagi mengelakkan ia berlaku, langkah terbaik ialah memadamkan semua tulisan atau contengan sebaik sahaja sesi tamat.

Panduan untuk memilih ikan

Posted: 21 Aug 2013 09:08 PM PDT



KETIKA chef selebriti, Bobby Chinn mengembara ke wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, beliau sempat singgah di sebuah pulau yang didiami biawak komodo yang terkenal itu.
Pulau Komodo yang terletak berhampiran Irian Jaya dinamakan sempena biawak terbesar dunia itu.
Semasa menyelam berhampiran pulau berkenaan, perasaan Bobby tambah teruja tatkala melihat bentangan dasar laut yang indah.
Hatinya terus terdetik: 'Apa akan terjadi jika tiada kawalan terhadap aktiviti menangkap ikan di laut?'
"Ia akan menjadi bencana besar jika cara penangkapan ikan dan pemakanan kita tidak diubah dari sekarang," katanya ketika melancarkan kempen Selamatkan Makanan Laut Kita 2.0 (S.O.S) anjuran Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Kuala Lumpur bulan lalu.
Kempen S.O.S bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenis ikan yang boleh dimakan bergantung kepada tahap bilangannya di perairan dunia berdasarkan Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam dan Sumber Semula Jadi (IUCN).
Kod warna
Sekeping risalah panduan bersaiz tapak tangan dicetak dalam kuantiti yang banyak telah diedarkan kepada orang ramai.
Ia memaparkan senarai jenis ikan dalam pasaran yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Disyorkan, Kurangkan dan Elakkan.
Bagi memudahkan penggunaan risalah tersebut, setiap kategori diberikan kod warna yang berbeza iaitu hijau, kuning dan merah.
Kod warna ini memudahkan golongan suri rumah membuat rujukan pantas ketika membeli makanan laut di pasar.
Antara maklumat yang disenaraikan ialah spesies, kaedah penangkapan dan kawasan tangkapan makanan laut tersebut.
Antara yang berada dalam kategori Disyorkan atau kod hijau ialah tilapia, lala, kerang, patin, salmon, tuna dan sardin, manakala senarai Kurangkan (kuning) terdiri daripada ikan tamban, tongkol kurik, kembung dan udang putih.
Ikan seperti mameng, sunah, kerapu tikus, yu, kerapu bebeh dan senderong dimasukkan dalam bahagian Elakkan (merah).
Bagi kemudahan pengguna, risalah itu diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

WALAUPUN terdapat pelbagai jenis ikan yang dijual di pasar, panduan S.O.S dapat membantu pengguna membuat pilihan.


Senarai tersebut dibuat mengikut kaedah antarabangsa dalam menilai tahap kelestarian makanan laut.
Kategori Disyorkan dibuat berdasarkan stok ikan yang diuruskan secara mampan dan tidak ditangkap secara berlebihan, selain pilihan terbaik untuk dijadikan hidangan.
Bahagian Kurangkan terdiri daripada ikan yang berisiko untuk tidak menjadi mapan dan hanya dipilih apabila pilihan Disyorkan telah tidak ada.
Semua jenis ikan yang tidak diuruskan dengan kaedah lestari dan ditangkap secara berlebihan dimasukkan dalam kategori Elakkan.
Sasaran
Pengguna merupakan kumpulan sasaran kerana umum mengetahui bahawa jika tiada permintaan, maka penangkapan tidak akan dibuat.
Kadar purata rakyat Malaysia memakan ikan adalah kira-kira 52 kilogram (kg) setahun. Permintaan terhadap ikan di negara ini dijangka meningkat kepada 1.68 bilion kg pada tahun 2020.
Kempen S.O.S pertama dilancarkan pada Jun 2010. Jika dibandingkan, panduan kempen sulung hanya memaparkan sebanyak 44 peratus jenis ikan yang berada dalam Senarai Merah IUCN.
Pada panduan kempen S.O.S 2.0 pula, terdapat sebanyak 52 peratus jenis ikan yang berada dalam Senarai Merah berkenaan, manakala penilaian dibuat meliputi 100 peratus spesies penting dari segi komersial di Malaysia.
Lebih 140,000 keping risalah panduan makanan laut itu dicetak dan diedarkan ke semua cabang berkaitan perikanan.
Di samping itu, kempen ini juga melibatkan aktiviti promosi, pameran dan seminar jelajah di seluruh negara.
"Fasa pertama kempen menunjukkan peningkatan kesedaran pengguna, sekali gus dapat menarik lebih banyak perhatian daripada penggiat industri terhadap kepentingan kelestarian makanan laut," kata Ketua Konservasi WWF Malaysia, Dr. R. Sundari.
Memantau bekalan
Dalam pada itu, Penasihat Marin Kanan WWF, Carol Phua berkata, data dan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Perikanan pada tahun 1997 sudah dianggap tidak relatif dengan keadaan pada tahun 2013.
Walaupun menghadapi kesulitan, berdasarkan data yang ada, satu penilaian telah dibuat pihak WWF bagi melihat tahap bekalan ikan yang masih ada di laut.

KELESTARIAN bekalan ikan tidak hanya bergantung kepada tindakan nelayan, tetapi setiap lapisan industri perikanan termasuk peraih dan pembekal.


Kerjasama juga dibuat dengan pelbagai badan berkaitan termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Yayasan Laut Utara dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Kajian yang dilaksanakan turut meneliti kaedah-kaedah penangkapan ikan yang digunakan pada hari ini seperti jenis jala dan perangkap, selain isu pengeluaran lesen tangkapan dan kawasan penangkapan ikan.
Menurut Phua, kajian selama enam bulan telah dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran yang menyeluruh dan meliputi semua pihak yang terlibat.
Pada tahun yang sama kempen kali pertama dibuat, satu kaji selidik mendapati lebih 70 peratus pengamal industri perikanan bersedia atau akan mengurangkan pengambilan makanan laut jika menyedari bekalan semakin berkurangan.
Hanya 27 peratus responden menyedari bahawa bekalan ikan negara sedang mengalami penurunan yang menakutkan.
"Maka, kempen kali ini dengan penambahan jenis ikan dalam Senarai Merah ini dilihat sebagai satu langkah yang baik," ujarnya.
Ketika ditanya berkenaan hidangan warisan yang menggunakan spesies ikan tertentu, Chin menjawab, kawalan perlu diambil terhadap perkara terbabit.
"Jika tidak, masyarakat tidak akan dapat menikmati hidangan tersebut buat selama-lamanya," tegas beliau.

Peluang jadi jutawan sehari

Posted: 21 Aug 2013 08:46 PM PDT


FABIAN (kiri) melancarkan peraduan terbaharu Prizle.com sempena pelancaran laman web itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PRIZLE.COM menjadi perintis peraduan integrasi maya di Asia Tenggara yang membolehkan peserta menyertai peraduan secara dalam talian dengan mudah dan kos yang rendah.
Peraduan yang dikelolakan di laman web tersebut terbuka kepada semua industri yang berminat menganjurkan sebarang peraduan atau terbitan borang soal selidik terus kepada peserta.
Hanya beberapa klik, kedua-dua pelanggan dan pemilik perniagaan akan berada dalam situasi menang-menang.
Idea tersebut dicetuskan oleh tiga usahawan internet dari Malaysia dan Singapura yang menyedari kesukaran yang dihadapi pemilik perniagaan untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka menggunakan pendekatan peraduan.
Perkara itu disebabkan oleh kos penganjuran sesuatu peraduan yang menelan belanja tinggi.
Perkhidmatan Prizle.com turut membantu mereka yang berminat untuk mencipta peraduan secara talian seperti yang mereka ingini.
Ketua Pegawai Eksekutif Prizle.com, Fabian Lim berkata, pihaknya memulakan tawaran pelancaran Prizle.com dengan peraduan menjadi jutawan untuk sehari yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai, baucar beli-belah, penerbangan pesawat peribadi untuk dua orang ke Singapura dan bersiar-siar menaiki limosin di sana. Jumlah hadiah yang ditawarkan bernilai kira-kira RM12,000.
"Pengguna hanya perlu mendaftar masuk nama dan alamat e-mel mereka di laman web Prizle untuk menyertai peraduan tersebut," katanya.
Selain itu, terdapat 30 kategori peraduan dan cabutan bertuah lain yang merangkumi peraduan perkahwinan, hotel, baucar membeli-belah, baucar makanan dan produk kediaman.

Set minuman Shuraku

Posted: 21 Aug 2013 08:44 PM PDT



UKIRAN motif daun mapel dalam gaya ilustrasi Jepun abad ke-11 disuntik pada rekaan Shuraku.


ROYAL SELANGOR memberikan nafas segar kepada cara hidangan ala Jepun dengan memperkenalkan koleksi terbaharu set minuman keluarannya yang diberi nama Shuraku.
Set tersebut terdiri daripada sebuah jag, empat cawan, tiga gelas pilsner dan dulang yang diperbuat daripada piuter dan buluh. Tekstur dan warna semula jadi yang terdapat pada batang buluh menyerlahkan kelainan pada piuter daripada koleksi berkenaan.
Ukiran motif daun mapel dalam gaya ilustrasi Jepun abad ke-11 disuntik pada rekaan Shuraku bagi mengembalikan memori dan nostalgia musim luruh menerusi permukaannya.
Gambaran daun luruh itu diterjemahkan kepada konsep ombak lautan biru dan tarian memukau yang biasa dipersembahkan kepada Maharaja Jepun. Ilustrasi beberapa helaian daun juga ditafsirkan sebagai burung yang berterbangan pada musim luruh nan indah.
Bagi mereka yang ingin menambah koleksi atau berminat untuk memiliki koleksi Shuraku tersebut bolehlah mendapatkannya di semua kedai jualan Royal Selangor, pengedar berdaftar atau di laman web www.royalselangor.com.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories