RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Jaclyn Victor Umum Tarikh Kahwin Selepas Aidilfitri

Posted: 31 Mar 2014 09:28 PM PDT

Jaclyn Victor Dedah Bakal Berkahwin Dalam Masa Terdekat.
PETALING JAYA:  Penyanyi Jaclyn Victor memberitahu bakal mengumumkan tarikh perkahwinanya selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada bulan Julai depan.

Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 33, berkata, dia sudah mengambil keputusan tersebut dan kini dalam perbincangan untuk menetapkan tarikh keramat itu.

"Ya, saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan sudah ada perancangan ke arah itu dalam masa terdekat ini.

"Namun begitu, saya belum lagi berbincang dan menetapkan tarikh, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri baru saya umumkan segala-galanya termasuklah siapa bakal suami saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Jac berkata demikian ketika diminta mengulas tentang komennya di laman sosial Instagram bahawa dia bakal berkahwin tidak lama lagi.

Tambahnya, keputusan tersebut dibuat sejak awal bulan lalu, namun dia terpaksa menyimpannya bagi menghormati insiden pesawat Penerbangan malaysia, MH370.
Gambar yang dimuat naik di Instagram milik Jaclyn Victor pagi Isnin.
"Pagi ini saya ada berita baik untuk dikongsikan dengan semua. Rahsia ini saya simpan sejak awal bulan lalu bari menghormati semua yang terlibat dengan MH370.

"Saya juga minta maaf kerana mengumumkan berita ini disaat semua masih lagi bersedih dengan insiden MH370. Akhirnya, saya dapat menjawab soalan mereka yang sentiasa bertanya bila saya akan kahwin," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang jejaka yang bakal menjadi suaminya, Jac berkata, dia akan memperkenalkan lelaki itu selepas mengumumkan tarikh perkahwinan berkenaan.
Dalam pada itu, Jac turut berharap peminatnya mendoakan agar segala urusan dan perancangannya mendirikan rumah tangga berjalan lancar.

Linda Rafar Masih Tertanya-Tanya Penyakit Anak

Posted: 31 Mar 2014 09:26 PM PDT


Linda tenang menghadapi dugaan dan sentiasa berada di sisi anaknya yang kini sudah tiga minggu terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur. Foto Ihsan Instagram Linda Rafar.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Linda Rafar masih tidak mengetahui penyakit sebenar anak keduanya iaitu Rezaiman Keiflin yang kini terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dekat sini sejak tiga minggu lalu.

Linda yang dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, dia masih menunggu laporan daripada pihak hospital selepas melakukan pelbagai ujian bagi mengetahui punca sebenar keadaan Rezaiman, yang berusia 12 tahun.

"Saya sebagai ibu sendiri tertanya-tanya apakah punca sebenar keadaannya? Setakat ini saya tidak boleh berkongsi maklumat mengenai keadaan anak saya kerana doktor sedang membuat pemeriksaan lanjut bagi mencari punca penyakitnya itu.

"Dia kini masih ditahan di hospital dan saya berharap dia akan kembali sihat seperti sedia kala," katanya.

Linda diminta mengulas mengenai laporan yang mengatakan anaknya itu menghidapi penyakit kronik dan sukar diubati.

Rezaiman Keiflin adalah anak hasil perkahwinan pertama Linda dengan Keifli Othman.
 
Rezaiman ditemani bapa tirinya, Syed Aiman dan bapa kandungnya, Keifli (kanan) sebelum menjalani pembedahan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Linda berkata, pada mulanya dia sukar menerima keadaan yang menimpa anaknya itu namun menganggap ia adalah ketentuan Allah dan dia harus tabah mengharungi situasi yang melanda.

Jelas Linda lagi, semangat anak lelakinya melawan penyakit  turut menjadi kekuatan kepadanya dan keluarga dan dia berharap agar anaknya cepat sembuh.

"Sukar menerima keadaan yang dialami Rezaiman dan sudah kering air mata mengenangkan anak yang terlantar di hospital namun ini adalah ujian daripada Allah yang harus saya terima dengan redha.

Linda yang kini berhijab mengakui selesa dengan penampilannya itu.

"Ujian ini memberi kekuatan kepada saya dan keluarga namun bersyukur Rezaiman sendiri kuat menghadapi dugaan tersebut," katanya.
Tambah Linda, biarpun masih ditahan di hospital namun Rezaiman tetap mengulang kaji pelajarannya di kelas khas yang disediakan PPUKM memandangkan tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sementara itu, Linda yang kini sudah berhijab melahirkan rasa syukur diberi kesempatan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikkan dalam hidupnya dan selesa dengan penampilannya itu.
Jelas Linda perubahan itu sudah lama dilakukan cuma tidak dihebahkan secara umum kerana enggan niatnya disalah erti oleh sesetengah pihak.

Noryn Aziz Hamil Selepas Empat Tahun Kahwin

Posted: 31 Mar 2014 09:24 PM PDT

noryn aziz
Noryn Aziz bersyukur akhirnya dia disahkan hamil pada Januari lalu selepas empat tahun berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 2010. 
PUTRAJAYA: Penyanyi Jaz iaitu Noryn Aziz menganggap berita kehamilannya pada Januari lalu adalah hadiah paling besar yang pernah diterimanya.

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 37, berkata, sejak berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 2010 dia memang menantikan saat-saat bergelar ibu dan akhirnya ia bakal menjadi kenyataan.

"Sebelum ini macam-macam cara saya dan suami ikhtiar untuk mendapatkan zuriat namun tidak berjaya.

"Alhamdulillah usaha dan doa kami berdua akhirnya membuahkan hasil dan saya kini sedang hamil empat bulan dan dijangka bersalin pada September depan," katanya kepadamStar Online.

Noryn ditemui pada sidang media Secretaries Week @ PICC yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Isnin.

Penyanyi itu bakal membuat kemunculan istimewa pada persembahan istimewa Minggu Setiausaha bersama Afghan di Dewan Perdana pusat konvensyen itu pada 16 April ini.
Noryn memberitahu tidak mengalami sebarang alahan pada kehamilannya namun mengakui mudah penat. 

Dalam pada itu, Noryn berkata, sebelum disahkan hamil dia banyak melakukan rawatan akupunktur yang disarankan oleh  rakannya yang juga penyanyi, Nurul Wahab.

Jelas Noryn, rawatan tersebut banyak membantunya dalam melancarkan kembali sistem dalamannya tambahan pula dia mengalami masalah kurang darah dalam badan.

"Alhamdulillah dengan izin Allah selepas beberapa kali melakukan rawatan itu saya disahkan hamil anak pertama selepas sekian lama mencuba mendapatkan zuriat.

"Saya juga banyak meminta nasihat dan pandangan daripada rakan selebriti seperti Nurul dan Betty Benafe kerana mereka mempunyai pengalaman," ujarnya.

Tambahnya lagi, buat masa ini dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengakui sentiasa berasa penat.

Sementara itu, Noryn berkata, dia berhasrat untuk memperlahankan karier nyanyiannya selepas ini dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir.
Penyanyi lagu-lagu Jazz ini akan membuat kemunculan istimewa pada persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 April.
Bagaimanapun kata Noryn, itu tidak bererti dia akan meninggalkan terus bidang nyanyian sebaliknya akan lebih memilih undangan yang ditawarkan kepadanya.
"Mungkin saya akan kurang mengadakan persembahan bersifat komersial namun jika ia berkaitan dengan kebajikan atau acara tertutup saya akan terima.

"Saya juga mahu kembali menjadi pengajar dalam bidan vokal selain memberi tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan persembahannya pada Secretaries Week @ PICC dijual   serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu.

Kumpulan XPDC Bakal Gegarkan Litar Antarabangsa Sepang

Posted: 31 Mar 2014 09:22 PM PDT


Ahli kumpulan XPDC yang bakal menjayakan konsert pada 26 April depan.
PETALING JAYA: Kumpulan rock XPDC bakal mengegarkan pentas dalam Konsert Return Of Rock XPDC Live In Concert 2014  pada 26 April ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Dalam satu kenyataan, kumpulan yang dikenali sebagai 'Raja Funfair' itu akan mengembalikan ingatan peminat-peminat rock di zaman kegemilangan mereka dengan cara tersendiri selama hampir lima jam.

"Konsert yang bakal berlangsung bermula jam 8 hingga 12 malam ini dibawa oleh 'Return of Rock' dan dijayakan bersama 'SNF Racing' iaitu salah satu acara permotoran tempatan yang mula mengisi minat masyarakat Malaysia hari ini.

"Ia juga bakal mengubat rindu jutaan peminat muzik rock tanahair selepas hampir 15 tahun konsert sebelum ini iaitu Konsert Raksaksa XPDC Brutal yang dihadiri lebih 13,000 penonton," ujar kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, sempena 25 tahun berada dalam industri seni tanah air, sebuah album kompilasi yang mengandungi 24 buah lagu terbaik akan diterbitkan termasuk sebuh lagu baharu berjudul Khilaf.
Konsert ini akan diterajui oleh kumpulan XPDC iaitu Mael (vocal), Izo (gitar) dan Amy (drum) dan Eddie sebagai pemain bes undangan. Tiket boleh dibeli secara online diwww.myticket.my atau di semua cawangan Rock Corner.
Untuk maklumat lanjut bolehlah melayari http://www.facebook.com/RORevent  atau  hubungi talian 017-3889555.

Ubat kerinduan peminat

Posted: 31 Mar 2014 09:19 PM PDT


  • Ubat kerinduan peminat

SELAMA 15 tahun melibatkan diri dalam industri muzik, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 32, bukan calang-calang penyanyi.

Memiliki suara serak basah, Dayang memulakan kerjaya seninya sejak 1999 lagi, ketika usianya mencecah 18 tahun lagi.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini kemudiannya melancarkan single pertama berjudul Hakikat Cinta yang berjaya menaikkan namanya dalam dunia hiburan tempatan.

Sejak dari situ, Dayang terus menempa namanya bukan sahaja di negara sendiri malah di negara jiran, Indonesia kerana keunikkan suaranya itu.

Malah dia juga diiktiraf menerusi pelbagai anugerah seperti Vokal Wanita Terbaik Anugerah Inustri Muzik (AIM) 2013 ; Album Rakaman Terbaik AIM (2006); Lagu Balada Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL 2001),; Juara Bintang Penghibur Hiburan Minggu Ini (MHI 2001) serta, Juara Bintang Remaja (2007).

Diberi peluang untuk beraksi menerusi Konsert Pesona Cinta yang diadakan baru-baru ini, Dayang meluahkan rasa teruja dan gembira apatah lagi berkongsi satu pentas dengan idolanya, Marcell.

Menurut penyanyi hitam manis ini, dia berpeluang untuk menyusun lagu sendiri sebelum menghantar senarai tersebut kepada pemuzik.

"Alhamdulillah...Saya bersyukur diberi kebebasan bagi memilih lagu-lagu kesukaan dalam konsert ini.

"Pemilihan ini membuatkan saya lebih fokus dan dapat memberikan hasilnya dengan baik," katanya.

Ditanya mengenai persediaanya sebelum konsert itu bermula, Dayang berkata, dia berlatih selama dua minggu di studio sebelum ke pentas yang sebenar.

"Berlatih di studio agak membosankan berbanding latihan bersama orkestra atau band live.

"Lagipun saya lebih bersemangat menyanyi ketika iringan muzik secara langsung berbanding muzik rakaman," katanya yang diberi masa selama sejam untuk persembahan solo.

Tambah Dayang, dia terpaksa 'simpan' suara sebelum hari persembahan agar dapat mengekalkan momentum dan suaranya tidak cepat 'hilang'.

"Ia merupakan petua atau amalan yang saya lakukan setiap kali melakukan persembahan secara live," katanya.


Dayang sebak

Ketika menyanyikan lagu 'berhantu' daripada drama popular Ariana Rose, Di Pintu Syurga, Dayang dilihat menangis di atas pentas kerana lagu tersebut dituju khas buat penumpang dan kru MH370 yang masih hilang hingga kini.

Ditambah pula, Dayang kelihatan tergesa-gesa keluar dari pentas sebelum menyampaikan lagu terakhirnya, Dayang Sayang Kamu.

Mengulas perkara tersebut, dia berkata bait-bait lagu tersebut seolah dicipta khas untuk pesawat malang itu.
Katanya, dia menahan sebak kerana teringatkan nasib yang menimpa MH370 ketika menyampaikan lagu tersebut.

"Tidak salah untuk saya menghayati lagu (Di Pintu Syurga). Mulanya tidak terasa apa-apa tetapi makin lama, saya terasa sebak sehingga menitiskan airmata.

"Tambahan pula, lagu ini sentiasa diminta oleh peminat setiap kali saya melakukan persembahan," katanya.

Dalam masa yang sama, Dayang mengakui persembahan kali ini sangat mencabar terutamanya diiringi pemuzik orkestra dan sangat menitik beratkan segala aspek agar tidak melakukan kesilapan.

"Saya juga sangat bertuah dapat beraksi di atas pentas besar ini kerana tidak ramai artis diberi peluang untuk melakukan persembahan di sini.

"Saya bersyukur pihak Istana Budaya beri peluang yang sangat berharga dan pengalaman yang cukup indah," ujarnya.

Kurang popular?

Mengenali penyanyi dari seberang, Marcell Siahaan atau nama sebenarnya Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, 36, yang mempunyai pengikut tersendiri di negara ini.

Mungkin namanya tidak segah rakan seangkatan seperti Rossa, Kris Dayanti, Afghan, Judika dan ramai lagi, namun Marcell dilihat terbuka mengenai soal ini.

Suami kepada pelakon Singapura, Rima Melati Adams itu merupakan seorang pemuzik, penyanyi dan aktor daripada Indonesia.
Marcell mula dikenali sejak berduet dengan Shanty menerusi lagu Hanya Memuji, beberapa tahun lalu turut menjadi siulan di Malaysia.

Mempunyai darah campuran Batak, Cina, Belanda, Ambon dan Jawa itu, Marcell akui bahawa namanya kurang dikenali di negara ini berbanding artis senegaranya yang lain.

"Apa yang saya lihat sepanjang persembahan berlangsung, rata-rata penonton tidak dapat mengikuti kebanyakan lagu yang saya nyanyikan.

"Hanya beberapa lagu seperti Firasat, Semusim dan Hanya Memuji sahaja di sini. Mungkin nama saya tidak popular rakan-rakan seangkatan yang lain," ujarnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Marcell menjelaskan bahawa dia tidak kisah apa jua tanggapan orang lain terhadapnya.

Katanya, lagu daripada album baharu kurang 'familiar' dalam kalangan peminatnya di negara ini.

"Walaupun lagu baharu saya agak asing di sini, namun tidak takut dengan penerimaannya kerana yakin setiap orang ada rezeki yang berbeza.
"Paling penting saya dapat menyampaikan mesej berguna buat penonton. Saya menerima segala kritikan dan penghargaan peminat dengan hati terbuka," jelasnya.

'Aksi mesra'- Marcell minta izin

Dalam pada itu, ketika Marcell dan Dayang menyampaikan empat lagu duet termasuk Hanya Memuji, mereka mempamerkan kemesraan di atas pentas sehingga menjadi 'perbualan hangat' di kalangan wartawan sendiri.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Marcell menjelaskan bahawa dia meminta kebenaran daripada isterinya terlebih dahulu.
"Sebelum melakukan 'aksi mesra' bersama Dayang, saya minta izin isteri supaya tidak cemburu nanti. Saya bersyukur isteri seorang yang 'sporting' dan memahami kerjaya saya penghibur," jelasnya mengenai aksi 'cium tangan' Dayang.
Tambahnya, dia tidak kisah jika perkara tersebut dijadikan sebagai isu dalam dunia hiburan.
Malah dia sempat lagi bergurau mengenai perkara tersebut kerana ianya sekadar lakonan semata-mata.
"Jika mahu bikin gosip, silakan. Saya tiada masalah dengan perkara ini," katanya dengan nada bergurau.

Projek Kahwin: Kilafairy ganti Hanez Suraya

Posted: 31 Mar 2014 09:18 PM PDT


  • KilafairyKilafairy

PELAKON Kilafairy ditawarkan menggantikan tempat Hanez Suraya dalam pementasan teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan  di Panggung Sari, Istana Budaya pada Jun ini.

Ia berikutan selepas Hanez membuat keputusan menarik diri daripada pementasan teater tersebut gara-gara kontroversi percintaannya dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha yang masih bergelar suami orang.

Penerbit teater tersebut, Mohd Amer Shafiq Khalip atau lebih dikenali sebagai Shawn Amer berkata, bagaimanapun pihaknya di bawah syarikat Mask Team itu belum 'mengikat' aktres itu menerusi sebarang perjanjian kontrak lagi.

"Tidak dinafikan, Kilafairy antara pelakon yang disenarai pendek untuk menggalas watak Hanez sebagai Nisa. Tetapi kami belum membuat sebarang ikatan kontrak lagi.

"Dalam pada itu, pihak kami turut membuat senarai pendek beberapa pelakon lain yang sesuai untuk menggalas watak tersebut.

"Pihak kami akan membuat pengumuman rasmi di Istana Budaya pada Selasa ini," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Shawn berkata, walaupun Hanez menarik diri, namun pihaknya masih belum memberi maklum balas secara hitam putih kepada pelakon itu lagi.

Malah pemilihan pelakon lain yang dilakukan oleh pihak produksi itu sekadar perancangan 'plan B' sekiranya Hanez benar-benar tidak terlibat dengan teater tersebut.

"Setakat ini, Hanez tidak pernah memberi masalah kepada pihak produksi, tetapi kami hormat dengan apa saja keputusannya," ujarnya.

Projek Kahwin yang akan dipentaskan bermula 6 hingga 14 Jun depan turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Nama Faizal Hussein kembali

Posted: 31 Mar 2014 09:17 PM PDT


  • Faizal HusseinFaizal Hussein. 

TIADA siapa boleh menidakkan kehebatan pelakon berkaliber Faizal Hussein di pentas lakonan.

Pada usia 47 tahun, pelakon Jiwa ini masih diberi kepercayaan memegang watak hero filem.

Tidak hairanlah jika dia berjaya menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menerusi lakonan mantapnya dalam Bunohan.

Sebelum ini, Faizal juga pernah meraih Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2003, selain mengungguli kategori Pelakon Filem Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1992 (ABPBH 1992).

Ternyata, nama Faizal yang dikenali menerusi filem Gila-Gila Remaja pada 1985 kembali meniti di bibir peminat kerana lakonan berkesan dalam filem itu, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangannya di layar perak.

Begitu pun kata Faizal, menjadi anak kepada Allahyarham seniman Hussein Abu Hassan dan Allahyarhamah Mahyon Ismail, bukanlah 'tiket' mudah baginya untuk menempa kejayaan dalam bidang seni.

Ikuti temu bual Zass bersama suami pelakon Suhaila Sulaiman ini berkaitan penglibatannya selama 30 tahun dalam bidang seni tanah air.

Sejak dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik di FFM25, anda semakin mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit. Bagaimana anda melihat perkara ini?

Bagi saya, apa saja tawaran yang datang itu saya anggap sebagai rezeki. Kalau pun jalan cerita atau skrip sesebuah drama atau filem itu kurang bagus, bagi saya ia sedikit pun tidak menjejaskan nama saya. Bahkan sebenarnya peminat-peminat saya sendiri yang marah kepada pengarah kerana mempersiakan bakat saya.

Justeru, adakah anda akan lebih selektif selepas ini dalam memilih drama atau filem?

Bukanlah lebih selektif. Bagi saya, apabila saya ditawarkan berlakon dengan mana-mana produksi, saya tetap akan memberikan lakonan yang terbaik. Cuma, saya berasa sangat bertuah dan beruntung kerana peminat tahu untuk menilai sendiri bakat saya.

Ada yang mengatakan anda seorang yang sombong ketika berada di sesebuah lokasi penggambaran? Komen anda?

Saya memang suka mengasingkan diri kerana itu adalah cara saya ketika berada di set penggambaran. Bukannya saya tidak suka bercampur atau bergaul dengan orang, namun saya memang jenis yang suka menyendiri. Saya tidak gemar duduk berkumpul di bilik persalinan beramai-ramai dan lebih suka duduk di dalam kereta bagi memberi tumpuan terhadap watak dan skrip.

Selain bakat seni, apa lagi yang anda mewarisi daripada ibu dan bapa anda?

Petua lakonan. Mereka bukan saja pelakon tetapi juga pengarah dan penerbit. Petua lakonan yang mereka ajar dan sehingga kini saya masih amal adalah soal disiplin.

Kini, ada artis lama yang mula bersuara mengenai masalah disiplin pelakon baharu. Anda bagaimana?

Saya selalu mengikuti isu yang melanda dalam industri, malah saya sendiri pernah berhadapan dengan artis yang datang lewat lebih dari tiga jam. Bukan itu saja, saya juga pernah tunggu sehingga lapan jam sebelum penggambaran bermula. Namun, saya memilih untuk tidak marah kerana kalau terlalu bersikap profesional pun tak bagus juga. Lagipun, buat apa nak marah sebab nanti kita akan jumpa balik orang yang sama. Saya mengamalkan konsep untuk senang bekerja dengan semua orang. Saya tak pernah ada masalah dengan pelakon lain kerana saya sendiri memang tak akan datang lambat sebab tak mahu susahkan orang. Biarlah mereka nak lambat, namun kalau ia melebihi waktu penggambaran, penerbitlah yang akan pening sebab mereka perlu membayar lebih kepada saya.

Sebagai pelakon, bagaimana anda menangani tekanan?

Tidak dinafikan, peraturan bekerja yang diterapkan arwah ayah sedikit sebanyak memberi kelebihan buat saya. Saya sering meletakkan minat sebagai punca utama dan sebab itulah saya mampu berlakon sehingga hari ini. Dalam soal berurusan dengan orang, kita perlu mengamalkan sikap bertolak-ansur. Tambah-tambah dalam bidang seni kerana sikap itu mampu memastikan hasil kerja setiap orang dapat mencapai tahap maksimum.

Anda cukup dikenali dengan watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja. Anda tidak kisah jika peminat hanya mengenali anda melalui karakter itu?

Saya tahu penangan filem berkenaan cukup kuat. Saya tidak pernah bermimpi mahu menjadi pelakon, bila sampai tahap ini saya memang bersyukur. Jika suatu hari nanti watak Azroy sahaja yang akan terus menjadi ingatan orang, saya tidak kisah. Saya ikhlas berlakon, bukan kerana populariti semata-mata. Dari segi kepuasan diri juga sudah mencapai apa yang saya mahu.

Pernah atau tidak, anda meletakkan satu tempoh untuk bersara?

Jika dulu, ketika umur 20-an, saya pernah terfikir jika umur saya sudah menginjak ke usia 45 tahun, saya mahu berhenti dari dunia lakonan. Tetapi kini, umur saya sudah 47 tahun, banyak pula tawaran lakonan malah ada yang jadi hero. Mungkin belum masanya saya bersara dan Alhamdulillah itu rezeki saya.

Jadi, apa pula perancangan anda kini?

Pada masa itu, saya lebih memikirkan kepada keadaan industri. Kini industri hiburan kita sudah berbeza. Industri hiburan kini  sudah berkembang. Bayangkan, jika zaman 20 tahun lalu, tiada tawaran berlakon lagi buat pelakon yang berusia seperti saya hari ini, mungkin disebabkan kepada keadaan itu, membuatkan saya berfikir begitu. Tetapi, apabila melihat pada perubahan industri, keputusan (bersara) ini tidak lagi bermain di kepala saya. Mungkin kini, saya boleh pergi (berlakon) untuk tempoh sehingga 10 tahun lagi.

Apakah perkembangan terkini anda?

Saya akan terlibat dengan penggambaran filem seram pertama saya berjudul Gudang Kubur, arahan Eyra Rahman mulai 25 Mac lalu, terbitan Metrowealth. Selepas ini, saya akan menjayakan satu supertelefilem untuk Astro First berjudul Cik Pah Penari Hadrah Terakhir terbitan Zeel Production. Dalam supertelefilem itu, saya akan melakonkan watak lelaki lembut bergandingan aktres jelita, Izara Aishah.

Perjalanan Hanis Zalikha

Posted: 31 Mar 2014 09:15 PM PDT


  • Hanis ZalikhaHanis Zalikha

HANIS Zalikha mula menjadi popular setelah namanya tersenarai pada kedudukan keenam carian Google di Malaysia hingga mengatasi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pada 2010.

Semenjak itu, ramai orang mula tercari-cari dan mengikuti perkembangan Hanis menerusi blog peribadinya, inibelogsaya.blogspot.com.

Dua tahun kemudian, penerbit dan juga pengarah prolifik, Ahmad Idham Ahmad Nadzri membuka jalan buat Hanis ke dalam industri seni selepas ditawarkan watak utama dalam filem Gangster Celop.

Ujar Hanis, biarpun pernah memegang watak sebagai bunian dalam Momok The Movie, filem Gangster Celop memberi sedikit tekanan kerana watak dalam filem sebelum itu hanya kecil.

Bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan dan penulisan blog, gadis yang memiliki Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor Bharu ini juga turut berbakat dalam bidang pengacaraan dan antara program yang pernah dikendalikannya adalah Mad Market musim pertama dan kedua, serta Raikan Cinta.

Biarpun bersih mengemudi karier seninya tanpa sebarang calitan kontroversi, namun nama Hanis tiba-tiba menjadi sebutan gara-gara dikatakan merampas suami orang dan berimej seksi.

Justeru, ketika ditemui baru-baru ini, ramai media mengeruminya untuk bertanyakan perihal sebenar. Benarkah seperti yang didakwa?

Peminat keliru

"Sejujurnya baru-baru ini saya terkejut apabila apabila ada peminat tweet kepada saya dengan mesej: "Shame on you! (Awak ni memalukan!)" ketika kontroversi membabitkan Hanez Suraya. Namun individu tersebut akhirnya tampil memohon maaf dan berkata dia tersilap orang," ujar Hanis apabila ada sesetengah pihak tersilap dan mengaitkan dia dengan kontroversi Hanez Suraya.

Ujar Hanis, dia menyedari ada beberapa peminat tersalah orang ketika mereka memarahi Hanis dan mendakwa dia memakai pakaian yang seksi dalam drama Love U Mr. Arrogant.

"Ada beberapa kali juga saya terbaca tweet yang mereka mahu bercakap mengenai Hanez tetapi tag nama saya.

"Ada juga yang marah-marah tetapi selepas dijelaskan baru mereka sedar tersalah orang.

"Bahkan tidak kurang juga ada yang mengatakan saya bakal menggantikan Hanez sebagai duta AuraWhite dan perkara itu tidak benar, apatah lagi saya kini sudah dilantik sebagai duta baharu Safi Balqis," katanya ketika ditemui semasa pengumuman sebagai duta baru produk kecantikan itu di hotel Empire Subang, baru-baru ini.

Tambah gadis berusia 24 tahun ini, biarpun orang sering tersalah anggap dan keliru dengan dia dan Hanez, dia tidak merancang untuk menukar nama depannya.

"Bila hal ini terjadi, ada juga yang cadangkan saya supaya menggunakan saja nama Zalikha. Tapi saya tak mahu kerana hanya sebutan pangkal nama kami saja kedengaran sama. Dari segi ejaan dan wajah kami berbeza.

"Lagipun kontroversi membabitkan Hanez sudah semakin reda dan saya harap peminat tidak lagi keliru saya dengan Hanez Suraya,"  jelasnya.

Hanis berkata, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan Hanez kerana hanya berjumpa aktres yang terkenal dengan watak-watak antagonis itu di majlis-majlis hiburan.

"Saya baik dengan Hanez Suraya, walaupun kami sangat jarang berjumpa. Hanya jumpa di acara hiburan," ujarnya.

Ibu kawal karier?

Dalam pada itu, Hanis berkata, kekeliruan beberapa peminat mengenai namanya dengan Hanez tidak sedikit pun menganggu perjalannan kariernya, bahkan Hanis mengakui tawaran buatnya masih tidak putus.

"Alhamdulillah selepas menjadi duta Safi Balqis, saya juga baharu selesai menjalani penggambaran drama bersiri Jodoh musim kedua dan penggambaran rancangan Raikan Cinta juga sudah hampir selesai.

"Selain itu ada saya juga ada terlibat dengan penggambaran beberapa telefilem yang akan ditayangkan tidak lama lagi," katanya.

Ditebak mengenai dakwaan ibunya, Karshinah Rostam, 48, yang mengawal karier seninya dan turut didakwa 'lebih sudu dari kuah', Hanis berkata ia sama sekali tidak benar.

"Mustahil ibu mengawal karier saya bahkan dia tidak pernah masuk campur kerana jadual saya diuruskan Astro. Senang cerita, dakwaan itu tidak benar sama sekali," katanya.

Pengguna setia

Sementara itu, mengenai pemilihannya sebagai duta Safi Balqis, Hanis berkata dia memang telah lama menggunakan produk tersebut sekali gus yakin dengan keberkesanannya.

Justeru apabila dilamar sebagai duta, Hanis tidak berfikir panjang untuk menerimanya serta menyifatkan peluang keemasan ini sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Apatah lagi dia boleh dikatakan masih baharu lagi dalam bidang seni berbanding duta-duta Safi Balqis sebelum ini yang sedia punya nama besar dalam dunia seni tanah air seperti Elly Mazlein, Dynas Mokhtar dan Shila Amzah.

"Masa zaman sekolah, saya pakai Safi Balqis dan saya yakin dengan produk ni. Selain itu, bila sebut Safi Balqis, ramai peminat yang bagi respons positif terhadap produk ni. Jadi saya tak fikir panjang, malah saya berbesar hati dipilih sebagai duta Safi Balqis sekali gus sebagai penyambung legasi duta-duta sebelum ini.

"Tidak dinafikan ini adalah satu tanggungjawab yang besar. Lebih-lebih lagi Safi Balqis salah satu jenama produk kecantikan yang ternama dan tanggungjawab yang saya galas ini akan sentiasa buat saya beringat supaya saya perlu jaga imej saya.

"Saya kena lebih tahu cara nak bawa diri dan mengelak dari dikaitkan dengan sebarang kontroversi," katanya mengikat kontrak selama dua tahun.

Dalam pada itu, sempena pemilihan Hanis sebagai duta baru, jenama itu telah melancarkan rangkaian baru kombinasi sistem 3 gen pencerahan iaitu Safi Balqis White Trilogy.

Biadab dengan keluarga

Posted: 31 Mar 2014 09:09 PM PDT


  • Biadab dengan keluargaMohamad Nor dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh mahkamah majistret, semalam.

KUALA TERENGGANU - Padah bersikap biadab dengan ahli keluarga, seorang lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara 13 bulan selepas mengaku salah merosakkan tayar kereta milik bapa saudaranya dan mengugut adiknya menggunakan parang, kira-kira setahun lalu.

Mohamad Nor Yanto, 34, dari Kampung Sungai Rengas, di sini, dijatuhi hukuman tersebut oleh mahkamah majistret semalam, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mohamad Nor mengaku salah melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya, Mohd Syawal Yanto, 30, menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Rengas Utama, di sini, jam 6.30 petang, 16 Mac 2013.

Bagi kesalahan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi Mohamad Nor dalam keadaan meracau.

Semasa kejadian itu, Mohamad Nor turut membawa sebilah parang sambil mengugut dan mangsa yang bimbang akan keselamatannya terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Selain itu, Mohamad Nor yang turut mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Dia mengaku salah melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan dua biji tayar kereta jenis Perodua Viva membabitkan kerugian sebanyak RM360 di sebuah rumah di Kampung Sungai Rengas, di sini, jam 1.15 pagi, 6 Februari 2013.

Rozianti memerintahkan agar kesemua hukuman penjara tersebut berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala Mohamad Nor tidak diwakili peguam.

Asal jadi duit semua akan dipungut

Posted: 31 Mar 2014 09:08 PM PDT


  • Asal jadi duit semua akan dipungutIsmail mengangkut bahan terbuang dengan motosikalnya.

KANGAR - Asal jadi duit, dipungut semua bahan terbuang diperbuat daripada besi, getah atau  atau plastik untuk dijual kepada pembeli barangan bagi proses kitar semula untuk mendapatkan wang perbelanjaan keluarga.

Demikian rutin harian kehidupan bekas pekerja buruh syarikat pengendalian kutipan sampah Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Ismail Ibrahim, 56 dari Kampung Chemumar dekat sini, demi mencari rezeki halal.

Dengan kudrat tulang empat kerat, Ismail yang juga dikenali sebagai Mat boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana punca pencariannya semata-mata tertumpu kepada hasil penjualan barangan terbuang.

Ismail keluar rumah seawal 7 pagi, selepas menghantar anak ke sekolah dengan motosikalnya yang agak uzur, dia terus memulakan pencarian barang buangan di setiap tapak buangan barang-barang berkaitan untuk dikumpulkan sebanyak mungkin.

"Tak banyak, bolehlah RM20 atau RM30 sehari, tapi bukan setiap hari, kadang-kadang nak dapat RM10 pun belum tentu," kata Ismail ketika ditemui di luar Kompleks Dewan Undangan Negeri sedang mengumpul barang buangan diperolehnya.

Ketika ini enam daripada sembilan orang anak termasuk yang bongsu berumur 5 tahun masih di bawah tanggungan Ismail manakala tiga lagi anak perempuannya telah berkeluarga.

Menurut Ismail, keadaan kesihatannya juga menyebabkan dia tidak boleh melakukan kerja berat seperti buruh kontrak, sebab itulah dia lebih selesa bekerja sendiri  dengan mengumpul barang buangan yang boleh dijadikan sumber pendapatan meskipun tidak seberapa.

Pada masa sama, Ismail turut mengidap sejenis penyakit usus selain darah tinggi, kencing manis serta ketumbuhan di sebelah mata kanannya yang menyebabkan penglihatannya agak kabur.

"Walaupun agak mustahil untuk saya mengubah kehidupan keluarga dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang, saya tidak ada pilihan kerana ini sahaja keupayaan yang ada pada saya," katanya.

Ibu nasihati Lisa tentang zuriat

Posted: 31 Mar 2014 09:01 PM PDT


LISA meraikan ulang tahun ke-28 baru-baru ini dengan mengadakan majlis doa selamat.


PADA majlis yang berbeza, Lisa yang ditemui pada majlis kesyukuran bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-28 pada 23 Mac lalu di kediamannya di Kajang, Selangor, bersyukur dengan kebahagiaan yang dikecapi bersama suaminya, Yusry Abdul Halim.
Ulasnya, selalunya sambutan ulang tahunnya hanya tertumpu pada dirinya tetapi majlis kali ini berbeza apabila Lisa turut mendoakan kesejahteraan keluarga, arwah bapanya dan seluruh penumpang pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi baru-baru ini.
"Saya juga menerima tetamu yang terdiri daripada kelab peminat dari seluruh negara. Di samping itu, saya juga menjemput sekitar sepuluh kanak-kanak istimewa dari Persatuan Sindrom Down Malaysia," ujarnya.
Jelas Lisa, dia tidak menginginkan sebarang hadiah istimewa sempena ulang tahun, cukuplah sekadar majlis doa selamat dan kebahagiaan yang dimiliki hari ini.
SITI AMIRA


Beralih kepada topik zuriat yang tidak pernah lari daripadanya sementelah beberapa rakan artis seperti Scha Al-Yahya dan Liyana Jasmay sudahpun berbadan dua, Lisa pernah terasa hati apabila diajukan soalan yang terlalu sensitif soal kehamilan.
Tatkala anaknya dirundung duka, ibunya, Siti Amira Ahmad yang tidak pernah meninggalkan Lisa keseorangan sejak bergelar pelakon sering menasihatinya untuk banyak bersabar.
"Saya sering memberi motivasi kepadanya supaya jangan bersedih kerana kita tahu semuanya merupakan ketentuan daripada yang Maha Esa. Kita hanya merancang dan Allah sahaja yang menentukan.
"Apa yang penting ialah sentiasa berdoa supaya rezeki itu datang, saya juga ketika berkahwin dahulu mengambil masa dua tahun untuk memperolehi cahaya mata pertama," ujar ibunya.
Sambungnya, meskipun belum mempunyai cahaya mata, kehidupan Lisa tidak pernah sunyi kerana dikelilingi ramai anak buah.
"Lisa tidak pernah sunyi. Dia sentiasa meluangkan masanya bersama anak buahnya dan melayan kerenah mereka. Pada masa yang sama juga Lisa juga sering ke rumah ibu mertuanya yang terletak bersebelahan rumahnya. Jadi, saya rasa dia tidak merasakan kesunyian," balasnya yang memberitahu, Lisa masih bermanja dengannya meskipun telah berkahwin.


Lisa anggap diri bukan selebriti

Posted: 31 Mar 2014 08:59 PM PDT



RAKAN-RAKAN artis seperti Liyana Jasmay (berdiri kanan) antara yang sering menjadi teman berkongsi kisah dengan Lisa.


NAMA Lisa Surihani Mohamed, 28, merupakan satu nama yang cukup besar dalam industri seni tempatan. Meskipun sudah muncul dalam belasan filem, meraih pelbagai anugerah dan menjadi duta pelbagai produk, Lisa masih menganggap diri tidak popular dan kadangkala terlupa dirinya seorang selebriti.
Akui Lisa, apabila muncul di tempat umum dia sering terkejut apabila disapa peminat dan hanya sedar dirinya selebriti apabila mereka meminta untuk bergambar dengannya.
"Pelakon merupakan satu kerjaya, bezanya kerjaya ini membuat saya dikenali ramai walaupun hakikat sebenarnya saya tidak rasa diri popular. Apabila disapa peminat, saya akan menyangka mereka adalah saudara saya. Otak saya akan ligat berfikir adakah mereka saudara sebelah ibu atau sebelah bapa.
"Selepas mereka minta untuk bergambar dan beritahu betapa mereka minat kepada saya, barulah saya sedar, saya seorang selebriti dan mereka merupakan peminat saya bukannya saudara (ketawa)," kata Lisa.
Justeru itu, apabila dirinya ditawarkan untuk muncul dalam program E! News Asia Special, dia cukup terkejut kerana bukan calang-calang selebriti yang terpilih untuk muncul dalam program berkenaan.
Sebelum ini, Aaron Aziz dari Singapura, Jay Park (Korea Selatan) dan Anne Curtis (Filipina) telah pun muncul dalam program itu. Kini, tiba gilirannya terpilih sebagai selebriti Malaysia pertama untuk muncul dalam program berkenaan yang akan disiarkan di saluran E! pada 13 April ini.
Menganggap lebih ramai selebriti yang layak terpilih berbanding dirinya meskipun telah berkecimpung dalam bidang seni sejak berusia 11 tahun, Lisa mengatakan, tawaran itu satu penghormatan yang besar buatnya.
"Saya terkejut apabila mereka datang memberi tawaran. Walaupun saya mula bekerja dalam bidang seni sejak usia 11 tahun tetapi ramai lagi selebriti Malaysia yang lebih layak untuk dipilih berdasarkan pengalaman dan pencapaian.
"Mungkin sudah rezeki, saya sangat menghargai tawaran itu dan tidak berfikir dua kali untuk menerimanya," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar program E! News Asia Special di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dedah rahsia
Lisa yang ditemu bual oleh hos Marion Caunter dalam program itu memberitahu, penonton akan menyaksikan sisi yang berbeza tentang Lisa Surihani. Lebih banyak rahsia tentang dirinya akan dibongkarkan dalam program tersebut.
"Banyak perkara yang saya tidak dedahkan pada peminat dan hanya teman rapat sahaja yang tahu akan terbongkar dalam program ini. Sebenarnya saya sendiri rasa teruja untuk menontonnya sebab keluarga dan teman rapat yang ditemu bual merahsiakan apa yang mereka katakan tentang diri saya.
"Mulanya saya sibuk juga hendak tahu, tetapi apabila suami (Yusry) juga enggan memberitahu dan sebagai menghormati polisi produksi yang merahsiakan segala temu bual daripada saya, jadi saya harus menonton sendiri dan saya sebenarnya tidak sabar menunggu 13 April ini (ketawa)," ujarnya.
Disoal apakah rahsia yang didedahkan dalam program tersebut, kata Lisa dia ada bercakap tentang isu kehamilan yang pernah hangat sebelum ini.
"Sepanjang penggambaran saya sangat selesa ditemu bual oleh Marion dan banyak rahsia yang dikongsikan bersama. Semua tentang diri saya, kerjaya dan kehidupan peribadi.
SEHINGGA kini Lisa telah membintangi 16 buah filem sejak menjadi pelakon pada tahun 2006.


"Saya juga ada meluahkan pendapat tentang isu kehamilan yang hangat diperkatakan di media sebelum ini. Sejujurnya saya tidak pernah merancang kerana saya dan suami (Yusry) sukakan keluarga yang besar.
"Antara harapan saya adalah untuk memiliki anak sendiri tetapi semuanya saya serahkan pada takdir Allah," katanya.
Ditebak bagaimana penerimaan suaminya, Yusry apabila dia muncul dalam program tersebut, jawab Lisa suaminya memberi sokongan penuh kepada dirinya.
"Yusry tidak pernah menyekat atau menghalang saya membuat keputusan sendiri. Sejak berkahwin dia lebih suka saya berdikari, tidak mengawal dalam urusan kerjaya dan saya banyak belajar daripadanya.
"Selalunya kami akan berbincang dan akhirnya dia membiarkan saya membuat keputusan. Apabila saya beritahu dia yang saya akan muncul dalam program ini, dia memberi sokongan seratus peratus, tidak menghalang dan turut terlibat dalam sesi temu bual," ucap Lisa.
Gabung tiga negara
Bercakap tentang perkembangan kerjaya seninya, selepas selesai dengan penggambaran filem Cicakman 3, Lisa kini sibuk dengan filem berjudul Sinaran yang diarahkan oleh Osman Ali.
Filem usaha sama Malaysia dan Singapura itu turut menampilkan pelakon seperti Izara Aishah, Evan Sanders dari Indonesia dan Nadiah M. Din dari Singapura.
"Ini satu kerjasama yang bagus kerana melibat pelakon dari tiga buah negara. Saya bersetuju untuk berlakon filem itu kerana tertarik dengan konsep muzikal. Saya teringin merasai pengalaman latihan intensif sebelum penggambaran bermula.
"Filem ini melibatkan tarian dan nyanyian, jadi saya banyak berlatih menari. Penat memang terasa tapi puas kerana dapat melakukan apa yang jarang-jarang saya lakukan," jelas Lisa yang sudah lebih 10 tahun meninggalkan lapangan tarian.
Tambah Lisa, dia tidak kisah apabila terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Singapura untuk menjalani latihan demi filem Sinaran bermula 24 Mac lalu.
"Jika difikirkan dengan penat dan terpaksa berulang-alik seperti tidak berbaloi, tetapi jika memikirkan kerana minat dan filem ini sesuatu yang tidak pernah saya lakukan, apa salahnya mencuba.
"Banyak lagi ilmu dalam filem yang ingin saya pelajari dan salah satunya ialah filem muzikal. Harap semuanya berjalan lancar dan saya sendiri tidak sabar untuk melihat hasilnya," ucapnya.


Anak ketiga, keempat tidak tahu Liza bercerai

Posted: 31 Mar 2014 08:54 PM PDT

LIZA mengakui hubungan dengan bekas suaminya masih baik.


PADA 24 Februari lalu, sebelum talak dilafazkan, pelakon popular era 80-an, Liza Abdullah dan suaminya (kini bekas suami), seorang ahli perniagaan, Zolkefli Abdul Rahman, berpelukan dan menangis teresak-esak.
Akhirnya, setelah 26 tahun mendirikan rumah tangga, pelakon filem Ali Setan itu dan Zolkefli sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.
Hakim Syarie Saiful Azli Jamaludin mengklasifikasikan perceraian pasangan tersebut sebagai wujud Shikok atau konflik perkahwinan bagi tempoh yang berpanjangan antara kedua-dua belah pihak.
Pasangan itu berkahwin pada tahun 1988 dan telah dikurniakan empat orang anak iaitu Zulhaffiz Zarriq, 25, Nurwaffiz Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afiq, 10.
Setelah sebulan lebih bercerai, Kosmo! bersua dengan Liza pada majlis resepsi pelakon Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof di N'Dah Catering & Wedding Planner, Shah Alam, pada Sabtu lalu.
Pelakon berusia 50 tahun itu berkongsi perasaan dan kehidupannya selepas bercerai. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Liza.
Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan Liza sekarang selepas bercerai?
LIZA: Kehidupan kena diteruskan. Kalau dari segi sebagai seorang ibu, saya tetap ibu kepada anak-anak saya. Kalau dari segi kehidupan, bekerja masih lagi terus menerus menerima tawaran berlakon. Tiada masalah.
Jauh di sudut hati, adakah anda berasa sunyi selepas bercerai?
Alhamdulillah, saya dikelilingi dengan rakan-rakan dan peminat-peminat yang sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada saya. Kepada yang mungkin tidak memahami dan tidak tahu, kehidupan saya selepas bercerai sama sahaja. Soal rumah tangga saya tidak pernah bincangkan atau ceritakan kepada sesiapa sejak dari dahulu lagi.
Sebenarnya, sudah berbelas-belas tahun saya hidup di Kuala Lumpur bersendirian manakala suami dan anak-anak duduk di Johor. Tetapi tidak perlulah saya bercerita lanjut kenapa. Sekarang, selepas bercerai kehidupan macam itu juga tetapi saya juga tidak nafikan kehidupan berpuluh tahun menjadi isteri dengan kehidupan setelah tidak menjadi isteri memang ada perbezaan.
Adakah anda masih berasa sedih, selepas apa yang berlaku ini?
Ada beberapa orang cakap kenapa perlu berasa sedih dan menangis di mahkamah sedangkan saya yang memfailkan perceraian itu. Untuk pengetahuan semua, sudah tentu kita akan berasa tersentuh setelah kehidupan yang kita kita lalui lebih daripada 20 tahun berakhir dengan perceraian. Tetapi bukan itu kemahuan kita. Sesiapapun baik lelaki atau perempuan bila kita kahwin kita tidak mahu perkara macam itu (perceraian) terjadi.
Kehidupan bersuami dan berkawan sama sahaja. Kalau kita berkawan tetapi kita berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada hubungan itu sudah tentu kita akan menjarakkan hubungan. Apa yang terjadi pada saya 24 Februari lalu, sebagai isteri, saya tidak pernah menjangkakannya.
Bagaimanakah perasaan anda sekarang?
Kadang-kadang mungkin terlalu sibuk dengan kerja kita tidak terasa. Bagaimanapun, hubungan saya dengan bekas suami masih baik. Saya tetap akan ke Johor sebab anak ketiga, Zulsyahmi Naqib, 12, dan dan keempat saya, Zulsyahmi Afiq, 10, tinggal dengan bekas suami.
Kenapakah anak ketiga dan keempat tinggal bersama suami?
Kami memang buat perjanjian, anak-anak tidak menjadi rebutan. Lagipun, dua orang anak saya itu memang bersekolah di Johor.
Bagaimanakah perasaan anak-anak mengenai perceraian ibu bapa mereka?
Sehingga kini kedua-dua anak tersebut tidak tahu yang ibu bapa mereka sudah berpisah. Sebab budak-budak mungkin tidak faham. Anak sulung saya, Zulhaffiz, pada awalnya tidak boleh terima perpisahan kedua ibu bapanya. Anak perempuan, saya rasa dia faham. Dalam kehidupan ini ada sebab yang kita tidak boleh ceritakan kepada mereka. Kita doa sahaja yang terbaik. Kita tidak tahu untuk akan datang saya dan bekas suami akan berbaik semula.
Sampai bilakah anda ingin berahsia dengan anak-anak?
Kalau boleh sampai bila-bila. Sampai mereka faham sendiri.
Adakah anda sudah bertemu dengan anak-anak selepas berpisah?
Sejak berpisah, saya belum lagi balik berjumpa anak-anak dan bekas suami.
Adakah sebab sibuk atau sebab lain anda tidak berjumpa mereka?
Selalunya, cuti sekolah saya akan ambil mereka duduk di Kuala Lumpur. Tetapi cuti sekolah kali ini pendek, jadi saya tidak ambil mereka. Lagipun, saya terlalu sibuk bekerja. Kalau ada masa memang saya akan meluangkan masa untuk anak-anak.
Ada orang beranggapan apabila meraih status janda, macam-macam dugaan dan cabaran akan mereka lalui. Adakah anda sudah bersedia melaluinya?
Sebenarnya gelaran apa sahaja sekalipun sama sahaja. Saya tidak pernah fikir atau ambil tahu apa yang orang katakan. Saya juga tidak berasa malu melalui kehidupan ini.
Ada juga yang berkata, pada peringkat usia anda sekarang kenapa berlaku perceraian? Komen anda?
Memang ada blog menulis dan ada sebahagian orang-orang yang komen dalam blog itu yang mereka dan menokok tambah cerita. Mereka cakap kenapa bercerai pada umur sekarang?
Saya ingin bertanya, adakah kehidupan manusia apabila umur mereka 60 atau 70 tahun tidak boleh bahagia?
Kehidupan dalam berkawan atau berumah tangga, kalau tidak ada kebahagiaan, tiada kesefahaman, jalan yang baik adalah berpisah. Itu sahaja yang saya boleh cakap.
Ada lelaki yang cuba mendekati anda setelah bercerai?
Sensitif soalan ini. Biasalah kehidupan ini kalau kita masih isteri orangpun kalau kita tidak pandai jaga diri orang akan pandang rendah. Kalau anak dara sekalipun kalau kita bersikap tidak elok orang akan memandang rendah. Apa-apapun, berbalik pada diri kita sendiri.


Pekak tonjol isu balasan karma

Posted: 31 Mar 2014 08:53 PM PDT


BARISAN karyawan Pekak sudah bersedia untuk memberi hasil terbaik bagi karya tersebut.


APAKAH yang akan anda lakukan bagi mengumpul wang pembiayaan kos pembedahan kedua-dua belah telinga untuk mengembalikan deria pendengaran?
Itulah persoalan yang cuba untuk dirungkaikan oleh sutradara Khairul Azri Md. Noor, 33, apabila dia diberi peluang untuk mengarahkan filem sulungnya berjudul Pekak.
Menerusi filem terbitan Grand Brilliance ini, Khairul Azri mahu menyampaikan mesej tentang pembalasan serta karma di sebalik kecacatan yang dialami oleh watak utamanya yang dilakonkan oleh pelakon Zahiril Adzim.
"Tidak banyak filem yang dihasilkan di Malaysia menonjolkan watak utamanya mengalami masalah kecacatan deria pendengaran.
"Pada kebiasaannya, watak-watak orang kelainan upaya (OKU) sering digambarkan sebagai individu yang baik. Sebaliknya, menerusi filem ini, watak OKU yang ingin saya tampilkan lebih menjurus ke arah sisi yang sedikit hitam.
"Watak Uda lakonan Zahiril digambarkan sebagai seorang lelaki pekak yang bekerja keras mengumpul duit untuk pembedahan telinganya. Namun, kerja yang dilakukannya tidak halal dan mampu memberi impak negatif pada masyarakat.
"Justeru, berpandukan situasi tersebut, saya mahu tunjukkan bahawa apa sahaja yang kita lakukan, pasti akan mendapat balasan. Sama ada balasan baik atau jahat, itu bergantung pada apa yang dilakukan oleh individu itu," ujarnya ketika ditemui pada majlis bacaan skrip filem tersebut yang berlangsung di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menurut Khairul Azri, watak yang bakal dikembangkan oleh Zahiril banyak bermain dengan emosi dan lenggok badan kerana tiada sebarang dialog dibekalkan kepada pelakon itu.
"Watak Uda banyak bermain dengan emosi. Justeru, sebelum memulakan penggambaran, saya ada memberikannya beberapa buah filem untuk ditonton sebagai bahan rujukan," ujarnya.
Bapa jadi guru
Bagi Zahiril, 30, dia yang pernah bekerjasama dengan Khairul Azri bagi projek Kapsul yakin mampu menjayakan watak ini atas bantuan bapanya yang bertugas sebagai guru pendidikan khas.
"Ketika mula-mula mendapat skrip filem ini, saya fikir ia sebuah cerita biasa. Lagipun, saya tidak diberikan sebarang dialog sepanjang perjalanan filem ini.
"Namun, setelah membaca dengan lebih lanjut, barulah saya sedar bahawa saya memerlukan banyak tunjuk ajar tentang penggunaan bahasa tubuh.
"Mujur bapa saya seorang guru yang mengajar kelas pendidikan khas. Jadi, tidak payah bagi saya untuk mendalami karakter seorang OKU yang pekak," ujarnya.
Melanjutkan perbualan, Zahiril turut berasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat seperti Sharifah Amani, Zaidi Omar dan Sharifah Sakinah.
"Pelakon-pelakon yang terlibat dalam filem ini hebat-hebat belaka. Walaupun kami sudah mengenali antara satu dengan lain, tetapi ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka. Saya berasa begitu teruja," ujarnya lagi.
Idam watak Dara
Lain pula ceritanya dengan Sharifah Amani. Aktres yang berusia 28 tahun itu ternyata bercita-cita mahu membawakan watak Dara sebelum dia menyertai sesi uji bakat bersama Khairul Azri lagi.
"Saya, Khairul dan pelakon-pelakon yang lain merupakan kenalan rapat. Setelah mendapat tahu mereka bakal berlakon dalam filem Pekak, saya ada menyimpan niat untuk turut serta.
"Apabila diminta datang pada sesi uji bakat, saya terus pergi. Alhamdulillah, saya ditawarkan untuk memegang watak tersebut," katanya sambil tersenyum.
Mengulas mengenai watak tersebut, Amani memberitahu, karakter yang ditonjolkan menerusi watak Dara adalah jauh berbeza dengan personaliti dirinya.
"Karakter yang akan saya lakonkan begitu berbeza dengan diri saya. Watak Dara digambarkan sebagai seorang yang lemah-lembut dan merupakan seorang anak perempuan yang rapat dengan ayahnya.
"Walaupun ia nampak mudah, tapi watak tersebut sangat berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila pasangan saya tidak mempunyai sebarang dialog," kata pelakon yang pernah popular menerusi filem Sepet ini sambil ketawa.
Filem ini telah pun memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.


Rambo Bentong diarah bela diri

Posted: 31 Mar 2014 08:51 PM PDT


RAMBO BENTONG (kanan) dituduh membunuh dan merogol 
seorang remaja perempuan dibawa ke Mahkamah Tinggi, Temerloh, Pahang semalam.


TEMERLOH – Seorang perogol bersiri dikenali sebagai Rambo Bentong yang kini menjalani hukuman penjara 115 tahun kerana kesalahan rogol dan seks luar tabii, semalam diperintah membela diri atas satu lagi tuduhan iaitu merogol sehingga menyebabkan kematian seorang remaja perempuan lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman membuat keputusan itu ke atas Rabidin Satir, 43, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Tertuduh yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, (gambar) antara pukul 11.30 malam pada 7 Mac 2009 dan 1.50 petang pada 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa merogol Yin Cheng sehingga menyebabkan kematian di tempat dan pada masa sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Abdul Karim dalam penghakimannya berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati punca kematian mangsa terdapat kelaran pada lehernya.
Jelasnya, kesan air mani juga terdapat pada kemaluan dan pakaian mangsa.


Hanya mampu RM2,000

Posted: 31 Mar 2014 08:48 PM PDT


AIDIL (depan) dan Rita (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bistari, Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM - Pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak menegaskan bahawa dia hanya mampu membayar nafkah dua anaknya sebanyak RM2,000 sebulan.
Aidil, 27, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bistari di sini bahawa dia juga tidak menetapkan sebarang peruntukan untuk bayaran sewa rumah yang kini didiami bekas isterinya, pelakon Rita Rudaini dan anak-anak di Kota Damansara.
Sehubungan itu Aidil selaku defendan dalam kes tuntutan nafkah yang difailkan Rita, 38, memberitahu, dia tidak mengetahui siapa yang membayar sewa rumah tersebut sebanyak RM3,000 sebulan sejak dia keluar dari kediaman berkenaan pada Januari 2012.
Terdahulu, Aidil mengulangi keterangan sebelum ini bahawa dia kini hanya berpendapatan RM12,000 sebulan apabila diikat untuk bermain dengan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) sejak 2013 hingga sekarang.


Empat individu ke mahkamah

Posted: 31 Mar 2014 08:46 PM PDT


TIGA lelaki yang dituduh menculik, (dari kiri) Nobi Hussein, Raja Mohd. Hafiz dan Suhaimi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Klang, Selangor semalam.


KLANG - Empat individu termasuk seorang wanita tempatan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan bersama-sama menculik tiga lelaki warga asing bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM50,000 di Pasar Borong Meru di sini pertengahan Mac lalu.
Tiga tertuduh warga tempatan, Raja Mohd. Hafiz Raja Shuib, 28; Suhaimi Alias, 37; dan Noor Azila Samingan, 33; bersama seorang warga Myanmar, Nobi Hussein Abutar, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Fadhly Yaacob.
Raja Mohd. Hafiz dan Suhaimi merupakan penganggur, Noor Azila bekerja kilang, manakala Nobi pula seorang tukang masak.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama-sama menculik, mengurung dan menahan tiga lelaki warga asing iaitu dua lelaki warga Bangladesh dan seorang Myanmar bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM50,000 di Pasaria Masiam Enterprise, No. 31 Jalan Pasar Baru, melalui Jalan Meru di sini kira-kira pukul 4 pagi, 16 Mac lalu.


Misi tanam anak pokok secara santai

Posted: 31 Mar 2014 08:42 PM PDT


SELAIN rakyat tempatan, SORR 2014 berjaya menerima penyertaan dalam kalangan pelancong luar negara.


KEHIDUPAN baharu bakal bermula buat lebih 1,000 anak pokok di Hutan Simpan Sungai Besi, Kuala Lumpur yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak 118 tahun lalu.
Selepas berabad lama, hutan simpan kekal yang memegang rekod sebagai hutan terbesar dan paling lama wujud di Kuala Lumpur ini bergelut untuk meneruskan survival di sebalik kesibukan kota metropolitan itu.
Hutan yang diwartakan pada 8 April 1932 umpama berada di dua dunia berbeza antara perjuangan mengekalkan alam semula jadi dan asakan pembangunan di sekitar Sungai Besi, Cheras.
Mujur wujud kesedaran dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar berganding bahu bersama Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM) mememulihara hutan di ibu kota agar ia terus gah membekalkan sumber seperti oksigen kepada seluruh hidupan di muka bumi.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), sebuah NGO yang terpanggil untuk meneruskan legasi kewujudan hutan di ibu kota mahu mendidik orang awam mengenai kecantikan dan kepentingan alam semula jadi terhadap manusia.
Pendekatan yang dipilih ialah melalui penganjuran Save Our Rainforest Race (SORR) 2014 iaitu maraton sejauh 10 kilometer (km) di dalam Hutan Simpan Sungai Besi dengan misi menanam anak pokok terpilih di hutan tersebut.
SORR 2014 menerima penyertaan sehingga 2,500 peserta.


Tanggungjawab
Acara yang berlangsung penuh jaya pada 29 Mac lalu berjaya mengumpulkan sehingga 2,500 peserta dalam kalangan pelajar mahasiswa, orang awam termasuk pelancong menyertai acara tahun kedua anjuran Peka itu.
Lazimnya pertandingan maraton yang menuntut peserta berlari menamatkan perlumbaan dalam tempoh yang pantas, SORR 2014 menasihatkan peserta berjalan sambil menghayati keindahan semula jadi di hutan berkenaan.
Seorang peserta bersama rakannya berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh satu jam sembilan minit berharap anak pokok yang ditanam tumbuh dengan sihat.
B. Suriya, 24, yang merupakan seorang anggota tentera berkata, tatkala menanam pokok itu hatinya turut berdoa supaya manusia sedar mengenai kepentingan tumbuhan buat hidupan di muka bumi ini.
"Ini adalah kali pertama saya mengikut program maraton seperti ini. Bayangkan kita dinasihatkan untuk tidak berlari tetapi hati mahu sahaja menamatkan misi dengan pantas.
"Bagaimanapun saat berada dalam hutan tersebut dan diberi peluang menanam anak pokok, ia umpama memegang tanggungjawab yang besar dan saya tenang ketika menamatkan tugasan ini," katanya.
Bagi pasangannya, Syamim Ismail, 21, berkata, melalui misi menanam anak pokok itu, ia seperti menebus semula kesalahan manusia yang rakus merobek keindahan alam semula jadi dek kerana keuntungan semata-mata.
"Ini adalah permulaan yang amat baik dan berharap terdapat lebih banyak NGO di luar sana menganjurkan pertandingan berkaitan kesedaran alam sekitar.
"Kadangkala dalam bergelar manusia, kita terlalu rakus dan alpa mengejar kemodenan sehingga melupakan tanpa hutan kita tidak mampu hidup," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.
Walaupun tujuan SORR 2014 ialah menanam anak pokok, sepanjang perjalanan menuju ke lokasi tapak semaian, melibatkan laluan yang mencabar.
Bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi ketika musim hujan di sekitar kawasan Kuala Lumpur menyebabkan laluan berbukit di Hutan Simpan Sungai Besi licin sehingga ada peserta yang tergelincir.
Setiap kumpulan terdiri daripada dua peserta berganding bahu menyelesaikan setiap kuiz selain mengumpulkan bahan seperti baja serta tanah di setiap titik semak.

TAPAK semaian anak pokok diharapkan mampu mengembalikan kehijauan alam flora dan fauna di Hutan Simpan Sungai Besi.


Keindahan alam
Tekad semua peserta hanya satu keterujaan untuk menanam anak pokok di hutan simpan tersebut. Mereka berpendapat ia adalah sedikit pengorbanan untuk menghargai sumbangan hutan terhadap manusia.
Tidak semua perkara berjalan seperti yang dirancang. Keazaman tinggi seorang orang kelainan upaya penglihatan menjadi sebahagian daripada program tersebut gagal.
P. Krushnan, 45, gagal menyertai maraton itu disebabkan ketiadaan pasangan, tetapi masih membayar yuran pendaftaran sebanyak RM80 sebagai tanda sokongan terhadap Peka dan SORR 2014.
Cacat penglihatan sejak sembilan tahun lalu rentetan daripada komplikasi kesihatan, Krushnan pernah aktif dalam aktiviti lasak terutama denai kembara.
Katanya, dia lebih menghargai keunikan dan keindahan alam semula jadi selepas deria penglihatannya hilang.
"Saya membesar di sekitar Lembah Klang dan menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Saban hari merasakan pelbagai jenis bangunan didirikan tetapi tiada usaha mengekalkan ekosistem semula jadi di kawasan sekitarnya.
"Kesannya pada masa kini, agak sukar kita mahu melihat keindahan alam semula jadi di tengah kota kecuali di kawasan hutan simpan.
"Kita sering berasa panas ketika berada di Kuala Lumpur. Jawapannya hanya satu ketiadaan tumbuhan untuk membuat udara di sekitar sini tenang," katanya yang percaya kini masyarakat semakin peka dengan ketandusan flora fauna di kota raya Kuala Lumpur. Turut hadir pada acara tersebut adalah Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin dan kakitangan Kosmo!.
Sementara itu, pasangan wanita pertama yang menjejakkan kaki digaris penamat menjadi milik Nor Hasniza Hassan, 33 dan Nornazatul Shima Mohd. Zin, 30.
Nor Hasniza ketika ditemui mengutarakan pendapat supaya setiap pemaju yang ingin membangunkan kawasan di Lembah Klang turut disaran membina taman mini di kawasan berdekatan.
"Saya ambil contoh mudah ialah di Suria KLCC terdapat taman di situ yang bukan sahaja memukau mata yang memandang tetapi menenangkan.
"Pada hakikatnya, kita semua boleh hidup dengan konsep tumbuhan hijau dalam bandar, cuma kita perlu bijak dalam merencanakan setiap pembangunan.
"Bohong sekiranya saya tidak berang melihat bukit yang gondol dan pokok yang ditebang, namun kita terpaksa akui itu adalah cara tunggal untuk membuka kawasan baru. Tetapi keputusan di tangan kita untuk mengimbangi antara pembangunan dan ekosistem," ujarnya panjang lebar.

BAHAROM (tiga dari kiri) bersama Shariffa Sabrina (lima dari kiri) menyempurnakan pelepasan SORR 2014.


Teruja
Jauh sekali menoleh ke belakang, apatah lagi menyerah kalah, Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yakin melalui maraton berkenaan, pihaknya mampu menyuntik sifat cintakan alam sekitar.
Beliau yang teruja apabila penganjuran kali kedua itu menerima sambutan dua kali ganda lebih ramai berbanding SORR 2013, program tersebut dalam perancangan menganjurkan SORR ke seluruh Malaysia.
"Ia masih di peringkat perbincangan tetapi kami optimis sekiranya menerima kerjasama baik daripada pelbagai pihak ia mampu.
"Kami sangat gembira kerana berdasarkan maklum balas yang diterima ramai dalam kalangan peserta sudah mula tahu nilai sebenar kewujudan flora dan fauna serta sumber air dalam kehidupan mereka.
"Oleh sebab itu, kami menyediakan pelbagai rintangan dalam usaha mereka untuk menanam anak pokok supaya ia menjadi momen yang bermakna," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Dalam program tersebut Peka berjaya menerima tajaan kira-kira 1,000 anak pokok daripada syarikat pemaju Leighton Contractors (Malaysia) terdiri daripada cengal, meranti dan pasak.


Himpunan 18 butik bercita rasa moden

Posted: 31 Mar 2014 08:40 PM PDT

SEBAHAGIAN daripada 18 pemilik butik yang terdapat di Sohhor Street mengalu-alukan kedatangan pelanggan.


AURA busana Muslimah yang menampilkan rekaan patuh syariah tetapi berciri moden kontemporari semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama wanita berkerjaya.
Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif kerana semakin ramai pengusaha sama ada secara kecil-kecilan atau sudah mempunyai nama perniagaan menawarkan koleksi pakaian sedemikian.
Bak cendawan tumbuh selepas hujan, situasi ini membangkitkan suatu persaingan sihat, sekali gus memeriahkan lagi industri fesyen Islamik tanah air.
Terbaharu, pelancaran Butik Sohhor Street di Paragon Point, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 1 Mac lalu, menambahkan lagi destinasi beli-belah untuk rangkaian busana Muslimah yang menepati cita rasa pelanggan.
Lebih istimewa, Sohhor Street ini bukan hanya menawarkan satu koleksi jenama, sebaliknya menghimpunkan 18 buah butik di bawah satu bumbung.

SOHHOR Street menawarkan pengalaman beli-belah yang pasti mengujakan pelanggan.


Satu bumbung
Ia mengetengahkan konsep fesyen moden yang merangkumi pelbagai pilihan daripada busana Muslimah, pakaian kanak-kanak, persalinan lelaki, koleksi tudung atau selendang dan juga peralatan kosmetik.
Malah, terdapat juga butik yang menawarkan khidmat jahitan bagi mereka yang gemar membeli kain pasang berbanding pakaian siap di samping kelengkapan solat, haji dan umrah.
Salah seorang pemilik butik, Bintu Rasyada Abdul Rahman, 33, berkata, penubuhan Sohhor Street memberi manfaat kepada usahawan muda yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan seperti dirinya.
Mengusahakan jenama byBintu yang menawarkan koleksi jubah, dres, skirt dan shawl, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui, butik tersebut menjadi platform buatnya untuk bergelar usahawan berjaya.
"Sejak kecil saya memang minat berniaga. Waktu sekolah, saya sering bawa kerepek yang mak buat untuk dijual kepada kawan-kawan. Begitu juga, ketika bekerja sebagai wartawan tidak lama dahulu, saya ada mengusahakan perniagaan menjual minyak wangi secara kecil-kecilan.
"Selepas berhenti tahun lalu, barulah saya serius untuk menceburi bidang ini. Alhamdulillah, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan. Pelanggan bukan hanya dari sekitar Bangi, bahkan ada yang datang dari Seremban, Nilai dan Putrajaya," ujar Bintu Rasyada yang mula berniaga di Sohhor Street sejak Januari lalu dengan modal RM50,000.
Tambah anak kelahiran Kedah ini, material yang digunakan untuk menghasilkan jubah adalah pelbagai seperti satin crepe, likra, kain kapas dan sifon yang diperoleh dari dalam dan luar negara.
Dia turut menjual pashmina yang diimport dari India selain minyak wangi sebagai tambahan kepada dua lot butik yang disewanya.
BUTIK byBintu menawarkan pelbagai koleksi jubah, dres dan selendang dari dalam dan luar negara.


Jenama eksklusif
Secara umumnya, butik ini telah mula beroperasi pada bulan November 2013. Ketika itu hanya ada beberapa peniaga yang mendaftar. Kini, terdapat 18 usahawan yang terlibat menjayakannya dalam usaha menambah pendapatan.
Antara jenama yang ada ialah Cinta Hawa Couture, JoeeShawls, Along Hijrah Collection, Fazalia Boutiqe, Sohhor Collection, Farrahdotcom, Dinar Barokah, Alwani, Busana Norka'iza, Farnia dan Fleur by D'Zuleykha.
Sementara itu, pemilik jenama JoeeShawls, Ernita Effendy berkongsi rasa syukur kerana impian untuk memiliki butik sendiri selepas menjalankan perniagaan secara dalam talian akhirnya tercapai.
"Sebelum ini, saya mengusahakan jualan shawl dan skaf Muslimah yang eksklusif, trendy dan unik melalui internet. Material yang digunakan seperti likra, renda Korea, kain kapas dan sebagainya.
"Sebenarnya, dulu saya tidak bertudung tetapi selepas berhijrah dan berhijab sepenuhnya, saya rasa terpanggil untuk menjalankan perniagaan ini. Niat saya untuk menggalakkan lebih ramai wanita Islam di Malaysia melaksanakan kewajipan berhijab dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah.
"Mungkin dengan melihat rekaan shawl atau skaf yang kami tawarkan, hati mereka terbuka untuk berubah ke arah yang lebih baik selaras dengan tuntutan agama," ungkap Ernita yang berharap JoeeShawls mampu menjadi satu jenama yang positif, indah, bergaya dan tinggi nilai budaya kepada masyarakat Malaysia.
Dalam pada itu, apabila berbicara tentang busana Muslimah, pastinya ramai yang menggemari satu rekaan pakaian yang bersifat dwifungsi. Sebagai contoh, selain sesuai digayakan untuk ke pejabat atau keluar rumah, pakaian itu juga boleh digunakan terus untuk bersolat.
Itu konsep yang dipilih oleh pengusaha butik jenama Cinta Hawa Couture, Nur Has Linas Bakar. Menerapkan ciri-ciri praktikal pada rekaan jubah dan abayanya, koleksi tersebut berjaya menarik perhatian pelanggan.
Menurut Nur Has Linas, dalam setiap rekaan, pihaknya mengutamakan aspek aurat yang perlu ditutup dengan sempurna. Justeru, dia memilih fabrik likra berkualiti tinggi yang tidak melekap pada badan untuk memberi hasil terbaik kepada pengguna.
"Sebagai pengusaha, ini merupakan tanggungjawab saya untuk menawarkan koleksi pakaian yang patuh syariah dan bukan sekadar fesyen semata-mata.
"Secara peribadi, saya merasakan penutupan aurat perlu dititikberatkan dan fesyen merupakan perkara kedua. Namun, saya tidak menolak bahawa rekaan yang seiring antara kedua-duanya mampu menyerlahkan keanggunan seorang wanita Muslimah," tutur Nur Has Linas penuh berhemah.


Khidmat sukarela JPAM

Posted: 31 Mar 2014 08:38 PM PDT



PENYANYI seperti Nasharuddin Elias atau Nash (tiga dari kanan), Datuk Hattan (dua dari kanan) dan isteri, Datin Arianie Mohd. Abidin serta Datuk Malek Ridzuan (dua dari kiri) melihat kain rentang yang tertera #PRAY FOR MH370 ketika mengunjungi ahli keluarga penumpang pesawat MH370 di Hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini.


USIA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mencecah 62 tahun pada 24 Mac lalu, namun kehadiran pasukan ini tidak begitu disedari oleh masyarakat berikutan kurangnya publisiti mengenainya.
Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa pasukan, yang ditubuhkan sejak Perang Dunia Kedua ini, berfungsi sebagai satu badan berkecuali yang melaksanakan tugas-tugas menyelamat nyawa dan harta benda secara sistematik tatkala negara dilanda bencana.
Jabatan ini juga adalah satu daripada tiga jabatan yang diamanahkan menjaga keamanan negara, sebarisan dengan pasukan tentera dan polis.
Bagi mencapai hasrat itu, satu majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggotanya bersempena sambutan ulang tahun ke-62 JPAM telah diadakan di Pusat Pertahanan Awam Negara (Puspan) di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
"Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti pertunjukan, demonstrasi dan pameran tentang aktiviti pertahanan awam," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Timbalan Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Selamat Dahalan kepada Bernama.
Hari ini JPAM memainkan fungsinya sesuai dengan keadaan semasa. Waktu negara berada dalam keadaan aman, ia memainkan peranan mengambil apa-apa langkah bagi melindungi nyawa dan harta benda sebelum, sewaktu dan selepas berlakunya sesuatu bencana di dalam negara, jelas Selamat.
Jika negara berada dalam keadaan perang, tugas JPAM ialah mengambil langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata sebelum, semasa dan selepas serangan musuh.

JAAFAR ONN (tiga dari kanan) dan Zur Eda Mokhtar (tengah), antara artis tempatan yang menerima sijil pentauliahan sebagai Mejar Bersekutu sempena Majlis Sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-62 Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan baru-baru ini.


Sejarah
Sejarah aktiviti pertahanan awam di Malaysia telah melangkau tempoh 70 tahun, dibentuk oleh British dikenali sebagai Passive Defence pada tahun 1939, sebagai persiapan menghadapi Perang Dunia Kedua.
Selepas penubuhannya secara rasmi pada 24 Mac 1952, JPAM melalui pelbagai bentuk perkembangan dan menjadi komponen penting dalam pertahanan negara terutamanya pada waktu-waktu sukar.
Prestasi cemerlang pasukan Passive Defence telah membuatkan pihak pemerintah British menggubal The Civil Defence Ordinance pada tahun 1951 sebagai satu undang-undang dalam sistem keselamatan di Tanah Melayu ketika itu.
Berikutan peristiwa kemerdekaan negara, ordinan ini telah menjadi Akta Pertahanan Awam 1951. Peranan JPAM turut diiktiraf sebagai unsur tetap pertahanan negara seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Berikutan peristiwa konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia, JPAM melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Peristiwa ini juga telah menambahkan keanggotaan JPAM sehingga 36,000 anggota dengan 37 cawangan di seluruh negara.
Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara pada 1970 telah membawa kepada peristiwa kerahan tenaga besar-besaran. Pada 1972 skop tugas JPAM ditambah dengan memasukkan perkhidmatan bantuan bencana.
"Bantuan kepada mangsa banjir sudah menjadi 'acara tahunan' kami. Kalau dahulu kami tunggu banjir berlaku baru bertindak, sekarang sebelum banjir pun kita sudah siap siaga di kawasan potensi banjir", jelas Selamat.
Sejak itu, JPAM telah terlibat secara aktif dalam pelbagai peristiwa bencana dalam negara. Antaranya, tragedi kondominium Highland Towers tumbang pada 1993, Ops Daulat di Lahat Datu pada tahun lepas dan yang terkini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Mengenai penglibatan JPAM dalam krisis MH370, Selamat berkata, pihak JPAM mengambil tiga tindakan iaitu menyediakan pasukan khas siap sedia untuk misi menyelamat, rondaan pantai dan petugas yang menguruskan keluarga mangsa di hotel tempat mereka menginap.

ANGGOTA JPAM menunjukkan kecekapan menerusi demonstrasi menuruni bangunan tinggi.


Sukarelawan
Berbeza dengan pasukan tentera atau polis dan sesuai dengan nama 'pertahanan awam', tulang belakang pasukan JPAM ialah anggota masyarakat yang mahu memberi khidmat secara sukarela.
Kerja kami lebih bersifat memberi bantuan kemanusiaan, tidak kira siapapun mangsa kepada sesuatu tragedi tanpa mengira latar belakang, warna kulit, bangsa atau agama.
Hari ini, keanggotaan JPAM dibahagikan kepada beberapa jenis, melibatkan kira-kira 1.3 juta orang daripada pelbagai peringkat umur.
Jumlah terkini Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) ialah 750,630 orang. Daripada jumlah ini, 11,800 orang berada dalam keadaan siap siaga dan sedia berkhidmat dalam masa sejam selepas mendapat arahan.
Penyertaan JPAM juga dibuka kepada mahasiswa universiti. Sebanyak 37 universiti dari seluruh negara mempunyai pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) dengan keanggotaan keseluruhan seramai 4,678 mahasiswa.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories