RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Makan secara sederhana

Posted: 15 Aug 2013 08:35 PM PDT



SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tentunya tidak lengkap tanpa jemputan ke rumah terbuka anjuran kaum keluarga dan sahabat handai.
Bermula dari hari pertama sehingga akhir bulan Syawal, pasti ada sahaja jemputan yang diterima.
Jika tidak pergi, tidak manis pula. Lebih-lebih lagi sebagai orang Timur yang kaya dengan sikap menghargai undangan orang.
Makanan seperti nasi beriani, rendang ayam dan daging, acar, nasi himpit dan ketupat, serunding, kuah kacang, lemang, aneka manisan, biskut, kek, kuih-muih serta minuman manis seperti air sirap dan teh tarik antara pilihan makanan yang biasa disajikan pada majlis berkenaan.
Sungguhpun enak, apa yang membimbangkan menu tersebut tidak mesra diet.
Bagi ibu kepada dua orang anak, Emy Syafinaz Abdul Majid, 32, dari Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, budaya menghadiri rumah terbuka sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Pilih hidang sesuai
Namun, wanita itu merupakan seorang yang peka dalam pemilihan makanan walaupun tuan rumah menyediakan pelbagai jenis hidangan yang menarik dan sedap.
"Saya sedar usia kian meningkat, jadi saya perlu memilih makanan yang hendak dimakan. Bergantung kepada jenis makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah, saya selalunya akan memilih sate, laksa dan mi," katanya.
Walaupun belum berpeluang menganjurkan majlis rumah terbuka sejak mendirikan rumah tangga, Emy Syafinaz mempunyai pengalaman menganjurkan majlis seumpama itu ketika bujang.

EMY SYAFINAZ (kiri) percaya memakan buah-buahan dan sayur-sayuran membantu mengawal pengambilan makanan secara berlebihan.


Pada masa itu, dia dan keluarganya menyediakan makanan seperti soto, laksa Johor, spageti dan pemanis mulut seperti buah tembikai serta kek coklat.
"Tetamu biasanya mencari nasi beriani, ketupat, rendang, sate dan makanan manis serta bersantan. Mereka mungkin kurang selesa jika cuma hidangan sihat seperti makanan panggang atau salad yang disediakan.
"Lagipun makanan yang dianggap sihat ini melibatkan kos yang tinggi khususnya untuk majlis yang besar," ujarnya.
Tambahnya, faktor lain yang turut mempengaruhi jenis hidangan ialah tradisi dan amalan masyarakat sejak berzaman-zaman. Ini termasuk makanan berlauk, masakan bersantan dan berminyak atau manis.
Ketika mengunjungi rumah terbuka, katanya, dia akan memastikan anak dan suami mengambil makanan yang lengkap dengan karbohidrat dan protein, disusuli pengambilan buah-buahan seperti epal atau pisang.
Makan secara sederhana
Dalam pada itu, ahli farmasi rangkaian AEON Wellness, Elisha Teh Hwee Yee, 32, memberitahu, sama ada ketika berbuka puasa, menikmati hidangan harian, kenduri ataupun rumah terbuka, peraturannya hanya satu iaitu memilih makanan dengan penuh kesederhanaan.
"Tidak dinafikan kita tidak dapat mengelakkan diri daripada tergoda dengan makanan yang disajikan tetapi kita harus sedar keperluan tubuh kita," ujarnya.
Oleh itu, Elisha menyarankan individu supaya memilih makanan yang dipanggang dan dikukus di samping memperbanyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan.
"Sajian manis seperti biskut, kek, puding dan agar-agar pasti ada pada majlis keraian seumpama ini. Namun, saya syorkan agar individu hanya mengambil satu bahagian kecil iaitu sekadar untuk merasa," katanya.

HARI raya tidak semestinya mengenai makanan berlemak, bersantan atau bergoreng kerana terdapat pelbagai alternatif makanan sihat lain.


Minum air
Berkongsi panduan menghalang diri daripada terlebih makan, Elisha berkata, seseorang itu boleh minum dua gelas penuh air kosong sebelum menjamu selera.
Selain itu, katanya, individu juga boleh memulakan hidangan dengan memakan buah-buahan.
"Melalui cara itu, perut kita hampir separuh terisi dan seterusnya mampu mengawal pengambilan makanan," ujarnya.
Beliau menambah, pengambilan air juga menolong proses penghadaman.
Tidak menyangkal makanan tempatan kaya dengan santan, kelapa, gula dan agen kurang sihat, Elisha bagaimanapun berpendapat perancangan makanan yang baik dan pengambilan suplemen mampu membantu individu kekal sihat.
"Ini khususnya dari segi pengambilan suplemen yang berperanan membantu dalam pembersihan, penghadaman dan penyahtoksikan badan," jelasnya.
Justeru itu, beliau mencadangkan pengambilan suplemen yang terdiri daripada enzim, klorofil dan spirulina untuk penyahtoksikan.
Tambahnya, suplemen yang mengandungi serat yang tinggi baik untuk sistem penghadaman, manakala vitamin dan mineral dapat memberikan khasiat yang lengkap.
"Semuanya tertakluk kepada keperluan masing-masing. Bagi wanita, suplemen harian yang harus diamalkan ialah kalsium, minyak ikan dan minyak evening primrose bagi mendapatkan kesihatan yang baik," jelas beliau.

Tatacara bertamu pada Aidilfitri

Posted: 15 Aug 2013 08:34 PM PDT



MEMENUHI undangan makan itu hukumnya sunat.


NABI SAW pernah bersabda: "Janganlah kamu memaksa diri ketika menghormati tetamu, kerana hal itu boleh membuat kamu tidak suka kepadanya. Siapa yang tidak suka dengan kehadiran seorang tetamu, dia telah membuat Allah murka. Dan siapa yang membuat Allah murka, maka pasti Allah akan memurkainya." - Kitab al-Mughni'an Hamli al-Asfar karya al-Hafiz al-'Iraqi.
Memenuhi undangan makan itu hukumnya sunat bagi orang miskin mahupun kaya. Dalam salah satu kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT disebutkan: "Berjalanlah kamu satu batu untuk menjenguk orang sakit. Berjalanlah dua batu untuk menghantarkan jenazah. Dan berjalanlah tiga batu untuk memenuhi undangan."
Rasulullah pernah berkata: "Seandainya aku diundang untuk menghadiri jamuan makan di al-Kura' wilayah Ghamin, tentu akan aku penuhi undangan itu."
Al-Kira' merupakan sebuah bangunan yang terletak beberapa batu dari Madinah. Nabi pernah berbuka puasa di sana ketika bulan Ramadan dan baginda mengqasarkan solat ketika dalam perjalanan.
Ketika memenuhi undangan makan, tetamu dibolehkan berbuka jika dia sedang berpuasa sunat. Ini kerana menggembirakan hati orang yang mengundang itu jauh lebih utama dibandingkan puasa sunat.
Di samping itu, seseorang boleh menolak untuk memenuhi undangan jika dia tahu bahawa makanan yang dihidangkan dalam jamuan mengandungi harta yang syubhah atau orang yang mengundangnya merupakan orang fasik, zalim, ahli bidaah atau orang yang suka berbangga atas undangannya itu.
Sebab, memenuhi undangan itu haruslah dengan niat untuk melakukan ketaatan, bukan ingin melampiaskan nafsu makan.
Walaupun demikian, tidak dibenarkan pulang dari tempat jamuan sebelum meminta diri terlebih dahulu daripada tuan rumah.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar, dia berkata: "Pada zaman Rasulullah, kami pernah makan sambil berjalan dan minum sambil berdiri."
Posisi makan dan minum seperti yang disebutkan pada riwayat tersebut menunjukkan adanya keringanan yang diberikan kepada penganjur majlis dan tetamu yang hadir.
Tetamu juga tidak dilarang membawa makanan seperti ketika menziarahi orang yang meninggal dunia.

Sahabat baik juara pertandingan masakan Ikea

Posted: 15 Aug 2013 08:32 PM PDT

SEMUA peserta bergambar kenangan bersama Chef Anis Nabilah (empat dari kiri) dan Chef Muluk (empat dari kanan) selepas tamat pertandingan.


MAMPUKAH anda melakukan aktiviti memasak selama 25 jam tanpa henti dengan cabaran tertentu? Bagi sesetengah orang terutama mereka yang tidak pernah ke dapur, ia mungkin satu perkara yang sukar untuk dilakukan.
Namun, dua sahabat baik, Lee Ren Ying, 33, dan Tong Chin Thing, 34, membuktikan bahawa hubungan persahabatan yang terjalin selama ini dapat dimanfaatkan ketika beraksi di dapur.
Menamakan kumpulan mereka sebagai Talking Giraffe, Ren Ying dan Ching Thing berjaya mengungguli pertandingan sulung Cabaran Memasak 25 Jam Tanpa Henti yang dianjurkan oleh Ikea Malaysia (Ikea) baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan mereka memenangi sebuah dapur idaman bernilai RM10,000 yang boleh dibeli melalui Kad Hadiah Ikea sekali gus menewaskan 11 kumpulan peserta yang lain.
Setiap kumpulan terdiri daripada pasangan suami isteri, ibu dan anak, adik-beradik dan sahabat baik.
Masing-masing berusaha mempamerkan skil memasak untuk mencapai impian memenangi hadiah keseluruhan yang bernilai RM38,000.
"Saya seperti tidak percaya bahawa kami telah memenangi pertandingan dan mengharungi setiap cabaran dengan jayanya. Ia seakan-akan satu mimpi.
"Saya juga amat berterima kasih kepada Ikea atas inisiatif menganjurkan program ini. Walaupun kepenatan menyelesaikan setiap cabaran dalam tempoh 25 jam, kegembiraan apabila dinobatkan sebagai pemenang mengatasi segala-galanya.
"Semua peserta memiliki kehebatan tersendiri. Saya tidak akan lupakan detik penuh bersejarah ini," ujar Ren Ying dengan penuh teruja.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Pemasaran Serantau Ikea, Yeong Tze Kuen berkata, kesemua 12 peserta akhir itu telah melalui proses penghakiman yang ketat.
Justeru, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada para peserta yang memberikan komitmen sepanjang pertandingan tersebut.
"Saya percaya semua peserta telah melalui satu pengalaman yang hebat di dapur Ikea. Hubungan yang dipamerkan mereka benar-benar merangkumi nilai teras dapur Ikea yang direka untuk keselesaan dan tahan lama," kata Tze Kuen.
Tambahnya, produk dapur Ikea diberikan jaminan kualiti selama 25 tahun bertujuan untuk mencipta detik-detik yang berkekalan di sesebuah rumah.
AKSI seorang penyokong memberi kata-kata semangat kepada peserta yang bertanding.


Semangat berpasukan
Dalam cabaran tersebut, semua peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlu melengkapkan 12 cabaran dalam tempoh masa 25 jam. Keputusan dan persembahan mereka telah diadili oleh juri jemputan, Chef Anis Nabilah dan Chef Muluk Rambli serta panel juri daripada Ikea.
Mata merit telah diperuntukkan berdasarkan keputusan, yang kemudiannya terkumpul untuk menentukan pemenang.
Cabaran yang direka bukan hanya untuk menguji kemahiran kulinari peserta bahkan merangkumi kekuatan dalam hubungan masing-masing.
Antara cabaran tersebut ialah Dekorasi Duo dengan setiap pasukan diberi dua biji kek untuk dihias manakala seorang lagi perlu bekerja dalam keadaan mata bertutup.
Ia diikuti cabaran Apa Yang Mereka Boleh Buat? Dalam cabaran tersebut, setiap pasukan diundi sebelum menerima kotak misteri yang mengandungi bahan dan perasa masakan.
Selepas itu, mereka dikehendaki mencipta dua resipi pembuka selera dan satu hidangan utama.
Selain itu, cabaran yang dinamakan Ekspresi Di Atas Pinggan memerlukan setiap pasukan yang diberi resipi spesifik mencipta dan menghidangkannya dengan cara tersendiri.
Dalam pada itu, juri undangan yang juga chef selebriti, Anis Nabilah berkata, semua peserta menunjukkan semangat dan keghairahan memasak secara berpasukan.
"Cabaran ini mengingatkan saya tentang dapur memasak di rumah yang sentiasa menjadi lokasi kegemaran kami sekeluarga. Ia mampu membawa satu hubungan yang baik bersama individu yang bekerja dengan anda di dapur," tuturnya sambil tersenyum.
Menurut Chef Muluk pula, makanan sentiasa menjadi cara terbaik untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan antara manusia.
"Pertandingan ini membolehkan kita melihat dua individu yang berperwatakan berbeza berganding bahu menyelesaikan cabaran memasak selama 25 jam," katanya.

Kawal emosi di jalan raya

Posted: 15 Aug 2013 08:31 PM PDT



RANCANGLAH perjalanan anda supaya tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.


HUJUNG minggu ini, keadaan jalan raya pasti sesak. Mereka yang pulang beraya ke kampung halaman pada Aidilfitri lalu akan kembali ke ibu kota.
Keadaan itu sangat sukar dielakkan namun jangan biarkan kegelisahan tersebut menyebabkan kita memandu secara cuai dan tidak selamat.
Kajian-kajian psikologi menunjukkan fikiran yang tidak tenteram selalu memberikan kesan buruk di jalan raya.
Sejak tahun 1970-an lagi, kajian menunjukkan mereka yang mempunyai masalah di rumah, ada kecenderungan untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kajian seorang ahli psikologi, McMurray, menunjukkan kadar kemalangan tinggi membabitkan seseorang yang memfailkan perceraian pada enam bulan lalu malah kes naik mendadak dalam tempoh tiga bulan selepas mereka bercerai.
Ini menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku sebenarnya melibatkan isu psikologikal.
Apatah lagi, pada musim perayaan ini, kita mungkin akan menghadapi aliran trafik yang padat berbanding biasa.
Keadaan ini tentulah memerlukan kesabaran yang tinggi dan pengguna jalan raya harus bijak mengawal emosi.
Ilmu psikologi mendedahkan beberapa faktor yang membangkitkan emosi marah ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya iaitu kawalan diri, jangkaan dan kesuntukan masa.
Tidak sabar
Melihat kenderaan yang perlahan di hadapan, pengguna cenderung sama ada mampu mengawal diri atau tidak, dan kemudian menjangkakan sama ada mereka sempat memotong atau tidak kenderaan di hadapan.
Keadaan ini kemudian dihimpit pula oleh persepsi bahawa mereka kesuntukan masa dan perlu sampai ke destinasi dalam masa tertentu.
Keadaan tersebut menghuraikan situasi yang membangkitkan rasa kecewa yang akhirnya menyebabkan seseorang itu gagal mengawal kemarahan mereka.

GAGAL mengawal psikologi diri menyebabkan kita mudah marah semasa memandu.- Gambar hiasan


Ia berlaku kepada kebanyakan orang yang berada di jalan raya, apatah lagi bagi individu yang terkenal dengan sifat panas baran.
Sebab itulah, ada baiknya mereka yang tidak sabar atau mempunyai sikap tergesa-gesa, merancang perjalanan agar tidak pulang ke ibu kota semasa ribuan kenderaan sedang bersesak-sesak di jalan raya.
Keadaan ini bertambah teruk apabila ada yang merasakan diri mereka 'seseorang' di tengah-tengah kesesakan itu.
Ini biasanya berlaku kepada mereka yang berstatus tinggi dan melihat orang lain sebagai pemandu kerdil.
Hakikatnya, apabila berada di jalan raya, setiap orang sama sahaja sifatnya. Tidak ada lagi status dan jawatan. Kita semua hanya pengguna jalan raya yang sedang memandu untuk sampai ke destinasi tertentu.
Selain faktor psikologikal dan jantina, umur pemandu ada kaitan dengan kebarangkalian berlakunya kemalangan.
Pemandu lelaki didapati sering terlibat dalam kemalangan jalan raya berbanding wanita. Begitu jugalah yang selalu berlaku kepada pemandu muda yang beranggapan bahawa mereka pemandu yang cekap dan dengan itu mengabaikan peraturan jalan raya.
Kawal psikologi
Pada akhirnya, sebagai pengguna jalan raya, kita perlu bijak mengawal psikologi diri. Dalam psikologi, ia dikenali sebagai coping atau bagaimana kita menafsirkan sesuatu.
Sekiranya kita menafsirkan kesesakan lalu lintas sebagai satu masalah, maka tindakan kita akan terarah untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Sebab itulah, ada pengguna yang mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tadi dengan memandu secara laju atau memotong barisan di lorong kecemasan.
Hakikatnya, ia mungkin satu kaedah penyelesaian masalah yang menimbulkan masalah yang lebih besar.
Ada baiknya jika setiap pengguna melihat kesesakan jalan raya sebagai salah satu isu atau cabaran yang akan kita hadapi setiap kali musim perayaan.
Sekurang-kurangnya dengan cara ini, kita akan lebih bersikap sabar dan menerima hakikat bahawa apa yang kita lalui itu juga dihadapi oleh pengguna jalan raya yang lain.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories