RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pelaksanaan Hudud Di Brunei Antara Sebab Nina Iskandar Bertudung

Posted: 26 May 2014 08:59 PM PDT


Nina memberitahu perubahannya itu bukanlah semata-mata kerana pelaksanaan hudud di negaranya tetapi ia ikhlas daripada hatinya. 
PETALING JAYA: Pelakon baharu, Nina Iskandar mengakui antara sebab dia mula menutup aurat dan mengenakan tudung adalah kerana menghormati undang-undang terbaharu negara asalnya, Brunei Darussalam yang secara rasmi melaksanakan hukum hudud.

Nina, 23, bagaimanapun berkata, perubahannya itu bukanlah semata-mata kerana pelaksanaan hudud di negaranya, tetapi ia ikhlas daripada hatinya dan memang berhasrat untuk memakai tudung sebelum ini lagi.

"Brunei telah melaksanakan undang-undang syariah dan hudud, jadi sebagai rakyat dan wanita beragama Islam saya mahu membawa imej negara saya atas rasa hormat yang mendalam.

"Bagaimanapun perubahan saya ini bukan semata-mata kerana undang-undang baharu itu tetapi ia ikhlas dan datang daripada hati sendiri," jelasnya.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada awal Mei mengumumkan baginda akan meneruskan pelaksanaan hukum hudud biarpun mendapat kritikan di negara itu dan peringkat antarabangsa.

Fasa permulaan undang-undang itu berkuat kuasa secara rasmi dengan fasa kedua termasuk hukuman lebih ketat, termasuk potong tangan bagi kesalahan kecurian dan rompakan, yang akan dimulakan lewat tahun ini.

Nina kelihatan ayu dengan berhijab.

Sementara kesalahan termasuk liwat dan zina akan dikenakan hukuman direjam sampai mati pada fasa ketiga.
Dalam pada itu, Nina berkata, perubahannya itu tidak dirancang, sebaliknya perasaan untuk menutup aurat datang secara tiba-tiba sejak beberapa minggu lalu.
Jelas Nina lagi, sebelum itu dia sering mencuba mengenakan hijab sekiranya keluar bersama rakan-rakan dan berasa selesa dengan imej berkenaan.
"Sebelum ini saya sering pakai tudung jika keluar untuk cuba sama ada saya selesa atau pun tidak dan baru-baru ini hati saya terus terbuka untuk terus mengenakan hijab dan saya berasa begitu tenang.
"Perubahan ini juga sebagai salah satu persiapan untuk diri sendiri kerana jika tidak mulakan sekarang, bila lagi?," ujarnya.
Sementara itu, Nina berkata, pihak pengurusannya di Malaysia iaitu  Metrowealth International Group (MIG) juga tiada halangan untuk dia mengenakan tudung dan gembira dengan perubahannya itu.
Dalam perkembangan lain, Nina yang mengakui bakal bertunang dengan seorang ahli perniagaan dari Kelantan pada Ogos depan memberitahu masih belum membuat sebarang persiapan perkahwinan mereka kerana masih terlalu awal.
Malah kata Nina, mereka juga belum menetapkan sebarang tarikh perkahwinan untuk hari bahagia itu nanti.

Impian Kamal Adli tercapai

Posted: 26 May 2014 08:58 PM PDT


  • Kamal AdliKamal Adli

SETIAP orang pasti mempunyai beberapa impian yang ingin digapai dalam hidupnya dan begitulah juga yang dilalui oleh aktor kacak, Kamal Adli.

Terang Kamal, impiannya untuk berlakon dalam sebuah filem aksi dan berpeluang untuk tampil melakukan aksi sendiri akhirnya terlaksana dalam filem Abang Long Fadil.

"Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Syamsul kerana dia yang mencadangkan nama saya kepada Datuk Yusof dan Syafiq selaku pengarah untuk ambil saya berlakon.

"Bila dapat peluang ini, saya memang tidak mensia-siakan, tambahan lagi saya berpeluang melakukan semua aksi sendiri. Walaupun kaki saya terkehel, namun saya puas hati," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Kamal, pada awalnya dia memang sukar untuk memahami arahan Syafiq, namun sebaik melihat hasilnya dia amat berpuas hati.

"Pada mulanya terus terang saya katakan yang sewaktu penggambaran saya kurang faham apa yang Syafiq mahukan untuk filemnya ini. Tapi bila saya tengok hasilnya, saya cukup kagum dengan pengarahannya.

"Selain tu saya dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Zizan dan Syamsul", katanya yang memengang watak sebagai Adam.

Filem Abang Long Fadil terbitan Skop Production merupakan filem kedua Syafiq Yusof yang akan ditayangkan mulai 29 Mei ini.

Karya bergenre komedi aksi ini membawa kesinambungan daripada kisah KL Gangster apabila sahabat baik Abang Long Fadil, Malik (lakonan Aaron Aziz) telah ditahan dalam penjara. Berbeza sedikit daripada kisah KL Gangster yang lebih serius, filem ini mengisahkan tentang Abang Long Fadil yang mahu menjadi samseng sehebat Malik dan Shark (lakonan Syamsul Yusuf).


Sedia berkahwin?

Dalam pada itu, ditanya perihal hubungannya dengan kekasihnya, Intan Ladyana, pelakon ini berkata, dia merancang untuk mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya tahun depan.
Dedah Kamal, dia bersama Intan telah pun mendaftar kursus perkahwinan, baru-baru ini.
"InsyaAllah, seperti saya pernah beritahu sebelum ini kalau bukan tahun ini, tahun depan kami akan kahwin. Saya pun seperti dah dapat 'seru' (ketawa).

"Persiapan belum lagi tapi saya bersama pasangan saya sudah pun mendaftar kursus nikah. Baru saja daftar," ujarnya.

Iqram Dinzley Terkejut Dituduh Jalin Hubungan Songsang Lagi

Posted: 26 May 2014 08:57 PM PDT


f32
Iqram Dinzly sudah lali dengan gosip-gosip mengenai dirinya.
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly menganggap ada pihak cuba mensabotaj dirinya apabila dituduh  menjalinkan hubungan songsang, selain berfoya-foya di sebuah kelab malam di London, November tahun lalu.

Iqram, 33, yang terkejut apabila isu hubungan songsang membabitkan dirinya sekali lagi menjadi isu, sedangkan dia langsung tidak terlibat dengan perilaku tersebut bagaimanapun mengakui berkunjung ke kelab malam di United Kingdom itu sekadar untuk melihat suasananya.

"Mungkin ada pihak yang mahu sabotaj saya. Kenapa orang nak kaitkan saya dengan hubungan songsang hanya kerana melihat saya bergambar dengan lelaki. Salah ke saya nak bergambar dengan kawan saya sendiri?

"Bagaimanapun saya mengakui ada berkunjung ke sebuah kelab malam di London tetapi bukan berfoya-foya, sebaliknya sekadar mahu melihat suasananya sahaja," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sebuah laman blog pada Isnin mendedahkan seorang pelakon lelaki (dituju kepada Iqram) dikatakan mengunjungi beberapa kelab malam di London.
Iqram Dinzly
Iqram yang ketika itu ditemani seorang pelajar lelaki rakyat Malaysia didakwa menjalin hubungan songsang.

Malah laman blog itu turut mendedahkan mesej daripada aplikasi Whatsapp berbau lucah kononnya ia adalah mesej perbualan antara Iqram dan pelajar tersebut.

Sementara itu, Iqram menyifatkan ia sebagai satu gosip lucu dan enggan mengambil serius mengenai perkara itu.

"Apa yang saya tak faham, kawan dengan perempuan salah, dengan lelaki salah. Habis saya nak berkawan dengan siapa?

"Berkenaan mesej Whatsapp itu, saya pun tak pasti itu mesej saya atau tidak. Tetapi kalau dengan rakan-rakan lelaki saya memang suka bercakap kasar.

"Rasa lucu pula bila isu ini berbangkit lagi. Sebelum ini bila rapat dengan Soo Wincci, saya dikatakan cuba mengurat dia, sekarang cerita lain pula.

"Apa-apapun, yang penting keluarga faham siapa saya yang sebenar," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Iqram baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama di bawah produksi Shawana Productions iaitu Kalau Hati Ini Rama-Rama dan Cinta Meniti Starimost. Selain itu lakonan Iqram juga bakal muncul menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 yang akan ditayangkan pada September depan.

Penerbit 'Projek Kahwin' Akan Pastikan Tiada Masalah Bayaran Artis

Posted: 26 May 2014 08:54 PM PDT


 wadw
Barisan pelakon teater Projek Kahwin iaitu dari kiri, Shah Iskandar, Hanez Suraya, Kaka Azraff, Kilafairy dan Izzue Islam.
KUALA LUMPUR: Pihak penerbit teater Projek Kahwin iaitu Mask Team akan memastikan insiden kelewatan pembayaran kepada artis tidak akan berulang seperti mana berlaku pada teater Maduku Kalut sebelum ini.
Penerbitnya, Mohd Amer Syafiq Khalip, 27, berkata, pihaknya akan memastikan pembayaran dibuat selepas tiga minggu pementasan selesai.

"Dulu terjadinya masalah pembayaran dan salah faham kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam hal berkaitan pengurusan memandangkan masih baharu ketika itu.

"Namun kali ini kami telah mempelajari daripada kesilapan dan berharapa kejadian serupa tidak akan berulang lagi," katanya.

Mohd Amer ditemui pada sidang media teater Projek Kahwin di Istana Budaya pada Isnin.

Projek Kahwin akan dipentaskan di Panggung Sari pada 6 hingga 14 Jun depan.

Ia bakal menampilkan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Kilafairy, Kaka Azraff, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan penampilan istimewa Forteen.

Dalam pada itu, Mohd Amer berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pihak Sekretriat Tahun Melawat Malaysia 2013 dalam mempromosikan teater berkenaan bagi menarik pelancong dari luar negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.
ass
Antara babak teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan pada 13 hingga 15 Jun depan.
Jelas Mohd Amer, selain dapat mempromosikan sektor pelancongan negara kehadiran penonton luar dapat memberi mereka peluang untuk memahami tentang keunikkan adat dan tradisi perkahwinan Melayu yang dipaparkan menerusi teater berkenaan.

"Alhamdulillah respon daripada pihak Sekretriat Tahun Melawat Malaysia 2013 amat baik menerusi cadangan kami untuk menpromosikan 'Projek Kahwin'.
"Malah kami juga sudah mendapat tempahan daripada peminat dari Singapura yang ingin menonton teater ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Amer berkata, selain pementasan teater, turut diadakan Pameran Pengantin di ruang legar Istana Budaya pada 13 hingga 15 Jun.

Selain itu katanya, beberapa artis terkenal turut melibatkan diri dalam Femes Bazar dan akan menjual pelbagai barangan.

"Objektif kami mengadakan aktiviti di ruang legar Istana Budaya agar ia akan menjadi tumpuan pengunjung terutama golongan remaja untuk merasai kemeriah di tempat tersebut," katanya.

Jelas Mohd Amer lagi, tiket persembahan itu sudah terjual sebanyak 30 peratus setakat ini.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket teater Projek Kahwin ia dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM125, RM185 dan RM225.

Tiket boleh didapati di AirAsiaRedTix.com dan kaunter box office Istana Budaya.

Untuk tempahan berkumpulan boleh menghubungi Amirul di talian 0133962612.

Pekin Ibrahim Masih Sayangkan Uqasha Senrose

Posted: 26 May 2014 08:52 PM PDT


Pekin memberitahu pertunangan mereka masih belum putus dan hanya menangguhkan perancangan untuk berkahwin.
PUTRAJAYA: Selepas sekian lama mendiamkan diri mengenai status hubungannya dengan aktres Uqasha Senrose, pelakon Pekin Ibrahim memberitahu ikatan pertunangan mereka masih terjalin namun menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah.

Pekin, 34, berkata, kenyataan Uqasha mengenai hubungan mereka yang telah berakhir disifatkan berbaur emosional dan mereka sedang mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

"Ikatan pertunangan tidak pernah putus cuma perancangan perkahwinan ditangguhkan seketika bagi memberi ruang kepada kami untuk berfikir semasak-masaknya tentang keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya dan mencari keserasian.

"Keluarga kedua-dua belah pihak mengetahui perkara ini dan mereka juga turut menasihatkan agar kami tidak terburu-buru dan bertenang buat masa ini," katanya.
Pekin memberitahu mereka sepatutnya berkahwin pada 25 Oktober depan.
Pekin ditemui ketika hadir ke majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2013) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini pada malam Sabtu lalu.

Uqasha dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar Februari lalu mendedahkan Pekin telah meminta supaya mereka memutuskan hubungan atas alasan tiada persefahaman dan perancangan untuk berkahwin juga tidak menjadi kenyataan.

Pasangan itu sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 25 Oktober depan.
Pekin menyerahkan soal perkahwinan kepada jodoh.

Dalam pada itu, Pekin mengakui masih menyayangi Uqasha namun tidak mahu terlalu memikirkan mengenai soal tersebut kerana mahu kedua-dua pihak bertenang sebelum membuat sebarang keputusan selanjutnya.

Bagaimanapun kata Pekin, dia dan Uqasha kini jarang berjumpa untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku diantara mereka kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Tipu kalau saya kata saya tidak sayangkan dia tetapi buat masa ini saya malas hendak fikir tentang perkara itu kerana kalau ada jodoh adalah nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pekin berkata dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filemJuvana 2 arahan Faisal Ishak. 

Zizan Razak Tewas Bukan Kerana Kontroversi

Posted: 26 May 2014 08:50 PM PDT

Zizan tidak melihat kontroversi yang melanda kerjayanya sebagai punca dia tidak berjaya membawa pulang sebarang trofi pada ABPBH 2013.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menyangkal dakwaan kononnya dia gagal meraih sebarang trofi pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) kerana namanya dikaitkan dengan beberapa kontroversi.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 30, berkata, sekiranya faktor tersebut diambil kira dia yakin namanya tidak akan tersenarai sejak pencalonan awal kerana para peminatnya dan pengundi sudah bijak untuk menilai seseorang artis.

"Alhamdulillah, sudah tercalon dalam lima kategori pun sudah dikira cukup bagus dan rasanya bukan kerana kontroversi saya gagal mendapat sebarang trofi kerana peminat hari ini sudah bijak menilai.

"Tambahan pula kontroversi yang melibatkan saya tidaklah seteruk mana sehingga ia mampu membuatkan peminat membenci saya," katanya.

Menerusi ABPBH 2013, Zizan dicalonkan dalam lima kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Gandingan Serasi di Layar Perak dan Artis Berpengaruh di Laman Sosial.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak kecewa apabila gagal membawa pulang sebarang trofi kerana apa yang berlaku diluar kawalannya selain soal rezeki ditentukan oleh Allah.
Zizan bersyukur peminat masih setia menyokong kerjaya seninya.

Jelas Zizan, keputusan yang dibuat peminat perlu diterima dengan baik dan bersyukur apabila ahli kelab peminatnya sentiasa berada disisinya dan memberi sokongan kuat terhadap kerjayanya.

"Tanpa peminat saya tidak mungkin akan berdiri di sini pada hari ini dan sokongan tidak berbelah bahagi mereka membuatkan saya kuat dan bersemangat untuk terus memberikan terbaik dalam kerjaya saya," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2013 buat kali kedua, Zizan berkata, Aaron layak menerima penghargaan berkenaan dan ia tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Saya bangga dengan Aaron atas pencapaian mereka dan dia berhak menerima anugerah tersebut malah saya turut tumpang gembira dengan kemenangan sahabat lain seperti Datuk AC Mizal dan Jep Sepahtu," jelasnya.

ABPBH: Aaron Aziz Tidak Diam Diri Jika Kemenangan Dipertikai

Posted: 26 May 2014 08:48 PM PDT

Aaron tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang akan mempertikaikan kemenangannya dalam ABPBH 2013.
PUTRAJAYA: Pelakon Aaron Aziz tidak akan berdiam diri dan akan bersemuka sekiranya ada pihak yang mempertikaikan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) buat kali kedua pada Sabtu lalu.

Aaron bagaimanapun berkata, dia berharap kemenangannya itu tidak menjadi kontroversi seperti mana kemenangannya kali pertama pada 2011 kerana ia ditentukan oleh peminat.

"Harap-harap tiada pihak yang mempertikaikan kemenangan ini kerana ia adalah suara para peminat saya yang bertungkus lumus mengundi dalam memberi sokongan kepada kerjaya seni saya.

"Bagaimanapun sekiranya perkara itu berlaku saya tidak akan berdiam diri dan akan bersemuka dengan pihak berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Pada acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, Aaron memperoleh 76,742 undi sehingga melayakkannya merangkul trofi utama itu selain turut dipilih menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.
Aaron merangkul trofi Bintang Popular ABPBH buat kali kedua.

Dalam pada itu, Aaron berkata, dia tidak menyangka akan diumumkan sebagai Bintang Paling Popular kerana tidak banyak produk melibatkannya sejak akhir-akhir ini.

Malah kata Aaron, dia dapat merasakan popularitinya tidak segah dahulu namun menganggap ia satu fasa biasa sebagai dan sentiasa bersedia menghadapi zaman kejatuhannya.

"Saya benar-benar terkejut dan hilang kata-kata ketika diumumkan sebagai pemenang kerana saya merasakan populariti saya semakin pudar tambahan pula semakin ramai pelakon lelaki baharu muncul dalam industri membuatkan saya tidak mengharapkan sebarang kemenangan.

"Namun kemenangan ini adalah bukti peminat saya sentiasa memberikan sokongan pada mereka terhadap kerjaya saya di negara ini," ujarnya.

Pelakon berasal dari Singapura ini bersyukur masih mendapat sokongan peminat di Malaysia.

Sementara itu, Aaron berkata, kemenangan itu tidak memberikan tekanan kepadanya malah sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan karya terbaik buat peminat setianya.

"Alhamdulillah, sokongan peminat dan isteri saya yang banyak menguruskan kerjaya saya sehingga ke tahap ini akan terus menjadi penguat semangat untuk terus berkarya dengan lebih baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, dia kini sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran filem selain telemovie khas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bufet Ramadan: Felda D'Saji sasar jualan RM2.2juta

Posted: 26 May 2014 08:44 PM PDT


  • Chef Felda D'Saji menunjukkan sebahagian daripada hidangan yang disediakan untuk bulan Ramadan pada Majlis Sidang Media dan Preview Bufet Ramadan 2014 di Kuala Lumpur hari ini.  - Foto BernamaChef Felda D'Saji menunjukkan sebahagian daripada hidangan yang disediakan untuk bulan Ramadan pada Majlis Sidang Media dan Preview Bufet Ramadan 2014 di Kuala Lumpur hari ini.
SYARIKAT katering Felda D'Saji Sdn Bhd, anak syarikat Felda dan Koperasi Permodalan Felda menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.2 juta bufet Ramadan di Dewan Perdana Felda serta Restoran Felda Villa tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zaki Abdullah berkata, tahun lepas kedua-dua venue yang masing-masing menawarkan harga RM85 dan RM69 seorang itu mencatat hasil jualan sebanyak RM1.7 juta.

"Untuk tahun ini, kita menawarkan lebih 111 menu yang akan disediakan 40 chef dengan menu istimewa termasuk makanan Arab, masakan kampung dan pelbagai lagi juadah tradisi Melayu dan antarabangsa," katanya kepada pemberita pada majlis prebiu bufet Ramadan di Restoran Felda Villa di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan kehadiran lebih 30,000 tetamu berbanding 26,000 tahun lepas bagi kedua-dua venue.

Lebih menarik, tahun ini Felda D'Saji akan bekerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi memberi peluang kepada setiap tetamu menyumbang untuk aktiviti kebajikan kepada pesakit kanser, katanya.

"Kami akan mendermakan RM1 bagi pihak tetamu kami kepada Tabung MAKNA dengan jumlah sasaran minimum sumbangan sebanyak RM25,000," katanya.

Iqram hanya bergurau

Posted: 26 May 2014 08:36 PM PDT

IQRAM mengakui, perbualannya dengan pelajar tersebut hanya sekadar gurauan dan menganggap pelajar tersebut seperti rakannya yang lain.


SEMALAM, kecoh dalam sebuah portal hiburan memuat naik gambar seorang pelakon dan pengacara, Iqram Dinzly yang dipercayai memasuki kelab malam dan melakukan hubungan songsang dengan seorang pelajar Malaysia di London.
Menurut kenyataan tersebut, Iqram juga dipercayai sering berbalas mesej menerusi aplikasi Whatsapp dengan pelajar tersebut apabila pelakon itu pulang ke Malaysia dan antara mesej tersebut berbaur lucah.
Tambah memburukkan keadaan lagi, pelakon tersebut juga didakwa turut mengirim sekeping gambar alat sulit lelaki untuk tatapan pelajar tersebut.
Difahamkan, pelajar lelaki terbabit terserempak dengan Iqram di London pada bulan November tahun lepas sewaktu pelakon tersebut sedang menikmati makan malam.
Selepas bertegur sapa, si pelakon dikatakan mempelawa pelajar berkenaan menemaninya bersiar-siar sepanjang berada di sana dan seterusnya terbawa hingga ke bilik pula.
Iqram yang terkejut dengan kontroversi yang melanda dirinya itu bagaimanapun mengatakan ia hanya merupakan gurauan biasa dirnya dan rakan-rakan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang pernah membintangi filem Apokalips X itu.
Kosmo!: Benarkah dakwaan yang mengatakan anda pergi ke kelab malam dan melakukan hubungan songsang dengan seorang pelajar Malaysia di London?
IQRAM DINZLY: Ya, saya mengakui saya hanya pergi ke kelab malam tersebut hanya sekadar ingin melihat suasana dan meluangkan masa bersama rakan-rakan. Namun, saya menyangkal dakwaan yang mengatakan saya melakukan hubungan songsang kerana ia tidak mempunyai bukti.
Boleh anda komen sedikit mengenai perbualan anda dengan seorang pelajar tersebut menerusi aplikasi Whatsapp, Pada pandangan anda adakah ia agak keterlaluan?
Dia merupakan teman saya. Pada saya, ia merupakan perkara biasa kerana saya selalu bergurau dengan rakan-rakan lain dan saya sendiri menganggap ia hanya perkara biasa sahaja. Bukan setakat dia, malah saya turut bergurau dengan rakan-rakan lain perkara yang sama juga. Bagi saya, ia tidak menjadi masalah.
Menerusi gambar tersebut anda kelihatan intim dengan pelajar tersebut, bolehkan anda jelaskan hubungan sebenar antara kalian berdua?
Saya merupakan seorang yang mudah mesra walaupun dengan orang yang saya baru kenali. Tidak mungkin untuk saya melakukan hubungan songsang kerana kami hanya berkawan seperti biasa. Saya menafikan spekulasi tersebut kerana tiada sebarang bukti yang mengaitkan kami berdua melakukan hubungan songsang walaupun di dalam gambar tersebut.
Apakah tujuan anda berada di London?
Saya berada di sana selama lima hari disebabkan urusan kerja. Saya ke sana bagi mempromosikan kelab bola sepak Cardiff City dan pulang setelah urusan kerja tersebut selesai.
Menerusi gambar tersebut, anda memakai baju yang tertera jenama Rafflesia. Adakah ia sedikit sebanyak akan menjejaskan jenama itu?
Dalam gambar tersebut saya hanya duduk bersebelahan dengan dia, tidak ada sebarang aksi lucah di dalam gambar tersebut. Saya rasa, ia tidak patut dijadikan permasalahan besar.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya baru sahaja selesai daripada penggambaran drama Kalau Hati Ini Rama-Rama di Bosnia dan sebuah telemovie Meniti Cinta di Stari Most terbitan RTM. Saya juga akan terlibat dalam filem terbaharu Upin-Ipin yang dijangka akan bermula pada Jun ini. Selain itu, saya juga akan bercuti di Sepanyol pada September depan.


Pengisian tujuh hari Assalamualaikum

Posted: 26 May 2014 08:35 PM PDT


PROGRAM Assalamualaikum kini bersiaran tujuh hari seminggu dengan wajah baharu bermula pukul 8.30 pagi dan 10.30 pagi.


PROGRAM bual bicara, Assalamualaikum yang ditayangkan di TV Alhijrah kembali dengan wajah baharu serta pengisian santai berunsur Islamik yang lebih padat.
Menariknya, program yang dahulunya bersiaran pada hari Khamis hingga Ahad ini telah ditambah penerbitannya kepada tujuh kali seminggu bermula semalam.
Menurut penerbit hal ehwal semasa TV Alhijrah, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin, penambahan slot bagi program Assalamualaikum dilihat sejajar dengan perkembangan produksi stesen televisyen berkenaan sepanjang empat tahun beroperasi.
"Tidak dinafikan, program Assalamualaikum diterbitkan pada awal penubuhan stesen TV Alhijrah kira-kira tiga tahun yang lalu. Ketika itu, kepakaran yang ada pada kami masih di peringkat asas.
"Namun, dalam tempoh tiga tahun itu, banyak perkara yang telah kami perbaiki seiring dengan perkembangan tenaga produksi yang kami ada.
"Perkembangan itu turut menjamin mutu penyampaian Assalamualaikum supaya sentiasa berada pada tahap yang memberangsangkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran wajah baharu program Assalamualaikum di Serambi Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melanjutkan perbualan, Syirfan memberitahu, gaya penyampaian yang lebih santai digunakan agar penonton yang mengikuti rancangan tersebut boleh mendengar perbincangan yang disampaikan tanpa berada di hadapan kaca televisyen.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, rancangan ini bersiaran pada waktu pagi. Pada waktu sebegini, ramai orang sedang sibuk untuk bersiap-siap ke tempat kerja dan ada juga antara suri rumah yang sudah mula melakukan aktiviti mengemas dan memasak.
"Jadi, menerusi pendekatan ini, mereka mampu melakukan tugasan harian sambil mendengar isu-isu yang dibincangkan oleh pengacara Assalamualaikum," katanya lagi.
Menerusi penambahan slot siaran Assalamualaikum, terdapat juga segmen-segmen baharu yang menarik disediakan bagi membentuk struktur kandungan program itu menjadi lebih segar dan interaktif.
Antaranya ialah slot Evolusi Y yang memaparkan aktiviti yang dapat dilakukan oleh golongan muda pada masa lapang.
Pengendali slot tersebut, Raja Noor Anis Suefia Raja Arif Shah berkata, aktiviti-aktiviti yang dipaparkan dapat memberikan inspirasi terhadap golongan remaja dan dewasa untuk melakukan riadah mengikut cara Islam.
"Agama Islam sering menekankan tentang kepentingan sukan serta aktiviti riadah untuk kesihatan tubuh. Kita juga turut digalakkan untuk mempelajari cara untuk menunggang kuda, memanah serta berenang.
"Justeru, dengan adanya slot seperti Evolusi Y, penonton boleh mengadaptasi aktiviti yang dipaparkan sebagai rutin untuk beriadah, sekali gus mendapatkan tubuh badan yang sihat," katanya.
Bekas pengacara bagi rancangan Man Jadda Wajada itu menambah, selain golongan muda, slot kendaliannya turut boleh ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.
"Aktiviti riadah tidak terhad pada golongan muda sahaja. Golongan dewasa yang gemarkan cabaran juga digalakkan menonton," katanya lagi.
Selain Evolusi Y, slot-slot lain yang bakal menemui penonton adalah Magnet Diri, Kuliah Pondok, Inspirasi Wanita, Interaktif Al-Quran dan Ejen Halal.
Antara pengacara yang turut terlibat termasuklah Amin Idris, Farrah Deeba, Shahrul Faizie dan Irma Hasmie.
Assalamulaikum yang berwajah baharu bakal bersiaran pada pukul 8.30 hingga 10.30 pagi setiap hari Isnin hingga Ahad. Siaran pertamanya bermula semalam.


Serbuk kulit kerang jebak logam berat

Posted: 26 May 2014 08:31 PM PDT


CENGKERANG mengandungi kalsium karbonat yang tinggi dan mempunyai manfaat besar dalam industri.



MELALUI bimbingan yang berterusan, Marlina (tengah) berharap para pelajarnya menjadi pereka muda yang berbakat pada masa hadapan.



BEKALAN air menjadi lebih bersih dan selamat apabila epoksi kulit kerang disadur bahagian dalam untuk menyerap bahan asing.


BEBERAPA kepingan besi yang dijadikan sampel kajian menunjukkan perbezaan kesan karat selepas disadur epoksi.


MAKANAN laut seperti kerang, siput dan kepah menjadi kegemaran ramai sejak sekian lama disebabkan rasa yang enak meskipun hanya direbus atau dibakar.
Namun selepas menikmati isi kerang, cengkerang haiwan tersebut akhirnya dibuang ke dalam tong sampah.
Cangkerang atau lazim dipanggil kulit kerang sebenarnya kaya dengan bahan kalsium karbonat yang mempunyai manfaat besar dalam industri.
Malah, sifat alkali yang terdapat pada kulit kerang juga berupaya mengubah kadar keasidan dalam air kepada neutral dan menjadikan ia lebih selamat untuk diminum.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor, Ahmad Nurdeen Abu, 17, berkata, kalsium karbonat dalam kulit kerang mempunyai fungsi penyerap bahan berbahaya terutama logam berat.
"Kulit kerang boleh dijadikan bahan utama untuk menyediakan persekitaran yang lebih selamat daripada bahaya logam berat seperti tembaga, kadmium dan sebagainya," kata Ahmad Nurdeen.
Sehubungan itu, Ahmad Nurdeen bersama rakan sebayanya di sekolah tampil dengan idea untuk menghasilkan serbuk Penyerap Logam Berat Bukan Organik (INHMA) daripada bahan asas kulit kerang untuk kegunaan industri.
"Cangkerang biasanya dibuang selepas isi kerang dimakan. Melihat situasi itu, saya dan rakan di sekolah terfikir mengenai manfaat kulit kerang yang boleh didapati secara percuma.
"Kami kemudian meneliti jurnal-jurnal kimia dalam internet dan mendapati kulit kerang kaya dengan kalsium karbonat. Kalsium karbonat juga mampu menyerap logam berat dalam air.
"Melalui penemuan ini, kami cuba menggunakan kulit kerang untuk dijadikan bahan penyerap logam. Selama empat bulan usaha itu dibuat, kami akhirnya berjaya memanfaat kulit kerang itu," katanya.
Hasil penemuan tersebut, sekumpulan 15 pelajar di SBPI Rawang berjaya menghasilkan INHMA daripada bahan asas kulit kerang.
Lebih membanggakan, inovasi daripada kulit kerang tersebut melayakkan para pelajar SBPI Rawang itu memenangi pingat emas dalam Pameran Pereka Muda Asia 2014 (AYIE 2014) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
AYIE yang diadakan serentak dengan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (Itex) sejak tahun 1989 merupakan antara platform utama pereka muda di Asia memperkenalkan potensi ciptaan mereka.
Pameran anjuran Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (Minds) bertujuan mengiktiraf rekaan para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di Asia yang mempunyai ciri-ciri unik, inovatif dan berdaya maju.
Mengulas kejayaan tersebut, Muhammad Faizal Hamizat, 17, menambah, idea memanfaatkan cangkerang kerang dimaklum kepada pihak sekolah bagi mendapatkan kebenaran menjalankan projek reka cipta di SBPI Rawang.
Cari cangkerang
"Cabaran bermula selepas dapat kebenaran daripada pihak sekolah. Kulit kerang yang kebanyakannya sudah berbau busuk dicari di restoran-restoran makanan laut dan dibawa pulang ke sekolah untuk dibersihkan.
"Selepas dicuci, kami cuba melumatkan kulit kerang, tetapi tidak berhasil kerana lesung batu yang digunakan untuk melumatkan cangkerang terbelah dua," katanya yang berulang alik ke UPM di Serdang, Selangor sepanjang menjalankan projek berkenaan.
Pihak sekolah kemudian bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mendapat bantuan peralatan dan kemudahan makmal serta proses seterusnya jadi lebih lancar.
Serentak penciptaan INHMA, para pelajar tersebut turut menghasilkan Penyadur Epoksi Cangkerang yang bertindak sebagai bahan tahan karat dan ia juga melayakkan mereka memenangi sebutir lagi pingat emas dalam AYIE 2014.
Selain dua pingat emas, mereka turut memenangi sebutir pingat perak dalam pameran yang sama menerusi ciptaan Perangkap Gas Tercemar dan ia juga berasaskan kulit kerang.
Kulit kerang dijadikan serbuk (INHMA), ia juga digunakan untuk menghasilkan produk inovasi kedua iaitu Penyadur Epoksi Cengkerang yang disadur dalam batang paip lalu menjadikan bekalan air bebas logam berat.
"Penyadur epoksi juga bertindak menjadikan permukaan dalaman besi lebih tahan karat dan memanjangkan usia batang paip. Ia juga boleh menjimatkan kos kekerapan penggantian batang paip dalam industri bekalan air.
"Bahan yang sama juga digunakan untuk mencipta Perangkap Gas Tercemar bagi menjadikan asap kilang industri lebih bersih sebelum dibebaskan ke udara," kata Muhammad.
Ujar pelajar itu lagi, kalsium karbonat boleh didapati menerusi proses kimia industri, tetapi bahan yang sama daripada kulit kerang melibatkan kos penghasilan jauh lebih murah, selamat dan mesra alam.
Muhammad Izzan menambah, ujian menerusi mikroskop berkuasa tinggi di makmal turut mendapati serbuk serta epoksi daripada kulit kerang tersebut juga terbukti memerangkap logam berat serta bahan berbahaya yang lain.
Potensi para pelajar tersebut mungkin tidak mampu dikembangkan tanpa galakan daripada guru-guru menerusi program inovasi dan reka cipta yang diadakan di sekolah.
Guru pembimbing reka cipta SBPI Rawang, Marlina Mat Napes berkata, budaya inovasi yang dipupuk di bangku persekolahan menerusi projek sedemikian berupaya mempersiap masa depan lebih cerah kepada pelajar.
Paten produk
Apabila pelajar tamat persekolahan, kemahiran inovasi dan kreativiti itu boleh digunakan untuk mereka mencipta produk atau teknologi yang mempunyai nilai komersial dan seterusnya menjadi pemilik harta intelek.
Ujar beliau, pihak sekolah juga sedang memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai prosedur mempaten produk inovasi di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi setiap ciptaan mereka.
"Sekiranya sesebuah ciptaan itu berjaya menarik minat pemain industri atau pengilang dan dipasarkan sebagai produk pengguna, ia memberi jaminan masa depan yang lebih cerah," kata Marlina.
Sejak bulan April lalu, para pelajar SBPI Rawang memenangi enam pingat emas, lima perak, satu gangsa dan anugerah khas dalam pertandingan reka cipta yang disertai di dalam serta luar negara.
Semua pingat dimenangi menerusi AYIE 2014, Olimpiad Pereka Muda Malaysia (MIYIO) serta Pameran Reka Cipta Kejuruteraan dan Inovasi Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, ciptaan penyadur epoksi kulit kerang turut meraih Anugerah Khas Juri Antarabangsa daripada Persatuan Pereka Muda dan Saintis Indonesia pada April lalu.
Sejak tahun 2011, sebanyak 22 hadiah termasuk pingat emas, perak, gangsa dan anugerah khas berjaya dimenangi menerusi pameran reka cipta di Korea Selatan, Croatia, Jepun dan Indonesia.
Para pelajar berkenaan turut terlibat dalam Pameran Pereka Muda Eropah di Lassi, Romania menerusi ketiga-tiga produk berasaskan cangkerang kerang pada 21 hingga 25 Mei lalu.
Marlina menambah, SBPI Rawang mula terlibat dalam reka cipta dan inovasi sejak 2011 bagi memenuhi skop kegiatan pembelajaran di sekolah berprestasi tinggi.
"Sekolah-sekolah berprestasi tinggi seperti SBPI mempunyai kegiatan yang melibatkan semua pelajar seperti sukan dan sebagainya. Di SBPI Rawang, kita fokus kepada bidang reka cipta dan inovasi.
"Program ini (reka cipta) menjadi lebih aktif bermula tahun 2013 selepas mendapat sokongan dan dorongan idea daripada Pengetua SBPI Rawang (Addenan Osman) dalam usaha mempelbagai daya inovasi pelajar," katanya.
Sementara itu, Guru Kanan Sains dan Matematik SBPI Rawang, Shajaratudduur Hussin pula berkata, tahap keyakinan dan daya fikir pelajar terlibat turut melonjak menerusi program reka cipta.
Jelas beliau, kumpulan pelajar terlibat tidak menghadapi kesulitan ketika membuat pembentangan mengenai hasil ciptaan mereka di hadapan para juri.


Tradisi senapang etnik Miao

Posted: 26 May 2014 08:29 PM PDT


Kumpulan etnik Miao di Biasha, China menjadi satu-satunya kelompok orang awam yang dibenarkan memiliki senjata api untuk digunakan dalam persembahan.

GAYA hidup bersenjata berusia ratusan tahun di Biasha kini dijadikan tarikan utama pelancong luar dan tempatan ke daerah tersebut.



WANITA entik Miao mengenakan baju berwarna-warni bersama kain singkat dan gelang kaki yang merupakan kostum tradisional mereka.



SEKUMPULAN pemuda etnik Miao menari sambil memegang senjata api yang dipertontonkan di hadapan pelancong asing.


TEMBAKAN raifal mendengung-dengung di ruang udara perkampungan di kawasan gunung itu. Orang yang mendengar dan menyaksikan aksi itu pula langsung tidak cemas atau gentar. Malah tembakan itu disambut gemuruh keterujaan.
"Kami mula membawa pistol sejak berumur 15 tahun dan merupakan satu-satunya puak yang dibenarkan memiliki senjata api di China," ujar Jia Xinshan sambil jarinya kemas menarik picu raifal kayu dan disaksikan para pelancong yang mengambil kesempatan untuk mengambil gambarnya yang segak berkot hitam kilat.
Gaya hidup bersenjata di Biasha, sebuah perkampungan yang terletak di tengah-tengah hutan tebal di daerah Guizhou merupakan satu peringatan kepada era konflik antara Beijing dan puak-puak pergunungan yang masih mendiami sebahagian kecil kawasan barat daya China.
Penduduknya sehingga kini dibenarkan untuk memiliki senjata api tetapi kegunaannya hanya dihadkan dalam pertunjukan kepada pelancong. Ia menjadi satu ilustrasi terhadap integrasi kelompok minoriti itu dalam pemerintahan republik tersebut.
Senjata api
Sebagai negara yang sering berwaspada terhadap kekacauan dan jenayah, China menyekat pemilikan senjata api dalam kalangan majoriti orang awam.
Justeru, kebolehan menyaksikan tembakan dilepaskan di tempat awam di Biasha mencipta atmosfera yang menyalahi undang-undang di tempat lain.
"Dahulu kami gunakan senapang untuk mengawal keselamatan kampung. Kini kami menyandang senapang sebagai satu bentuk impresi kepada pelancong," kongsi Xinshan, 30, yang melakukan persembahan setiap hari dalam bentuk rutin tarian bersenapang.
Pondok-pondok kayu di Biasha yang menjajar sehingga ke lereng bukit merupakan kediaman kepada kumpulan etnik minoriti Miao dengan populasi kira-kira 12 juta orang. Mereka lebih banyak menggunakan bahasa sendiri berbanding bahasa Mandarin.
Nama Miao pertama kali diberikan kepada puak-puak pergunungan ketika pemberontakan berdarah tercetus antara mereka dan pemerintah China sekitar tahun 1600-an. Rentetan peristiwa itu memaksa mereka berpindah ke kawasan pergunungan yang lebih tinggi.
Menurut kajian pakar sejarah, Robert Jenks seperti yang diterbitkan oleh Universiti Hawaii, Amerika Syarikat, pejuang-pejuang Miao mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendalikan senjata api seawal tahun 1681.
Kajian ilmiah Jenks turut mendedahkan askar upahan British pada tahun 1870 menceritakan bahawa tentera China kehilangan 30 hingga 40 anggota mereka setiap hari akibat serangan hendap pejuang Miao ke atas kem-kem mereka pada waktu malam.
Peperangan terbesar antara dua pihak itu tercetus pada abad ke-19 sehingga mengakibatkan jutaan orang terbunuh. Apabila pemberontakan itu berakhir, para pemimpin Miao dihukum gantung pada tahun 1872.
Profesor di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Siu-Woo Cheung menyatakan, masyarakat di gunung kemudiannya berdepan kepayahan untuk mengadaptasi kehidupan di bawah sistem pemerintahan baharu.
Begitupun, pada tahun 1912 selepas keruntuhan dinasti terakhir China, orang Miao menerima pengiktirafan rasmi sebagai kumpulan etnik di republik tersebut. Bersama autonomi yang terhad, status mereka kekal sehingga Parti Komunis merebut kuasa 30 tahun kemudiannya.
Kini orang Miao selesa di Biasha. Meskipun dibenarkan meneruskan tradisi pemilikan senjata api, pakar bagi menghasilkan alatan itu di kampung tersebut kini hanya tinggal seorang.
Gun Laosheng, satu-satunya pembuat senjata api di Biasha memberitahu: "Saya memerlukan dua hingga tiga hari bagi menghasilkan selaras senapang. Kemahiran ini diperturunkan bapa saya yang juga cekap memburu burung liar."
Persembahan
Tambah Laosheng, bisnesnya semakin merosot ekoran kecenderungan penduduk kampung membeli senjata api daripada pedagang luar. Lagipun, penggunaan senapang di Biasha juga dihadkan untuk persembahan sahaja dan tidak lagi dibenarkan untuk tujuan berburu.
Aktiviti memburu haiwan telah diharamkan sebagai langkah China bagi melindungi hidupan liar.
Selain berburu, penduduk Biasha turut dinafikan hak membeli serbuk letupan di pasar. Justeru mereka terpaksa membeli secara rahsia.
Pengarah filem yang pernah menghabiskan masa lebih setahun di kampung itu, Ning Jingwu menyatakan: "Pemerintah membenarkan mereka memiliki senjata api tetapi dengan syarat yang sangat ketat.
"Mereka terpaksa mendapatkan bekalan senjata api daripada orang luar dan kini senapang yang merupakan pertahanan signatur mereka hanya dijadikan alat dalam persembahan."
Pihak berkuasa China baru-baru ini merampas 15,000 senjata api daripada pedagang haram di bandar Guiyang yang terletak 300 kilometer dari Biasha.
Seorang penduduk kampung berusia 37 tahun, Guan Nila bagaimanapun menyetujui prinsip pengehadan penggunaan senjata api di tempatnya. Dia menyifatkan China sebagai negara yang aman dan sekiranya perlu mempertahankan diri, dia tidak memerlukan sebarang senjata api.


Perpustakaan, buku masih rerlevan

Posted: 26 May 2014 08:24 PM PDT


PERPUSTAKAAN desa turut memainkan peranan membantu menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat.- Gambar hiasan.


"NAK dapat maklumat tu? Alah Google aje," kata seorang rakan apabila ditanyakan maklumat yang penulis ingini.
Jika tiga dekad lalu pencapaian internet menjadi sesuatu yang asing bagi kita namun kini ia berada di hujung jari.
Lihat sahaja di sekeliling kita, baik kanak-kanak sehinggalah warga emas, rata-rata mempunyai gajet di tangan seperti telefon bimbit atau tablet canggih.
Dunia tanpa sempadan. Itulah ungkapan paling tepat dalam melayari internet ketika ini. Antara pertanyaan yang seringkali diucapkan terutama golongan muda ialah masih relevankah pencarian maklumat menerusi bahan rujukan buku?
Sesetengah pendapat mengatakan pencarian sebegitu sudah ketinggalan zaman malah, perpustakaan awam tidak lebih sebagai tempat menyimpan buku. Selain itu, leceh untuk ke sana bagi mencari bahan rujukan apatah lagi bahan yang ada begitu terhad dan tidak terkini.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Bharu, Kelantan, Tuan Nurul Nadia Tuan Asri, 23, berkata, aplikasi pencarian maklumat melalui internet sememangnya menjadi pilihan utamanya kerana ia menjimatkan masa.
"Kebergantungan kepada buku sebagai sumber rujukan semakin berkurangan kerana aplikasi internet jauh lebih cepat dan mesra pengguna.
"Kita cuma perlu taip sahaja rujukan yang dikehendaki di pautan berkenaan dan semua maklumat akan diperoleh. Ia seperti buku bergerak," katanya yang sedang mengikuti jurusan kewangan.
Sumber rujukan buku yang agak terhad di perpustakaan dan tidak terkini juga menjadi faktor pelajar lebih cenderung menggunakan internet.

PERANAN perpustakaan dan buku sebagai sumber rujukan masih relevan pada zaman internet ini. - Gambar hiasan.


Pengurusan masa
Seorang guru, Rozita Nasir, 30, pula berkata, dengan adanya sistem carian maklumat melalui internet pelbagai bahan berguna dapat diperoleh untuk kegunaan pelajar.
"Sebagai guru, pengurusan masa yang amat penting dan kecanggihan teknologi maklumat pada hari membantu tugas-tugas guru.
"Bukan kita menafikan kepentingan buku sebagai sumber rujukan tetapi transformasi positif dalam teknologi semasa boleh dimanfaatkan," kata guru Pendidikan Seni sejak empat tahun lalu.
Bagaimanapun, pendidik perlu bijak memilih maklumat bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pendidikan, katanya.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Ruslan Hassan bagaimanapun, melihat perkembangan teknologi itu tidak menggugat peranan buku sebagai sumber rujukan malah menjadi nilai tambah.
"Tidak semua maklumat yang didapati dalam aplikasi carian maklumat tepat terutama untuk membuat kajian ilmiah.
"Buku adalah sumber rujukan terjamin sedangkan terdapat banyak maklumat dalam internet boleh diedit oleh sesiapa," katanya.
Lebih penting, jelas beliau, usaha menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bentuk dan kaedah pembacaan.
"Saya percaya, usaha mencari maklumat melalui pembacaan buku memerlukan tumpuan dan ketekunan sehingga dapat menjadikan pembaca lebih matang, kritis dan menghargai bahan yang dibaca.
"Cuma yang menjadi kebimbangan ialah apabila pelajar mendapatkan sepenuhnya maklumat daripada internet akan mewujudkan budaya plagiat sekali gus membantutkan perkembangan ilmu," tambahnya.

PENGGUNAAN tablet membantu memudahkan pencarian maklumat di internet.


Diseimbangkan
Kedua-dua kaedah itu harus diseimbangkan dan pengguna perlu bijak mengguna teknologi terkini dalam memartabatkan ilmu.
Namun, beliau tidak menafikan perkembangan pantas teknologi maklumat turut membantu memartabatkan buku sebagai bahan rujukan seperti sistem e-Book.
Sehingga kini, peranan perpustakaan dan buku sebagai rujukan masih relevan kepada masyarakat terutama pelajar.
Di Kelantan terdapat tujuh cawangan perpustakaan negeri dan tiga perpustakaan desa yang terletak di Ciku, Gua Musang; Salor, Kota Bharu dan Dabong, Kuala Krai selain 34 perpustakaan desa di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2014, rekod bilangan pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang tahun 2015 berbanding 18 juta orang pada tahun 2012.
Laporan itu juga menyebut bahawa rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan akhbar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial.
Kadar penembusan rangkaian sosial sebanyak 91 peratus dengan satu daripada tiga minit yang digunakan dalam talian adalah untuk rangkaian sosial.
Seramai 11.8 juta rakyat dianggarkan mempunyai akaun Facebook dengan lebih 80 peratus melayari internet untuk mengakses Facebook.

Kulinari autentik Bumi Kenyalang

Posted: 26 May 2014 08:23 PM PDT


CEF SANNY bersama juadah unik dan menyelerakan yang dibawa khas dari Bumi Kenyalang.


USIANYA baru sahaja mencecah 24 tahun, namun pencapaiannya memiliki produk selendang dan tudung menggunakan label sendiri iaitu Sincerely By Us (SBU) adalah suatu kejayaan yang boleh dibanggakan buat gadis muda bernama Noor Inora Putri Noorzainy.
Dia yang lebih mesra dipanggil Nora ini menjalankan perniagaan online secara kecil-kecilan sahaja semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2011.
Modal permulaannya hanyalah RM500 sebelum berkembang sehingga berjaya memiliki dua buah butik yang terletak di Alam Avenue, Seksyen 16, Shah Alam dan Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Anak kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Noorzainy Md. Noor ini meminati bidang perniagaan dan berazam untuk meluaskan empayar SBU yang diasaskannya.
Buktinya, butik SBU Shah Alam akan berpindah lokasi ke bangunan kedai tiga tingkat berhampiran butik lama serta dalam perancangan untuk membuka cawangannya di Johor.
Diminati
SBU mempunyai pengikutnya tersendiri di laman sosial Facebook dan Instagram yang melebihi 100,000 pengikut.
Nora memulakan perniagaan tudung jenis selendang dan tudung bawal yang dipasarkan di Facebook dan dijual kepada rakan-rakan.
Faktor kelainan yang ada pada tudungnya menyebabkan ia menjadi bualan dan semakin dikenali ramai sehingga sekarang.
Jelasnya, untuk berjaya dalam perniagaan, dia berpegang kepada prinsip tidak meniru sesiapa, sebaliknya memperkenalkan trend ada gaya tersendiri.
"Dengan memperkenalkan ketulenan produk, pelanggan akan lebih mengingati dan menggemari produk yang dikeluarkan," ujar beliau.
Tudung dan selendang SBU menggunakan kain chiffon crepe yang tidak terlalu nipis atau tebal sesuai untuk Muslimah menutup aurat dengan sempurna.
Kain tersebut juga tidak perlu digosok dan sangat mudah dibentuk atau digayakan mengikut kesesuaian penggayanya.

BUBUR pedas mudah didapati di Sarawak terutamanya pada bulan Ramadan.


Eksklusif
SBU juga turut tampil dengan pelbagai corak tersendiri dan sentiasa menghasilkan rekaan terbaharu untuk tatapan pelanggannya.
"Selain digemari pelanggan, SBU juga mahu memastikan setiap barangan yang dijual di butik adalah eksklusif dan terjaga," jelasnya yang bakal menamatkan zaman bujangnya penghujung tahun ini.
Selain menghasilkan tudung dengan label sendiri, SBU juga turut menjadi vendor beberapa produk yang sentiasa menjadi pilihan pelanggan.
Setiap produk vendor yang dijual hanya terdapat di SBU dan tiada di tempat lain.
"Sekiranya pelanggan berminat, mereka perlu membelinya di butik SBU sahaja.
"Dengan cara ini, saya dapat memastikan SBU sentiasa menjual dan menghasilkan produk-produk eksklusif sahaja," katanya.
SBU juga memastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu milik.
Setiap tudung bawal dan selendang misalnya berharga antara RM20 hingga RM30 manakala bagi pakaian dan produk vendor yang dijual tidak melebihi RM100.
Butik-butik SBU menyediakan pelbagai produk seperti tudung, selendang, pakaian (skirt, jubah, baju, baju-T), kasut, produk penjagaan rambut dan biskut raya sempena menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama nanti.
Nora memberitahu bahawa sempena Aidilfitri nanti, SBU juga akan memperkenalkan beberapa rekaan tudung yang menarik pada setiap minggu bulan Ramadan.
"Saya mahu menjadikan butik SBU sebagai pusat sehenti yang memenuhi semua keperluan pelanggan tanpa mereka perlu pergi ke tempat lain untuk mencari barang yang dikehendaki.
"Jadi, SBU akan menyediakan pelbagai barangan bermula dari hujung rambut hingga hujung kaki untuk kemudahan pelanggan," jelasnya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories