RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Bapa Nasihat Emma Maembong Tidak Beraksi Keterlaluan

Posted: 08 Apr 2014 12:47 AM PDT

emma maembong
Emma dilantik menjadi duta kepada produk kecantikan Maixara.
KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong  menolak untuk berlakon dan bergambar mesra dengan mana-mana lelaki bagi menghormati permintaan ayahnya iaitu pelukis terkenal negara, Ismail Embong.

Emma atau nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 22, berkata, bapanya meminta berbuat demikian selepas melihat adegan mesra antara dia dan pelakon Aiman Hakim dalam drama Projek Memikat Suami.
"Ya, kalau boleh saya memang tidak mahu berlakon atau bergambar berpelukan atau terlalu mesra dengan lelaki.

"Ia kerana permintaan bapa saya yang menasihatkan agar  tidak tampil keterlaluan ketika berlakon atau bergambar yang boleh menjejaskan nama keluarga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Maixara, di Menara Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

Emma berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengatakan dia mula menolak untuk bergambar mesra dengan lelaki.

Bagaimanapun, Emma menafikan perkara tersebut adalah bagi menjaga hati pelawak yang dikaitkan dengannya iaitu Zizan Razak.


emma maembong 2
Emma Maembong gembira keluarganya menyukai Zizan Razak.


"Saya berubah sedikit demi sedikit untuk menjadi lebih baik dan kenapa perlu bergambar begitu (keterlaluan) sedangkan boleh sahaja kalau bergambar seperti biasa.

"Saya lakukan ini kerana ayah saya bukan sebab Zizan. Zizan tidak pernah menghalang atau masuk campur urusan kerja saya," katanya.

Sementara itu, Emma berkata, dia sudah membawa Zizan bertemu dan berkenalan dengan keluarganya,  malah pelawak tersebut juga merupakan lelaki pertama yang diperkenalkan sebagai kekasih kepada ayahnya.

Kata Emma, dia gembira Zizan pandai mengambil hati dan mudah mesra dengan semua ahli keluarganya.

"Alhamdulillah bapa saya senang dengan dia dan mereka boleh bercakap dalam dialek Terenganu berdua.

"Pada awalnya dia tidak mengenali Zizan dan dia agak pelik apabila orang ramai ingin ambil gambar, tetapi bila ada rakan-rakan yang beritahu barulah dia tahu tentang itu," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang sejauh mana hubungan percintaan tersebut, Emma berkata mereka masih pada fasa mengenali hati budi dan belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin.

Katanya, biarlah perkara tersebut berlaku apabila kedua-dua mereka benar-benar bersedia untuk melangkah ke arah itu.

Kilafairy Tolak Watak Gedik, Penggoda

Posted: 08 Apr 2014 12:46 AM PDT

Kilafairy lebih memilih tawaran lakonan yang diterimanya.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon baharu Kilafairy enggan lagi menerima watak-watak gedik ataupun wanita penggoda dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Kilafairy atau nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan, 22, berkata,  dia melihat kemampuannya harus diuji untuk melakonkan watak-watak berat dan lebih serius.

"Saya enggan membawa watak-watak seperti penggoda, gedik dan seksi, kalau boleh biarlah watak yang berat dan mampu membuktikan bakat saya. Saya tidak mahu penonton melihat saya hanya sebagai perempuan seperti itu sahaja," katanya yang pernah berlakon dalam filem  Karak.

Dia juga akan hanya menerima tawaran yang benar-benar mampu mengangkat namanya sama ada dalam bidang lakonan atau nyanyian pada masa akan datang.

"Saya senyap daripada industri bukan kerana tiada tawaran, sebaliknya sengaja mencari peluang lain yang benar-benar baik untuk kerjaya saya.

"Biarlah kemunculan saya agak sedikit iaitu hanya boleh dikira dengan jari, asalkan watak yang diberikan memberi impak kepada penonton dan mampu mengangkat nama saya kepada industri, ia adalah memadai. Takkan nak bawa watak gedik sampai bila-bila," katanya kepada mStar Online.

 Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kila bakal terlibat dengan pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung pada 6 hingga 14 Jun depan di Istana Budaya dekat sini.

Dia juga bakal keluar dengan single kedua yang berentak Bollywood bersama penyanyi Aidil (AF).

Rafiena Ezanee Jadi Produser Kerana Berlakon

Posted: 08 Apr 2014 12:45 AM PDT

wanita dalam pasungan
Barisan para pelakon Wanita Dalam Pasungan.
KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Rafiena Ezanee Ramli menjadikan bidang lakonan sebagai batu loncatan untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang penerbit drama.

Rafiena, 31, berkata, menerusi bidang itu dia dapat menimba ilmu tentang selok-belok penerbitan sesebuah drama selain berjaya mengutip banyak ilmu sepanjang 13 tahun bergelar pelakon.

"Saya tidak pernah bercita-cita untuk bergelar pelakon sebaliknya mahu menjadi usahawan dan saya sedar satu-satunya cara untuk mendalami bidang lakonan itu adalah dengan terlibat secara langsung dengannya.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada pelbagai individu dalam industri ini saya memberanikan diri membuka syarikat produksi sendiri sejak lima tahun lalu," katanya kepada mStar Online.

Rafiena ditemui pada pelancaran drama terbaharu terbitan syarikatnya iaitu Darkwave Pictures berjudul Wanita Dalam Pasungan di Hard Rock Cafe di sini, Isnin.

Drama 28 episod itu menampilkannya sebagai watak utama di samping Datuk Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Lia Natalia, Mubarak Majid dan Rosnah Mat Aris.
Datuk Rafiena Ezanee Ramli
Rafiena Ezanee
Ia disiarkan sejak Februari lalu iaitu pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 5 petang di Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Dalam pada itu, Rafiena berkata, setakat ini syarikat produksinya telah menerbitkan hampir 50 buah telefilem dan drama bersiri untuk pelbagai stesen televisyen di negara ini.

Jelasnya, sebagai seorang penerbit dia mengakui bukan mudah untuk dia mendapatkan kepercayaan daripada pihak stesen namun berkat kesabaran usaha kerasnya menampakkan hasil.

"Dulu sebelum bergelar penerbit hanya ada beberapa individu yang percayakan saya terutamanya Datuk Yusof Haslam yang banyak memberi dorongan dan galakkan.

"Saya akui sukar pada mulanya untuk bertapak kerana ramai yang tidak mahu lihat saya berjaya dalam bidang tersebut," jelasnya.

Tambah Rafiena, kekuatan syarikat produksinya adalah menerbitkan naskhah asal dengan genre berat seperti telefilem Pondok Plastik Tepi Kubur lakonan Fauziah Nawi yang mendapat rating tertinggi di Astro.

Sementara itu, Rafiena berkata, dia pada awalnya enggan berlakon dalam drama Wanita Dalam Pasungan kerana bimbang tindakkannya itu akan disalah erti.

Bagaimanapun selepas diyakinkan oleh barisan panel skrip syarikatnya dia akhirnya bersetuju untuk memegang watak utama itu.

"Sebelum ini saya memang jarang berlakon dalam drama terbitan sendiri dan jika ada pun sekadar kemunculan istimewa atau watak sampingan kerana bimbang akan disalah erti.

"Saya juga sudah lama tidak berlakon dan boleh dikatakan drama terbaharu ini sebagai 'comeback' saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rafiena berkata, buat masa ini produksinya sedang menyiapkan hampir 10 judul drama dan bercadang untuk menerbitkan sebuah filem pada tahun ini.

Rozita Che Wan Tekankan Disiplin Untuk Lihat Anak Berjaya

Posted: 08 Apr 2014 12:43 AM PDT

Rozita bersyukur disiplin yang diterapkan dalam mendidik anak-anaknya mula menampakkan hasil yang baik.
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan menjelaskan disiplin yang diterapkan dalam diri kedua-dua anak lelakinya iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sejak kecil adalah rahsia bagaimana dia dapat menjadikan mereka sebagai individu yang cemerlang dalam pelajaran. Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Cik Ta, 40, berkata, sejak mereka kecil dia akan memastikan anak-anaknya itu akan mematuhi jadual yang disediakan dan dia juga tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan pelajaran mereka.
"Daripada kecil lagi saya memang buat jadual untuk mereka ikut dan saya sangat pentingkan disiplin sehingga pada satu tahap saya tidak perlu awasi mereka kerana sudah terbiasa dengan jadual yang saya sediakan.
"Alhamdulillah berkat kesabaran mendidik seperti itu,  ia mula menampakkan hasil dan saya sebagai ibu begitu berbangga dengan pencapaian mereka berdua," katanya kepada mStar Online.
Anak sulung Rozita iaitu Ammar Effendy, 18, baru-baru ini mendapat keputusan cemerlang iaitu 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada 20 Mac lalu.
Rozita memberitahu akan membelikan kereta yang diidamkan oleh Ammar sebagai hadiah kerana mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
Ammar bakal memulakan pengajian peringkat asas di Universiti Nottingham yang terletak di Semenyih dekat sini pada Mei ini dalam bidang perbankan.
Jelas Rozita, selepas menamatkan peringkat persediaan itu selama setahun baharulah Ammar akan berangkat ke England untuk menyambung pengajian peringkat seterusnya.
"Dia memilih bidang perbankan dan saya sebagai ibu menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat kerana itu adalah minatnya," jelas Rozita.
Dalam pada itu, Rozita mengakui akan menghadiahkan sebuah kereta BMW X6 kepada Ammar seperti mana yang diinginkan oleh anak lelakinya itu.
Pembelian kereta mewah itu adalah sebagai hadiah kepada Ammar yang telah berusaha keras dalam pelajaran.
"Insya Allah saya akan belikan kereta yang diinginkan itu namun buat masa ini saya sedang menguruskan pembelian kereta saya dahulu memandangkan keluarga kami bakal bertambah besar," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharu  Rozita mengakui selera makannya semakin meningkat semenjak disahkan mengandung anak pertama bersama suaminya, Zain Saidin bulan lalu.
Rozita memberitahu setiap hari dia akan mengambil hidangan nasi sebanyak empat kali sehari berbanding sebelum ini hanya dua kali.
"Selera makan sejak mengandung begitu besar dan bayangkan setiap kali bangun tidur sahaja perkara pertama yang akan saya cari adalah nasi dan masakan kampung.
"Saya beruntung kerana ibu tinggal berdekatan dan dia sering memasakkan menu-menu yang membuka selera saya," katanya yang tidak mengalami sebarang alahan seperti mana wanita mengandung lain.
Anak-anak Rozita iaitu Aniq (kiri) dan Ammar. 

Satu dalam sejuta

Posted: 08 Apr 2014 12:40 AM PDT


  • Satu dalam sejuta
SEORANG bayi dari Uttar Pradesh, India masih bertahan pada hari keenam kelahiran walaupun dilahirkan dengan jantung di luar.

Menurut doktor, kebiasaannya penghidap cordis ectopia hanya bertahan tiga hari sebelum meninggal dunia.

"Ia satu keajaiban. Biasanya, hanya satu dalam sejuta sahaja pesakit mampu bertahan," katanya.
Menurutnya, kos pembedahan amat mahal dan hanya dilakukan di hospital swasta.

Sementara itu, ibu bapa bayi tersebut Priyanka, 24, dan Nirbhay Pal, 31, meminta bantuan kerajaan untuk melakukan pembedahan tersebut.

"Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan kerana hanya mendapat gaji hari RM9 sehari," katanya.

Menurutnya, selama ini mereka hanya makan dua kali sehari kerana kemiskinan, laporan dipetik dari The Mirror News.

Nasi ayam RM1.90 sepinggan

Posted: 08 Apr 2014 12:35 AM PDT


  • Nasi ayam RM1.90 sepinggan Ramli di hadapan restorannya.
BESUT, TERENGGANU - Dalam keghairahan ramai peniaga menaikkan harga makanan di premis mereka berikutan kenaikan harga bahan mentah termasuk bahan api, masih ada peniaga di sini tetap menjual dengan harga lama.
Seorang pengusaha kedai makan nasi ayam di Gong Kemuntong, Jertih, Ramli Mat Zaid, 43, berkata, dia masih mengekalkan harga nasi ayam yang dijualnya iaitu RM1.90 sepinggan, sejak premisnya yang terletak di depan Padang Astaka Jertih, di sini, beroperasi hampir lapan tahun lalu.
Menurutnya, harga nasi ayam biasa yang dijualnya masih sama tanpa mengubah saiz ayam dan nasi sejak dulu lagi walaupun harga ayam dan beras naik.
"Walaupun kekal dengan harga lama dan barangan pula semakin mahal, saya masih dapat untung meskipun tidak sebanyak ketika harga bahan mentah murah.
"Saya berniaga nasi ayam ini bermula daripada harga ayam sekitar RM4.50 sekilogram sehinggalah harga sekarang kira-kira RM6.50 sekilogram, namun saya masih mampu menjual dengan harga murah," katanya yang mempunyai lapan pekerja.
Ramli berkata, memang menjadi hasratnya semasa memulakan perniagaan untuk menjual nasi ayam itu dengan harga RM1.90.
Katanya, pelanggan yang menempah nasi ayam dengan air minuman teh 'O' ais di kedainya hanya perlu membayar RM2.90 sahaja.
"Walaupun harga ayam meningkat, tetapi apabila pelanggan ramai berkunjung ke kedai kita, tetap memberi pulangan menguntungkan," katanya yang menyediakan kira-kira 80 hingga 100 ekor ayam sehari.
Bagaimanapun katanya, bagi nasi ayam spesial, harga yang dijual telah naik sebanyak 50 sen pada awal tahun ini daripada RM3.00 menjadi RM3.50 sepinggan.
Sementara itu, salah seorang pelanggannya, Mohd Razali Mahmud, 31, berkata, dia menjadi pelanggan setia di kedai itu kerana harga nasi ayam yang dijual murah dan berpatutan.

"Langkah pengusaha kedai nasi ayam ini yang tidak menaikkan harga membuktikan peniaga masih mampu mendapat keuntungan walaupun harga barang mentah naik.
"Masalah sekarang, harga bahan mentah naik tidak seberapa, tetapi peniaga menaikkan harga makanan melampau-lampau," katanya.

Bayi 9 bulan didakwa rancang pembunuhan

Posted: 08 Apr 2014 12:29 AM PDT


  • Bayi 9 bulan didakwa rancang pembunuhan Musa menangis ketika ibu jarinya dicelup ke dalam dakwat untuk 'menandatangani' bon jaminan.
ISLAMABAD -PAKISTAN. Seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan di Pakistan didakwa oleh mahkamah atas kesalahan merancang pembunuhan, mengugut polis dan mencampuri urusan hal ehwal kerajaan.

Muhammad Musa Khan adalah salah seorang daripada lebih 30 individu berhadapan pertuduhan sama selepas satu serbuan menyasarkan pencuri gas dilakukan pihak berkuasa di bandar Lahore.

Bayi tersebut yang berada di pangkuan bapanya dilihat memegang botol susunya dan merengek sepanjang prosiding perbicaraan itu berlangsung.

Memetik laporan AP, mahkamah membenarkan Musa diikat jamin dan kes terbabit ditangguhkan sehingga 12 April ini.

Akhbar tempatan melaporkan, bapa bayi tersebut turut menafikan dakwaan mereka bertindak ganas dengan membaling batu ke arah pihak berkuasa sebaliknya, penduduk hanya mengadakan protes membantah kekurangan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

 Difahamkan, kes yang menarik perhatian antarabangsa itu juga mendapat perhatian Ketua Menteri Punjab, Muhammad Shahbaz Sharif apabila bertindak menuntut penjelasan penuh berhubung dakwaan tidak munasabah itu.

Susulan daripada itu, Sub Inspektor Kashif Ahmed dilaporkan digantung tugas kerana mendaftarkan kes terhadap bayi terbabit.

Bercuti di New York selepas kahwin

Posted: 08 Apr 2014 12:26 AM PDT




MELIHAT senyuman yang terukir di wajah pasangan ini, ia menggambarkan segala-galanya.
Kemesraan Misha Omar, 32, dan tunangnya, Firos Ezzwan Rossly, 32, pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan mereka di restoran Holly Smoke Shah Alam, Selangor, Sabtu lepas jelas membuktikan bahawa pasangan ini tidak sabar lagi untuk melangkah setapak ke hadapan bergelar pasangan suami isteri.
Pemilik nama sebenar Samiha @ Aisah Omar itu mengakui, pelbagai rintangan yang dihadapi ketika ingin mendirikan rumah tangga.
Misha bagaimanapun reda dengan setiap apa yang berlaku kepada dirinya. Baginya, hidup perlu diteruskan dan memori baharu perlu dicipta demi menggapai masa hadapan yang diimpikan.
Pemergian bapa tersayang pada Disember tahun lalu merupakan antara dugaan paling besar yang dihadapi oleh Misha.
Di sebalik senyuman, tersembunyi rasa sedih disebabkan bapanya tidak sempat untuk melihat persandingan mereka.
Hal tersebut sekali gus menyebabkan Misha terpaksa menangguhkan perkahwinannya. Pada majlis sidang akhbar yang serba ringkas itu, Misha turut berkongsi segala rintangan yang dihadapinya untuk membina sebuah mahligai rumah tangga.
"Sebelum ini pelbagai rintangan kami hadapi. Ada sahaja masalah yang mendatang, antaranya termasuk kesihatan saya, jadual kerja yang padat dan bakal suami saya yang begitu sukar untuk mendapat cuti tahunan.
"Namun, setelah penangguhan yang agak lama, kami bertekad untuk melangsungkan perkahwinan pada 2 Mei depan.
"Walaupun tempoh persiapan perkahwinan kami singkat iaitu hanya tiga bulan tapi kali ini Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar," ujarya.
Tambah Misha, tarikh tersebut dipilih memandangkan ibunya ingin dia dan bakal suami untuk melangsungkan pernikahan pada bulan Rejab mengikut kalendar Islam.
"Tarikh tersebut dipilih atas permintaan ibu. Setelah berbincang dengan ibu yang baharu sahaja tamat edah, dia bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan secepat mungkin kerana dia akan menunaikan umrah pada bulan Julai nanti," ujarnya.
PASANGAN merpati dua sejoli ini sudah bulat kata dan hati untuk hidup bersama sebagai suami isteri.


Majlis perkahwinan
Bercerita mengenai majlis perkahwinannya yang akan diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan, ujar Misha, ia bakal berlangsung secara sederhana dengan kehadiran kira-kira 500 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, saudara-mara terdekat dan teman rapat sahaja.
"Kami mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di Hotel Renaissance, Kota Bharu disebabkan permintaan ibu. Dia tidak mahu jauh dengan arwah ayah. Jadi, kami terpaksa bersetuju dengan permintaannya.
"Segala majlis akan diadakan dalam masa sehari sahaja. Kami bercadang untuk mengadakan majlis akad nikah pada sebelah pagi (pukul 9) dan majlis resepsi pada malam hari (pukul 8).
"Majlis resepsi juga diadakan di sana sahaja disebabkan kami masih berkabung dengan pemergian ayah," katanya yang pernah popular menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta.
Gelang emas
Bercerita mengenai konsep yang akan diadakan pada majlis akad nikah dan resepsinya, Misha berkata, keseluruhan konsep majlis tersebut akan disediakan oleh pereka fesyen terkenal, Syaiful Baharim.
Namun, Misha tidak menetapkan sebarang konsep untuk majlis perkahwinannya itu.
Pada majlis resepsi dan acara memotong kek perkahwinan pula, Michael Ong merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta busana tersebut.
"Saya memilih Syaiful Baharim dan Michael Ong disebabkan saya telah biasa bekerjasama dengan mereka. Ia juga merupakan salah suatu penghargaan kepada mereka.
"Solekan pula dipertanggung- jawabkan kepada Chott dan Cicie yang menggunakan produk Shiseido. Kami juga akan menggunakan khidmat fotografi perkahwinan wearethejoezakaria," tuturnya.
Misha berkata, kad perkahwinan telah diedarkan bermula 4 April lalu dan beberapa rakan baiknya yang terdiri daripada penyanyi juga telah mengesahkan kedatangan mereka pada malam penuh bermakna tersebut.
"Ada beberapa artis yang menjadi kawan baik saya sebelum ini telah mengesahkan kedatangan mereka. Antaranya termasuk Adibah Noor, Salamiah Hassan, Fara Fauzana, Dina Nazir dan Jaclyn Victor.
"Menariknya, pada malam tersebut juga Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nazir akan bertindak sebagai pergiring dan pemegang dulang pada majlis akad nikah yang akan diadakan nanti," ujarnya.
Bagi pihak Firos pula, sebuah majlis resepsi akan diadakan pada 15 Mei di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. Ia dilakukan untuk ahli keluarga terdekat bakal suaminya sahaja.
Mengulas mengenai wang hantaran mas kahwin, Misha berkata, seperti sebelum ini dia tidak mahu menerima wang hantaran, namun pihak lelaki telah berbesar hati untuk menghadiahkannya sepasang gelang emas.
"Gelang emas tersebut merupakan hadiah daripada pihak pengantin lelaki dan mengenai dulang hantaran pula, hanya lima hantaran sahaja daripada pihak saya dan dibalas lima juga daripada pihak pengantin lelaki," ujarnya.
SELEPAS dua kali tertangguh, laluan untuk Misha dan Firos untuk menuju ke bahtera perkahwinan kini sudah tersedia.


Pascaperkahwinan
Bercakap mengenai pasca perkahwinan Misha berkata, dia dan suami sudah mempunyai perancangan rapi. Namun, mereka masih belum pasti apabila ditebak soalan mengenai percutian selepas perkahwinan.
"Selepas berkahwin, saya akan berpindah ke rumah baharu yang terletak di Cheras.
"Namun, saya perlu menunggu anak angkat saya, Mohd. Adam Emir, 7, untuk menamatkan pengajiannya. Insya-Allah, kalau tidak ada aral-melintang, kami akan berpindah pada penghujung tahun ini," katanya.
Misha menyimpulkan senyumannya apabila ditanya mengenai percutian pascaperkahwinan mereka.
Namun bagi Firos, dia mempunyai perancangan tersendiri untuk bakal isterinya itu.
"Sebelum ini, Misha pernah menyatakan hasratnya ingin bercuti ke negara Eropah. Bagi memenuhi keinginannya, insya-Allah saya akan membawa- nya ke New York, Amerika Syarikat pada musim luruh.
"Saya juga bercadang untuk membawa dia (Misha) ke sebuah restoran makanan laut di Kanada dan makan hidangan ketam istimewa di sana," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai persediaannya untuk menjadi suami kepada penyanyi kesaya- ngan Malaysia itu, juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) itu memberitahu, dia bersedia sepenuhnya untuk menerima apa sahaja dugaan yang akan melanda.
"Sepanjang bergelar tunang Misha, saya telah pun belajar memahami situasi dan persekitaran kerjayanya. Saya rasa ia tidak akan menjadi masalah kepada saya.
"Di samping itu, jika dilihat sekarang ini, Misha juga sudah pandai menjaga dirinya sendiri," ujarnya berseloroh.

Tidak gelojoh terima tawaran

Posted: 08 Apr 2014 12:25 AM PDT


Nama besar yang dimilikinya tidak menghalang Adibah daripada berkolaborasi dengan penyanyi baharu.


SEJAK menceburkan diri dalam bidang nyanyian, pelakon dan pengacara Adibah Noor, 44, gemar menghasilkan album dengan menggunakan hasil titik peluhnya sendiri.
Tanpa diikat oleh mana-mana syarikat rakaman, pemilik nama, Adibah Noor Mohamed Omar ini lebih selesa untuk memilih secara peribadi komposer yang terlibat bagi menggubah lagu-lagu yang terkandung di dalam album-albumnya.
Ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert An Evening of Glamour with Francesca Peters and Adibah Noor di Hugo's On 6, Hotel Best Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu masih menggunakan resipi yang sama untuk penghasilan album ketiganya.
Uniknya, album terbaharunya itu merupakan sebuah album duet dan bakal menampilkan beberapa penyanyi tempatan dari pelbagai generasi yang menjadi kegemarannya.
Dalam temu bual selanjutnya bersama Kosmo!, Adibah turut bercerita mengenai perasaan rindunya untuk menyanyi bersama band secara langsung (live band) serta pengurusan masa yang agak ketat sejak bergelar penyampai radio di Suria FM.
Kosmo!: Kenapakah anda merancang untuk menerbitkan sebuah album yang menampilkan lagu-lagu duet?
ADIBAH: Pada pendapat saya, album duet seperti ini tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Selalunya, album-album bertema seperti ini kerap dihasilkan oleh penyanyi antarabangsa.
Jadi, tidak salah rasanya menampilkan beberapa orang penyanyi kegemaran saya dalam album ketiga saya itu nanti.
Siapa antara artis yang terlibat dalam album itu nanti?
Setakat ini saya sudah menghasilkan tiga buah single bersama Dina Nadzir, Sam Innuendo dan Nizam. Dalam pada itu, saya merancang untuk menjemput Atilia dan Francesca Peters untuk merakam lagu bersama.
Kenapakah anda memilih artis baharu seperti Nizam untuk ditampilkan dalam album itu nanti?
Tidak salah rasanya saya membuka peluang kepada penyanyi-penyanyi ini untuk maju dalam bidang nyanyian. Mereka sudah lama menyanyi, cuma tidak berpeluang untuk dikenali. Selain Nizam, saya juga cuba untuk berkerjasama dengan penyanyi yang lahir daripada rancangan Akademi Fantasia iaitu Amir Jahari.
ADIBAH kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya.


Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda untuk konsert bersama restoran Hugo's On 6?
Saya dipanggil untuk menjayakan sebuah persembahan secara santai oleh pihak hotel. Saya menerima pelawaan ini kerana tertarik dengan konsep live band yang akan mengiringi persembahan saya itu nanti.
Mengapakah anda lebih menggemari persembahan yang diiringi oleh live band berbanding minus one?
Sejujurnya, menyanyi di atas pentas secara berseorangan sangat membosankan (sambil ketawa). Selain berkomunikasi dengan penonton yang hadir, saya juga suka berinteraksi dengan live band. Berjayanya sesuatu persembahan itu turut bergantung pada keserasian penyanyi dan live band tersebut.
Bagaimana pula dengan pemilihan lagu-lagu dalam konsert itu nanti?
Selain membawa lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat, saya turut akan membawakan seleksi lagu-lagu yang ingin saya nyanyikan secara langsung.
Bagaimana peminat mahu mendapatkan tiket bagi persembahan itu nanti?
Saya bakal membuat persembahan di Hugo's On 6 pada 7 Jun depan. Peminat-peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM280++ dengan menghubungi talian 03-2272 8888 atau e-mel kepada fb2sentral@bestwestern.com.my. Paling istimewa, harga ini termasuk enam set menu untuk makan malam di restoran yang sama.
Sebagai seorang penyanyi yang juga bergelar penyampai radio, bagaimanakah anda membahagikan masa untuk menguruskan jadual kerjaya anda?
Saya akui, setelah bergelar penyampai radio, jadual saya sedikit padat. Namun, ini merupakan pilihan saya. Jadi, saya perlu bijak membahagikan masa antara dua bidang ini dan tidak terlalu gelojoh menerima tawaran untuk menyanyi mahupun mengacara.
Adakah anda selesa dengan kerjaya anda sebagai seorang penyampai radio?
Alhamdulillah, setelah setahun bergelar penyampai radio, kerjaya itu semakin dekat di hati saya. Selain dapat berinteraksi secara langsung bersama pendengar, saya turut menggunakan platform tersebut sebagai medium untuk menyebarkan info yang berguna kepada khalayak.

Buku panduan hos Azura Zainal

Posted: 08 Apr 2014 12:24 AM PDT

AZURA ternyata bangga dengan kemunculan buku pertama karya tulisannya ini.


WALAUPUN telah mempelopori bidang pengacaraan sejak 15 tahun lalu, perasaan gemuruh ketika berada di konti radio dan semasa mengacarakan program televisyen masih dirasakan sehingga kini.
Perasaan tersebut diluahkan oleh pengacara TV dan radio, Azura Zainal, 31, ketika ditanya mengenai perasaannya ketika menjalankan tugasnya sebagai pengacara.
Mula melebarkan sayapnya daripada pengacara program TV kepada deejay radio, ujar Azura, dia kini lebih selesa dengan persekitaran pekerjaan tersebut.
"Sejak dahulu kehidupan saya berkisar mengenai bidang pengacaraan, jadi saya rasa ia merupakan sebahagian darah daging saya.
"Walaupun telah berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lalu tapi saya tidak pernah merasakan ia sebagai beban. Malah, setiap hari ketika hendak pergi ke tempat kerja, semangat sangat berkobar-kobar untuk bekerja," ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Di sebalik kesibukannya bekerja, Azura bagaimanapun tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Berkahwin dengan jejaka kelahiran Brazil, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva, Azura mengakui, setelah memasuki alam kehidupan rumah tangga, dia memerlukan komitmen yang tinggi.
Sejak perkenalannya dengan Ibrahim sejak lima tahun lalu, kata Azura, suaminya itu sememangnya seorang yang memahami dan penyayang.
"Saya bahagia di sampingnya. Setakat perkenalan kami sejak 2009, dia tidak pernah berubah, malah kasih sayang dan komitmen yang diberikan membuatkan saya lebih bahagia bersamanya," jelas Azura.
Soal anak
Setiap pasangan suami isteri pasti menginginkan rumah tangga mereka dilengkapi dengan anak-anak.
Bercerita mengenai perkara itu, Azura berkata, buat masa sekarang, dia tidak bercadang untuk mempunyai anak dalam masa terdekat memandangkan dia dan suami kini sibuk dengan karier masing-masing.
"Dia kini sibuk dengan kelas latihan pertahankan dirinya dan pada masa yang sama, saya juga sibuk dengan karier saya sebagai pengacara.
"Kami bercadang untuk memperoleh cahaya mata dalam tempoh dua tahun akan datang," ujar pengacara program Xplorasi itu.
Tambahnya, dalam jangka masa dua tahun tersebut, di samping memberi sepenuh komitmen kepada kerjaya masing-masing, Azura berkata, dia dan Ibrahim masih lagi dalam proses mengenal budaya masing-masing.
"Tidak adil jika saya meminta dia sahaja memahami budaya saya. Saya juga perlu belajar cara hidup dan budayanya supaya ia seimbang," ujarnya yang kini sedang mempelajari bahasa ibunda suaminya iaitu, Brazillian-Portugese.
Buku
Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Azura kini memasuki dimensi baharu dalam kehidupannya apabila mula menceburkan diri dalam bidang penulisan.
Pengalaman lebih sedekad dalam bidang pengacaraan telah diterjemahkan dalam sebuah buku yang berjudul The Guide Book To Radio Host terbitan MPH Bookstores.
Menurut Azura, dia tergerak hati untuk menulis buku tersebut memandangkan buku panduan seperti ini masih kurang berada di pasaran Malaysia dan kebanyakan buku panduan adalah dari luar negara.
"Jika dilihat buku seperti ini masih kurang berada di pasaran Malaysia dan jika seseorang itu ingin mempelajari bidang pengacaraan melalui buku, mereka terpaksa merujuk karya luar negara.
"Buku karya luar negara tidak sesuai untuk dijadikan rujukan di Malaysia memandangkan persekitaran dan cabarannya tidak sama seperti di Malaysia," ujar Azura.
Tambahnya, perasaan tanggungjawabnya untuk berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaannya merupakan faktor lain yang mendorongnya menulis buku tersebut.
"Saya telah berkongsi segalanya termasuk pengalaman saya sehingga kepada aspek etika dan personaliti yang diperlukan untuk menjadi seorang pengacara yang berkaliber dan disegani.
"Melalui penulisan ini saya rasa ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan muda ataupun orang ramai yang berminat atau mahu berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan," ujar Azura yang menjadikan Oprah Winfrey dan Paula Malai Ali sebagai idolanya.
Tambah Azura, kandungan buku tersebut turut menekankan tentang aspek dalaman jiwa seseorang untuk bergelar pengacara dan ia bukan semata-mata berdasarkan teori.
Dalam perkembangan yang sama, Azura menambah, pada masa akan datang dia juga teringin untuk menerbitkan sebuah buku travelog bergambar mengenai pengalamannya sepanjang bergelar pengacara Xplorasi di TV1.
"Sepanjang menjadi pengacara untuk Xplorasi, saya telah berpeluang untuk menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia.
"Pengalaman tersebut digunakan dengan sebaiknya, malah saya sempat merakam detik-detik pengembaraan tersebut dan saya rasakan ia menarik untuk dikongsikan dengan orang ramai," ujarnya.
Bengkel pengacaraan
Dalam pada itu, penerbitan buku tersebut juga membuka ruang baharu kepada Azura untuk mengadakan bengkel pengacaraan dalam usaha mendidik golongan yang ingin berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.
"Saya dan kakak saya, Zarina Zainal bercadang untuk mengadakan bengkel pengacaraan pada masa akan datang dan kebetulan buku ini boleh dijadikan sebagai medium pengajaran kepada pelajar.
"Kami juga amat berbesar hati jika mana-mana sekolah, kolej ataupun universiti ingin menjadikan buku ini sebagai salah satu silibus dalam sukatan pelajaran mereka," ujarnya.

Josselin berjalan atas tali seberangi sungai

Posted: 08 Apr 2014 12:20 AM PDT



JOSSELIN berjalan di atas tali untuk menyeberangi Sungai Seine di Paris kelmarin. - AFP


PARIS - Seorang yang suka membuat aksi berbahaya dari Perancis, Denis Josselin berjalan di atas tali sepanjang 150 meter menyeberangi Sungai Seine di sini kelmarin.
Josselin mengambil masa selama 30 minit untuk melakukan aksi bahaya berkenaan pada ketinggian 25 meter.
"Sepuluh tahun lalu, saya adalah pejalan di atas tali yang terakhir mendapat kebenaran untuk melintasi sungai tersebut (membuat aksi berbahaya itu).
"Aksi itu sangat jarang dilakukan dan saya menikmati sendiri aksi saya itu," katanya selepas selesai membuat persembahan tersebut.
Aksi Josselin mengimbangi badan ketika berjalan di atas tali menyeberangi Sungai Seine itu ditonton oleh beratus-ratus orang.
Josselin turut baring di atas tali itu.
"Dia sangat menakjubkan dan berani. Saya berharap dia tidak jatuh," kata seorang penonton, Julien Dhaye.
Josselin terkenal selepas membuat berpuluh-puluh aksi berjalan di atas tali di seluruh dunia dan dia merancang untuk membuat beberapa lagi persembahan.
"Saya mempunyai beberapa projek dan salah satunya ialah aksi berjalan di atas tali pada ketinggian lebih 70 meter tetapi saya tidak boleh memberitahu anda sekarang tentang projek tersebut," katanya.

Festival musim menuai, bunga

Posted: 08 Apr 2014 12:17 AM PDT




SAMBUTAN Festival Holi sangat sinonim dengan filem Bollywood. Satu-satu adegan yang terbayang di dalam fikiran ialah filem Hindustan atau Tamil seperti Waqt, Action Replay, Silsila, Deewana, Kati Patang dan filem Tamil seperti Nayagan yang mengetengahkan elemen festival itu dalam babak tertentu atau sebuah lagu.
Sebenarnya, ia bukanlah sekadar budaya dalam filem Bollywood tetapi sambutan yang benar-benar berlangsung dalam kemeriahan yang serupa seperti dalam sebuah filem.
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh penganut Hindu di wilayah utara India pada bulan Phalguna (mengikut kalendar tempatan) atau awal bulan Mac bagi kalendar moden sempena musim menuai dan untuk mengalu-alukan musim bunga.
Holi dikaitkan dengan dua kisah Dewa Krishna yang bertindak membaling warna untuk tujuan berseronok sewaktu kecil dan sebagai menyambut kejayaan beliau menentang kejahatan.
Lazimnya, orang ramai atau masyarakat dari sesebuah kampung akan berkumpul di lokasi tertentu seperti kuil sebelum mereka melempar serbuk pewarna dan haruman kepada pengunjung.
Kehangatan festival ini turut dibawa ke Malaysia oleh pengurusan sebuah kuil di Kuala Lumpur iaitu Kuil Sree Laksmi Narayani Mandir di Jalan Kasipillai melalui Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Sambutan yang dijenamakan sebagai Holi Fest itu mula diperkenalkan dua tahun lalu dan turut dipromosikan menerusi laman sosial facebook.
Bagaimanapun, festival ini sebenarnya telah lama disambut di Malaysia dalam kalangan penganut Hindu di kuil yang bermula sejak tahun 1919 iaitu sejak rumah ibadat itu didirikan.
"Ia sama seperti mana-mana perayaan agama Hindu. Cuma elemen Holi dilihat berkonsep festival.
"Orang ramai menabur warna-warni dengan penuh kegembiraan beserta harapan agar kehidupan direstui dengan warna-warna yang positif," kata Presiden Kuil Sree Laksmi Narayani Mandir, Nirmal Kumar.

FILEM Bollywood banyak menggunakan Festival Holi dalam adegan filem mereka.


Penyertaan
Menurut Nirmal, sejak dua tahun lalu, pihak pengurusan kuil bersetuju untuk membuka penyertaan kepada orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.
"Menariknya, Festival Holi mendapat respons bukan sahaja daripada penganut Hindu tetapi menjadi tarikan budaya kepada kaum Melayu, Cina dan pelancong asing.
"Berdasarkan sambutan, kira-kira 3,000 pengunjung hadir memeriahkan festival ini, sekali gus ia berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu ke negara kita," jelas Nirmal sambil menambah bahawa penyertaan dalam festival ini adalah percuma.
Bagaimanapun, orang ramai hanya dibenarkan membeli serbuk warna yang dijual pihak pengurusan kuil sahaja.
Seorang pengunjung, R.Bharathan, 27, memberitahu, dia pada mulanya beranggapan festival ini disambut secara kecil-kecilan dengan melibatkan elemen ritual seperti sembahyang.
Namun, tanggapannya meleset sebaik melangkah ke Jalan Kasipillay untuk menuju ke kuil.
"Jalan sangat sesak dengan kereta dan orang ramai sehingga kami terpaksa meletak kereta agak jauh. Saya tidak sangka ia disambut semeriah ini," kata Bharathan.
Dia yang mulanya berhajat bersembahyang untuk mengambil restu dewi kuil itu, Lakhsmi Narayani diikuti bermain Holi akhirnya berubah fikiran.
"Apabila melangkah ke kuil, orang terlalu ramai manakala serbuk warna pula sudah habis dijual. Namun, pengunjung lain tidak kisah berkongsi serbuk warna yang ada pada mereka.
"Saya dan tiga rakan lain diserbu pengunjung dan dilempar serbuk warna. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar festival sebagai kenang-kenangan," ujarnya yang bersinglet hitam.

DI India, semua orang tanpa mengira status akan bermain Holi sebagai satu simbolik mendekatkan jurang dan saling bermesra.


Dalam pada itu, dua pelancong asing, Thomas George Maccabee, 22, dari United Kingdom dan Leifennie Asanuddin Ang, 22, dari Indonesia tidak dapat menyembunyikan rasa teruja menyambut Festival Holi.
"Semua orang menyerbu dan menabur serbuk warna pada wajah kami dan kami juga bertindak sebaliknya. Semua orang kelihatan dalam keadaan seronok dan saling bergembira,' kata Leifennie yang lahir di Melaka tetapi membesar dan menetap di Indonesia.
Pengalaman
Tambahnya, walaupun sambutan festival ini antara dua hingga tiga jam, tetapi dia begitu teruja menikmati iringan muzik tradisional India yang rancak.
Maccabee yang sedang mengikuti latihan amali di Majlis Kanser Negara turut berkongsi pengalaman menyambut festival ini di Nepal beberapa tahun lalu.
Bezanya, sambutan di Malaysia cukup meriah umpama pesta dengan gerai-gerai penjaja menjual makanan dan cenderamata. Di Nepal, festival ini hanya diraikan oleh kanak-kanak di kampung sahaja.
"Saya bersama anak-anak kampung bergerak dalam kumpulan kecil dari sebuah kampung ke satu kampung lain dan mengajak orang ramai menyertai Festival Holi," ujar lelaki yang wajahnya penuh dengan serbuk Holi.
Dia juga berharap untuk kembali ke Malaysia pada tahun hadapan untuk menyertai festival ini bersama rakan-rakan lain.
Sementara itu, seorang jurugambar video sebuah stesen televisyen tempatan, Zhafri Susardi, 22, berkata, sambutan kali ini lebih meriah manakala kehadiran pengunjungnya pula bertambah dua kali ganda.
Dia yang hadir bersama rakan sekerja, Norazmi Sharuddin, 26, memberitahu, ini adalah kali kedua mereka menyertai Festival Holi untuk tujuan rakaman.
"Ramai yang datang termasuk mereka yang bukan daripada kaum India kerana perasaan ingin tahu tentang festival ini," katanya.

KATERINA Perepelitsa dari Russia dan rakannya, Iryna Chermukuina dari Ukraine saling menyapu warna pada wajah masing-masing di Festival Holi di Kuala Lumpur.


Apabila didekati, Rohaida Zulkifli, 23, yang merupakan pelajar fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pula memberitahu, dia datang merakam foto-foto untuk koleksi portfolio peribadinya.
Beliau antara ratusan jurugambar yang dilihat ligat berjalan-jalan merakam foto.
"Rakan senior yang pernah ke festival ini memberitahu, ia sangat menarik tetapi tak sangka pula jumlah pengunjung terlalu ramai hingga terpaksa bersesak.
"Festival Holi memang menjadi lokasi sesuai untuk merakam pelbagai sudut foto yang menarik," ujarnya sambil membungkus kemas kameranya dengan plastik untuk mengelakkan dicemari dengan serbuk yang berwarna-warni.

Batu nisan di Lamreh bukti tamadun Islam

Posted: 08 Apr 2014 12:15 AM PDT

PENEMUAN tapak Paleolitik di Bukit Bunuh dekat Kota Tampan, Perak antara bukti kejayaan arkeologi USM.


EKSKAVASI arkeologi penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Universitas Syiah Kuala (UNSyiah) dan Universitas Sumatera Utara (USU) berjaya menemui bukti terbaharu kehadiran Islam di rantau ini.
Ia hasil penemuan batu nisan di Kampung Lamreh, Aceh Besar, Indonesia yang mendedahkan tarikh 200 tahun lebih awal berbanding Makam Malik Al-Saleh di Pasai pada kurun ke-11 Masihi.
Penemuan ini membetulkan sejarah awal Islam Nusantara berdasarkan bukti batu nisan bertulisan Arab ini yang dikatakan dimakamkan pada hari Jumaat 22 Safar 398 Hijrah.
Penyelidikan tersebut diketuai Pengarah Pusat Arkeologi Global (PPAG) USM, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin Mokhtar bersama-sama bekas pelajarnya dari USU dan UNSyiah pada tahun 2009.
Kedua-dua penyelidik tersebut adalah Ketua Pusat Penelitian Ilmu Sosial dan Budaya UNsyiah, Dr. Husaini Ibrahim dan Ketua Jurusan Sejarah USU, Dr. Suprayitno M. Hum.
Arkeologi Islam
Batu nisan ini pertama kali dipamerkan dalam Pameran Arkeologi Islam Asia Tenggara yang berlangsung di universiti itu baru-baru ini.
Mokhtar memberitahu, penemuan itu sangat penting dalam melihat sejarah awal Islam sehingga kini termasuk kemungkinan adanya hubung kait dengan tamadun di Semenanjung Tanah Melayu.
"Selama ini, pihak-pihak luar mendakwa kedudukan tamadun Islam terbelakang atau hampir sama usianya dengan tamadun-tamadun lain.
"Oleh itu, penemuan baharu ini memberi implikasi amat besar kepada penulisan sejarah Islam rantau ini," kata beliau.
Kejayaan ini juga adalah hasil daripada persefahaman yang dimeterai antara USM dan USU dalam kajian arkeologi Islam membolehkan penyelidikan yang lebih tersusun dan mantap.
Aceh dan Medan di Indonesia dikatakan mempunyai banyak bukti tentang arkeologi Islam yang tidak pernah dikaji sebelum ini melibatkan pelbagai bidang kemahiran arkeologi.
Ia membolehkan penulisan semula beberapa aspek 'Arkeologi Islam Nusantara' agar lebih jelas.
USM sebenarnya telah mendahului dalam bidang penyelidikan arkeologi Islam bermula tahun 2010 dengan Indonesia dan Pakistan yang menekankan kepada aspek penyelidikan saintifik.
BATU nisan bertulisan Arab bertarikh 22 Safar 398 Hijrah ini menjadi bukti terbaharu tamadun Islam di rantau ini.


Susulan kejayaan di Acheh, USM akan menghantar penyelidiknya ke Pakistan bulan depan bagi melaksanakan kerja-kerja ekskavasi di Gandhara Kashmir Smast di Peshawar, Pakistan.
Tapak sejarah yang terletak di utara Pakistan itu amat penting selain merupakan laluan perjalanan barat dan timur.
Kerajaan Gandhara yang wujud sekitar abad pertama Masihi merupakan pusat kebudayaan Buddha yang masyhur di bawah pemerintahan Raja Kushan.
Dengan ketinggian sekitar 1,200 hingga 2,000 meter dari paras laut, tapak arkeologi tersebut kaya dengan khazanah tamadun manusia.
Tapak Gandhara menjanjikan pulangan yang cukup tinggi dalam pembangunan ilmu serta penghasilan penerbitan berkualiti untuk dimuatkan dalam jurnal terkemuka dunia.
Tapak Ghandara
"Kepercayaan Pakistan terhadap kredibiliti PPAG turut menjadi penanda aras bahawa kepakaran kita sangat diiktiraf," ujar Mokhtar.
Namun jelasnya, pasukan mereka akan diberikan perlindungan maksimum di sana.
Katanya, pihak Barat turut mengetahui bahawa tapak di Gandhara adalah lubuk arkeologi yang menyimpan khazanah dunia.
"Bukan calang-calang negara yang dibenarkan berada di sana, inikan pula diberi kebenaran khas membuat penyelidikan penting di tapak yang menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk Barat.
"Ekskavasi ini melalui kerjasama dengan Universiti Peshawar dan antara yang diberi tumpuan adalah mengumpul bukti-bukti prasejarah dan sejarah awal lokasi tersebut.
"Gandhara turut memberi peluang PPAG melahirkan modal insan terlatih dalam bidang arkeologi di samping membuka ruang lebih besar dalam aspek kajian saintifik," tambah beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories