RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Akademi Fantasia 2014 Kembali Format Asal

Posted: 02 Jun 2014 08:48 PM PDT


Raqim (dua kanan) bersama tenaga pengajar AF 2014. 
KUALA LUMPUR: Program Akademi Fantasia (AF) musim terbaharu bakal kembali dengan format asal seperti mana ia mula diterbitkan pada 2003.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, biarpun menggunakan konsep asal namun pengisian program tersebut akan diperkenalkan dengan nafas yang lebih segar bersesuaian dengan peredaran zaman.

"Sepanjang penerbitan AF pelbagai eks perimen dan pembaharuan juga telah pun diperkenalkan dari musim ke musim demi mengenal pasti format dan strategi paling efektif bagi menambah baik program ini.

"Sehubungan dengan itu, kami membuatkan keputusan untuk menyuntik semula format asal yang terbukti berjaya meletakkan jenama AF di fenomena tersendiri," katanya.

Raqim ditemui pada majlis penghargaan artis dibawah naungan Astro di Hotel Le Meridien dekat sini, Isnin.
Barisan artis naungan Astro. 
Dalam pada itu, Raqim berkata, keputusan itu juga dibuat berdasarkan penerbitan musim-musim terdahulu dan mendapati rakyat Malaysia sebati dengan elemen emosi, drama dan air mata yang cuma dapat dirasai menerusi AF.

"Kami berharap format asal dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan AF yang menjadi aset serta testimoni utama," jelasnya.

Sementara itu, Raqim berkata, pihak produksi akan mengadakan uji bakat di empat buah lokasi di seluruh Malaysia iaitu Johor pada 13 dan 14 Jun 2014, Pulau Pinang (14 dan 15), Sabah dan Selangor (21 dan 22 Jun).

Pihak Astro juga turut mengadakan sesi uji bakat untuk laluan pantas secara dalam talian dengan peserta memuat naik video nyanyian secara kreatif AF Mobile atau www.akademifantasia.com.my bermula 26 Jun hingga 9 Jun 2014.

Eina Azman Enggan Campur Isu Tampar

Posted: 02 Jun 2014 08:47 PM PDT


Eina tidak mahu terlibat dalam kontroversi berkaitan Afiq Muiz dan ibunya, Hasliza Mohd.

PETALING JAYA: Pelakon Eina Azman tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi yang mengaitkan dua beranak iaitu bekas kekasihnya Afiq Muiz dan ibu pemuda itu, Hasliza Mohd.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, berkata, dia juga tidak berhasrat untuk memberi sebarang ulasan berhubung isu kononnya dua beranak itu berhasrat menampar mukanya.

"Sejujurnya saya tidak membaca laporan berkenaan tetapi mengetahui tentang perkara itu daripada orang lain dan saya tidak mahu mengulas mengenainya kerana saya enggan terlibat dalam sebarang kontroversi lagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Terdahulu, Hasliza menerusi laman Twitter miliknya menyifatkan laporan sebuah akhbar yang mendakwa dia dan Afiq mahu menampar muka Eina Azman jika berjumpa wanita itu sebagai satu fitnah.

Eina adalah pelakon yang sebelum ini dikatakan menjadi punca Afiq Muiz menderhaka kepada ibunya sehingga tidak pulang ke rumah.

Dalam pada itu, Eina berkata, biarpun terkejut dengan berita berkenaan namun dia tidak mampu untuk menolak kesahihan laporan yang dibuat akhbar itu.

Bagaimanapun katanya lagi, dia tidak mahu membebani fikirannya dengan persoalan tersebut kerana ia tidak memberi sebarang kebaikkan kepadanya.

Eina dan Afiq pernah digosipkan bercinta.

"Saya cuma terfikir sekiranya perkara itu tidak wujud, masakan orang boleh bercerita mengenainya tetapi saya malas hendak layan perkara remeh seperti itu kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," jelasnya.

Sementara itu, Eina menafikan dia memusuhi Afiq sebaliknya menjelaskan kesibukan dengan kerjaya masing-masing menyebabkan hubungan mereka tidak rapat seperti dahulu.

Jelas Eina lagi, faktor dia kini mempunyai teman lelaki turut menjadi alasan mengapa dia tidak lagi bertemu dengan Afiq seperti bagi menghormati kekasihnya.

"Memang kami tiada apa-apa masalah tetapi saya kini sudah mempunyai teman lelaki dan sudah tentu jika saya masih akrab dengannya kekasih akan salah faham.

"Saya perlu menjaga perasaan teman lelaki dan sebab itu saya sudah lama tidak bertemu dengannya dan bukannya kerana kami bergaduh," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Eina berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Selamat Pengantin Madu untuk slot Zehra di TV3 disamping aktres Fasha Sandha.

'Dengarlah Bintang Hatiku' Buka Ruang De'Meises Ke Malaysia

Posted: 02 Jun 2014 08:45 PM PDT


De' Meises popular dengan lagu Dengarlah Bintang Hatiku.
PETALING JAYA: Kumpulan muzik dari Indonesia iaitu De'Meises tidak menyangka lagu mereka Dengarlah Bintang Hatiku yang  pada tahun 2009 mendapat perhatian di Malaysia biarpun selepas lima tahun ia dilancarkan.

Vokalis utamanya, Iman Lukman Asikin, 25, berkata, pemilihan lagu berkenaan untuk dijadikan lagu tema drama bersiri Ijab dan Qabul di negara ini telah membuka ruang kepada mereka untuk mencipta nama di Malaysia.

"Kami sangat teruja apabila mengetahui lagu berkenaan sangat digemari oleh pendengar biarpun ia telah lama dilancarkan di Indonesia kira-kira lima tahun lalu.

"Impak lagu berkenaan menerusi Ijab dan Qabul sehingga menjuarai carta lagu di radio membuka ruang kepada kami untuk mendekati peminat di Malaysia dalam memperkenalkan muzik yang kami perjuangkan," katanya kepada mStar Online dalam satu sidang video menerusi Skype di pejabat Warner Music Malaysia di sini, Isnin.

Selain Iman, De'Meises turut dianggotai oleh Messias Mochammad Mahdi (gitar), Neno Juliama (bass) dan Moch Riza Lesdiana Mulyana (drum).

Dalam pada itu Iman berkata, mereka berharap dapat menjejakkan kaki ke Malaysia dalam masa terdekat bagi menyatakan penghargaan kepada semua peminat yang menyokong selain ingin mengadakan persembahan pertama di negara ini.

"Kami semua belum pernah datang ke Malaysia dan berharap sangat dapat ke sana untuk bertemu semua peminat kami yang sebelum ini hanya berinteraksi menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai nama De'Meises, Iman berkata, ia bermaksud butiran coklat dan secara falsafahnya makanan itu disukai semua orang dan berharap tuah itu turut terkena kepada mereka.

Bagaimanapun kata Iman, persahabatan di antara mereka yang terjalin sejak berusia enam tahun membuatkan mereka sentiasa tabah dan bersatu dalam menghadapi segala cabaran untuk berjaya sebagai pemuzik.

"Tidak dinafikan adakalanya kami bertengkar namun pertalian yang sudah terjalin sejak kecil membuatkan kami memahami sikap masing-masing dan paling penting cinta kami terhadap muzik menyatukan kami," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Iman berkata, selain mempromosikan lagu Dengarlah Bintang Hatiku mereka kini sedang sibuk menyiapkan album kedua mereka dan berharap ia akan dipasarkan di Malaysia.

Aidid Marcello Tidak Minta Bayaran Mahal

Posted: 02 Jun 2014 08:44 PM PDT


Aidid tidak pernah meletakkan harga bayaran tinggi meskipun 15 tahun berpengalaman di bidang penyiaran.
PETALING JAYA: Pengacara Aidid Marcello tidak pernah menetapkan harga tinggi dalam menerima sesebuah tawaran program lebih-lebih lagi sejak meninggalkan kerjayanya sebagai Penerbit Ekskutif di stesen televisyen TV3 awal Mac lalu.

Aidid berkata, walaupun sudah berpengalaman di bidang penyiaran selama 15 tahun, dia tetap meletakkan harga biasa sebanyak RM2,000 untuk satu episod program.

"Saya tahu, sejak keluar dari TV3, ramai yang menganggap nilai harga bayaran saya dah naik.

"Walaupun saya sudah lama dalam industri, tetapi saya tak pernah demand dengan harga bayaran yang tinggi kerana bidang penyiaran adalah jiwa saya.

"Tetapi tidaklah sampai terlalu rendah. Cuma saya menetapkan RM2,000 sahaja untuk setiap episod dan nilai harga itu akan berubah mengikut bajet sesebuah produksi," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, tambah Aidid, sejak meninggalkan TV3, dia cukup sibuk dengan pengurusan syarikat produksinya iaitu Mineques Productions Sdn Bhd.

Malah, dia tidak menyesal meninggalkan TV3 meskipun ada yang berpendapat namanya akan menjadi kurang popular selepas ini.

"TV3 telah banyak mengajar saya di bidang penyiaran dan saya mengambil keputusan untuk berhenti bagi memberi fokus tehadap syarikat adalah pilihan yang tepat.

"Tiada istilah nama saya tidak akan popular lagi kerana sejak dahulu saya tidak pernah mengejar populariti.

"Selain memenuhi tawaran mengacara dari produksi luar, kini saya banyak membabitkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir dalam produksi sendiri. Tak kisahlah apa orang nak cakap, yang penting saya membuat benda-benda yang saya minat," ujarnya. 

Mulut Celupar Bawa Rahmat, Raja Azmi Bertudung

Posted: 02 Jun 2014 08:43 PM PDT


Raja Azmi lebih anggun bertudung
PETALING JAYA:  Produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka antara punca dia terbuka hati untuk berhijab.

Raja Azmi, 55, berkata, selepas membuat kenyataan itu yang disiarkan di TV9  bulan lalu, dia mula terfikir adakah kenyataan yang dibuatnya itu betul atau sebaliknya.

"Semasa saya buat kenyataan itu, saya tiba-tiba terfikir apa yang saya cakap itu betul atau tidak? Dan saya juga membuat sembahyang tahajud tiga hari tiga malam dan akhirnya saya mendapat jawapan serta terbuka hati untuk berhijab," katanya.

Raja Azmi berkata demikian dalam rancangan hiburan h live! saluran Astro Ria dan Maya HD pada Ahad malam.

Produser itu ditemubual oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi  dalam program yang disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam itu. Ulangan rancangan berkenaan disiarkan menerusi saluran Awani pada pukul 10.30 malam.

Sebelum ini  Raja Azmi menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan pendapat orang yang tidak bertudung akan masuk neraka.
Wajah terbaharu Raja Azmi yang muncul dalam rancangan h live! pada Ahad.

Beliau membuat kenyataan berkenaan apabila ditanya  wartawan Galaksi, TV9, adakah dia mahu bertudung selepas kembali mengerjakan umrah pada Februari lalu.

Malah dia juga berkata, orang yang bertudung pula tidak semuanya menjaga adab mereka sebagai muslim sejati.

Dalam pada itu Raja Azmi berkata, dia tidak terkesan dengan segala kritikan orang ramai terhadap kenyataannya sebelum ini tetapi dia bersyukur kerana mendapat 'teguran' Allah yang akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan  bertudung.

Langkah menukar  imej kata beliau, adalah sebahagian daripada keinginannya untuk terus beribadah dan juga mahu mengenali Islam itu dengan lebih mendalam.

"Insya-Allah, niat saya untuk berhijab sehingga memakai kain kapan," katanya.

Tambah Raja Azmi, dia akan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah terutamanya menjaga waktu solat lima waktu yang sebelum ini tidak dilaksanakan dengan sempurna.

aznil dan raja azmi
Raja Azmi dan Aznil Nawawi


Ditanya oleh Aznil bagaimana reaksi keluarganya selepas membuat keputusan itu Raja Azmi berkata, anak-anaknya gembira dengan perubahan berkenaan manakala suaminya Mohd Eddie Ghazali, 45, pula menepuk  bahunya sambil berkata; "I  love you."
Beliau turut  menambah, keputusan memakai tudung juga memperluaskan rezekinya apabila dia mendapat peluang menghasilkan rekaan tudung yang akan diusahakan bersama rakannya.

Dalam rancangan itu juga Raja Azmi turut memberi nasihat kepada penonton agar mencontohinya untuk berubah kerana perubahan itu akan membuatkan seseorang umat Islam akan mendapat lebih pahala.

"Pakailah hijab kerana bila kita berhijab, kita akan dapat lebih banyak  pahala," katanya.

Hubungan Lufya Dengan Kerabat Johor Musnah Kerana Kontroversi

Posted: 02 Jun 2014 08:41 PM PDT


Gara-gara kontroversi cinta, persahabatan Lufya dan Tunku Abdul Jalil terputus.
PETALING JAYA: Penyanyi Lufya berasa malu apabila isu kononnya dia bercinta dengan seorang putera raja diperbesar-besarkan sedangkan mereka sekadar kawan biasa.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 29, berkata, ia membuatkan persahabatan selama 10 tahun bersama kerabat Diraja Johor tersebut musnah, malah mereka tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak isu itu menjadi bualan ramai.

"Sayang sekali, isu kononnya saya bercinta dengan kerabat itu membuatkan kami tidak lagi berkawan seperti dulu. Sedangkan saya tidak pernah berkata yang kami menjalinkan hubungan cinta.

"Isu ini juga membuatkan saya malu dengan orang sekeliling menganggap saya berangan mahu menjadi seperti 'cinderella' yang mendapat kekasih seorang putera raja. Sedangkan saya tidak pernah berfikiran begitu," tegasnya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.

Baru-baru ini, Lufya yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dikatakan sedang bercinta dengan seorang putera raja dari selatan semenanjung namun penyanyi itu menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa mereka hanya berkawan.
Lufya dan Tunku Abdul Jalil bersahabat sejak 10 tahun lalu.

Pada Sabtu lalu, sebuah akhbar melaporkan putera raja yang dimaksudkan adalah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar iaitu anakanda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun Tunku Abdul Jalil menafikan berkawan rapat dengan Lufya, sebaliknya sekadar mengenalinya ketika penyanyi tersebut mengadakan persembahan di Muar, Johor.

Malah Tuanku Abdul Jalil berkata, kenyataan Lufya telah memalukan keluarga kerana ia dianggap sebagai sebuah kenyataan palsu yang sengaja mahu mengaitkan namanya.

Sementara itu, Lufya berkata, dia terkejut dengan kenyataan Tunku Abdul Jalil namun percaya ada pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi kenyataannya berhubung persahabatan mereka.

"Selama ini saya tidak pernah ada masalah dengan beliau, malah anggap beliau seperti seorang adik sahaja," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories