sumber :-
Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Cabaran baharu Zahiril, Amani & Sakinah
- Jaga Anak Buatkan Wawa Zainal Makin Kurus
- Faizal Hussein Dianggap Sombong Tidak Bergaul Di Set Penggambaran
- Ikan air tawar kini menu utama kenduri
- Kalis provokasi
- Jamal Abdillah letak sempadan
- Oleh-oleh wajib Bumi Kenyalang
- Latihan minum darah ular
- Orkid dalam talian
- Interpretasi seni tanpa had
- Tuah makan di Dubu Dubu
Cabaran baharu Zahiril, Amani & Sakinah Posted: 23 Mar 2014 06:22 PM PDT KEJAYAAN dan keberkesanan sesebuah drama atau filem tidak hanya bergantung pada kreativiti pengarah mahupun penerbitnya, malah keupayaan dan kebolehan seseorang pelakon turut menjadi kayu pengukur kejayaan sesebuah karya. Sebut sahaja nama Sharifah Amani, Zahiril Adzim dan Sharifah Sakinah pasti ramai di kalangan peminat sudah tahu kemampuan ketiga anak seni ini dalam karier lakonan masing-masing. Berilah apa sahaja watak kepada mereka, pasti hasilnya tidak mengecewakan. Apa yang menariknya, ketiga bintang ini bakal digandingkan menerusi sebuah filem 'Pekak' arahan sutradara, Khairul Azri yang bakal memulakan penggambaran minggu hadapan. Sempat menghadirkan diri ke sesi baca skrip 'Pekak', Zass berkongsi keterujaan mereka dalam menjayakan filem tersebut. Zahiril jadi OKU Biarpun sudah memiliki platform lakonan yang tersendiri, Zahiril akui lakonan dalam filem Pekak ini bakal memberi cabaran besar buat dirinya. "Filem kali ini agak mencabar kerana watak yang saya pegang agak berat kerana sepanjang filem ini saya tidak berdialog. "Selalunya seperti yang kita selalu fikir, sebagai seorang OKU karakternya akan menjadi seorang yang baik tetapi dalam filem ini agak berbeza sedikit watak dan peranannya itu," katanya. Tambah Zahiril, untuk menguasai karakter itu dengan lebih baik, dia bakal berguru dengan ayahnya yang merupakan seorang guru di sekolah pendidikan khas. "Perkara pertama yang harus saya lakukan sebelum memulakan penggambaran adalah mengenali karakter itu sendiri dari segi bagaimana cara mereka hidup dan berinteraksi dengan masyarakat. "Kebetulan bapa saya seorang guru di sekolah pendidikan khas, saya akan meminta bantuannya," katanya. Beralih pada perkembangan kehidupannya peribadinya, Zahiril turut berkongsi pengalaman bahagianya sejak bergelar seorang bapa. "Sekarang saya sangat bahagia bila sudah bergelar seorang bapa. Perasaan itu memang tidak boleh saya ungkapkan. "Sekarang bila ada masa lapang, saya cuma akan habiskan bersama keluarga dan rutin kehidupan juga sudah tidak sama seperti sebelum ini sebab saya perlu bekerja lebih kuat untuk masa depan keluarga," katanya sambil tersenyum. Serasi watak jahat: Sakinah Memiliki strategi yang tersendiri untuk menonjolkan bakat lakonannya, Sharifah Sakinah lebih memilih untuk membawa watak antagonis dalam filem ini. "Sebenarnya, saya memang suka bawa watak antagonis kerana bagi saya ia boleh membuatkan lakonan saya lebih menonjol. "Lagi pun watak ini tidaklah sukar seperti watak baik kerana cabarannya yang agak besar," katanya. Teruja untuk memulakan penggambaran filem ini, Sakinah pada masa yang sama akui tidak sabar untuk berkongsi pengalaman bersama pelakon dan krew yang terlibat. "Saya tidak sangka dapat bekerjasama dengan pelakon yang hebat seperti Zahiril dan Amani. "Saya harap dengan kerjasama kali ini, banyak ilmu lakonan yang boleh saya manfaatkan," katanya. Sengaja tayang perut? Gara-gara memuatkan beberapa keping foto yang mendedahkan bahagian perutnya menerusi laman Instagram miliknya, Sakinah dikecam hebat peminat industri hiburan tempatan. Menjelaskan perkara sebenar, Sakinah menafikan perbuatannya itu dilakukan untuk meraih publisiti murahan semata-mata namun dia ada sebab yang tertentu. "Saya bukannya sengaja hendak tayang perut di laman sosial tapi saya buat untuk tunjukkan perbezaan bahagian perut saya semenjak aktif melakukan senaman kecergasan. "Saya memang tiada niat lain, tapi hanya untuk menaikkan semangat dan inspirasi kepada orang lain yang mengalami masalah bentuk badan. "Saya tidak kisah apa orang mahu cakap, sebab niat saya adalah positif," katanya. Menguatkan lagi alasan itu, Sakinah memberitahu dia kini aktif dengan program rutin senamannya yang dikenali dengan nama Fitness Sakinah dua bulan lalu. "Apa yang mengejutkan saya, walaupun baru dijalankan dua bulan, namun sambutan yang saya dapat amat menggalakkan dan kontroversi yang mengatakan saya 'tayang perut' tidak memberi kesan. "Ada di kalangan mereka yang datang hanya sekadar nak bergembira dan ada juga benar-benar mahu kurus dan sihat. Seronok bila ada yang capai sasaran, mereka dah kurus. "Kalau dulu saya tayang perut di Instagram. Sekarang ni ramai pula yang ikut, tayang perut mereka di Instagram masing-masing," katanya. Amani tetap selektif Kali pertama digandingkan dengan aktor Zahiril, bintang Psiko Pencuri Hati, Sharifah Amani menjanjikan yang terbaik untuk lakonannya kali ini. "Dalam filem ini saya pegang watak bernama 'Dara' yang berusia 17 tahun. "Dari segi cabaran, untuk bawa watak ini saya perlu tonjolkan karakter yang berlainan yang seiring dengan usianya yang masih muda. "Selain itu, walaupun kali pertama digandingkan dengan Zahiril, tapi dari segi keserasian, mungkin tidak ada masalah kerana kami juga berkawan di luar set," katanya. Pada masa yang sama, Amani turut akui amat mementingkan kualiti skrip dan jalan cerita sebelum menerima tawaran lakonan. "Kalau boleh saya mahu elakkan bawa watak perempuan yang ditindas kerana bagi saya ia sudah tidak relevan. "Memang saya agak selektif, bukan sebab memilih tapi ia adalah untuk kebaikan industri lakonan juga," ujarnya yang bakal ke Singapura Mei ini untuk mempromosikan Kompilasi Teater Namron yang turut disertai barisan artis seperti Sofea Jane, Aqasha dan Vanida Imran. | ||
Jaga Anak Buatkan Wawa Zainal Makin Kurus Posted: 23 Mar 2014 06:21 PM PDT Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 23, berkata, berat badannya yang sebelum ini 48 kilogram turun mendadak kepada 40 kilogram dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja dan ini membuatkan wajahnya turut dilihat lebih cengkung. "Anak tengah aktif sekarang ini. Berat badan saya turun lapan kilogram gara-gara menjaga anak. "Badan terlalu penat juga membuatkan saya susut mendadak. Risau juga sekiranya ia menganggu kesihatan saya. Bagaimanapun Alhamdulillah, saya sihat seperti biasa," katanya kepada mStar Online. Tambah Wawa, memandangkan dia kini kembali sibuk sebagai pelakon, dia bersyukur kerana ibunya sudi membantu menjaga anaknya itu ketika dia keluar bekerja. | ||
Faizal Hussein Dianggap Sombong Tidak Bergaul Di Set Penggambaran Posted: 23 Mar 2014 06:19 PM PDT Faizal, 47, bagaimanapun berkata, tidak kisah dengan tanggapan tersebut memandangkan dia sendiri mahu bersendirian bagi mempersiapkan diri menghafal skrip selain menjiwai wataknya. "Saya memang tidak berkumpul di bilik persalinan beramai-ramai seperti artis-artis lain selalu buat, sampaikan ada orang kata saya sombong sebab asyik duduk dalam kereta sahaja. "Tetapi itu adalah cara saya untuk berfikir dan menghayati watak. Saya tidak mahu emosi terganggu terutamanya apabila melibatkan babak-babak yang berat," katanya. Tambah Faizal, mengasingkan diri daripada orang lain juga merupakan sebahagian tips untuk dirinya menghayati watak sebaik mungkin dan pada masa sama bersyukur kerana sikap 'sombong' itu tidak diberitakan sehingga menjadi kontroversi. Malah dia juga mahu penggambaran yang dilakonkan hanya dilakukan sekali rakaman sahaja, tidak perlu banyak kali seperti yang sering dilakukan segelintir pelakon. "Saya tidak suka menyusahkan orang dan sebab itu kalau boleh saya berlakon hanya satu take sahaja. Jadi, tak perlulah saya nak menyusahkan orang lain untuk berlakon banyak kali," ujarnya. Sementara itu, Faizal turut memberitahu mengenai sikapnya yang sentiasa tenang apabila berdepan dengan masalah produksi terutamanya bagi pelakon yang gemar datang lewat ke lokasi. Malah dia tidak pernah terasa hati dengan sikap pelakon yang membuat masalah kerana menganggap ia sebahagian perkara yang harus dilalui sebagai pelakon apabila sedang bekerja. "Saya sudah dibayar gaji untuk datang ke set penggambaran. Jadi, sama ada pelakon lain datang lewat tiga atau lapan jam sekalipun, saya tidak boleh nak marah pelakon berkenaan. "Bukannya apa, ia akan mengganggu konsentrasi ketika berlakon dengan pelakon yang lewat itu nanti. Biarlah sesiapa yang nak datang lewat, tetapi kalau melebihi hari penggambaran, saya akan minta pihak penerbit membayar masa lebih itu," selorohnya. Dalam perkembangan lain, Faizal bakal terlibat dengan penggambaran filem Gudang Kubur , arahan Eyra Rahman pada 25 Mac ini. | ||
Ikan air tawar kini menu utama kenduri Posted: 23 Mar 2014 06:07 PM PDT
Seorang pengusaha, Razidi Md Zain, 40, berkata, sejak 18 tahun bergiat dalam industri ini, perusahaan ikan air tawar semakin dapat tempat di hati penduduk di negeri ini. Menurutnya, antara ikan air tawar yang menjadi kegemaran ramai ialah patin, baung, tilapia dan keli manakala patin masak tempoyak antara hidangan menjadi pilihan utama untuk disajikan pada majlis yang diadakan. "Dulu ikan air tawar agak sukar menembusi pasaran negeri ini maklumlah budaya kita dari dulu lagi ialah makan ikan dari laut (ikan segar). "Tetapi sekarang, ikan air tawar semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Terengganu," katanya. Razidi yang juga pemilik Sidi Aquafarming di Pelabuhan Chendering merupakan pengedar ikan air tawar terbesar di negeri ini, setelah mendapat bantuan dan nasihat daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Menurutnya, purata jualan sebulan ikan air tawar seperti patin dan keli mencecah 2,000 kilogram sebulan manakala tilapia mencecah sehingga 1,000 kilogram serta baung pula mampu dijual sehingga mencecah 500 kilogram. "Ada kalanya, saya kekurangan bekalan kerana tempahan yang diterima melebihi bekalan yang ada," katanya yang sebelum ini hanya menjual ikan air tawar di pasar-pasar tani sekitar daerah Kuala Terengganu. Razidi berkata, patin dijual dengan harga RM10 sekilogram, tilapia RM12, keli RM7 dan baung RM16 tetapi harga menjadi rendah apabila pelanggan membeli secara borong iaitu setiap kilogram patin adalah RM8, keli RM6, tilapia RM10 dan RM15 bagi baung. Dalam pada itu, katanya, benih anak ikan diperoleh dari luar negeri ini seperti dari Pahang dan Kuala Lumpur dengan jumlah yang dibeli sehingga 10,000 ekor dan boleh dibahagikan kepada 2,000 ekor untuk setiap sangkar berkeluasan 16 x 20 kaki. | ||
Posted: 23 Mar 2014 06:04 PM PDT SABTU lalu, suasana meriah di dalam Auditorium 1, Universiti Antarabangsa UNITAR, Kelana Jaya, Selangor bertukar sedikit bungkam tatkala kelibat pelakon tinggi lampai, Diana Danielle masuk ke ruang acara sambil diiringi oleh adik iparnya, Fadzil Zahari. Tidak hanya tampil berdua, ekor mata puluhan tetamu yang hadir pada majlis tayangan amal filem animasi SuperSquad anjuran Netcarbon Sdn. Bhd. itu tertancap kemas pada susuk tubuh bayi lelaki yang sedang dikendong erat oleh Fadzil. Bayi kecil itu ialah Muhammad, anak sulung Diana dan suaminya, pelakon Farid Kamil yang kini berusia sembilan bulan. Itu merupakan kali pertama Diana membawa cahaya mata kesayangannya menghadiri majlis rasmi yang melibatkan kehadiran pihak media. Namun begitu, apabila menyedari lampu denyar jurufoto mula menyimbah untuk merakamkan detik-detik kehadiran mereka, Fadzil dilihat bergegas membawa Muhammad keluar meninggalkan auditorium tersebut sebelum majlis yang dihadiri mereka tamat. Ketika meminta untuk bergambar bersama Muhammad usai majlis itu, Diana, 23, memohon maaf kerana dia belum bersedia untuk membuka ruang kepada anaknya muncul di mana-mana media. Tidak selesa "Minta maaf banyak-banyak. Saya bukan membawa Muhammad 'lari' daripada media. Saya cuma tidak selesa apabila jurufoto mula merakamkan gambar kami bertiga sebentar tadi," ujarnya sambil tersenyum. "Apabila tiba masa yang sesuai, saya dan Farid pasti akan mengumumkannya kepada pihak media," kata pelakon yang pernah popular menerusi filem muzikal Magika itu. Ditanya mengapa membawa Muhammad bersama ketika menghadiri majlis rasmi sedangkan dia enggan untuk mempertemukan anaknya itu dengan pihak media, jawab Diana, dia terpaksa berbuat demikian kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga anaknya ketika itu. "Saya terpaksa membawa Muhammad bersama kerana pengasuhnya sedang bercuti. "Sepatutnya Farid yang mengambil alih tugas penjagaan tetapi kebetulan dia diserang demam. "Justeru, saya terpaksa membawanya bersama bagi menghadiri majlis tayangan amal filem SuperSquad," kata Diana yang turut menjadi salah seorang pelakon yang meminjamkan suara bagi filem animasi tersebut. Kehidupan seimbang Sejak bergelar ibu, kehidupan wanita berdarah kacukan Melayu-Amerika ini ternyata jauh berubah. Lebih menumpukan perhatiannya pada Muhammad, Diana mengakui dia banyak menghabiskan masanya di rumah jika tidak terlibat dengan sebarang penggambaran. "Jika tiada sebarang tawaran berlakon atau tugasan untuk mempromosikan filem, saya lebih gemar untuk menghabiskan masa bersama Muhammad di rumah. "Kadangkala, saya akan membawanya keluar untuk bersiar-siar. Hubungan saya dan anak saya sangat rapat. "Saya akui, kehidupan saya dan Farid banyak berubah sejak bergelar ibu dan bapa. "Jika kami mengalami perselisihan faham, kami tidak akan memanjangkan sengketa kerana sering memikirkan tentang anak. "Secara keseluruhan, kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri semakin seimbang dengan kehadiran Muhammad," jelasnya yang kehilangan berat badan kerana sibuk melayan karenah Muhammad yang semakin aktif bergerak. Sebagai seorang ibu muda, Diana memberitahu, dia banyak membaca buku, majalah serta info-info yang terdapat di internet bagi menambah pengetahuannya tentang kanak-kanak. "Maklumat-maklumat yang terdapat dalam buku serta majalah banyak membantu saya dalam rutin menjaga anak saya. "Selain itu, saya ada meminta pendapat kenalan-kenalan yang lebih senior tentang cara mereka menjaga anak," katanya yang menggunakan khidmat pengasuh daripada Filipina untuk menjaga Muhammad. Debat Twitter Baru-baru ini, menerusi akaun Twitter peribadi miliknya, Diana ada menyatakan pendapat tentang misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. Menerusi kemas kini tersebut, ujar Diana, dia tidak percaya bahawa juruterbang pesawat itu ada kaitan dengan kehilangan pesawat yang telah hilang sejak 8 Mac lalu. Malangnya, salah seorang pengikut akaun Twitternya membidas pendapat tersebut dengan kenyataan-kenyataan yang kurang enak didengar. Terpukul dengan kenyataan itu, Diana bertindak membalas kata- kata pengikutnya itu sehingga menimbulkan pergaduhan. "Saya hanya menulis di Twitter bagi meluahkan pendapat saya sahaja tetapi dengan tidak semena- mena, ada segelintir individu yang marah dan tidak berpuas hati dengan pendapat itu. "Itu hanya pendapat saya sahaja. Jika dia berasa juruterbang itu bersalah, itu adalah hak dia. Jangan pula memaksa saya untuk bersetuju dengan pendapatnya," katanya. Tambah Diana, pengikut akaun Twitternya itu bersikap biadab dan kedengaran seperti mahu menjatuhkan hukuman kepada juruterbang tersebut. "Saya berasa tercabar apabila membaca kenyataan-kenyataan tersebut. "Bayangkan perasaan ahli keluarga juruterbang itu jika mereka membaca tentang berita-berita dan kenyataan yang kurang sahih berkenaan tragedi ini. Ia pasti menyedihkan. "Selain itu, sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa terkesan dengan tuduhan yang dilemparkan oleh media Barat terhadap juruterbang kita. "Jadi, tidak menjadi suatu kesalahan bagi saya untuk mempertahankan maruah negara sendiri daripada diperkotak-katikkan," katanya lagi. Pinjam suara Melanjutkan perbualan pada petang itu, Diana berkata, filem animasi yang meminjam suaranya, SuperSquad merupakan sebuah projek yang belum pernah dicubanya sebelum ini. Katanya, selain pertama kali menjadi pelakon suara, dia turut mempelajari beberapa perkara baharu sepanjang proses pembikinan filem animasi tersebut. "Filem animasi terbitan Netcarbon Sdn. Bhd. ini mula dibikin pada tahun 2011. "Pada waktu itu, proses memasukkan suara (dubbing) dilakukan terlebih dahulu sebelum proses melukis watak-watak animasi. "Ia merupakan perkara yang baharu buat saya dan para pelakon yang lain. "Sebelum ini, kita akan berlakon terlebih dahulu sebelum menjalani proses memasukkan suara. "Namun, untuk filem SuperSquad, kami perlu merakamkan suara terlebih dahulu bagi memudahkan pelukis animasi mencipta watak berdasarkan dialog yang dilontarkan," kata Diana yang meminjamkan suara untuk watak Elly. Walaupun industri perfileman negara ketika ini masih tidak serancak dahulu, namun Diana yakin bahawa filem ini mampu menarik perhatian penonton, terutamanya daripada golongan kanak-kanak. "Sebelum dibikin untuk tayangan di pawagam, SuperSquad terlebih dahulu telah diterbitkan dalam bentuk siri yang disiarkan di televisyen berjudul Supertots. "Justeru, dengan adanya kehadiran suara-suara pelakon popular seperti Aaron Aziz, Radhi Khalid dan Dafi serta ditambah dengan penonton yang sedia ada, filem ini mampu untuk berdiri dengan sendirinya," ujar Diana positif. Filem arahan Mohd. Rashdan Ramlee yang menelan belanja sebanyak RM6 juta ini dijangka menemui penonton pada 5 Jun depan. | ||
Posted: 23 Mar 2014 06:03 PM PDT PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah, 54, mengaku dirinya cukup menjaga nilai eksklusif untuk terus kekal popular dan relevan sehingga hari ini. Selain kurang muncul di tempat awam, Jamal juga tidak terlalu ghairah untuk memuat naik sebarang status mahupun gambar dalam akaun laman sosialnya. Bukan buta IT mahupun teknologi tetapi tegas pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali itu, dia harus meletakkan sempadan antaranya dan peminat, tidak seperti artis sekarang yang dilihat terlalu mudah untuk didekati. Kata bapa kepada Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, itu, keghairahan artis untuk terlalu dekat dengan peminat membuatkan nilai eksklusif artis tersebut jatuh. Selain itu, Jamal juga menegur ramai penyanyi muda hari ini tidak ikhlas untuk menjadi penyanyi seperti penyanyi yang lahir pada zamannya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Jamal yang ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha Antarabangsa bersama Datuk Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Kosmo!: Mengapakah Jamal meletakkan sempadan dengan peminat? JAMAL: Saya letak sempadan untuk kekal popular dan sentiasa relevan dengan pasaran walaupun saya sudah berusia. Bukanlah saya sombong dengan peminat tetapi bagi saya sempadan itu perlu apabila kita tinggal di dunia tanpa sempadan, sekarang menerusi telefon pun semuanya boleh dilihat. Maknanya Jamal menolak kewujudan laman sosial? Bukanlah menolak sebab saya sendiri pun ada akaun laman sosial cuma diuruskan oleh orang yang saya percayai. Laman sosial bagus untuk saya mempromosikan persembahan dan peminat mengetahui perkembangan saya. Namun, jika artis buat silap, laman sosial itu akan memakan diri apabila menjadi medan orang ramai mengutuk artis itu. Jika sudah bersedia dengan segala kemungkinan bolehlah tetapi saya tidak mahu ambil risiko. Bagaimanapun, saya percaya kalau peminat jarang bertemu artis pujaannya, mereka lebih teruja apabila berjumpa atau menonton persembahannya. Adakah itu rahsia Jamal popular sehingga kini? Ya, kerana sudah lama saya amalkan. Sebagai penyanyi lama, saya harus menjaga nilai eksklusif. Saya jarang keluar rumah jika tiada persembahan, jarang mengambil persembahan yang boleh ditonton secara percuma, jarang muncul dalam program televisyen dan juga jarang memuat naik status atau gambar di laman sosial. Apabila peminat tidak dapat berinteraksi atau menonton persembahan saya di tempat lain secara percuma, mereka tidak ralat membayar untuk menyaksikan persembahan saya. Alhamdulillah, tawaran persembahan pentas tidak pernah putus. Mengapakah Jamal mengatakan penyanyi sekarang tidak ikhlas apabila menyanyi? Disebabkan terlalu banyak program realiti nyanyian sejak kebelakangan ini, ramai penyanyi realiti yang muncul. Ada yang benar-benar bagus tetapi ramai yang menyanyi tidak ikhlas. Apabila muncul di atas pentas mereka menyanyi untuk kamera, juri dan penonton bukannya untuk diri mereka sendiri. Jika menyanyi dengan ikhlas untuk diri sendiri secara tidak langsung cara nyanyian itu akan menyentuh perasaan semua yang mendengar. Apakah nasihat Jamal untuk penyanyi baharu? Jangan buat kerja sambil lewa dan selalu buat kajian sebelum persembahan. Apabila menyanyi tidak kiralah di mana sahaja, menyanyilah dengan ikhlas dan penuh perasaan. Harus diingat kita mungkin akan dipanggil menyanyi oleh salah seorang penonton yang sedang menonton persembahan kita. Jadi, menyanyi dengan bersungguh bukan semata-mata untuk wang sahaja. Khabarnya Jamal sangat sibuk pada bulan April sempena Minggu Setiausaha? Alhamdulillah, saya mempunyai tiga persembahan untuk Minggu Setiausaha dan satu persembahan Hari Ibu. Setiap persembahan saya adalah berbeza. Di Kuala Lumpur, saya akan adakan persembahan Minggu Setiausaha bersama Dee di Dewan Merdeka, PWTC pada 22 April depan. Meja dijual antara RM2,000 sehingga RM5,000 ke atas. Sebarang tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2614 6701 atau layari laman web www.pwtc.com.my. Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi? Kehidupan saya seperti biasa, masih selesa dengan status duda selama 10 tahun. Sebelum ini gosip yang mengaitkan saya dengan Nas Adila itu tidak betul kerana dia terlalu muda untuk saya. Jika ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya terima tetapi buat masa sekarang biarlah saya sibuk dengan kerja dan anak-anak. | ||
Oleh-oleh wajib Bumi Kenyalang Posted: 23 Mar 2014 05:57 PM PDT 'TIGA ekor RM10...tiga ekor RM10...tiga ekor RM10. Begitulah sapaan mesra para peniaga ikan terubuk masin setiap kali pengunjung menjejakkan kaki ke Medan Niaga Satok, Kuching, Sarawak. Taktik 'jeritan' mesra yang memancing pelanggan berkunjung ke gerai masing-masing itu bagaikan sudah sebati dengan kehidupan peniaga ikan terubuk masin di situ. Suasana hingar-bingar dengan jerit-pekik suara peniaga yang menjaja 'ikan pelancongan' tersebut di selang-seli dengan suara tawar-menawar antara pembeli dan peniaga. Menjelang pukul 2 petang, setiap Ahad iaitu sebelum operasi pasar minggu tamat, para peniaga akan saling 'berlawan' menjual ikan terubuk masin masing-masing. Kadangkala, harga 'runtuh' yang ditawarkan amat rendah dan kedengaran tidak munasabah jika pembeli benar-benar mahu membeli ikan terubuk masin dalam kuantiti yang banyak. Medan niaga yang terletak di Kubah Ria, Satok yang beroperasi pada 1 Januari 2013 namun ia telah dianggap 'syurga' bagi mendapatkan ikan terubuk masin. Jumlah pengunjung ke Medan Niaga Satok juga semakin bertambah setiap kali hujung minggu dan musim cuti sekolah. Malah, tidak lengkap kunjungan pelancong ke Bumi Kenyalang jika tidak membawa pulang oleh-oleh ikan terubuk, terutama terubuk masin dan telur terubuk masin dari Medan Niaga Satok. Buah tangan Kepada seorang pembeli, Jamaluddin Ismail, 52, sebaik beliau menjejakkan kaki di Sarawak, perkara utama yang mucul dalam fikirannya ialah mencari ikan terubuk masin untuk dijadikan oleh-oleh selain menikmati sendiri keenakan isinya yang lemak manis. Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, kunjungan pertamanya bersama keluarga ke Kuching, Sarawak tidak sah jika tidak berkunjung ke Medan Niaga Satok untuk mendapatkan ikan terubuk masin. "Peluang berada di Sarawak kali ini tidak akan dilepaskan untuk membeli buah tangan wajib itu lebih-lebih lagi sekarang adalah musim ikan terubuk asli Sarawak. "Saya membeli ikan terubuk masin untuk simpanan sendiri. Selain itu, saya juga ada membungkus lima kotak lain untuk dijadikan hadiah kepada saudara-mara dan jiran-jiran. "Saya sangat suka ikan terubuk bakar begitu juga ikan terubuk masin. Kali ini, saya dan keluarga berpeluang untuk membeli sendiri di tempat asal ikan terubuk tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! di Medan Niaga Satok baru-baru ini. Jamaluddin memberitahu, dia juga sangat kagum apabila dapat melihat sendiri cara-cara ikan terubuk masin diproses oleh para pekerja di Medan Niaga Satok. Katanya, harga ikan masin di situ berpatutan dan tidak membebankan para pembeli terutama buat pengunjung dari Semenanjung. Bagi seorang pembeli tempatan, Mohd. Azriq Zaini, 24, ikan terubuk masin seolah-olah menjadi menu wajib bagi dirinya dan keluarga setiap hari. Terubuk bertelur "Ikan terubuk masin segar sangat sesuai dimasak lemak, asam pedas atau digoreng. Bagi ikan terubuk masin kering pula, kebiasaannya ia digemari oleh golongan warga emas dan ia sesuai dibuat masak lemak serta digoreng. "Malah, sebut sahaja ikan terubuk masin, pasti ramai yang terliur dengan keenakannya, apa lagi kalau dapat menikmati ikan terubuk bertelur," katanya. Seorang peniaga ikan terubuk masin, Suhaimi Ahmad, 31, yang telah 15 tahun terbabit dengan industri ikan terubuk masin memberitahu, Jabatan Perikanan Sarawak (JPS) sentiasa memantau para nelayan menangkap spesies ikan berkenaan yang hanya membiak mengikut musim. Bermusim Jelasnya, penangkapan ikan terubuk bukan pada musimnya akan didakwa kerana untuk mengelakkan ikan spesies itu pupus. "Musim bertelur di Sungai Lupar, Sri Aman agak singkat manakala di Sungai Lassa, Mukah lebih panjang iaitu di antara bulan Mac hingga November. Ikan ini juga terdapat di Batang Sadong di Samarahan dan Batang Saribas di Betong. "Bagi menampung permintaan ikan terubuk masin yang tinggi, para penjual terpaksa mendapatkan bekalan terubuk import dari Thailand, India dan Myanmar. "Sebab itu, terdapat dua jenis terubuk di Sarawak iaitu ikan yang diimport dan ikan tempatan," katanya yang berniaga ikan terubuk masin sejak berusia 16 tahun. Suhaimi menceritakan, ikan terubuk sungai tempatan mempunyai mulut lebih kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil serta badannya lebih gemuk. Katanya, dia dan rakan peniaga di situ menjual ikan terubuk masin import mengikut saiz iaitu antara RM5 hingga RM30 seekor manakala telur ikan terubuk masin pula lebih mahal. "Bagi telur terubuk masin import, ia boleh mencecah sehingga RM200 sekilogram dan telur terubuk masin tempatan lebih mahal iaitu kira-kira RM300 sekilogram kerana sukar didapati. "Kami menjual ikan terubuk asli Sarawak mahal sedikit berbanding ikan import iaitu antara RM12 seekor dan boleh mencecah RM55 seekor mengikut saiz. "Bagaimanapun, pelanggan kami tidak merungut, malah jika pada musimnya, mereka pasti memilih ikan terubuk asli Sarawak berbanding import kerana kualiti isinya yang sangat lembut dan lemak," katanya. Sementara itu, pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak, Albert Chuan, berkata, ikan terubuk asli Sarawak mempuyai keistimewaan tersendiri. Katanya, ikan terubuk yang menjadi salah satu ikon pelancongan Sarawak yang banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi penduduk dan negeri ini. Katanya, isi ikan terubuk asli Sarawak lebih berlemak dan telurnya lebih besar berbanding ikan terubuk import. Albert memberitahu, perbezaan juga dapat dilihat dari segi kesegaran kerana terubuk tempatan lebih sedap kerana ia segar. Sedangkan terubuk import pula, terpaksa dibekukan terlebih dulu dan sisik terubuk asli lebih mudah tertanggal berbanding sisik ikan import yang keras. Terubuk sungai "Terubuk import pula mempunyai bintik hitam di badan tetapi tiada pada terubuk sungai Sarawak. Perbezaan terubuk tempatan dan import juga boleh dilihat pada harga. "Terubuk sungai lebih mahal berbanding terubuk import. Sekali imbas, memang sukar mencari perbezaan terubuk sungai dan terubuk import. Orang biasa memang selalu keliru," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Albert berkata, terdapat dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau Tenualosa Macrura yang boleh dikenali dengan fizikalnya bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk. Ujarnya, terubuk sungai atau Tenualosa Toli mempunyai muncung atau mulut lebih besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini. Jelasnya, penentuan jantina ikan terubuk hanya dapat dikenal pasti apabila ia menjangkau usia dua tahun dan bertelur. "Mengikut kajian Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Tenualosa Toli mula bertelur dari bulan September hingga Oktober dan berkurangan pada bulan November," katanya. Albert menjelaskan lagi, terubuk jantan boleh mencapai ukuran panjang sehingga 12.8 hingga 34 sentimeter manakala betina pula dari 14 hingga 46.2 sentimeter dan masing-masing mempunyai purata berat 178.2 gram dan 533.9 gram. | ||
Posted: 23 Mar 2014 05:55 PM PDT MELIHAT kelibat ular tedung dari jauh pun sudah cukup untuk membuatkan ramai orang menjerit ketakutan, inikan pula jika dipaksa menggigit leher reptilia itu hidup-hidup dan menghirup darahnya. Kedengaran ngeri dan menjijikkan, namun itulah cabaran yang perlu ditempuh oleh anggota-anggota tentera yang mengikuti program tahunan Cobra Gold 2014. Cobra Gold yang sudah 13 kali diadakan merupakan program latihan ketenteraan tahunan yang menggabungkan tentera dari beberapa buah negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun. Latihan terbaharu melibatkan 8,000 anggota tentera yang dijalankan di wilayah Chanthaburi, Thailand, Februari lalu manakala tahun sebelumnya di Sanapit, negara yang sama. Minum darah ular Selain didedahkan dengan latihan daya kelangsungan hidup di dalam hutan, kesemua peserta yang dipilih oleh Pasukan Khas Tentera Diraja Thailand itu akan diajar dengan salah satu tradisi yang menjadi kebanggaan negara tersebut iaitu minum darah ular tedung sebaik haiwan tersebut ditangkap. Ramai yang beranggapan darah ular tedung Asia Tenggara mempunyai penawar dan khasiat yang paling baik. Tidak hairanlah jika latihan ketenteraan tersebut turut diselitkan dengan cabaran memburu dan minum darah haiwan kategori pemangsa tersebut. Darah ular sememangnya bernilai tinggi di sesetengah tempat. Di Jakarta, Indonesia, contohnya, arak yang dicampur darah ular dijual pada harga RM350 segelas. Selain memburu ular tedung, tentera terbabit didedahkan dengan kaedah memburu dan memakan haiwan lain seperti serangga dan burung, begitu juga tumbuh-tumbuhan. Bagaimanapun, latihan menangkap, membunuh dan minum darah ular tedung telah menerima pelbagai kritikan walaupun ia diakui lebih mencabar berbanding mencari sumber makanan lain di dalam hutan sewaktu darurat. Survival hutan Menurut salah seorang tenaga pengajar Cobra Gold, Rittichai Soontorn, pelatih seharusnya diberi pendedahan yang mendalam terhadap kaedah daya ketahanan diri di dalam belantara dan bukan memfokuskan kepada perkara sebaliknya yang pelik-pelik. "Perkara ini tidak logik memandangkan banyak lagi benda lain yang mereka boleh bergantung untuk terus hidup bersendirian. "Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan kerana ia sumber yang paling mudah dan cepat untuk diperoleh di dalam hutan," katanya seperti dipetik ABC News. Dalam pada itu, Pegawai Memerintah KD Sri Pinang, Komander Abau Endin Boon berkata, latihan seperti itu disifatkan sebagai aneh dan dipercayai tidak pernah dipraktikkan dalam latihan ketenteraan di Malaysia. "Biasanya dalam latihan hutan, tentera diajar cara menjerat, memburu binatang dan menghidupkan api. "Selain itu, mereka juga diajar cara untuk mengenal pasti tumbuh-tumbuhan yang boleh di jadikan sumber makanan seperti ulam-ulaman dan sayur pucuk," katanya kepada Jurnal. Tambah Abau, minum darah ular tedung bagaimanapun disifatkan normal dan sering dilakukan oleh sesetengah masyarakat di Malaysia. "Saya pernah melihat sebuah gerai di pasar malam di Kuantan, Pahang yang menjual campuran darah ular tedung dan arak. "Kecenderungan individu untuk minum minuman ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan bahawa minuman tersebut kaya dengan pelbagai khasiat, malah mampu menguatkan tenaga batin," ujarnya. | ||
Posted: 23 Mar 2014 05:54 PM PDT KIRA-KIRA empat tahun yang lalu, pemilik nama Erry Ezzua Mohd. Ali Murad, 35, hanya mampu menzahirkan perasaan kagum tatkala tablet pintar nombor satu dunia jenama iPad, berada dalam genggaman tangan. Keterujaan tersebut bukan disebabkan iPad menjadi fenomena luar biasa masyarakat setempat pada ketika itu, tetapi ia lebih kepada aplikasi-aplikasi yang dimuatkan di dalam peranti mudah alih tersebut. Dari saat itu, anak jati kelahiran Selangor ini terus menanam azam untuk mencipta aplikasi sendiri pada suatu nanti. Bagaimanapun, graduan Diploma Seni Reka Grafik daripada Kolej Cosmopoint itu kini mampu tersenyum lebar apabila impiannya untuk mereka cipta aplikasi miliknya sendiri menjadi kenyataan. "Saya sendiri pun tidak menyangka mampu mencipta aplikasi sendiri memandangkan sebelum ini saya bukan daripada jurusan tersebut. "Tetapi disebabkan naluri saya kuat untuk mencuba, saya belajar perlahan-lahan menerusi buku dan internet, selain berbekalkan pengalaman yang saya timba sewaktu bekerja di sebuah syarikat swasta. Kini, setelah hampir tiga tahun berhempas-pulas, usaha tersebut ternyata membuahkan hasil," katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini. Cipta aplikasi orkid Membeli jambangan bunga orkid menerusi aplikasi yang dimuat turun menerusi telefon pintar pastinya kedengaran agak janggal dan belum pernah dipraktikkan oleh mana-mana individu sebelum ini. Namun itu hakikat yang harus dibanggakan selepas inovasi tersebut berjaya dimuat turun menerusi aplikasi Google Play Store, setelah hampir tiga minggu memerah keringat. Mengimbau kembali detik-detik itu, ujar Erry, idea untuk mencipta aplikasi tersebut diperoleh sewaktu bertemu dengan seorang pengusaha ladang orkid. "Secara kebetulan pada ketika itu, kami membincangkan bagaimana untuk mengkomersialkan perniagaan tersebut memandangkan dia hanya ada produk berkaitan pokok orkid. "Namun setelah perbincangan dijalankan, saya tampil dengan idea tersebut dan kini, aplikasi itu sudah boleh digunakan sepenuhnya dengan mudah kira-kira dua bulan yang lalu," ujarnya. Hexagon Orchids merupakan aplikasi pertama ciptaan Erry. Aplikasi yang dibangunkan itu bukan sahaja memudahkan pengguna membeli jambangan orkid secara atas talian tanpa mengira waktu, namun, pengguna juga berupaya mendapatkan maklumat berkaitan produk serta promosi melalui penggunaan fungsi 'Push Notification'. Melalui penggunaan aplikasi ini juga akan menggabungkan media sosial yang lain seperti Facebook, Blogspot dan Twitter bawah satu aplikasi. Ujar Erry, melalui aplikasi tersebut, pengguna lebih mudah untuk membuat pilihan selain membuat pembayaran menggunakan kredit atau kad debit. "Bukan itu sahaja, kedua-dua pengguna dan peniaga mampu berhubung secara terus secara online. "Selain itu, ia juga mudah untuk difahami dan digunakan oleh sesiapa sahaja dan pengguna kini tidak perlu lagi beratur panjang ke institusi perbankan untuk membuat pembayaran," katanya. Industri kecil sederhana Sebaik ditanya apa yang membuatkan dia sanggup keluar daripada zon selesa dan memperjudikan masa dengan aplikasi ini, Erry hanya tersenyum. Menurutnya, semangat tersebut turut didorong dengan perasaan ingin membantu peniaga-peniaga IKS untuk mengorak langkah lebih maju ke hadapan, dalam bidang yang diceburi. "Sekarang ini kita lihat internet di hujung jari dan hampir 70 peratus daripada peniaga menggunakan kaedah tersebut dalam menjalankan perniagaan mereka. "Namun begitu, masih ramai lagi yang tidak mengetahui kaedah-kaedah betul, selain tidak mampu untuk melabur memandangkan kos yang diperlukan agak tinggi," ujarnya. Ujarnya, melalui platform yang disediakan, dia berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu peniaga dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka. "Ia secara tidak langsung dapat membantu peniaga-peniaga IKS di Malaysia dalam menggunakan aplikasi telefon sebagai salah satu strategi pemasaran produk mereka," jelasnya. Cabaran Walaupun pada dasarnya membangunkan aplikasi kelihatan mudah, namun, Erry mengakui tidak terlepas daripada dibelenggu dengan pelbagai masalah. Ini kerana, selain berdepan dengan pelanggan, dia perlu mereka cipta bentuk dan susun atur dari awal, sehingga semuanya selesai. "Pada saya semua mampu diselesaikan dengan mudah. Bagaimanapun salah satu cabaran apabila aplikasi tersebut sudah siap dan menunggu untuk dimuat naik ke dalam Apple Apps Store mahu pun Google Play Store. Cabaran lain adalah seperti memperkemas aplikasi bagi memastikan ia berjalan dengan baik apabila pengguna menggunakan aplikasi tersebut. "Memuat naik aplikasi ke Google Play Store tidak terlalu rumit berbanding Apple Apps Store," jelasnya. Umumnya, Google Play Store hanya mengambil masa beberapa hari sebelum sesuatu aplikasi lulus untuk dimuat naik. Sebaliknya Apple Apps Store mengambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu bergantung kepada kelulusan Apple. | ||
Posted: 23 Mar 2014 05:53 PM PDT SENI adalah satu subjek yang subjektif dan setiap orang mempunyai interpretasi tersendiri dalam mentafsir dan menilai sesebuah karya seni. Buat pertama kalinya, galeri Artiseri di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur menganjurkan pameran fotografi berkumpulan yang menampilkan karya-karya seni yang hanya mampu dirakam oleh ketajaman lensa kamera. Menerusi pameran tersebut, orang ramai dapat menilai dengan mata kasar selain interpretasi sendiri mengenai subjek mahupun karya seni yang dipamerkan. Bertajuk Limitless: The Unseen yang membawa maksud tiada sebarang had dalam melihat subjek tersembunyi, pameran fotografi berkenaan mempamerkan karya-karya lima jurugambar tempatan yang berbakat. Karya-karya yang dipaparkan adalah daripada pelbagai subjek termasuk unsur-unsur yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia hingga menyusur kawasan eksotik dan jarang diketahui kewujudannya. Limitless: The Unseen membariskan lima jurugambar iaitu Datuk Arif Abu Bakar, Abbi Kanthasamy, Dr. Kamil Salem, Mazlim Husin dan Nazmi Raman. Setiap jurugambar ini datang daripada latar belakang berbeza, namun mempunyai persamaan iaitu masing-masing menggunakan lensa kamera untuk merakam detik-detik yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar manusia. Salah seorang jurugambar, Kamil, 54, ketika ditemui Kosmo! memberitahu, dia mengubah rakaman lensa kamera dengan menjadikannya seakan-akan lukisan di atas kanvas menerusi subjek yang jarang dan tidak pernah dilihat sebelum ini. Pengalaman Misalnya menurut beliau, dia merakamkan kisah seorang pemain dan pembuat alat muzik sape di daerah Bau yang tidak pernah diketahui umum mengenai latar belakang legenda muzik tradisional suku kaum Orang Ulu tersebut. "Dengan menggunakan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang grafik, pengiklanan, penyiaran dan industri reka bentuk, saya mengolah rakaman fotografi itu menjadi karya seni yang memuatkan cerita, mesej dan keindahan seni itu sendiri. "Pujian kepada galeri Artiseri di Hotel Seri Pacific kerana memberi ruang kepada penggiat seni fotografi ini mempromosikan karya masing-masing kepada khalayak. Pada pameran ini, saya memaparkan dua karya sahaja," kata anak kelahiran Kuching, Sarawak ini. Bagi Mazlim pula, minatnya dalam pengembaraan ke serata dunia membolehkan dia merakamkan pelbagai subjek unik dengan menggunakan sudut-sudut menarik bagi menonjolkan seni fotografi. Ini kerana kata Mazlim, 47, yang mempelajari fotografi daripada bapanya, banyak tempat di dunia bahkan di Malaysia sendiri mempunyai keindahan yang tidak pernah diketahui umum, maka dengan seni fotografi ini, dia boleh berkongsi dengan orang ramai. "Saya juga berhasrat menerbitkan sebuah buku seni fotografi yang menonjolkan hasil karya sepanjang pengembaraan selama ini pada masa hadapan untuk dikongsikan dengan orang ramai," katanya yang serius dalam bidang itu sejak enam tahun lalu. Sementara itu, Nazmi, 56, yang memiliki pengalaman lebih tiga dekad sebagai jurugambar memberitahu, seni fotografi masih belum berkembang luas di Malaysia. Beliau yang pernah bertugas di Afrika dan Eropah dalam bidang fotografi berkata, pameran itu diharap dapat mendedahkan seni fotografi kepada orang ramai. "Para karyawan pula dapat mengetengahkan bakat mereka sekali gus mempromosikan karya masing-masing kepada peminat seni," ujarnya. Dalam pada itu, galeri Artiseri dibuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.facebook.com/Artiseri atau menghubungi Asha di talian 03-4049 4302. | ||
Posted: 23 Mar 2014 05:52 PM PDT BENAR kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Itu yang berlaku kepada seorang remaja, Elaira Krizia Soon apabila diumumkan sebagai pemenang utama peraduan anjuran restoran Dubu Dubu. Elaira, 22, langsung tidak menyangka kehadirannya untuk menjamu selera di restoran tersebut membolehkannya menikmati percutian istimewa ke Korea bernilai lebih RM7,000 untuk dua orang. Restoran tersebut mempunyai lima cawangan iaitu di Mid Valley, Berjaya Times Square, Damansara, Sunway Pyramid dan Centro Mall, Klang. Menurut Elaira, ia merupakan kemenangan pertama dalam peraduan yang disertainya secara suka-suka apabila melihat maklumat yang dipaparkan di atas meja hidangan. "Jujurnya saya masih terkejut apabila dihubungi pihak penganjur yang memaklumkan mengenai kemenangan ini. Sewaktu menyertai peraduan ini, saya langsung tidak menaruh sebarang harapan yang tinggi. "Saya dan rakan berpendapat tidak salah untuk mencuba. Justeru, kami mengambil gambar untuk berseronok dan ternyata tuah menyebelahi kami apabila memenangi hadiah utama dengan hanya sekeping gambar. "Memandangkan pihak penganjur memberi peluang untuk memilih tarikh percutian itu, kami sepakat untuk ke Korea sewaktu musim luruh kerana mahu melihat keindahan daun mapel yang gugur berterbangan di samping cuaca yang nyaman," ujarnya dengan penuh teruja. Dianjurkan sempena menyambut ulang tahun kedua Dubu Dubu bertapak di Malaysia, peraduan itu telah berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Januari lalu. Pengarah Eksekutif CRDubu Malaysia Sdn. Bhd., Wong Kah Yong berkata, peraduan itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan untuk pelanggan yang sentiasa memberi sokongan terhadap Dubu Dubu. "Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin kami mencapai kejayaan seperti hari ini. Justeru, dengan adanya peraduan ini, ia akan meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap kami," ujar Kah Yong. Peraduan tersebut memerlukan pelanggan restoran menghantar gambar paling kreatif ketika menikmati hidangan Dak Galbi Dubu Dubu iaitu sejenis sajian Korea yang terdiri daripada ayam dan sayur campur. Selain Elaira, dua lagi pelanggan bertuah ialah Jayagopal R. Yellumalai, 57, yang memenangi sebuah televisyen LG LED 42 inci dan Naseeha Ubaidi Hishamudin yang membawa pulang Samsung Galaxy Tab 3. Jayagopal memberitahu, sejak menyertai peraduan itu, dia memang berharap untuk memenangi televisyen LED seperti yang ditawarkan. "Saya gembira kerana dapat membawa pulang apa yang saya impikan. Televisyen ini amat sesuai untuk saya dan keluarga menghabiskan masa menonton," ungkap Jayagopal yang tampil dengan idea gambar menarik iaitu mencantumkan dua imej dirinya seolah-olah pasangan kembar yang sedang menikmati hidangan Dak Galbi dalam keadaan mencuit hati. Bagi Naseeha pula, dia menghantar gambar bersama ibunya ketika mereka menikmati makan tengah hari di restoran tersebut. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana menjadi antara tiga pemenang bertuah dalam peraduan ini. Walaupun pakej percutian ke Korea memang satu hadiah yang sangat menarik, tetapi ia bukan rezeki saya. Mana tahu mungkin rezeki saya dimurahkan pada masa akan datang," tuturnya sambil tersenyum. Sementara itu, tambah Kah Yong, ramai rakyat Malaysia meminati makanan Korea dan Dak Galbi menjadi antara kegemaran mereka. "Pelbagai gambar kreatif yang dihantar jelas menunjukkan betapa orang ramai menggemari cita rasa hebat kami. Malah, kami juga gembira apabila melihat Dubu Dubu kini muncul sebagai jenama terkenal bagi mereka yang menghargai hidangan lazat Korea. "Di Dubu Dubu, kami sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa semua ramuan menghasilkan cita rasa asli sajian Korea. Oleh itu, kami hanya menggunakan daging, makanan laut dan sayur-sayuran paling segar untuk menghasilkan makanan yang lazat dan menyelerakan untuk pelanggan," katanya. Dubu Dubu, yang bermakna tauhu dalam bahasa Korea, adalah rangkaian restoran yang sedang berkembang pesat dan terkenal kerana sajian asli Korea yang dihidangkan dalam suasana yang selesa dan bergaya. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web www.dubudubu.com.my. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan