Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Chacha Maembong Tersepit Kerana Masalah Pengurusan
- Nina Iskandar Tegur Peminat Persoalkan Gambar Dedah Rambut
- Aisyah Terima Tempias Kontroversi Aliff Aziz
- Bubur Sesuai Untuk Keselesaan Perut Di Bulan Puasa
- Festival Berbuka Puasa Sepanjang Jalan Raja, Dataran Merdeka
- Istiqamah dalam berkebajikan
- Pekerja restoran melampau
- Kenapa ada orang ketiga?
- Nidji, runut bunyi dan Ramadan
- Guna hon kejutkan penduduk sahur
- Rekaan realistik pereka tempatan
Chacha Maembong Tersepit Kerana Masalah Pengurusan Posted: 29 Jun 2014 05:10 PM PDT | |||
Nina Iskandar Tegur Peminat Persoalkan Gambar Dedah Rambut Posted: 29 Jun 2014 05:09 PM PDT | |||
Aisyah Terima Tempias Kontroversi Aliff Aziz Posted: 29 Jun 2014 05:07 PM PDT | |||
Bubur Sesuai Untuk Keselesaan Perut Di Bulan Puasa Posted: 29 Jun 2014 05:05 PM PDT | |||
Festival Berbuka Puasa Sepanjang Jalan Raja, Dataran Merdeka Posted: 29 Jun 2014 05:03 PM PDT | |||
Posted: 29 Jun 2014 04:59 PM PDT
RAMADAN adalah bulan mulia yang penuh keberkatan dan keinsafan. Inilah saat-saat paling indah dan bermakna buat seluruh umat Islam seluruh dunia meningkatkan amal ibadah kepada yang Maha Pencipta. Tidak ketinggalan daripada perkara yang sama, penyanyi Heliza Hilmi turut menggunakan peluang yang sama untuk terus istiqamah menjalani aktiviti dakwahnya. Teruja dengan kehadiran Ramadan, Heliza akui mahu memanfaatkan peluang yang ada untuk menjadi insan yang lebih baik. "Bagi saya, setiap Ramadan memang ada keistimewaannya. Apa yang membuatkan bulan ini bermakna apabila kita dapat menikmatinya dengan penuh keimanan dan harapan. "Inilah peluang terbaik untuk berbuat amal dan mendekatkan diri kepadaNya supaya bila keluar dari bulan ini, kita akan menjadi seorang umat Islam yang lebih baik. "Jadi dengan jadual saya yang padat sepanjang bulan ini, saya berharap semoga ALLAH permudahkan segalanya," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar 'Fitrah Ramadan 2014' anjuran kumpulan Usrah Fitrah (UF), di Kafe Keningau Village, Shah Alam, kelmarin. Bercerita lanjut mengenai pembabitannya terhadap program sepanjang Ramadan, Heliza yang juga merupakan ahli jawatankuasa UF mengalu-alukan orang ramai dan penggiat industri seni untuk turut serta aktiviti yang bakal dijalankan. "Sepanjang bulan ini, pelbagai aktiviti telah kami aturkan seperti kuliah, sambutan Nuzul al-Quran dan Qiam Malam Akhir. "Kalau boleh sesiapa yang berkesempatan untuk turut serta, kami amat alu-alukan kehadiran mereka. "Banyak manfaat yang boleh diperoleh jika terlibat sama dalam program-program seperti ini," katanya. Bermula esok, UF akan meneruskan aktiviti kuliah yang jalankan pada setiap Isnin di mana pengisiannya akan ditambah dengan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih. Manakala aktiviti bersama masyarakat, UF akan menjalankan sambutan Nuzul al-Quran pada 15 Julai di Masjid Al Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras dan Qiam Malam Akhir pada sepuluh malam terakhir Ramadan di Masjid Assyakirin, KLCC. Single baharu Dalam perkembangan lain, Heliza turut memberitahu dalam masa yang terdekat dia bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Jom Selawat. "Alhamdulillah, selepas tampil dengan dua lagu iaitu Jom Zikir dan Lah Tahzan, saya akan keluar dengan lagu baharu ini. "Proses pembikinan lagu ini telah pun siap sepenuhnya cuma muzik videonya masih belum siap. "Insya-ALLAH dalam sama terdekat saya akan hantar lagu ini ke stesen radio," katanya yang akan memperlahankan aktiviti nyanyiannya sepanjang Ramadan ini. Selain itu, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ke lima ini juga memberitahu bakal tampil dengan koleksi pakaian muslimah dan tudung terbaharu di bawah jenamanya 'Heliza Helmi Hijab' dan 'Falah Abiyana' sempena sambutan Aidilfitri akan datang. | |||
Posted: 29 Jun 2014 04:48 PM PDT
SEREMBAN – Seorang wanita terkejut apabila dua pekerja warga asing sebuah restoran, di sini dengan berani memeluk dan mengusap anak perempuannya berusia 10 tahun secara tiba-tiba ketika dia sedang membeli air, Khamis lalu. Ibu mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu anaknya turun membeli air seorang diri di restoran berkenaan. Menurutnya, dia memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai makan terbabit dan hanya menunggu di dalam kereta bersama seorang lagi anak perempuannya berusia enam tahun. "Saya suruh anak sulung turun seorang diri kerana hanya mahu membeli air. Malah kereta saya diparkir betul-betul berhadapan kedai makan berkenaan. "Dari dalam kereta saya lihat pergerakan anak. Tapi tiba-tiba saya pelik apabila salah seorang pekerja di situ memeluk anak saya dari belakang," katanya. Malah katanya, seorang lagi pekerja turut bertindak di luar batasan apabila dengan sengaja mengusap leher dan pipi anaknya. Berang dengan keadaan itu, dia membunyikan hon kereta beberapa kali sebagai tanda amaran sebelum pekerja terbabit melarikan diri dan bersembunyi di bahagian belakang kedai. "Saya turun berjumpa dengan penyelia restoran terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kurang sopan tersebut. "Tapi dia memujuk saya agar tidak membesarkan hal itu dan meminta maaf mewakili pekerjanya. Saya memang bengang sangat sebab dia berani usik anak perempuan saya macam itu. Memang dia masih kanak-kanak tapi janganlah sesuka hati mahu memeluk dan mengusik anak orang," katanya. Sebaik sahaja pulang ke rumah, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan di Balai Polis Senawang. Sementara itu, Sinar Harian mendapati, gambar dua lelaki warga asing dengan tangan bergari dipercayai suspek mula disebarkan di laman Facebook, sejak Khamis lalu. Malah ia turut mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang ternyata sangat terkejut dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku. | |||
Posted: 29 Jun 2014 04:45 PM PDT
PERKAHWINAN saya dan suami baru sahaja berlangsung beberapa bulan yang lalu. Kami berkenalan pun tidak sampai setahun sebelum saya berkeputusan untuk menikahinya memandangkan dia adalah kenalan lama saya ketika di sekolah menengah lagi. Saya seorang janda anak satu. Dua tahun bercerai dengan bekas suami, saya bertemu dengan suami baru saya sekarang. Suami berterus-terang selama dia mengenali saya, dari kecil memang dia menyimpan perasaan yang amat dalam terhadap saya. Hanya selepas mengetahui saya sudah dimiliki orang, dia membuang perasaan itu jauh-jauh. Dan siapa sangka jodoh itu ada pada usia kami berdua 30 tahun. Ia suatu mimpi yang paling berharga buat suami kerana akhirnya dapat memiliki saya. Ustazah, baru-baru ini saya menemui mesej dalam telefon bimbit suami. Berdasarkan pengalaman perkahwinan lalu, saya jadi amat teliti, berhati-hati dan paranoid terhadap perhubungan baru. Saya sentiasa ada perasaan was-was dan curiga dengan gerak geri suami. Saya selalu tidak percaya yang suami tidak pernah bercinta selama hayatnya, selain daripada saya. Mungkin kerana saya trauma dengan perkahwinan lalu yang gagal kerana gangguan orang ketiga. Entah kenapa hari itu, saya terdetik untuk menyemak telefon bimbit suami. Mesej bertarikh April 2013, iaitu beberapa hari sebelum saya dan suami menjadi kekasih begitu mencengkam jiwa saya. Kata-kata pada mesej yang dihantar keduanya tidak seperti sahabat biasa. Mereka menggunakan bahasa sayang dan ada perkataan-perkataan tidak elok yang menggambarkan mereka berdua seperti berkongsi gambar dan membuat video call. Saya teliti Whatsapp dan panggilan keluar masuk. Nombor dan nama yang sama masih ada dan kerap membuat panggilan. Hari itu juga kami bergaduh besar. Suami tetap dengan sikap sabarnya (yang sebenarnya mengikat jiwa saya untuk bersamanya), tenang menjawab setiap pertanyaan sedang saya pula dah macam orang gila. Ya ustazah, saya tahu perbualan itu berlangsung sebelum kami menjadi kekasih, tapi satu yang saya tak dapat terima apabila suami menipu saya. Dia pernah kata tiada kekasih. Tidak pernah bercinta dan hanya menyimpan perasaan terhadap saya seorang. Rupa-rupanya, gadis itu pernah menjadi kekasihnya tujuh tahun dulu. Percintaan suami dengan gadis itu tidak lama apabila gadis itu mengahwini lelaki lain. Dan sejak itu, suami tidak pernah bercinta lagi dan membujang sehingga dia menemui saya. Suami mengakui mereka masih bersahabat baik kerana satu tempat kerja. Ustazah, jika betul kata-katanya yang mereka hanya sahabat, kenapa suami tidak berterus-terang sebelum ini? Kenapa suami perlu menipu dan kenapa perlu ada orang ketiga dalam sesebuah perhubungan? Apakah saya yang bersalah kerana terburu-buru mengakhiri zaman janda sebelum sempat mengenali suami baru secara sepenuhnya? Untuk pengetahuan, suami seorang pendiam, punya sifat sabar yang tinggi, hormat orang tua dan punya rupa. Dia rajin belajar agama sebelum mengambil saya menjadi isterinya. * Norhasni, 30, Kuala Lumpur. RESPON PAKAR Oleh: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh Ketua Wanita ISMA Puan Norhasni yang dikasihi ALLAH SWT. Semoga ALLAH SWT menerangi kehidupan puan dengan cahaya keimanan dan takwa kepadaNya. Saya bersimpati terhadap apa yang puan alami. Daripada cerita puan, saya boleh merasai betapa berat perasaan yang puan tanggung. Kemunculan orang ketiga dalam rumah tangga adalah racun yang boleh membunuh secara senyap keharmonian yang terbina. Puan juga mengakui kekuatan peribadi yang dimiliki suami seterusnya menjadi daya tarikan yang mengikat puan dengan suami. Ini menunjukkan betapa puan masih sayangkan suami dan rumah tangga yang telah sedia terbina. Perbezaan puan dengan kekasih suami sekarang ialah puan merupakan isteri yang sah, mempunyai hak dan peluang yang lebih berbanding dengan kekasih yang dimaksudkan. Puan masih ada peluang untuk membaiki keadaan dan mengembalikan semula suami ke pangkuan. Apa yang penting puan tidak boleh mudah berputus asa dan kecewa dengan kejadian yang berlaku. Menyalahkan suami kerana dikatakan menipu atau menyalahkan diri sendiri kerana terburu-buru berkahwin bukanlah jawapan yang baik kepada masalah yang dialami. Sebaiknya puan kembali kepada takdir Allah SWT yang telah mempertemukan puan dengan seorang suami yang baik dan penyabar. Manakala masalah yang mendatang dalam rumah tangga adalah adat dan lumrah. Hadapilah dengan bijaksana dan uruslah konflik itu dengan jalan yang terbaik. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Tiada rumah tangga yang aman damai tanpa gelora. Cuma yang membezakan antara kita ialah bagaimana cara kita mengurus konflik dan permasalahan yang datang. Puan sudah mempunyai pengalaman berumah tangga sebelum ini. Puan juga menghadapi masalah yang sama dengan rumah tangga pertama dahulu, iaitu orang ketiga. Mungkin ada sebab atau mesej yang mahu disampaikan kepada kita melalui masalah sama yang dihadapi ini. Kadang-kadang juga hubungan kita dengan suami sudah ada masalah, dingin dan hambar. Jadi kemunculan orang ketiga itu hanya tempelan kepada masalah rumah tangga yang sudah sedia retak. Itu juga mungkin berlaku. Dalam isu rumah tangga puan, saya menasihati puan agar koreksi diri dan muhasabah diri, di mana kurangnya puan sehingga suami begitu mudah beralih arah. Mungkin kelemahan diri sendiri juga menjadi penyebab kepada gangguan orang ketiga tanpa kita sedari. Mungkin juga sikap paranoid puan yang mendorong kemunculan orang ketiga. Mungkin juga cemburu puan yang berapi-api itu menutup hakikat yang mahu diterangkan oleh suami tentang duduk perkara yang sebenar. Sebaiknya ambil langkah bertenang dan tarik nafas yang panjang. Renunglah sejenak dan fikirlah sedetik, mengapa suami masih mahu mengahwini puan walaupun sudah bertaraf janda anak satu. Sekiranya bukan cinta dan ikatan hati yang terbina antara puan dengan suami. Puan hanya perlu menyuburkan dan membaja ikatan itu biar terus subur dan segar. Hubungan suami isteri bukan sahaja diikat dengan hubungan seksual dan nafsu serta kemewahan harta dan kecantikan rupa paras. Ikatan ini tidak tidak kekal lama, ia akan rapuh dan rosak bila tiba waktu luputnya. Sebaliknya suami isteri yang mempunyai ikatan hati dan jiwa yang kuat, masih boleh bertahan dengan stamina yang tinggi walaupun badai melanda dan ujian bertimpa-timpa. Kemunculan orang ketiga contohnya masih boleh diurus dengan bijaksana sekiranya ikatan hati suami isteri sangat kuat dan kukuh. Ikatan hati yang kuat ini hanya boleh terbina sekiranya suami isteri mempunyai hubungan yang kuat dan dekat dengan ALLAH SWT. Sebab itulah saya menasihati puan agar segera membina hubungan yang rapat dengan ALLAH SWT. Hati kita berada dalam kekuasaanNya. Hanya Dia yang boleh mengikat dan mengukuhkan antara dua hati, sebagaimana Dia mencampakkan perasaan itu dalam hati suami puan untuk menyunting puan sebagai isterinya. Perbanyakkanlah munajat dengan ALLAH SWT memohon ampun dan rahmatNya bagi puan suami isteri. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim sambil meminta mereka mendoakan kesejahteraan rumah tangga puan. Selain daripada itu, sekiranya puan mempunyai bukti yang cukup tentang kewujudan orang ketiga ini, puan boleh membuat aduan ke Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam supaya orang ketiga ini disiasat dan didakwa oleh Pendakwa Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah. Kesalahan mengikut Seksyen 36, 37, dan 38 di atas tergolong dalam kesalahan boleh tangkap di mana pada kebiasaannya Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) boleh menangkap orang ketiga ini tanpa waran. Sama ada orang ketiga akan didakwa atau tidak, puan menang atau kalah kes berkenaan berdasarkan kepada beban bukti, saksi, bahan bukti, dokumen dan keterangan bukan berdasarkan kepada cakap-cakap kosong atau cerita dari mulut ke mulut. Apabila perkara seperti ini berlaku, orang ketiga itu memang boleh didakwa dengan semua bahan bukti atas melakukan kesalahan mengganggu atau memecahbelahkan rumah tangga pasangan berkahwin sehingga mereka bercerai mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 37 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. Puan juga boleh memujuk suami untuk berpindah tempat kerja demi menjauhkan suami dengan kekasih lamanya. Terpulang kepada kebijaksanaan puan bagaimana mengurus konflik ini sehingga berjaya. Apa yang penting ialah puan tidak boleh berputus asa daripada terus mencuba dan mencuba. Sekiranya ikatan hati puan bersama suami masih kuat insya-Allah, banyak pintu penyelesaian terbuka untuk puan lalui. | |||
Nidji, runut bunyi dan Ramadan Posted: 29 Jun 2014 04:38 PM PDT SEJAK ditubuhkan di Jakarta, Indonesia pada tahun 2002, band Nidji yang dianggotai oleh Giring (vokalis), Andro (bass), Randy (keyboard), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Adri (dram) bukanlah satu nama yang cukup asing. Mula melonjak dengan lagu-lagu yang mengangkat nama mereka seperti Sudah, Hapus Aku, Laskar Pelangi dan Biarlah, ternyata kehadiran mereka dapat diterima ramai dalam industri muzik di Indonesia dan Malaysia. Bagaimanapun, sambutan terhadap lagu Laskar Pelangi begitu memberi impak kepada band tersebut. Ironinya, lagu yang menjadi runut bunyi untuk filem Laskar Pelangi itu meraih populariti seiring dengan filem berkenaan yang ditonton seramai 4.6 juta orang ketika ditayangkan di pawagam pada tahun 2008. Berkesempatan bertemu dengan anggota Nidji ketika rangka promosi album King Of Soundtrack baru-baru ini, Giring memberitahu bahawa lagu itu memberi impak tersendiri buat mereka. "Semuanya bermula apabila penerbit filem, Mira Lesmana yang sebelum ini cukup dikenali menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta telah menawarkan kepada kami untuk menghasilkan runut bunyi filem Laskar Pelangi yang diadaptasi daripada sebuah novel. "Secara kebetulan pula saya memang meminati novel berkenaan dan Mira tidak mengetahuinya. Menariknya, ketika tawaran itu diterima saya baru mengetahui yang filem tersebut sedang menjalani penggambaran," jelasnya tentang pembabitan awal Nidji dalam menghasilkan lagu runut bunyi. Menurut Giring, selain filem itu yang mendapat sambutan begitu luar biasa daripada penonton, ternyata lagu nyanyian mereka turut terkena tempiasnya sehingga menjadi siulan ramai. Ujarnya, sejak kejayaan lagu Laskar Pelangi juga Nidji sering mendapat pelbagai tawaran daripada para penerbit untuk menghasilkan lagu runut bunyi filem. "Selepas kejayaan yang diraih itu kami memang banyak menerima tawaran, tetapi timbul perasaan ragu-ragu dalam diri. Antaranya, kami bimbang kalau tidak dapat menghasilkan lagu yang sebaik seperti Laskar Pelangi. "Namun begitu, kami akhirnya bersetuju menghasilkan lagu runut bunyi atas sokongan yang diberikan. Cuma, kami lebih selektif dalam memilih filem-filem tertentu dan enggan terlalu ghairah," tegasnya yang akan terbabit dengan filem yang berkualiti dan menolak filem berunsur komedi seram. Jelas Giring, menghasilkan sebuah lagu runut bunyi bukanlah perkara yang mudah kerana beberapa proses perlu dilalui agar lagu yang dihasilkan itu bersesuaian dengan filem tersebut. Misalnya, untuk empat buah lagu runut bunyi bagi filem berjudul 5cm, Giring mendedahkan mereka terpaksa mengambil tempoh masa selama setahun menghasilkannya. "Sebelum mencipta sesebuah lagu itu kami perlu tahu terlebih dahulu jalan cerita filem berkenaan, individu yang bertindak sebagai pengarah serta barisan pelakon yang membintanginya. "Selain itu, kami perlu melakukan kajian berdasarkan skrip yang diberikan serta beberapa perbincangan yang dibuat bersama penerbit. Itu yang menyebabkan prosesnya mengambil masa yang agak lama," ujarnya. Runut bunyi Bercerita lebih lanjut mengenai album King Of Soundtrack yang baru sahaja dilancarkan, Giring menyatakan bahawa terdapat 12 buah lagu runut bunyi untuk filem seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, 5cm dan Laskar Pelangi serta drama bersiri Heroes. Menurutnya, mereka berbangga kerana filem-filem berkenaan mendapat sambutan hangat serta mencatatkan kutipan pecah panggung, sekali gus lagu-lagu nyanyian mereka juga semakin dikenali. "Kalau filem Laskar Pelangi ditonton seramai 4.6 juta orang, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan 5cm juga tidak kurang hebat dengan jumlah tontonan seramai dua juta orang. "Album ini sudah dilancarkan di Indonesia pada bulan Mei lalu dan lebih menarik lagi salah sebuah lagu dalam album ini iaitu Sumpah Dan Cinta Matiku telah memenangi anugerah bagi kategori Lagu Runut Bunyi Filem Terbaik pada acara Anugerah Musik Indonesia 2014 baru-baru ini," ujarnya. Selain Sumpah Dan Cinta Matiku, lagu-lagu lain yang terkandung dalam album ini seperti Teroesir (Menunggu Karma), Hidup Tanpa Cintamu, Nelangsa, Tuhan Maha Cinta, Di Atas Awan, Rahasia Hati, 5cm, Takkan Pernah Mati, Heaven, Shadow dan Laskar Pelangi. Selepas terbitnya album berkenaan, Giring memberitahu bahawa berkemungkinan besar mereka akan terbabit pula dalam penerbitan album King Of Soundtrack 2 pada masa akan datang. "Untuk album runut bunyi kedua pula, antara lagu yang akan dimuatkan seperti Ketika Tuhan Jatuh Cinta untuk filem yang menggunakan tajuk sama serta lagu berjudul Yasmin yang merupakan lagu bagi sebuah filem yang diterbitkan di negara Brunei," jelasnya. 1,000 persembahan Beralih cerita tentang kedatangan Ramadan, Giring menyatakan aktiviti nyanyian Nidji akan tetap berjalan seperti biasa dengan memenuhi undangan yang diterima. Ujarnya, biarpun umat Islam menjalani ibadah puasa di siang hari, tetapi ia langsung tidak menghalang mereka mengadakan persembahan serta sibuk dalam rangka promosi produk minuman Coca Cola memandangkan mereka merupakan duta produk berkenaan. "Sebenarnya kami ada sasaran tersendiri yang diberi nama Road To 1,000 Show. Sejak aktif dalam industri nyanyian, Nidji sudah mengadakan sebanyak 987 buah persembahan sehingga sekarang. "Jadi, kami akan berusaha melengkapkan 1,000 buah persembahan pada tahun ini. Selain itu, kami juga dalam proses untuk melahirkan sebuah album baharu yang tampil dengan kelainan berbanding album kami terdahulu," ujar Giring. | |||
Guna hon kejutkan penduduk sahur Posted: 29 Jun 2014 04:35 PM PDT JEMPOL – Peneroka Felda Pasoh Tiga di sini tampil dengan idea kreatif apabila mengguna hon motosikal untuk mengejutkan penduduk bersahur sepanjang Ramadan ini. Aktiviti bagi memeriahkan bulan puasa itu dianjurkan Kelab Seni Budaya Felda Pasoh Tiga menerusi program Hon-hon Sahur bermula awal pagi semalam. Penyelaras program, Jeffry Ros Abu Kassim berkata, peneroka beramai-ramai mengelilingi kawasan Felda berkenaan sambil membunyikan hon motosikal sebagai tanda untuk bersahur bermula pukul 4 pagi selama 20 minit. | |||
Rekaan realistik pereka tempatan Posted: 29 Jun 2014 04:32 PM PDT PENTAS Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2014 (KLFW2014) dirasmikan lapan pereka muda berbakat di bawah rumpun UiTM8. Kesemua pereka keluaran Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu menjadi kelompok siswazah termuda untuk muncul di pentas berprestij tersebut. Paling mencuri perhatian ialah Akmal Afiq Farhan Samsudin, 23, yang kini menggunakan nama Fiq Farharn sebagai jenama komersialnya. Konsep Mandala Fiq sebenarnya pernah diangkat selaku pemenang tempat pertama pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam pada Februari lalu. Namun dalam tempoh empat bulan, Fiq berjaya mengolah semula rekaannya dan menambah beberapa item yang amat menarik. Dia bijak menyalurkan kreativiti dalam mengimbangi nilai fungsional, eksperimentasi potongan dan penataan grafik yang membentuk identiti keseluruhan rekaannya. Dia mengerti apa yang pengguna mahukan dan berjaya menterjemahkan nilai artistik yang tinggi ke dalam konteks yang mudah difahami. Bahagian depan sweater potongan besar (oversize) Fiq misalnya direka linear manakala elemen perincian mengejutkan diletakkan di bahagian belakang. Rekaannya juga kemas malah selaku pendatang baharu, pengetahuan Fiq terhadap peraturan suai padan aksesori juga meningkatkan impresi positif pemerhati fesyen. Wan Muhammad Aizat Wan Ab. Ghani (Wan Aizat) juga tidak mengecewakan. Mengangkat haiwan mistik iaitu kuda sebagai tema rekaan, percaturan Wan Aizat ternyata menjadi apabila majoriti hadirin memberikan ulasan positif selepas pertunjukan berakhir. Rekaannya dipecahkan kepada koleksi sedia pakai mewah termasuk pakaian kasual, koktel dan gaun malam. Kanvas kapas yang digunakan memudahkan Wan Aizat melukis imej kuda pada setiap helaian rekaannya. Fabrik seperti linen, jersi dan kapas likra turut menjadi pilihan Wan Aizat selepas mengambil kira faktor cuaca tempatan. Joe Chia Hari pertama KLFW2014 sebenarnya menjadi milik Joe Chia. Pereka dari Kok Lanas, Kelantan itu mencipta kelainan dengan membawa kumpulan pemuzik sendiri bagi mengiringi slot peragaannya. Gimik itu menjadi dan Joe berjaya mengalih keterujaan tetamu menghala ke pentas menerusi siri rekaanChapter04 beliau. Diinspirasikan daripada keganasan dunia, elemen ketenteraan menjadi layar ilham utama Joe dalam babak kali ini. Ia mendukung filosofi kebebasan dan sarat dengan mesej keamanan, kasih sayang dan menolak peperangan. Komposisi Chapter04 merangkumi budaya, tradisi dan jalanan. Ia diekspresikan menerusi paduan palet hitam, kelabu dan biru pudar yang sememangnya antara warna signatur Joe. Bayangan fabrik kulit, neoprena bertekstur dan nilon juga dapat dilihat pada koleksi ini. Secara amnya, pentas KLFW2014 yang bertemakan konsep pakaian sedia pakai banyak dimonopoli rona hitam, kelabu dan putih. Ia sekali gus membuktikan bahawa warna-warna seperti itu masih relevan dalam penghasilan busana yang eksklusif, unik dan individualistik. Mengambil rekaan Afiq M, sebagai contoh, pereka berusia 23 tahun yang sinonim dengan warna kusam itu mempertaruhkan 12 koleksi musim luruh/sejuk 2014 yang tampak misteri tetapi penuh keghairahan. Pemilik nama sebenar Afiq Mohamed itu berkata, koleksinya kali ini lebih tertumpu kepada gaun malam. Begitupun rekaan seluar juga tidak tercicir. "Saya sangat sukakan warna monokrom kerana ia tampak ghairah dan seksi. Untuk koleksi ini, saya memberikan tumpuan kepada belahan kain yang menampilkan sisi feminin wanita," kongsi Afiq kepada Stailo. Tambah Afiq, fabrik ringan dan mudah digayakan individu berbeza bagi membentuk potongan lurus dan mengikut potongan tubuh (fitted) menjadi pertaruhannya kali ini. Setiap fabrik yang digunakan kelihatan mewah saat diperagakan dan memberikan efek beralun ketika wanita berjalan. "Wanita merupakan inspirasi terulung dalam setiap rekaan saya. Ketika menghasilkan rekaan ini, saya sudah membayangkan bagaimana setiap gaun beralun ketika model memperagakannya," katanya. Kembali kepada pemilihan fabrik dalam koleksi KLFW2014, ia melibatkan fabrik seperti satin, sifon dan kapas. Walaupun gemar dengan warna monokrom, rekaan Afiq di pentas KLFW2014 menyaksikannya bereksperimen dengan warna seperti hijau dan biru gelap. "Saya mahu orang mengenali Afiq M sinonim dengan monokrom. Hanya di pentas ini saya mencari sedikit kelainan dengan bermain dengan tona warna berbeza," jelasnya. Bon Zainal Apabila berbicara mengenai imej dunia korporat, pemilik nama Bon Zainal pasti meniti di bibir pereka fesyen tempatan. Sinonim dengan rekaan sut eksklusif lelaki, pemilik nama sebenar Bon Zainal Harun, 47, tampil dengan 12 rekaan koleksi Rebon. Mengaplikasi konsep kelahiran semula (reborn), ternyata koleksi tersebut berjaya memukau hadirin tatkala ia dipentaskan. Koleksi terbaharunya itu menggabungkan rekaan jaket dan sut dalam satu busana. "Saya mahu semua lelaki tampak bergaya," jelasnya ringkas apabila berbicara mengenai koleksi baharu itu. Seakan bermain teka-teki, Bon berjaya menyuntik elemen suspen ketika barisan koleksinya diperagakan. Bermula dengan koleksi sut biasa diikuti dengan sut jaket berwarna, ia pantas mencuri perhatian pemerhati fesyen. "Saya masih mengekalkan kemasan sut pada setiap rekaan. Imej Bon Zainal dan warna hitam, putih dan kelabu masih menjadi pilihan saya. "Cuma di pentas ini, rekaan saya lebih remaja dengan rona warna yang ceria seperti merah hati. Potongan juga mengikut susuk tubuh dan menjadikan jejaka kelihatan tampan menggayakan rekaan saya," ujarnya. Dari jauh memerhatikan setiap perincian sut jaket Rebon, ia kelihatan sarat, berat dan tebal. Pendapat pertama yang terlintas di minda pemerhati ialah ketidaksesuaian jika ia digayakan pada siang hari di Malaysia. Ternyata pendapat itu meleset. Bon berkata, gabungan sut dan jaket memberikan kelebihan ilusi tatkala ia digayakan. "Apabila ia digayakan di majlis formal sut jaket ini akan kelihatan seperti sepasang sut mewah. Namun apabila digayakan dengan jean, ia kelihatan amat santai," katanya. Keistimewaan itu, ujarnya, terletak pada fabrik yang digunakan. Menggabungkan fabrik seperti kapas minion dan campuran wul. "Impian saya suatu hari nanti, mahu semua jejaka memakai sut di mana sahaja mereka berada. Sut bukan lagi hanya pakaian di majlis formal malah mampu menjadi pakaian ketika bersantai," tuturnya. Tambah mengujakan, Bon mendedahkan koleksi tersebut bakal dipasarkan di butiknya dalam tempoh terdekat. Menyusul hari-hari terakhir pentas KLFW2014, menyaksikan kemunculan beberapa pereka berpengalaman. Antaranya, Melvin Shah menerusi label Melson. Mempersembahkan koleksi Pret A Porter musim luruh 2014 pereka itu dipecahkan kepada tiga subkoleksi iaitu Voyages, Indulgent dan Sultry. Potongan moden, klasik dan feminin ditampilkan dengan seimbang. Kekemasan rekaan Melvin dapat dilihat pada dres pendek tulip dan palet. Busana itu turut menerima sentuhan inovasi unik apabila pereka kelahiran Kuala Lumpur itu nekad menggunakan kulit buaya metalik tiruan sebagai teras material. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan