RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Elfaeza Ul-Haq Sedar Zul Ariffin Kekasih Orang

Posted: 23 Jun 2014 01:04 AM PDT


Elfaeza menegaskan dia kini masih solo dan hanya menganggap Zul sebagai teman baik sahaja.
PETALING JAYA: Pelakon yang berasal dari Singapura, Elfaeza Ul-Haq menegaskan dia masih solo dan tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki termasuk aktor Zul Ariffin seperti didakwa sebuah blog hiburan.

Elfaeza, 29, berkata, dia dan Zul tidak mungkin bercinta kerana dia tahu lelaki berkenaan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penerbit filem, Gayatri Su Pillai.

"Saya dan Zul bercinta? Tidak mungkin kerana semua orang tahu dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Gayatri dan kami tidak lebih dari sekadar kawan.

"Gosip berkenaan sama sekali tidak benar dan apa yang pihak lain dengar mungkin itu hanya salah faham sahaja," katanya kepada mStar Online.

Tambah Elfaeza lagi, mereka berdua sentiasa menghormati hak peribadi masing-masing dan perkara itu menyebabkan mereka selesa dan serasi sebagai kawan.

Dalam pada itu, Elfaeza berkata, dia mengenali Zul ketika sama-sama menjayakan sebuah penggambaran drama berjudul Janji Adam dan sejak itu hubungan mereka kekal rapat.
Zul Ariffin.

Elfaeza turut mengakui dia dan Zul juga ada beberapa kali keluar makan bersama-sama memandangkan mereka tinggal berdekatan namun turut ditemani oleh rakan-rakan lain.

"Zul adalah seorang kawan yang baik dan kelakar malah kami sering berdebat tentang pelbagai perkara sehingga kadang-kala timbul perbalahan tentang sesuatu topik yang diperbualkan.

"Kami pernah keluar bersama dan turut ditemani rakan-rakan lain dan ingin saya tegaskan hubungan kami hanya sekadar kawan sahaja malah buat masa ini fokus saya hanya kepada kerja," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Elfaeza berkata, bersempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dia bakal muncul dengan beberapa buah program istimewa khas buat peminatnya. 

Nadia Belum Sedia Dinikahi Sammy Kerana Perbezaan Agama

Posted: 23 Jun 2014 01:03 AM PDT


Nadia mengakui sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta untuk bertemu dengan kekasihnya, Sammy.
PETALING JAYA: Personaliti TV3, Nadia Shahrul Annuar menjelaskan dia dan kekasihnya, penyanyi terkenal Indonesia, Sammy Simorangkir belum bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan disebabkan masalah perbezaan agama.

Nadia, 31, berkata, dia tidak mahu memaksa Sammy memeluk agama Islam hanya kerana ingin menghawininya selain mahu memberikan lelaki itu ruang dan waktu secukupnya dalam membuat keputusan apabila sudah bersedia.

"Setakat ini kami masih belum berbincang secara mendalam untuk membawa hubungan ke tahap seterusnya (perkahwinan) kerana soal perbezaan agama di antara kami yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kami mengharapkan yang terbaik dan soal lambat atau cepat biarlah masa dan jodoh menentukan," katanya.

Terdahulu, hubungan pasangan tersebut pernah dilaporkan berakhir kerana masalah agama namun cinta yang mendalam membuatkan kedua-dua mereka kembali menjalinkan percintaan.

Dalam pada itu, Nadia berkata, hubungan mereka tidak mempunyai sebarang masalah selain faktor perbezaan agama dan menganggap perkara itu sebagai cabaran dalam perhubungan mereka.
Sammy dan Nadia mengakui perbezaan agama adalah dugaan dalam perhubungan mereka. 
Jelas Nadia lagi, dia sentiasa berdoa agar dugaan yang melanda hubungan mereka itu dapat menemui jalan penyelesaian suatu hari nanti.

"Hubungan kami setakat ini baik-baik sahaja cuma biasalah setiap pasangan berhadapan dengan beberapa masalah dan soal agama menjadi dugaan buat kami.

"Saya sendiri pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini jadi saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan yang mungkin akan dikesali suatu hari nanti," ujarnya.

Sementara itu, Nadia mengakui dia dan Sammy sudah kurang berkomunikasi menerusi laman sosial seperti Twitter kerana tidak mahu tindakan mereka itu dianggap sebagai ingin meraih publisiti.

Jelas Nadia, mereka lebih senang hubungan cinta mereka tidak menjadi perhatian media biarpun dia sentiasa menjadi buruan setiap kali berkunjung ke Jakarta, Indonesia untuk bertemu dengan temah lelakinya itu.

"Saya selalunya akan biar Sammy yang jawab pertanyaan media di Indonesia mengenai hubungan kami biarpun ada yang ingin menemuramah saya setiap kali saya ke sana.

"Perbualan di Twitter juga kami sudah kurangkan kerana ingin menjaga nama baik masing-masing tambahan pula tidak mahu dikatakan sengaja mahu meraih publisiti mengenai hubungan cinta kami," jelasnya.

Erin Malik Selamat Bertunang, Nikah Pada Oktober Depan

Posted: 23 Jun 2014 01:02 AM PDT


Erin Malik (kanan) kelihatan anggun memakai busana rekaan Azura Couture.
KUALA LUMPUR: Pelakon Erin Malik, 20, mengikat tali pertunangan dengan Farriz Fauzy, 30, dalam satu majlis yang diadakan di Duta Suria Residency di Ampang, malam Sabtu.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diiringi dengan ucapan perbincangan oleh bapa saudara yang mewakili pihak lelaki, Zarak Kamal.

Sementara itu, pihak Erin juga diwakili oleh bapa saudaranya, Zulkifli Sulaiman.

Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.

Manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.

Majlis kemudiannya disusuli dengan adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Farriz, Wan Nor Azmah.



Pada majlis tersebut, Erin tampil anggun dalam persalinan pereka fesyen terkenal Azura Couture berserta pelamin bertemakan 'Fairy Blossom'.
Sementara itu, Erin yang ditemui selepas majlis selesai bersyukur dan lega semuanya berjalan lancar.

Biarpun membina hubungan istimewa dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Erin yakin lelaki tersebut adalah pilihan yang tepat buat dirinya.
"Kami berkenalan pada Januari lalu dan baru empat bulan mengenali, namun dalam tempoh yang singkat itu banyak perkara yang meyakinkan kami untuk ke peringkat seterusnya.
"Dia seorang yang memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan saya pula tidak ada masalah dalam hal berkahwin pada usia muda," katanya kepada mStar Online, pada malam Sabtu.
Manakala Farriz memberitahu Erin merupakan seorang wanita yang matang walaupun baharu berusia 20 tahun.

Dia juga percaya keserasian dan kesefahaman antara mereka berdua mampu membina sebuah keluarga dalam masa terdekat ini.

"Sasaran saya adalah untuk berkahwin pada usia 30 tahun dan saya jumpa Erin pada masa yang tepat.

"Saya tidak mahu menghabiskan banyak masa dengan bercinta, sementara kedua-dua belah keluarga memang sudah bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan yang mana asalnya dirancang pada tahun hadapan," katanya.

Kedua-dua pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 10 Oktober depan.

Turut hadir pada majlis tersebut beberapa rakan artis seperti Fasha Sandha, Arja Lee dan Faralyna Idris.

Kepoh Juara Bintang Mencari Bintang Musim Kedua

Posted: 23 Jun 2014 01:01 AM PDT


Kepoh yang dianggotai oleh Lizujuhan dan Suffian Shafri berserta sifu mereka, Adlin Aman Ramlie berjaya menumpaskan dua kumpulan lain yang turut bertanding iaitu Sumbu dan Mmmmm dengan markah sebanyak 67 peratus. 
SHAH ALAM: Kumpulan didikkan pelakon Adlin Aman Ramlie iaitu Kepoh muncul sebagai juara program Bintang Mencari Bintang musim kedua (BMB2) pada peringkat akhir yang diadakan di Stadium Malawati dekat sini pada malam Ahad.

Kepoh yang dianggotai oleh Lizujuhan Hamzah, 27 dan Suffian Shafri Ibrahim, 27 menumpaskan dua kumpulan lain yang turut bertanding iaitu Sumbu dan Mmmmm dengan markah sebanyak 67 peratus.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 berserta trofi.

Kepoh ketika ditemui berkata, mereka bersyukur dengan kemenangan tersebut namun mengakui persaingan daripada dua kumpulan lain cukup sengit.
Kumpulan Sumbu dan sifu mereka, Ebby Yus terpaksa berpuas hati ditempat kedua. 
"Ia malam yang cukup mendebarkan dan kami bersyukur kemenangan berpihak kepada kami.

"Ucapan terima kasih juga kepada sifu kami iaitu abang Adlin yang banyak bertungkus lumus dalam memastikan kami memberikan terbaik," katanya.

Kumpulan Sumbu yang dianggotai oleh Mohd Kamal Shah, 25 dan Mohammad Ariff Fardillah, 25 serta sifu mereka, Ebby Yus pula muncul sebagai naib juara.

Sementara itu, kumpulan Mmmmm yang dianggotai oleh Mohd Azwan Sabri, 28 dan Mohd Ilham Rusdy, 24 serta sifu mereka Afdlin Shauki terpaksa berpuas hati ditempat ketiga.

Naib juara membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 manakala Mmmmm RM50,000 berserta trofi.

Afdlin Shauki bersama anak didiknya, kumpulan Mmmmm memberikan persaingan sengit biarpun mendapat tempat ketiga.
Untuk musim kedua, format pemarkahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus daripada juri awam.

Juri profesional yang mengadili kesemua peserta adalah Fauziah Ahmad Daud, Ahmad Idham dan A.R Badul.

Penyanyi Mas Idayu bertindak sebagai juri jemputan pada malam itu.

Pada peringkat akhir itu, kesemua peserta dikehendaki membuat tiga persembahan iaitu secara solo, bergandingan dengan sifu masing-masing yang merangkumi sketsa komedi dan nyanyian selain sketsa spontan.

BMB2 terdahulu dibuka dengan persembahan istimewa oleh bekas juara dan naib juara musim pertama iaitu Achey dan Bochik yang menampilkan sketsa mereka bertemakan BMB 2020.

Persembahan Sumpah Semerah Balet daripada Kepoh cukup mencuit hati.
Selain itu, BMB2 turut menampilkan kesemua anak didik program itu iaitu Tokan, PK, Oooo, Taktih, 2AZ, Jebat, Gbob, Ehah dan Lampu menerusi segmen interlude.

Persembahan fusion berbentuk teater bertajuk 'Seniman Silam' diarahkan oleh Fauziah Ahmad Daud.

BMB2 dihoskan oleh Adibah Noor dan Achey itu disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada pukul 9 malam.

Hazama Rancang Duet Bersama Masya

Posted: 23 Jun 2014 01:00 AM PDT


Hazama rancang untuk berduet dengan anak didiknya Masya.
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama merancang untuk muncul dengan sebuah lagu duet bersama anak didiknya, Masya yang menjadi juara pertandingan Ceria Popstar 2 selepas   yang diadakan di Studio Finas pada Jumaat lalu.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 30, berkata, anak didiknya itu mempunyai tahap vokal yang matang biarpun baharu berusia 14 tahun.

"Saya ada perancangan untuk dia iaitu keluar dengan lagu duet yang juga lagu pertama saya nyanyikan bersama artis wanita.

"Saya tidak pernah ada lagu duet kerana tiada suaraya yang bersesuaian dengan suara saya untuk duet, lagi pula negara kita kekurangan artis wanita," katanya kepada mStar Online.

Masya atau nama sebenar Siti Nur Masyitah, 14, diumum sebagai juara pertandinganCeria Popstar 2, malam Jumaat lalu.

Tambah Hazama, dia yakin kekuatan vokal yang ada pada remaja ini mampu menjadikan dia (Masya) sebagai salah seorang artis wanita terkenal  pada masa akan datang.

"Dia ada suara yang sangat bagus dan saya sendiri tidak banyak usaha untuk mengajarnya dalam pertandingan ini.

"Saya hanya mengajarnya cara untuk menyampaikan lagu dengan emosi dan bermain dengan kamera sahaja," katanya.

Sementara itu, Masya berkata, dia menganggap kejayaan ini merupakan satu laluan buat dirinya untuk berada dalam industri hiburan.

Katanya, dia yakin pihak Astro mempunyai perancangan tersendiri untuk membentuk kerjayanya serta membahagikan masa dengan waktu persekolahan.

"Alhamdulillah usaha saya selama beberapa minggu ini berjaya dan perancangan untuk kerjaya nyanyian saya serahkan pada pihak Astro.

"Cikgu Hazama banyak membantu saya untuk rasa yakin berada di pentas terutamanya pada malam kemuncak ini," katanya.

Katanya, wang kemenangan sebanyak RM20,000 akan digunakan sebaiknya dan simpanan untuk pelajaran masa depan.

Mafarikha Mahu Misha Omar Nyanyi Lagu Ciptaannya

Posted: 23 Jun 2014 12:59 AM PDT


Mafarikha kini aktif mencipta lagu.
PETALING JAYA: Penyanyi yang dikenali menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa iaitu Mafarikha menyimpan impian untuk memberi sebuah lagu ciptaanya kepada penyanyi terkenal Misha Omar.

Mafarikha atau nama sebenarnya Mafarikha Akhir, berkata, Misha mempunyai keistimewaan tersendiri dan memiliki suara lunak yang bersesuaian dengan lagu-lagu balada ciptaannya.

"Selepas program Vokal Bukan Sekadar Rupa, saya banyak mencipta lagu dan sehingga kini ada lebih 20 buah lagu dalam koleksi saya.

"Impian saya ialah lagu ciptaan saya dinyanyikan oleh artis kegemaran iaitu Misha Omar dan ada lagu-lagu saya yang memang bersesuaian dengan suara dia," katanya kepadamStar Online.

Dalam pada itu, Mafarikha berkata, dia turut memberikan lagu-lagu kepada mana-mana artis baharu yang meminta lagu ciptaannya.

Selain lagu Tolonglah nyanyiannya yang kini menjadi lagu tema kepada drama Cerita Cinta Kita

di TV3, Mafarikha turut mencipta lagu untuk penyanyi Sharifah Zarina berjudul Mengharap Cinta.

Sementara itu, Mafarikha berkata, dia sering mendapat ilham mencipta sesebuah lagu ketika sedang memandu.

"Saya selalu dapat ilham ketika memandu, jadi bila saya memandu saya tidak akan dengar radio.

"Bila dapat ilham saya akan rakam di telefon bimbit terlebih dahulu supaya tidak lupa," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mafarikha kini bernaung dibawah syarikat rakaman Alibi Music.

Jelasnya, aktiviti seninya kini lebih tersusun dibawah pengurusan syarikat rakaman tersebut.

"Kini laluan saya lebih jelas, pihak Alibi ada cara dan strategi sendiri untu bawa saya dalam industri ini," katanya.

Jamal Abdillah Terkejut Disuruh Menyanyi Pada Undangan Berbuka Puasa

Posted: 23 Jun 2014 12:58 AM PDT


Jamal Abdillah
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah terkejut apabila baharu diberitahu oleh pihak penganjur bahawa kehadiranya pada satu majlis berbuka puasa Julai depan bukan sekadar kemunculan biasa sebaliknya dikehendaki menyanyi.

Jamal berkata, perkara itu tidak dimaklumkan secara terperinci kepadanya ketika pihak pengajur acara 1001 Malam Majlis Berbuka Puasa 2014 membuat tawaran tersebut.

"Saya ingatkan saya hanya perlu hadir sahaja dan tiada persembahan nyanyian kerana kebiasaannya pada bulan puasa hanya bacaan doa dan solat terawih sahaja," katanya selepas sidang acara itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Jumaat.

Majlis tersebut akan diadakan pada 19 Julai depan di PWTC anjuran Persatuan Kebajikan Persona Selangor dan Kuala Lumpur dengan kerjasama Star Illusionsz Resources.

Selain Jamal, penyanyi veteran dari Indonesia iaitu Endang S Taurina dan Roslan Shah turut dijemput.


Tambah Jamal, dia hanya akan melakukan persembahan selepas selesai solat terawih itupun jika pihak penganjur masih mahukan dia menyanyi.

"Kita akan bincang semula bagaimana syarat dan termanya kerana majlis ini ada penjualan meja dan kalau mereka ingin saya menyanyi mereka perlu ikut syarat saya," katanya.

Sementara itu, penaung persatuan tersebut Datin Rosmina Mohd Arshad berkata, majlis tersebut bukan acara nyanyian sepenuhnya.

Sebaliknya, penyanyi jemputan akan diminta untuk menyanyikan dua buah lagu keislaman yang sesuai dengan bulan Ramadan.

"Ini bukan konsert atau acara nyanyian kita hanya mahu Jamal untuk menyanyikan lagu ketuhanan yang sesuai dengan bulan Ramadan untuk hiburan tetamu yang hadir.

"Kita akan berbincang semula dan menjelaskan perjalanan majlis tersebut kepadanya selepas ini," ujarnya.

Tambahnya, majlis berbuka puasa itu juga merupakan malam amal untuk meraikan insan yang kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories